28 February 2006

Revolusi Fosil

Fosil itu mula beRevolusi. Kalau dulu dia perlahan-perlahan dia berEvolusi, kini Gregorian seolah-olah tak mampu menahan gelembung revolusinya. Gelembung yang menyebabkan banyak darah naik dan banyak naik darah.

Fosil itu mula beRevolusi. Kapitalis fosil makin kaya, marhaenis makin kayap. Politikus tergagap-gagap, reformis terjerit-jerit lahap.

Fosil itu mula beRevolusi. Dan dia akan terus berevolusi hingga tiada fosil lagi mahu dikasi. Tika itu mungkin elektrolisis jadi menu utama manusia. Pemisahan atom-atom dan molekul-molekul jadi norma.

Fosil itu mula beRevolusi. Fosil itu jadi dogma. Tapi bukan dia yang minta dijadikan dogma, kalian juga. Siapa yang tergila-gila binatang besi yang merayap di darat, di laut dan udara. Siapa yang mengklon binatang besi agar lebih gagah meredah tanah pamah, bukit bukau, poket udara dan angkasaraya; agar dapat menghambur api pada manusia? Kalian juga.

Fosil itu mula beRevolusi. Oh…. Baiklah, lepas ini kami jalan kaki, biarpun tak cukup magnesium. Kami tambah magnesium, maka tuan bikin magnesium kata kena cari binatang bernama lembu. Maka kami cari lembu. Jumpa lembu, maka tuan lembu kata; kena angkat, kena perah susunya, kena proses di kilang kena.. yada …..yada …..yada….yada…… Jadi binatang besi juga dikerahnya. Nak kerah bagaimana kalau bukan fosil yang disuap, ditelannya.

Fosil itu mula beRevolusi. Kitar alam bukan macam metamorfosis rama-rama. Kerana rama-rama kelak dia mati macam kalian juga. Fosil akan mati jua, tapi sebelum membawa dunia ke tebing neraka. Hiruplah kentut fosil, bukan dari binatang besi semata, tapi raksasa yang memuntahkan nanah atas tuntutan kalian juga. Tanpa raksasa yang membawa kalian bekerja di perutnya, anak beranak kalian nak mengketedarah apa?

Fosil itu mula beRevolusi. Maka terimalah hakikat hikayat yang menyayat hati. Bahawa selamanya kita kan diperhambakan, bukan sebaliknya. Tapi syukurlah kerana kita bukan immortal, yang akan mampus dahulu sebelum oneng-oneng kita mampus kerana fosilnya dah tak ada.

20 February 2006

Kau Suka Refusenik Atau Jadi Refusenik Atau.......

Aku bukan refusenik.

Tapi mungkin juga aku lebih suka orang yang jadi refusenik. Dia manusia yang kenal manusia.

Aku refusenik? Tak mungkin, sebab aku bukan puak tu.

Tapi kalau terminologi ini boleh dianalogikan, maka aku rasa ramai manusia refusenik di nusantara ini.

Dan aku rela jadi refusenik.

Refusenik tidak unik, kerana mereka adalah manusia yang dicelakakan oleh kepala-kepala yang mengepalai mereka.

Tapi dalam celaka-celaka mereka ada orang yang bersyukur mereka ditakdirkan jadi refusenik.

Kita ni golongan mana?

Refusenik?

Orang yang bersyukur?

Kepala-kepala yang mencelakakan orang?

15 February 2006

Aku Terluka / Aku Kerja / Aku Peduli Apa

Aku selalu menegaskan ada varian yang ketara di antara seni dan hiburan. Hiburan itu adalah seni, tapi seni tak semestinya hiburan. Dan bagi artis popular, aku labelkan mereka anak libur; terminologi yang lebih tepat berbanding anak seni, yang lebih umum dan kabur.

Bilamana ada artis yang kebetulan ditahan dalam satu terjahan di sebuah kalabul malami, maka lensa kamera sudah tentunya akan terarah kepada mereka. Yelahh… siapa nak baca tentang seorang lelaki yang menghabiskan duit gajinya di lokasi maksiat atas alasan melepaskan lelah dan tension, berbanding seorang artis yang muka mereka dicam ramai dan menghabiskan duit atas alasan yang sama.

Dan sudah disimpul mati sifat kebanyakan dari kita, yang mudah melatah. Melatah kerana mempertahankan tindakan kita, tindakan kepala kita, buah fikiran kita, perbuatan kita; entah betul entah salah.

Dan sensasilah cerita di dada akhbar, membusung, membawa bau hanyir yang melekat kepada semua mahkluk yang berstatus anak libur. Mungkin juga hanyir ini turut mengganggu wartawan yang mencari makan; mungkin juga tidak, mungkin mereka lebih suka kerana alih-alih mereka ada cerita.

