23 February 2009

Cakap dan Kerja

Ada orang pandai cakap, tak pandai buat kerja.

Ada orang tak pandai cakap, pandai buat kerja.

12 February 2009

Tagline Baru

Aku nak cipta tagline baru.

"Aku tak ada Subwoofer Sony Explode di bonet kereta, tapi aku ada jack tayar pancit cap Honda."

06 February 2009

Mengiklan Teater di CNN

Pernah terfikir bagaimana nak mengiklankan teater di CNN, Al Jazeera dan banyak lagi siaran tivi antarabangsa? Kalian akan kata, nak iklankan di RTM atau TV9 pun tak mampu, inikan pula CNN.

Mudah saja.

Dermakan t-shirt produksi teater kalian kepada mangsa kekejaman seperti di Gaza, atau mangsa bencana alam seperti di China. Bila mangsa ini pakai baju produksi kalian, secara percuma saja CNN atau Al Jazeera akan tayangkan ke seluruh dunia. Bayangkan......

Apa? Mengambil kesempatan? Eh, taklah! Ada ramai lagi yang ambil kesempatan tapi kalian tak peduli pun!

05 February 2009

Projek Koken 1 - Akhirnya Aku Boleh Melompat

Janji aku pada Namron dah tertunai. Hajat yang terbuku di dada pun dah terlangsai. Perbelanjaan RM 200.00 duit petrol, RM 97.00 duit tol dan RM 20.00 duit sumbangan masuk untuk menonton Teater Kompilasi Vol. 1 untuk Projek Komuniti Kental (Koken), memang sangat berbaloi aku rasakan.

Aku ni ibarat katak dalam bikar kaca. Dah beberapa tahun aku buat teater. Dah beberapa tahun aku mengarah. Aku rasakan puncak pengarahan aku setakat ini adalah pada dua tahun lepas, bila aku mementaskan Devian Dogma : Orang Minyak Mengganas. Itupun tidak ke mana, tapi aku puas. Selepas itu, aku rasakan pemikiran aku makin tumpul. Terutama bila aku makin kurang menonton pementasan orang lain. Nak tengok pementasan macam mana kalau pementasan teater sangat kurang di Tanjung ini. Kalau ada pun mungkin Projek Tahun Akhir Pelajar Lakonan & Pengarahan USM, tapi berapa kerat sangatlah yang dapat merangsang minda aku.

Jadi setelah menonton pementasan di Stor DBP ini, aku semacam terkena kejutan elektrik. Kejutan itu telah menyegarkan segala sinaps dan elektron di dalam kepala otak aku. Baik dari segi pengarahan, sinografi, lakonan, dramaturge dan yang paling utama sekali, idea dan isu yang dipaparkan, telah menyegarkan aku. Teater ini seolah telaga keremajaan yang mengembalikan rasa rindu aku untuk menghasilkan sesuatu yang segar.

Itulah untungnya berteater di Kuala Lumpur. Penontonnya lebih terbuka, sudi menggadaikan wang ringgit demi mengecas minda. Dan penonton yang hadir kebanyakkannya celik teater. Namun aku yang baru beberapa kali menonton teater di sana, melihat semacam ada jurang audien di kalangan mereka. Mungkin aku salah. Harapnya aku salah. Kenyataan ini sengaja dibiarkan tergantung sehigga bukti terkini dikutip.

Aku suka kejutan-kejutan di dalam pementasan kali ini. Mungkin bagi sesetengah org, dah biasa. Tapi pada aku, aku suka. Cuma babak akhir mungkin mereka sengaja menyiksa penonton agar menajamkan pemerhatian kepada apa yang ingin disebutkan dan disampaikan.

Sudah!

Berhenti memberi komen-komen dangkal kepada mereka yang ilmunya lebih dalam dari Jurang Mariana, lebih tinggi dari awan kumulonimbus, lebih padat dari adamantine. Tengok dan belajar!

Ada lagi yang aku nak kata. Tapi aku biarkan tergantung lagi di sini. Aku dah jadi katak yang boleh melompat.

