24 September 2010

23 September 2010

Pengawal Peribadi Gundik Ketujuh Maharaja

Kredit kepada Sribudi Artistik yang memberikan idea untuk cerita ini.

Maharaja ada seorang isteri yang secara rasminya menjadi permaisuri. Dan berpuluh orang gundik. Di antara berpuluh orang gundik itu, gundik ketujuh adalah yang paling disayangi baginda. Tetapi wanita mana tidak cemburu pada suami yang sebegitu.

Maka permaisuri dengan idea yang bijaksana menaikkan pangkat gundik ketujuh menjadi gabenor di salah satu wilayah jajahan mereka yang paling kaya. Maharaja risau. Tidak boleh ditolak cadangan itu kerana cadangan itu sangatlah bernas. Gundik ketujuh juga dikenali sebagai gundik yang paling cerdik di kalangan semua.

Maka setelah berfikir panjang, maharaja bersetuju, dengan syarat gundik ketujuh ditemani seorang pengawal lelaki yang paling handal. Permaisuri tiada masalah. Tetapi kini menjadi masalah pula kepada maharaja untuk mencari pengawal yang bukan saja handal, setia, tetapi tidak akan mengambil kesempatan terhadap gundik ketujuh yang cantik. Maklumlah, kaum lelaki yang bekerja di istana tidak dikembiri. Takut menyalahi tatasusila kemanusiaan.

Maka dicanangkan keseluruh negara tentang pencarian itu. Maka beribu-ribu manusia hadir untuk menguji bakat. Bermula dengan ujian bertulis, ujian kecergasan, ujian ketahanan, ujian pengetahuan am serta ujian pertarungan, maka yang berjaya disenarai pendek cuma 10 orang sahaja.

Untuk ujian yang terakhir, semua pengawal ini diminta cuma memakai kain sarung, dan diletakkan gendang kecil dihadapan kelangkang mereka. Seorang demi seorang diminta menemui gundik ketujuh berseorangan.

Bermula calon yang pertama, disebalik tirai yang jarang, gundik ketujuh mula menjatuhkan sedikit bajunya sehingga menampakkan kulit bahunya yang mulus. Dan berbunyilah pong! Gendang kecil berbunyi. Calon pertama gagal.

Masuk calon kedua. Pong! Gagal lagi.

Masuk calon ketiga. Pong! Pong! Masih gagal.

Masuk calon keempat sehingga kesembilan. Pong! Pong! Pong! Gendang terus-terusan berbunyi, menandakan mereka semua gagal. Maharaja mula risau. Mereka semua ini handal belaka, tetapi tidak boleh diharap untuk mengawal gundik ketujuh.

Masuklah calon terakhir. Gundik ketujuh mula menampakkan kulitnya yang halus mulus sekali lagi. Tiada bunyi. Kulitnya terus dinampakkan. Bajunya mula luruh. Tiada bunyi. Kainnya mula luruh. Tiada bunyi. Hinggalah semua pakaiannya luruh, dan cuma dilindungi kain jarang di hadapan mereka. Masih tiada bunyi!

Maharaja sudah boleh menarik nafas lega. Sudah ada orang yang boleh dipercayainya.

Gundik ketujuh tersenyum. Sambil mengutip pakaiannya, dia langsung berpusing ke belakang, dan tiba-tiba, pong! pong! pong! pong!

Maharaja menepuk dahi.

20 September 2010

Keliru Atau Versatil

Orang selalu keliru, bila melihat aku melayan lagu-lagu seperti :

Metallica - Master Of Puppet

Raihan - Demi Masa

Art Fazil - Merindu Kepastian

Secret Garden - Adagio

Lady Gaga - Bad Romance

M. Nasir - Bukalah Hatimu

M. Daud Kilau - Cek Mek Molek

Kris Dayanti - Rembulan

Korn - Twisted Transistor

John Legend - Ordinary People

Mohabbatein - Aankehin Khuli

Disturbed - Down With The Sickness

May - Sketsa Sebuah Cinta

Eminemm - I Love The Way You Lie

dan senarainya panjang.... dan biasanya berubah-rubah.


