30 December 2009

Kontrak Sosial

Sebut kontrak sosial, semua orang pernah dengar. Tapi tak semua orang tahu. Kontrak Sosial adalah peristiwa yang melibatkan persetujuan antara kaum Melayu dengan bukan Melayu dalam perundingan antara kaum untuk mendapat kemerdekaan dari kerajaan British.

Isi utamanya,
1. Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan selamat.
2. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa urusan rasmi kerajaan, tetapi bahasa-bahasa kaum lain boleh digunakan (kecuali untuk urusan rasmi kerajaan), dipelajari, diajarkan, dan dipelihara
3. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu (dan penduduk peribumi Sabah & Sarawak) dalam bidang pendidikan, perkhidmatan awam, ekonomi dan perniagaan, dan hak Melayu terhadap tanah Rizab.

Itulah yang isi kontrak sosial secara ringkasnya, serta boleh dihuraikan dengan lebih lanjut dan tidak diketahui ramai secara jelas.

Tetapi, ramai lagi tidak mengetahui bahawa kontrak sosial berkembang lebih awal di Eropah pada awal kurun ke -17. Konsep ini sebenarnya dipelopori oleh Jean-Jacques Rosseau melalui bukunya Du Contract Social (1762). Beliau mengemukakan bahawa manusia lahir bebas tetapi di mana-mana sahaja mereka dibelengu oleh pelbagai peraturan sosial seperti agama, undang-undang, peraturan, antara manusia atau rakyat dengan kerajaan atau raja. Kebanyakannya terpaksa diikuti demi kebaikan bersama.

Selepas Rosseau, maka wujudlah ahli falsafah sosial yang membincangkan falsafah ini termasuklah John Locke dan John Steward Mill.

Maka, persoalannya.

Dalam temuduga mencari pegawai di dalam bidang seni dan budaya, apakah relevan soalan seperti ini ditanyakan.

"Kamu pernah dengan kontrak sosial? Boleh kamu ceritakan sedikit tentang kontrak sosial?"

28 December 2009

23 December 2009

Makanan Melayu

Semua orang tahu, negara kita kaya dengan makanan. Lazat-lazat pulak tu.

Nasi goreng Cina, Mee Mamak, Roti Benggali, Kuih telinga Hindu.

Tak ada makanan yang berakhir dengan Melayu di belakangkah?

21 December 2009

Kenangan Nasi Lemak

Waktu aku belajar dulu, ada dua nasi lemak yang mebuatkan aku terkenang hingga ke hari ini.

Satu, nasi lemak yang dijual dari bilik ke bilik pada awalnya. Tapi lama-lama lepas tu kami kena pergi ke bilik orang yang menjualnya, sebab sedap sangat. Dah tu pulak, tuan yang menjual tak ada, dia cuma letak bekas tupperware duit. Ambik nasi lemak, bayar sendiri. Nak tukar duit kecik, tukar sendiri. Mencuri, tanggung sendiri akhirat nanti. Tapi lama kelamaan, dah tak berniaga. Tak pasti apakah kerana over demand atau rugi teruk sebab tak ramai yang bayar.

Dua, nasi lemak Kg. Darat. Sebenarnya tempat tu bukannya nama Kg. Darat pun, tapi Changkat Setoi. Oleh kerana ada papan tanda Kg. Darat, maka dikenali dengan nama Kg. Darat. Nasi lemak itu dijual sebelum subuh hingga awal pagi lebih kurang pukul 8.00 pagi sahaja. Selepas itu biasanya, nasi lemak itu akan habis. Jadi bagi peminat nasi lemak yang lazat yang tegar ni, ada yang sanggup bersengkang mata hingga pukul 5 pagi untuk pergi ke lokasi berkenaan yang jaraknya lebih kurang 15 minit. Biasanya aku akan pesan saja dari ekstremis ini. Sampai pagi tu, aku makanlah, dah mereka semua tidurlah.

Sekarang ni, susah nak jumpa nasi lemak yang enak. Kali terakhir aku jumpa, nasi lemak daun pisang yang memang lazat. Tapi selang beberapa tahun, walaupun pembungkusannya sama, tetapi rasanya tak sama.

Sama ada aku semakin cerewet, atau nasi lemak sekarang dah tak sedap.

15 December 2009

Ne Travaillez Pas Comme Interimaire Moi!

Que je deteste le plus est la personne qui a poignarde du revers!

10 December 2009

Janji Dengar Macam Awie

Di suatu ketika dulu, seorang sahabat menyanyikan lagu.

"Namamu teratas indah bercahaya Laila,
menerangi ruang hati bersama makna mimpi....."

Aku pun jerit, "oi tak sedap la!"

Dan sahabat aku menjawab, "Peduli hapa! janji suara dengar macam Awie."

Dan aku serta sahabat yang lain pun ketawa berguling-gulingan.


Pssss : Ada entri lain oleh aku di Bakawalee-Te.Ta.Mu.

07 December 2009

Satu Parking Banyak Kereta

Apa yang akan muncul dalam fikiran kalian?

Kalau satu petak parking bagi sebuah rumah bertingkat-tingkat tinggi, asyik bertukar kereta.
Wira, Vios, BMW dan beberapa model lagi.
Dan kereta itu tidak pulak kekal lama di petak parking itu, kemudian tidak lagi kelihatan selepas itu.

Oh ya, sebelum aku terlupa.

Pemilik petak parking itu adalah sebuah rumah yang dihuni beberapa gadis yang cantik dan kelihatan anggun serta sofistikated.

23 November 2009

Kurang dan Kurang

Di sebuah kedai mamak gred rendah (maknanya tepi jalan le tu).

Aku : Ane, kasi kopi o kaw kurang manis.

Mamak : Ammak.

Kawan Aku : Ane, kasi milo ais kurang susu tau, milo lebih.

Mamak : Baik macha.

Kawan Kepada Kawan Aku : Aaa.... teh ais kurang harga.

Mamak : Ammak... eh, ceh... sini mana ada teh ais kurang harga!

Dan kami ketawa berdekah-dekah.

21 November 2009

Boikot

Boikot McDonalds!

Boikot KFC!

Ehh.... bukan dia tu yang dulu kuat suruh boikot, sekarang tengah mengunyah BigMac.

17 November 2009

Cakap Siapa Yang Betul

Ramai yang dah dengar dan tahu.

Beberapa hari lepas ada kisah seorang lelaki yang ditembak oleh polis kerana mengamuk dek ditinggalkan rakannya.

Cerita pertama katanya lelaki itu mengamuk sebab terpaksa balik jalan kaki dari Alor Setar ke Kangar. Kemudiannya bila dah sampai dia menyerang rakannya yang meninggalkan dia. Polis kata rakannya cedera parah. Kemudian katanya dia pergi beritahu polis di balai polis yang dia nak mengamuk. Polis ikut dia. Kemudian polis pujuk dia. Dia tetap marah, dan cuba menyerang polis dengan pisau sayur. Polis dah lepaskan tembakan amaran. Kemudia terpaksa tembak dia kerana dia menyerang polis.

Cerita kedua, katanya dia ditembak dengan tangan yang bergari. Tangannya masih bergari ketika ditembak polis. Polis kata anggota polis itu cuba menembak kaki tetapi kedudukannya yang berubah-rubah menyebabkan tertembak dada.

Cerita ketiga, katanya rakannya itu balik awal sebab perlu kerja pagi. Rakannya sampai jam 4.30 pagi dan dia sampai sejam kemudian dengan kereta. Ini dinyatakannya sendiri oleh rakannya yang dikatakan parah itu.

Jadi mana satu yang betul ni?

Cedera parah?

Gari?

Jalan kaki 3 jam?

Keliru aku.

15 November 2009

MAT 10

MAT 10.

Ini no plet kereta Proton Satria member aku waktu belajar dulu. Dia memang terkenal seorang yang kedekut. Kalau boleh sentuh kereta dia, boleh buat kenduri pisang. Kalau boleh pinjam, alamat boleh buat kenduri yang segah kenduri kahwin bujang terlajak.

Kadang-kadang kami kawan-kawan ni dengki jugak. Tapi taklah sampai tahap menjahanamkan kereta kawan tu. Tapi pernah jugak la kami jek kereta tu dan letak bata pada tayar belakang. Jadi terangkatlah tayar belakang. Paginya kedengaran alunan maki-makian kerana dia dah sibuk nak pergi kelas.

Geram kerana tahap kedekut itu telah mencapai pada tahap Kassim Baba. Bayangkan ada member lain sakit, kami nak pinjam kereta dia hantar ke klinik dia tak benarkan. Lepas kena paksa, dia sendiri dengan berat hati sanggup tolong jadi pemandu bawa member yg sakit tu. Nak bagi orang lain bawak, extend belajar 3 tahun pun belum tentu.

Lepas-lepas tu. Kami tak panggil MAT 10 dah.

Kami panggil MATI O!

Sebulan kami semua dok sebut mati o, mati o, dia terus tukar kereta!

10 November 2009

Dah Habis Berdusta

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 dah habis. Rasanya aku tak mungkin mementaskannya sekali lagi dalam masa yang terdekat.

Penat!

Penat dengan latihan dan juga persiapan yang bersakala besar (kalau mengikut tahap aku lah). Jadi lepas-lepas ni dah sampai masanya aku buat sesuatu yang lebih serius. Siri Monodrama Manusia Raja adalah projek percubaan yang aku sifatkan berjaya.

Lepas ini, aku akan fokus pada monodrama. Kurang penat, kurang pening. Dan aku pun boleh menghasilkan karya yang lebih serius. Dah tiba masanya audien yang datang untuk menonton teater arahan dan nukilan aku menerima wadah yang lebih berat.

Mungkin ada sesetengahnya aku akan komedikan, tapi masih dengan isu yang berat.

Tahun depan aku melihat kerja aku makin banyak, tanggung jawab pada keluarga pun perlu ditambahkan, maka inilah kaedah yang akan aku cuba pakai.

Untuk semua, nantikan Manusia Raja 2 pada Januari 2009 ini.

Mime Bibir

Dulu (mungkin juga sekarang), beberapa kumpulan dikritik kerana tidak dapat memberi persembahan secara live, ada yang sekadar miming. Kumpulan-kumpulan ini kebanyakannya terdiri dari kumpulan vokal harmoni atau kumpulan yang berat dengan tarian. Kumpulan pop dan rock yang bergantung kepada vokalis utama, kurang dibebani isu ini.

Yang menarik perhatian aku, bila Britney Spears dikritik oleh pengkritik dan peminatnya sendiri kerana menyanyi secara miming di jelajah konsertnya yang terbaru di Australia. Dan ada seorang menteri mencadangkan, agar ada undang-undang khas yang menetapkan agar kalau konserti itu diisytiharkan sebagai live, maka semua lagu seharusnya dinyanyikan live.

Bayangkan kalian membayar beratus ringgit untuk mendapatkan tiket masuk, tetapi disajikan dengan nyanyian miming. Yang hebat cuma tariannya saja. Apakah ada kes sebegitu di negara kita ini?

09 November 2009

Merenung Dusta

Merenung Dusta

Manusia pasti akan berdusta. Biar mereka tahu hukumnya.
Kerana dusta adalah modal yang paling murah untuk
manusia meraih kepentingan dirinya.
Persoalannya, apakah ukuran dusta?

Bila lima manusia yang asing,
dikurung di sebuah bilik yang asing,
dan diberi pilihan yang sangat asing,
maka terserlahlah kedustaan yang mereka kandungkan.

Demi kehidupan, manusia sanggup berbuat apa saja,
terutamanya berdusta.
Dusta Pada Skala 1 Hingga 10, adalah proposal awal
supaya kita membuka mata dan minda, mencipta
formula untuk mengukur dusta.

Lihatlah dari mata burung, bukan dari dalam tempurung.......

29 October 2009

Suatu Hari Di Kedai Komputer

Hari itu aku ke kedai komputer. Mencari lampu dan kipas USB untuk kegunaan aku di kala memerlukan. Maka datanglah sepasang kekasih (agaknya dari lagaknya), kemungkinan masih belajar ke kedai komputer. Mencari-cari komputer riba.

Lelaki : Ini notebook berapa dia punya speed?

Penjual : Ini pakai Core 2.

Lelaki : Berapa nanosecond dia punya speed?

Penjual : Wah... gua tak tau lo.

Lelaki : Lu jual komputer, takkan dia punya speed lu tak tau. Macam mana lu meniaga?

Penjual : Sori aaa brader. Lu ambik computer sciences ka? Lu patut tau kalau retail mana ada orang kira speed processor pakai itu nanosecond. Kita kira pakai gigahertz.

Dan lelaki itu menarik tangan pasangannya pergi dari situ, sambil aku cuma senyum pada penjual itu yang berjaya mematahkan kebongkakan dan sifat menunjuk-nunjuk lelaki itu.

28 October 2009

Kata Orang Tua

Kalau padi katakanlah padi,
Tidak hamba tertampi-tampi;
Kalau sudi katakanlah sudi,
Tidak kami ternanti-nanti.

Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan di kandung tanah,
Budi yang baik di kenang juga.

20 October 2009

Ilmu Tangan Bisa

Suatu hari, di sebuah kedai kopi.

Aku : Hang silat macam mana la ni?

Bakal Mahaguru Silat : Boleh la sikit-sikit. Aku pun dok tambah ilmu lagi ni.

Aku : Hang ada ilmu tangan bisa?

Bakal Mahaguru Silat : Tangan bisa? Ada jugak aku dengar. Kalau orang ada ilmu tu pegang musuh dia, boleh rebah macam tu saja musuh tu. Bahaya ilmu tu!

