24 November 2008

Kad Pengenalan

Apa yang aku nak sebutkan ni mungkin agak sensitif bagi sesetengah orang. Aku mungkin dapat komen pelbagai tapi aku tak kisah. Aku suka kalau orang berfikir.

Kita semua tahu dalam kad pengenalan kita, ada dinyatakan agama Islam. Kalau agama lain, aku tak pasti pulak. Mungkin salah satu sebabnya kalau ditangkap makan siang hari waktu bulan puasa, kad pengenalan itu sebagai buktinya. Atau lebih ekstrem lagi kalau ditangkap waktu tengah pesta maksiat. Dan yang pastinya, agama Islam di dalam kad pengenalan itu tak boleh lagi ditukar ke agama lain kalau di negara ini (kes Lina Joy aku tak mahu bincangkan di sini, kerana polemiknya panjang). Tapi kalau agama lain, bila seorang saudara baru memeluk Islam, maka boleh diletakkan ke agama Islam ke kad pengenalan mereka.

Persoalannya di sini.

Mengapa bangsa tidak diletakkan di dalam kad pengenalan?

Sebab setahu aku, bangsa ni tak boleh ditukar-tukar. Kalau kau Melayu, Melayulah kau sampai mati. Kalau kau suku Temiang, maka Temianglah kau sampai mati. Tapi mungkin masalah akan timbul bila berlaku perkahwinan campur. Melayu kahwin Cina, macam mana nak letak dalam kad pengenalan?

Melayu + Cina?

Takkan nak letak bumiputera atau bukan bumiputera?

Andai kata bapa kalian adalah anak hasil perkahwinan campur Melayu + India. Dan dalam kad pengenalan kalian tertera bangsa Melayu + India. Kalian pula berkahwin dengan Cina. Apa jadi dengan anak anda?

Melayu + India + Cina?

Mungkin itu agaknya sebab tidak diletakkan bangsa di dalam kad pengenalan.
Entahlah. Aku yang timbulkan persoalan, aku sendiri yang pening.

18 November 2008

Ulasan Yang Terpulas - Gelanggang Tok Wali

Pada ketika ini, kepala aku sedang berdenyut-denyut, penangan dek tidur pukul 4 pagi, bangun pukul 6 pagi. Semuanya kerana menyiapkan kerja-kerja hakiki yang tak pernah-pernah putus. Tapi di dalam kesibukan tu, aku masih lapangkan masa untuk menonton ketiga-tiga malam pementasan teater ‘Gelanggang Tok Wali’ dari kumpulan Resdongs.


Kumpulan Resdongs adalah nama besar di Tanjung selain daripada kumpulan ABAD. Setakat ini kumpulan Resdong tidak pernah gagal mendapat 3 tempat terbaik setiap kali festival teater Pulau Pinang di adakan. Di peringkat kebangsaan, mereka pernah menggondol naib johan. Jadi sememangnya ramai yang meletakkan harapan yang tinggi bila menonton Gelanggang Tok Wali, hasil buah tangan Ahmad Shazli yang pernah menggondol Pelakon Lelaki Terbaik 3 kali berturut-turut.


Sudah tentu, yang terbaik itu tidak semestinya sempurna. Gelanggang Tok Wali adalah garapan pertama Resdongs di luar waktu festival dan inilah juga garapan pertama mereka dalam bentuk realisme. Selalunya, Resdongs suka bereksperimen dengan cerita-cerita yang tidak boleh diletakkan dalam nahu realisme.

Dan uniknya kali ini, kerana pelakon-pelakon yang mendukungi watak-watak di dalam Gelanggang Tok Wali kebanyakannya adalah hantu tanpa tuan (freelance). Ahli-ahli Resdong yang lain membantu di belakang tabir. Dengan pelbagai latar belakang pelakon, pastinya sukar untuk membentuk lakonan yang mengesankan hati penonton.



Ada yang baru, ada yang lama. Ada yang dari bangsawan, ada yang dari realisme. Ada yang berpendidikan tinggi dalam teater, ada yang berlakon kerana minat. Hasilnya, malam pertama yang suram dan malang. Persembahan yang meleret-leret sehingga memakan masa 2 jam 15 minit kerap mengundang resah penonton. Cuma sesekali bila tiba adegan yang lucu dan pertarungan silat, maka mata penonton segar kembali.

Aku juga resah. Aku kerap melihat kiri dan kanan. Ramai yang berborak-borak. Ada rakan-rakan lain memaklumkan rungutan daripada audien. Mujur juga audien yang hadir malam itu, jika bukan penggiat teater, adalah jemputan yang datang dengan bas, atau rakan-rakan pelakon sendiri. Jadi kadar penonton keluar meninggalkan panggung adalah rendah.


Malam kedua, mujurlah juga tenaganya ada. Tetapi sayang lakonan tidak begitu konsisten. Maka keseluruhan cerita ada ketikanya kabur. Cantiknya kerana masa pementasan cuma 2 jam. Aku mengharapkan yang terbaik pada malam ketiga, tetapi sayangnya juga, tenaga pada malam ketiga amat lemah. Terasa letih sangat. Letih pelakon melekat kepada penonton. Cuma lakonan semakin bagus. Tutur kata dan artikulasi semakin jelas. Walau bagaimanapun, penghayatan lebih baik pada malam kedua.

