BETA GUNDAH GULANA
Jadi tidak hairanlah ada yang merungut kebosanan, ada yang membebel tidak faham. BGG sememangnya bukan makanan segera yang hanya perlu dikunyah dan ditelan bulat-bulat. BGG memerlukan penontonya menjamah, merasa, menikmati dan menghayati setiap apa yang dilontarkan oleh pemain dan pengarahnya.
Tiada komentar khusus untuk para pelakonnya, kerana BGG bukan bergerak dalam nahu realisme. BGG ada sebuah teater kontemporari yang mengangkat isu semasa. Para pelakonnya, walau bagaimana jelik sekalipun lakonan dan tuturan dialog mereka, masih harus diterima atas nahu teater itu. Kredit kepada para pelakonnya kerana bukan mudah menghafal tanpa sebarang improvisasi, dialog-dialog yang dibikin dalam bentuk ala pantun, dan dituturkan pun bukan dalam bentuk pantun, tetapi secara bebas. Mengongkong diri pada mulanya dan kemudian membebaskan diri dari dunia pantun itu, adalah satu kerja yang bukan mudah.
Kredit juga pada latar hias/set yang penuh dengan aras, bagi mewujudkan kasta-kasta yang membawa simbolik tersendiri. Serta tentunya, pemilihan warna busana, kain, dan pengcahayaan yang menimbulkan mood dan pada masa yang sama memberikan makna.
Cuma isu raja, ahli politik dan masyarakat pula, tidak dapat diterjemah sepenuhnya oleh kebanyakan audien. Penulis melihat, di dalam situasi politik Malaysia pada ketika ini, institusi raja harus mengambil peranan aktif mengatasi kemelut yang tidak berkesudahan. Mungkin penulis mengambil iktibar dari kemakmuran Dinasti Gupta (320 - 550 AD) di India dan pada masa yang sama mengkritik pemerintahan neo-kolonialisme dan neo-feudalisme.
Cuma sayangnya, BGG bukanlah teater yang mesra pengguna. Ia terlalu idealis dan sesuai ditonton oleh individu yang suka pada perlambangan dan suka terpaksa berfikir. BGG terlalu mendesak pemikiran penontonnya, hinggakan tidak ramai penonton yang hadir benar-benar menghargainya. Ia ditonton sekadar sebagai sebuah teater, bukan sebuah karya yang konseptual dan penuh idealisme.
MANUSIAKAN MANUSIA
Adalah dua buah monolog karya aku yang dipentaskan oleh Kumpulan Sekenet dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka di Stor Teater DBP. Aku Bukan Parewa dan Anak Kecil Main Api ialah dua buah monolog dengan lapisannya yang tersendiri. Jadi, aku seperti biasa tidak akan memberi komentar tentang karya aku sendiri.
Namun, komentar ini cuma ditujukan kepada para pelakon Zulin Aziz, peserta rancangan Pilih Kasih yang membawakan Aku Bukan Parewa dan Che Mat, peserta rancangan Raja Lawak. Mereka berdua ini tiada masalah berlakon, tiada masalah sebagai seorang pelakon, pendek kata tiada masalah langsung.
Persembahan mereka berdua ini cukup bertenaga, cuma pada aku, agak kurang dari segi dinamisme persembahan. Walaupun lontaran dialog itu tidak monoton, tetapi plot penceritaan itu menjadi agak monoton. Ada ketika mereka bangkrap idea, hinggakan terpaksa menipu audien dengan marah-marah, menjerit mahupun menangis. Idea itu cantik, tetapi adakala hadir pada waktu yang tidak perlu.
Namun, secara keseluruhan, persembahan mereka masih boleh dikagumi dan dikira baik. Mungkin aku ini yang mengada-ngada. Maafkan aku yang naif dan daif seni. Jangan serik pula berteater lagi selepas ini.
3 comments:
Susahkan nak hasilkan karya yg mesra pengguna? hehehe Aku bukan parewa? brapa bintang nk bg kt lakunan dia?
merata pi skrip tu :)
Tegezoot
Hummm.....
Anak Antu Seni
Pi ke mana?
Post a Comment