Aku : Aku ada member yang ada ilmu tangan bisa.

Bakal Mahaguru Silat : Hang biar betul! Dia perguruan mana? Tahap mana ilmu dia? Macam mana hang tau dia ada ilmu tangan bisa? Dia cerita kat hang?

Aku : Tak, dia tak cerita. Tapi aku tau sendiri.

Bakal Mahaguru Silat : Macam mana hang tau? Dia pernah berdepan dengan lawan dia depan hang?

Aku : Tak. Bila dia pinjam motosikal, motosikal tu terjun longkang. Bila dia pinjam kereta, kereta tu langgar lembu. Bila dia pinjam komputer, komputer tu jahanam.

Bakal Mahaguru Silat : Tu bukan tangan bisa! Tu buta perut!

16 October 2009

Ulasan Yang Terpulas - Lokan Bertepuk

Lokan adalah satu permainan/persembahan tradisi yang berasal dari Kelantan. Sekarang dah pupus pun. Pemain lokan akan diiringi oleh seorang gembala, yang akan mengembala pemain lokan itu. Pemain lokan itu, akan bertukar dan mengikut mimik binatang seperti kambing, harimau, monyet atau anjing setalah menampar-nampar dirinya, mengeluarkan bunyi dari mulutnya (aku tak tahu nak cerita, kalian kena tengok sendiri). Ada elemen trans di dalam permainan ini.

Justeru itu, bila Dewan Budaya USM dengan kerjasama DBP Wilayah Utara mempersembahkan Lokan Bertepuk, memang aku nanti-nantikan. Kerana aku sendiri tidak pernah melihat orang berlokan. Ceritanya tentang anak Pak Nik Lokan, Jusoh yang menentang bapanya berlokan kerana malu diejek orang kampung. Adik-adik Pak Nik yang dibesarkan hasil wang berlokan juga menentang.

Ceritanya mudah, ringkas. Senibayan seolah mengambil balik idea Ayu Si Puteh, tentang titih mak yong yang tidak dapat diwariskan kerana anaknya cacat. Lebih kurang macam filem Wayang Hatta Azad Khanlah. Biasanya karya Senibayan diarahkan oleh Senibayan. Tapi kali ni ia diarahkan oleh Halimi M.N., antara tokoh teater yang disegani.

Halimi menggunakan korus yang mewakili watak haiwan yang dilokankan oleh Pak Nik, sebahagian besarnya untuk menggambarkan sifat dan perasaan hati Pak Nik. Dan mungkin juga untuk mencuri masa memanjangkan tempoh pementasan. Lakonan yang natural, tetapi tidak bersungguh-sungguh. Mungkin dek kekangan masa. Emosi pelakon kurang terpancar. Yang banyak membantu adalah laras bahasa dalam naskhah yang indah. Tetapi tidak cukup tanpa bantuan pelakon.

Walau bagaimanapun, lakonan yang natural telah menyelamatkan persembahan ini kerana dihadiri oleh sebahagian besarnya VIP dan penonton biasa. Jadi tidaklah begitu kritikal.

Latar hias juga mudah. Platform bagi membentuk level, kain-kain putih yang digantung dan disimbah dengan cahaya yang mempunyai signifikannya yang tersendiri. Tatacahaya sangat membantu mood penceritaan. Tatabunyi gesekan rebab juga sangat membangkitkan emosi.

Cuma aku masih tertanya-tanya, kenapa Halimi memilih untuk gelap cerah gelap cerah kan pentas.

14 October 2009

Suluh

Suatu ketika, aku sebagai pengurus pentas, memberikan pesan kepada kru yang baru bertatih.


Aku : Esok datang bawa lampu suluh sendiri. Saya takut tak sempat nak beli lampu suluh kat Maidin. Perlu lampu suluh ni untuk suluhkan jalan untuk pelakon, dan nak baca kiu.

Esoknya.


Aku : Mak ai.... lampu ni untuk suluh musang! Bukan suluh orang atas pentas!






12 October 2009

Pisikot

Dalam sebuah latihan teater.

+ : Watak pisikot hang nak aku stand-in sekali ka.

- : Pisikot? Bila masa ada watak pisikot?

+ : Tu! Orang gila tu.

- : Psikopatlah!

05 October 2009

Bodoh Sombong

Penah jumpa tak orang bodoh sombong?

Yang merasakan dirinya betul, dan menyusahkan orang?

28 September 2009

Entri Berangkai Sempena Raya

Raya baru ni nak buat entri pun tak boleh dek liputan internet tanpa wayar yang mendiskriminasikan kawasan luar bandar. Maka ada beberapa entri berangkai yang aku masih ingat dalam kepala yang mahu aku ceritakan di sini.

Kopi Yang Sedap

Hari tu aku bawa anak saudara aku berjalan-jalan bersama ahli keluarga yang lain beraya. Maka timbullah satu teka-teki yang aku sendiri tak jangka.

+ : Ni ada satu teka-teki. Kopi apa yang sedap?

- : Kopi Jantan!

+ : Itu kopi lelaki.

- : Habis tu?

+ : Kopikirlah sendiri!


Getah Naik Harga

Kalau dulu profesion penoreh getah boleh dikatakan antara profesion kasta rendah mengikut pandangan sesetengah orang. Walaupun kerjanya jauh lebih halal (susahlah nak ada rasuah atau salah guna kuasa bila menoreh getah ni), tapi itulah pandangan masyarakat dulu.

Sekarang, getah dah naik harga. Getah asli kita memang susah nak ditandingi berbanding getah sintetik. Terima kasih kepada industri penerbangan dan industri lain yang membantu getah asli. Maka penoreh getah dan boleh hidup senang sikit. Rumah yang dulunya papan dah boleh naik dinding batu. Tivi yang dulunya cap ayam, kini dapatlah tivi cap Jepun. Siap Astro lagi. Ini yang aku dapati semasa beraya baru-baru ni ke rumah adik beradik yang berkenaan.

Dan bila dengar orang tua-tua bercerita, aku tidak nafikan sukarnya menoreh getah. Bukan setakat menoreh, lepas tu kutip susu, nak buat getah keping lagi. Seingat aku, ada beberapa cara getah ini dijual. Pertama susu getah dijual terus (setelah dimasukkan asid untuk membuatkan ia tahan, kalau tak salah aku). Tetapi cara ini tidak popular kepada pekebun getah kecil kerana murah. Kedua, getah itu dijadikan getah keping. Caranya dengan memasukkan campuran asid, kemudian dibekukan di dalam satu bekas (lebih kurang macam bekas ais ketul), kemudian bila beku dicanai pula seperti roti canai (tidaklah dilambung-lambung macam roti canai), kemudian dimesin (macam mesin tebu), dan dijemur hingga kering. Bila dah kering barulah dijual.

Kerja-kerja ini memang renyah, tetapi getah yang dijual lebih mahal. Kerana getah ini boleh terus dibawa ke kilang atau dieksport dan kemudiannya terus diproses. Dan yang paling mudah dan murah ialah dengan menjual getah sekerap. Lebihan getah yang melekat di pokok dan merata-rata. Aku masih ingat lagi bau getah sekerap yang bercampur dengan bau ikan di kedai runcit kampung aku suatu ketika dulu.

Sekarang semuanya dah berubah.


Evolusi Beraya

Masih ingat lagi macam mana dahulu kita pergi beraya? Aku cuba bangkitkan proses evolusi beraya di tanah air kita ini.

1 - 3 tahun
Biasanya tak ke mana-mana. Mengikut saja ke mana orang tua kita bawa. Dapat duit pun tak ada makna sebab tak tahu kepentingan duit itu.

4 - 6 tahun
Dah mula tahu beraya. Dah mula mengikut kakak, abang atau sepupu-sepapat yang lebih tua untuk beraya di sekitar kampung. Tetapi rumah sasaran terhad kepada rumah-rumah yang pernah dikunjungi sahaja seperti adik beradik, rumah guru mengaji dan sebagainya.

7 - 9 tahun
Dah mula meneroka seluruh kampung. Kali ini rumah yang tak pernah dipijak pun pergi juga. Yang penting rumah tu rumah orang Islam dan mereka turut sambut beraya. Dah tak singgah makan kuih raya dan minum-minum. Bagi salam depan pintu, hulur tangan minta duit raya tanpa rasa bersalah. Kalau dahaga, barulah singgah rumah yang berkenaan. Kalau kena gaya tuan rumah jamu air panas (teh atau kopi), padan muka.

10 - 12 tahun
Modus operandi tidak banyak berubah, tetapi kawasan sasaran lebih luas. Dengan berbasikal, turut melawat kampung-kampung lain. Kalau di kawasan taman perumahan, melawat taman perumahan lain. Biasanya bergerak dalam geng sendiri.

13 - 15 tahun
Dah tak berapa terasa nak beraya merata-rata. Rasa macam diri dah dewasa sangat. Malu kalau pergi beraya ke rumah orang. Tapi kalau ada orang bagi duit raya, cekau juga. Kalau beraya pun ke rumah adik beradik dan mungkin rumah bakal marka (awek atau boipren la tu!). Itu pun kalau ada calon.

16 - 18 tahun
Raya spesifik ke rumah kawan-kawan dan adik beradik saja. Rumah adik beradik pun belum tentu nak pergi. Yang penting rumah kawan-kawan. Kalau dah dapat lesen motosikal tu, langkah lebih panjanglah. Silap gaya raya di kompleks membeli-belah atau bandar terdekat (tak kiralah bandar kecil atau besar). Duit raya masih dapat lagi, terutama kalau berkunjung ke rumah saudara-mara.

19 - 21 tahun
Beraya juga, tapi kerumah kawan-kawan yang lebih jauh. Waktu ini mungkin dah kenal rakan-rakan merentas sempadan negeri. Rumah saudara-mara kalau pergi pun sebab kena paksa.

22 - 24 tahun
Beraya ke rumah marka atau tunang (kalau dah bermarka atau bertunang). Kalau tak, beraya rumah kawan-kawan juga atau kawan-kawan yang datang ke rumah. Kalau cuma ada kawan-kawan dari jauh, dok termenunglah jawabnya.

25 - 27 tahun
Beraya ke rumah bakal mentua atau mentua (kalau yang dah kawin pada peringkat umur ni). Waktu ini rumah kawan-kawan dah jatuh acara sunat. Kalau pergi pun rumah kawan-kawan terbaik sahaja. Dah mula melawat rumah saudara-mara balik. Maklumlah dah berumah tangga.

28 - 30 tahun
Beraya ke rumah mentua, serta rumah saudara-mara mentua di samping saudara-mara sendiri. Kalau kena saudara-mara tu ramai, 3 hari 3 malam beraya pun tak habis. Perut penuh dengan ketupat, lemang, rendang dan kuih samprit (kuih wajib raya). Nak beraya rumah kawan-kawan pun dah tak sempat.

30 - .... tahun
Rutin yang sama. Tapi anak-anak kita belum tentu ada rutin yang sama dengan kita. Rutin ini berulang selagi terlarat, selagi panjang umur kita dan saudara-mara yang ada.

Cuma harapnya, bila dah makin tua dan dah tak bermaya. Janganlah pula kita beraya di rumah orang tua-tua, atau lebih menyedihkan beraya di hospital.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zakir & Batin.

16 September 2009

Pasukan Formula One 1Malaysia

Bila Malaysia membina litar F1 Sepang, di tempat jin bertendang yang panas terik, aku sokong. Kerana aku melihat melalui duit rakyat inilah (sebahagian besar duit Petronas kot? Entah...) kita dapat memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Di dalam dunia yang serba digital ini, penjenamaan adalah satu perkara yang penting dalam menghadapi saingan global. Kalau tidak diusahkan bersungguh-sungguh, kita mungkin merangkak macam Timor-Leste (sekadar memberi contoh). Litar di Sepang juga dikatakan digemari oleh ramai pelumba dan paling 'teknikal' kerana ada ruang untuk memecut dan membelok.

Tapi bila Singapura pun buat litar F1 juga, aku kembali terfikir, kenapalah kita tidak kreatif seperti mereka. Singapura yang terhad tanahnya memilih litar jalan raya seperti Monaco dan Valencia serta laluan perlumbaan yang melawan arah jam, seperti di Turki dan Brazil. Tidak cukup dengan kedua kombinasi unik ini, Singapura memilih untuk mengadakan perlumbaan pada waktu malam! Maka aku ternganga. Kenapa kita tidak boleh berfikir di luar kotak seperti itu?

Dan kini berita terbaru, melalui Lotus, kerajaan Malaysia akan ada pasukan F1nya sendiri. Mungkin kerana perkataaan 1 pada F1 kot yang buat kita berminat untuk mempunyai pasukan sendiri. Perkara ini pula hadir pada ketika BMW-Sauber (yang turut ditaja oleh Petronas) dan Honda menarik diri dari F1.

Melihat dari sudut positif, kita dapat rasakan penyertaan ini akan mempercepatkan kemajuan di dalam bidang permotoran. Maklumlah, sejak Proton memiliki Lotus, lihat sajalah berapa banyak kereta Proton yang dah ada teknologi Lotus kan? Jadi mungkin tidak lama lagi kita akan dapat memasuki pasaran kereta mewah dan kereta sport setanding dengan BMW, Mercedes, Lexus, Ferrari dan McLaren.

Mungkin juga kita akan ada pelumba bertaraf dunia seperti Schumacher atau Senna. Maklumlah pelumba kereta dijalanraya kita apa kurangnya. Setakat drift atau drag tak ada masalah.