Kerana baru saja ditegur kepala hidang agar berita yang nak disampaikan biar terus dan telus, jangan bernada sumbang seolah-olah perlian atau provokasi. Tapi itu terjatuh letak untuk para mentaranya, entah boleh entah tidak digunapakai untuk anak-anak libur.

Aku tak tahu siapa yang bersalah di sini; artis yang nak bersantai atau wartawan yang nak mencari makan.

Nasiblah……….

13 February 2006

Kaloi Koi

“Timbullah….timbullah ibuku si ikan kaloi……”

Kalau dulu ikan kaloi menjadi simbol cinta Bawang Merah kepada ibunya (atau simbol keenakan masakan dahulu kala), kini alam nyata telah bertukar warna.

Ikan-ikan eksotik berjenama yang dijaja-jaja, dibela-bela. Loh han, Arowana, Koi; dibangga-bangga.

Kalau tidak, manakan mungkin wujud sebuah singahsana Koi, ditaja oleh korporatis ternama.

Di renjis-renjis dipilis, ditepungi tawar, ditabur beras kunyit, disiram air mawar; oleh kepala hidang.

Akhirnya akan jadi;

“Timbullah…..timbullah ibuku si ikan Koi…..”

Errkk…..

10 February 2006

Kanun Dari Langit

Dari langit kanun itu sampai.

Ditulis atas pelepah tamar barangkali; menjadi kanun manusia, kanun keluarga.

Indah, cantik dan molek. Kena pada erti dan sebaliknya.

Tapi ada hawa yang bernafas kuda, mendengus seperti menanggung joki yang beratnya seratus kati, “huff haff huff haff huff haff.”

“Ini tidak adil! Kami mahu kesaksamaan!”

Jeritannya bingit.

Hairan aku. Dah bedah atau belum, kanun yang kalian katakan tidak adil itu?

Dah bedah erti dan sebaliknya?

Ishh….ishhh….ish…..

06 February 2006

Muzikal Ma Ho Huan - Ulasan Yang Terpulas

Ada tuil yang merongrong di punggung aku, memaksa aku mengatur langkah; longlai dan lemah, tapi masih melangkah ke Dewan Sri Pinang untuk menjegilkan mata menonton Muzikal Ma Ho Huan. Benak aku selalu bersuara; kalau bukan kita, siapa lagi.

Bukan aku tidak suka, bukan aku benci, tapi mungkin cuma tidak mencapai tahap jangkauan jangkaan aku. Setulusnya, aku kecewa. Kerana atas platform perayaan bersama, satu pementasan yang gah dibuat sambil lewa. Dengar bunyi katanya, cuma dua minggu bersedia. Hebat sungguh akauntan berkira-kira, mengaudit sepantas masa.

Gamaknya, wahyu kepala hidang yang mahu kenduri dibikin segera. Maka mentara-mentara pun terkinja-kinja menyiapkan hidang yang tidak seberapa. Bagi yang lapar, enak juga rasanya.

Ceritanya? Apa lagi kalau bukan melankolik cinta bangsawan Cina yang terpaksa melukakan hati kekasih hatinya, lalu bila tiba di Melaka, tidak semena-mena bertukar menjadi buaya yang jatuh hati pada gadis bangsawan Melayu, hanya kerana rupanya yang cantik, budinya baik, selendangnya terbang jatuh terbalik. Sebuah fotostat Muzikal Hang Li Po yang tonernya kurang, maka berbelanglah kertas yang difotostat.

Lakonannya? Tak susah. Muzikal membataskan segala, lagu dan tari merampas segala emosi. Lagu dan tari itulah emosi. Bukan tak ada, tapi tak banyak.

Setnya? Ringkas dan mudah. Mobilitinya masih lagi aku kagumi; atas kekangan not-not warna-warni, tidak pernah tercapai oleh mana-mana produksi aku. Tapi bagi yang ini, mencukupilah. Mereka dari Kuala Lumpur, ada kekangan logistik sendiri.

Pencahayaan? Entahlah. Apa signifikan penggunaan gobo di dalam motorhead pada kebanyakan scene. Laksana merak jantan memikat yang betina; cantik tapi tidak bermakna.

