30 November 2006

Kancil Penipu

Mencari tempat letak kereta memang susah. Nak nak pula di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Tanjung. Hari itu aku dan sahabat menggunakan tempat letak kereta bertingkat untuk untuk meletak kereta.

Jenuh berpusing mencari, dan tiap kali nampak ada ruang kosong, pasti ada kereta Kancil tersorok di situ. Beberapa kali keadaan begitu berulang. Maka kawan aku pun kata,

"Kancil ni dari binatang sampai kereta memang penipu!"

27 November 2006

Kuasa Bahasa.... Kita?

Setiap kali aku membeli barang atau berurusan dengan bank, aku pastikan aku akan baca dengan teliti terma-terma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Bukan apa, takut nanti terkena. Sebab klausa dalam undang-undang ni kalau tak difahami dengan betul, kita juga yang terkena.

Ada sesetengah terma dan syarat ditulis dwi-bahasa; Inggeris dan Melayu. Aku baca kedua-duanya sekali. Tapi yang ingin aku bicarakan di sini adalah rasa kekesalan kerana di dalam kita melaung-laungkan pendaulatan bahasa Melayu, bahasa Inggeris juga yang lebih diutamakan.

Tak jelas?

Maksud aku, akan ada terma yang berbunyi lebih kurang begini:

"Sekiranya ada perbezaan maksud di antara terma dan syarat di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, maka maksud di dalam bahasa Inggeris akan mengatasi bahasa Melayu dan akan diguna pakai."

Maka tidak mustahillah ada pihak yang akan teraniaya dek kes ini.

Persoalannya, selain daripada istilah di dalam Science dan Mathematic yang takutnya tidak seragam, orang tidak faham dan mengelirukan; adakah bahasa Melayu begitu lemah hingga jika ada perbezaan maksud, maka tidak boleh digunapakai?

Garulah kepala yang tidak gatal.

Dan mulalah berfikir.

22 November 2006

Gores dan Belum Tentu Menang

Hari itu, aku duduk di sebelah beberapa orang yang lebih tua dari aku. Mereka sedang berbual-bual. Aku dengar.

Kopiah Putih : Aku cukup tak suka orang menipu dengan jualan langsung ni. Tambahan yang gores dan menang tu.

Songkok Hitam : Patut depa kena kata gores dan belum tentu menang.

Kopiah Putih : Hari tu, ada sorang mai rumah aku.

Songkok Hitam : Abis tu, hang halau?

Kopiah Putih : Dok aih..... tak baik halau orang tak tentu pasal. Dia mula la cerita yang tu yang ni.

Songkok Hitam : Lepas tu?

Kopiah Putih : Dia kata, 'encik gores ni, boleh menang kereta kancil.'

Songkok Hitam : Kancil?

Kopiah Putih : Ha'ah kancil. Aku pun tanya dia, 'encik mai sini naik apa?' Dia kata, 'naik van'. 'Kalau macam tu, encik bawak balik la, gores, menang, encik ambik Kancil tu kat cik.'

Songkok Hitam : Hang ni, tak patut kata lagu tu kat dia.

Kopiah Putih : Dia tu la buta perut. Dia masuk rumah aku dah nampak Wish aku, dengan Spectra bini aku. Boleh dok kata nak menang Kancil lagi.

15 November 2006

Hot Dog


Waktu aku kecik-kecik dulu, pernah bertanya pada orang, dari mana asal nama burger dan hot dog. Maka jawabnya,

"Orang yang mula-mula mencipta burger tu nama dia Mr. Burger, dan yang mula-mula mencipta Hot Dog tu nama dia Mr. Hot Dog"

Ohh...... Lagu tu rupanya. Selepas berpuluh tahun, aku menonton CSI dan Grissom memberikan satu info yang amat bermakna pada aku. Aku terjemahkan.