Negatifnya? Kalian bolehlah fikirkan sendiri. Benda tak elok ni mudah saja orang nak cari, tambahan kalau manusia itu tidak suka pada seseorang atau sesuatu.

Cuma mengikut prinsip ekonomi, setiap pelaburan perlu ada pulangan. Tidak kira sama ada pulangan yang menguntungkan atau sebaliknya. Harapnya bukan yang sebaliknya. Usaha itu ada, cuma harapnya berbaloi.

14 September 2009

Kembang Semangkuk, Getah Anggur, Halua Maskat

Ketiga-tiga item ini aku masukkan ke dalam item hampir pupus di bulan Ramadan dan Syawal tahun ini. Mungkin ada di sesetengah tempat, tapi di tempat yang kerap aku lewati, memang tak pernah jumpa. Tapi aku ada pula jumpa kuih badak berendan, puteri mandi dan biji nangka.

Kembang semangkuk bagi yang tak pernah dengar, biasanya diletakkan di dalam laici kang. Biji kembang semangkuk direndam di dalam air suam untuk beberapa ketika dan kembanglah isinya. Kalau diletak ke dalam mangkuk, maka kembanglah semangkuk. Mungkin dari situ ia mendapat nama.

Getah anggur juga banyak digunakan pada minuman sejuk terutamanya laicikang. Aku tak tahu apakah getah anggur itu memang berasal dari getah anggur. Tetapi dikatakan getah anggur bole menyejukkan badan. Getah anggur cerah warnanya seperti buah nau atau buah kabung yang hancur.

Halua maskat pula manis seperti dodol. Bukan resepi berbuka puasa, tetapi biasanya disajikan waktu raya. Rupanya ada lebih kurang macam kuih bakul yang keras dan ia tidak lembik macam dodol. Warna rasmi halua maskat biasanya berwarna kuning.

Harap-harap aku masih boleh ketemu ketiga makanan ini.

09 September 2009

Dua Dunia Anak-anak Kita

Ketika tingkatan satu, aku ditempatkan di sekolah asrama tidak penuh. Aku ni bukanlah jenis peramah sangat. Sampai sekarang pun aku tidak pandai bergaul dengan orang. Jadi pada waktu itu, aku cubalah merapati beberapa budak-budak lain yang sedang bersembang. Bukan buat apa pun, sekadar mendengar.

Dan mereka bercakap tentang Tutankhamun.

"Tutankhamun? Menatang apa tu?"

"Tutankhamun tu Firaun la"

Baru aku tahu. Sembang lagi.

"Ramses kedua?"

"Firaun jugak."

"Habis Tutankhamun tu?"

"Firaun jugak."

Bila difikirkan kembali, betapa jumudnya aku pada ketika itu. Apakah mungkin kerana aku datang dari kampung dan latar belakang keluarga yang biasa. Dunia aku ialah terjun sungai, main bola, kayuh basikal ke pekan main console game, bepersatuan dan pengakap. Itu saja. Jadi hal-hal pengetahuan am ni, tak pernah terbit dalam pemikiran aku.

Jadi mungkin anak-anak sekarang lebih beruntung. Ada Astro Learning Channel, ada internet. Yang ruginya mereka dah tak ramai yang boleh terjun sungai sekarang ni. Dua dunia ini nampak berbeza sangat. Kalau berada dalam satu dunia, satu dunia lain mungkin tidak lagi diceburi mereka.

08 September 2009

Nasi Ulam

Kesempatan pulang ke kampung minggu lepas, mak buatkan aku nasi ulam. Sememangnya nasi ulam telah menjadi kegemaran aku tiap kali bulan puasa. Kata orang, bulan puasa ni kebanyakan ulam-ulaman akan menjadi penawar yang mujuarab. Yang pahit pun jadi kurang pahit.

Bukan tidak ada nasi ulam dijual di bazar Ramadan. Tapi kebanyakan yang aku beli, tidak ada rasa. Yang melekat dalam mulut cuma ulam-ulaman yang adakalanya dihiris tebal-tebal. Tiada rasa ikan masin, tiada rasa cabai, lengkuas, halia yang digiling yang aku rasa semuanya di 'blender'. Pendek kata 'tasteless'.

Jadi sesekali dapat nasi ulam yang enak, memang membuka selera. Nasi ulam di sesetengah tempat juga dikenali dengan nama nasi kerabu. Tetapi nasi kerabu ini tidak sama dengan nasi kerabu Pantai Timur. Dan adakalanya nasi ulam ini di makan dengan sayur keladi. Alah... macam asam pedas keladi tu.

Kalau dulu-dulu, arwah nenek aku pernah menceritakan, nasi ulam ini dibuat dengan 99 jenis daun. Daun sekentut, daun kaduk, daun limau, dan segala macam daun lagi yang memang aku tak kenal namanya. Sesetengah daun ini, memang tidak dijadikan ulaman seperti ulam raja, ulam pegaga dan sebagainya. Ia cuma digunakan eksklusif untuk nasi ulam ini di bulan puasa.

Rempahnya pula seeloknya digiling bagi mengekalkan tekstur dan rasa. Kalau dimesin, akan terlalu hancur, dan hilanglah tekstur itu. Ikan kering yang digunakan, kebiasaannya ikan kembung (sini panggil ikan termenung) atau ikan talang. Ini kerana isinya yang mudah hancur dan sebati dengan nasi yang akan digaul. Kalau ikan gelama, rasanya mungkin lain sedikit. Dan ikan kering ini lebih enak kalau dibakar berbanding digoreng, sebelum dihancurkan dan digaulkan bersama perencah yang lain.

10 tahun lagi, aku dah tak pasti mana nak dapatkan nasi ulam yang berbaloi di makan.

01 September 2009

Rebiu Filem 'Dus Kayanaan'

Semalam secara tak sengaja aku menonton filem Dus Kayanaan. Pada ketika aku menontonnya, dah dekat nak habis pun. Mengikut sinopsis cerita, ada 10 cerita yang dihasilkan oleh 5 penerbit dalam sebuah filem.

Filem ini lebih kurang macam Babel atau mungkin Gangster, tapi memandangkan aku menonton filem ni pun dah di penghujungnya, aku pun tak tahu macam mana bentuk filem ini. Cuma yang aku pasti, ada cerita berbeza oleh penerbit dan pengarah yang berbeza lebih kurang 15 minit satu cerita.

Apa yang membuatkan aku tertengok hingga habis, ialah satu cerita di mana seorang wanita India berkemungkinan besar beragama Hindu yang prejudis terhadap seorang lelaki Muslim. Wanita ini pergi mencuci sudunya, tapi bila kembali ke meja makan, dilihatnya seorang lelaki Muslim separuh abad sedang memakan makanannya. Wanita itu jadi marah dan meninggikan suara pada lelaki berkenaan. Lelaki berkenaan buat tak tahu saja. Hinggalah berlaku perebutan pinggan (pinggan yang sama yang digunakan oleh kedai mamak bila kita memesan tosei atau roti nan, siapa yang tak dapat gambaran, sila ke kedai mamak), dan wanita itu berjaya merebut makanan itu, lalu menjamahnya dengan lahap.

Lelaki itu cuma terdiam. Kemudian lelaki itu bangun membeli kopi tanpa gula, dan mempelawa minuman itu kepada wanita berkenaan. Wanita itu menolak dengan kasar kerana tidak mahu berkongsi makanan dengan lelaki berlainan agama itu. Tapi tiba-tiba dia tersedar, yang dia telah berkongsi makanan dengan lelaki itu. Lalu dengan rasa mahu termuntah, wanita itu lari keluar dari kedai berkenaan.

Setelah agak jauh, barulah wanita itu perasan bahawa beg beliau terlah tertinggal. Wanita itu segera berpatah balik ke kedai makan berkenaan dan mencari beg beliau. Tidak ketemui. Beliau menuduh pasti lelaki berkenaan punya angkara. Wanita berkenaan mencari lagi di bawah meja, dan bertemulah dengan beg beliau. Bila beliau bangun, barulah beliau perasan bahawa makanan yang beliau beli tidak disentuh langsung.

Rupanya, sifat prejudis beliau telah menyebabkan beliau berasa lelaki itu mencuri makanan beliau, sedangkan beliau kembali setelah mencuci sudu ke meja yang salah. Dan lelaki berkenaan sedikit pun tidak marah, malahan mempelawa berkongsi air kopi.

Nah, inilah yang membuatkan aku tertunggu hingga habis dan sempat menonton baki dua cerita lagi. Kerana inilah cerita hindi yang tidak stereotaip bagi aku. Aku harapkan aku dapat menonton kembali filem berkenaan dari awal.

28 August 2009

Nira Nipah Asli

Siapa yang tak pernah minum nira nipah? Airnya manis berkali-kali (bukan manis sekali). Mudah ditemui di Kedah dan Perlis. Sepanjang lebuhraya persekutuan ataupun jalan lama ke Kedah dan Perlis boleh jumpa air nira nipah. Kalau di Kelantan dipanggil air tuak. Tapi di sebelah sana biasanya air tuak kelapa.

Biasanya nira nipah ni dibekukan oleh penjual. Mungkin untuk membuat ia tahan lama. Rasanya masam manis khayal. Bagus untuk menyejukkan badan. Aku paling suka kalau dapat nira nipah yang belum dibekukan, maksudnya masih dalam bentuk cecair.

Seperti yang aku katakan, sepanjang jalan ke Kedah dan Perlis, kalian boleh menemui orang menjual nira nipah ni. Dan rata-rata meletakkan papan tanda 'Nira Nipah Asli'. Sampai sekarang aku tak pasti apakah ada nira nipah tidak asli?

24 August 2009

Puasa Waktu Kecil

Bila dah tua-tua ni, teringatlah waktu berbuka puasa waktu kecik-kecik dulu.

Waktu yang paling kritikal bila dah lagi sejam nak masuk waktu berbuka. Waktu itulah macam-macam bau menusuk ke rongga hidung. Bau ikan bakar, bau kuah laksa, bau mee kari, bau nasi ulam, dan segala macam bau. Tergugat iman budak-budak aku sekejap waktu tu.

Sekarang ni, bila petang dah tak ada semua tu. Masing-masing sibuk, jadi lauknya hasil pasar Ramadhan lah. Jadi bila terbau ikan bakar, nasi ulam, maka segeralah aku teringatkan zaman kecik-kecik dulu.

18 August 2009

Ulasan Yang Terpulas - Projek KoKen Vol. 2

Pementasannya 11-16 Ogos 2009. Pementasan matinee cuma ada pada 15 & 16 Ogos 2009. Itu saja ruang yang dapat aku booking bersesuaian dengan kelapangan aku. Kerana kata Faisal Mustaffa masa lain dah habis ditempah. Lepas tengok show, Namron meluahkan perasaan kesalnya pada orang yang booking tapi batal minit terakhir. Booking dengan air liur, itulah masalahnya.

Rebiu aku, dua buah cerita yang menjentik semangat perjuangan dalam diri aku. Tak kiralah perjuangan itu kiri atau kanan. Legasi sebuah cerita yang menarik. Tapi bergerak agak perlahan. Macam air sungai mengalir lesu. Sebelum tiba-tiba mengalir deras di jeram. Lakonan watak-watak utama itu baik, tapi bagi tahap KoKen, aku meletakkan lakonan mereka di bawah par. Namun tetapi lebih baik bagi kebanyakan teater lain yang aku pernah tonton. Bukan apa. KoKen Vol. 1 telah meletakkan satu kayu ukur yang cukup tinggi bagi sebuah lakonan dan juga isi pementasan, maka aku hadir ke KoKen Vol 2 dengan harapan yang sama.

Chong (nama dia susah nak sebut walau katanya dia budak Gelugor), memilih mengangkat isu perjuangan (sekadar aku yang naif dan daif seni ni nampak). Perjuangan demi kebenaran, atau perjuangan yang diiktiraf. Serta orang muda yang buta perjuangan. Ya. Orang muda terutama yang berpendidikan tinggi, cuma melihat perjuangan sebagai sebuah kajian, dan selepas itu diangkat sebagai bijak pandai negara. Itulah yang aku nampak. Subteksnya, nanti aku fikirkan. Kalau ada.

Tapi bagusnya, kerana periodnya itu terasa. Terasa benar seolah aku berada di era UPSI masih SITC. Penataan cahaya membangkitkan mood serta penataan busana dan rias turut membantu dengan baik. Menarik.

Naturalisasi pula karya Namron, arahan Fared Ayam (ya, jejaka yang suka buka baju), seperti biasa membawa trade mark Namron; gelap, darah, seks. Cuma kali ini tiada darah, cuma gelap dan seks. Aku lebih suka yang ini, bukan kerana elemen seks, tetapi kerana lakonan yang lebih meyakinkan. Rasa pada lakonan itu ada. Mungkin juga watak mereka lebih mudah kerana berlatarbelakangkan zaman sekarang berbanding Legasi. Tapi pokok pangkalnya, rasa itu ada.

Apa-apa pun, berbaloi menonton KoKen Vol 2. Cuma seperti biasa RAT kedekut nak fotostat brosur untuk audiennya. Tiket pun main cop kat tangan saja, macam nak clubbing pulak. Semua benda yang ada di atas meja di depan pintu masuk, semuanya untuk dijual. Betul-betul korporatlah kau orang semua ni. Tapi tak apa, buat lagi, aku tetap akan datang lagi. Aku bukan jenis booking tapi tak datang. Dan lain kali iklankanlah awal-awal apa yg dijual, baru aku bawak duit banyak sikit.

11 August 2009

Telur Ikan Tembakul

Betulkan kalau aku salah.

