29 May 2009

Kisah Hati dan Kisah Kurma Nabi

Di sebuah pantri, selepas kenyang makan nasi tomato percuma berlaukkan sotong, ayam, udang dan kacang buncis.

Aku : Orang perempuan tak elok makan hati.

Kak N : Awatnya?

Aku : Kesian kat laki dia. Selalu dok makan hati, susah hati la laki dia, jenuh nak pujuk....

Kak N : Lagu tu ka. Orang perempuan pun depa kata tak bagus makan kurma nabi, nanti botak.

Aku : Awat pulak. Kurma tak baguih ka? Boleh bagi botak?

Kak N : Yalah... kurma nabi sekilo berpuluh-puluh ringgit. Botak kepala laki kalau dok selalu beli.

Cis..... aku kena balik!

26 May 2009

Makan Di Kantin Sekolah

Zaman aku sekolah rendah, mak selalu bagi pada aku (pakai duit arwah ayah) 3 kupang bersamaan 30 sen. Maka bolehlah aku beli nasik lemak sebungkus 20 sen dan ais manis ataupun sirap 10 sen.

Bila waktu sebelum rehat, makcik kantin akan datang ketuk bilik darjah tanya cikgu nak makan apa. Biasanya akan ada menu khas selain nasi seperti laksa, bihun sup, mee goreng dan sebagainya, yang dimasak oleh makcik kantin. Dan kalau aku lalu depan bilik guru, bolehlah lihat guru-guru menjamah makanan yang dikira mewah bagi aku. Sepinggan mungkin seringgit.

Kawan aku yang bawa seringgit sehari boleh diklasifikasin sebagai anak orang kaya. Memang pun, dia anak tokey kedai.

Bila aku sekolah menengah, aku belanja RM 1.50 sehari di kantin (pada zaman aku senior, zaman junior menu aku tak menentu). Mamak dan mami yang jual nasi tu dah cam aku, jadi selalunya aku tak beratur beli nasi. Terus pergi kepada mami, dia akan hulurkan nasi tomato, telur goreng mata kerbau, sayur ubi atau kacang buncis, kuah campur dan kuah manis. Kadang-kadang aku tambah daging kalau ada duit lebih. Bengkek saja budak-budak lain yang beratur. Nasi RM 1.20, air 30 sen.

Keluarga aku bukan orang berada. Tapi aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku ada duit poket untuk makan waktu rehat. Ada sesetengah sahabat aku yang terpaksa mengikat perut. Mereka cuma makan bila balik ke rumah atau ke asrama.

Sebab itulah sesusah mana pun hidup aku, aku tetap bersyukur. Kerana aku tahu ada orang lebih susah dari aku.

25 May 2009

Palestin, Perak, Penanti

Hari itu, semua orang sibuk pasal Palestin dan Gaza.

Sana-sini orang menyebut tentang Palestin. Konsert Amal Palestin, Pameran Amal Palestin, baca puisi Palestin, tunjuk perasaan Palestin; pendek kata, kalau orang tu tak sebut pasal Palestin, seolah dia seorang warga yang tidak prihatin penderitaan manusia seagama, atau setidaknya penderitaan manusia.

Hari ini?

Orang lebih memperkatakan tentang situasi di Perak dan Penanti berbanding Palestin.

Aku sedih kerana inilah sifat kebanyakan dari kita yang suka bermusim. Tambahan lagi kalau dicucuh oleh acuman media, barulah mereka sedar.

Krisis di Palestin masih sama. Cuma mungkin tidak memuncak. Tapi tahap keprihatinan kita tidak sama, malah semakin menurun. Cuba semak, siapa yang masih kekal memboikot barangan produk US dan Yahudi? Kalau ada pun dah makin berkurang.

Yang paling aku kesali, bila ada sesetengah pengusaha Bumiputera yang mengambil kesempatan kempen boikot ini untuk melariskan jualan mereka. 'jangan beli barang US dan Yahudi, belilah barang kami produk Muslim'. Pada aku, kalau produk mereka bagus, tak perlulah promosi sampai begitu.

Kerana aku tengok kebanyakan produk kosmetik dan kecantikan Bumiputera tidak pula perlu memohon orang lain memboikot produk kosmetik atau kecantikan US.

