27 February 2007

Tak Mainlah Keriss! Kuk kik, kuk kik!

Satu ketika (aku memang suka mula dengan ayat ni), aku dan beberapa orang rakan-rakan sedang lepak minum-minum di sebuah kedai makanan Siam. Tidak begitu ramai pelanggan mereka pada ketika itu. Tapi apa yang menarik perhatian aku adalah di satu meja ada empat orang gadis ala-ala minah rempit duduk lepak minum-minum. Mereka datang dengan dua buah skuter yang cap apa aku tak kenal.

Dan tidak jauh dari situ, ada beberapa orang lelaki ala-ala mat rempit sedang duduk bersembang. Tidak lama kemudian datang lagi beberapa orang rakan mereka dengan dua buah motosikal Kriss dan Honda.

Kuk kik, kuk kik, kuk kik gelak gadis-gadis ini.

Menarik perhatian ramai melihat mereka. Tidak tahulah sama ada tertarik atau meluat. Tidak lama kemudian, berlakulah percubaan mengorat oleh salah seorang lelaki dari meja yang aku sebutkan tadi.

Tiba-tiba saja terdengar suara nyaring salah seorang gadis itu. Bukan menjerit, tapi dengan nada yang mempunyai niat untuk memalukan.

"Brader, kalau takat naik Kriss, tak payah try la. Koman-koman ada 125Z baru kami layan!" kata gadis itu, dengan penuh emosi menghina.

Aku tengok muka lelaki itu dah jadi lain. Tapi dia sabar dan cepat bertenang. Dia pun berlalu.
Kuk kik, kuk kik, kuk kik gelak gadis-gadis itu.

"Pakai Kriss ada hati nak tackle!" kata salah seorang dari gadis itu lagi.

Kuk kik, kuk kik, kuk kik!

Aku memang rasa tercabar dan terhina juga. Mungkin kerana aku lelaki, tapi lebih kerana sikap mereka yang memalukan bangsa.

Maka, lelaki yang datang dengan Kriss itu pun beredar. Tinggallah beberapa orang lagi, termasuk lelaki yang dihina tadi. Lalu dia memanggil pelayan.

Dikeluarkannya not seratus, "Kak, kira sekali meja ni dengan meja tu, belen akak simpan."

Gadis-gadis itu terus ketawa. Mungkin mereka rasa lelaki ini mahu menunjuk-nunjuk, lalu sanggup menghabiskan seminggu gajinya.

Kuk kik, kuk kik, kuk kik.

"Terima kasih ya bang. Bawa Kriss tu elok-elok!" kuk kik, kuk kik, kuk kik.

Tapi tiba-tiba ketawa mereka terhenti. Senyap. Terpinga.

Lelaki yang dihina itu mengeluarkan kunci BMWnya, menghidupkan enjin 3 series dengan rim 19 inci. Seorang lagi dengan Perdana V6, juga rim 19 inci dan seorang lagi dengan Satria Neo.

Sebelum BMW itu beredar, lelaki itu sempat menurunkan tingkap dan berkata, "sama-sama!"

25 February 2007

Kesedaran Dari Tuan Punya Kucing

Hari itu, ketika anak aku sedang mengejar seekor ibu kucing dan anak kucing, aku bertembung dengan tuan punya kucing itu, seorang wanita India yang aku rasa sudah lebih separuh abad. Kami pun bersembang seketika.

Tuan Punya Kucing : Ini kucing sudah enam tahun saya bela tau. Dia beranak, mati. Beranak, mati. Dulu ada banyak anak. Sekarang sudah sikit.

Aku : Anak yang dah besar ada juga la?

Tuan Punya Kucing : Ada, tapi sudah besar semua lari dari dia punya mak. Saya ada enam cucu tau. Paling besar sudah sekolah menengah.

Aku : Jaga-jaga jatuh satgi!

Itu pesanan aku pada anak aku agar tidak terlalu ralit mengejar kucing, bukan pada wanita India tu.

