26 December 2006

Selfish - Sifat Yang Tak Akan Terhakis

Malam itu, aku dan keluarga ke Pesta Tanjung. Ramai sungguh. Awal kemunculannya tak seramai begitu. Nak letak kereta pun sangat susah kecuali datang seawal jam enam petang. Tukang parking haram pun muncul macam kulat lepas taufan. Bayangkan letak kereta tepi jalan yang hak milik kerajaan pun kena RM3.00. Kalau motosikal RM2.00.

Jalan raya sesak teruk, macam banjir kat jalan depan. Walhal bahana orang letak kereta tepi jalan. Nak pula tapak pesta itu dekat dengan stesen bas ekspres, yang dulunya merupakan tapak letak kereta. Mana bas ekspres berebut masuk mengejar masa, mana kereta pun berebut masuk mengejar masa. Kali ini, kancil yang pandai menipu pun tak ada peluang menipu sebab ada lagi mahkluk berkaki dua yang lebih pandai menipu.

Dan perkara yang sama berlaku dengan sebuah kompleks beli-belah yang baru dibangunkan di tepi pantai. Memang yang terpanjang dan terbesar di Tanjung. Laksana Midvalley lagaknya aku rasa. Tapi seperti biasa bila ada benda baru maka ramailah yang datang mengerumun. Termasuk aku.

Deretan kereta yang cuba masuk letak kereta mengalahkan semut dalam sebuah koloni raksasa. Di dalam kompleks ada tujuh tingkat tempat letak kereta, tak termasuk bawah tanah. Di luar kompleks ada lagi tempat letak kereta, tak tahulah haram atau sementara. Itu pun masih ada banyak tuan punya kereta yang letak kereta di bahu-bahu jalan dalam tempat letak kereta. Tanpa kemahiran yang cukup, aku rasa sangat sukar meletakkan kereta di ruang kosong dek kesempitan yang diakibatkan oleh tuan punya kereta yang mementingkan diri sendiri ini. Nak pula tak ada power steering.

Memang aku rasa nak membebel dengan sikap orang kita. Tak mustahil akan lekat pada aku. Kerana dek pesta, aku terpaksa beratur selama satu jam setengah atas jalan, namun masih tak dapat letak kereta walau ke mana saja aku berpusing mencari jalan. Bila aku datang dengan motosikal, letak atas kawasan lapang yang entah milik siapa, tuan peniaga air dan keropok haram di situ minta pula RM 2.00, macam dia bayar tapak itu untuk berniaga dan letak kereta.

Dek kereta yang letak di bahu jalan tempat letak kereta, bonet kereta aku kemik terlanggar dinding belakang, gara-gara mahu lekas kerana dihon kereta yang sedang beratur menunggu aku berpeluh memulas steering yang tak berkuasa.

Mujurlah aku ni sabar. Walau masih ada sisa-sisa kegeraman pada orang yang suka mengambil kesempatan pada kesabaran dan baik hati aku.


19 December 2006

Intro - Devian Dogma

Aku dah pun menyiapkan skrip teater yang terbaru. Cadangan pementasannya tampak hebat. Pementasan di Tanjung ada dua kali; USM dan P.Ramlee, kemudian cadangnya turun ke Kedah dan Perlis. Pertengahan kedua aku merantau pula ke Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.

Tapi semuanya masih dalam perancangan. Aku takut kesibukan aku akan mengekang segala perancangan dan kerja-kerja aku. Akhirnya impian hanyalah tinggal kenangan. Apa-apapun, setiap perancangan direalisasikan dengan izin-Nya.

DEVIAN DOGMA

Tajuk naskhah terbaru aku. Ambil masa berbulan juga untuk siap. Aku rasa tajuk menceritakan segalanya. Kalau kalian tak tahu apa maksudnya, maka rujuklah Kamus Dewan Edisi Keempat, yang jaketnya berwarna merah.