17 September 2010

Teater Orang Muda, Teater Orang Tua

Dulu kalau muda-muda, buat teater sebab nak seronok dapat buat teater saja. Sebab itu ramai orang muda yang lebih minat berlakon berbanding buat kerja-kerja buruh teater yang lain, terutama yang baru nak kenal teater.

Bukan apa, glamor berlakon teater tu ada (walau tidak seglamor berlakon drama tivi atau filem). Kalau berlakon di sekolah, bila lepas berlakon, akan rasa seolah-olah satu sekolah itu cam muka mereka. Kalau berlakon dengan persatuan atau kelab teater pun lebih kurang sama. Merasakan lakonan mereka dah cukup baik.

Waktu muda, berteater ini lebih kepada seronok berteater. Kepuasan pada apa yang mampu disampaikan kepada audien, terutama melalui lakonan. Sebab itulah ada yang berlakon tak sedar diri hingga memakan watak pelakon lain.

Bila dah tua ni, paradigma dah berubah. Berlakon dah tak larat nak berlakon. Kalau berlakon pun, biasanya untuk mencabar diri dengan sesuatu yang lebih sukar dari yang biasa dibuat. Dan bila tua lah mula berminat nak mengarah, menulis skrip atau kerja-kerja artistik yang lain. Mahu supaya pemikiran mereka dilihat oleh audien. Tapi tidaklah semua begitu. Kerana setiap insan dilahirkan berbeza.

Orang muda lebih marah. Kalau buat teater, biasanya yang radikal dan memprotes. Itupun perlu lihat latar belakang orang yang buat teater tu lah. Ada juga yang lebih berhasrat menghiburkan orang.

Orang tua lebih sabar, protesnya dalam diam dan berlapik. Pun begitu, ada juga yang buat sekadar menghiburkan audien. Teaterkan termasuk juga dalam cabang hiburan. Jadi kerja mendidik audien teater ini, akan berterusan sehinggalah masyarakat kita bersedia menerima teater sebagai satu industri.

11 September 2010

Raya Kerana Duit Raya

Tiada siapa yang akan dapat menafikan, antara insan yang paling gembira di hari raya ini adalah kanak-kanak, terutamanya yang berusia 12 tahun ke bawah. Dan pastinya aku bercakap ini tentang kanak-kanak normal, bukannya yang kurang bernasib baik.

Dan kita semua tahu, tradisi kunjung-mengunjung oleh kanak-kanak ini telah lama dilakukan sejak dahulu. Biasanya mereka akan mengunjungi kawasan sekitar seperti kawasan kampung atau kawasan perumahan. Dan pada masa inilah mereka mengambil peluang untuk mengenali jiran-jiran kampung mereka.

Kalau pada zaman aku dahulu, ada kanak-kanak yang mengembara dari kampung lain ke kampung kami. Tidak ketinggalanlah aku yang pernah beraya agak jauh hingga terpaksa menaiki bas, semata-mata untuk beraya ke rumah cikgu sekolah aku.

Sayangnya kerana nilai tradisi kunjung mengunjung ini sudah semakin berbeza kini. Kanak-kanak tidak lagi mengunjungi rumah jiran sekampung untuk mengeratkan silaturahim, tetapi lebih kepada mengutip duit raya. Dan biasanya, duit rayalah motivasi utama mereka. Tidaklah aku menyalahkan mereka, kerana mereka masih kanak-kanak. Tetapi kesedaran ini patut diterapkan oleh individu yang lebih tua dari mereka.

Kalau dulu (zaman aku mungkin berbeza, zaman sebelum aku pastinya lebih berbeza), duit raya biasanya diberi pada nilai 20 sen. Rata-rata rumah dikampung, itulah nilainya. Ada juga yang memberi 10 sen. Kalau 50 sen, itu sudah dikira mewah dan kalau RM 1.00, maka rumah itu akan dicop rumah orang kaya.

Ada pada satu ketika, rezeki keluarga aku agak baik pada tahun itu dan kena pada hari raya itu, arwah ayah aku berhasrat menyedekahkan RM 1.00 kepada setiap kanak-kanak yang hadir. Pada ketika itu, RM 1.00 sudah dikira mewah, kalau pun tidak dianggap orang kaya (keluarga aku pun bukan kaya, cukup makan saja).

