28 April 2009

Monodrama 'Manusia Raja' - Pasca Pementasan

'Manusia Raja' dah tamat malam Ahad hari tu. Daripada kapasiti 222 tempat duduk di Auditorium Taman Budaya Negeri Pulau Pinang, 43 orang hadir pada malam pertama dan 71 orang hadir pada malam kedua. Itupun pada malam kedua, sebahagian besar terdiri daripada pelajar Kolej Perubatan ACMS, terima kasih pada kalian, terima kasih pada semua.

Seperti biasa, aku mengakui kelemahan publisiti menjadi punca utama. Ada wakil dari Seberang Perai memaklumkan maklumat pementasan ini tak sampai ke sebelah sana. Itu aku akui. Malahan bukan semua tempat di seluruh pulau ada makluman tentang pementasan ini. Bukan apa, aku dah pernah buat kerja-kerja tampal poster satu negeri beberapa tahun lalu, tapi hasilnya tetap serupa. Bilangan audien yang hadir tidak ramai.

Pada pendapat aku, ada beberapa kaedah yang membolehkan kehadiran audien yang ramai, kalau di Tanjung ini.

Pertama, publisiti yang betul-betul menyeluruh, hingga di setiap flet ditampal, setiap kereta di kompleks beli-belah utama diletakkan flyer, diiklan di radio dan sebagainya. Tapi berbaloikah dengan kutipan RM 5 yang dikenakan? Untuk jangka panjang mungkin ya, tapi siapa yang sanggup menanggung beban kos jangka pendek ini?

Kedua, buat cerita yang ramai orang berlakon seperti bangsawan atau teater kanak-kanak. Maka ramai kawan yang akan hadir membawa kawan atau ibu-bapa hadir membawa anak-anak atau kawan ibu-bapa dan anak-anak. Kaedah ini terbukti berkesan. Tetapi tidak semua pementasan berjaya.

Ketiga, letaklah besar-besar cerita ini cerita komedi, maka ramailah yang berminat untuk datang bergelak ketawa. Kalau tak letak cerita komedi, tambahan lagi poster atau kain rentang tanpa muka manusia seperti yang aku buat, rasanya tak ramai yang berminat nak hadir. Ramai yang lebih suka poster seperti filem-filem di pawagam.

Cukup bab kehadiran audien.

Aku dan kawan-kawan telah lama menerima dan menelan mentaliti audien yang hadir. Biar seteruk mana kami berusaha untuk mengubah mentaliti dan paradigma audien, pastinya akan sentiasa ada audien baru yang hadir untuk cuba menonton teater dan datang dengan mindset yang tersendiri.

Contohnya pada malam pertama, walaupun audien tidak begitu ramai, tapi kami menerima audien yang begitu matang, dan boleh menerima apa yang dibawakan. Ada yang pertama kali datang, ada yang sudah beberapa kali. Tidak kisahlah mereka dapat cerna atau tidak mesej tersirat yang aku nak sampaikan, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat memberikan perhatian pada setiap patah kata para pelakon.

Perlu diingatkan, 'Manusia Raja' membawa empat cerita (ada tambahan pada minit terakhir) dan setiap cerita membawa isu yang cukup berat. Hitam membawa persoalan pemimpin yang cakap tak serupa bikin, Jebat : The Untold menanyakan pada audien apakah pemikiran stereotaip mereka boleh diubah setelah mendapati hero mereka tidak sempurna, Bangkai Yang Terbingkai menggunakan bahasa yang bombastik merungkai sifat wanita dalam dunia lelaki yang sesat dalam sedar, dan Aku Bukan Parewa mempersoalkan apakah pembunuhan anak sendiri boleh dijustifikasikan sekiranya untuk menghasilkan dunia yang lebih baik.

Pada malam kedua, aku dimaklumkan ada beberapa pelajar belasan tahun yang hadir menonton. Pastinya satu pendedahan baru kepada mereka. Tetapi sayangnya, mereka kerap ketawa sehingga menganggu audien lain. Ketawa pada ketika bukan komedi, memang agak menganggu. Ketawa pada karakter, pada pergerakan yang dilebih-lebihkan, pada props mainan, memanglah seperti sifat budak-budak. Tetapi itulah yang aku dan para sahabat yang lain perlu telan.

Aku meletakkan ruang komen di luar auditorium, agar audien boleh memberi komen pada sekeping kertas dan melekatkannya di dinding. Ada yang memuji, ada yang kata sangat membosankan. Tentulah aku terima hakikat nak memuaskan hati semua orang tidaklah mudah.

Tapi aku dan rakan-rakan yang lain tidak akan serik. Insyaallah akan ada sambungan Manusia Raja 2. Dan aku juga bercadang nak membawa siri ini ke lokasi yang sesuai sekiranya ada masa dan rezeki. Ini bukan janji, tapi usaha.

Projek terbaru Bakawalee, adalah untuk festival teater Pulau Pinang. Kami buat saja.