Ceritanya tentang pembunuhan seorang wanita, yang modus operandinya sama dengan kes-kes pemerkosaan oleh orang minyak, yang pada masa yang sama sedang mengganas.

Persoalan devian dalam masyarakat kita, serta permasalahan dogma; aku utarakan secara parodi dan satira. Tak tahulah jika naskhah aku ini mencapai tahap parodi atau satira atau tidak tapi setidak-tidaknya kalian tahu itulah nawaitu aku.

Mungkin juga sifat aku yang gemar pada sarkasisme, menyebabkan naskhah-naskhah aku sarat dengan irama semiotik, termasuklah juga yang terbaru ini. Maka terpaksalah orang mengorek lapis demi lapis untuk melihat intisari cerita.

Tak kupas pun tak apa, kerana hidangan memang telah disediakan mentah tapi boleh dijamah. Memang satu lagi sifat aku yang suka pada sesuatu yang memprovok minda. Tak aku tak lupakan juga elemen komersial pada nilai tiket yang akan dibayar oleh audien.

Jadi kiranya kalian sudi menjemput pasukan kudrat produksi aku ke tempat kalian, mempersembahkan sebuah kisah yang entah apa-apa, jemputlah. Ada kelapangan, ada kudrat, ada izin dari-Nya, maka turunlah kami.

Jika tidak, kalianlah turun ke sini.

05 December 2006

Juragan dan Burung Tekukur

2 & 3 Disember lepas, aku di Aswara mengikuti Seminar Penulisan Dramatik. Malam 3 ada Malam Puisi Warisan, dan Pak Putu Wijaya, tokoh teater, filim, sinetron terkenal Indonesia turut hadir menyampaikan monolognya. Maka aku pun petik dan adaptasi dalam bahasa aku. Kisah seorang juragan dan burung tekukurnya.

Juragan : Hai burungku yang setia. Oleh kerana telah berpuluh-puluh tahun kau setia kepada aku, maka hari ini aku bebaskan kau.

Juragan itu membuka pintu sangkar burungnya itu.

Juragan : Bebaslah kau, terbanglah kau ke langit tinggi.

Burung itu, takut untuk keluar.

Juragan : Ayuh....... Apa yang kau takutkan. Kemerdekaan terbentang luas untukmu.

Burung Tekukur :
Tidak tuan, aku tidak akan keluar. Aku sudah terlalu lama hidup di dalam sangkar ini. Kalau aku keluar aku akan mati. Siapa yang akan beri aku makan. Tambahan pula kucing banyak di luar. Senapang patah juga ada.

Juragan : Brengset! Berani kau tidak mahu mendengar kata-kata ku! Aku tidak pernah memberikan kemerdekaan kepada sesiapa lagi sebelum ini. Dan bila aku memberinya pada kau, kau membantah.

Burung Tekukur : Tidak tuan, aku tidak berani membantah. Namun begitu aku juga tidak berani keluar. Tolonglah tuan, jangan paksa aku keluar. Tolonglah.........

Juragan itu berang. Dia memukul dan menendang apa sahaja benda yang ada di sekelilingnya untuk menunjukkan kemarahannya.

Juragan : Keluar kau, keluar kataku. Aku tuan kau, kau perlu ikut arahan aku. Keluar!!

Burung itu jadi semakin takut dan serba tak kena. Tiba-tiba dia mengepakkan sayapnya, lalu terbang dengan laju. Tapi bukan keluar, tapi ke atas. Burung itu berlanggar dengan bumbung sangkar lalu jatuh.

Senyap.

Juragan tergamam. Dia melihat burungnya kaku. Burung-burung tekukur yang lain yang ada di situ lalu semuanya berbunyi sayu, seolah-olah meratapi kematian rakan mereka.

Juragan : Ya Tuhan, Engkau telah memberikan satu pengajaran padaku. Bahawa tidak bisa memberikan kemerdekaan kepada orang yang tidak tahu menghargainya.

Lalu Juragan itu segera membukakan semua pintu sangkar burung-burung tekukurnya yang lain. Jumlahnya begitu banyak.

