07 June 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Ulek Banda'

Satu perkara yang aku kagum dengan Senibayan dan pasukan produksi DBE42 atau Dewan Budaya USM, ialah konsistensi mereka menghasilkan karya-karya yang memartabatkan seni budaya tradisi. Ulek Banda bukanlah karya terbaru. Kerana ia telah dipentaskan di Festival Dekon Makum di UMS dan juga sempena Pertandingan Skrip Pentas DBP. Menang skrip terbaik kalau tak salah aku.


Ulek Banda adalah permainan tradisi yang telah pupus. Dimainkan di Pantai Timur. Juara akan mengawal anak banda melalui jampi serapah, hingga anak banda itu berada dalam keadaan tidak sedar diri, terpukau atau tranz. Dan juara itu akan mengarahkan anak bandanya menari makyung, bersilat, main peteri atau sebagainya lagi. Konflik cerita ini bila seorang lagi juara muda, cuba mengubah corak ini dengan memasukkan elemen moden seperti lagu dangdut, rap dan sebagainya.


Di sinilah terletaknya kekuatan nilai skrip Ulek Banda, di mana nilai-nilai tradisional ini diangkat dan diperkenalkan dengan cara yang halus dan diterima oleh masyarakat. Di sinilah terletaknya niche area Dewan Budaya, yang tidak ada pada kebanyakan grup teater lain di sebelah Utara ini. Di sinilah keistimewaan mereka.


Tetapi sayangnya, Ulek Banda yang dinaiktaraf untuk Manifestasi Teater Pulau Pinang ini menjadi sebaliknya. Dari sebuah naskhah pendek dengan tiga pelakon; Tapa Juara Ulek Banda, Seman Juara Muda Ulek Banda dan Puteri Anak Banda, ia dikembangkan menjadi teater selama 1 jam 15 minit dengan watak-watak tambahan seperti Kak Lijah isteri Tapa, Husin dan Hamid, penghasut Seman dan cemburukan Puteri, serta watak-watak budak-budak kampung. Tetapi aku mendapati naskhah baru ini seperti ada yang tidak kena.


Aku menonton pementasan ini dengan resah gelisah kerana perjalanan cerita ini terasa lambat. Mungkin juga kerana aku sudah tahu intipati cerita ini yang mengakibatkan aku jadi begitu, namun aku rasa itu bukan penyumbang utama. Teater ini bergerak perlahan dari segi temponya. Dari satu babak ke satu babak, aku seperti tercungap-cungap bak ikan di lopak air yang kering. Segalanya bergerak senada, tiada moment dramatik yang menjadi kecuali di babak terakhir bila berlakunya konfrontasi Tapa dan Seman dan kemudiannya Puteri menjadi mangsa. Ya, inilah babak terbaik yang membawa konotasi bahawa sekiranya tradisional dan moden berkelahi, yang menjadi mangsanya adalah golongan muda.


Dari segi lakonan, di peringkat manifestasi teater negeri Pulau Pinang, aku kira mereka berjaya membawakan pelakon dengan lakonan yang terbaik setakat ini. Namun, jika kayu ukurnya adalah USM, maka lakonan mereka jatuh ke peringkat biasa sahaja. Tapa yang ditangani oleh Norhelmi Othman, pelakon veteran yang cemerlang, nampak meyakinkan, namun masih kucar-kacir perwatakannya. Seman yang dibawakan oleh pelakon veteran Nawi Mohd, juga meyakinkan dan bagus, tetapi aku pernah melihat lakonan beliau yang lebih baik dari ini. Lijah, dibawakan oleh Jumie Samsudin, adalah pelakon baru. Ini kali kedua beliau berlakon berbanding watak mak ayam yang sangat berbeza dengan watak Lijah, isteri Tapa. Sebagai pelakon baru, lakonan beliau sudah cukup baik, tetapi masih belum memenuhi keperluan watak sebagai isteri yang mendokong dan menyokong usaha suami dan menanggung bebanan suami. Manakala watak Puteri yang ditangani oleh Aimy Azmi, pelakon yang agak berpengalaman, juga baik. Namun juga belum memenuhi keperluan watak. Puteri bukan sekadar anak banda, Puteri ini membawa tanggungjawab antara patuh kepada Tapa atau Seman serta menghadapi konflik dengan Husin.


