10 May 2010

Demam Badminton Datang Lagi

Dulu, kalau di kampung, bila datang musim badminton, semua orang main badminton. Aku tidak terkecuali. Memandangkan aku masih dikira budak-budak waktu itu, maka aku dah kawan-kawan tidak dibenarkan bermain di gelanggang badminton bersimen dan berjaring. Maka kami akan pakat ramai-ramai pergi bermain di masjid lama. Kami buat garisan sendiri, malah raket sendiri dari kayu. Kami kumpul duit beli bulu ayam (shuttle cock) dan main sampai lunyai, barulah beli yang baru.

Bila arwah ayah tengok aku minat bermain, maka dia benarkan guna raket Dunlop yang dia selalu pakai. Raket tu memang klasik, kerana diperbuat dari kayu, dan setiap kali lepas main, perlu diregangkan kembali menggunakan frame yang disediakan. Tapi aku cemerkap, lepas mai aku tak regangkan balik, hingga kedua-dua raket itu meleding/melengkung dan rosak. Namun arwah ayah tetap tak marah aku. Terima kasih ayah! Sekarang aku rasa menyesal pulak merosakkan raket yang payah nak jumpa tu.

Bila raket tu rosak, maka mak dan ayah belikan aku raket Pro Kennex. Harganya RM 15. Itupun aku dah seronok sangat. Walaupun ada sesetengah kawan-kawan yang datang mempamerkan raket Yonex dan Carlton yang maha ringan (dibuat dari karbon apa entah) dan beratus-ratus harganya, namun aku tetap dengan raket itu, kerana itulah pemberian ibu bapa aku. Bila tali putus, maka aku akan kayuh basikal ke sebuah kem Cina dan minta dipasang balik tali raket itu.

Bila dah masuk sekolah menengah, maka kami pun dibenarkan bermain di gelanggang badminton yang sempurna. Ada garisan, ada jaring, atau pengadil. Tapi selalunya kami sempat main petang saja. Sebelah malam, giliran golongan belia pula, kerana malam lebih sejuk dan ada lampu. Aku bersekolah asrama, jadi jarang jugalah aku bermain di kampung. Dan di sekolah aku lebih jarang bermain kerana aku dah tukar profesion ke sukan lain pula.

Aku doakan tahun ini Pasukan Piala Thomas kita beroleh kejayaan. Kalau nak tewas pun, biarlah bermaruah.

3 comments:

artisticklytouch said...

karbon monoksida

eh, hang main sukan apa kat sekolah? lompat pagaq ka? hehehe

jinggo said...

lari dalam guni la oii....

blackpurple @ jowopinter said...

Masa kecil dulu, atok buatkan raket dari papan... maklumlah tak mampu beli raket...