19 September 2006

Hantu Sebagai Pelaris

Tidak lama lau aku akan berpindah bilik buat ke sekian kalinya. Kali ini kembali berseorangan dan yang lebih menyedihkan tanpa talian hayat internet. Maka terbantutlah usaha aku buat sementara untuk mencari bahan-bahan untuk kajian aku tentang produksi teater yang efisien di samping kuranglah peluang aku untuk menyalahgunakan harta pejabat untuk tujuan lain seperti memblog.

Itupun sementara saja. Bila dah masuk talian hayat, maka aku akan kembali.

Tapi bukan itu yang aku ingin ceritakan, apa yang aku ingin bawakan ialah pengaruh mistik di dalam orang Melayu yang sangat mendalam. Maju macam mana pun orang Melayu, kalau bab mistik ni memang tiada bangsa lain yang boleh tanding.

Dulu heboh pontianak Sg. Nibong, dekat dengan stesen minyak Shell. Hingga kaya sekejap tokey stesen tu jual air mineral saja. Kini heboh pula muka manusia di pelepah pinang, bukan satu, dua pokok pula tu; di Kepala Batas. Maka berduyun-duyunlah manusia yang kebanyakannya Melayu ke situ. Hingga ramai yang ambil kesempatan berniaga, jadi macam mini ekspo.

Satu perkara yang bagusnya, inilah lubang rezeki untuk peniaga Melayu mencari untung cepat. Satu hari jualan ada yang mencecah hingga ratusan ringgit. Dan membuktikan lagi sifat oportunis Melayu yang berniaga ikut musim. Macam bulan puasa dan musim perayaan, maka ramailah yang berniaga makanan dan mercun.

Aku percaya, lain kali aku nak buat teater, aku nak hebohkan pokok depan auditorium di mana persembahan akan dijalankan tu ada langsuir bertenggek. Agaknya ramai yang akan datang, dan dalam ramai-ramai tu mungkin ada yang tergerak nak menonton teater aku.

Tak pun aku katakana saja ada hantu yang berlakon teater aku; sahabat-sahabat aku pun ramai yang standing dengan hantu dah. Aku dan sahabat lain pun boleh ambil kesempatan berniaga jenglot. Khabarnya di Indonesia ada kilang yang mengeluarkan jenglot, kalau pesan secara pukal mungkin lebih murah.

Nak join venture? Maksud aku berniaga, bukan jadi hantu.

18 September 2006

Miss Jay - Ulasan Yang Terpulas

Dua malam persembahan, dan aku ada pada kedua-dua malam. Ceritanya tidak panjang, 45 minit saja, tapi sudah mencukupi sebenarnya. Penonton pun tidak ramai, sekitar 300 orang sahaja bagi kedua-dua malam.

Apakah promosi aku masih belum kukuh, atau jualan aku yang tidak menjadi. Aku berpendapat jualan aku tidak menjadi. Tambahan lagi pada malam kedua persembahan ini terpaksa pula bersaing dengan tayangan perdana Cicakman yang harga tiketnya mahal satu ringgit saja dari tiket monolog ini, dan lokasinya cuma sebatang rokok (Amaran! Merokok Membahayakan Kesihatan) dari tapak persembahan monolog. Nak pula Cicakman itu tayangan amal, pasti ramai yang nak beramal sambil berlibur.

Nak mengulas, rasa malas. Nak pula aku terlibat secara langsung sebagai pengurus produksi. Cuma secara artistiknya memang aku tak terlibat langsung. Tiada anomali yang ketara, tapi seperti juga masakan, tidak semua meresap sempurna di lidah.

Seperti mana aku yang naif dan daif seni ini selalu berkata, tiada persembahan yang sempurna. Tidak aku mempertikaikan corak pengarahan Dr. Samat Salleh yang bersahaja, jernih dan bersih dari sebarang efek yang tidak perlu. Hanya kekuatan lakonan diberi penegasan. Masing-masing punya kaedah pengarah tersendiri.