Tuan Punya Kucing : Awak tengok, saya pun laki sudah lama lari tinggal saya. Ikut lain perempuan. Tapi saya tarak bunuh anak. Itu perempuan yang bunuh gila punya orang. Tarak otak. Mau marah sama laki marah la. Tapi anak-anak jangan kacau. Dia apa tau?

Tu dia! Betul bak kata Keng dan Bunga Rampai, ilmu, guru dan kesedaran ni boleh datang dalam pelbagai bentuk yang tak diduga.

16 February 2007

Imejan Rantau Budaya II di Bumbong Lima

Bengkel muzik wayang kulit

Bengkel lukisan, arca & cetak

Ibu-ibu gotong-royong menyediakan kenduri makan tengah hari

Hasil bengkel lukisan

Hasil bengkel arca (foto senget)

Ingat lagi aku pernah sertakan foto-foto Rantau Budaya di Merbok, Kedah? Ini koleksi terbaru Rantau Budaya II di Bumbong Lima, Seberang Perai Utara.

07 February 2007

Kebetulan Jumaat Itu

Bila orang bercerita tentang Jumaat, kebetulan aku pun nak bercerita juga. Kebetulan hari itu aku berjemaah solat Jumaat di masjid lain di Tanjung kerana urusan kerja. Kebetulan pula aku agak terlewat, masjid dah penuh, nampaknya terpaksa berdiri mendengar khutbah.

Kebetulan masjid itu terletak dekat dengan restoran nasi kandar terkemuka dan besar pula. Kebetulan ada beberapa orang makcik-makcik, kakak-kakak meminta sedekah. Kebetulan pula ada ramai kanak-kanak sedang berlari riang.

Kebetulan restoran nasi kandar itu katanya setiap Jumaat menyedekahkan berpuluh bungkus nasi kandar pengganti pisang. Kebetulan ketika aku lalu mahu masuk masjid, pekerja restoran itu datang membawa bungkusan nasi kandar. Kebetulan peminta sedekah ada di situ, kebetulan kanak-kanak ada di situ.

Dan bukan kebetulan bila nasi itu tiba-tiba diserbu oleh kanak-kanak itu, ambil tiga empat bungkus sekali, dan bukan kebetulan si peminta sedekah terus meminta sedekah kerana mencari makan.

30 January 2007

Beckham

Sempena Tahun Melawat Malaysia ini, seorang sahabat menjadi tourist guide separuh masa tak bertauliah. Hari itu dia menelefon aku, gabra sungguh nampaknya. Mujurlah aku pun ada berdekatan, lalu aku bertemu dengan dia dan satu pasangan Ingggeris.

Sahabat : Tolong aku oi, aku tak faham apa dia nak.

Aku : Hang kan boleh speaking, apa masalahnya?

Sahabat : Masalahnya aku tak faham!

Aku : So how can I help you sir, mem?

Orang Putih : Oh..... we are looking for men beckham.

Aku : Beckham?

Orang Putih : Yes.

Ah.... Sudah. Aku pulak pening.

Aku : You mean someone with Beckham as his name? Like David Beckham?

Orang Putih : No... no..... no! I don’t want David Beckham. Men who do beckham. You never heard of beckham?

Aku : I’m not sure I follow you sir. I do know David Beckham, but men beckham?

Orang Putih Seorang Lagi : You see, they use horn to draw out blood from someone’s body. Some said dirty blood, I’m not sure what does dirty means, is it contaminated honey?

Orang Putih : I have no idea.

Aku : Oh..... bekamlah! Not beckham!

26 January 2007

Kadar Buta Perut

Suatu ketika seorang pakar ekonomi sedang bersembang dengan aku. Katanya ada beberapa perkara yang diukur untuk menentukan tahap kemajuan sesebuah negara. Kalian boleh betulkan aku kiranya aku salah.

Antaranya katanya, pendapatan perkapita serta perbandingan dengan kuasa beli, KDNK atau KNK mana satu aku pun tak pasti, dan kadar buta huruf.