Dan kekurangan yang paling ketara ialah bila berlakunya perubahan babak, lampu dipadamkan lebih dari 10 saat. Mungkin ada sesetengah pihak yang berpendapat, teater yang memadam lampu untuk perubahan babak sangatlah 80an. Tetapi pada aku itu tidak menjadi masalah asalkan dia dilakukan dengan betul tanpa menganggu momentum cerita dan mood audien. Kalau padam lampu tak boleh, kita tak boleh buat bangsawanlah. Tetapi kesnya di sini kerana pemadaman lampu itu agak lama, sedangkan aku berpendapat ia dapat dilakukan kurang dari 10 saat. Banyak ketika pelakon tidak pula menyalin baju. Kalau ada yang menyalin baju pun, mereka masuk agak lewat ke sesetengah babak. Dan latar hias juga bukanlah latar hias yang berubah-ubah. Latar hias teater ini tetap tidak berubah iaitu rumah dengan beranda, pelantar ulek banda, pangkin, kedai makan dan meja makan dan kerusi-kerusi. Jadi tiada masalah sekiranya urusan teknikal tukar babak ini dilakukan sepantas yang mungkin.


Tetapi walau bagaimana cacat sekalipun pementasan ini, aku tetap menyanjung dan memuji nilai teater ini. Bercakap tentang hal tradisional ini bukan suatu perkara yang mudah. Cuma sayangnya aku merasakan kali ini apa yang nak disampaikan itu mungkin kurang sampai, dek kekurangan yang sama ada disengajakan atau tidak disengajakan, yang mungkin membuatkan audien (kalau bukan semua, setidaknya aku) terkapai-kapai. Aku meletakkan teater Ayu Si Puteh sebagai kayu ukur, kerana melalui teater itu, tiada penafian dari mana-mana pihak tentang kehebatan dan keberkesanannya. Ulek Banda (untuk manifestasi) agak jauh ketinggalan.


Namun, ia tetap satu usaha yang harus dipuji oleh semua pihak. Kredit kepada Senibayan dan juga pengarah muda Azhar Jalil (tidak mudah berubah dari sesuatu yang extravaganza seperti Kasanova ke sesuatu yang modest seperti Ulek Banda) yang mahu terus berkarya dan memberikan tunjuk ajar kepada grup-grup teater lain, sama ada baru yang lama.

Aku mengalu-alukan pendapat kalian pula.

Antara komen lain - Jumie Samsuddin

06 June 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Malaysia 1.0 - The Naked Truth'

Teater Malaysia 1.0 : The Naked Truth bukanlah untuk penilaian pelajar tahun akhir lakonan dan pengarahan. Tetapi teater ini ditangani oleh pelajar tahun 2 lakonan dan pengarah, Pusat Pengajian Seni di samping pelakon-pelakon lain oleh pelajar dari bidang yang bukan seni. Pementasan ini diseliakawal oleh Janet Pillai. Siapa yang tak kenal Janet Pillai, sila tanya En. Google.


Menonton pementasan ini, tidak seperti aku menonton mana-mana pementasan lain. Kerana ia bukan hanya harus ditonton dengan mata, tetapi harus dibaca dengan akal, dan diratap dengan hati. Ceritanya mudah. Tiga cerita, semuanya isu pelajar di institusi pengajian tinggi. Yang digarap di dalam ini termasuklah isu rasis, persepsi, birokrasi. Cerita pertama tentang gadis India/Hindu yang dimarahi ahli keluarganya kerana mencuba untuk memakai tudung. Cerita kedua tentang pelajar Cina dan Melayu yang selesa untuk duduk sebilik, namun tidak dibenarkan oleh autoriti, dan jawapannya squatting. Cerita ketiga tentang keluarga pelajar Melayu yang tidak suka anak mereka berkongsi bilik dengan pelajar Cina.


Seriuskan? Sensitif bukan? Tapi isu itulah yang dipaparkan dan ditangani oleh para pelajar ini. Mereka mempersembahkannya dalam bentuk teater fizikal. 80% pergerakan, 20% dialog. Oleh itu selain mencari intipati setiap babak, audien juga dipaksa menelaah setiap perbuatan pelakon untuk memahami apa yang mereka lakukan. Daripada berjogging, sembahyang, menaip, main komputer dan bermacam-macam lagi.


Teater ini sarat dengan  pendekatan Teater Epik oleh Brecht, dan Alienation Effect. Kita mengenali Brecht yang suka mempersembahkan sesuatu yang sudah terbiasa oleh audien, tiada yang sensasi seperti di dalam Teater Dramatik. Dan Alienation Effect pula memisahkan audien dengan dinding, dan mempersembahkan cerita yang sama kepada audien yang berbeza. Di dalam pementasan ini, kaedah yang sama digunapakai iaitu isu-isu yang sudah terbiasa oleh audien dan tiga cerita ini dipisahkan oleh 3 ruang 120 darjah seperti dalam sebuah carta pai. Ruang ini dipisahkan oleh dinding-dinding, jadi audien di cerita pertama, tidak akan tahu cerita kedua dan ketiga. Bila selesai satu cerita, maka audien akan terpaksa bangun dan bergerak ke ruang seterusnya, hinggalah selesai ketiga-tiga cerita pementasan.