Mengikut legenda Batu Belah Batu Bertangkup, Mak Tanjung merajuk kepada anaknya Melor dan Pekan, kerana Pekan dengan suka-suka hatinya memakan panggu telur ikan tembakul yang sepatutnya di simpan kepadanya. Lalu Mak Tanjung merelakan dirinya ditelan batu belah batu bertangkup.

Ini bukan isu batu belah batu bertangkup.

Siapa di sini yang tahu apa itu ikan tembakul? Kalau mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ikan tembakul merupakan ikan belacak.

Persoalannya, bagaimanakah rupa fizikal telur ikan belacak.

Dan persoalan kedua, bukankah di dalam legenda ini, ikan tembakul merupakan ikan darat atau ikan sungai?

Musykil.

Persoalan ini timbul bila aku bersembang dengan Prof. Madya Dr. Samat Salleh.

07 August 2009

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 - Cerita 4 Peringkat

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 yang dipentaskan pada festival tempoh hari, dilihat dari kaca mata yang berbeza, oleh penonton pelbagai peringkat usia, ilmu dan mentaliti. Itu pun tidak ramai yang menonton dek air bah yang melanda. Banjir naik sejurus sebelum cerita bermula dan tamat beberapa ketika selepas cerita berakhir.

Aku meletakkan cerita ini pada empat peringkat.

Peringkat pertama, yang ditonton dan dibaca pada lapisan luar oleh sesetengah audien. Aku biarkan audien membaca paparan cerita ini sebagai sebuah cerita yang memaparkan sifat manusia yang mementingkan diri sendiri, terutama pada waktu yang teramat mendesak. Pada ketika ini, apa saja boleh terjadi. Maka yang mereka lihat adalah watak dan perwatakan, serta kaitan antara watak itu dengan diri mereka. Sangat penting bagi aku menerbitkan rasa ini, agar mereka akan terfikir, adakah aku manusia seperti itu. Dan lebih baik jika sampai ke tahap mereka meletakkan diri mereka dalam situasi itu, dan berfikir apa yang akan mereka lakukan.

Peringkat kedua, bila lapisannya dikupas oleh sesetengah audien lain dan melihat kepada metafora yang dilampiaskan di dalam cerita ini. Metafora ini tidak semestinya terhad kepada keadaan semasa sahaja, kerana sebenarnya ia relevan dalam dunia kita yang kucar-kacir ini. Dalam kes cerita ini, sememangnya aku mengaitkan situasi sosial dan politik semasa ke dalam cerita ini. Ini adalah lumrah dalam mana-mana penulisan, tidak kira ianya skrip teater, novel, puisi atau sebagainya. Cuma mungkin dalam teater, ada sesetengah penulis melindungkannya dengan pelbagai perlambangan. Tidak terkecuali aku dan hampir kesemua naskhah teater yang aku tulis. Jadi dalam cerita ini, aku meletakkan pelbagai lapisan masyarakat, daripada pemerintah, borjuis, marhaen, artisan, artistokrat, kepada ekstremis. Di dalam sebuah strata sosio-politik yang pelbagai ini, apa saja sanggup dilakukan demi mencapai sesuatu, terutama dalam keadaan yang mendesak.

Peringkat ketiga, ialah intipati penulisan ini. Ada sesetengah audien, yang pada pendapat aku tidak ramai, yang melihat sedalam-dalamnya intipati penulisan cerita ini dan pementasannya di atas pentas. Sebenarnya, intipati ini terletak pada mata pandang audien itu, bukannya pada penulis atau pengarah teater. Tetapi pastinya kerja pengarah adalah untuk menjelaskan seboleh-bolehnya intipati cerita itu biarpun secara terlindung. Dalam cerita ini, intipati sebenarnya adalah kisah pengorbanan. Berkorban atau mengorbankan. Dan intipati itu aku bawa ke dalam kehidupan, sama ada dalam produksi ini mahupun ke dalam kehidupan audien yang menonton dan menilai. Sejauh mana pengorbanan yang kita sanggup lakukan untuk mencapai sesuatu, dan sejauh mana kita sanggup mengorbankan orang atau sesuatu untuk mencapai sesuatu.

Dan peringkat yang keempat, adalah nawaitu tunggal aku membikin semua skrip teater dan juga mementaskannnya. Iaitu berfikir. Aku suka kalau kita jadi masyarakat yang berfikir. Aku mahu jadi sebahagian daripada usaha untuk melahirkan masyarakat pemikir. Pemikir dalam erti kata masyarakat yang mampu membuat penilaian yang kritikal terhadap sekecil-kecil perkara, sehingga ke sebesar-besar isu. Bukannya sekadar telus menelan dan menghadam apa yang dilonggokkan depan mata. Masyarakat kita akan menjadi lesu dan tepu jika malas berfikir.

Nah, inilah dia yang aku palitkan di pentas sebagai penulis dan pengarah. Sekarang terpulang kepada audiennya. Sebab itu aku selalu berpesan, lihatlah dari mata burung, bukan dari dalam tempurung.

29 July 2009

Festival Teater Pulau Pinang 2009 - Setelah Panel Penilai Bersuara

Semalam, selesailah sudah Malam Anugerah Festival Teater Malaysia 2009 Peringkat Negeri Pulau Pinang. Berbeza dengan kebanyakan negeri, malam anugerah di sini diadakan pada hari yang berasingan bagi memberi peluang kepada para aktivis yang bertanding untuk bersantai.

Kumpulan yang bertanding adalah seperti berikut:

Kategori Teater Kanak-kanak
Warisan Jemari - Kisah Si Semut

Kategori Monolog
GDW Kg. Contoh - Halusinasi Sang Algojo
Anak Harapan Free School - Eksperimen Pembunuhan Raja Lekuk
Te.Ta.Mu - Jebat : Rahsia Kesumat
Indah Kembara USM - 2 Tingkat

Kategori NGO-IPT
Suara ACMS - Mencari Juita
LEQIU PFS - Bicara
Bakawalee Penang - Dusta Pada Skala 1 Hingga 10
SICK - Serakah
Epilog Kembara - Nasib
NVR Corp - Hanya Lala
Resdong's - Neraka Petualang
H.O.T.S. - Legacy

Kumpulan Yang Menarik Diri
Kersani - Mustika
Dewan Budaya USM - Lokan Bertepuk


Dan inilah keputusan setelah diperhalusi oleh panel Penilai.

Kategori Teater Kanak-kanak
Warisan Jemari - Kisah Si Semut (Satu kumpulan saja bertanding)

Kategori Monolog
Rekabentuk Produksi Terbaik - GDW Kg. Contoh, Halusinasi Sang Algojo
Pengarah Terbaik - Wan Azrul Azizan, Te.Ta.Mu., Jebat : Rahsia Kesumat

Ketiga - GDW Kg. Contoh, Halusinasi Sang Algojo
Naib Johan - Indah Kembara USM, 2 Tingkat
Johan - Te.Ta.Mu., Jebat : Rahsia Kesumat


Kategori NGO-IPT
Rekabentuk Produksi Terbaik - Bakawalee Penang, Dusta Pada Skala 1 Hingga 10
Pelakon Wanita Harapan - Watak Salamah, SICK, Serakah
(Tak ingat nama dia)
Pelakon Lelaki Harapan - Aizal (Watak AJ), H.O.T.S., Legacy


Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Yuslina Yusof (Watak Wanita 1), Bakawalee Penang, Dusta Pada Skala 1 Hingga 10
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Ashraff Kassim (Wak - Watak Gadek), Resdong's, Neraka Petualang
Pelakon Wanita Terbaik - Elvira (Watak Juita), Suara ACMS, Mencari Juita
Pelakon Lelaki Terbaik - Azhar (Watak Nana), NVR Corp, Hanya Lala


Pengarah Terbaik - Azrul Azizi, NVR Corp, Hanya Lala (dah menang dua kali berturut-turut)

Ketiga - Resdong's, Neraka Petualang
Naib Johan - NVR Corp, Hanya Lala
Johan - Bakawalee Penang, Dusta Pada Skala 1 Hingga 10


Tahniah kepada yang berjaya. Perjuangan kita baru akan bermula.

Hmmmm..... aku dah mula pening kepala!

27 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Legacy

Legacy oleh House Of Theatre Society (H.O.T.S.) adalah satu-satunya teater berbahasa Inggeris yang menyertai Festival Teater Penang pada tahun ini. Justeru itu aku ucapkan tahniah pada mereka, terutama pada sifu mereka Zul dan Elina yang tak jemu-jemu memberi semangat dan peluang kepada anak-anak muda.

Legacy menceritakan tentang AJ yang sudah hanyut dengan pengaruh Barat dan melupakan asal-usul beliau sebagai orang Timur. Kegemparan yang paling menyegarkan bila melihat anak-anak muda ini menarikan tarian moden dengan penuh bertenaga. Laksana menonton mini Step Up atau You Got Served atau Stomp The Yard.

Tetapi perjalanan sebenar cerita ini terletak pada AJ yang memonopoli sebahagian besar cerita. Sambil dibantu oleh ibu, pak long, tuan syeikh serta rakan-rakan AJ yang lain. Pastinya kekurangan utama Legacy terletak pada lakonan. Tidak aku mengatakan lakonan mereka salah, tetapi setidaknya harus meyakinkan dan memberi kesan. Serta mungkin juga kealpaan kepada level asimetri dan simeteri para pelakon yang banyak ketika seperti sebuah kumpulan nasyid yang sedang beratur untuk membuat persembahan.

Para pelakon kemungkinan kurang pengalaman hingga terbabas keluar dari ruang pencahayaan. Namun begitu, bercakap tentang pencahayaan, aku memuji penataan cahaya oleh kumpulan ini yang aku rasakan menarik. Menarik dalam erti kata bagi sebuah kumpulan yang amat jarang berpeluang bermain dengan lampu-lampu pentas, namun penataan itu memang cukup meyakinkan.

Serta tahniah juga kerana inilah satu-satunya kumpulan yang menggabungkan pelakon pelbagai bangsa di dalam festival kali ini.

Tukaran terakhir - Malam Anugerah, 28 Julai 2009, 8.30 malam

24 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Neraka Petualang

Kumpulan teater Resdong's ada satu signature 'kami tidak akan mengecewakan audien'. Dan setiap kali mereka membuat pementasan, mereka pasti tidak akan mengecewakan audien. Audien akan pulang dengan rasa terhibur dan sanggup untuk datang berkali-kali untuk menyaksikan lakonan mereka.

Tetapi sebagai penggiat teater, pastinya aku merasakan masih ada beberapa kekurangan pada pementasan Neraka Petualang. Mana ada benda yang sempurna di dunia ni ye tak? Ini dari pandangan aku yang naif dan daid seni ini. Takut juga nak komen kumpulan yang pernah mendapat tempat kedua Festival Teater Kebangsaan walau tanpa sebarang anugerah individu.

Salah satu kelemahan yang ketara pada Resdong's ialah mereka suka main banyak. Terutama bermain dengan audien. Pada aku tidak salah, kiranya mereka mengambil pendekatan comedic release. Tapi bila permainan itu menenggelamkan isi dialog dan cerita, maka kelemahan itu menjadi terlalu ketara. Audien ketawa, tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka ketawakan.


Dan aku tahu mereka juga mengambil risiko yang cukup besar bila mengambil anak-anak muda yang baru pertama kali berlakon untuk membantu watak-watak utama di salam sebuah pertandingan. Silap langkah, mereka akan melemaskan watak-watak utama. Itu tidak termasuk lagi watak-watak pembantu yang seperti menarik watak utama ke dalam pasir sedut.

Tetapi pastinya aku sanjung beberapa watak utama yang membantu menggerakkan cerita. Lupakan dahulu perihal intipati cerita ini. Lupakan dahulu perihal maksud tersirat yang terkandung di dalam cerita ini. Tanpa beberapa pelakon yang mantan dan hebat-hebat-hebat belaka, keseluruhan pementasan ini tidak sampai ke mana.

Tahniah pada Resdong's. Merapu mereka mengena hati audien.

Tukaran akan datang - Legacy H.O.T.S. , 25 Julai 2009, 8.30 malam.

22 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Hanya Lala

Salah satu keuntungan bila menghasilkan cerita yang bukan berbentuk realisme, ialah orang tidak boleh mempertikaikan logik cerita berkenaan. Kenapa tidak begini, kenapa tidak begitu yang biasa disebut-sebut dalam latar realisme, cuma menjadi perlambangan sahaja.

Oleh itu bila Hanya Lala mengambil latar laluan di antara syurga dan neraka, (dalam persepsi teater, bukan persepsi mana-mana agama), maka yang menjadi pilihan hanyalah metafora yang dipaparkan. Setiap satu watak mewakili bangsa masing-masing. Ada bangsa Melayu, Indonesia (Melayu juga kan?), Amerika (tidak pasti Yahudi atau Nasrani) dan Arab.

Naskhah Hanya Lala adalah sebuah kritikan keras penulisnya terhadap rencam dunia yang dikuasai oleh manusia kaya yang gila kuasa. Dan ada beberapa sub-plot yang mengkritik penggunaan bahasa yang tidak betul, jihad yang tidak kena tempat, dan sebagainya. Pokok pangkalnya, ia adalah cerita tentang kuasa yang tidak habis-habis dituntut biarpun sampai mati. Cara untuk meneruskan perjalanan ini ialah dengan membebaskan diri dari kuasa (cara yang dilihat oleh penulis).