Tataan cahaya oleh Roslan Chin, memang tidak boleh dinafikan lagi, amat cantik, berseni dan kena dengan jalan ceritanya. Penggunaan warna yang monokromatik untuk menggambarkan Miss Jay yang kosong, dan warna panas untuk menggambarkan Zura yang garang dan tegas, sangat berkesan dan mudah difahami oleh penonton meskipun yang baru pertama kali menonton teater.

Cuma pada aku, Milyana Arshad sebagai Miss Jay dan Zura boleh diperhalusi lagi dari segi ketajaman emosi dan keberkesanan karakter. Ada ketika mainannya tidak dapat menyentuh kalbu dan transisi tidak begitu mencengkam. Disiplin pentasnya cemerlang, suara yang kuat, intonasi yang jelas, permainan ruang yang sempurna, permainan level biarpun tiada permainan body level, tetapi binaan set yang bertiga tingkat telah menghalalkan ketiadaan permainan body level itu.

Tapi itu aku, yang mungkin mengada-ngada menuntut hampir kesempurnaan bagi setiap pementasan yang aku tonton. Itulah ruginya orang teater yang banyak menonton teater, pastinya mahu yang lebih baik setiap kali menonton teater yang berlainan. Bagi penonton biasa, aku yakin Milyana cemerlang dalam melakonkan wataknya.

Aku kini teruja untuk terus mengadakan monolog. Kerjanya mudah, tidak remeh. Tidak perlukan banyak tenaga, ramai orang. Aku mungkin merancang Pekan Monolog tahun hadapan dan menjemput semua IPT dan NGO seluruh Tanah Melayu.

Mungkin.............

16 September 2006

Iklan - Monolog Miss Jay; entri terbaru di bawah iklan


Ini projek terbaru, tapi bukan karya mahupun arahan aku. Aku cuma bertindak sebagai Pengurus Produksi sahaja. Ini bukan projek NGO jika kalian mahu tahu.

Karya Mariam Rashid.

Arahan Samat Salleh.

Jemputlah jengok dan tengok.

13 September 2006

Babi Sebelah Boleh Makan

Aku terlibat dengan perbincangan yang serius tempoh hari, antara beberapa orang rakan dan juga seorang sahabat yang berkelulusan Al-Azhar, Mesir.

Al-Azhar : Anta tau tak. Babi tu cuma sebelah boleh makan.

Sabahat : Hoh..... Mu jange dok buak lawok weh. Babi mana leh make.

Al-Azhar : Betul! anta tak percaya anta boleh semak kitab.

Maka berlakulah perang mulut tentang kitab, sunnah, ijtihad ulamak, mazha-mazhab dan sebagainya. Aku tak arif bab itu, maka aku dengar sebagai ilmu.

Sahabat : Mu ghoyak molek weh.... belah mano bole make? Kiri? Kane? Depe? Belake?

Al-Azhar : Sebelah kafir.

Tersembur sirap bandung aku.

Berkampung, bermonodrama

Keletihan berkampung di Alor Setar masih terasa. Berkampung selama 2 hari untuk berteater memang meletihkan, tapi satu kerja yang memuaskan. Minggu nan lalu aku dan para sahabat teater di Tanjung bermonodrama sempena Festival Monodrama di Kedah.

Satu pertandingan, yang membolehkan kami memenangi hamper dan sijil penyertaan saja, dan yang lain tuan rumah sapu. Tidaklah aku merungut atau kisahkan sangat sebenarnya. Kerana kemenangan bukanlah perihal utama, yang penting pengalaman dan kenangan, di samping memasang kabel yang baru dan menggantikan kabel yang lama dengan gentian optik. Tapi kalau menang, maka aku akan kisah kerana hadiah juga melibatkan wang. Wang bagi aku bukanlah satu benda main-main, kerana kawan boleh jadi lawan.

Ada sebelas persembahan, dan ada 10 kumpulan. Malam Jahanam, Kerana Kasut, Kun Fa Ya Kun, Jebat: The Untold, Misi, Momok, Bisikan Mustika, Paranoid, Jiwa Dabus, Ada Apa Dengan Gediks, dan Selamat Jalan Anak Kafir merupakan tajuk-tajuk persembahan monodrama.