"Awak tahu, hot dog pada asalnya tidak dipanggil hot dog kerana ia cuma sosej biasa. Tapi pada 1901 di New York Polo Ground, penjual sosej menjeritkan They're red hot! Get your dachshund sausages while they're red hot ketika menjual sosejnya. Tad Dourgan, kartunis sukan New York Journal menyedari situasi itu dan segera melukis kartun mengenainya. Tapi dia tidak tahu bagaimana mengeja dachshund jadi dia terus saja menulisnya sebagai hot dog. Dan nama itu popular hingga kini."

Pendek kata, jangan mudah percaya kata orang, selidik kebenarannya dan tontonlah CSI.

Gap

Entri ini sengaja dibiarkan kosong sebagai 'gap'.

07 November 2006

Belasungkawa - Ayahanda

4 November 2006, Sabtu, 8.40 malam.

Ayahanda aku, Bakar Bin Ahmad kembali ke rahmatullah.

Al- Fatihah.............

30 October 2006

Konflik Dalam Cerita Melayu

Selamat Hari Raya.

Bagi yang tak sempat aku singgah blog, aku pohon maaf. Kebarangkalian untuk aku mendapat talian hayat internet dalam jangka masa terdekat adalah mustahil. Memandangkan aku juga merempat di komputer orang, jadi tidak banyak masa yang ada untuk melayar blog kawan-kawan. Nak kemaskini pun terasa membebankan, bukan pada aku tapi pada orang lain.

Hari ini aku nak bercerita tentang orang kita yang memang suka pada konflik. Aku rasa bukan orang kita saja, tapi manusia memang suka pada konflik.

Kecilkan skop, orang kita.

Maksud aku di sini ialah bagaimana aku berasa jelik jika ada orang yang bersuara,

"Cerita Melayu tak habis-habis. Kalau bukan rumah tangga porak peranda, kisah cinta tiga segi. Kalau bukan kisah cinta, kisah polis. Tak boleh nak buat cerita hidup orang Melayu yang aman, tak bergaduh. Barulah boleh jadi tauladan"

Jeliknya pada aku. Pada kalian, aku tidak tahu.

Kalian lihatlah sendiri cerita Malim Kundang, dan kini Bawang Merah Bawang Putih dari seberang. Balik raya dahulu, ketika mengunjung rumah kaum kerabat dan rakan taulan, aku dengar makcik pakcik berkata,

"Kalau nak keluar beraya. Tunggu pukul 3, habis cerita Bawang Merah Bawang Putih dulu"

"Aku dulu tak tengok cerita ni, tapi satu hari tu seorang kawan tumpang tengok kat rumah aku sebab rumah dia tak ada karan, terus aku sangkut sampai sekarang"

"Geram betul aku tengok si mak tiri mata bulat tu. Tak habis-habis nak menyusahkan orang"

Begitu hebatnya penangan konflik. Cerita apa dalam dunia ni yang tak ada konflik? Dokumentari mungkin boleh diterima. Wayang kulit, mak yong, mek mulung, semuanya ada konflik.

Apa agaknya rupa dan rasa sebuah cerita tanpa konflik. Adakah orang kita suka melihat kesusahan orang lain? Ataupun memang orang kita kuat simpati? Aku boleh susun berbagai atau di sini, tapi pokoknya konflik itu musti dalam cerita.

Kalian boleh bersetuju, boleh juga tidak. Ini aku.

09 October 2006

Nak Bagi Hati Ayam Sedap

Agak lama juga rasanya aku tidak berblog. Di samping agak sibuk dengan tugas hakiki, perpindahan ke lokasi pejabat baru (cuma aku seorang saja) telah mencuri banyak masa aku. Tapi aku puas hati kerana hasilnya amat memberangsangkan. Cuma talian internet masih belum ada. Kata pihak berwajib sedikit masa lagi, yang aku kira pasti akan mengambil masa paling kuran 3 bulan.

Mengemudi internet menggunakan komputer orang memang tidak menyeronokkan. Tidak ada cukup masa untuk mengemaskini blog, mahupun melawat blog rakan-rakan. Maka ketinggalanlah aku serba serbi. Ini pun mujur aku bercuti, bolehlah singgah ke warung cyber.