Mujurlah juga parti politik tidak menghasilkan produk sendiri untuk menampung sumber kewangan. Manalah tahu nanti akan ada kopi Tuan Guru PAS 3 in 1, set perawatan muka PKR, atau ayam organik Barisan Nasional.

Dan muncul pula Konsert Amal Penanti, Puisi Amal Kerajaan Perak dan sebagainya.

Orang kita ni, datanglah Portugis, Belanda dan Inggeris menjajah sekali lagi pun, rasanya tak akan berubah.

21 May 2009

Katak Dalam Air Suam

Pernah tengok katak?

Kalau kalian tak pernah tengok katak, mungkin kalian berasal dari galaksi yang berbeza, cuma boleh nampak rumah kalian dengan teleskop Hubble.

Katak kalau berendam dalam air, dia akan duduk diam saja. Bila bosan dia akan melompat keluar. Kalau selesa dia akan terus berendam.

Tapi kalau campakkan katak ke dalam air panas, automatik katak itu akan melompat keluar.

Tapi kalau air itu air suam, yang perlahan-lahan menjadi panas, maka katak itu akan buat tak tahu saja, sampailah katak itu mati kepanasan.

Begitu jugalah sifat manusia. Kuat melompat macam katak bila terjadi apa-apa secara mendadak. Kalau perkara yang terjadi perlahan-lahan, maka sampai sudah terlambat pun tak buat apa-apa juga.

Festival Teater Pulau Pinang 2009

Undi dah dicabut dan inilah jadual terkini Festival Teater Pulau Pinang 2009

Kategori Monolog

1 Julai/2.30 petang
GDW Kg. Contoh - Halusinasi Sang Algojo
Anak Harapan PFS - Eksperimen Pembunuhan (Raja Lekuk)

1 Julai/8.30 malam
Te.Ta.Mu. - Jebat : Rahsia Kesumat
Indah Kembara USM - 2 Tingkat

Kategori Teater Kanak-kanak

3 Julai/8.30 malam
Warisan Jemari - Kisah Si Semut

5 Julai/8.30 malam
Anak Serigala - Sungai Bonda

Kategori NGO/IPT/Bebas

7 Julai/8.30 malam
Suara ACMS - Mencari Juita

9 Julai/8.30 malam
L.E.Q.I.U PFS - Bicara

11 Julai/8.30 malam
Bakawalee Penang - Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

13 Julai/8.30 malam
Dewan Budaya USM - Lokan Bertepuk

15 Julai/8.30 malam
Kersani - Mustika

17 Julai/8.30 malam
GDW Kg. Contoh - Serakah

19 Julai/8.30 malam
Epilog Kembara - Nasib

21 Julai/8.30 malam
NVR Corp - Hanya Lala

23 Julai/8.30 malam
Resdong's - Neraka Petualang

25 Julai/8.30 malam
House Of Theatre Society - Legacy

28 Julai/8.30 malam
Malam Anugerah FTNPP2009

Maka secara rasminya bulan Julai 2009 adalah bulan teater di Tanjung. Semua dijemput.
Sila o sila.......

19 May 2009

Chick Ke Boom

Chick, chick ke chik ke boom,
Boom boom boom,
Bunyi lagu,
Chick, chick ke chick ke boom,
Boom boom boom,
Sungguh merdu.

15 May 2009

12 May 2009

Pengajaran Bahasa Inggeris Dalam Sains Di Kampung

Agaknya kerajaan kini ingin meluaskan pengajaran sains dalam bahasa Inggeris ke kampung-kampung.

Sebab itulah selesema babi kini dipanggil Influenza H1N1.

Penyakit sawan atau gila babi apa pula istilahnya?

07 May 2009

Susu Bertukar Menjadi Keju

Pernah dengar tak iklan keju Chesdale suatu masa dulu? Bila si ibu menceritakan pada anak asal-usul keju. Susu yang dibawa oleh pedagang Arab di tengah terik padang pasir, bila sampai di destinasi, bertukar menjadi keju.

Cerita yang sama diceritakan oleh sahabat aku zaman sekolah dulu.

Cikgu : Ali! Mana buku teks awak?

Ali (bukan nama sebenar) : Cikgu, dalam perjalanan, tiba-tiba buku bertukar menjadi keju.....

....dan Ali kena berdiri atas meja sampai habis waktu kelas.