Aku mohon maaf awal-awal kerana tak terulas aku rasanya 11 pementasan serentak. Cuma aku boleh katakan, pada pandangan aku yang naif dan daif seni ni, ada yang sederhana dan ada yang bagus. Sayang aku tidak membawa kamera dan merakam foto untuk tatapan kalian, tapi aku akan cuba uploadkan petikan video setiap persembahan yang aku rakam.

Pokok pangkalnya, bukanlah pertandingan itu, tapi nilai persahabatan yang aku dapat rasa. Bila ada program begini, maka dapatlah kita lihat siapa yang bersusah payah sama-sama kita, siapa yang sekadar mahu berfoya-foya.

Sayang sedikit kerana tidak ada diskusi selain daripada viva dengan para pengadil; Normah Nordin dan Prof. Madya Samat Salleh. Aku rasa banyak yang boleh ditimbulkan dan dihasilkan jika ada diskusi ilmiah di antara kami penggiat teater Wilayah Utara.

Apa-apa pun, tahniah kepada pemenang. Tahniah juga kepada Akrab sebagai penganjur dan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kedah sebagai penganjur bersama. Lepas ni moga boleh anjurkan dengan lebih baik lagi dan tidak mustahil akan ada kolaborasi bersama.

07 September 2006

Aku Suka Anti

Adalah menjadi salah satu sifat aku suka kepada yang anti. Bukanlah pula bermakna aku ini anti kerajaan atau sukakan kehidupan yang sonsang, tapi aku sukakan kesegaran. Cerita-cerita yang berbentuk anti kebiasaannya lebih segar kerana di Malaysia ni tidak ramai yang membikin cerita yang berbentuk sebegini.

Tapi tidak semestinya cerita yang berbentuk bukan anti seperti teater realisme, purbawara atau bangsawan itu aku tidak suka. Asalkan cerita itu menarik, aku tiada masalah menyukainya. Dan aku juga tiada masalah menghargai mana-mana persembahan atau naskhah sama ada baik atau tidak. Cuma bila aku menonton naskhah yang anti, terutama yang memprovok minda, ada semacam satu karan yang mengejut aku untuk terus berkarya.

Apa itu karya anti? Kalau mengikut pandangan aku yang naif dan daif seni ni, karya anti turut meliputi karya seperti anti realisme iaitu surrealisme dan absurdisme. Tapi sebenarnya aku lebih menyukai karya yang anti dari segi isinya, bukan sekadar penyampaiannya.

Kalau teater, aku tidak pasti jika ada karya yang pernah aku tonton atau baca adalah karya yang berbentuk anti dari segi isinya. Mungkin Wangi Jadi Saksi boleh juga dikategorikan sebagai anti, kerana melihat sejarah Melayu dari kaca mata Dang Wangi. Dan juga seperti karya terbaru aku, Jebat : The Untold, aku kira sebagai sebuah karya anti kerana aku melihat Jebat dari satu sudut yang lain.

Kalau filem Melayu, filem-filem Mat Sentul seperti Mat Bond, Mat Magic dan segala macam Mat lagi, aku kira adalah filem-filem yang berbentuk anti samada dari segi persembahan mahupun isinya. Kalau filem Barat, maka tontonlah Unforgiven arahan Clint Eastwood.

Anti dari kaca mata aku yang naif dan daif seni ialah satu pandangan atau persepsi yang baru atau segar tentang sesuatu perkara yang sama. Perlu aku tekankan di sini, inilah anti yang aku cari. Jangan pula kalian balik semak kamus dan mencari definisi anti yang sebenar kemudian datang dan menghentam aku.

Unforgiven misalnya, sebuah garapan yang pada aku sangat bagus. Kalau kita melihat filem koboi, selalu digambarkan hero itu segak, dan handal bermain pistol serta handal memacu kuda. Di dalam Unforgiven, persepsi baru dibuka. Watak utamanya dikatakan sebagai pembunuh yang paling kejam, telah pencen dan menjadi penternak babi. Dan dia membunuh ramai koboi lain bukan kerana dia cekap, tapi kerana dia mabuk dan kerap bernasib baik.