Mengambil juga pendekatan semiotik de Saussure, pementasan ini memilih warna hijau, merah dan kuning sebagai signifier. Awas! Ini bukan simbol Bob Marley atau warna Pekida, tetapi Hijau untuk Melayu, Merah untuk Cina, dan Kuning untuk India. Mungkin kerana warna-warna ni paling menonjol dan mudah untuk memisahkan etnik yang dimaksudkan. Hijau dikaitkan dengan Islam, dan pastinya majoritinya Melayu. Merah, warna ong bagi kaum Cina dan kuning, mungkin bagi kaum India yang sukakan warna yang terang.


Selain daripada itu, imej-imej yang ditampilkan di setiap set seolah diinspirasikan oleh Andy Warhol. Membawakan perlambangan seperti kuih maruku, penyangkut baju dan raja, imej-imej ini mewakili situasi tertentu. Tetapi aku tidak pasti kenapa mereka memilih imej yang seolah berinspirasi oleh Warhol. Agaknya kerana isu-isu ni mula rancak diperkatakan mulai 1960, sepertimana karya-karya Warhol mendapat perhatian pada ketika itu.


Bila mementaskan karya dalam bentuk yang tidak konvensional (setidaknya bagi senario industri teater di Pulau Pinang), karya ini merupakan sebuah karya yang segar. Komen aku cuma mungkin pada durasinya yang pendek, meskipun setelah selesai ketiga-tiga cerita. Namun, biarpun pendek, ia amat bermakna kepada sesetengah audien. Bagi audien yang baru pertama kali menonton teater, ini mungkin menjadi pengalaman ngeri kepada mereka, tetapi aku yakin ia tetap dapat menjentik nafsu berfikir siapa-siapapun yang menontonnya.


Dan bahayanya juga pementasan sebegini, yang memaksa audien bergerak dari satu tempat ke satu tempat ialah, apabila berhadapan dengan audien yang tidak begitu sporting. Bagi sesetengah audien, adalah menjadi  hak istimewa mereka untuk berada di tempat duduk mereka setelah membayar tiket. Ada sesetengah audien yang mungkin tidak begitu tertarik untuk meneroka ruang, dan jika ini yang berlaku, maka pementasan ini akan membunuh minat sesetengah audien yang berpendirian sebegitu.


Dan mujur juga pementasan ini berlangsung di institusi pengajian tinggi, yang mana boleh menyerap tahap sensitiviti isu yang dipersembahkan. Jika ia dipentaskan di luar lokasi yang dimaksudkan, mungkin ia akan diterjemahkan dalam mood yang berbeza oleh sesetengah audien. Ya, aku mengusulkan audien kita belum betul-betul bersedia menerima bentuk kebenaran yang bogel ini. Bagusnya, mereka dan berani memulakan.


Sekali lagi, tahniah kepada produksi ini. Aku menantikan Malaysia 2.0.

25 May 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Kelab Kelahi'

Pada ketika aku mula menulis (menaip) rebiu untuk pementasan ini, sudah masuk malam ketiga. Dan aku yakin malam ketiga pastinya lebih baik dari malam pertama, iaitu malam aku menonton pementasan ini. Bukanlah aku mengatakan bahawa pementasan ini tidak bagus. Ia masih lagi pementasan yang bagus, tetapi pastinya tiada yang sempurna. Aku yang memberi kritikan ini juga hasil dari cernaan jiwa, akal dan intelektual yang tidak sempurna. Cuma mengharapkan agar apa saja yang kita buat menjadi baik dan lebih baik pada masa akan datang.


Kelab Kelahi merupakan projek tahun akhir pelajar lakonan dan pengarahan yang terakhir untuk musim 2012. Pelajar yang dinilai ialah Abu Musarif, atau lebih dikenali sebagai Abu Mamu Raja Lawak 4. Beliau dinilai dari sudut lakonan. Manakala rakan lakonnya pula Ajo Mamu Raja Lawak 4, yang juga merangkap pengarah teater ini. Cerita ini mengangkat isu orang Melayu yang suka bergaduh dari dulu, hingga kini dan mungkin selamanya.


Teater ini teater komedi. Ada 5 babak yang dipersembahkan dalam bentuk komedi. Babak pertama ialah gambaran masyarakat kita di zaman purba (aku tidak pasti neolitik, paleolitik, mesolitik). Iaitu perkelahian ini telah berlaku sejak zaman purba lagi. Babak ini dipersembahkan secara silent comedy. Aku kira, babak permulaan ini merupakan permulaan yang baik mengangkat tempo pementasan ini. Komedinya menjadi walau tanpa sepatah pun kata-kata. Yang ada mungkin bantuan bunyi uh ah (tapi kalau ada bunyi, apakah ia dikira komedi senyap?) dari mulut para pelakon sendiri. Isunya perebutan makanan, perempuan dan kawasan. Ringkas tapi menjadi.