06 May 2009

Minum Pakai Piring

Kalau dulu-dulu, di kedai kopi di kampung-kampung dan di pekan-pekan kecil, senario minum kopi atau teh mengunakan piring adalah biasa. Pak lebai, apek, appa, semuanya akan menuangkan air dari cawan ke piring. Tujuannya supaya air itu cepat sejuk.

Sekarang ni, anak-anak muda sekarang jangan haraplah nak minum macam tu. Nak dapat tengok orang minum macam tu pun mungkin dah susah. Maklumlah sekarang dah senang nak buat kopi atau teh suam. Paling tidak pun letak aircond (ais keliling cawan dalam piring) untuk mensuamkan air tu.

Nak pula sekarang ni, tak banyak tempat yang menjamu kopi teh pakai cawan. Biasanya gelas dan ada juga menggunakan mug. Pakai hilanglah budaya minum pakai piring.

Bayangkan di Coffee Bean atau Starbuck atau kopitiam eksklusif seperti Oldtown, ada orang minum dari piring macam tu. Barulah orang asing nampak dan kata inilah keunikan budaya negara kita.

04 May 2009

Menjaga Tepi Kain Orang Atau Sendiri?

Dulu, ada pepatah jaga tepi kain orang. Dan orang yang menjaga tepi kain orang selalu dikaitkan sebagai individu yang tidak molek sifatnya. Di kampung-kampung kalau ada makcik-makcik yang bertandang dan bercakap tentang hal orang lain, akan dianggap jahat mulut. Begitu juga pakcik-pakcik di kedai kopi, di tangga surau atau di mana-mana saja. Sebab itulah ada kata-kata ‘jangan jaga tepi kain orang’.

Bila negara ini makin moden, kampung-kampung di kawasan bandar makin berkurangan. Kalau ada pun dah naik jadi rumah flet. Masih tebal lagi sifat menjaga tepi kain orang ini. Mungkin modus operandinya saja berbeza. Cerita bertukar-tukar di pasar minggu, atau pasar basah, atau di surau, atau di warung tepi jalan. Isinya tetap sama, menjaga tepi kain orang.

Masa itu kita anggap ini bukanlah satu perbuatan yang mulia.

Tapi masa kini, terutamanya di bandar-bandar, amalan yang kita anggap tidak mulia itu dah semakin menghilang. Ada sesetengah keluarga malahan tidak kenal siapa yang tinggal di sebelah rumahnya, atau berdepan rumahnya. Kadang-kadang buat kenduri (bahasa yang enak untuk parti) hari lahir, atau sambutan hari raya, jiran sebelah dan depan rumah langsung tak dijemput. Yang hadir kawan-kawan pejabat atau kenalan-kenalan lain.

Ada juga sesetengahnya, bila tuan rumah sebelah berpindah dan berganti dengan tuan rumah yang lain (senario biasa bagi rumah sewa), masih tidak kenal siapa yang menginap walau mungkin dah empat ke lima kali bertukar orang. Kalau dengar orang menjerit kena pukul pun rasanya tak akan ada yang peduli kecuali kalau terdengar letusan senjata api.

Sebab itulah di Barat, diajar kepada para wanita (mungkin juga lelaki) yang cuba dirogol agar menjeritkan api! api! api! daripada menjerit tolong! Tolong! (mungkin benda yang sama di ajar di sini, tapi aku tak tahu kerana aku tidak risau sangat bab di rogol ni).

Menjaga tepi kain orang dah semakin menghilang. Kini menjaga tepi kain sendiri. Tapi adakah sehingga ke tahap ini kita mahu menjaga tepi kain sendiri?

28 April 2009

Monodrama 'Manusia Raja' - Pasca Pementasan

'Manusia Raja' dah tamat malam Ahad hari tu. Daripada kapasiti 222 tempat duduk di Auditorium Taman Budaya Negeri Pulau Pinang, 43 orang hadir pada malam pertama dan 71 orang hadir pada malam kedua. Itupun pada malam kedua, sebahagian besar terdiri daripada pelajar Kolej Perubatan ACMS, terima kasih pada kalian, terima kasih pada semua.

