28 August 2007

Bandar Di Raja

Bercakap tentang pekan, aku teringat Pekan, Pahang.

Pekan, Pahang adalah bandar di raja. Begitu juga Arau, Perlis serta Kuala Kangsar, Perak.
Di sini letaknya Istana Di Raja.

Aku sangat pasti tiada bandar di raja di Tanjung. Tapi aku tak pasti di negeri-negeri lain.
Aku pasti Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor ada bandar di raja tapi aku tidak tahu di mana.

Kalian tahu?

20 August 2007

Pekan

Kalian mungkin sudah tahu. Satu purnama itu maksudnya satu bulan. Dan satu pekan itu maksudnya satu minggu. Ada tujuh hari di dalam satu minggu. Tapi kenapa pekan?

Dulu ada istilah Pekan Teater, maknanya selama seminggu orang teater dari seluruh negara berkampung untuk bersua muka dan bertanding. Jadi pekan itu seminggu.

Agaknya, dulu jika orang datang dari kampung dan ingin ke pekan, maka masa berjalan yang diambil mencecah seminggu. Sebab itu dipanggil pekan. Atau apakah mungkin radius luasnya pekan pada masa dahulu mencecah tujuh hari berjalan. Sebab itu dipanggil pekan.

Entahlah. Aku belum jumpa kajian yang khusus. Jika kalian tahu, kongsilah ilmu kalian disini.

17 August 2007

Ulasan Yang Terpulas - Bangsawan Bakawali

Aku sangat menyokong usaha KEKKWA dan DBKL agar bangsawan dipentaskan setiap bulan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur (di Bangunan Sultan Abdul Samad berdepan dengan Dataran Merdeka), kerana tanpa usaha seperti ini, bangsawan akan lebih mudah diancam kepupusan. Natijah dari itulah, Panggung Bandaraya telah dipenuhi oleh pengunjung yang hadir menonton bangsawan saban bulan, dengan persembahan dari Kumpulan Bangsawan dari Aswara, dari Kedah, dari Melaka serta dari Pulau Pinang. Jadi baru-baru ini, kumpulan bangsawan dari Pulau Pinang, USM khususnya (kerana di Pulau Pinang ada dua teraju bangsawan) telah mementaskan bangsawan Bakawali di Panggung Bandaraya dan kemudiannya di Auditorium Dewan Budaya USM.
Cerita Bakawali adalah cerita magis dan tragis, kisah langit dan bumi, alam kayangan dan alam nyata. Mereka lebih suka membawa cerita yang sebegini kerana plotnya yang lebih ringan, mudah diterima oleh pelbagai lapisan penonton, termasuk masyarakat. Serta, bila tidak melibatkan cerita raja-raja, maka protokol raja itu boleh dikurangkan. Sekiranya cerita yang dibuat melibatkan cerita raja-raja disesebuah negeri, maka protokol sembah, keluar masuk balai rong seri semuanya perlu tepat agar tidak membawa dakyah sesat. Visual Tajul Muluk, Nurul Asyikin, Raja Garuda dan Maharaja Tikus di dalam Gua Hitam.

Bakawali mengisahkan pengembaraan Tajul Muluk, putera mahkota negeri Tajul Bahri yang terpaksa mengembara mencari bunga Bakawali yang hanya terdapat di Taman Balkis, yang akan dapat mengubati mata ayahandanya yang terkena lintasan Kijang Emas semasa berburu. Semasa pengembaraannya, beliau telah bertemu dan berkahwin dengan Nurul Asyikin, anak kepada Raja Garuda yang kebetulan menjaga Taman Balkis. Dengan bantuan Maharaja Tikus, Tajul Muluk berjaya mencuri bunga bakawali dan cincin di jari Puteri Bakawali dari Taman Balkis
Fuhh...... ambil nafas.
Tajul Muluk ini pula ditemani oleh Ahmad dan Muhamad, anakanda Wazir Perdana. Setelah mengetahui Tajul Muluk memperolehi bunga bakawali yang sejati, yang terbukti setelah berjaya mengubati mata orang buta, maka mereka berdua berkomplot membunuh Tajul Muluk dengan menolaknya ke dalam kolam.
Fuh....fuhh......
Puteri Bakawali pula dihukum oleh ayahandanya Maharaja Indar supaya mencari bunga bakawali dan cincin dijari dengan turun ke bumi sebagai Shahrat. Shahrat mendapat tugas menjaga khazanah negeri Tajul Bahri, telah ternampak bunga bakawali dan juga bila Tajul Muluk muncul dengan menyamar sebagai Abdul si orang miskin penjual kuih dan membongkarkan kejahatan Ahmad dan Muhamad. Maka kebenaran pun muncul. Visual kemunculan garuda. Nampak kakinya?