Lagu-lagunya? Seperti biasa Pak Ngah mengeluarkan aura citrawarnanya. Tiada nafi, aku mengaku sedap di halwa telinga, kena pada masa, kena pada cerita, kena pada mood semua. Elemen Cina dan Melayu digabungtara maka indah alunannya. Miming? Itu memang pemati setem produksi Istana Budaya (jangan salah faham, ini bukan produksi Istana Budaya semata, tapi kerjasama KekkWa dengan kerajaan negeri juga)

Pendek kata? Aku dah pendekkan kata. Muzikal Ma Ho Huan memang bagus; bagi yang mencari hiburan, bagi menculik sikit tak banyak ilmu teater, bagi menjana muhibah kaum, bagi mendidik masyarakat menonton teater (percuma), bagi nawaitu-nawaitu tertentu puak-puak tertentu.

Tapi termometer kepuasan aku belum mencapai tahap selesa menonton Ma Ho Huan. Kerana aku mendambakan contoh persembahan extravaganza yang mencuit minda, membuatkan mulut aku ternganga wahhhhh, atau setidaknya mengangguk ia. Kerana aku tahu sangat mereka boleh sangat buat sangat lebih baik lagi.

Buatlah lagi, aku akan tetap menyokong teater Malaysia, kendatipun rupa dan isinya.

04 February 2006

Keris Tu Timbul Ke Tak?

“Kau nampak tak?” tanya orang kampung pertama.

“Entah, aku tak nampak pun,” bingkas orang kampung kedua.

“Eh… tadi aku nampak keris tu timbul,” orang kampung ketiga pula bersuara.

“Mana timbul, aku tak nampak pun,” getus orang kampung pertama.

“Betul aku nampak keris tu timbul tadi,” keras nada orang kampung ketiga.

Orang kampung kedua menggaru kepala, “Keris tu kan besi, mana boleh timbul!”

“Cuma raja-raja saja boleh buat keris tu timbul,” orang kampung pertama kata.

“Bukan raja….. pendekar besar. Yang ada sakti,” orang kampung ketiga pula berkata.

“Ahhh….. tak percayalah aku,” tegas orang kampung pertama.

“Sumpah, aku nampak keris tu timbul!” orang kampung ketiga.

“Aku dah kata cuma raja saja yang boleh buat keris tu timbul!” orang kampung pertama menegaskan lagi.

“Raja!”

“Pendekar!”

“Raja!”

“Pendekar! Pendekar! Pendekar!”

“Sudah! Masalahnya kat sini bukan raja atau pendekar. Tapi keris tu timbul atau tak timbul!” orang kampung kedua menempik.

“Kau nampak tak?” tanya orang kampung pertama.

“Entah, aku tak nampak pun,” bingkas orang kampung kedua.

“Eh… tadi aku nampak keris tu timbul,” orang kampung ketiga pula bersuara……………

(Dan ulang lagi hingga kiamat)

02 February 2006

Jihad Jering Pada Durian

Bedebuk!” buah durian jatuh ke atas akar jering.

“Aduhhhh….!!! Sakitnya! Hoi durian! Kau tak reti nak hormat sempadan orang ke?” marah jering.

“Aisehmen rilek le brader. Bukan sengaja. Tuan tanah dan taruk baja kaw-kaw punya kat aku. Kau tengoklah lengan aku jauh sampai ke mana,” pokok durian cuba nak buat lawak lagi.

“Kau ingat tak sakit ke?”

“Bukan salah aku….”

“Kau nak aku hempap buah aku atas kau?”

“Kau….? Nak hempap buah jering? Buah…..jering…..???” soalan yang diikuti dengan ketawa yang berdekah-dekah sehingga bergoyang-goyang pokok durian.

Pokok jering diam. Geram.

Esoknya.

“Krennggg…..krenngggg…….krenggggg…..” bunyi gergaji rantai.

“Betul tuan tanah nak tebang pokok jering dengan durian ni?” tanya tuan gergaji rantai.

“Nak buat macam mana. Dah mati pokok durian ni. Hujan tidak, angin tidak, alih-alih pokok jering tumbang timpa dia. Pelik, pelik…..” tuan tanah menggeleng kepala.

“Krennggg…..krenngggg…….krenggggg…..” gergaji rantai terus berbunyi.

Iklan Uji Bakat @ Audition Advertisement

Audition for TASGreenhall upcoming production in Mac

The Actors Studio Greenhall Penang is looking for new faces to be featured in our upcoming shows in Mac. Those interested must be 16 years old and above. Please come to the above date and time:

Date : 3rd & 4th February 2006
Time : 3.00 pm - 9.00 pm

If you can't make it to the above time and dates, please call us up @ 04 263 5400 to set another time and date.

The venue of the audition will be at The Actors Studio Greenhall Penang, 32 Light Street - we are on the same line with Convent Light Street, beside The Royal Selangor and in between Dewan Sri Pinang and the Convent.

Any info please call 04 263 5400 or email to greenhall@theactorsstudio.com.my