Maka implikasinya, kanak-kanak tidak putus hadir ke rumah keluarga aku. Seperti mana berita CNN dan Al-Jazeera, begitulah pantasnya merebak cerita duit raya RM 1.00 yang diterima. Seperti ada jaringan komunikasi yang sangat berkesan di antara mereka. Bayangkan, kanak-kanak yang kami tidak pernah lihat muka mereka (maksudnya dari kampung lain. Kalau dari kampung yang sama, biasanya wajah mereka kebiasaan dilihat dan kalau ditanya anak siapa, kami akan kenal mereka dari keluarga mana), tiba-tiba muncul dari merata-rata. Dan seperti biasanya, mereka tidak mahu singgah untuk menjamah makan dan minum, cuma menadahkan tangan di depan pintu, bersalaman dan kemudian beredar. Malahan ada yang tidak bersalaman pun. Lebih tragis lagi, ada yang walaupun telah hadir pada sebelah pagi, akan datang lagi pada sebelah petang dengan pakaian yang berbeza untuk mendapatkan duit raya.

Kini, sekiranya sesebuah rumah itu hanya memberikan duit raya sebanyak 50 sen (kerana itu yang termampu, maka kita boleh lihat sendiri berapa ramai bilangan kanak-kanak yang akan hadir ke rumah itu. Kanak-kanak ini pun biasanya, menggunakan modus operandi yang sama iaitu mensasarkan rumah yang kelihatan mewah dan rumah yang sudah pasti memberikan duit raya yang bernilai tinggi. Ada sesetengah yang sanggup menggunakan duit raya itu untuk membeli minuman berkarbonat di kedai berbanding minum di rumah yang mereka singgah untuk mendapatkan duit raya.

Rugilah kanak-kanak ini kerana tidak mengenali jiran-jiran mereka, walaupun pada tahap minda mereka itu, perkara itu tidaklah penting.

5 ke 10 tahun lagi, entah bagaimana suasana mendapatkan duit raya ini. Mungkin duit raya bertukar kepada topup kredit telefon, atau duit raya cuma perlu diberi secara on-line sahaja. Maka makin jahanamlah nilai kunjung-mengunjung yang sepatutnya diterapkan.

01 September 2010

Ramadhan Sebagai Sumber Pelancongan

Ada orang mungkin menggelengkan kepala membaca tajuk ini. Ramadhan bulan yang mulia, bulan untuk beribadat. Memanglah Ramadhan juga menjanjikan rezeki kepada para peniaga, tetapi budaya hiburan dan berbelanja tak kira bajet, bukanlah satu perkara yang nampak molek dilakukan di bulan Ramadhan. Tapi mengapa Ramadhan nak dijadikan sebagai sumber pelancongan?

Kita tengok yang pro dahulu.

Setiap kali Ramadhan, yang pasti akan ada bazar Ramadhan (ada orang panggil Param atau Pasar Ramadhan). Di bazar inilah menjanjikan hidangan eksoktik yang selalunya jarang ditemui di satu-satu tempat kalau bukan bulan Ramadhan. Beriani Itik Nila lah, Ayam Goleklah, Haruan Gorenglah, dan segala macam lagi. Itu tidak termasuk menu yang biasa kita temui, tetapi jarang ditemui oleh para pelancong.

Bayangkan kalau kita boleh catar satu kapal terbang untuk pelancong hadir ke program Homestay, kalau bulan puasa macam ni, kita boleh lakukan perkara yang serupa. Pelancong yang hadir, kita galakkan berpuasa (setakat tahan lapar dan dahagalah) agar mereka dapat merasa nikmat berbuka puasa apabila sedang lapar, dan tentunya mereka digalakkan bersahur. Bila nak dekat waktu berbuka, bawalah mereka berbondong-bondong ke bazar Ramadan untuk memilih lauk pilihan mereka. Dan seperti mana nikmatnya berbuka setelah penat membanting tulang, begitu jugalah mereka akan merasa nikmat berbuka puasa.

