27 June 2007

Sudah Order

Hari itu aku dan rakan sekerja makan di salah sebuah gerai nasi kandar yang enak dan terkenal di kalangan orang penggemar nasi kandar original.
Ada pelanggan Melayu, ada Cina, ada India, ada pelancong asing.
Nasi sudah diambil, aku dan rakan duduk. Pelayan datang, mengambil pesanan minuman.

Aku : Teh Wo Komtar

Rakan : Susu Telur

Beberapa ketika, sebelum air yang dipesan sampai, datang seorang lagi pelayan dan bertanya pada aku, rakan dan beberapa pelanggan lagi.

Aku : Sudah order

Rakan : Sama, sudah order

Apek Meja Sebelah : Sulah order

Member Apek Meja Sebelah : Tali sulah order lo

Pakcik Kopiah Putih : Dah Order

Makcik Tudung Labuh : Order dah, minta air suam sekali.

Maka sampai giliran pada seorang lelaki Caucassian. Pelayan membuat bahasa isyarat untuk minum.
Agaknya, dia menyangka itu minuman yang popular di Tanjung ni.

Lelaki Caucassian : Su Dah Order.

Entah dia mahu atau tidak datang balik ke Tanah Melayu lepas tu.

25 June 2007

Versatile

Suatu ketika dalam sebuah latihan rutin.

Aku : Ada orang kata, nak jadi pelakon yang bagus, perlu versatile. Tapi pada aku tak payahlah sampai lagu tu. Pacino tak versatile pun, tapi dia tetap diiktiraf bagus.

Pelakon 2 : Versatile?

Pelakon 1 : Hang tau ka apa tu versatile?

Pelakon 2 : Tau. Gaya.

Soundman : Yang tu style lah bodoh!

Maka malam yang hening itu bingit dek gelak ketawa kejam kami.

20 June 2007

Pilihan

Memang susah membuat pilihan.
Tambahan lagi pilihan itu, secara umumnya berisiko tinggi, kotor atau jijik.
Tapi kita masih perlu membuat pilihan.

Ada yang dengan beraninya membuat pilihan, dengan justifikasi masing-masing.
Ada tidak mahu membuat pilihan, tapi itu bukanlah satu pilihan kerana di antara pilihan yang ada itu, masih perlu dipilih.
Ada yang memilih, tapi takut untuk menyatakan pilihannya.

Tapi bagaimana agaknya jika kita memilih untuk tidak memilih, tapi membiarkan pilihan itu datang sendiri kepada kita. Adakah kita masih dianggap pengecut.

Percayalah, pilihan sebegini akan muncul dalam hidup kalian. Setidak-tidaknya sekali dalam hidup.

Waktu itulah kalian akan terkenangkan apa yang aku merepekkan ini.

18 June 2007

Pilih

Jika tiada lain-lain pilihan.

Di antara menjadi anjing yang memakan bangkai.....
dengan menjadi bangkai anjing.

Maka..... yang mana satu akan kalian pilih?

14 June 2007

Main Tuju Selut

Melihat Art bercakap tentang permainan yang dimainkan sewaktu kecil. Aku juga terpanggil untuk berbuat demikian.

Aku budak kampung. Kampung aku tak ada sawah. Tapi kampung aku ada hutan getah. Di Tanjung ni kalau kawasan kebun semuanya di panggil hutan; hutan getah, hutan kelapa sawit, hutan durian. Mungkin sebab semak sangat agaknya.

Kampung aku juga ada sungai. Airnya tak dalam. Cuma ada beberapa kawasan yang airnya hapus kepala. Kawasan yang lain mungkin sekadar betis kering. Air sungai cuma akan dalam kalau hujan turun lebat. Seriyat saja hujan aku akan hilang dari rumah, kerana berkubang di sungai yang memang sepanjang-panjang sungai itu airnya akan hapus kepala.

Memang bahaya.

Kalau air tak dalam, aku tetap terjun sungai juga. Laluan sungai itu berliku. Aku dan kawan-kawan menamakannya. Sungai pasir, sungai buluh, sungai titi, sungai batu; mengikut di mana kedudukan sungai itu. Sungai pasir di kawasan orang korek pasir, sungai buluh di kawasan paling banyak buluh, sungai batu di kawasan paling hulu dan ada banyak batu kecil di dasarnya, sungai titi tentunya ada titi.

Tempat kami turun untuk mandi juga berubah-ubah. Mengikut sedap hati kami. Ada kawasan yang landai, menjadi tempat pilihan orang basuh baju, ada kawasan yang curam, menjadi tempat pilihan aku membuat terjunan tungging buyong.

