31 July 2006

Kuale Ganu-Pekan-KL

Bulan ni aku agak sibuk. Dah sempat menonton dua pementasan. Satu; Sayang Sri Tanjung, sebuah teater Melayu, dua; Blind Date, sebuah teater Inggeris yang dibuat oleh Melayu. Tapi nantilah aku review, kerana aku nak menceritakan pengalaman aku berpenat lelah tour tiga buah negeri dalam masa tiga hari tiga malam (itu tak termasuk negeri yang aku lalui untuk sampai ke tempat berkenaan).

Aku ke Kuala Terengganu, Pekan dan Kuala Lumpur. Di mana tiap satu lokasi itu memakan masa lebih dari 4 jam untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi. Menginap di bajet hotel memang menjimatkan. Memang perlu jimat kerana minyak kenderaan yang perlu lebih diutamakan.

Seronok di Kuala Terengganu melihat masih ramai orang Melayu yang setia kepada budaya dan adab orang Melayu. Sedap menjamah nasi dagang ikan aya (dulu aku tak selera, sekarang bertambah pinggan). Rasa aman di Pekan yang serba lengkap tapi tidak sesak. Terkilan juga kerana tidak sempat merasa murtabak Mengkasar di Pekan yang katanya sangat enak. Kuala Lumpur? Ibu kota marah merah darah pun aku boleh sesat, mengingatkan aku kepada lagu Kembara.

Pemandangan indah memang tak terkata. Tapi oleh kerana bukan aku yang memandu dan kami pun ada jadual masa yang perlu dipenuhi, maka kebanyakan gambar yang aku pukul adalah ketika di atas kenderaan. Banyak yang tak sempat dirakam, keindahan pantai sepanjang Terengganu ke Pahang, keunikan Gua Tempurung, dan lain-lain lagi.

Nak merakam gelagat manusia pun, kad memori yang aku ada agak terhad dan keutamaan perlu lebih kepada tugasan hakiki. Akhirnya, kalian lihatlah sendiri gambar yang aku kepilkan ini.


Senja di Lebuhraya Utara-Selatan



Terowong Tol Karak

Hujan lebat di Lebuhraya Utara Selatan


Terowong Changkat Jering



Jet di Pekan






21 July 2006

Orang Kampung Pun Mampu

Perjalanan keluar ke sebelah Seberang Perai Utara menyegarkan minda aku yang sekian lama membeku kerana terjelepuk dalam lubuk sambil menyelam minum air. Melihat rekabentuk rumah-rumah Melayu lama yang masih utuh dan kukuh, kawasan sekitar rumah yang luas dengan pokok nyiur yang tinggi melangit, membuatkan hati rasa tenang. Rasa macam nak pindah detik itu juga.

Aku singgah dari rumah ke rumah, minta izin nak ambil foto rumah dan sedikit temuramah. Singgah di rumah pertama, kemas, kawasannya bersih.


Aku : Assalamualaikum! Assalamualaikum!

Ada orang keluar dari rumah. Perempuan, dengan senduk, sedang memasak agaknya.

Aku : Apa khabar kak. Saya ni nak minta izin ambil gambar rumah dengan interview tuan rumah sekali.

Perempuan Dengan Senduk : Tuan rumah ngak ada sih!

Aku terperanjat. Orang gaji Indon rupanya.

Aku : Loh, kalau gitu, ngak apa sih. Permisi ya?

Aku singgah ke rumah kedua. Ruang tanah lebih luas. Aku nampak ada seorang perempuan sedang menyapu.

Aku : Assalamualaikum! Assalamualaikum!

Perempuan Dengan Penyapu : Walaikummussalam.

Aku : Adik, tuan rumah ada tak, saya nak minta izin ambil gambaq rumah dengan temuramah sikit.

Perempuan Dengan Penyapu : Ohh.... tuan sedang tidur, ngak mau diganggu.

La.... Orang gaji jugak?

Aku : Ngak apa ya, permisi.

Dalam sepuluh rumah yang aku singgah, lima ada orang gaji.
Siapa kata orang kampung tak mampu?

14 July 2006

Tradisi Yang Berterusan


Pertemuan secara peribadi dengan Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang atau Gabenor Tanjung di kediaman beliau Sri Mutiara pada hari itu, telah meloloskan cahaya paradigma yang baru bagi aku.

Seringkali aku melihat Tanjung ni sebagai tanah sekangkang kera yang dikuasai oleh kaum bukan Bumiputera. Tidak kiralah dari sudut keilmuan mahupun ekonomi. Pasti bukan kaum Melayu yang akan menguasainya.