Hanya Lala adalah sebuah skrip yang berjela-jela, penuh dengan isi dan falsafah. Jika tidak digarap dengan betul, samalah seperti mendengar ceramah politik parti bebas. Isinya memang baik dan kritikannya memang tepat dan berinformasi. Tetapi bagi sesetengah orang, boleh mendatangkan kebosanan. Mujurlah juga pengarah bijak mengatur masuk korus untuk menghilangkan kebosanan yang mungkin terjadi dek fakta dan terjahan yang dilontarkan oleh pelakon.

Cuma sayangnya, aku merasakan kerap kali korus ini terlebih mencuri tumpuan hingga apa yang ingin disampaikan itu tipis dek keseronokan menonton korus itu. Dan aku juga berasa lakonan empat pelakon utama itu baik, cuma tidak cukup mantap. Ada yang kurang menjiwai watak, ada yang terikut-ikut telor Arab P.Ramlee (kalau boleh dikaji cara Arab sebenar bercakap pasti lebih berkesan), dan ada yang ter'overshadow' rakan lakon yang lain. Kekurangan ini menyebabkan lakonan mereka menjadi sedikit cacat. Aku berkata begini kerana latar belakang pelakon yang banyak pengalaman dan penuh ilmu di dada. Bukannya budak baru belajar.

Dan sedikit sayang lagi bila pengarah tidak cuba mencari pendekatan lain selain daripada bukatup lampu. Menggelapkan pentas biarpun 2 saat adalah terlalu 80an dan menganggu mood audien, kecualilah ia memang disengajakan sebagai salah satu bentuk cerita. Pendapat peribadi aku, korus yang ramai dan seksi itu boleh dimanfaatkan sewaktu perubahan babak.

Tetapi pada pandangan keseluruhan, aku berbangga kerana sudah ada orang yang mampu menghasilkan skrip yang sebegini baik, pengarah yang baik dan pementasan yang baik. Sekurangnya aku boleh menarik nafas lega bila sudah ada pelapis seperti mereka ini. Tahniah!

Tukaran akan datang - Neraka Petualang oleh Resdong, 23 Julai 2009, 8.30 malam

20 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Nasib

Nasib ni cerita lama. Karya Hatta Azad Khan. Kisah masyarakat yang pada waktu itu dikejutkan dengan penemuan telaga minyak dan juga kepincangan sosial yang tidak begitu terpapar secara terbuka kalau dibandingkan dengan masa kini.

Bagi sebuah kumpulan yang baru pertama kali mementaskan teater, aku bangga kerana bakat-bakat yang dipaparkan oleh para pelakon yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, memang amat membanggakan. Tapi pastinya teater itu tidak sempurna. Kekurangan ilmu dan pengalaman turut menyumbang kepada ketidak sempurnaan ini. Tidak apa, itu boleh diterima.

Antara perkara yang paling ketara di dalam pementasan teater Nasib ini ialah kekurangan pengalaman berlakon pentas. Dengan bakat yang mereka miliki, para pelakon ini terlalu banyak 'bermain', terutamanya bermain dengan audien. Banyak ketika mereka cuba memancing ketawa audien hingga mengakibatkan isi-isi penting naskhah itu tidak diangkat dengan sewajarnya. Dan banyak ketika juga, pelakon ini tidak sedar watak dan perwatakan yang harus mereka bawakan, sehingga menyangkakan rakan lakon yang sebenarnya watak berbeza usia diperlakukan seperti kawan-kawan waktu luar dunia lakon. Semua ini perlukan pengalaman. Tapi perlu juga aku ucapkan tahniah pada mereka kerana sudah tahu ad-lib dan improvisasi pada ketika perlu terutamanya bila rakan lakon lupa dialog. Ini adalah satu bakat yang terkesan.

Pastinya, bila terlalu banyak sangat bermain, maka tempo dan pacing tidak terkawal, ada kalanya meleret-leret. Serta banyak kala juga aku bingung dengan suggestion yang cuba dilakukan oleh pengarah. Aku menerima seadanya set suggestion dengan lima tingkat yang berbeza. Ruang kedai, ruang rumah, ruang tepi pantai, ruang jeti; kalau nak dibangunkan secara realisme biarpun cuma sebahagian, memerlukan kerja tangan yang mahir serta kos yang tinggi. Jadi set sebegitu banyak membantu, asalkan audien faham lokasinya.

Tetapi apabila props seperti ikan kering, pekasam, udang kering dan sebagainya cuma dilabelkan di depan kotak kerana ingin memberi tahu audien, dalam kotak itu ada pekasam, udang kering dan sebagainya, maka ia menyebabkan sedikit kekeliruan dari segi gaya dan genre lakonan. Cadangan aku, setidaknya, carilah kotak yang lebih meyakinkan untuk menyimpan udang kering, dengan watak berkenaan memeriksa udang berkenaan agar audien tahu ada udang di dalam kotak itu.

Satu perkara yang perlu dititik beratkan lagi ialah kontinuiti serta kebolehan improvisasi pelakon. Bila mana pelakon memesan kopi o tetapi yang sampainya teh, maka persoalan akan timbul. Tambahan lagi bila pelakon itu mengiakan saja teh yang dihantar. Sepatutnya pelakon berkenaan mempersoalkan bukan teh yang dipesan tapi kopi o, dan watak tuan kedai boleh saja menjawab kopi dah habis.

Itulah antara komen aku yang aku kira paling major. Secara keseluruhan, aku harap kumpulan ini akan terus berteater. Kalau pun para pelajar ini telah tamat sekolah, sambungkan bakat itu di tempat lain, sama ada universiti, atau badan bukan kerajaan kebudayaan lain yang wujud di sekitar mereka.

Tukaran akan datang - Hanya Lala oleh NVR Corp, 21 Julai 2009, 8.30 malam.

18 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Serakah

Untungnya Serakah ini kerana punya pelakon yang dapat buat lakonan yang bersahaja. Bersahaja dalam erti kata menjadi diri sendiri dengan sedikit exagerate. Tahun ini SICK tampil dengan kerja-kerja teknikal yang lebih kemas berbanding dua tahun lepas, di mana tragedi terjatuh kerana terpijak roti canai ketika gelap perubahan babak memberi kesan yang mendalam kepada para penonton.

Tetapi ruginya kerana blackout untuk menunjukkan perubahan babak masih berlaku malahan terlalu banyak. Black out ini telah sedikit sebanyak menganggu mood audien. Lebih kurang samalah kalau kita sedang menonton wayang atau tivi. Tengah syok tengok, tiba-tiba blackout. Kalau sekali mungkin boleh tahan lagi, tapi ini berkali-kali.

Dan sayangnya juga kerana ada diantara blackout itu sebenarnya tidak perlu pun. Misalnya adegan mak angkat Aman (yang muda, solid, dan pakai baju kurung kain berkilat) menemui Aman ketika masih bayi. Adegan berkenaan boleh diangkat tanpa blackout. Begitu juga halnya dengan kemasukan watak-watak makhluk yang mengganggu dan mendoakan Aman di balik kelir, rasanya boleh bersembunyi di balik platform berkenaan.

Kekurangan yang paling ketara, yang perlu dititikberatkan oleh pengarah ialah penguasaan ruang, terutama tahu bermain di dalam ruang cahaya yang dibekalkan. Benar, teater moden kini tidak mewajibkan pemainnya bermain di ruang cahaya. Tetapi ada perbezaan di antara bermain di dalam gelap dengan sengaja atau tidak sengaja. Bila mana eksperi muka perlu ditonjolkan, tetapi tidak jelas kerana terlindung dari cahaya, maka itu adalah satu kerugian yang besar. Tambahan lagi aku lihat gel pelbagai warna digunakan untuk mencantikkan ruang lakonan. Serta beberapa kerugian kerana sesetengah lampu tidak digunakan secara maksimum fungsinya.

Cukuplah setakat ni. Ada lagi beberapa perkara yang kalau aku sebut jadi panjang. Aku bukanlah orang yang paling layak memberi komen kerana aku pun tak sempurna. Cuma tahniah buat kumpulan ini kerana berjaya menghasilkan sebuah kritikan sosial serta pelapis yang makin lama makin tinggi mutu lakonan mereka.

Tukaran akan datang. Nasib oleh Epilog Kembara, 19 Julai 2009, 8.30 malam.

13 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

Berteater ketika banjir!

Tahap kepuasan apa lagi yang kalian mahu kalau setinggi itu komitmen dan semangat ahli produksi Bakawalee. Malahan panel penilai sendiri sanggup meredah banjir untuk menilai teater yang kami pentaskan.

Dan aku memang puas hati dengan apa yang telah dipentaskan oleh para pelakon serta komitmen ahli produksi yang lain. Komen audien pastinya berbeza dengan komen penilai. Dan aku ambil apa saja yang dikomen oleh sesiapa saja untuk meningkatkan mutu pengarahan, lakonan dan segala yang sewaktu dengannya.

Terima kasih kepada penonton yang datang awal sebelum banjir dan yang sanggup meredah banjir untuk menonton. Aku juga mohon maaf pada Senandika kerana tak dapat menyediakan bot untuk membawa kalian menonton. Kalian datang dari jauh, tetapi tak dapat menunaikan hajat utama. Harapnya lepas ini janganlah serik lagi.

Kalah atau menang, itu bukan persoalan. Kami dah buat yang terbaik. Kalau penilai merasakan kami adalah yang terbaik daripada yang baik, maka menanglah. Kalau tidak, kami tetap sangat berpuas hati.

Tukaran akan datang - Serakah, SICK GDW Kg. Contoh. 17 Julai 2009.

Ulasan Yang Terpulas - Bicara

Bicara adalah sebuah naskhah yang penuh dengan polemik dan falsafah. Sangat penuh dengan perkataan. Kalau audien yang hadir untuk melihat sebuah teater yang padat dengan isi, maka inilah cerita yang sesuai. Untuk beri gambaran yang tepat, mungkin kalian boleh menonton Pulp Fiction oleh Quentin Tarantino.

Cuma bezanya Pulp Fiction digarap dengan baik termasuk dari segi sinematografi, pengarahan dan sebagainya, menjadikan ia sebuah filem yang tidak begitu membosankan. Kelemahan utama bicara tentunya pada pengarahan dan sinografi. Sinografinya ada, tetapi kurang jelas dan tidak membantu.

Ruang lakon yang luas tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelakon, menjadikan tenaga mereka mengalir begitu sahaja. Tambahan lagi dengan set yang minimal, seolah tidak membantu penceritaan. Aku orang yang tiada masalah dengan teater miskin, tetapi kalau ia tidak membantu penceritaan, itu akan jadi masalah semua orang. Mungkin pencahayaan ruang perlu dilihat sekali lagi untuk membantu para pelakon.

Lakonan kebanyakannya baik. Baik dalam erti kata aku pernah melihat perkembangan lakonan mereka sejak dua tahun lepas. Namun, bagi tahap festival teater, lakonan mereka semua perlu dimantapkan lagi. Tak perlulah aku bangkitkan tentang watak dan perwatakan, aksi-reaksi-interaksi dan segala mak nenek lagi. Tapi, sekurangnya lakonan mereka dah bertambah baik berbanding sebelumnya, itu yang paling utama.

Sebenarnya banyak permainan yang boleh dimainkan di dalam pementasan ini. Biarpun dipentaskan atas platform sekolah, tetapi banyak lagi boleh dimainkan oleh pelakon. Ini jatuh pada tanggungjawab pengarah untuk menyuntik nilai artistik kepada pementasan ini.

Apa-apa pun, aku harap grup ini terus hidup kerana mereka ada signature sendiri dan pendirian mereka sendiri serta idea dan konsep mereka sendiri.

Maaflah kalau ulasan ini datang lambat. Aku tersangkut dengan persiapan Dusta Pada Skala 1 Hingga 10.

08 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Mencari Juita

Tak terulas, kerana aku sibuk mengiringi krew Selamat Pagi Malaysia di program Penang Matra Buana 2009.

Tukaran akan datang - Bicara oleh L.E.Q.I.U. Penang Free School.

06 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Kisah Si Semut

Semalam selesailah Kisah Si Semut. Satu-satunya teater kanak-kanak yang dipertandingkan di festival teater Tanjung. Pendek kata, memang menanglah. Tapi ada juga orang kata, mana boleh menang sebab cuma satu, jadinya tidaklah dipertandingkan.

Kisah Si Semut merupakan arahan pertama Apit Jinggo. Bukan teater kanak-kanak arahan pertama, tapi teater arahan pertama. Dan aku memang tabik pada dia kerana punya kesabaran dengan kerenah budak-budak ni. Aku sendiri bayar RM1000 pun aku tak sanggup mengarah teater kanak-kanak. Kalau bayar RM2000 ke atas, barulah aku sanggup.

Sebagai sebuah teater pertama, pastinya banyak kelemahan yang ketara. Pacing, tempo, energy, lakonan kurang karakter, dan sebagainya. Semestinya aku tahu masalah dia sebagai pengarah yang terpaksa ambil tahu semua benda; lakonan, pengarahan, set, props, pencahayaan, makan minum, kerenah mak bapak, politik pejabat dan sebagainya.

Jadinya aku lihat banyak benda yang terabai. Itu tak termasuk lagi campur tangan kuasa asing dan kerja cakap tak serupa bikin. Aku tidak membela Apit Jinggo, cuma menyatakan aku faham situasi dia. Cuma kalau nak dibawa ke penilaian kedua untuk kebangsaan, dia tak boleh berhenti rehat di sini. Latihan harus diteruskan, banyak benda lain harus dimantapkan, duit harus dikeluarkan, hutang harus dibayar, hati kawan-kawan perlu dijaga dan sebagainya.