Apa yang aku boleh simpulkan, mereka telah berjaya menarik perhatian penonton. Kerana selama pementasan yang mencecah dua jam dengan lima babak dan 4 extra turn, tiada penonton yang bergegas keluar kecuali untu ke tandas atau membunuh diri (istilah aku untuk perokok). Bagi yang pertama kali menonton bangsawan, mahupun persembahan pentas sebegini, maklum balas yang aku dapat mengatakan bahawa mereka tidak sangka begini rupanya persembahan pentas, begitu terhibur. Visual Tajul Muluk, Ahmad dan Muhamad cuba mengubati mata orang buta dengan bunga bakawali.


Visual Puteri Bakawali bersama pari-pari sedang merayu memanggil Maharaja Indar dek kehilangan bunga bakawali dan cincin di jari. Untuk makluman kalian, foto-foto ini adalah semasa raptai penuh, jadi ada persalinan dan tata rias yang tidak lengkap. Kalau aku dapat foto semasa persembahan, pasti lebih cantik dan menarik.


Tahniah! Kerana memartabatkan seni teater tradisi, dan kerana berjaya mencipta audien, khasnya audien bangsawan.

14 August 2007

Satu Perkataan

Ada orang kata,
Kita harus pandai.
Maka aku kata,
Kita jangan pandai-pandai.

Ada orang kata,
Kita jangan jadi bodoh.
Maka aku kata,
Kita boleh buat bodoh-bodoh.

Ada orang kata,
Jangan buat benda yang bukan.
Maka aku kata,
Lebih jangan lagi buat benda yang bukan-bukan.

Satu perkataan boleh mengubah hidup
dan dunia.

Perkataan 'sah' mengubah hidup si bujang.
Perkataan 'serang' mengubah nyawa si hidup.
Perkataan 'berhenti' mengubah segala kemungkinan yang akan berlaku.

10 August 2007

Mana Satu Lebih Kenal

Kalau kalian ke Barat, cuba tanya.

Mana mereka lebih kenal?

Fibonacci

atau

Muhammad Ibn Musa a.k.a. Al-Khwarizmi.

Maka jawapannya mungkin salah satu daripadanya.


Kalau kalian di sini, cuba tanya.

Mana orang sini lebih kenal?

Fibonacci

atau

Muhammad Ibn Musa a.k.a. Al-Khwarizmi.

Maka jawapannya mungkin tak ada satu pun di antaranya.

06 August 2007

Anjing Pavlov

Bila loceng bunyi kling-kling-kling-kling.
Maka air liur anjing itu akan berjejeran, masuk ikut tiub yang ditebuk bawah lehernya.

Makanan tak sampai lagi.

Bila loceng itu bunyi lagi kling-kling-kling-kling.
Maka air liur anjing itu terus berjejeran, kali ini tak cukup ikut tiub, meleleh ikut celah mulut dan gigi yang runcing itu.

Makanan tetap tak sampai.

Itu nasib anjing Pavlov.

Pastikan kalian bukan sepertinya.

02 August 2007

Tiga Pokok

Seorang sahabat menghadiri kelas Bahasa Inggeris. Rata-rata penuntutnya memang tidak mahir berbahasa Inggeris, menyebabkan guru yang mengajar juga terpaksa menggunakan Bahasa Melayu.

Maka si guru pun bertanya pada sahabat aku.

Guru : Hah... hang! Sebut tiga pokok dalam bahasa Inggeris.

Sahabat : Tiga pokok dalam bahasa Inggeris? Senang saja tu! Cakap tak tengok orang.

Mungkin guru itu menyangka sahabat aku akan menjawab rambutan tree, durian tree, lychee tree atau lain-lain lagi. Sebaliknya.

Sahabat : Tiga pokok dalam bahasa Inggeris...... three tree lah!

Maka gegak gempitalah kelas pada hari itu.

01 August 2007

Festival Teater Pulau Pinang - Konklusi


Festival Teater di Tanjung telah melabuhkan tirainya secara rasmi semalam. Kalau kalian dah tertanya-tanya, ingin aku maklumkan Devian Dogma cuma merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik serta dicalonkan di dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Tidak ada nombor 3 atau 2, 1 apatah lagi.


Aku akui tahun ini memang hebat-hebat. Sukar untuk meramal kemenangan kecuali Johan. Johan dirangkul oleh Angkatan Budaya Daerah Balik Pulau, Naib Johan Persatuan Teater Resdong's dan Tempat Ketiga oleh Persatuan Te.Ta.Mu. Berikut adalah senarai lengkap pemenang.


