30 April 2010

Ulasan Yang Terpulas - Mak Yong Sindo

Ulasan ini tertangguh lebih kurang seminggu dari tarikh aku menontonnya. Sebab utama ialah aku ingin mencari kebenaran, apakah benar cerita mak yong ini saduran cerita Cinderella. Kerana Sindo itu sendiri seperti bunyi sebutan bahasa Kelantan untuk Cinderella. Ceritanya juga seperti cerita Cinderella, yang dianiaya oleh ibu tiri, kemudian dibantu oleh pari-pari dari kayangan dan akhirnya berkahwin dengan Raja Muda. Tapi aku belum sempat mendapatkan kebenaran lagi. Mungkin selepas ini aku akan bercakap tentang ini lagi.

Tidak banyak yang aku boleh komen dari segi struktur persembahan kerana aku bukanlah penggiat teater tradisional, khususnya mak yong. Namun beberapa penggiat mak yong yang aku bawa bersama ada memberi beberapa komen yang aku kutip dan rumuskan bersama.

Aku menonton persembahan selama dua malam daripada 3 malam. Itu pun setelah diketahui bahawa pemain untuk malam kedua berbeza dengan pemain pada malam pertama, dan ramai tetamu yang hadir bersama dengan aku tak lepas angin menonton pada malam pertama. Pak yong pada malam pertama lebih auranya berbanding pak yong pada malam kedua. Namun peran pada malam kedua lebih teratur dan kurang main-main berbanding peran pada malam pertama. Cuma peran pada malam kedua adakalanya agak keterlaluan kerana mengetuk kepala masing-masing seperti Three Stooges lagaknya. Kerana di dalam budaya Melayu, kepala itu diletakkan nilai yang tinggi. Bila masing-masing asyik tidak mengalah mengetuk kepala masing-masing, maka nilai itu jatuh.

Kalau di dalam Ghazal Party atau Mek Mulung, kehadiran transseksual atau mak nyah adalah sebahagian daripada penyeri acara. Tetapi aku tidak pasti apakah itu amalan di dalam Mak Yong juga. Tidak dapat dinafikan kehadiran mereka ini memang memeriahkan cerita, tetapi seeloknya dalam situasi yang terkawal. Aku secara personal tidak ada masalah dengan kehadiran mereka selagi mereka tidak mencacatkan cerita atau persembahan. Tetapi komentar dari orang lama mungkin sedikit berbeza.

Cuma yang paling pasti, pementasan ini seperti pementasan kawan-kawan. Ramai kawan-kawan yang hadir memberikan sokongan, adakalanya mengketawakan kawan-kawan yang berlakon kerana membawa karakter diluar kebiasaan dan mungkin juga terbawa karakter sendiri di dalam lakonan. Dan adakalanya kalau para pemain ini terbabas seperti lupa skrip, terlajak cakap loghat daerah sendiri dan adakalanya melakukan gerakan-gerakan yang kawan-kawan saja yang faham, maka berderailah gelak ketawa yang mungkin bagi aku tidak perlu.

Di sinilah dilihat audien yang tidak matang, sesuatu yang aku tidak jangkakan bila menonton di Aswara. Terutama pada malam pertama, apabila ada menonton yang mengulas setiap kali ada watak muncul sehingga menganggu ketenteraman audien lain. Setakat ketawa masih boleh diterima, tetapi menjadi pengulas tidak diundang, sungguh menyedihkan. Mujurlah audien pada malam kedua lebih tertib dan menghormati audien lain.

Itulah saja komen aku yang naif dan daif seni ini.

1 comment:

Aloy Paradoks said...

pelaksaan teater tradisional di situ perlu dirombak semula aku fikir... aku merasakan begitu..