Pendek kata, tahniah sekali lagi. Tepukan untuk diri sendiri!

02 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Monolog di Festival Teater Tanjung

Bermula semalam, atau kelmarin kata orang utara, Festival Teater Malaysia 2009 Peringkat Negeri Pulau Pinang telah bermula. 4 buah monolog telah dipersembahkan kepada juri dan beberapa kerat penonton yang hadir. Ini rebiu aku. Aku bukan juri, tapi aku suka hati saja nak buat rebiu dari pandangan akal yang dangkal dan naif dan daif.

Halusinasi Sang Algojo
Skrip, arahan, lakonan A. Hamid Mokhtar. Cerita tentang sang algojo yang kerjanya menggantung pesalah yang telah disabitkan kesalahan di penjara. Algojo kerap berhalusinasi, mungkin akibat tekanan perasaan dan akhirnya secara tidak sedar membunuh isterinya sendiri. Cerita berlaku di dalam penjara.

Skrip ini ada kekuatannya, tetapi kekurangan yang paling ketara bila pelakon terpaksa bertukar kepada banyak watak yang lain, dan kaedah yang digunakan ialah blackout. Konsentrasi kerap terganggu oleh blackout dan juga pengendalian pencahayaan yang tidak kemas, ada ketika terlalu laju ketika pelakon belum bersedia dan sebaliknya. Aku juga masih cuba mengaitkan antara pembesar zaman silam yang berkeris sebagai lambang kaya, orang tua bertongkat zaman silam sebagai lambang kuasa, dengan cerita yang menggunakan latar masa kini. Apa-apa pun, ideanya ada, cuma boleh diperhalusi lagi.

Eksperimen Pembunuhan Raja Lekuk
Skrip Abu Musarif (bukan Abu Sayaf), Arahan cikgu ..... (aku tak ingat nama dia), lakonan oleh .......(pun aku tak ingat nama dia). Seorang ejen dihantar balik ke masa lampaun untuk mendapatkan komputer IBM model apa ntah, komputer asal dengan pengaturcaraan Linux dan membawa balik bayi bernama Raja Lekuk, yang dikatakan bakal menjadi pemerintah yang zalim di masa depan.

Idea skrip memang rancak. Tapi pelaksanaannya, terpaksa pengarahan dan lakonan, masih memerlukan usaha yang jauh. Tapi aku puji kerana mereka berani mencuba. Yang berlakon tu pelajar sekolah menengah dan yang mengarah adalah cikgu sekolah menengah, yang mungkin tidak banyak pendedahan kepada teater tapi aku minat. Pendek kata, teruskan berjuang.

Jebat : Rahsia Kesumat
Skrip Dudok, Arahan dan Lakonan Wan Azrul. Hipotesis tentang adakah Jebat bernafsu songsang kerana kasihnya yang melampau kepada Tuah hingga sanggup menderhaka.

Ini aku tak boleh rebiu, kerana karya sendiri dan aku sendiri berada dalam pasukan itu. Tapi apa yang boleh aku katakan, persembahan semalam memang bagus, tapi aku pernah lihat yang lebih bagus. Mungkin kerana aku tak sempat buat raptai penuh.

2 tingkat
Skrip Abu Musarif. Lakonan dan Arahan Fizi.
Cerita ala Robin Hood. Seorang lelaki yang cuba menjustifikasikan dirinya kerana dia seorang perompak, dan hasil rompakannya diserahkan kepada orang kampung.

Lakonan Fizi, aku akui memang bagus. Dengan latihan dan tunjuk ajar yang betul, dia boleh pergi jauh. Sayang kerana permainan ruang dan level agak tidak menyeluruh. Kekurangan yang ketara pada pengarahan apabila banyak aspek seperti terabai. Kekuatan difokuskan pada pelakon semata-mata. Ada ketika pelakon nampak sesat mencari apa yang nak dikata, tapi bijak disembunyikan. Olak tubuh boleh diperkemaskan lagi. Keseluruhan, bagus.

Begitulah serba ringkas dari aku yang naif dan daif ini. Harapnya aku sempat nak buat rebiu setiap teater yang aku tonton selang sehari, kalau sempatlah.

Apa-apapun, terima kasih kepada Dr. Shark, Helmi dan geng-geng Tronoh Teather Shop dari Universiti Teknologi Petronas yang hadir memberi sokongan pada malam itu. Maaf tak sempat nak sembang panjang semalam. Harap lepas-lepas ni kita boleh bersembang lagi dan bertukar fikiran.

Tukaran akan datang, 5 Julai 2009, Teater kanak-kanak, Kisah Si Semut.

26 June 2009

Buang Bayi

Suatu ketika dulu, kes buang bayi kerap disiarkan di media massa hingga mengundang kemarahan dan belas kasihan banyak pihak. Kini, kes-kes seperti itu dah makin kurang dimainkan di media massa. Ini telahan aku.

1. Media massa dan tak rasa kes seperti ini hip. Dah biasa sangat.

2. Pasangan yang terbabit dah tak buang bayi dalam tandas atau tong sampah, pendek kata tempat awam.

3. Pasangan yang terbabit sudah ada kesedaran seks selamat seperti penggunaan kondom, pil anti-kehamilan, atau pancut luar. Selamat di sini bukannya selamat dari penyakit tetapi selamat dari termengandung.

4. Pasangan yang terbabit sudah pandai menjual bayi yang dilahirkan.

Inilah empat telahan aku. Kalian ada telahan yang lain?

25 June 2009

Malaysia Di Mata Dunia

Membaca entri Baha Zain tentang beberapa wartawan luar negara yang tidak mengenali nama Malaysia, membuatkan aku terdetik untuk bersuara tentang perkara itu.

Maruah atau nama?

Mana satu yang dipilih.

Nama Malaysia sememangnya dikenali di PBB, NAM, OIC dan sebagainya. Tapi itu pentas yang berbeza. Pentas politik yang dihadiri kebanyakannya oleh ahli politik. Pentas dunia yang sebenar harusnya nama Malaysia dikenali oleh masyarakat kebanyakan. Kalau pun tidak diseluruh dunia, tetapi sebahagian besar daripada masyarakat kebanyakan luar negara.

Sebut Amerika Syarikat, semua orang kenal. Bukan kerana Obama atau kekejaman mereka semata-mata, tetapi produk filem yang mereka jual seluruh dunia. Begitu juga Thailand. Begitu ramai orang mengenali Thailand kerana banyak filem-filem Hollywood yang menjual nama negara itu, sama ada secara baik atau buruk.

Begitu juga Vietnam. Tentunya filem-filem mengenai Perang Vietnam banyak mempromosikan negara itu. Itu tidak termasuk lagi Iraq dan Afghanistan.

Tetapi negara kita, bila filem Entrapment mempromosikan Kuala Lumpur dan Malaysia, kita marah kerana memaparkan Sungai Melaka yang kotor berlatarbelakangkan Menara Berkembar. Kalau tak ada sungai yang kotor nak dipaparkan, takkan mereka nak mereka sungai yang kotor itu. Kalau betul mereka mereka sungai kotor itu, maka berhaklah kita marah kerana berbohong.

Begitu jugalah beberapa filem lain. Ada juga filem-filem yang dirakam di Malaysia, tapi bila keluar ke Panggung, tak nampak macam Malaysia dah. Bat 21 nampak macam di Vietnam, Anna and The King, pastinya macam di Siam. Jadi negara orang lain juga yang dikenali.

Jadi kita harus memilih, maruah atau nama.

Nama yang boleh membantu memajukan negara, atau maruah yang tidak banyak pun mencalarkan kita. Aku tidak boleh buat pilihan, kerana kuasa bukan di tangan aku.

24 June 2009

Jangan

Aku paling tidak suka jika orang tidak suka pada aku. Marah pada aku, aku tak kisah sangat, tapi tak suka pada aku, aku memang tidak suka.

Kerana aku tidak suka memutuskan persahabatan atau perkenalan.

Tetapi jangan sekali-kali buat aku benci pada seseorang. Kerana sekali aku benci pada seseorang itu, selamanya aku akan benci.

Aku seorang yang boleh memaafkan orang.

Tapi kalau dah benci, tiada maaf.

20 June 2009

10 Golongan Penggiat Teater Tanjung

Sejak tahun 2002 aku di Tanjung, ada beberapa jenis penggiat teater yang aku kenal pasti, yang hadir dengan niat tertentu.

1. Berteater kerana wang - mengharapkan dapat habuan serba sedikit dari teater. Ada juga yang mengharapkan habuan yang banyak persis kebanyakan teater di Kuala Lumpur, terutama teater Inggeris.

2. Berteater kerana mencari jodoh - ada juga yang datang ke sini, dengan harapan jumpa makwe, pakwe, boipren, girlpren, bakal suami, bakal isteri.

3. Berteater kerana nak melepaskan masalah - ada yang ada masalah tempat kerja, masalah keluarga, masalah peribadi. Jadi teater ni dijadikan ruang untuk melepaskannya. Adakalanya bawa masalah ke sini.

4. Berteater untuk berseronok - ada suka berseronok, enjoy semata-mata. Nak serius pun susah. Dan tak bersungguh-sungguh.

5. Berteater kerana nak mencuba suatu yang baru - yang macam ni pun ada. Sebab dia tak pernah berteater, maka dia masuk mencuba. Selalunya, mereka ini sama ada tak kekal lama, atau akan terus kekal kerana dah ketagih.

6. Berteater kerana ikut kawan - dah kawan ajak, ikut sajalah.

7. Berteater kerana nak menyatakan sesuatu - ini ramai juga. Tidak kiralah sebagai pelakon, pengarah, penulis skrip atau sebagainya. Biasanya ada yang mereka ingin nyatakan.

8. Berteater kerana nakkan kepuasan - golongan ini tidak ramai. Biasanya selepas beberapa lama berteater barulah niat itu berubah menjadi golongan ini.

9. Berteater kerana merasakan apa yang orang boleh buat, dia boleh buat - pun ada juga. Dia tengok orang boleh buat, dia rasa dia boleh buat.

10. Berteater kerana memang minat dan cintakan teater - ini ramai juga. Tapi biasanya minat ini datang sekali dengan beberapa niat lain.

Kalian rasa diri kalian dalam golongan mana satu? Atau mana dua? Mana tiga?
Atau ada lagi yang aku tertinggal? Kalau di Tanjung, setakat ini saja pemerhatian aku.

Johan Festival Teater Pulau Pinang Kategori Teater Kanak-Kanak

Dan pemenangnya ialah.........

Kisah Si Semut oleh Warisan Jemari!

Ini betul-betul! Bukan gimik. Kumpulan yang lagi satu dah tarik diri.

16 June 2009

Sekerat Hari Di Pantai Queensbay dan Seagate

Sekerat hari di Pantai Queensbay dan Seagate.

Petang ke malam - waktu orang bekeluarga berehat, bersantai, lepak-lepak.

Malam ke lewat malam - waktu orang sedang merancang keluarga berehat, bersantai, lepak-lepak.

Lewat malam ke dinihari - waktu orang sedang cuba buat keluarga. Lepas letih buat keluarga berehat, santai, lepak-lepak. Lepas tu sambung buat keluarga balik.

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 - Pendukung Watak

Pendukung Watak 'Dusta Pada Skala 1 Hingga 10'


Lelaki 1



Orang 3

Lelaki 2


Wanita 2

Psikopat

Wanita 1

12 June 2009

Risiko Dalam Festival Teater

Sebenarnya, aku mengambil risiko yang cukup tinggi bila mementaskan karya sendiri untuk Festival Teater Pulau Pinang. Risikonya bukan apa, risiko mungkin tidak menang. Tapi bila kepuasan yang menjadi ukuran, maka aku butakan diri dan aku tutup mata orang lain dengan jihad kepuasan diri. Bagi aku, apa guna buat teater kalau tak puas. Menang tu cuma bonus. Ada orang kata kalau buat, menang, baru puas. Habis kalau tak menang?

Untuk festival tahun ini, ada tiga karya aku yang dipentaskan oleh aku sendiri dan rakan-rakan. Bukanlah nak kata karya aku ini bagus, kerana aku tahu karya aku ada banyak cacat-celanya, tapi mungkin karya aku ini kena dengan jiwa aku dan rakan-rakan aku yang lain.

'Dusta Pada Skala 1 Hingga 10' dipentaskan oleh Bakawalee, kumpulan aku dan arahan aku sendiri. Cerita dia lebih kurang macam filem Hollywood. Sangat mementingkan lakonan dan aspek dramatik. Kerana drama ini, bagi aku, boleh hidup walaupun tanpa sinografi yang baik atau set pentas yang lompong. Tapi kalau semua yang lain baik, maka baguslah. Ceritanya tentang 5 orang manusia yang tidak mengenali antara satu sama lain, diculik dan dikurung. Mereka cuma akan dilepaskan sekiranya mereka membunuh salah seorang dari mereka. Macam pernah dengarkan? Versi pentasnya aku harapkan lebih mencengkam penonton.

'Jebat : Rahsia Kesumat' pula dipentaskan oleh Te.Ta.Mu, persatuan yang aku turut terlibat. Ini sebuah monolog. Reverse chronology hubungan Jebat dengan Tuah. Jebat dengan Tuah lagi? Tak ada idea lain ke? Ada orang tanya macam tu. Dan aku jawab, lampu yang dicipta Edison pun dah jadi lampu jimat tenaga. Masih lampu juga kan? Cerita ini adalah sebuah hipotesis yang sengaja aku buat untuk menjentik minda audien untuk berfikir, atau mungkin berminat mengkaji Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah. Sengaja aku hipotesiskan bahawa kecintaan Jebat terhadap saudaranya Tuah kerana Jebat pernah menaruh perasaan pada Tuah sejak dulu lagi. Pendek kata gaylah tu, atau dalam kes ini biseksual. Berat? Ya, agak berat. Dan kalau nak disasarkan kemenangan, mungkin agak sukar kalau juri yang menjadi penilai agak konservatif.