*Kumpulan Berpotensi : Kumpulan Teater Penang Free School - Sayang Sri Tanjung

*Kostum, Set & Props Terbaik : Angkatan Budaya Daerah Balik Pulau - Ayu Si Puteh

*Teknikal Terbaik : Resdong's - Titik Mula Titik Akhir

*Pelakon Harapan : Mohd Fitri Tamnami - Watak Mansor - Waktu Sesudah Itu (SICK)

*Pelakon Pembantu Wanita Terbaik : Yuslina Yusof - Watak Surti - Devian Dogma (Bakawalee)

*Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik : Razmi Che Man - Watak Khalid - Telefon (Bomba)

*Pelakon Wanita Terbaik : Milyana Arshad - Watak Puteh - Ayu Si Puteh (ABAD)

*Pelakon Lelaki Terbaik : Ahmad Shazli Hashim - Watak 2 - Titik Mula Titik Akhir (Resdong's)

*Pengarah Terbaik : Azrul Azizi Amirul - Ayu Si Puteh (ABAD)


Tahniah aku ucapkan. Bagi kalian-kalian yang mengenali aku secara personal, aku telah membuktikan tohmahan kalian bahawa aku bukanlah orang yang kalian perlu rujuk. Aku cuma deus ex machina, hadir cuma bila perlu.


Ralat : Aku telah beberapa kali cuba muat naik imejan Sayang Sri Tanjung tapi gagal. Harapnya dapat dinaikkan sebagai imejan tertangguh.




28 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Waktu Sesudah Itu

King Kong, telah dikitar semula. Poseidon, telah dikitar semula. Don, telah dikitar semula. Begitu jugalah keadaan teater ini, Waktu Sesudah Itu yang juga telah dikitar semula dari pementasan pada tahun 2000 di Kedah. Kedudukan setnya sama, kedai sebelah kiri pentas, rumah sebelah kanan pentas. Tapi yang istimewanya pementasan ini, kerana dari krew kepada pelakon, semuanya terdiri daripada orang muda, bak agensi modeling lagaknya.

Naskhah ini memang menarik, mengisahkan Nek Indun, seorang gelendangan yang pada asalnya seorang pejuang kemerdekaan. Hidupnya merempat, mengharapkan simpati Karim dan keluarga. Dia selalu mendambakan kopi Fauzi, yang bekerja di kedai kopi Bidin. Bila dia dicari, kerana ingin diberikan anugerah Srikandi Negara, barulah anak dan menantunya datang mencari. Visual Nek Indun terlena di kedai kopi Bidin.


Apa yang boleh aku puji pada kumpulan ini, ialah selain daripada pelakonnya yang layak masuk agensi modeling, mereka semuanya boleh berlakon. Tiada lakonan yang kaku atau dialog yang teratur lain macam, biarpun mereka ini kebanyakkan orang baru. Anomali yang paling besar, adalah pada pengarahan, teknikal dan pengurusan pentas. Visual Dato' Hassan dan Datin Limah, anak Nek Indun sedang bercerita kepada Karim dan Yati.


Mengarahkan sebuah karya yang banyak latar serta banyak kali tukar babak, memang sangat mencabar. Jika pengarah berkenaan bijak merancang, maka percaturannya akan menjadi dan persembahan itu akan jadi sempurna. Tapi jika sebaliknya, maka jahanamlah. Berlakon di dalam gelap adalah salah satu pantang larang di dalam pementasan teater. Keadaan sebaliknya jika pelakon sekadar membuat voice over di luar pentas, atau setidak-tidaknya voice over di dalam gelap. Tetapi jika ada aksi, reaksi dan dialog di dalam kawasan tanpa cahaya, maka ada yang tidak kena. Visual Fauzi cuba mengorat Suratman, orang yang mencari Nek Indun untuk dianugerahkan anugerah Srikandi Negara.


Begitu jugalah dengan pertukaran babak. Bila melibatkan set dan prop, sudah tentulah akan melibatkan tenaga kru. Tanpa raptai, keadaan boleh menjadi kelam kabut. Kontinuiti juga boleh lari jika pelakon tidak sedar apa yang mereka lakukan itu, boleh menyebabkan kru hilang punca, hingga tidak dapat membetulkan apa yang tidak kena. Perkara-perkara kecil seperti inilah yang boleh mencacatkan pementasan kerana menganggu konsentrasi audien. Audien akan mula ketawa dan tertanya-tanya. Visual Yang Berhormat, rakan seperjuangan Nek Indun sewaktu sebelum merdeka sedang memujuknya, yang sedang ditenangkan oleh Karim.


Tapi, walau apapun pendapat aku yang naif dan daif seni ini, aku tetap berasa mereka ini mempunyai potensi yang tidak terhingga, jika mereka sanggup duduk di dalam arena teater dan merasa sepak terajangnya. Pelapis seperti inilah yang sangat diperlukan. Aku harap kalian jangan berhenti setakat ini sahaja.

Selepas ini........ Sayang Sri Tanjung. Yang terakhir......................