Itulah yang tidak banyak ada di dalam penceritaan di tanah air kita ini. Jika kalian ada contoh cerita sama ada teater Melayu, filem-filem tempatan dan luar negara yang berbentuk sebegitu, kabarkanlah pada aku. Aku kepingin membaca atau menontonnya.

29 August 2006

Stereotaip Itu Indah, Jika........

Entri aku yang sebelum ini adalah contoh stereotaip yang diperbaiki. Ceritanya sama, mungkin ada yang pernah mendengar atau membacanya, mungkin juga baru kali pertama terkena. Aku menulis entri itu kerana sudah dua kali aku terkena dengan cerita yang serupa, tapi bentuk yang berbeza. Punya bersungguh membaca, alih-alih lain jadinya.

Apa yang aku nak kaitkan di sini ialah stereotaip itu juga digarap dengan baik juga akan menjadi sesuatu yang boleh diterima dan mungkin juga disukai orang. Produser Hollywood telah lama menggunakan formula ini. Cerita-cerita seperti Cinderella dah berapa kali digarap dalam bentuk yang berbeza. Jika kalian masih ingat atau pernah menonton Ever After (Drew Barrymore), Maid In Manhattan (Jennifer Lopez), adalah acuan Cinderella, kisah gadis/wanita miskin menjadi kaya kerana dicintai lelaki kaya. Begitu juga remake filem-filem lama mereka seperti Poseidon, Miami Vice, War of The World, juga satu bentuk stereotaip yang diperbaiki dan boleh diterima orang.

Begitulah keadaannya di dalam teater. Kerana pada aku stereotaip itu adakalanya tidak boleh dielak. Kadangkala idea yang mungkin disangka segar oleh produksi itu, sebenarnya stereotaip bagi sesetengah orang yang pernah menonton teater lain. Tapi jika pengarah itu bijak menggarap teaternya, maka stereotaip itu pasti boleh diterima.

Biarlah aku beri contoh. Kisah Tuah dan Jebat, aku kira semua orang tahu ceritanya. Dan cerita inipun sudah beberapa kali diangkat ke pentas dengan skrip yang berbeza. Jebat (Hatta Azad Khan), Hang Jebat Menderhaka (Ali Aziz), Matinya Seorang Pahlawan (Usman Awang) merupakan antara contoh nukilan penulis dari kaca mata mereka.

Tapi bila U-wei, Adlin Aman Ramlie, Rosdeen Suboh dan beberapa orang lagi mementaskan Saksi dan kemudiannya Wangi Jadi Saksi, maka satu lembaran baru telah dibuka bila mana kisah Tuah dan Jebat dilihat dari kaca mata Dang Wangi. Stereotaip tapi segar.

Maka itu, jika kalian menonton mana-mana hasil yang kalian anggap stereotaip, maka anggaplah mereka sedang belajar dan kita pun perlulah terima seadanya stereotaip itu.

Sedikit lencongan; Tahniah kepada pasukan Kedah, kumpulan teater KUBAS yang menjadi Johan Festival Teater Malaysia. Kepada geng teater Resdong dari Tanjung, Naib Johan pun banyak juga hadiahnya. Tapi sayang, kerana aku tahu kalian boleh pergi lebih dari itu. Banyak perkara yang perlu kalian selesaikan untuk melangkah lebih jauh.

Ha ha ha...... kini aku dan rakan-rakan sudah tidak setanding dengan kalian. Seronoknya menjadi underdog.

24 August 2006

Tewas Pada Dua Gadis

Aku nak bercerita pada kalian, satu pengalaman yang tidak mungkin dapat aku lupakan. Nak bercerita tu segan ada, malu pun ada. Kerana inilah pengalaman pertama aku bermain dengan awek....

Dan aku tewas.

Banyak kali pulak tu.

Sewaktu aku menyewa di Alor Star, rumah aku diapit oleh dua buah rumah. Rumah pertama didiami oleh tuan punya rumah yang aku sewa pada ketika itu, dah rumah yang kedua itu pula oleh adiknya.