Tidaklah aku katakana persembahan itu gagal. Lain orang lain citarasanya. Pada malam kedua, ada maklum balas daripada penonton sewaktu sessi soal jawab, bahawa mereka terhibur dengan pementasan yang diadakan. Aku sendiri mengaku pementasan itu tidak gagal. Apa yang ingin disampaikan oleh penulis Ismail Kassan, rasanya sampai kepada penonton. Cuma mungkin tidak begitu mengesankan.


Manalah mungkin dapat menghasilkan sebuah pementasan yang sempurna. Bagi aku, yang tidak sempurna itulah cantiknya di dalam seni. Kesempurnaan dalam seni adalah satu kecacatan.

Menurut pengarah Gelanggang Tok Wali, mereka dah berjaya dari banyak segi. Mereka dah berjaya meningkatkan mutu lakonan para pelakon. Mereka sebagai Resdongs berjaya mementaskan teater di luar waktu festival. Beliau sendiri berjaya mengarahkan sebuah teater realisme, suatu kejanggalan yang beliau tidak pernah lakukan. Biarpun ada kelemahan, tapi tetap berjaya.


Dan aku hormat pada usaha mereka. Kerana aku tahu mereka hormat pada usaha rakan-rakan aktivis teater yang lain. Harapnya mereka terus berkarya.

Janganlah nanti ada pula persoalan seperti siapa bunuh Tok Wali.

07 November 2008

Ulasan Yang Terpulas - Kalut

Ulasan ini mungkin agak lewat dari kebiasaannya. Ulasan ini juga mungkin tidak seperti biasa kerana tidak diiringi oleh imejan-imejan. Aku tidak berkesempatan merakamkan imejan kerana penonton yang hadir memenuhi segenap ruang tempat duduk. Aku sebagai aktivis, lebih suka memberi peluang kepada para penonton yang datang dari jauh.

Ulasan ini juga lewat kerana dikekang oleh tugasan hakiki yang turun menimpan bak hujan ribut tropika. Sampaikan aku tak tahu mana satu yang nak ditadah, mana satu yang nak dicurah. Jadi hasilnya inilah.

Kalut merupakan karya dan arahan pertama Haizal. Kalut adalah adaptasi dari tajuk yang sama oleh Razali Ridzuan. Kalut adalah sebuah teater improvisasi. Sebagai seorang pengarah yang baru pertama kali mahu mengarah selain daripada latar belakang teater yang tidak formal, dia memang berani mengambil risiko. Aku tidak pasti sama ada dia sedar atau tidak risiko yang diambil. Aku tidak pasti adakah Kalut dihasilkan kerana mahu dihasilkan hingga kebanyakan perkara lain terabai.

Pastinya lesen kali pertama mengarah digunakan sepenuhnya. Pengarah sukar dihukum kalau itu kali pertama. Sifat dan budaya orang Asia suka memaafkan kesalahan kali pertama. Beri peluang untuk kali kedua. Tapi pada aku, kalau nak buat yang pertama pun, biarlah betul-betul bersedia.

Kalut memang kalut.

Kalut memang telah berjaya dipentaskan sebagai sebuah pementasan teater. Ramai yang ketawa berdekah-dekah dengan lawak-lawak yang dihamburkan. Konsepnya realisme, ceritanya terus. Tak ada kona-kona. Tapi dari kaca mata seorang penggiat teater amatur, ada kelemahan yang perlu diberi perhatian. Tenaga, tempo, kontinuiti, interaksi antara karakter dan beberapa perkara lagi adalah antara perkara yang paling ketara timbul.

Sudah tentunya, tak boleh salahkan pengarah yang baru kali pertama.

Tapi bila isi persembahan itu sendiri nampak kalut, dan dipersoalkan oleh beberapa penonton, maka semua itu harus diberi perhatian serius. Bukan takut pada penonton yang suka meletakkan standard. Tapi takut kita yang berpuas hati dengan standard itu.

Aku bukanlah pandai sangat. Aku pandai-pandai buat saja. Tanpa latar belakang ilmu teater yang formal, aku sama saja dengan pengarah ini atau orang lain. Tapi aku berpendapat, pengalaman masih boleh diambil kira.

Satu perkara yang paling aku nak tegaskan, bila nak buat sesuatu, sekurang-kurangnya mesti ada ilmu. Kalau nak pandu kereta, sekurang-kurangnya tahu cara menukar tayar bila pancit. Janganlah tahu bawa saja. Bila malapetaka menimpa, kita terpaksa mengharapkan orang lain menolong. Dan sudah tentu, seperti bawa kereta juga, kita tidak tahu semuanya tentang kereta kalau kereta itu rosak. Mekaniklah yang paling tahu. Maka merekalah yang patut kita rujuk kalau mahu membuat perjalanan jauh. Dan mereka jugalah yang akan kita minta tolong kalau kereta kira rosak.

Pementasan juga begitu. Pengarah ibarat pemandu kereta. Pelakon dan ahli produksi adalah penumpang. Kalau pengarah setakat tahu bawa kereta, maka bersiap sedialah dengan segala kemungkinan.