Babak dua pula, sepatutnya komedi slapstik. Lucunya memang agak menjadi, tetapi beberapa adegan aku rasa seperti tidak menjadi. Tapi tidak adil aku mengatakan lawak slapstik mereka tidak menjadi kerana aku sendiri tidak begitu menggemari lawak slapstik. Maka, mungkin ada ketika lawak itu tidak dapat aku jamah, dan begitu juga kebanyakan audien yang hadir. Kisahnya tentang dua pengawal istana yang berada di bawah  istana, meninjau pertarungan Tuah dan Jebat. Mereka bertaruh siapa yang menang, disamping menyatakan sebab-sebab mengapa Tuah atau Jebat akan menang. Pastinya perkelahian berlaku. Babak ini, aku kira secara personal, agak mendatar, namun ia satu laras dengan babak 1.


Babak tiga, adalah babak yang paling solid pada pandangan aku. Babak ini boleh berdiri sendiri tanpa bantuan babak-babak lain. Ia mengisahkan dua orang pengiring Tuanku Abdul Rahman; seorang orang bandar, seorang orang kampung, yang sedang bermain catur sambil menunggu Tuanku Abdul Rahman selesai rundingan London. Isu-isu yang diperkatakan, sangat sensitif tetapi mengundang ketawa dari audien. Isu-isu ini bukan lawak kosong atau sembang kosong, tetapi penuh dengan kritikan pedas. Bergenre dark comedy, aku kira babak ini paling menjadi dan paling mantap. Sehinggakan audien tertunggu-tunggu apa lagi   yang akan diperkatakan oleh mereka pada babak yang seterusnya.




Namun begitu, babak keempat telah menjunamkan graf tempo pementasan ini. Babak 4 sepatutnya menjadi sebuah komedi muzikal, tetapi ia tidak menjadi komedi, ataupun muzikal. Muzik yang terlalu kuat, penyanyi latar yang tidak harmoni dan sumbang, tidak menyumbangkan kepada penyampain babak ini. Lirikal oleh pelakon juga tidak sampai kepada audien, kerana audien bercelaru antara lirik, muzik dan nyanyi latar. Cuma pada ketika pelakon berdialog, maka sedikit sebanyak isi cerita difahami oleh audien. Cerita pada babak ini tentang isu politik masa kini dan dogma masyarakat kepada ilmu sihir. Maka mereka ini adalah bomoh/dukun/pawang yang bercerita. Pada aku, babak ini harus diberi perhatian serius agar tidak mencelarukan audien dan menjahanamkan momentum cerita. Mujur juga sesetengah adegan masih dapat mengundang ketawa audien, seperti babak voodoo.



Bila berlakunya keruntuhan momentum pada babak 4, maka audien (atau mungkin cuma aku) tepaksa berhempas pulas untuk kembali ke mood asal. Ya, ketawa masih ketawa. Memang lontaran dialog oleh pelakon pada awal babak ini cukup mengundang ketawa audien, namun audien terkial-kial untuk memahami maksud cerita. Siapa watak yang berpakaian baju Equalizer itu? Siapa lelaki yang bercakap telo Cina, dan cuba membunuh diri itu? Di akhir babak, barulah difahami bahawa mereka di zaman masa hadapan, di mana bangsa Melayu itu sudah pupus, mereka berdua merupakan lelaki Melayu terakhir. Mungkin juga kerana costume yang dikenakan tidak cukup futuristik, hingga ia tidak cukup menjentik minda audien dengan mengatakan ini adalah masa hadapan. Dan babak ini juga tidak cukup tragik, meskipun ia di dalam genre tragic comedy. Tiada adegan yang boleh ditakrifkan cukup tragik dengan pelepasan komedi. Dalam kes ini, aku merujuk definisi yang diusulkan oleh Giraldi iaitu tragedy-with-comic-ending. Namun, biar memetik pendefinisian oleh siapa-siapapun seperti Aristotle, Guarini atau mana-mana tokoh lain, elemen tragedi itu agak malap di dalam babak ini. Meskipun masih lucu, namun babak ini sepatutnya menjadi peleraian yang mengesankan.