Rumah kedua ini ada dua orang anak dara, pada aku biasa-biasa saja raut wajah mereka, tapi cutting body tu memang boleh jadi model lingerie. Seorang bernama Jamilah, seorang lagi Haryati. Seorang kerja kilang, seorang sekolah menengah lagi. Setiap hari pasti salah seorang atau jika tidak kedua-dua anak dara ini akan menyidai kain pada sebelah pagi.

Aku pula pada ketika itu baru lepas mandi. Tandas dan bilik air yang terasing dari rumah menyebabkan mereka dan aku selalu terserempak bertentang mata, berpandangan tubuh aku yang sasa atau dada mereka yang montok itu.

Satu hari itu, hari yang tidak mungkin dapat aku lupa; ketika aku pun sedang menyidai kain, Jamilah menyapa aku.

"Abang tak kerja hari ni?"

"Tak. Nak pergi buat insurans road tax sat lagi"

"Lepas tu abang ada pi mana-mana ka?" tanya Jamilah lagi.

"Tak kot, awatnya?" aku dah mula berdebar.

"Milah nak mai rumah abang tengah hari satgi, rumah abang ada tv kan? Ada barang best Milah nak tunjuk"

Berderau darah aku. Dalam sedar tak sedar aku mengangguk. Dan semua kerja-kerja selepas itu aku rasa menjadi amat perlahan. Pakai baju perlahan, sikat rambut perlahan, buat insurans perlahan, buat road tax perlahan, motosikal pun perlahan; semua bahana tidak sabar menunggu tengah hari.

Dah sampai rumah, jantung aku berdegup kencang. Asyik kerling rumah sebelah. Dan tiba-tiba pintu rumah aku diketuk. Jamilah datang, membimbit sebungkus beg kertas, nampak macam banyak CD.

"Abang main dengan Milah ye!" katanya lurus.

"Abang tak pernah main Milah...." kata aku naif.

Dengan manja dia menjawab, "Tak apa, Milah ajarkan abang"

Dan bermulalah kelas pertama aku, Milah ajar aku bagaimana memegang, bagaimana memicit, skill tunggang terbalik, dan dalam pada itulah beberapa kali aku tewas di tangan Milah. Aku letih, geram.

Tiba-tiba Yati masuk, "Hah! Kantoi main tak ajak orang!"

Aku sangat terperanjat, tapi melihat senyuman Yati, aku jadi teruja pula.

"Baik akak bagi Yati main dengan abang seround, kalau tidak Yati habaq dekat mak"

Maka terpaksalah aku melayan pula kehendak Yati, maka tewaslah lagi aku kepada Yati. Tapi perkara yang aku tidak sangka akhirnya berlaku. Emak mereka sendiri datang ke rumah aku. Pintu pula memang tidak berkunci.

"Yati, kan mak suruh hang panggil kakak hang dengan abang ni balik makan nasi. Yang dok gila main Playstation tu tak habis-habis lagi? Hang jangan dok layan depa ni, tv kat rumah tu dah jahanam main benda ni la, ni nak bagi jahanam tv hang pulak. Sat mai umah makan nasi sekali," panjang leter emaknya.

17 August 2006

Darah Yang Mengalir - Ulasan Yang Terpulas

Minggu ni aku maha sibuk. Tak sempat nak letak pungkur atas kerusi. Senantiasa bergerak ke sana-sini. Tapi eloklah aku tunaikan janji aku memberi ulasan tentang Darah Yang Mengalir.

Mungkin tak ramai yang tahu siapa itu Mustapha Hussain. Beliau merupakan nasionalis Melayu sebelum UMNO lagi. Bersama-sama Ibrahim Yaakob (walau tidak sekepala) mereka menentang British. Bila Jepun datang, beliau diserap menjadi ahli Fifth Column atau Sayap Kelima, apa yang sesetengah orang mungkin kata tali barut Jepun.