04 February 2009

Iklan - Festival Teater Malaysia 2009 Pulau Pinang

Musim festival datang lagi. Dahulu, dikenali dengan nama Pekan Teater, kemudian Festival Teater Malaysia. Dulu, setahun sekali ada festival. Kini dua tahun sekali. Apa-apa pun, kemeriahannya tetap sama. Kumpulan teater baru dan lama berkampung di taman budaya negeri untuk menghasilkan pementasan teater yang terbaik.
Tahun ini, unik. Kerana tidak hanya kumpulan-kumpulan NGO teater atau IPT saja yang akan terlibat, tetapi turut ditawarkan kepada kumpulan teater kanak-kanak (mungkin pihak sekolah pun boleh masuk), serta ada kategori monolog.
Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, bolehlah muat turun syarat penyertaan dan borang melalui link di bawah.

Link Borang dan Syarat Festival Teater Malaysia 2009 Pulau Pinang

http://www.savefile.com/files/1994444 - Syarat Penyertaan Kategori NGO-IPT
http://www.savefile.com/files/1994445 - Borang Penyertaan Kategori NGO –IPT Page 1
http://www.savefile.com/files/1994448 - Borang Penyertaan Kategori NGO –IPT Page 2
http://www.savefile.com/files/1994449 - Borang Penyertaan Kategori NGO –IPT Page 3

http://www.savefile.com/files/1994456 - Syarat Penyertaan Kategori Monolog
http://www.savefile.com/files/1994457 - Borang Penyertaan Kategori Monolog Page 1
http://www.savefile.com/files/1994459 - Borang Penyertaan Kategori Monolog Page 2
http://www.savefile.com/files/1994460 - Borang Penyertaan Kategori Monolog Page 3

http://www.savefile.com/files/1994462 - Syarat Penyertaan Kategori Teater Kanak-kanak
http://www.savefile.com/files/1994463 - Borang Penyertaan Kategori Teater Kanak-kanak Page 1
http://www.savefile.com/files/1994464 - Borang Penyertaan Kategori Teater Kanak-kanak Page 2
http://www.savefile.com/files/1994465 - Borang Penyertaan Kategori Teater Kanak-kanak Page 3

Untuk pertanyaan lanjut, bolehlah hubungi En. Hanizam Othman, Pegawai Kebudayaan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang di talian 04-2817791, 04-2817792 atau telefon genggam 013-6191239.

28 January 2009

Produk Kami Saja Yang Halal dan Suci

Sebenarnya aku dah hilang hormat pada sebuah kompeni produk keluaran bumiputera yang boleh dikatakan berjaya. Minumannya digemari ramai dan diiklankan di tivi. Bak kata orang, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Cuti yang lepas, ada satu taklimat oleh jurujual merangkap ejen produk kompeni berkenaan di kampung mentua aku. Aku tahu tentang taklimat itu, tapi aku tak ambil peduli kerana aku tak berminat dan pada masa yang sama aku pun dah nak bertolak pulang ke kampung aku. Cuma mak mentua aku yang hadir bersama beberapa puluh orang kampung yang lain.

Bila aku pulang, maka mak mentua aku pun bercerita. Katanya dipasang satu tivi besar (aku rasa mungkin plasma tivi atau skrin dengan projektor) dan ditunjukkan satu filem seekor lembu diproses hidup-hidup. Dan yang paling tidak seronoknya bila ejen yang memberi taklimat tu berkata, “makcik pakcik semua jangan dok beli burger lain kat Malaysia ni. Daging burger yang semua dok makan macam tu la depa proses,” merujuk kepada lembu yang dikisar hidup-hidup.

Aku beristighfar, ada juga orang yang berniaga sampai macam ni, merujuk kepada ejen dan kompeninya itu.

Dan mak mentua aku bercerita lagi, “kesian kat mayat-mayat yang sebelum ni, sebelum ditanama lepas dimandi dengan sabun lemak babi. Semua sabun kat Malaysia pakai lemak babi. Sabun kami saja yang halal dan suci.”

Aku istighfar lagi.

Yang paling berjaya membuatkan mak mentua aku ragu-ragu, “makcik pakcik tau tak sup ekor yang ramai dok suka makan tu? Mana depa ambik banyak-banyak? Depa pi cari lembu malam-malam atau lembu yang tak ada orang jaga, lepas tu pi kerat ekor lembu tu.” Maka mak aku pun terfikir, selama dia hidup, tak pernah pula dia jumpa lembu hidup yang ekornya kontot.

