27 February 2007

Tak Mainlah Keriss! Kuk kik, kuk kik!

Satu ketika (aku memang suka mula dengan ayat ni), aku dan beberapa orang rakan-rakan sedang lepak minum-minum di sebuah kedai makanan Siam. Tidak begitu ramai pelanggan mereka pada ketika itu. Tapi apa yang menarik perhatian aku adalah di satu meja ada empat orang gadis ala-ala minah rempit duduk lepak minum-minum. Mereka datang dengan dua buah skuter yang cap apa aku tak kenal.

Dan tidak jauh dari situ, ada beberapa orang lelaki ala-ala mat rempit sedang duduk bersembang. Tidak lama kemudian datang lagi beberapa orang rakan mereka dengan dua buah motosikal Kriss dan Honda.

Kuk kik, kuk kik, kuk kik gelak gadis-gadis ini.

Menarik perhatian ramai melihat mereka. Tidak tahulah sama ada tertarik atau meluat. Tidak lama kemudian, berlakulah percubaan mengorat oleh salah seorang lelaki dari meja yang aku sebutkan tadi.

Tiba-tiba saja terdengar suara nyaring salah seorang gadis itu. Bukan menjerit, tapi dengan nada yang mempunyai niat untuk memalukan.

"Brader, kalau takat naik Kriss, tak payah try la. Koman-koman ada 125Z baru kami layan!" kata gadis itu, dengan penuh emosi menghina.

Aku tengok muka lelaki itu dah jadi lain. Tapi dia sabar dan cepat bertenang. Dia pun berlalu.
Kuk kik, kuk kik, kuk kik gelak gadis-gadis itu.

"Pakai Kriss ada hati nak tackle!" kata salah seorang dari gadis itu lagi.

Kuk kik, kuk kik, kuk kik!

Aku memang rasa tercabar dan terhina juga. Mungkin kerana aku lelaki, tapi lebih kerana sikap mereka yang memalukan bangsa.

Maka, lelaki yang datang dengan Kriss itu pun beredar. Tinggallah beberapa orang lagi, termasuk lelaki yang dihina tadi. Lalu dia memanggil pelayan.

Dikeluarkannya not seratus, "Kak, kira sekali meja ni dengan meja tu, belen akak simpan."

Gadis-gadis itu terus ketawa. Mungkin mereka rasa lelaki ini mahu menunjuk-nunjuk, lalu sanggup menghabiskan seminggu gajinya.

Kuk kik, kuk kik, kuk kik.

"Terima kasih ya bang. Bawa Kriss tu elok-elok!" kuk kik, kuk kik, kuk kik.

Tapi tiba-tiba ketawa mereka terhenti. Senyap. Terpinga.

Lelaki yang dihina itu mengeluarkan kunci BMWnya, menghidupkan enjin 3 series dengan rim 19 inci. Seorang lagi dengan Perdana V6, juga rim 19 inci dan seorang lagi dengan Satria Neo.

Sebelum BMW itu beredar, lelaki itu sempat menurunkan tingkap dan berkata, "sama-sama!"

25 February 2007

Kesedaran Dari Tuan Punya Kucing

Hari itu, ketika anak aku sedang mengejar seekor ibu kucing dan anak kucing, aku bertembung dengan tuan punya kucing itu, seorang wanita India yang aku rasa sudah lebih separuh abad. Kami pun bersembang seketika.

Tuan Punya Kucing : Ini kucing sudah enam tahun saya bela tau. Dia beranak, mati. Beranak, mati. Dulu ada banyak anak. Sekarang sudah sikit.

Aku : Anak yang dah besar ada juga la?

Tuan Punya Kucing : Ada, tapi sudah besar semua lari dari dia punya mak. Saya ada enam cucu tau. Paling besar sudah sekolah menengah.

Aku : Jaga-jaga jatuh satgi!

Itu pesanan aku pada anak aku agar tidak terlalu ralit mengejar kucing, bukan pada wanita India tu.

Tuan Punya Kucing : Awak tengok, saya pun laki sudah lama lari tinggal saya. Ikut lain perempuan. Tapi saya tarak bunuh anak. Itu perempuan yang bunuh gila punya orang. Tarak otak. Mau marah sama laki marah la. Tapi anak-anak jangan kacau. Dia apa tau?

Tu dia! Betul bak kata Keng dan Bunga Rampai, ilmu, guru dan kesedaran ni boleh datang dalam pelbagai bentuk yang tak diduga.

16 February 2007

Imejan Rantau Budaya II di Bumbong Lima

Bengkel muzik wayang kulit

Bengkel lukisan, arca & cetak

Ibu-ibu gotong-royong menyediakan kenduri makan tengah hari

Hasil bengkel lukisan

Hasil bengkel arca (foto senget)

Ingat lagi aku pernah sertakan foto-foto Rantau Budaya di Merbok, Kedah? Ini koleksi terbaru Rantau Budaya II di Bumbong Lima, Seberang Perai Utara.

07 February 2007

Kebetulan Jumaat Itu

Bila orang bercerita tentang Jumaat, kebetulan aku pun nak bercerita juga. Kebetulan hari itu aku berjemaah solat Jumaat di masjid lain di Tanjung kerana urusan kerja. Kebetulan pula aku agak terlewat, masjid dah penuh, nampaknya terpaksa berdiri mendengar khutbah.

Kebetulan masjid itu terletak dekat dengan restoran nasi kandar terkemuka dan besar pula. Kebetulan ada beberapa orang makcik-makcik, kakak-kakak meminta sedekah. Kebetulan pula ada ramai kanak-kanak sedang berlari riang.

Kebetulan restoran nasi kandar itu katanya setiap Jumaat menyedekahkan berpuluh bungkus nasi kandar pengganti pisang. Kebetulan ketika aku lalu mahu masuk masjid, pekerja restoran itu datang membawa bungkusan nasi kandar. Kebetulan peminta sedekah ada di situ, kebetulan kanak-kanak ada di situ.

Dan bukan kebetulan bila nasi itu tiba-tiba diserbu oleh kanak-kanak itu, ambil tiga empat bungkus sekali, dan bukan kebetulan si peminta sedekah terus meminta sedekah kerana mencari makan.