Siapa tahu, mereka akan mendapat hidayah untuk mendalami Islam dengan lebih mendalam, seperti yang terjadi kepada seorang warga Jepun yang datang ke Malaysia untuk mencuba rasa berpuasa (aku petik berita ini dari salah satu akhbar, tapi aku tak ingat akhbar mana).

Kontranya.

Bila orang asing hadir, mereka akan hadir dengan pakej budaya mereka. Kalau yang hadir itu sememangnya mahu mencuba budaya asing iaitu budaya berpuasa kita, mungkin mereka akan menuruti apa yang kita suruh. Tapi kalau yang nak menurut itu sekadar melepaskan batuk di tangga, maka kita akan menghadapi masalah.

Bayangkan kalau yang hadir ke bazar Ramadan itu dengan pakaian yang menjolok mata (yang pakai macam ni, bukan setakat pelancong, orang kita pun ada, cuma peratusannya kecil). Dan ada pula yang mungkin mahu berbuka dengan bir (bukan rut bir, tapi bir yang berakohol) kerana sudah menjadi rutin mereka untuk ada minuman itu. Itu tidak termasuk lagi kemesraan berlainan jantina yang mungkin tidak dapat mereka kawal. Maka ini akan mencemarkan kesucian Ramadan.

Apa fikiran kalian?

26 August 2010

Kebaikan dan Kebenaran

Jika kalian terpaksa memilih, antara....

Kebaikan dan Kebenaran

Yang mana akan kalian pilih?

Kerana di dalam kebaikan, belum tentu ada kebenaran, dan
di dalam kebenaran, belum tentu ada kebaikan.

19 August 2010

Pantang Aku Ketika Mengarah

Aku ada satu pantang yang paling besar bila aku mengarah teater.

Bila orang kata tak boleh!

Bagi aku, Never Say No, Until I Say No. Ertinya, kau usahalah sehabis baik yang mungkin, yang mampu kau buat, dan kalau aku tengok tak mencapai tahap yang aku nak, maka aku terima itulah tahap kau untuk kali ini.

Ini tidak, bila suruh buat itu, tak boleh. Bila suruh buat ini, tak tahu.
Tak tahu nak usaha sendiri? Tak tahu atau tak mahu?

Buatlah dulu, sampai aku nampak sendiri itu saja yang kau mampu, maka aku akan faham. Setiap manusia ada batas-batas yang mampu mereka buat pada satu-satu masa (maksud aku dalam jangka masa panjang seperti dari satu produksi ke satu produksi). Bila kau tak bagus dalam produksi ini, maka dalam produksi yang akan datang, mungkin kau akan lebih bagus kerana kau dah dapat pengalaman dari produksi ini.

Kata kunci hari ini - USAHA!

Kapish?

17 August 2010

Jaga Hati

Aku jaga hati orang,
tapi ada orang jaga hati aku?

12 August 2010

Pembohong Besar

Salam ,
Saya Nafiza Binti Ismail, saya bekerja sebagai Marketing Officer di sebuah syarikat pemprosesan batu mulia di UK.di sini Saya ingin memperkenalkan kepada encik peluang perniagaan yang besar kenuntungannya,saya memerlukan bantuan encik dan kerjasama encik untuk memajukan perniagaan ini.saya menghubungi encik kerana saya tidak ingin kehilangan rakan kongsi saya di dalam perniagaan ini.saya tahu bahawa saya dan encik akan mendapatkan feadah yang baik daripada perniagaan ini di masa akan datang. Sekarang saya HANYA ingin encik menjadi pembekal (agent) kepada syarikat saya bekerja dan encik boleh mendapat keuntungan daripada peluang perniagaan ini . Syarikat saya memerlukan sebuah produk yang disebut (GEMSTONE CLARIFICATION LIQUID). Para pemurnian belerang Liquid adalah cecair kimia saintifik bar substansi, sejenis pelincir, terutama digunakan di makmal untuk gemological
pemurnian merawat atau menerangkan,memasuki ke dalam berlian dan mengewap keluar kotoran di dalam berlian dan batu-batu berharga sepertinya.