Dan yang paling kerap, permainan yang kami akan mainkan ialah permainan tuju selut. Bahasa mudahnya baling selut. Stok peluru akan kami korek dari tebing sungai, di kawasan tertentu. Selut yang terpilih hanyalah selut yang berwarna putih. Kalau yang lain dari itu, tidak menepati piawai kami.

Ada dua pilihan. Perang gerila atau perang berkubu.

Jika kami memilih perang gerila, maka kami akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan ini akan berpecah dan mengatur strategi. Maka dengan peluru yang kami kutip, kami akan bergerak ala gerila; di dalam sungai, di atas tebing sungai, di hutan getah, hutan kelapa sawit sepanjang sisi sungai. Bila kami jumpa musuh. Kami baling peluru. Sakit pun sakitla. Kami tidak baling peluru bertubi. Baling sekali dua, kami lari. Cari pula musuh lain. Waktu itulah ada adegan terbang sambil baling peluru, dan jatuh ke dalam air. Yang pakai macam ninja pun ada, ikat kepala macam Rambo pun ada. Strategi diatur dengan membuat bunyi burung atau binatang lain bila jumpa musuh. Biasanya tidak ada yang menang atau kalah. Cuma kepuasan kerana dapat membelasah musuh.

Jika kami memilih perang berkubu, maka masa akan diberikan untuk membina kubu secepat mungkin, sekuat mungkin, di samping mengumpulkan peluru secepat mungkin. Jika kawasan bekalan peluru itu di belakang kawasan kubu kami, maka bertuahlah. Tapi itu tidak menarik. Biasanya kami akan berkubu di antara kawasan bekalan peluru. Selut itu akan berada di tengah-tengah. Bila dah habis bekalan, maka perlulah ada orang berkorban untuk mendapatkannya. Jika lambat siap kubu, maka akan menjadi mangsa musuh. Jika kubu yang disiapkan juga tidak kuat, pun jadi mangsa juga.

Kubu kami biasanya dibuat dari batang kayu, batang kelapa sawit tumbang, tebing pasir, kayu-kayu, buluh, daun nyiur, daun-daun dan apa sahaja yang kami boleh jumpa. Dinding kubu mesti tinggi, supaya musuh tidak boleh merejam kami dengan mudah. Dinding kubu juga mesti kukuh, supaya tiada peluru musuh dapat menembusinya dengan mudah. Kami dan musuh tidak boleh datang terlalu dekat dengan kubu untuk menyerang, kerana itu dikira serangan gerila. Peraturan itu kami terima pakai secara bersama.

Kami terpaksa menggunakan cara serangan peluru lanjut. Laksana mortar, kami perlu tetapkan trajektori yang betul, agar peluru yang kami baling boleh mencecah kepala musuh. Jika tidak, perlulah kami guna kekuatan yang ada untuk merejam kubu musuh hingga tembus. Biasanya, satu-satu pasukan dikira kalah sekiranya kubu mereka ranap dan mereka diserang bertubi hingga menyerah. Tapi selalunya itu jarang berlaku.

Maka kami akan tunggu hingga hari gelap baru kami selesai main, dan balik. Atau hingga hujan yang lebat hingga menggelapkan dunia baru kami balik. Atau hingga salah seorang dari ahli pasukan kami dituruti oleh ahli keluarganya menyuruh dia balik.

Itulah permainan aku dulu. Aku jarang main permainan polis sentri, aku jarang main galah panjang, aku jarang main permainan wau kecuali pada musimnya, tapi biasanya lepas main wau aku akan terjun sungai juga. Dan rasanya aku main masak-masak cuma pada waktu aku belum masuk tadika.

Kalian waktu kecil pula main apa?

13 June 2007

Aku Juga Bukan Leonidas

Mereka juga kata aku Leonidas.

Pun bukan!

Memang bukan!

Mereka memang suka bukan-bukan.

11 June 2007

Penyanyi Dulu dan Sekarang

Sembang-sembang aku dengan orang lama, orang seni yang dah lama, dah lama bertapak dalam seni.

Katanya, dulu penyanyi memang tidak ramai. Sebab yang dicari dahulu adalah individu yang benar-benar berbakat.

Sekarang, longgokan penyanyi berlaku di sana-sini. Nak pula ada seratus macam rancangan realiti tivi yang katanya mengorek bakat para penyanyi. Hasilnya, penyanyi yang boleh menyanyi lebih kurang halal saja tapi ada aura komersil, diambil dan diasah vokal mereka melalui latihan yang sistematik. Akhirnya, kekuatan vokal mereka memang meningkat, tapi masalahnya, masing-masing terikat dengan kelebihan pada genre masing-masing sahaja.