Oh ya, kenapa ia dinamakan Kelab Kelahi? Selain dari mengisahkan orang Melayu yang suka berkelahi, dia juga dipersembahkan dalam bentuk ala-ala pertarungan Rocky dan Tyson, iaitu pertarungan tinju. Aku memuji keberanian mereka untuk mementaskan teater ini dalam bentuk arena. Berlakon cuma berdua, memang sukar untuk memuaskan hati semua audien yang duduk keliling mereka. Aku tidak pasti dengan audien di posisi lain, tetapi di posisi aku berada, aku rasa mencukupi bagi aku melihat eksperesi wajah dan tubuh badan mereka walau bukan sepanjang masa. Cuma directorial concept masih belum cukup menyerlah dari segi visual. Nampak agak caca marba seperti pasembor. Tapi jika itulah yang ingin diperkatakan oleh pengarah, maka beliau telah berjaya. Dari segi intipati pementasan, ini aku harus katakan mereka berjaya strike ke kepala otak audien (kalau tidak semua pun, mungkin sebahagian). Dalam ketawa, audien menyedari keseriusan isu perkelahian ini dan natijahnya pada anak dan cucu bangsa Melayu.

Pendek kata, teater ini memang komedi, memang lawak! Tapi bukan lawak kosong!
Dan ia berbaloi untuk ditonton.

Apa kata kalian?

Antra komen dari penonton lain - Sapeeja, Snappshooter, MyMetro, Lyna Abraham

21 May 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Perantau Zaman'


Teater (eksperimental) Perantau Zaman merupakan projek pelajar tahun akhir ketiga bagi tahun 2012 dengan Fudzail dinilai dari segi pengarahan. Skrip ini skrip yang agak lama, diterbitkan di dalam antologi drama pentas Perantau Zaman pada 1986 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Skrip ini sendiri tidak bernahu realisme sangat. Mungkin sebab itu pengarah memilih untuk mendeklarasikan bahawa teater beliau adalah teater eksperimental. 




Pada aku, ini adalah langkah yang bijak kerana audien yang hadir (terutamanya bukan audien teater) akan dapat membuat penetapan bahawa pelbagai eksperimen yang akan dimainkan di dalam pementasan ini. Namun, teater eskperimen itu sendiri sebenarnya sudah lama tidak digunapakai oleh penggiat, pengkaji dan ahli akademik. Mungkin pada mereka, pengarah cuma mencari alasan untuk menyelamatkan diri. Tapi bagi aku, alasannya tetap kukuh, kerana tiada guna audien datang dan cuba menelaah isme apakah teater ini, hingga terpaksa membandingkan antara logik dan tidak logik.



Idea dan konsep pengarahan, sememangnya menggigit. Pengarah tahu apa yang beliau lakukan dan tahu apa yang beliau mahu tonjolkan. Perantau Zaman ini sebenarnya kalau mengikut naskhah lebih mendekati cerita remaja. Malahan di dalam buku antologi Perantau Zaman juga, teaternya kebanyakannya sesuai di pentaskan oleh golongan remaja. Dan mungkin juga di dalam versi beliau ini, beliau cuba mengangkat isu remaja dengan meletakkan watak Teruna dan Dara dalam nada remaja. Malahan pengarah menjumudkan watak Nita, Wani, Pria dan Jejaka. Watak Aria Putera diletakkan di belakang kelir (langkah yang bijak pada hemat aku) dan watak Hang Tuah lima bersaudara, Munir, Thien dan Abe juga telah dijimatkan dengan meletakkan watak pada dua kelir sahaja.



Namun, bila banyak watak dijimatkan, dan sebahagian besar naskhah ini dicincang, maka yang tinggal hanyalah struktur cerita ini, iaitu pertemuan watak-watak utama dengan Aria Putera. Itupun, cuma dikekalkan Teruna dan Dara sahaja. Natijahnya, sebahagian besar isu yang ingin disampaikan oleh penulis telah dikekang oleh pengarah dengan meletakkan tafsiran beliau melalui struktur naratif yang baru. Perkara ini ada kekuatan dan kelemahannya. Kekuatannya bila mana ia menonjolkan kebolehan pengarah mentafsir teks mengikut kehendak diri dan keperluan semasa. Kelemahannya, apa yang ingin disampaikan oleh penulis tidak dapat diterjemahkan dengan setepat mungkin oleh audien kerana ia telah dicincang sedemikian rupa. Ada pendapat yang berbeda bagi situasi ini, dan aku mengalukan komen kalian tetang isu ini.