Maka aku yang masih kelabu dan tidak faham pun bertanya,

"Kadar buta perut tak masuk sekali ke bang?"

23 January 2007

Astro & Bola

Kawan-kawan aku selalu membebel kerana hak penyiaran Liga Perdana Inggeris diberikan kepada Astro. Bukan itu saja, Serie A, Bundesliga, dan La Liga juga dimonopoli oleh Astro.

Jadi bila aku beritahu suatu ketika dulu, yang aku pasang Astro, maka malam itu ramailah kawan-kawan datang buat lawatan mengejut.


Kawan-kawan : Kami mai ni nak tengok Astro.

Aku : Laa...... awat tak habaq nak mai. Peti ais aku kosong ni. Dahla mai lenggang saja.

Kawan-kawan : Takpa, kami mai nak tengok Astro saja.

Aku : Ikut suka hangpalah.

Kawan-kawan : Mana remote?

Aku menjuihkan bibir ke arah remote yang terletak di sebelah televisyen.

Kawan-kawan : Bola channel berapa?

Aku : Bola?

Kawan-kawan : Oh..... lupa, hang baru masuk Astro, tak hafal nombor channel lagi. Bak sini buku panduan.

Aku : Tak payah nak buku panduan.

Kawan-kawan : Hang ingat ka nombor berapa?

Aku : Tak payah ingat. Pasai aku mana bubuh channel sukan.

Kawan-kawan : Laaa........ awat tak habaq awai-awai?

Malu bertanya sesat jalan.

16 January 2007

Haji dan Gusti

Kawan aku bercerita, yang dia ada bersembang dengan seorang warga emas. Lalu kata warga emas itu,

"Kalau pakcik ada duit banyak, yang pertama pakcik nak pi haji. Yang kedua pakcik nak pi Amerika tengok gusti!"

12 January 2007

Pesanan

Barang siapa bangun di awal pagi dan mandi sebelum solat Subuh, maka dia tergolong dalam orang yang mengerjakan isterinya.

04 January 2007

Kekejeman

Dalam kereta seorang sahabat aku. Yang sedang merungut mengenai trafik di Tanjung.

Sahabat : Aku cukup benci dengan trafik di sini. Tahap kekejemannya sangat menyakitkan hati?

Aku : Sapa kejam?

Sahabat : Kejam apa pulak?

Aku : Tadi hang kata kekejaman?

Sahabat : Kekejeman lah.

Aku : Cakap la kesesakan.

Semua yang menumpang kereta ketawa berdekah-dekah secara berjemaah tanpa belas kasihan.

26 December 2006

Selfish - Sifat Yang Tak Akan Terhakis

Malam itu, aku dan keluarga ke Pesta Tanjung. Ramai sungguh. Awal kemunculannya tak seramai begitu. Nak letak kereta pun sangat susah kecuali datang seawal jam enam petang. Tukang parking haram pun muncul macam kulat lepas taufan. Bayangkan letak kereta tepi jalan yang hak milik kerajaan pun kena RM3.00. Kalau motosikal RM2.00.

Jalan raya sesak teruk, macam banjir kat jalan depan. Walhal bahana orang letak kereta tepi jalan. Nak pula tapak pesta itu dekat dengan stesen bas ekspres, yang dulunya merupakan tapak letak kereta. Mana bas ekspres berebut masuk mengejar masa, mana kereta pun berebut masuk mengejar masa. Kali ini, kancil yang pandai menipu pun tak ada peluang menipu sebab ada lagi mahkluk berkaki dua yang lebih pandai menipu.

Dan perkara yang sama berlaku dengan sebuah kompleks beli-belah yang baru dibangunkan di tepi pantai. Memang yang terpanjang dan terbesar di Tanjung. Laksana Midvalley lagaknya aku rasa. Tapi seperti biasa bila ada benda baru maka ramailah yang datang mengerumun. Termasuk aku.