Kalau pop, maka pop lah. Kalau fast number, maka fast number lah. Kalau rock, maka rocklah. Mereka tidak jadi penyanyi yang versatile.

Penyanyi dahulu bersandar semata-mata pada bakat. Jadi untuk membolehkan mereka dipilih oleh syarikat rakaman, mereka perlu versatile, menyanyikan apa saja genre pada ketika itu.

Entahlah. Ada orang kata pula, tidak boleh membezakan zaman dahulu dengan sekarang. Dulu tidak ada hip hop, grunge, alternative, pop rock, sekarang dah ada. Jadi cabarannya berbeza.

Aku sebagai orang yang naif dan daif dalam seni ini, terutamanya seni suara, kerap kali mengiakan saja.

Kalian pula bagaimana?

05 June 2007

04 June 2007

Nak Cakap KL Sangat

Dalam satu latihan teater.

Watak 1 : Cakap! Ape yang kau dah buat pada perempuan tu?

Watak 2 : Perempuan mane ni? Aku tak kenal pun? Kau siape? Polis?

Watak 1 : Tidak, aku bukan polis.

Watak 2 : Habis tu? Yang kau tanye aku macam-macam ni kenape?

Watak 1: Kau jangan banyak soal. Kau jawab sudeh!!

Maka kami yang tidak berlakon pun ketawa berguling-guling hingga hilang suara.

01 June 2007

Bulan Cinta Datang Lagi

Satu bulan dari sekarang, akan berlangsung acara yang ditunggu-tunggu oleh penggiat teater amatur Melayu di Tanjung, bulan festival teater. Sebanyak 15 buah produksi akan mengambil bahagian, daripada produksi yang dah berkali-kali mementaskan teater tidak kiralah cerita yang sama atau cerita yang berbeza, kepada produksi yang tidak pernah langsung mementaskan teater.

Kita nantikan kegembiraan, tangisan, ketegangan, kelucuan yang akan timbul sepanjang persiapan pementasan dan ketika pementasan itu berlangsung. Ini semua adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Tapi itulah asam garam festival teater di Tanjung yang akan dikenang sepanjang hayat.

Cukup intro.

Dan sepanjang bulan ini jugalah, cinta akan mula berputik; sama ada sengaja atau tidak sengaja, sama ada ikhlas atau tidak ikhlas. Aku tidak tahu sama ada cinta yang muncul itu adalah cinta monyet atau cinta kongkang atau cinta beralih arah atau cinta kenangan silam.

Yang pastinya cinta! Itupun kalau boleh ditakrifkan sebagai cinta. Takrifan? Itu kerja kalian.

Pengalaman banyak mengajar kita. Aku dah lihat orang jatuh cinta pada pelakon yang kacak dan cantik, jatuh cinta pada pelakon yang lakonannya maha hebat dan diakui pengkritik profesional, jatuh cinta pada kru buruh kasar pasang set pasang lampu yang selamba, pengarah jatuh cinta pada pelakonnya sendiri yang ditatangnya bagai minyak yang penuh, jatuh cinta pada pemilik kereta buatan Eropah, jatuh cinta tapi tidak berbalas, cinta yang terpaksa dibahagi-bahagi, cinta lima penjuru serta mengharapkan cinta.

Panjang senarainya kalau aku mahu sebutkan betul-betul. Setakat ini hampir kesemuanya bersifat sementara, kalau ada yang berjaya pun mungkin satu dua sahaja. Yang lain semuanya macam musim kucing mengawan; bunyinya kuat, kelahinya hebat, tapi yang dapat cuma dua tiga kerat.

Aku sendiri pun tak tahu minyak apa yang dipakai oleh dua tiga kerat sahabat pencinta dan dicinta wanita ini. Agaknya feromon mereka memang ultra dahsyat. Cuma aku berharap, tidaklah berulang peristiwa laskar pemburu cinta serta cerita cinta tak kenal siapa.

Bagi aku, semua ini adalah fitrah semula jadi manusia. Semua orang mahu mencintai dan dicintai. Tapi janganlah kerana cinta sesebuah organisasi itu musnah. Lebih buruk lagi persahabatan yang dah lama terbina runtuh. Cinta hak peribadi, dan apa yang buruk dan baik timbul dari cinta itu, letaklah ketepi. Maka tidaklah terjadi perkara yang tidak diingini.

Kalian jangan pula bandingkan dengan cinta kepada-Nya. Ini cerita kita. Manusia yang alpa.