Juragan : Terbanglah, terbanglah ke udara. Bebaslah kalian, kerana aku tidak mahu kalian menjadi seperti sahabat kalian ini.

Lantas semua burung-burung itu pun terbang bebas ke udara.

Semua sekali, termasuk burung tekukur yang tadi senyap......... pura-pura mati.

Burung Tekukur : Ingatlah orang tua, kemerdekaan tiada makna tanpa perjuangan.

30 November 2006

Kancil Penipu

Mencari tempat letak kereta memang susah. Nak nak pula di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Tanjung. Hari itu aku dan sahabat menggunakan tempat letak kereta bertingkat untuk untuk meletak kereta.

Jenuh berpusing mencari, dan tiap kali nampak ada ruang kosong, pasti ada kereta Kancil tersorok di situ. Beberapa kali keadaan begitu berulang. Maka kawan aku pun kata,

"Kancil ni dari binatang sampai kereta memang penipu!"

27 November 2006

Kuasa Bahasa.... Kita?

Setiap kali aku membeli barang atau berurusan dengan bank, aku pastikan aku akan baca dengan teliti terma-terma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Bukan apa, takut nanti terkena. Sebab klausa dalam undang-undang ni kalau tak difahami dengan betul, kita juga yang terkena.

Ada sesetengah terma dan syarat ditulis dwi-bahasa; Inggeris dan Melayu. Aku baca kedua-duanya sekali. Tapi yang ingin aku bicarakan di sini adalah rasa kekesalan kerana di dalam kita melaung-laungkan pendaulatan bahasa Melayu, bahasa Inggeris juga yang lebih diutamakan.

Tak jelas?

Maksud aku, akan ada terma yang berbunyi lebih kurang begini:

"Sekiranya ada perbezaan maksud di antara terma dan syarat di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, maka maksud di dalam bahasa Inggeris akan mengatasi bahasa Melayu dan akan diguna pakai."

Maka tidak mustahillah ada pihak yang akan teraniaya dek kes ini.

Persoalannya, selain daripada istilah di dalam Science dan Mathematic yang takutnya tidak seragam, orang tidak faham dan mengelirukan; adakah bahasa Melayu begitu lemah hingga jika ada perbezaan maksud, maka tidak boleh digunapakai?

Garulah kepala yang tidak gatal.

Dan mulalah berfikir.

22 November 2006

Gores dan Belum Tentu Menang

Hari itu, aku duduk di sebelah beberapa orang yang lebih tua dari aku. Mereka sedang berbual-bual. Aku dengar.

Kopiah Putih : Aku cukup tak suka orang menipu dengan jualan langsung ni. Tambahan yang gores dan menang tu.

Songkok Hitam : Patut depa kena kata gores dan belum tentu menang.

Kopiah Putih : Hari tu, ada sorang mai rumah aku.

Songkok Hitam : Abis tu, hang halau?

Kopiah Putih : Dok aih..... tak baik halau orang tak tentu pasal. Dia mula la cerita yang tu yang ni.

Songkok Hitam : Lepas tu?

Kopiah Putih : Dia kata, 'encik gores ni, boleh menang kereta kancil.'

Songkok Hitam : Kancil?

Kopiah Putih : Ha'ah kancil. Aku pun tanya dia, 'encik mai sini naik apa?' Dia kata, 'naik van'. 'Kalau macam tu, encik bawak balik la, gores, menang, encik ambik Kancil tu kat cik.'

Songkok Hitam : Hang ni, tak patut kata lagu tu kat dia.

Kopiah Putih : Dia tu la buta perut. Dia masuk rumah aku dah nampak Wish aku, dengan Spectra bini aku. Boleh dok kata nak menang Kancil lagi.