'Neraka Petualang' pula dipentaskan oleh rakan baik yang lain di dalam kumpulan Resdong's. Resdong's adalah kumpulan yang sama yang pernah menjadi Naib Johan Festival Teater Kebangsaan beberapa tahun yang lalu. Ceritanya tentang petualang yang melarikan diri dari rumah pasung, dan menyorok di sebuah warung. Kebetulan tuan punya warung itu diganggu oleh penghulu yang korup. Maka petualang bertukar menjadi pembela. Cerita ini dipentaskan dalam bentuk purbawara. Maksud aku bukan purbawara tulen, sekadar mengambil suasana purbawara. Cerita ini juga agak mudah. Tetapi melihat kepada rekod kumpulan ini yang cemerlang di dalam hubungan chemistry, maka tidak mustahil mereka ada peluang untuk menang.

Tapi pastinya, kalau kemenangan menjadi ukuran, sukar untuk melihat siapa yang ada peluang. Ada yang membawa naskhah Mencari Juita, naskhah yang sudah boleh dikira bagus. Ada yang membawa cerita tentang tradisi yang telah pupus, iaitu berlokan. Dan oleh kerana penganjurnya adalah kementerian kebudayaan, pastinya cerita sebegini mempunyai tempat khas di hati juri, atau setidaknya urusetia. Begitu juga cerita budak-budak menari shuffle yang kemudian insaf dan menari zapin. Pendek kata, keputusan festival ini bergantung sepenuhnya pada selera juri.

Sebab itulah aku katakan, seni ini subjektif. Kalau aku yang menjadi juri, pastinya ada sesuatu yang aku harapkan dalam mana-mana pementasan. Begitulah juga mana-mana juri. Sebab aku pernah menerima nasib yang berbeza bila mementaskan karya sendiri. Aku pernah menerima komen positif daripada Ahmad Yatim dan Rosminah Tahir tetapi menerima komen yang berbeza daripada Marlia Musa, Zakaria Arifin dan Supiat Mukri. Begitu juga beberapa tokoh yang lain.

Tapi tak kisahlah. Sehingga kini, aku sanggup tanggung risiko ini, dan berterima kasih pada para sahabat yang turut sama-sama menanggung bahananya. Kerana perjuangan kami bukan sekadar musim festival.

09 June 2009

Telemarketer Penipu

Pernah tak kalian dihubungi oleh telemarketer yang memang pandai berbohong dan menipu orang dengan memutar belitkan fakta? Mereka cuba menjual produk mereka bukannya dengan cara memujuk mengatakan produk mereka bagus, tapi dengan menipu. Aku hampir terkena. Hari itu aku mendapat panggilan dari seorang telemarketer. Sembangnya lebih kurang begini.

Telemarketer Penipu : Selamat pagi encik Pegawai Khalwat. Saya dari syarikat Putar Kepala ingin membuat pengesahan untuk proses penghantaran ekspress kad baru encik.

Pada ketika itu, aku percaya cakap dia kerana kad kredit aku sudah hampir tamat tempoh. Kemungkinan dia cuma nak buat pengesahan.

Telemarketer Penipu : Boleh saya tahu bila kad encik tamat tempoh? Visa atau Mastercard?

Aku : Bulan sekian dan tahun sekian.

Telemarketer Penipu : Jadi kad encik bermula dengan nombor 1234 5678, betul ye encik?

Aku : Ya betul.

Telemarketer Penipu : Jadi boleh tak cik habiskan nombor yang berbaki tu.

Tanpa sebarang syak, aku pun memberi nombor kad itu. Dia tak minta nombor tiga digit di belakang kad, jadi aku memang tidak syak.

Telemarketer Penipu : Encik ada pakai selain daripada Mastercard/Visa tak?

Aku : Ada

Telemarketer Penipu : Dari bank mana encik?

Eh... takkan dia tak tahu kad apa aku pakai? Aku dah mula ragu. Tapi aku layan macam biasa. Sehinggalah satu ketika.

Telemarketer Penipu : Jadi boleh saya dapatkan alamat encik untuk penghantaran kad ini. Encik nak guna alamat rumah atau alamat pejabat?

Aku : Eh, takkan awak tak tahu alamat saya?

Telemarketer Penipu : Saya cuma nak confirmkan untuk hantar kad ini pada encik.

Aku : Kad apa yang awak nak hantar pada saya?

Telemarketer Penipu : Kad ini percuma saja encik, encik guna kad ini untuk dapat kelebihan diskaun diberibu-ribu tempat yang mengambil bahagian. Contohnya hotel, kedai dan sebagainya.

Aku : Betul percuma?

Telemarketer Penipu : Percuma encik. Encik cuma perlu bayar RM500 ++ untuk activation. Sekali saja.

Aku : RM500 ++?? Apasalah pulak saya nak kena bayar RM500?

Telemarketer Penipu : Itu sekali saja encik, kad diskaun ini encik boleh dapat diskaun yang banyak.

Aku : Saya tak mau!

Telemarketer Penipu : Kenapa encik tak mau. Kami cuma tawarkan kad ini pada pelanggan terpilih saja. Encik rugi kalau encik tak nak.

Aku : Saya tak mau. Buat apa nak bayar lagi RM500 ++ untuk diskaun yang bukannya selalu saya dapat. Saya bukannya semesti shopping kat kedai atau tidur di hotel diskaun tu.

Telemarketer Penipu : Tapi encik, untungnya

Aku : Saya tak mau!

Telemarketer Penipu : Baiklah, terima kasih encik.

Fuhhh... nasib baik aku tak tertipu. Begitulah mereka memutarbelitkan fakta. Selepas itu, ada beberapa orang lagi telemarketer yang menelefon aku. Salah seorang dari mereka tidak pandai memutar belit.

Telemarketer Tak Pandai Tipu : Selamat pagi encik, saya nak tawarkan kad diskaun pada encik....

Aku : Saya tak mau!

Telemarketer Tak Pandai Tipu : Terima kasih banyak-banyak cik.

Bijaknya mereka ini, kerana mereka jarang membuat panggilan menggunakan kod kawasan Lembah Kelang iaitu 03. Biasanya mereka akan gunakan nombor telefon bimbit. Siapa nak sangka yang telefon itu bukannya berkaitan urusan rasmi kerja tetapi urusan rasmi mereka. Dan selepas itu, setiap kali ada panggilan sebegitu, aku akan jawab.

Saya tengah drive ni, boleh telefon lain kali?

Saya tengah makan ni, macam mana nak cek nombor kad kredit saya.

Saya ada meeting ni.

Saya tak mau!!!

02 June 2009

Promosi Makanan Tanjung

Ada orang tanya aku, kenapa tak promosikan makanan-makanan dan lokasi kedai makan yang mengancam selera di Tanjung ini. Memang aku ada terfikirkan juga perkara tu. Tapi jawapan aku mudah. Presentation makanan di sini memang tak menarik walaupun rasanya sangat menarik.

Bayangkan nasi kandar kuah taruk atas (siapa yang pernah makan nasi kandar mesti tahu macam mana rupanya), rupanya tak menarik langsung untuk dirakam. Ataupun laksa, yang setelah di masukkan kuah, habislah hiasannya. Tak pernah aku jumpa kedai laksa yang menghias daun salad, selom atau telur rebus selepas kuah ditaruk. Kalau pasembor, apa lagilah, tak nampak rupa. Tapi rasanya memang sedap.

Jadi itulah salah satu sebab utama aku tidak mempromosikan makanan ini.

Sebab utama kedua, biasanya makanan dah licin baru aku teringat nak ambik gambar!

29 May 2009

Kisah Hati dan Kisah Kurma Nabi

Di sebuah pantri, selepas kenyang makan nasi tomato percuma berlaukkan sotong, ayam, udang dan kacang buncis.

Aku : Orang perempuan tak elok makan hati.

Kak N : Awatnya?

Aku : Kesian kat laki dia. Selalu dok makan hati, susah hati la laki dia, jenuh nak pujuk....

Kak N : Lagu tu ka. Orang perempuan pun depa kata tak bagus makan kurma nabi, nanti botak.

Aku : Awat pulak. Kurma tak baguih ka? Boleh bagi botak?

Kak N : Yalah... kurma nabi sekilo berpuluh-puluh ringgit. Botak kepala laki kalau dok selalu beli.

Cis..... aku kena balik!

26 May 2009

Makan Di Kantin Sekolah

Zaman aku sekolah rendah, mak selalu bagi pada aku (pakai duit arwah ayah) 3 kupang bersamaan 30 sen. Maka bolehlah aku beli nasik lemak sebungkus 20 sen dan ais manis ataupun sirap 10 sen.

Bila waktu sebelum rehat, makcik kantin akan datang ketuk bilik darjah tanya cikgu nak makan apa. Biasanya akan ada menu khas selain nasi seperti laksa, bihun sup, mee goreng dan sebagainya, yang dimasak oleh makcik kantin. Dan kalau aku lalu depan bilik guru, bolehlah lihat guru-guru menjamah makanan yang dikira mewah bagi aku. Sepinggan mungkin seringgit.

Kawan aku yang bawa seringgit sehari boleh diklasifikasin sebagai anak orang kaya. Memang pun, dia anak tokey kedai.

Bila aku sekolah menengah, aku belanja RM 1.50 sehari di kantin (pada zaman aku senior, zaman junior menu aku tak menentu). Mamak dan mami yang jual nasi tu dah cam aku, jadi selalunya aku tak beratur beli nasi. Terus pergi kepada mami, dia akan hulurkan nasi tomato, telur goreng mata kerbau, sayur ubi atau kacang buncis, kuah campur dan kuah manis. Kadang-kadang aku tambah daging kalau ada duit lebih. Bengkek saja budak-budak lain yang beratur. Nasi RM 1.20, air 30 sen.

Keluarga aku bukan orang berada. Tapi aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku ada duit poket untuk makan waktu rehat. Ada sesetengah sahabat aku yang terpaksa mengikat perut. Mereka cuma makan bila balik ke rumah atau ke asrama.

Sebab itulah sesusah mana pun hidup aku, aku tetap bersyukur. Kerana aku tahu ada orang lebih susah dari aku.

25 May 2009

Palestin, Perak, Penanti

Hari itu, semua orang sibuk pasal Palestin dan Gaza.

Sana-sini orang menyebut tentang Palestin. Konsert Amal Palestin, Pameran Amal Palestin, baca puisi Palestin, tunjuk perasaan Palestin; pendek kata, kalau orang tu tak sebut pasal Palestin, seolah dia seorang warga yang tidak prihatin penderitaan manusia seagama, atau setidaknya penderitaan manusia.

Hari ini?

Orang lebih memperkatakan tentang situasi di Perak dan Penanti berbanding Palestin.

Aku sedih kerana inilah sifat kebanyakan dari kita yang suka bermusim. Tambahan lagi kalau dicucuh oleh acuman media, barulah mereka sedar.

Krisis di Palestin masih sama. Cuma mungkin tidak memuncak. Tapi tahap keprihatinan kita tidak sama, malah semakin menurun. Cuba semak, siapa yang masih kekal memboikot barangan produk US dan Yahudi? Kalau ada pun dah makin berkurang.

Yang paling aku kesali, bila ada sesetengah pengusaha Bumiputera yang mengambil kesempatan kempen boikot ini untuk melariskan jualan mereka. 'jangan beli barang US dan Yahudi, belilah barang kami produk Muslim'. Pada aku, kalau produk mereka bagus, tak perlulah promosi sampai begitu.

Kerana aku tengok kebanyakan produk kosmetik dan kecantikan Bumiputera tidak pula perlu memohon orang lain memboikot produk kosmetik atau kecantikan US.

Mujurlah juga parti politik tidak menghasilkan produk sendiri untuk menampung sumber kewangan. Manalah tahu nanti akan ada kopi Tuan Guru PAS 3 in 1, set perawatan muka PKR, atau ayam organik Barisan Nasional.

Dan muncul pula Konsert Amal Penanti, Puisi Amal Kerajaan Perak dan sebagainya.

Orang kita ni, datanglah Portugis, Belanda dan Inggeris menjajah sekali lagi pun, rasanya tak akan berubah.

21 May 2009

Katak Dalam Air Suam

Pernah tengok katak?

Kalau kalian tak pernah tengok katak, mungkin kalian berasal dari galaksi yang berbeza, cuma boleh nampak rumah kalian dengan teleskop Hubble.

Katak kalau berendam dalam air, dia akan duduk diam saja. Bila bosan dia akan melompat keluar. Kalau selesa dia akan terus berendam.

Tapi kalau campakkan katak ke dalam air panas, automatik katak itu akan melompat keluar.

Tapi kalau air itu air suam, yang perlahan-lahan menjadi panas, maka katak itu akan buat tak tahu saja, sampailah katak itu mati kepanasan.

Begitu jugalah sifat manusia. Kuat melompat macam katak bila terjadi apa-apa secara mendadak. Kalau perkara yang terjadi perlahan-lahan, maka sampai sudah terlambat pun tak buat apa-apa juga.