Dan lagi, dari satu segi, nampak seperti pengarah bijak mengatur konsep pengarahan beliau bila mana beliau mengurangkan jumlah pelakon (sudah tentunya atas kekanngan tenaga kerja, kewangan dan mungkin juga artistik). Namun beliau mungkin terlupa, semakin kurang pelakon, maka semakin besar tanggungjawab mereka dan pelakon yang ada itu perlu menjadi sebagusnya mungkin. Sayangnya, kedua pelakon yang membawa watak Teruna dan Dara tidak dapat mengangkat subteks yang ingin ditonjolkan oleh pengarah (atau apakah kekurangan pada diri aku yang membuatkan aku merasa begitu?) Penonjolan cuma pada kelebihan karakter mereka yang kelihatan lincah dan remaja. Dan sesekali karakter itu menimbulkan kelucuan yang menarik perhatian audien. Namun intipati yang ingin disampaikan melalui tafsiran pengarah iaitu tentang sifat kotor manusia yang perlu dibersihkan, tidak begitu jelas pada pandangan aku.




Watak Pokok, Air, Angin dan Kancil juga sekadar wujud tetapi tidak cukup memberi kesan. Aku tidak mempersoalkan signifier dan signified mereka berpakaian begitu, (meskipun ia cukup memeningkan kepala otak aku memikirkan kenapa mereka digambarkan begitu. Isu sosio budaya? Atau cuma warna sebagai signifiernya?), tetapi karakter dan lakonan mereka lebih kepada nenek-nenek si bongkok tiga, siang mengantuk malam berjaga. Pendek kata, kekurangan utama pada Perantau Zaman, terletak pada lakonan. Kekuatannya terletak pada pengarahan. Tetapi bila apa yang nak diangkat oleh pengarah itu tidak terangkat, maka kekuatan pengarahan juga terganggu gugat.



Namun secara keseluruhannya, bagi seorang peringkat pelajar tahun akhir drama dan teater, aku tetap meletakkan pementasan ini sebagai berjaya. Kerana pengarah mempunyai vision  yang ingin disampaikan di atas pentas. Walaupun bukan 100%, setidak-tidaknya audien dapat pulang dengan membawa telahan mereka sendiri, dan tidak melabelkan pementasan ini satu pementasan yang membosankan. Komen kalian?

14 May 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Sasau' oleh UiTM Pulau Pinang

Teater Sasau karya Hashim Yassin oleh UiTM Pulau Pinang merupakan teater kedua di dalam senarai Manifestasi Teater Pulau Pinang 2012. Hashim Yassin merupakan penulis skrip teater yang terkenal dengan karya seperti Imbas, Inflakasta dan Paku Alam. Karya-karya beliau banyak berbentuk khutbah (Senibayan, 2012) dengan isu-isu global dan penggunaan bahasa yang bombastik. Bila UiTM Pulau Pinang hadir membawakan naskhah ini, aku pasti ada suatu kelainan yang akan mereka bawa.


Sebagai sebuah kumpulan yang baru pertama kali bermain teater, dengan pelakon yang baru pertama kali berlakon, maka aku harus akui di sini bahawa pementasan mereka memang bagus. Mungkin orang akan berkata, adalah tidak adil menilai mereka seperti kumpulan amatur yang lain, tetapi itulah yang harus dihadapi di dalam dunia realiti ini. Di dalam industri filem, rumah produksi baru, dengan penulis lakon layar baru, pengarah baru, dan pelakon baru, tidak pernah dianggap orang baru oleh masyarakat. Sekiranya filem mereka teruk, maka mereka akan tetap dikritik, begitu juga sebaliknya. Kehadiran UiTM Pulau Pinang ke arena teater Pulau Pinang amatlah dialu-alukan, dan mereka ini pada pandangan aku tergolong ke dalam kumpulan teater amatur, seperti mana NGO teater dan juga IPT awam dan swasta lain. Kumpulan profesional pula pada takrifan aku adalah mereka yang bekerja sepenuh masa untuk menghasilkan teater seperti Enfiniti, Sanggar Teater Fauziah Nawi, Actors Studio dan lain-lain lagi. Manakala satu kelompok lagi ialah para pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah. Masing-masing di dalam kelompok yang berbeza.


Oleh itu, penegasan aku di sini, sebagai sebuah kumpulan baru, yang tiada pengalaman (selain berguru dengan kumpulan Akrab dari Kedah), persembahan Sasau sememangnya bagus. Sasau menceritakan Dima seorang pelukis yang mempunya penyakit piskoanalisis (menurut sinopsis) dan muncul watak-watak di dalam fikirannya iaitu Mura Afandi, penulis yang kerap bertelagah dengan beliau, yang telah beliau bunuh, Salina, kekasih beliau yang ingin meletakkan nilai komersil pada lukisan beliau, yang juga beliau bunuh, dan Datuk yang merupakan bapa Salina, yang muncul untuk mencari Salina. Keseluruhan plot telah dirombak semula berbanding skrip asal, iaitu watak Salina dan Datuk cuma sebagai ilusi Dima, berbanding manusia yang realistik. Watak abang-abang Dima dan Polis juga ditiadakan, digantikan dengan korus-korus yang menjadi arca-arca.