Ternyata telahan aku itu agak tersasar. Menurut beliau, Tanjung ini ibarat sebuah kolam kecil. Tak banyak yang boleh dibuat. Jadi ramai yang memilih kolam yang lebih besar, misalnya ibukota. Maka berlakulah kebanjiran tenaga pakar yang turut membawa bersama mereka potensi nyalaan ekonomi dan tapak janaan ilmu.

Ada betulnya kerana kebanyakan tokoh korporat Melayu di luar Tanjung sebenarnya berasal; sama ada dilahirkan atau keluarganya berasal di sini.

Dan sejak zaman sebelum merdeka, Tanjung telah pun menjadi pusat ilmu, tidak kiralah ilmu dunia atau ilmu akhirat. Penang Free School yang ditubuhkan pada 1816 merupakan institusi persekolahan formal yang tertua di Asia Tenggara. Sekolah-sekolah agama seperti Al-Mashoor, Al-Irsyad adalah berorientasikan pendidikan tidak formal pondok seperti Pondok Al-Masriyah Bukit Mertajam, Pondok Tok Sheikh Acheh Permatang Janggus dan Pondok Manail al-Ulum Penanti.

Membuktikan dengan jelas tradisi ilmu telah lama bertapak di Tanjung dan di jiwa penduduk asalnya. Cuma nama-nama besar tidak ramai yang tinggal di Tanjung kecuali beberapa kerat seperti Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dan beberapa yang lain.

Penguasaan kaum yang bukan Melayu sebenarnya suatu tinggalan, sejak zaman penjajah Inggeris. Kalau bukan kerana pengaruh keras Ghee Hin dan Hai San dulu, pasti setidak-tidaknya lebih dari separuh kuasa ekonomi Tanjung adalah milik orang Melayu.

Jangan salahkan sejarah, kerana sejarah tidak pernah silap.

Tradisi kebanjiran keluar ini akan terus berlangsung, sama seperti mana-mana negeri lain yang bersaiz kecil. Dan aku tak perlu malu atau sesal.

Maka hari itu aku telah belajar sesuatu;

Jangan pandang apa yang kita ada,
pandanglah apa yang telah kita adakan.


12 July 2006

Paranoid

Bagaimana agaknya hidup dalam paranoia? Aku bukan pakar psikologi dan aku tak tahu sama ada paranoia itu boleh dirawat.

Sejak peristiwa 9/11, puak ini dijangkiti penyakit paranoia. Semua pintu masuk dikawal dengan amat ketat. Semua yang ber 'bin', ber'muhamad', ber'tudung' akan habis dilondeh atas nama keselematan.

Kemudian bila London dibom pada 7/7, sekali lagi paranoia puak ni menjadi-jadi. Kawalan keselamatan dipertingkatkan dan yang jadi mangsa? Penyakit ini pula berjangkit kepada puak penjajah kita ni. Hingga mereka pula paranoid kepada makhluk yang ber 'bin', ber'muhamad' dan ber'tudung'.

Dan bila semalam keretapi di India dibom, maka menjerit-jerit dan meludah-ludahlah kedua-dua puak ini meningkatkan lagi tahap keselamatan yang entah ada berapa tahap. Dan yang seronoknya, siapa lagi yang akan dipersalahkan kalau dah perbuatan ini berbau keganasan.

Aku tak tahulah paranoid ini bagus atau tidak. Ada orang kata bagus, ada yang kata tidak, ada yang kata ikut keadaan. Bagi aku, kalau paranoid itu menguntungkan diri dan menguntungkan orang lain, itu bagus. Tapi kalau ada salah satu bahagian yang tidak menguntungkan, itu tidak bagus.

Paranoia dalam diri satu-satu individu mungkin mudah ditangani oleh masyarakat. Tapi macam mana kalau paranoia dalam kumpulan? Paranodia mendorong David Koresh dan Branch Davidiannya mempertahankan diri dari serangan ATF dan FBI, akhirnya mengakibatkan kematian 74 orang pengikutnya, 21 daripadanya kanak-kanak.

Paranoid kepada; kononnya akan berlaku diskriminasi terhadap puak kulit putih ni, maka Klu Klux Klan mengambil jalan sendiri dengan membunuh orang kulit hitam, Yahudi, orang asing, Komunis dan ramai lagi.

Dan bila paranoia ini merebak ke kepala politikus, maka hasilnya peluru yang dibuat di bekas tanah Red Indian itu pun sampai ke badan kanak-kanak Iran dan Afghanistan. Sebab itulah dulu aku lebih suka ada satu kuasa komunis yang mengimbangkan kuasa besar dunia. Bila Mother Russia masih berkuasa, paranoia puak ini setakat Perang Dingin saja. Tak berani pula mereka nak jolok halkum beruang tu.