Festival Teater Pulau Pinang 2009

Undi dah dicabut dan inilah jadual terkini Festival Teater Pulau Pinang 2009

Kategori Monolog

1 Julai/2.30 petang
GDW Kg. Contoh - Halusinasi Sang Algojo
Anak Harapan PFS - Eksperimen Pembunuhan (Raja Lekuk)

1 Julai/8.30 malam
Te.Ta.Mu. - Jebat : Rahsia Kesumat
Indah Kembara USM - 2 Tingkat

Kategori Teater Kanak-kanak

3 Julai/8.30 malam
Warisan Jemari - Kisah Si Semut

5 Julai/8.30 malam
Anak Serigala - Sungai Bonda

Kategori NGO/IPT/Bebas

7 Julai/8.30 malam
Suara ACMS - Mencari Juita

9 Julai/8.30 malam
L.E.Q.I.U PFS - Bicara

11 Julai/8.30 malam
Bakawalee Penang - Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

13 Julai/8.30 malam
Dewan Budaya USM - Lokan Bertepuk

15 Julai/8.30 malam
Kersani - Mustika

17 Julai/8.30 malam
GDW Kg. Contoh - Serakah

19 Julai/8.30 malam
Epilog Kembara - Nasib

21 Julai/8.30 malam
NVR Corp - Hanya Lala

23 Julai/8.30 malam
Resdong's - Neraka Petualang

25 Julai/8.30 malam
House Of Theatre Society - Legacy

28 Julai/8.30 malam
Malam Anugerah FTNPP2009

Maka secara rasminya bulan Julai 2009 adalah bulan teater di Tanjung. Semua dijemput.
Sila o sila.......

19 May 2009

Chick Ke Boom

Chick, chick ke chik ke boom,
Boom boom boom,
Bunyi lagu,
Chick, chick ke chick ke boom,
Boom boom boom,
Sungguh merdu.

15 May 2009

12 May 2009

Pengajaran Bahasa Inggeris Dalam Sains Di Kampung

Agaknya kerajaan kini ingin meluaskan pengajaran sains dalam bahasa Inggeris ke kampung-kampung.

Sebab itulah selesema babi kini dipanggil Influenza H1N1.

Penyakit sawan atau gila babi apa pula istilahnya?

07 May 2009

Susu Bertukar Menjadi Keju

Pernah dengar tak iklan keju Chesdale suatu masa dulu? Bila si ibu menceritakan pada anak asal-usul keju. Susu yang dibawa oleh pedagang Arab di tengah terik padang pasir, bila sampai di destinasi, bertukar menjadi keju.

Cerita yang sama diceritakan oleh sahabat aku zaman sekolah dulu.

Cikgu : Ali! Mana buku teks awak?

Ali (bukan nama sebenar) : Cikgu, dalam perjalanan, tiba-tiba buku bertukar menjadi keju.....

....dan Ali kena berdiri atas meja sampai habis waktu kelas.

06 May 2009

Minum Pakai Piring

Kalau dulu-dulu, di kedai kopi di kampung-kampung dan di pekan-pekan kecil, senario minum kopi atau teh mengunakan piring adalah biasa. Pak lebai, apek, appa, semuanya akan menuangkan air dari cawan ke piring. Tujuannya supaya air itu cepat sejuk.

Sekarang ni, anak-anak muda sekarang jangan haraplah nak minum macam tu. Nak dapat tengok orang minum macam tu pun mungkin dah susah. Maklumlah sekarang dah senang nak buat kopi atau teh suam. Paling tidak pun letak aircond (ais keliling cawan dalam piring) untuk mensuamkan air tu.

Nak pula sekarang ni, tak banyak tempat yang menjamu kopi teh pakai cawan. Biasanya gelas dan ada juga menggunakan mug. Pakai hilanglah budaya minum pakai piring.

Bayangkan di Coffee Bean atau Starbuck atau kopitiam eksklusif seperti Oldtown, ada orang minum dari piring macam tu. Barulah orang asing nampak dan kata inilah keunikan budaya negara kita.

04 May 2009

Menjaga Tepi Kain Orang Atau Sendiri?

Dulu, ada pepatah jaga tepi kain orang. Dan orang yang menjaga tepi kain orang selalu dikaitkan sebagai individu yang tidak molek sifatnya. Di kampung-kampung kalau ada makcik-makcik yang bertandang dan bercakap tentang hal orang lain, akan dianggap jahat mulut. Begitu juga pakcik-pakcik di kedai kopi, di tangga surau atau di mana-mana saja. Sebab itulah ada kata-kata ‘jangan jaga tepi kain orang’.

Bila negara ini makin moden, kampung-kampung di kawasan bandar makin berkurangan. Kalau ada pun dah naik jadi rumah flet. Masih tebal lagi sifat menjaga tepi kain orang ini. Mungkin modus operandinya saja berbeza. Cerita bertukar-tukar di pasar minggu, atau pasar basah, atau di surau, atau di warung tepi jalan. Isinya tetap sama, menjaga tepi kain orang.

Masa itu kita anggap ini bukanlah satu perbuatan yang mulia.

Tapi masa kini, terutamanya di bandar-bandar, amalan yang kita anggap tidak mulia itu dah semakin menghilang. Ada sesetengah keluarga malahan tidak kenal siapa yang tinggal di sebelah rumahnya, atau berdepan rumahnya. Kadang-kadang buat kenduri (bahasa yang enak untuk parti) hari lahir, atau sambutan hari raya, jiran sebelah dan depan rumah langsung tak dijemput. Yang hadir kawan-kawan pejabat atau kenalan-kenalan lain.

Ada juga sesetengahnya, bila tuan rumah sebelah berpindah dan berganti dengan tuan rumah yang lain (senario biasa bagi rumah sewa), masih tidak kenal siapa yang menginap walau mungkin dah empat ke lima kali bertukar orang. Kalau dengar orang menjerit kena pukul pun rasanya tak akan ada yang peduli kecuali kalau terdengar letusan senjata api.

Sebab itulah di Barat, diajar kepada para wanita (mungkin juga lelaki) yang cuba dirogol agar menjeritkan api! api! api! daripada menjerit tolong! Tolong! (mungkin benda yang sama di ajar di sini, tapi aku tak tahu kerana aku tidak risau sangat bab di rogol ni).

Menjaga tepi kain orang dah semakin menghilang. Kini menjaga tepi kain sendiri. Tapi adakah sehingga ke tahap ini kita mahu menjaga tepi kain sendiri?

28 April 2009

Monodrama 'Manusia Raja' - Pasca Pementasan

'Manusia Raja' dah tamat malam Ahad hari tu. Daripada kapasiti 222 tempat duduk di Auditorium Taman Budaya Negeri Pulau Pinang, 43 orang hadir pada malam pertama dan 71 orang hadir pada malam kedua. Itupun pada malam kedua, sebahagian besar terdiri daripada pelajar Kolej Perubatan ACMS, terima kasih pada kalian, terima kasih pada semua.

Seperti biasa, aku mengakui kelemahan publisiti menjadi punca utama. Ada wakil dari Seberang Perai memaklumkan maklumat pementasan ini tak sampai ke sebelah sana. Itu aku akui. Malahan bukan semua tempat di seluruh pulau ada makluman tentang pementasan ini. Bukan apa, aku dah pernah buat kerja-kerja tampal poster satu negeri beberapa tahun lalu, tapi hasilnya tetap serupa. Bilangan audien yang hadir tidak ramai.

Pada pendapat aku, ada beberapa kaedah yang membolehkan kehadiran audien yang ramai, kalau di Tanjung ini.

Pertama, publisiti yang betul-betul menyeluruh, hingga di setiap flet ditampal, setiap kereta di kompleks beli-belah utama diletakkan flyer, diiklan di radio dan sebagainya. Tapi berbaloikah dengan kutipan RM 5 yang dikenakan? Untuk jangka panjang mungkin ya, tapi siapa yang sanggup menanggung beban kos jangka pendek ini?

Kedua, buat cerita yang ramai orang berlakon seperti bangsawan atau teater kanak-kanak. Maka ramai kawan yang akan hadir membawa kawan atau ibu-bapa hadir membawa anak-anak atau kawan ibu-bapa dan anak-anak. Kaedah ini terbukti berkesan. Tetapi tidak semua pementasan berjaya.

Ketiga, letaklah besar-besar cerita ini cerita komedi, maka ramailah yang berminat untuk datang bergelak ketawa. Kalau tak letak cerita komedi, tambahan lagi poster atau kain rentang tanpa muka manusia seperti yang aku buat, rasanya tak ramai yang berminat nak hadir. Ramai yang lebih suka poster seperti filem-filem di pawagam.

Cukup bab kehadiran audien.

Aku dan kawan-kawan telah lama menerima dan menelan mentaliti audien yang hadir. Biar seteruk mana kami berusaha untuk mengubah mentaliti dan paradigma audien, pastinya akan sentiasa ada audien baru yang hadir untuk cuba menonton teater dan datang dengan mindset yang tersendiri.

Contohnya pada malam pertama, walaupun audien tidak begitu ramai, tapi kami menerima audien yang begitu matang, dan boleh menerima apa yang dibawakan. Ada yang pertama kali datang, ada yang sudah beberapa kali. Tidak kisahlah mereka dapat cerna atau tidak mesej tersirat yang aku nak sampaikan, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat memberikan perhatian pada setiap patah kata para pelakon.

Perlu diingatkan, 'Manusia Raja' membawa empat cerita (ada tambahan pada minit terakhir) dan setiap cerita membawa isu yang cukup berat. Hitam membawa persoalan pemimpin yang cakap tak serupa bikin, Jebat : The Untold menanyakan pada audien apakah pemikiran stereotaip mereka boleh diubah setelah mendapati hero mereka tidak sempurna, Bangkai Yang Terbingkai menggunakan bahasa yang bombastik merungkai sifat wanita dalam dunia lelaki yang sesat dalam sedar, dan Aku Bukan Parewa mempersoalkan apakah pembunuhan anak sendiri boleh dijustifikasikan sekiranya untuk menghasilkan dunia yang lebih baik.

Pada malam kedua, aku dimaklumkan ada beberapa pelajar belasan tahun yang hadir menonton. Pastinya satu pendedahan baru kepada mereka. Tetapi sayangnya, mereka kerap ketawa sehingga menganggu audien lain. Ketawa pada ketika bukan komedi, memang agak menganggu. Ketawa pada karakter, pada pergerakan yang dilebih-lebihkan, pada props mainan, memanglah seperti sifat budak-budak. Tetapi itulah yang aku dan para sahabat yang lain perlu telan.

Aku meletakkan ruang komen di luar auditorium, agar audien boleh memberi komen pada sekeping kertas dan melekatkannya di dinding. Ada yang memuji, ada yang kata sangat membosankan. Tentulah aku terima hakikat nak memuaskan hati semua orang tidaklah mudah.

Tapi aku dan rakan-rakan yang lain tidak akan serik. Insyaallah akan ada sambungan Manusia Raja 2. Dan aku juga bercadang nak membawa siri ini ke lokasi yang sesuai sekiranya ada masa dan rezeki. Ini bukan janji, tapi usaha.

Projek terbaru Bakawalee, adalah untuk festival teater Pulau Pinang. Kami buat saja.

17 April 2009

Monodrama 'Manusia Raja' - Yang Terisi

Monodrama 'Manusia Raja' adalah sebuah projek yang diinspirasikan oleh Projek KoKen geng Rumah Anak Teater. Teater yang dipersembahkan tidak akan tamat sekali ini saja, tetapi akan disambung ke Jilid 2, Jilid 3 dan selanjutnya.

'Manusia Raja' merupakan istilah yang dipetik daripada Kassim Ahmad di dalam bukunya Mencari Jalan Pulang. Beliau menyebutkan konsep Manusia-Tuhan, iaitu manusia sebagai khalifah yang boleh menentukan nasib dan destininya sendiri, terutamanya yang buruk. Kerana yang baik itu datang daripada Tuhan (Kassim Ahmad. Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam. ZI Publications Sdn. Bhd. 2008. ms 15-18) Aku tak mahu mengulas panjang tentang konsep ini. Kalau kalian nak penerangan yang lebih lanjut, carilah buku berkenaan.

Ada tiga cerita yang akan dipersembahkan secara solo atau monodrama.

Jebat : The Untold
Sebuah hipotesis tentang pergumpalan konflik diri Jebat yang dilihat dari kaca mata yang berbeza. Suatu amalan yang sangat taboo pada zaman itu tetapi dijadikan persoalan utama karya ini. Apakah dendam Jebat pada Sultan Melaka menjurus kepada nilai persahabatan semata-mata, atau mungkin lebih dari itu?

Hedonistik Mengejar Lari
Sebuah adaptasi daripada cerpen Dianadirani bertajuk Dialog. Konflik seorang wanita moden yang menjalani cara hidup bohemianisme. Menjadikan Tun Teja dan Mahsuri sebagai idola wanita anggun tetapi pada masa yang sama seteru kerana melalui cara hidup yang nyata berbeza. Konflik pertembungan wanita dua zaman di dalam dirinya.

Aku Bukan Parewa
Dia bukan penjahat, dia tidak pernah membunuh, tetapi kali ini dia membunuh orang yang paling dia sayangi. Semuanya kerana dia merasakan dia perlu untuk mengubah dunia menjadi lebih baik, ketika orang lain cuma tahu beromong kosong saja. Dia menunggu masa untuk dicela dan dihukum, namun dia tak akan menyerah. Terutama bila orang yang dia bunuh ialah.........

Semua tiga cerita ini ada drama di dalam drama. Ketiga-tiga bentuk lakonan monodrama diguna pakai iaitu monolog, soliloquy dan aside. Tontonlah dan lihatlah teater ini dari mata burung, bukan dari dalam tempurung.