Tapi kelebihan yang ada pada kedudukan beliau itulah digunakan untuk menyelamatkan orang Melayu, tidak kiralah askar Melayu yang dikurung Jepun, atau orang kampung yang diseksa Jepun. Lepas Jepun menyerah kalah, beliau ditangkap kerana dikatakan tali barut Jepun, tapi surat dari pegawai tinggi askar Melayu bersama petisyen 400 orang askar Melayu telah menyelamatkan beliau.

Maka kalau nak tahu cerita yang lebih jelas, carilah buku Mustapha Hussain, Kebangkitan Nasionalis Melayu Sebelum UMNO terbitan DBP.

Darah Yang Mengalir merupakan adaptasi daripada Di Mana Bumi Dipijak yang juga berdasarkan cerita yang sama, dipentaskan di Ipoh beberapa tahun yang lepas. Tetapi diolah kembali mengikut kesesuaian pelakon dan bajet.

Dan apa yang aku katakan, olahan Senibayan dan arahan Halimi MN ini memang sangat menarik. Kerap beberapa kali juga aku meremang bulu roma bila tiba adegan yang membangkitkan semangat Melayu aku. Senibayan memang petah mengolah bahasa dan mencuit perasaan audien, dan Halimi melengkapkannya. Penataan cahayanya juga cemerlang, adunan pelbagai warna bukan sekadar make-up mencantikkan pentas tetapi membangkitkan mood cerita.

Lakonan Norhelmi Othman juga sangat berkesan. Pelakon Lelaki Terbaik Festival Kebangsaan 2003 ini walau gaya lakonannya kerap stereotaip tapi permainan emosinya sangat merangsangkan. Mungkin ada yang pernah menonton Misi karya Faisal Tehrani di Lambang Sari Istana Budaya. Nah itulah orangnya yang menjadi Kudaffa. Pelakon lain terutama pelakon pembantu juga pada aku tiga mengecewakan. Pementasan mana lagi yang dapat mengumpulkan tiga Dr. sekali gus untuk berlakon.

Cuma ada anomali yang aku rasa mengganggu konsentrasi audien. Misalnya pemfokusan sembang-sembang Mustapha dan Jonid terganggu dengan penjual karipap dan orang mencari duit yang hilang. Juga ada beberapa adegan yang agak meleret seperti awal adegan kelab malam.

Tapi secara keseluruhannya pementasan ini berjaya. Walau tidak full house bagi ketiga-tiga persembahan, tapi purata setiap persembahan adalah 400 orang daripada kapasiti 500 orang. Dan aku yang sentiasa berada di belakang, sangat pasti tidak ada orang yang keluar sewaktu pementasan berjalan (kecuali untuk menjawab telefon).

Syabas.

14 August 2006

Imejan Darah Yang Mengalir


"Sumpah tadi Mustapha dan Ibrahim Yaakob ada di sini tuan!" Bahadur


"Aku sekarang sedang memijak seekor anjing!" Mustapha


"KMM bukan untuk golongan elit semata-mata saudara Ibrahim," Mustapha


"Ingat! Jangan cuba nak memanjat tembok British. Kita tak mampu," Teacher


Kem Tahanan Perang Jepun


Ulasan pada entri akan datang.

07 August 2006

Patut pun.....

Hari itu aku menyertai sebuah bengkel. Aku sebagai penyibuk saja. Pesertanya pelajar-pelajar baru dari pelbagai latar belakang dan pelbagai negeri. Ada yang baru pertama kali keluar dari negeri.

Satu kumpulan tu, ada lelaki ada perempuan, ada Pantai Timur, ada Pantai Barat, ada Utara, ada Selatan.

Maka pada satu sessi, semua peserta diminta berkongsi barangan peribadi dengan rakan dalam kumpulan.

Seorang jejaka lelaki dari Utara mengeluarkan dompetnya, dan menunjukkannya kepada seorang gadis dari Pantai Timur.

Sembang.... sembang..... sembang.....

Kelepang!

Budak lelaki dari Utara tu kena penampar. Aku segera bergegas dan bertanya.

Aku : Awat ni?

Budak Lelaki Dari Utara : Entah dia ni. Saya tanya dia terus dia bagi penampaq.

Aku : Hang tanya apa?