Seperti biasa, aku mengakui kelemahan publisiti menjadi punca utama. Ada wakil dari Seberang Perai memaklumkan maklumat pementasan ini tak sampai ke sebelah sana. Itu aku akui. Malahan bukan semua tempat di seluruh pulau ada makluman tentang pementasan ini. Bukan apa, aku dah pernah buat kerja-kerja tampal poster satu negeri beberapa tahun lalu, tapi hasilnya tetap serupa. Bilangan audien yang hadir tidak ramai.

Pada pendapat aku, ada beberapa kaedah yang membolehkan kehadiran audien yang ramai, kalau di Tanjung ini.

Pertama, publisiti yang betul-betul menyeluruh, hingga di setiap flet ditampal, setiap kereta di kompleks beli-belah utama diletakkan flyer, diiklan di radio dan sebagainya. Tapi berbaloikah dengan kutipan RM 5 yang dikenakan? Untuk jangka panjang mungkin ya, tapi siapa yang sanggup menanggung beban kos jangka pendek ini?

Kedua, buat cerita yang ramai orang berlakon seperti bangsawan atau teater kanak-kanak. Maka ramai kawan yang akan hadir membawa kawan atau ibu-bapa hadir membawa anak-anak atau kawan ibu-bapa dan anak-anak. Kaedah ini terbukti berkesan. Tetapi tidak semua pementasan berjaya.

Ketiga, letaklah besar-besar cerita ini cerita komedi, maka ramailah yang berminat untuk datang bergelak ketawa. Kalau tak letak cerita komedi, tambahan lagi poster atau kain rentang tanpa muka manusia seperti yang aku buat, rasanya tak ramai yang berminat nak hadir. Ramai yang lebih suka poster seperti filem-filem di pawagam.

Cukup bab kehadiran audien.

Aku dan kawan-kawan telah lama menerima dan menelan mentaliti audien yang hadir. Biar seteruk mana kami berusaha untuk mengubah mentaliti dan paradigma audien, pastinya akan sentiasa ada audien baru yang hadir untuk cuba menonton teater dan datang dengan mindset yang tersendiri.

Contohnya pada malam pertama, walaupun audien tidak begitu ramai, tapi kami menerima audien yang begitu matang, dan boleh menerima apa yang dibawakan. Ada yang pertama kali datang, ada yang sudah beberapa kali. Tidak kisahlah mereka dapat cerna atau tidak mesej tersirat yang aku nak sampaikan, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat memberikan perhatian pada setiap patah kata para pelakon.

Perlu diingatkan, 'Manusia Raja' membawa empat cerita (ada tambahan pada minit terakhir) dan setiap cerita membawa isu yang cukup berat. Hitam membawa persoalan pemimpin yang cakap tak serupa bikin, Jebat : The Untold menanyakan pada audien apakah pemikiran stereotaip mereka boleh diubah setelah mendapati hero mereka tidak sempurna, Bangkai Yang Terbingkai menggunakan bahasa yang bombastik merungkai sifat wanita dalam dunia lelaki yang sesat dalam sedar, dan Aku Bukan Parewa mempersoalkan apakah pembunuhan anak sendiri boleh dijustifikasikan sekiranya untuk menghasilkan dunia yang lebih baik.

Pada malam kedua, aku dimaklumkan ada beberapa pelajar belasan tahun yang hadir menonton. Pastinya satu pendedahan baru kepada mereka. Tetapi sayangnya, mereka kerap ketawa sehingga menganggu audien lain. Ketawa pada ketika bukan komedi, memang agak menganggu. Ketawa pada karakter, pada pergerakan yang dilebih-lebihkan, pada props mainan, memanglah seperti sifat budak-budak. Tetapi itulah yang aku dan para sahabat yang lain perlu telan.

Aku meletakkan ruang komen di luar auditorium, agar audien boleh memberi komen pada sekeping kertas dan melekatkannya di dinding. Ada yang memuji, ada yang kata sangat membosankan. Tentulah aku terima hakikat nak memuaskan hati semua orang tidaklah mudah.

Tapi aku dan rakan-rakan yang lain tidak akan serik. Insyaallah akan ada sambungan Manusia Raja 2. Dan aku juga bercadang nak membawa siri ini ke lokasi yang sesuai sekiranya ada masa dan rezeki. Ini bukan janji, tapi usaha.

Projek terbaru Bakawalee, adalah untuk festival teater Pulau Pinang. Kami buat saja.