Tapi sekarang, kalau boleh satu dunia nak dibogelkan, nak diramas, dijolok dan dirantai. Kuasa unipolar memang menyusahkan dan memusnahkan. Kalian tengoklah, Naga sekarang sedang tidur, tunggu masa nak bangun. Tapi puak ni akan rantai naga ni, kalau boleh sampai lumpuh. Sekat makan dia, sekat minum dia. Macam dia buat dekat beruang Russia.

Itu semua sebab paranoid.

Apa nasib kita pulak nanti?

10 July 2006

Kostum Penentu Harga

Seminggu lamanya aku keluar dari kepompong kehidupan aku. Seronok juga outstation sekali sekala kerna bisa mengumpul ramai kawan baru. Sewaktu di sana, aku keluar dengan kawan-kawan baru aku.

Kebetulan aku berpakaian kemas hari itu, kemeja lengan panjang, slack, kasut hitam. Ada di antara kawan aku pula agak selekeh, berselipar, jeans lusuh, t-shirt lusuh. Bukan apa, dah salin pakaian santai, malas katanya nak salin lagi. Aku pulak malas nak salin ke pakaian santai. Kami keluar makan, nak merasa makanan di tempat orang.

Kami memilih di salah sebuah gerai yang agak ramai pengunjungnya. Mungkin kerana enak masakannya. Biasanya begitulah. Orang agak ramai, jadi suasana agak kelam kabut dan aku terpisah dari kawan aku.

Menu pilihan aku; kari ikan talang, telur dadar bersaiz suku, ulam pegaga dengan sambal belacan. Kos; RM 5.00.

Menu pilihan kawan aku; kari ikan talang, telur mata kerbau (mata lembu kalau sesetengah tempat), ayam masak kicap, ulam salad, ulam raja, ulam timun, sambal belacan. Kos; RM 4.00.

RM 5.00 dan RM 4.00!

Jauh bezanya tu! Sedangkan lauk kawan aku jauh lebih mewah.

Kalau aku belum bayar, pasti ada soalan sarkastik yang akan keluar dari lidah durjana aku ni.

Apa harga makanan sekarang pun ikut cara berpakaian? Ikut costume?

03 July 2006

Ibukota Cinta

Kolong-kolong kota yang aku lihat itu maksudnya sama dengan pinar pijar dek terik matahari terpacak atas kepala.

Kelabu, berpeluh, berpinau.

Biar langkahnya bukan satu dua pekan, bukan satu dua pura, tapi insan mahu jua melangkah mencari dosa.

Yang tergantung, tercalit di celah papan dan dinding batu bata pasir dan merah marah darah.

Muntah.

Atas muntah, bawah muntah.

Marilah biar ditokak jika kalian tidak percaya. Tengok siapa yang lebih kuat gediknya. Setidak-tidaknya slot-slot neraka sudah ada pemastautin tanpa PR. Isi nama saja, tak perlu deposit.

Kalian mau jadi ahli?

27 June 2006

Motong Getah Atau Turun Laut



Hari tu aku berjalan-jalan di sebuah pasaraya dengan seorang rakan kerja. Maka datanglah meluru seorang promoter kredit kad kepada rakan aku yang berpakaian lebih segak dari aku.

Promoter I : Encik tak nak try kredit kad? Kita tengah buat offer sekarang ni. Dua tahun tak payah bayar yuran tahunan.

Rakan : Ya ka? Saya berminat jugak.

Promoter I : Encik mari duduk sini.

Ah.... sudah. Melalutlah jadinya. Maka rakan aku pun duduk (perlu ditegaskan aku tak cemburu kerana tidak dioffer, aku sememangnya berpakaian selekeh hari tu).

Promoter I : Encik boleh bawa slip gaji nanti? Berapa pendapatan kasar sebulan?

Rakan : Err….. kerja saya mana ada slip gaji.

Promoter I : Kerja apa tu?

Rakan : Motong getah. Gaji pun ikut musim. Hujan kalu, kuranglah skit.

Promoter I : Susah sikit kalau tak ada slip gaji ni. Ada penyata cukai pendapatan pun ok jugak.
Rakan : Cukai pendapatan? Saya dok bayar cukai motor saja pun.

Aku kontrol gelak.

Promoter I : Tak apalah, terima kasih ya cik.

Rakan: Ni saya tak boleh ambil kad kredit ka?