Maka selepas itu, pakat pulunlah orang-orang kampung ini yang percaya dengan taklimat ejen ini, mendaftarkan diri agar mereka boleh mendapatkan produk kompeni ini dengan lebih mudah, halal dan toyibah. Tak termasuk mak mentua aku dan beberapa orang yang masih ragu-ragu terutama selepas itu ada pula sesi tilik tapak tangan cari penyakit dan belilah ubat yang dijual untuk legakan penyakit.

Aku dah hilang hormat pada kompeni ini. Namun aku masih bersangka baik, bahawa pengurusan atasan kompeni tidak tahu menahu tentang metod ejen-ejen mereka. Aku tidak kisah mereka menjual produk dan mempromosikan produk bumiputera yang halal dan suci. Tapi memperlekehkan produk lain dan mengatakan produk mereka terbaik, bukanlah strategi pemasaran yang baik.

Harapnya situasi ini akan berubah. Sayang, kerana kompeni ini ada potensi yang jauh.

20 January 2009

Pasca Rekaan Utama 1

Rekaaan Utama dah habis. Dan banyak perkara yang aku tidak berpuas hati, terutamanya dari segi lakonan, campur tangan kuasa asing, serta sesetengah audien yang bermentaliti kampung.

Aku rasa aku memang pengarah yang teruk. Kerana aku tidak dapat membentuk pelakon aku menjadi seperti mana yang aku hajatkan untuk sesuatu watak itu. Mungkin ada halangan mental dalam kepala otak aku yang sentiasa berbisik dan berkata, ‘mereka ini suka-suka saja join teater. Mereka tak dibayar, mereka dah banyak buat pengorbanan’, maka dalam banyak ketika aku mengabaikan saja kehendak artistik aku. Demi menghormati pengorbanan mereka ini.

Aku rasa seolah-olah tidak patut memarahi atau memaki orang yang sukarela melakukan sesuatu. Dahlah orang tu sukarela, lepas tu kena maki hamun lagi. Natijahnya, dapatlah hasil lakonan yang macam celaka. Ya, aku memang pengarah yang teruk. Tapi aku rasa marah-marah dan maki-maki ini tidak perlu bagi seorang pengarah. Ada banyak cara lain yang boleh diterokai. Nordin Hassan tidak pernah maki hamun para pelakonnya. Beliau kerap bersuara dengan sinis tetapi lembut. Tetapi harus diingat para pelakon beliau kebanyakannya orang lama yang bukan muda belia lagi.

Tetapi adakah cukup masa meneroka cara untuk mengarah seseorang pelakon kalau masa latihan cuma kurang dari tiga bulan. Itu pun 3 kali seminggu dan 2 jam setiap kali latihan. Cukup? Seorang pelakon, mungkin boleh. Dua orang, mungkin boleh. Tiga, empat, lima, enam? Mungkin di sinilah wujudnya peranan jurulatih lakon. Itulah salah satu bidang tugas yang aku tak dapat wujudkan. Ya, aku memang pengarah yang teruk.

Dan ditambah lagi dengan campur tangan kuasa asing yang suka mengacau keputusan artistik yang telah aku buat. Keputusan ini bukan sahaja pada nilai artistik tetapi juga pada tujuan naskhah itu dipentaskan. Ada orang berpendapat, naskhah yang dipentaskan haruslah dari bentuk yang boleh menarik perhatian orang serta mudah dihadam. Kalau ketawa, biar penonton yang datang boleh ketawa. Kalau sedih biar penonton yang datang boleh menangis sedih. Persetankanlah mainan ideologi, mesej tersirat atau apa saja perkara-perkara lain yang boleh diteroka oleh para aktivis ini. Jadilah katak on kembang kuncup kembang kuncup di bawah mangkuk kaca lut sinar. Akhirnya katak pun jadi mangkuk.