17 April 2009

Monodrama 'Manusia Raja' - Yang Terisi

Monodrama 'Manusia Raja' adalah sebuah projek yang diinspirasikan oleh Projek KoKen geng Rumah Anak Teater. Teater yang dipersembahkan tidak akan tamat sekali ini saja, tetapi akan disambung ke Jilid 2, Jilid 3 dan selanjutnya.

'Manusia Raja' merupakan istilah yang dipetik daripada Kassim Ahmad di dalam bukunya Mencari Jalan Pulang. Beliau menyebutkan konsep Manusia-Tuhan, iaitu manusia sebagai khalifah yang boleh menentukan nasib dan destininya sendiri, terutamanya yang buruk. Kerana yang baik itu datang daripada Tuhan (Kassim Ahmad. Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam. ZI Publications Sdn. Bhd. 2008. ms 15-18) Aku tak mahu mengulas panjang tentang konsep ini. Kalau kalian nak penerangan yang lebih lanjut, carilah buku berkenaan.

Ada tiga cerita yang akan dipersembahkan secara solo atau monodrama.

Jebat : The Untold
Sebuah hipotesis tentang pergumpalan konflik diri Jebat yang dilihat dari kaca mata yang berbeza. Suatu amalan yang sangat taboo pada zaman itu tetapi dijadikan persoalan utama karya ini. Apakah dendam Jebat pada Sultan Melaka menjurus kepada nilai persahabatan semata-mata, atau mungkin lebih dari itu?

Hedonistik Mengejar Lari
Sebuah adaptasi daripada cerpen Dianadirani bertajuk Dialog. Konflik seorang wanita moden yang menjalani cara hidup bohemianisme. Menjadikan Tun Teja dan Mahsuri sebagai idola wanita anggun tetapi pada masa yang sama seteru kerana melalui cara hidup yang nyata berbeza. Konflik pertembungan wanita dua zaman di dalam dirinya.

Aku Bukan Parewa
Dia bukan penjahat, dia tidak pernah membunuh, tetapi kali ini dia membunuh orang yang paling dia sayangi. Semuanya kerana dia merasakan dia perlu untuk mengubah dunia menjadi lebih baik, ketika orang lain cuma tahu beromong kosong saja. Dia menunggu masa untuk dicela dan dihukum, namun dia tak akan menyerah. Terutama bila orang yang dia bunuh ialah.........

Semua tiga cerita ini ada drama di dalam drama. Ketiga-tiga bentuk lakonan monodrama diguna pakai iaitu monolog, soliloquy dan aside. Tontonlah dan lihatlah teater ini dari mata burung, bukan dari dalam tempurung.

09 April 2009

Tak Pernah Puas

Memang sudah menjadi fitrah sifat manusia yang tidak pernah puas. Sebab itu ada pepatah kalau diberi betis dan peha, diberi peha nak dada. Tiada ukuran puas yang boleh digunapakai, kecuali kepuasan yang melibatkan fizikal.

Misalannya makan. Kalau diberi pilihan, aku sangat yakin semua orang mahu kepuasan makan. Mahu makan yang lebih sedap berbanding lebih kenyang. Kalau ada yang mengekang pun mungkin faktor kewangan atau kesihatan.

Pemilikan kenderaan misalnya. Bagi yang berpendapatan rendah, pastinya bersyukur kalau dapat membeli kereta second hand cap tempatan. Tapi bila pendapatan dah naik sedikit, nak pula kereta baru. Bila naik lagi, nak pula kereta import dan begitulah ia berlarutan.

Contoh lain yang berkaitan nafsu. Seorang lelaki yang biasa melihat seorang perempuan memakai skirt atau seluar pendek, mungkin tidak berasa apa-apa. Tapi kalau perempuan yang sama memakai baju kurung atau kebaya kain belah, akan ada perasaan pada lelaki itu untuk melihat lebih dari itu, sedangkan bukannya tak pernah tengok. Seperti juga pemakaian baju low cut yang menampakkan cleavage, membuatkan sang lelaki mahu tengok lebih lagi kerana tak puas.

Inilah antara sifat manusia yang sangat sukar untuk diubah. Harapnya kita memandang serius perkara ini, kerana setidaknya kita sedar kelemahan kita.

Kelemahan dek nafsu.

08 April 2009

Iklan - Teater 'Lagu Tu, Lagu Ni'

Hujung minggu ni, ada teater sitkom, datanglah beramai-ramai tengok.

Tajuk : Lagu Tu, Lagu Ni.....
Tempat : Auditorium P.Ramlee, Taman Budaya Negeri Pulau Pinang
Masa : 8.30 malam
Caj : RM 5.00
Oleh : Kumpulan Kersani
Arahan : Razali Ridzuan A.K.A. Likandaqayaq

Sinopsis :
Cerita komedi dengan isu serius penyalahgunaan kuasa oleh tuan tanah dan penghulu, lalu bangkit ditentang oleh orang kampung.

06 April 2009

Sos Tomato

Apa perasaan kalian, bila seorang manusia dengan muka ganas, suara garau, bahasa yang digunakannya kasar.

Tapi bila makan ketang goreng, dia cicah dengan sos tomato.

Sos tomato!

Aku ingatkan makan dengan sos cili yang pedas tu.