Deretan kereta yang cuba masuk letak kereta mengalahkan semut dalam sebuah koloni raksasa. Di dalam kompleks ada tujuh tingkat tempat letak kereta, tak termasuk bawah tanah. Di luar kompleks ada lagi tempat letak kereta, tak tahulah haram atau sementara. Itu pun masih ada banyak tuan punya kereta yang letak kereta di bahu-bahu jalan dalam tempat letak kereta. Tanpa kemahiran yang cukup, aku rasa sangat sukar meletakkan kereta di ruang kosong dek kesempitan yang diakibatkan oleh tuan punya kereta yang mementingkan diri sendiri ini. Nak pula tak ada power steering.

Memang aku rasa nak membebel dengan sikap orang kita. Tak mustahil akan lekat pada aku. Kerana dek pesta, aku terpaksa beratur selama satu jam setengah atas jalan, namun masih tak dapat letak kereta walau ke mana saja aku berpusing mencari jalan. Bila aku datang dengan motosikal, letak atas kawasan lapang yang entah milik siapa, tuan peniaga air dan keropok haram di situ minta pula RM 2.00, macam dia bayar tapak itu untuk berniaga dan letak kereta.

Dek kereta yang letak di bahu jalan tempat letak kereta, bonet kereta aku kemik terlanggar dinding belakang, gara-gara mahu lekas kerana dihon kereta yang sedang beratur menunggu aku berpeluh memulas steering yang tak berkuasa.

Mujurlah aku ni sabar. Walau masih ada sisa-sisa kegeraman pada orang yang suka mengambil kesempatan pada kesabaran dan baik hati aku.


19 December 2006

Intro - Devian Dogma

Aku dah pun menyiapkan skrip teater yang terbaru. Cadangan pementasannya tampak hebat. Pementasan di Tanjung ada dua kali; USM dan P.Ramlee, kemudian cadangnya turun ke Kedah dan Perlis. Pertengahan kedua aku merantau pula ke Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.

Tapi semuanya masih dalam perancangan. Aku takut kesibukan aku akan mengekang segala perancangan dan kerja-kerja aku. Akhirnya impian hanyalah tinggal kenangan. Apa-apapun, setiap perancangan direalisasikan dengan izin-Nya.

DEVIAN DOGMA

Tajuk naskhah terbaru aku. Ambil masa berbulan juga untuk siap. Aku rasa tajuk menceritakan segalanya. Kalau kalian tak tahu apa maksudnya, maka rujuklah Kamus Dewan Edisi Keempat, yang jaketnya berwarna merah.

Ceritanya tentang pembunuhan seorang wanita, yang modus operandinya sama dengan kes-kes pemerkosaan oleh orang minyak, yang pada masa yang sama sedang mengganas.

Persoalan devian dalam masyarakat kita, serta permasalahan dogma; aku utarakan secara parodi dan satira. Tak tahulah jika naskhah aku ini mencapai tahap parodi atau satira atau tidak tapi setidak-tidaknya kalian tahu itulah nawaitu aku.

Mungkin juga sifat aku yang gemar pada sarkasisme, menyebabkan naskhah-naskhah aku sarat dengan irama semiotik, termasuklah juga yang terbaru ini. Maka terpaksalah orang mengorek lapis demi lapis untuk melihat intisari cerita.

Tak kupas pun tak apa, kerana hidangan memang telah disediakan mentah tapi boleh dijamah. Memang satu lagi sifat aku yang suka pada sesuatu yang memprovok minda. Tak aku tak lupakan juga elemen komersial pada nilai tiket yang akan dibayar oleh audien.

Jadi kiranya kalian sudi menjemput pasukan kudrat produksi aku ke tempat kalian, mempersembahkan sebuah kisah yang entah apa-apa, jemputlah. Ada kelapangan, ada kudrat, ada izin dari-Nya, maka turunlah kami.

Jika tidak, kalianlah turun ke sini.