Aku sebenarnya bukan tidak bersetuju dengan teater-teater yang menggembirakan atau menyedihkan itu. Aku sangat setuju supaya setiap lakonan mempunyai rasa; memetik kata-kata Khalid Salleh dan Dr. Samat Salleh (lain-lain bapa). Lakonan yang berasa akan menghasilkan rasa kepada penonton. Lakonan para pelakon Rekaan Utama belum cukup rasa. Tetapi bagi sesetengah audien, lakonan mereka mungkin sudah cukup hebat. Tidak bagi aku.

Maka, kalau setakat menghasilkan sebuah cerita yang boleh menjentik rasa penonton, tidaklah susah mana. Tambahan lagi yang datang itu rata-rata orang yang tidak terlibat secara langsung dengan teater. Maka apa yang dilihat tidak cacat di atas pentas, sampailah rasanya. Samalah seperti orang yang tidak terlibat di dalam filem, mana-mana saja syot yang nampak cantik dan lakonan yang syok, maka sampailah rasanya.

Maksud aku di sini, cerita-cerita begini kalau tidak kena gaya akan memperbodohkan penonton. Penonton datang cuma melihat kulit yang cantik tetapi otaknya lompong. Sekali sekala bolehlah untuk merehatkan otak. Tapi kalau tiap-tiap kali pementasan macam tu? Nanti ada orang kata pula, tidak semua orang itu kesukaannya sama. Benar sekali. Tapi adakah jika seseorang itu sukan makan makanan segera yang lazat di lidah, maka kita akan menggalakkannya lagi?

Inilah campur tangan yang aku maksudkan. Campur tangan yang lebih bimbangkan bilangan penonton berkurangan dek tidak faham menonton teater yang mungkin terlalu pelik dan intelek. Tetapi tidak pula bimbangkan aktivis yang menghasilkan pementasan sekadar mahu menarik penonton. Aku bukannya tidak buat kajian khalayak. Aku mungkin tidak tahu secara terperinci kehendak penontin tetapi aku yakin ramai penonton tidak suka diperbodohkan. Atau mungkin aku yang silap.

Satu lagi perkara yang menjengkelkan aku bila mana mentaliti kampung (aku bukan anti kampung, aku juga anak kampung dan suka tinggal di kampung), yang suka meminta diskaun. RM 5 pun nak diskaun? Dah diskaun, nak lagi tiket free. RM 5 budak-budak sekarang ni dah boleh top up kredit telefon bila-bila masa saja. Makan nasi kandar paling murah pun RM 5 ( kecuali makan nasi kosong dengan kuah dal saja). Beli Marlboro 14 pun mahal lagi (aku tak tahu berapa harganya sebab aku tak merokok). Tetapi masih hendak diskaun?

Sepanjang pementasan,ada satu peristiwa yang sangat mengesankan hati kami ahli produksi. Pertama, penonton yang hadir rata-rata dari pelbagai peringkat umur, namun ramai yang masih belia dan remaja. Ada yang dijemput, ada yang walk-in. Orang-orang kampung sekitar yang biasanya memenuhi pementasan percuma, hampir tidak ada dek RM 5.

Tetapi ada dua beradik dari sekolah rendah; adik dan abang, datang membayar tiket RM 5 untuk menonton pementasan ini. Mereka tidak minta diskaun, dan tidak pula tanya kadar untuk kanak-kanak. Bila dimaklumkan harga tiket adalah RM 5 untuk seorang. Masing-masing beralah mahu salah seorang dari mereka masuk tengok. Budak-budak pun sanggup bayar RM 5! Agaknya kalau harga yang kami letak sama dengan harga teater geng Rumah Anak Teater atau Vitamin, mampus nak ada orang datang.

Sekian dahulu bebelan aku sebagai ganti entri yang tertangguh sebelum-sebelum ini. Entri bergambar akan datang kemudian. Sekarang aku nak fikir benda lain pulak.

12 January 2009

Mawi-Ekin lawan Zionis

Agaknya, kalau tanya pada orang, dia orang tahu tak berapa jumlah kematian di Gaza setakat ni, berbanding macam mana meriahnya kenduri Mawi-Ekin?

08 January 2009

Sibuk Tahap Dewa

Sibuk! Sibuk! Sibuk!

Nak buat rebiu Monodrama Black Box......... tak sempat!
Nak komen pasal Rekaan Utama........ pun tak sempat!

