28 November 2016

Ulasan Yang Terpulas - Monodrama 'Bercakap Dengan Salbiah'

10 jam aku memandu dari Kelantan, langsung ke Sungai Petani, patah balik ke Jawi dan akhirnya tiba ke Sinkeh. Kerana aku tahu perjalanan ini pasti berbaloi kerana di dalam Siri Wayang di Sinkeh, berlangsung malam terakhir Bercakap Dengan Salbiah karya dan arahan pengarah muda Noor Rizuwan dan diperankan secara monolog/monodrama oleh pelakon muda Darynn Wee.





Ternyata telahan aku tidak meleset.
Teater Monodrama Bercakap Dengan Salbiah merupakan interpretasi Noor Rizuwan tentang 'urban legend' kelibat hantu Salbiah yang kerap dilaporkan muncul di Jalan Lembah Permai atau lebih dikenali sebagai Jalan Bukit Salbiah. Menariknya, kerana interpretasi beliau melihat sisi imaginasi dan juga realiti kes sebenar pembunuhan Salbiah, yang beliau ambil dari fakta kes awam mahkamah. Satu kaedah bijak terutama bila menghasilkan cerita berteraskan kisah benar.




Antara kegemaran Noor Rizuwan ialah bermain dengan visual yang membentuk signify dan signifier yang ketara. Dan manisnya visual itu, kerana ia cantik dan turut membantu merancakkan mood cerita. Bermain dalam ruang yang kecil, visual yang dipertontonkan tidak jelek dan mencukupi.




Darynn Wee pula walaupun bukan kali pertama memeran pelbagai watak dalam monodrama, tetapi masih boleh dianggap pelakon baru yang jika diberi peluang dan ruang, beliau boleh pergi jauh. Memeran 4 watak yang berbeza memang memberikan cabaran terutama untuk meyakinkan penonton bahawa setiap watak yang dibawa itu berbeza perwatakannya. Dan beliau berjaya!



Namun ada beberapa ketika Darynn Wee dikesan 'off character', mungkin atas sebab-sebab tertentu. Dan kelemahan beliau yang paling ketara ialah pada watak lelaki. Namun masih boleh diperbaiki.




Minggu ini akan ada cerita baru di Wayang di Sinkeh. Maklumat lanjut boleh tala kepada Noor Rizuwan sendiri.