Pada aku, itu adalah satu tindakan yang bijak oleh pengarah, bila merombak plot menjadi sedemikian rupa. Kerana adalah sukar mencampur adukkan realisme dengan surrealisme (jika boleh dianggap surrealisme). Audien akan banyak mempersoalkan hal-hal logik di dalam naskhah realisme, dan jika percampuran ini berlaku, dan pengarah pula tidak dapat membahagikannya dengan sempurna, maka audien pula akan menjadi sasau.


Sinografi juga bagus. Biarpun kelihatan minimal, tetapi ia menjelaskan ruang dan maksud. Banyak signifier dan signified yang memberikan perlambangan tertentu, dan membantu menjelaskan maksud cerita. Korus-korus cum arca ada ketikanya menceriakan pentas, tetapi ada ketika membuat gerakan-gerakan yang tidak tersampai maksud. Hinggakan ia menganngu dialog yang dilontarkan oleh pelakon. Tetapi pada banyak ketika, koruslah yang menghidupkan pentas.


Permasalahan utama terletak pada lakonan yang masih mentah (sudah tentunya kerana mereka kali pertama berlakon). Aku lihat kesemua watak-watak, tidak faham watak yang dibawakan, tidak memahami dialog/teks yang mereka lontarkan, dan lebih banyak terjerit-jerit daripada melontar vokal dengan keadaan yang sewajarnya. Ya, aku faham kekangan mereka, kumpulan yang pertama kali mementaskan teater, tetapi kekangan itu tidak dapat mengelakkan aku berasa agak tertekan dengan perkara berkenaan. Keseluruhan cerita juga agak mendatar. Temponya perlahan, meskipun banyak adegan pertengkaran. Konflik di dalam dialog tidak terangkat dan konflik teater ini juga seperti tenggelam timbul. Sepatutnya konflik tentang pertembungan idea antara penulis dan pelukis serta seni dan komersial lebih jelas kelihatan di sini. Yang timbul hanyalah pelukis yang sasau, dan audien juga seperti diheret menjadi sasau. Keseluruhan cerita kurang dinamik hingga ia menjadi seperti adegan demi adegan yang difotostat satu persatu.


Namun begitu, setidaknya UiTM telah membawakan pembaharuan di Pulau Pinang. Frame yang dipersembahkan oleh mereka ini hanya pernah aku lihat di Kuala Lumpur dan di Kedah. Dan kini ia boleh ditonton di Pulau Pinang. Aku sangat mengharapkan UiTM akan memperhebatkan lagi jumlah dan kualiti pementasan mereka, agar lebih baik dari NGO teater dan IPT lain yang ada di Pulau Pinang. Ya, kerja itu bukan mudah. Tapi kalau kalian mahu, pasti boleh. Tahniah!

11 May 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Akulah Perempuan Itu'

'Akulah Perempuan Itu' merupakan teater kedua projek penilaian tahun akhir pelajar Lakonan & Pengarahan, Pusat Pengajian Seni USM. Pelajar yang dinilai ialah Intan Nursyeefa sebagai Pengarah dan Amylya Suwany sebagai pelakon. Akulah Perempuan Itu ialah karya Siti Rohaya Atan, penulis prolifik yang kental dengan agenda feminisme beliau. 

Karya ini telah diadaptasi oleh produksi ini. Kerana jumlah asal pelakon ialah 4 orang wanita, tetapi di dalam pementasan ini, cuma tiga watak yang diguna pakai. Kartika, Kamariah dan Tun Teja. Ada satu lagi watak yang aku tidak ingat namanya, merupakan watak peguam wanita yang bercinta dengan suami orang. Pencerita di dalam cerita ini adalah Kartika. Natijah daripada adaptasi ini, aku dapat merasa ketidak seimbangan yang tidak dapat aku kesan sebelum pementasan ini berlangsung.

Aku akan bercakap sebagai penonton teater dan juga sebagai 'pembaca' teater.


Pentas berbentuk hanamichi/cat walk yang kelihatan seperti sebuah segitiga. Di dalam simbol masyarakat pagan, segitiga dengan bucunya ke bawah mewakili wanita kerana ia berbentuk seperti vagina. Jadi apakah ini simbol kewanitaan yang dipijak-pijak. Pendapat Jumie Samsudin pula berbeza. Cuma aku tidak pasti sama ada sememangnya disengajakan atau tidak oleh pengarah, tidak meletakkan aras kepada watak-wataknya. Antara Kartika, Kamariah dan Tun Teja, biar mereka di utara, timur dan barat, namun arasnya sama. Dari segi pandangan audien, ia tidak nampak cantik dan selesa, kerana nampak sebaris. Tambahan pula pelakonnya kurang bermain dengan aras lakonan. Tetapi jika signifikannya ialah kesamarataan, maka maksud itu sampai di benak aku.