15 November 2006

Hot Dog


Waktu aku kecik-kecik dulu, pernah bertanya pada orang, dari mana asal nama burger dan hot dog. Maka jawabnya,

"Orang yang mula-mula mencipta burger tu nama dia Mr. Burger, dan yang mula-mula mencipta Hot Dog tu nama dia Mr. Hot Dog"

Ohh...... Lagu tu rupanya. Selepas berpuluh tahun, aku menonton CSI dan Grissom memberikan satu info yang amat bermakna pada aku. Aku terjemahkan.

"Awak tahu, hot dog pada asalnya tidak dipanggil hot dog kerana ia cuma sosej biasa. Tapi pada 1901 di New York Polo Ground, penjual sosej menjeritkan They're red hot! Get your dachshund sausages while they're red hot ketika menjual sosejnya. Tad Dourgan, kartunis sukan New York Journal menyedari situasi itu dan segera melukis kartun mengenainya. Tapi dia tidak tahu bagaimana mengeja dachshund jadi dia terus saja menulisnya sebagai hot dog. Dan nama itu popular hingga kini."

Pendek kata, jangan mudah percaya kata orang, selidik kebenarannya dan tontonlah CSI.

Gap

Entri ini sengaja dibiarkan kosong sebagai 'gap'.

07 November 2006

Belasungkawa - Ayahanda

4 November 2006, Sabtu, 8.40 malam.

Ayahanda aku, Bakar Bin Ahmad kembali ke rahmatullah.

Al- Fatihah.............

30 October 2006

Konflik Dalam Cerita Melayu

Selamat Hari Raya.

Bagi yang tak sempat aku singgah blog, aku pohon maaf. Kebarangkalian untuk aku mendapat talian hayat internet dalam jangka masa terdekat adalah mustahil. Memandangkan aku juga merempat di komputer orang, jadi tidak banyak masa yang ada untuk melayar blog kawan-kawan. Nak kemaskini pun terasa membebankan, bukan pada aku tapi pada orang lain.

Hari ini aku nak bercerita tentang orang kita yang memang suka pada konflik. Aku rasa bukan orang kita saja, tapi manusia memang suka pada konflik.

Kecilkan skop, orang kita.

Maksud aku di sini ialah bagaimana aku berasa jelik jika ada orang yang bersuara,

"Cerita Melayu tak habis-habis. Kalau bukan rumah tangga porak peranda, kisah cinta tiga segi. Kalau bukan kisah cinta, kisah polis. Tak boleh nak buat cerita hidup orang Melayu yang aman, tak bergaduh. Barulah boleh jadi tauladan"

Jeliknya pada aku. Pada kalian, aku tidak tahu.

Kalian lihatlah sendiri cerita Malim Kundang, dan kini Bawang Merah Bawang Putih dari seberang. Balik raya dahulu, ketika mengunjung rumah kaum kerabat dan rakan taulan, aku dengar makcik pakcik berkata,

"Kalau nak keluar beraya. Tunggu pukul 3, habis cerita Bawang Merah Bawang Putih dulu"

"Aku dulu tak tengok cerita ni, tapi satu hari tu seorang kawan tumpang tengok kat rumah aku sebab rumah dia tak ada karan, terus aku sangkut sampai sekarang"

"Geram betul aku tengok si mak tiri mata bulat tu. Tak habis-habis nak menyusahkan orang"

Begitu hebatnya penangan konflik. Cerita apa dalam dunia ni yang tak ada konflik? Dokumentari mungkin boleh diterima. Wayang kulit, mak yong, mek mulung, semuanya ada konflik.

Apa agaknya rupa dan rasa sebuah cerita tanpa konflik. Adakah orang kita suka melihat kesusahan orang lain? Ataupun memang orang kita kuat simpati? Aku boleh susun berbagai atau di sini, tapi pokoknya konflik itu musti dalam cerita.

Kalian boleh bersetuju, boleh juga tidak. Ini aku.