Sibuk! Sibuk! Sibuk!

23 December 2008

Imejan Teater 'Rekaan Utama'

Ketua Negara Gelanda


Pakar Sains Sia-sia

Pakar Sains Gelanda

Ketua Negara Rakanda (1)

Pakar Sains Rakanda

Ketua Negara Rakanda (2)

Ketua Negara Sia-sia

Stage Manager yang baik hati

Korus-korus


Para pendukung watak
Jangan lupa datang menyaksikan teater 'Rekaan Utama' oleh Persatuan Bakawalee Pulau Pinang di Auditorium P.Ramlee, Taman Budaya Negeri Pulau Pinang.
16, 17 & 18 Januari 2009, Masuk RM 5.00

18 December 2008

Selamat Hari Lahir George Town

Tahukah kalian, hari lahir bandaraya George Town sebenarnya lebih tua berbanding negara Malaysia? (Malaysia dalam erti kata kemerdekaan Tanah Melayu atau Malaya, bukannya tarikh pembentukan Malaysia pada 1963). Lapan bulan lebih tua berbanding Malaysia kalau nak dikira secara kasar. Kerana George Town diwartakan sebagai sebuah bandar pada 1 Januari 1957 oleh Permaisuri England melalui wakilnya Pesuruhjaya Tinggi British.

Ingat! Diwartakan sebagai bandaraya, bukan merdeka. Dan baru-baru ini juga turut diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia bersama-sama Melaka oleh UNESCO. Pelancarannya diadakan di Dataran Merdeka bulan lepas dan aku pasti tidak ramai di antara kalian yang menontonnya. Pasti. Kerana aku sendiri pun tidak akan menontonnya, kerana aku sendiri berada di sana.

Selamat hari lahir George Town. Nampaknya tidak ada peluang lagi namamu bertukar ke Tanjung Penaga kerana sudah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia. Dan ada peluang juga namamu ditulis dalam bahasa Cina, India, dan Arab.

03 December 2008

Kisah Niaga

Masa belajar dulu, aku pernah berniaga jual dan servis komputer. Bukan apa, cari pengalaman dan sedikit duit poket. Aku buat dengan kawan aku. Kalau jual satu set komputer, bolehlah untung RM 300 atau mungkin kurang. Adakala sampai RM 600 pun ada. Kalau servis, tak untung manapun. Format komputer RM 50. Tapi menyiksakan diri kalau kena sesetengahnya yang sistem BIOSnya berlainan. Kalau tukar barang bolehla untung RM20 macam tu. Selalunya untung kecil tapi tekanannya tu besar.

Ada ketika, akan diadakan semacam PC Fair di dalam kampus. Kampus aku memang jauh dari bandar, jadi PC Fair ini menjadi pilihan pelajar untuk mencari barang-barang yang murah. Satu booth untuk pelajar lebih kurang dalam RM200 untuk beberapa hari. Pelajar yang menjual komputer ni taklah ramai sangat, jadi jarang sekali jumlah jualan booth mencukupi. Jadi penganjur yang terdiri dari persatuan atau badan pelajar ini, menjemput vendor dari luar.

Masalah timbul bagi kami bila vendor dari luar dijemput. Ada kalanya vendor yang dijemput itu merupakan stokis kami sendiri. Jadi terpaksalah bersaing dengan stokis sendiri atau vendor yang menjual barang dengan harga yang jauh lebih murah.

Contohnya, kami menjual dakwat isian semula dengan harga RM 10.00. Sedangkan ada vendor yang menjual item yang sama dengan harga RM 9.00. Kenapa jadi begitu? Kerana pada ketika kami memborong item itu, harganya RM 9.50. Sedangkan vendor punya lebihan stok lama item itu yang boleh didapatkan dengan harga RM 7.00. Takkanlah kami nak jual pada harga belian? Begitulah juga nasib yang sama menimpa rakan-rakan niaga pelajar yang lain.

Kadangkala aku merasakan tidak adil menjemput vendor ini. Tapi, aku beranggapan, itulah rencah resam perniagaan. Kalau tak berani ambil risiko, jangan berniaga. Dan aku tak sukakan risiko, maka aku kerja makan gaji sekarang.