26 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Ayu Si Puteh

Kalau di Tanjung, ABAD boleh dianggap sebagai kumpulan teater yang elit. Hadir mereka di pentas yang pastinya berkerusikan VIP. Kami kumpulan-kumpulan yang baru dan lama ini ibarat belalang di padang yang penuh helang. Jadi bila ABAD hadir dengan Ayu Si Puteh karya Senibayan arahan Azrul Azizi, mereka dinanti-nantikan. Dan sememangnya mereka tidak mengecewakan.

Membawa sebuah cerita yang mengisahkan pancaroba seorang janda beranak satu yang cacat, yang juga seorang primadona Mak Yong di kampungnya, yang terpaksa meneruskan sisa-sisa hidup dengan bermain Mak Yong. Suaminya seorang Peran, meninggal dalam kemalangan di laut, anaknya cacat, tidak dapat mewarisi titih Mak Yongnya. Dia sering diganggu oleh seorang lelaki yang menggilakannya. Penceritaan yang terus, adalah sebuah kisah tidak lengkap yang pada aku disengajakan oleh penulisnya, bagi mengajak audien berfikir, ke mana lagi Mak Yong ini boleh diwariskan. Visual Puteh, primadona Mak Yong sedang membayangkan ibunya Fatimah sedang menari Mengadap Rebab.


Kalau Resdong boleh hadir dengan produksi 7 hari, ABAD hadir dengan produksi 5 hari. Masih panas dengan sebahagian besar pelakon dan krunya terlibat dalam Bangsawan Bakawali di Panggung Bandaraya tempoh hari, mereka segera bertukar angin kepada Mak Yong di dalam produksi ini. Tidak sempurna, semestinya. Tapi tetap berlaku yang aku boleh katakan sebagai kesalahan, bukannya kesilapan yang dilakukan oleh pelakon. Ada ketika kontinuiti lari, ada ketika terkeluar perkataan moden, masalah overshadow dan sebagainya. Visual Sidin suami Puteh sedang menyanyikan lagu buat Puteh dan anaknya.


Naskhah ini dicincang oleh penulisnya sendiri. Memilih untuk memasukkan unsur kekaguman Mak Yong, suatu perkara yang agak sukar untuk dilakukan oleh kumpulan amatur yang lain di Tanjung kerana tiadanya kepakaran dan sumber. Selain daripada itu, mis en scene juga disusun, daripada penceritaan, komedi, ketegangan dan sedih. Ketara dalam setiap satu adegan. Suatu kerja yang play safe pada aku, cukup sesuai menarik perhatian audien dengan permainan emosi sebegini. Visual Puteh dengan anaknya Ayu yang cacat


Aku tahu, masa yang tidak mencukupi cukup mencacatkan perancangan Sutradara. Tapi sepatutnya sebagai sutradara, perancangan harus dibuat lebih awal. Tapi perlaksanaan juga tentunya mengambil masa. Kekangan-kekangan inilah yang wujud dan jarang diambil perhatian oleh kumpulan-kumpulan teater amatur. Ada yang sekadar melepaskan batuk di tangga. ABAD bernasib baik kerana mempunyai sumber dan kepakaran yang tidak terhad. Mereka ada adiguru teknikal, Mak Yong, tukang-tukang pembuat set, kru yang mencukupi, pelakon yang berbakat dan sebagainya. Pakej ini membolehkan ABAD tampil dengan meyakinkan walau tidak cukup latihan. Tapi kalau yang berbuat itu, sebuah kumpulan yang cuma ada pelakon atau ada pengarah sahaja, maka jahanamlah!

Tahniah kepada ABAD. Aku yakin, jika mereka bersungguh-sungguh dan ada masa latihan dan persediaan yang cukup, pementasan ini akan menjadi sangat mantap. Harapnya jika mereka menjadi juara, berusahalah bersungguh-sungguh ke peringkat kebangsaan. Dan gagaulah sekali lagi piala untuk Tanjung, seperti mana mereka dah buat tahun 2002.

Seterusnya............ Waktu Sesudah Itu.

24 July 2007

Hibernisasi

Devian Dogma melabuhkan tirainya untuk separuh penggal tahun ini. Kiranya ada rezeki, maka akan sampailah kami ke Ganu dan KL.

Semalam pementasan yang terakhir, maka aku tak dapat buat ulasan untuk Mabuk.


Maka hari ini rasmilah pasukan Devian Dogma berhibernisasi sehingga dikejutkan.

22 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Telefon





Persembahan yang juga menghiburkan dan ada potensi. Pun aku tidak boleh mengulas banyak kerana sedang menyiapkan pementasan Devian Dogma di Dewan Budaya, USM. Pementasan pada malam ini dan malam berikutnya.
Seterusnya..... Kerana Cinta... ehh... Mabuk... eh... Kerana Cinta Mabuk... eh... Mabuk Kerana Cinta..... ehhhh... Kerana Mabuk Cinta...... ehh.....