Budak Lelaki Dari Utara : Saya dah tunjuk kopek saya, saya mintala nak tengok kopek dia kalau boleh.

Ohhh..... Patut pun kena penampar.

03 August 2006

Sayang Sri Tanjung & Blind Date - Ulasan Yang Terpulas



















Imejan Blind Date


Sayang Sri Tanjung dan Blind Date merupakan dua buah teater yang cukup berbeza.

Satu teater Melayu dalam dialek tempatan, dan satu lagi teater Inggeris dalam dialek tempatan juga.

Sebelum lidah aku mengeluarkan nota-nota keras yang mungkin menikam, aku mengucapkan tahniah dan berbangga dengan kedua-duanya, kerana dihasilkan oleh Melayu dan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Walau tidak ramai, tetapi jumlah itu lebih baik daripada tidak ada langsung.

Sayang Sri Tanjung, dipentaskan kali yang kedua. Kali pertama, aku turut sama berlakon memegang salah satu watak. Tapi kali ini, kekangan komitmen menyekat aku untuk turut serta. Aku cuma hadir menempek pada hari-hari persembahan.

Ceritanya di sebuah warung tentang usaha orang kampung yang ingin bertemu YB untuk meluahkan masalah mereka yang tinggal di tanah wakaf. Tanah wakaf itu dituntut oleh cucu orang yang mewakafkan tanah itu untuk pembangunan. Dan disokong pula oleh Penghulu. Yada yada yada.

Apa yang boleh aku katakan, seperti biasa pastinya ada anamoli-anamoli dalam apa-apa persembahan. Dan fokus yang paling ketara ialah kelemahan pelakon menghayati watak. Bila dialog sudah tidak dapat diingati, dialog orang lain pun tak ingat juga, maka ritma tempo persembahan itu pun tenggelam macam Titanic. Sesekali saja tempo itu diangkat kembali bila ada adegan marah-marah. Bila kembali berdialog, maka aku rasa menyesal kerana tidak berniaga bantal pada malam-malam persembahan itu.

Pengarahan Razali Ridzuan, juga banyak terbantut kerana memberi penekanan kepada lakonan, aspek yang beliau sangat mahir. Rasanya banyak yang boleh dilakukan untuk menutup kelemahan pelakon, tambahan lagi itu adalah skrip beliau sendiri. Gaya pengarahan beliau sebenarnya memerlukan pelakon yang ultra hebat untuk menguatkan skrip beliau yang selalunya banyak bermain dengan ayat. Tanpa pelakon yang bagus, maka jahanamlah naskhah yang diangkat.

Blind Date pula sebuah cerita stereotaip ala tv pendidikan 18SX. Arahan Shah Zainal, seorang mahasiswa. Aku bukanlah penentang idea yang klise atau stereotaip, tapi idea yang sebegitu jika disokong dengan gaya penceritaan yang jitu, maka ia akan tetap menarik. Begitulah aku rasa pada Blind Date. Ceritanya biasa.

Cerita seorang lelaki Melayu (atau Mamak) jatuh cinta dengan perempuan Cina buta (Cina Buta?). Lelaki itu ada AIDS, tak mahu kahwin dengan perempuan tu walau cinta akan dia. Perempuan itu mahu kahwin jugak-jugak. Maka berceritalah lelaki itu dengan adik perempuannya tentang seks yang selamat, kondom, water based lubricant, dan sebagainya. Yada yada yada.

Konsep kontemporarinya menarik, setnya menarik, cuma ada di antara pelakonnya yang tidak menarik; kerana tidak menghayati watak dan cuma melontarkan dialog. Jika tidak, teater ini pasti tidak menghampakan. Cuma kadangkala aku rasa pemilihan kostum itu agak keterlaluan kerana tidak semua jalan cerita itu menuntut kostum yang sebegitu. Tapi tak apalah, kerana yang hadir menonton pun berpakaian lebih kurang juga.

Apa-apa pun. Tahniah buat mereka. Anamoli ini biasa, terkandung dalam mana-mana persembahan. Yang penting kalian buat. Dan jangan serik.