Kalau memetik Ferdinand de Saussure, tokoh semiotik terbilang, tanda adalah kesatuan dari penanda (signifier) dan petanda (signified). Kalaulah warna baju iaitu kuning, merah dan putih adalah penanda, maka petanda bahawa Tun Teja itu keturunan raja, Kartika itu suci dan Kamariah itu dalam amarah; aku kira tanda itu dapat dibaca. Tapi persoalannya, pertalian antara raja, suci dan amarah. Kerana ia mewakili ikon yang berbeza iaitu status, situasi dan emosi. Jika warna itu ingin dibaca secara semiotik, maka kesatuan itu perlu wujud agar tidak mengelirukan sesetengah audien. Oleh itu Peirce (2010) menyebut bahawa tanda akan dapat berfungsi jika unsur-unsur objek, dasar dan subjek saling berhubungan. Di dalam kes ini, ada yang berhubungan, ada yang agak tergelincir (bagi pandangan aku).


Istimewanya pementasan ini kerana ia menggabungkan pelakon dari tahun pertama, kedua dan ketiga. Watak Tun Teja ditangani oleh Eyta Laila (baju kuning), pelajar tahun pertama. Namun jelas kelihatan kegugupan beliau sehingga beberapa kali tersasul ayat. Watak Kamariah pula ditangani oleh Hayatie (baju merah) pelajar tahun dua. Meskipun lebih berpengalaman berbanding Eyta, namun kelihatan beliau masih belum cukup mendalami watak Kamariah yang penuh keperitan. Manakala watak Kartika (baju putih), adalah pelajar yang dinilai lakonannya iaitu Amylya Suwany. Beliau mampu berlakon dengan baik, terutama ketika beliau bercakap tentang bagaimana beliau mula diperkosa oleh ayah sendiri. Di situ adalah moment terbaik yang meledakkan emosi dan juga meledakkan tenaga untuk keseluruhan pementasan itu. Namun, kelemahan utama beliau adalah pada pengucapan dialog yang monotonous. Malahan, kelemahan ini terdapat pada kesemua pelakon, hingga ia hampir mengheret minit-minit pertama pementasan ini ke kancah kebosanan. Mujur juga selepas ledakan tenaga itu, lakonan sudah mula bertambah dengan gerak. Lakon dan gerak inilah yang banyak menyelamatkan tempo pementasan ini.



Namun, secara keseluruhan, bagi pengarah yang kali pertama mengarah, ini adalah sebuah pementasan yang baik. Cuma kekurangannya pada pengucapan dialog oleh pelakon dan juga muzik latar yang agak kuat sewaktu pelakon sedang berdialog. Dan ada ketikanya pelakon bermain di luar ruang cahaya sehingga menenggelamkan raut wajah yang boleh membantu memaparkan emosi pelakon kepada audien. Jikapun ia disengajakan, aku tidak dapat membaca signifier dan signifiednya.


Dan seperti kata Azhar Jalil, pengarah Kasanova, inilah teater projek tahun akhir yang paling pendek dalam sejarah projek tahun akhir. Aku kira di antara 35-40 minit. Sememangnya ia menerbitkan rasa tidak puas menonton. Kerana audien masih mahukan lagi. Ketika audien diasak dengan kisah ketiga watak itu dan persoalan demi persoalan, tiba-tiba ia ditamatkan. Laksana memanjat tinggi di Uluru dan bila tiba di puncaknya, terjun! Ataupun mungkin juga audien sememangnya sengaja dibiarkan terawang-awang di puncaknya, mencari sendiri jalan keluar. Ertinya audien dipaksa berfikir tentang apa yang diperkatakan oleh perempuan-perempuan ini!


Secara keseluruhannya, teater ini berjaya memberikan impak kepada audien. Mungkin kerana lakonan pelakonnya yang berkesan (selepas ledakan tenaga), mungkin juga kerana semiotik yang diterapkan oleh pengarahnya secara sedar atau tidak sedar kepada audien (kadang-kadang pengarah sendiri tidak sedar beliau bermain semiotik), atau mungkin juga kerana masanya yang pendek. Lupakan dahulu konsep constructivism atau structuralism yang ingin diketengahkan oleh pengarah. Yang utama, Akulah Perempuan Itu telah berjaya dipentaskan.


Tahniah kepada pengarah, pelakon yang dinilai dan keseluruhan produksi. Aku mengharapkan ini bukan kali terakhir kalian berteater. Kalian telah pun membuktikan sesuatu. Maka teruskan! Komentara dan kritika dari semua dialukan.