16 May 2008

Peram Penulisan

Aku baru menyiapkan skrip terbaru.

Dalam dihambat masa dan kesibukan, aku siapkan juga. Aku paksa diri untuk siapkan kerana aku sangat cekap bekerja jika ada tarikh ajal.

Tapi kalau Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Haji Salleh tahu aku siapkan skrip dalam masa yang pendek, pasti dia rendam aku dalam Tasik Harapan (bukan tasik yang memberi harapan, tapi sebuah tasik di Universiti Sains Malaysia).

Kata beliau, sebuah naskhah tulisan, tidak kira apa genre, setelah selesai ditulis, haruslah diperam beberapa lama, sehingga kita tidak memikirkan tentang penulisan kita itu. Lepas dah tak ingat sangat apa yang kita tulis, barulah diambil balik, ditelaah balik. Kata beliau pasti ada yang boleh kita baiki.

Pendapat yang sama aku dengar dari Azizi Haji Abdullah. Kata beliau, tulisan kita itu, selepas selesai ditulis hari ini. Esok cuba baca balik, pasti ada yang kita rasa perlu tambah buang.

Aku sangat setuju dengan kaedah ini kerana aku sendiri pernah mencubanya suatu ketika dulu ketika aku baru belajar menulis novel dalam buku latihan sekolah (aku dah tak tahu ke mana hilang novel-novel itu). Memang banyak yang boleh diperhalusi.

Beza Prof. Muhammad dengan Azizi, cuma jangka masa peraman itu. Azizi lebih singkat, tapi lebih kerap semak semula. Prof. Muhammad lebih lama, mungkin kurang kerap.semak semula. Kata Prof. Muhammad, beliau biasanya menyemak semula lebih kurang 4 hingga 5 kali selepas tiap kali peraman. Aku tidak ingat berapa banyak semakan semula Azizi.

Kerana kata Prof. Muhammad, seorang pemenang anugerah Nobel yang pernah beliau temui menyemak sehingga empat belas kali sebelum diterbitkan. Itu termasuklah diberikan kepada pelbagai pihak untuk dikomen. Barulah boleh menghasilkan penulisan yang baik.

Aku setuju.

Malangnya aku tidak mampu berbuat begitu. Masa begitu memagar sempadan kreatif aku. Aku seringkali di dalam dilema, antara tuntutan tugas atau tuntutan minda. Dan seringkali aku beralah dengan tugasan. Sekiranya aku buat macam pemenang anugerah Nobel itu, maka skrip yang aku hasilkan pastinya cuma boleh dimurnikan dalam tempoh setahun, mungkin juga lebih. Nak buat penulisan baru semasa pemeraman? Lagi setahun pula diperlukan.

Agaknya kalau entri blog ini pun aku peram dahulu, entah bila kalian dapat membaca entri-entri kosong ini.

16 comments:

Butaseni@Wan Raja said...

kalau novel novel hang yang lama tu hang jumpa balik,hang dah setaraf dengan ian fleming (creator james bond) hahahahaha

Penjejak Badai said...

wahhahaha..klau peram karya2 tuh mesti dah ilang masa pindah bilik dulu tuh...skript baru..nak blakon..

wanie_agk said...

proses pengeraman ini penting, sebenarnya. mengembangkan hasil penulisan untuk sesebuah karya, juga proses baik pulih tidak akan datang dengan sekali fikir.

Mazarina said...

tasik harapan?huhuhu..tempat lalu di kala zaman usm dulu..hhehee

artisticklytouch said...

aku peram jugak tapi bila buka balik dan edit dah jadi cerita lain..macam 'cik endut' tapi kalau tak peram jadi macam 'BBRG' ha ha

aku suka cara azizi tapi kita kena letak satu tahap kepuasan di mana kita akan berhenti mengedit.

Pegawai Khalwat said...

Butaseni
Pasaipa mesti Ian Fleming?

P. Badai
Skrip baru dah ada pelakon 4 5 bulan dulu. Kalo nak, next project bole la.

Wanie_Agk
Sangat setuju.

Mazarina
Dulu tu bila tu? Zaman Ali Setan atau zaman Awas KRU atau Zaman Soalnya Siapa?

Art
Ya, tahap kepuasan tu akan datang dengan pelbagai cara. Salah satunya deadline. Ha ha....

Nur said...

rendam dalam tasik harapan bg biawa-biawak tuh telaah dulu. pegawai khalwat student USM ke?

Ku Keng said...

Dulu guru B. Inggeris ku juga berpesan, "sebelum mengarang buat dulu rangka. Apa kamu ingat kamu Shakespeare ke?"

Bunga Rampai said...

Salam,

Masih ingat, menurut guru BI saya, pengarang Ernest Hemingway menyunting bukunya Old Man At The Sea sebanyak lebih kurang 200 kali sebelum diterbitkan. Jadi katanya sebuah karangan perlu dibaiki 'beberapa kali' sebelum dihantar. Tapi beliau tak kata pun perlu peram :)

Anonymous said...

Al kisah.... hermm, terasa susah nak jd s'org penulis...teringin, tp bla nak mula... terus hilang ilham tu... ader tips x?

jinggo said...

nasib baik tak peram terus......
hihihihiiiii.....

tegezoot said...

Aku pun PERAM jugak! PERAM buku2 ang! hahaha!

jiGOMorrison said...

Aku pun suka peram juga, tapi peram dalam kepala otak! Tu yang selalu kena marah dengan Naga dan kawan-kawan soljah yang lain. Ha ha!!

Pegawai Khalwat said...

Pemuda Umno
Tak minat politik. Sekadar mengikuti perkembangan.

Keng
Ha ha... rangka tak sama dengan peram tuan. Rangka sebelum, peram selepas.

BR
Hemingway bukan orang Melayu, sebab tu tak guna perkataan peram. Ha ha... tapi aku rasa metodnya sama. Takkan dia edit 200 kali dalam masa sehari?

Puteri Cahaya
Tips? Jangan tunggu ilham datang. Dah mula menulis tu, tulis saja apa yang terkeluar dan terfikir. Lepas tu baru peram dan edit.

Jinggo
Ada... ada.... member hang sorang tu peram terus skrip. Merajuk aku bagi hilang kot. Ha ha....
Jangan marah yang makan cili.

Tegezoot
Pulangkan!!! Pulangkan buku aku!!

Jigo
Memang patut hang kena marah. Nietzhce is Dead hang tu, hang peram tak?

orang kampung said...

aku pun dinasihatkan dgn nasihat yang serupa....masalahnya...ada yang peram tu aku bukak balik...tapi banyak yang aku peram tu peram sampai sudah....kalau peram ciku tu tahap dah bentuk ciku pun hilang. hahahahaha selamat memeram.

Bunga Rampai said...

Salam,

Menurut cikgu tu, bukan diedit dalam sehari tapi dalam suatu jangka masa yang panjang. Maknanya peram jugalah tu ...