Promoter I : Susah sikit nak proses. Okay, terima kasih.

Aku dan dia pun bangun. Selang beberapa tapak, promoter dari bank lain pulak menahan. Dan rakan aku pun sekali lagi melayan.

Promoter II : Kami perlukan slip gaji encik.

Rakan : Saya kerja tak slip gaji, boleh minta tak?

Promoter II : Kerja apa?

Rakan : Saya turun ke laut. Ikut musim dan keadaanlah. Kalau banyak tu adalah rezeki lebih.

Tapi aku tak sedar. Promoter yang pertama ada dibelakang aku.

Promoter I : Eh.... tadi encik kata encik kerja menoreh getah?

Rakan aku dah tersengih macam kerang busuk. Toleh kiri toleh kanan, pandang aku. Humm....... pandai-pandai hang la. Nak pekena orang sangat.

23 June 2006

Gadis Yang Mahu Mandi


(Foto ihsan Goh Chu Hiang)


Hari itu aku duduk termenung seorang diri. Di gigi air, pinggir pantai yang dah tak macam pantai. Udara nyaman, mujur air pasang. Ada satu pasang gadis, datang singgah. Nampak macam orang luar, bukan orang Tanjung. Cari apa gamaknya.

Gadis I : Bang, boleh tolong ambil gambar.

Aku pun dengan patuh menurut.

Gadis II : Kasi nampak jambatan Pulau Pinang ye bang.

Dan aku pun snap beberapa keping. Kamera digital, nak risau apa.

Gadis II : Terima kasih bang.

Gadis I : Bang, nak tanya skit boleh?

Aku : Pun boleh.

Gadis I : Di Penang ni, pantai mana yang boleh mandi dengan bestnya.

Amboi, tadi Pulau Pinang la Penang pulak.

Aku : Best dalam erti kata macam mana tu?

Gadis I : Yelah.... Semua pantai yang kami singgah, air semuanya keruh. Tak macam Langkawi, Pangkor, Tioman, Perhentian.

Nak air jernih pi Sipadan la cek oi. Takpun mandi kat hotel.

Aku : Kalau nak cari pantai yang air jernih macam tu di sini, memang tak adalah. Sini semuanya air keruh. Tapi taklah kotor.

Gadis II : Tak bestlah bang. Kalau pulau air pantainya patut bersih, jernih.

Tersirap juga darah aku. Nak kena beri pedoman ni.

Aku : Sedari berdua ni kenal tak Francis Light?

Gadis II : Kenal, orang yang membuka Pulau Pinang kan?

Aku : Tahu bila Pulau Pinang dibuka?

Gadis I : Emmm...... 1912?

Aku : 17 Julai 1786. Sejak dari tu, kapal-kapal dari seluruh dunia singgah ke perairan Pulau Pinang ni. Dari kapal layar, ke kapal wap, ke kapal diesel, ke kapal nuklear. 220 tahun perairan pulau ni tercemar, sedari berdua nak cari pantai yang bersih dan jernih?

Gadis I : Emmmmm...... kalau pantai yang ada privacy, abang tau tak di mana?

Privacy pulak? Depa ni nak mandi bogel ka?

Aku : Privacy macam mana?

Gadis I : Yang tak ramai orang, atau tak ada orang langsung. Lecehlah orang ramai-ramai ni.

Aku : Ada..... Monkey Beach, Teluk Duyung. Tapi cuma boleh sampai dengan trekking atau dengan bot.

Gadis I : Abang bawa kami boleh tak? Kami bayarlah.....

Ahh.... Sudah...... lain pulak jadinya nanti.

21 June 2006

Itulah.........

Aku bersembang dengan seorang kawan di sebuah warung pacak. Dia pun bertanya.

Dia : Hang berlakon dengan aku ya.

Aku : Bila show?

Dia : Hujung bulan ni.

Aku : Tak boleh.... aku ada kerja.

Dia : Sayang la hang tak dak.

Aku : A kan ada.

Dia : Tak mau, A mengarut.

Aku : B ada, C ada.

Dia : Yang tu pun tak boleh pakai.

Aku : Habis sapa yang nak berlakon dengan hang?

Dia : V ada, budak baru pun ada, campur orang lama sikit. Nanti V tolong cari lagi.

Aku : Hummm... Buatlah..... asalkan jadi.

Itulah........

20 June 2006

Neraka Petualang - Imejan








Lega

Agak lama juga tidak mengemaskini blog kerna sibuk dengan Neraka Petualang. Semua sudah selamat. Semua sudah selesai dan aku puas hati dan tak puas hati.

Puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pelakon dan tenaga produksi. Walaupun ini bukan teater arahan aku seperti mana kebiasaan aku yang suka bermain dengan mantik, semiotik, metafora dan cahaya, tapi aku tetap puas hati. Seperti aku katakan, Neraka Petualang lebih kepada satu katarsis.

Tapi aku tak puas hati kerana aku masih tidak dapat memenuhkan tiga per empat panggung walaupun masuknya percuma. Aku sendiri tak tahu di mana silapnya. Sudah dipasang banner, sudah diiklan dalam suratkhabar dan radio swasta (bukan iklan, cuma makluman percuma), sudah dibuat jemputan (jemputan dibuat oleh orang lain), tapi orang masih tidak ramai.

Mungkin juga aku tidak begitu agresif memasarkan Neraka Petualang ini. Banner tidak cukup, tiada poster dan flyer. Tapi begitulah bila buat produksi miskin. Segala benda kena jimat, segala benda kena kedekut. Duit mahu pakai juga untuk set, props dan makan minum.

Membebel pun tak guna. Lepas ni aku akan buat lagi teater.

Kalau kalian mahu lihat imejan sewaktu pementasan, nanti aku uploadkan foto dan sedikit rakaman sewaktu show.

13 June 2006

Neraka Yang Tak Diterima Langit dan Bumi




Neraka Petualang.....

Dan aku rasa bersalah sebenarnya, kerana tidak memberikan yang terbaik kepada pasukan terbaik yang pernah aku kumpulkan. Banyak faktor yang mengekang jasad kreativiti aku, mengekang kuku pengurusan aku, mengekang dan mengekang hingga aku terkangkang macam kucing domestik baru lepas makan semangkuk Friskies.

Nawaitu pun banyak mempengaruhi corak pentadbiran dan pengarahan aku kali ini. Kombinasi produk segera + audien oriented + experimental case + ruang katarsis + duit ciput + orang bodoh; menyebabkan aku terpaksa mengorbankan sentuhan estetika dalam skala yang besar. Dan demi menjaga perhubungan jangka panjang juga, aku yang bodoh ini dengan mudah diperkotak-katikkan, hingga menyebabkan nawaitu aku mahu membina audien yang tahu menghargai teater melalui sokongan moral dan material, terbabas.

Aku berpegang kepada kata-kata Prof. Madya Dr. Samat Salleh, "Kita berteater untuk orang tengok, bukan untuk diri sendiri tengok." Begitulah bezanya teater dengan bidang seni yang lain. Kalau muzik kalian boleh layan sendirian, seni halus seperti catan, arca dan sebagainya pun boleh dibikin untuk diri sendiri, seni filem atau video, juga boleh dibikin untuk kepuasan diri. Tapi teater tidak. Kalian pernah tengok orang berlakon sendirian tanpa penonton? (kecualikan yang tidak waras).

Tapi begitulah keadaannya. Naskhah ini sendiri ringan dan mudah, walaupun aku 'makan dalam' sebenarnya. Biarlah orang megupas lapis demi lapis demi lapis. Tak larat nak kupas lapis-lapisnya, maka tengoklah lapis di atas lapis itu.

Cengkaman tanggungjawab sosial dan personal juga menyebabkan Neraka Petualang terawang-awang, tidak diterima oleh langit dan bumi. Nak puaskan hati audien, maka aku korbankan bahasa semiotik yang sinonim denga gaya pengarahan aku. Nak puaskan diri aku dan kawan-kawan, maka cerita ini jadi berlapis; semiotik dalam cerita, bukan nampak pada elemen visual.

Entahlah, rasanya lepas ni bila aku siapkan Khilaf Cro Magnon, benda yang sama akan berulang. Kita tengoklah langit atau bumi yang mahu menerimanya.

Bagi kalian yang ada masa, ada tenaga, ada duit, Maka datanglah menonton. Aku jamin kalian akan dapat dua perkara: i. kepuasan lakonan mantap dan aksi pertarungan yang hebat (jangan samakan dengan pertarungan Matrix mahupun Gerak Khas. Ini pentas teater), ii. provokasi minda bagi yang mahu memerah otak memikirkan apa yang tersurat dan tersirat, ada balik di sebalik, ada kenyataan di sebalik nyata.

Oh.... lupa...... Duit itu untuk tambang. Masuk percuma.

Percuma tu....
Ralat : Dalam teaser dinyatakan 16 & 17 JUn 2006. Tapi sudah berubah tarikh ke 17 & 18 Jun 2006 di Auditorium P.Ramlee, Pulau Pinang, 8.30 malam.