Pembekal asal produk ini adalah di (Malaysia) sehingga lah pembekal produk langsung syarikat KAMI INI mengalami kemalangan di sini {uk} ,dia adalah pengurus pemasaran dan sejak dia kemalangan monopoli ini telah tergendala.saya hanya ingin encik menjadi agen di antara penjual dan pembeli .Ini adalah perniagaan besar untuk saya dan encik dan akan mendapat keuntungan besar.saya hanya memerlukan kerjasama untuk menjadikan perniagaan ini berjaya.Saya akan memberi anda maklumat lebih lanjut tentang hal ini jika anda bersedia untuk menjadi sebagai agen untuk membekalkan produk ke syarikat kami.

Pertama, saya akan perkenalkan anda pembekal (agent)kepada syarikat saya nanti. Mengikut peratusan, awalnya harga beli yang sebenarnya produk tersebut oleh syarikat per Carton adalah 4,250.00 USD, sedangkan di (Malaysia) harga jual tempatan adalah 2,200.00 USD dan syarikat saya memerlukan tidak kurang daripada 200 Cartons.
saya ingin encik menjadi agen link kami yang menghubungkan penjual tempatan di Malaysia secaralangsung kepada syarikat membeli maka margin keuntungan akan digunakan bersama berdua 50% untuk encik, sementara 50% kepada saya.sekiranya encik dapat membantu saya mengurus perniagaan jual beli produk ini saya amat berterimakasih.kemudian saya akan membincangkan pekara ini bersama pengurus syarikat saya. saya yakin dan percaya encik boleh menyediakan produk ini kepada syarikat.di sini juga saya memfailkan butiran dari segi harga dan cara bayaran maka kita boleh mengambil daripada permulaan perniagaan ini. encik saya mengharap agar encik dapat membalas email saya ini secepat mungkin, agar saya dapat mengemailkan number telephone penjual di malaysia gar encik dapat menghubungi penjual untuk bertanya sama ada penjual tersebut masih mempunyai stock untuk di bekalkan kepada encik.sebelum syarikat kami akan menghantar pengurus pembelian pergi ke Malaysia untuk membeli produk dari encik secara tunai.Terima kasih atas kerjasama encik,saya mengharap dan menunggu balasan email daripada encik.


Wassalam...
Nafiza .

Aku dah banyak menerima e-mel yang sebegini, tapi ini kali pertama menerimanya di dalam Bahasa Melayu yang lengkap. Walau pun Bahasa Melayunya ada juga yang lintang pukang, tetapi gaya bahasa itu pastinya bahasa orang Malaysia.

Kalau dasar pembohong, macam mana sekalipun pasti berbohong juga.

02 August 2010

Sebelah....

"Tokeh aaa, wa punya brek ala munyi ooo," aku memulakan perbualan di kedai baiki kereta yang biasa aku kunjungi.

Tokey Cina itu senyum, "Apa macam munyi?"

"Itu bunyi eeekkkk eeeekkkk macam kaldai la tokeh. Lu mau tau lu angkat bawah pi tengok," aku tak tahu nak menerangkan bagaimana bunyi brek kereta aku tu.

"Ohh... itu tarak pa. Blek mulah saja ma. RM 80 saja," kata tokey.

Aku tepuk-tepuk poket dan dompet aku. RM80 tu cukup la kalau nak tukar.

"Lagi satu aaa tokeh, wa kalau lali sampai 90 km/j aaa. Kereta sula mula goncang ooo. 100 km/j goncang. 110 km/j goncang. Kalau wa talak tekan minyak, okey saja. Apa pasai aa?" tanya aku lagi.

"Lu tekan minyak baru goncang aaa?" buat-buat tanya lagi pulak tokey ni.

"Itu drive shaft. Tengok macam mana sebelah ka losak, lua-lua belah ka losak," tokey tak lekang dengan senyuman.

"Itu berapa halega?" aku dah sedia nak menepuk poket sekali lagi.

"Rm300 lebih ooo" jawab tokey dengan tenang saja.

"Aiya! RM300 lebih ka?" aku buat-buat tak jelas.

"Sebelah....." tokey menambahkan kuantiti air liur yang perlu aku telan.

Selepas menelan air liur, aku buat congakan segera.

"Tak apa la tokey. Wa bawak dulu kereta ni bawah 80 km/j. Atau wa bawa saja lebih dari 120 km/j."