09 October 2006

Nak Bagi Hati Ayam Sedap

Agak lama juga rasanya aku tidak berblog. Di samping agak sibuk dengan tugas hakiki, perpindahan ke lokasi pejabat baru (cuma aku seorang saja) telah mencuri banyak masa aku. Tapi aku puas hati kerana hasilnya amat memberangsangkan. Cuma talian internet masih belum ada. Kata pihak berwajib sedikit masa lagi, yang aku kira pasti akan mengambil masa paling kuran 3 bulan.

Mengemudi internet menggunakan komputer orang memang tidak menyeronokkan. Tidak ada cukup masa untuk mengemaskini blog, mahupun melawat blog rakan-rakan. Maka ketinggalanlah aku serba serbi. Ini pun mujur aku bercuti, bolehlah singgah ke warung cyber.

Cukup pengenalan.

Hari itu, aku berbuka bersama sahabat dan anak buah. Maka keluarlah satu topik perbualan.

Sahabat : Hang pernah makan hati ayam tak?

Anak Buah : Pernah, kenapa?

Sahabat : Sedap tak?

Anak Buah : Ikut tukang masak dan ikut masakan la.

Sahabat : Tau tak macam mana nak bagi hati ayam sedap?

Anak Buah : Ntah.....

Anak Buah Seorang Lagi : Biasanya orang masak lada, atau masak dengan kerisik.

Sahabat : Lagi?

Anak Buah Seorang Lagi : Ntahla.... biasa itu yang paling sedap.

Sahabat : Semua salah.

Anak Buah : Abis tu?

Sahabat : Hangpa lepaskanlah ayam tu, baru 'sedap hati' dia.

Aku tengok anak buah aku blur tak paham, manakala aku dan sahabat-sahabat ketawa gila.

19 September 2006

Hantu Sebagai Pelaris

Tidak lama lau aku akan berpindah bilik buat ke sekian kalinya. Kali ini kembali berseorangan dan yang lebih menyedihkan tanpa talian hayat internet. Maka terbantutlah usaha aku buat sementara untuk mencari bahan-bahan untuk kajian aku tentang produksi teater yang efisien di samping kuranglah peluang aku untuk menyalahgunakan harta pejabat untuk tujuan lain seperti memblog.

Itupun sementara saja. Bila dah masuk talian hayat, maka aku akan kembali.

Tapi bukan itu yang aku ingin ceritakan, apa yang aku ingin bawakan ialah pengaruh mistik di dalam orang Melayu yang sangat mendalam. Maju macam mana pun orang Melayu, kalau bab mistik ni memang tiada bangsa lain yang boleh tanding.

Dulu heboh pontianak Sg. Nibong, dekat dengan stesen minyak Shell. Hingga kaya sekejap tokey stesen tu jual air mineral saja. Kini heboh pula muka manusia di pelepah pinang, bukan satu, dua pokok pula tu; di Kepala Batas. Maka berduyun-duyunlah manusia yang kebanyakannya Melayu ke situ. Hingga ramai yang ambil kesempatan berniaga, jadi macam mini ekspo.

Satu perkara yang bagusnya, inilah lubang rezeki untuk peniaga Melayu mencari untung cepat. Satu hari jualan ada yang mencecah hingga ratusan ringgit. Dan membuktikan lagi sifat oportunis Melayu yang berniaga ikut musim. Macam bulan puasa dan musim perayaan, maka ramailah yang berniaga makanan dan mercun.

Aku percaya, lain kali aku nak buat teater, aku nak hebohkan pokok depan auditorium di mana persembahan akan dijalankan tu ada langsuir bertenggek. Agaknya ramai yang akan datang, dan dalam ramai-ramai tu mungkin ada yang tergerak nak menonton teater aku.

Tak pun aku katakana saja ada hantu yang berlakon teater aku; sahabat-sahabat aku pun ramai yang standing dengan hantu dah. Aku dan sahabat lain pun boleh ambil kesempatan berniaga jenglot. Khabarnya di Indonesia ada kilang yang mengeluarkan jenglot, kalau pesan secara pukal mungkin lebih murah.

Nak join venture? Maksud aku berniaga, bukan jadi hantu.