Cukup pengenalan.

Hari itu, aku berbuka bersama sahabat dan anak buah. Maka keluarlah satu topik perbualan.

Sahabat : Hang pernah makan hati ayam tak?

Anak Buah : Pernah, kenapa?

Sahabat : Sedap tak?

Anak Buah : Ikut tukang masak dan ikut masakan la.

Sahabat : Tau tak macam mana nak bagi hati ayam sedap?

Anak Buah : Ntah.....

Anak Buah Seorang Lagi : Biasanya orang masak lada, atau masak dengan kerisik.

Sahabat : Lagi?

Anak Buah Seorang Lagi : Ntahla.... biasa itu yang paling sedap.

Sahabat : Semua salah.

Anak Buah : Abis tu?

Sahabat : Hangpa lepaskanlah ayam tu, baru 'sedap hati' dia.

Aku tengok anak buah aku blur tak paham, manakala aku dan sahabat-sahabat ketawa gila.

19 September 2006

Hantu Sebagai Pelaris

Tidak lama lau aku akan berpindah bilik buat ke sekian kalinya. Kali ini kembali berseorangan dan yang lebih menyedihkan tanpa talian hayat internet. Maka terbantutlah usaha aku buat sementara untuk mencari bahan-bahan untuk kajian aku tentang produksi teater yang efisien di samping kuranglah peluang aku untuk menyalahgunakan harta pejabat untuk tujuan lain seperti memblog.

Itupun sementara saja. Bila dah masuk talian hayat, maka aku akan kembali.

Tapi bukan itu yang aku ingin ceritakan, apa yang aku ingin bawakan ialah pengaruh mistik di dalam orang Melayu yang sangat mendalam. Maju macam mana pun orang Melayu, kalau bab mistik ni memang tiada bangsa lain yang boleh tanding.

Dulu heboh pontianak Sg. Nibong, dekat dengan stesen minyak Shell. Hingga kaya sekejap tokey stesen tu jual air mineral saja. Kini heboh pula muka manusia di pelepah pinang, bukan satu, dua pokok pula tu; di Kepala Batas. Maka berduyun-duyunlah manusia yang kebanyakannya Melayu ke situ. Hingga ramai yang ambil kesempatan berniaga, jadi macam mini ekspo.

Satu perkara yang bagusnya, inilah lubang rezeki untuk peniaga Melayu mencari untung cepat. Satu hari jualan ada yang mencecah hingga ratusan ringgit. Dan membuktikan lagi sifat oportunis Melayu yang berniaga ikut musim. Macam bulan puasa dan musim perayaan, maka ramailah yang berniaga makanan dan mercun.

Aku percaya, lain kali aku nak buat teater, aku nak hebohkan pokok depan auditorium di mana persembahan akan dijalankan tu ada langsuir bertenggek. Agaknya ramai yang akan datang, dan dalam ramai-ramai tu mungkin ada yang tergerak nak menonton teater aku.

Tak pun aku katakana saja ada hantu yang berlakon teater aku; sahabat-sahabat aku pun ramai yang standing dengan hantu dah. Aku dan sahabat lain pun boleh ambil kesempatan berniaga jenglot. Khabarnya di Indonesia ada kilang yang mengeluarkan jenglot, kalau pesan secara pukal mungkin lebih murah.

Nak join venture? Maksud aku berniaga, bukan jadi hantu.

18 September 2006

Miss Jay - Ulasan Yang Terpulas

Dua malam persembahan, dan aku ada pada kedua-dua malam. Ceritanya tidak panjang, 45 minit saja, tapi sudah mencukupi sebenarnya. Penonton pun tidak ramai, sekitar 300 orang sahaja bagi kedua-dua malam.

Apakah promosi aku masih belum kukuh, atau jualan aku yang tidak menjadi. Aku berpendapat jualan aku tidak menjadi. Tambahan lagi pada malam kedua persembahan ini terpaksa pula bersaing dengan tayangan perdana Cicakman yang harga tiketnya mahal satu ringgit saja dari tiket monolog ini, dan lokasinya cuma sebatang rokok (Amaran! Merokok Membahayakan Kesihatan) dari tapak persembahan monolog. Nak pula Cicakman itu tayangan amal, pasti ramai yang nak beramal sambil berlibur.

Nak mengulas, rasa malas. Nak pula aku terlibat secara langsung sebagai pengurus produksi. Cuma secara artistiknya memang aku tak terlibat langsung. Tiada anomali yang ketara, tapi seperti juga masakan, tidak semua meresap sempurna di lidah.

Seperti mana aku yang naif dan daif seni ini selalu berkata, tiada persembahan yang sempurna. Tidak aku mempertikaikan corak pengarahan Dr. Samat Salleh yang bersahaja, jernih dan bersih dari sebarang efek yang tidak perlu. Hanya kekuatan lakonan diberi penegasan. Masing-masing punya kaedah pengarah tersendiri.

Tataan cahaya oleh Roslan Chin, memang tidak boleh dinafikan lagi, amat cantik, berseni dan kena dengan jalan ceritanya. Penggunaan warna yang monokromatik untuk menggambarkan Miss Jay yang kosong, dan warna panas untuk menggambarkan Zura yang garang dan tegas, sangat berkesan dan mudah difahami oleh penonton meskipun yang baru pertama kali menonton teater.

Cuma pada aku, Milyana Arshad sebagai Miss Jay dan Zura boleh diperhalusi lagi dari segi ketajaman emosi dan keberkesanan karakter. Ada ketika mainannya tidak dapat menyentuh kalbu dan transisi tidak begitu mencengkam. Disiplin pentasnya cemerlang, suara yang kuat, intonasi yang jelas, permainan ruang yang sempurna, permainan level biarpun tiada permainan body level, tetapi binaan set yang bertiga tingkat telah menghalalkan ketiadaan permainan body level itu.

Tapi itu aku, yang mungkin mengada-ngada menuntut hampir kesempurnaan bagi setiap pementasan yang aku tonton. Itulah ruginya orang teater yang banyak menonton teater, pastinya mahu yang lebih baik setiap kali menonton teater yang berlainan. Bagi penonton biasa, aku yakin Milyana cemerlang dalam melakonkan wataknya.

Aku kini teruja untuk terus mengadakan monolog. Kerjanya mudah, tidak remeh. Tidak perlukan banyak tenaga, ramai orang. Aku mungkin merancang Pekan Monolog tahun hadapan dan menjemput semua IPT dan NGO seluruh Tanah Melayu.

Mungkin.............

16 September 2006

Iklan - Monolog Miss Jay; entri terbaru di bawah iklan


Ini projek terbaru, tapi bukan karya mahupun arahan aku. Aku cuma bertindak sebagai Pengurus Produksi sahaja. Ini bukan projek NGO jika kalian mahu tahu.

Karya Mariam Rashid.

Arahan Samat Salleh.

Jemputlah jengok dan tengok.

13 September 2006

Babi Sebelah Boleh Makan

Aku terlibat dengan perbincangan yang serius tempoh hari, antara beberapa orang rakan dan juga seorang sahabat yang berkelulusan Al-Azhar, Mesir.

Al-Azhar : Anta tau tak. Babi tu cuma sebelah boleh makan.

Sabahat : Hoh..... Mu jange dok buak lawok weh. Babi mana leh make.

Al-Azhar : Betul! anta tak percaya anta boleh semak kitab.

Maka berlakulah perang mulut tentang kitab, sunnah, ijtihad ulamak, mazha-mazhab dan sebagainya. Aku tak arif bab itu, maka aku dengar sebagai ilmu.

Sahabat : Mu ghoyak molek weh.... belah mano bole make? Kiri? Kane? Depe? Belake?

Al-Azhar : Sebelah kafir.

Tersembur sirap bandung aku.