Mahsuri adalah sebuah kisah lagenda. Ada juga yang mengaitkannya dengan sejarah, kerana keturunan Mahsuri masih hidup hingga kini. Pada 24 - 26 Jun 2011, bertempat di Auditorium Taman Budaya Negeri Pulau Pinang, AUCMS telah mementas teater semi muzikal Mahsuri. Ini komen dari aku yang naif dan daif seni. Aku bukan ada ijazah dalam seni teater, sekadar pengalaman lebih sehari dari kalian. Kalau sudi, terimalah.
Che Som (antagonis) dan bonda mentuanya.
Tidak seperti ketika aku menonton sesetengah teater di Kuala Lumpur, aku tidak hadir dengan jangkaan yang tinggi. Maklumat awal telah diperolehi dan yang aku tahu, 90% tenaga lakon adalah mereka yang baru pertama kali berlakon. Jadi bila dah tahu awal-awal, tentunya aku tidak menjangkakan pementasan yang setaraf dengan yang di buat oleh Rumah Anak Teater (RAT). Cukuplah sekadar mereka mampu memuaskan hati aku yang membayar RM 5.00. Dan syukur aku dapat menerima keseluruhannya dengan baik.
Mahsuri yang vokalnya tenggelam timbul (mungkin untuk malam pertama saja).
Naskhah lakon ini sangat baik. Aku tidak tahu siapa yang menulis skrip teater ini, tetapi skripnya sudah cukup kuat membawa penonton mengikuti kisah yang dibentangkan. Dialog-dialog juga puitis. Mungkin ini antara penyelamat utama selain beberapa faktor lain.
Pertandingan menguji kehebatan pahlawan untuk memilih calon suami Mahsuri.
Untuk lakonan, cadangan aku, banyakkan latihan. Terutama latihan vokal dan artikulasi (asas tu!). Tiada guna hebat di atas pentas jika audien tidak dapat memahami dialog yang dilontarkan. Selepas itu balik kepada pelajaran sedar; sedar ruang, sedar masa, sedar rakan lakon, sedar diri (ada yang aku tertinggal?). Maka dari situ boleh dikembangkan kepada aksi-reaksi-interaksi. Kemudian barulah perkembangan watak dan perwatakan. Pendek kata, balik kepada asas.
Pengumuman oleh panglima tentang cabaran bagi menjadi calon suami Mahsuri.
Set memang ringkas, sekadar mencadangkan ruang. Permainan paras itu ada dan menarik, cuma tiada usaha yang lebih membezakan ruang tiap babak. Permainan cahaya boleh membantu. Tetapi setidaknya tidaklah begitu mengelirukan audien (setidaknya untuk aku. Aku tidak pasti bagi yang pertama kali menonton). Cuma seperti biasa, aku terganggu dengan pencahayaan yang luas, sedangkan pelakon tidak dapat bermain ruang. Akibatnya tenaga bagi setiap babak itu mengalir keluar.
Suami Mahsuri (tidak ingat namanya, dalam brosur pun tak ada), bersiap meninggalkan Mahsuri untuk berperang dengan Siam.
Aku faham fungsi Lan Kristal, Aliff AF, Khai AF, Rosma AF dan Salima AF sebagai duta AUCMS. Dah menjadi tanggungjawab mereka hadir ke program sebegini sebagai memenuhi tuntutan kontrak mereka. Dan ini sebenarnya bagus untuk publisiti pementasan. Aku faham mereka tidak berlakon, sekadar tampil ala-ala extra turn di selang babak, dengan lagu-lagu yang mempunyai kaitan dengan mood penceritaan. Tetapi aku tidak faham tetapan mikrofon yang sangat kering, tak ada reverb atau apa-apa effect yang sesuai, menjadikan suara mereka seperti pengacara majlis yang menyanyi. Mungkin itu standard artis professional, aku tidak tahu. Aku sendiri bodoh kalau dalam perkara sebegini.
Khai dan Rosma, suami isteri menyampaikan lagu Bagaikan Sakti. Sayang sekali kerana minus lagu ini terlalu karaoke bunyinya.
Aku juga bukanlah orang yang sesuai kalau bercakap tentang tarian. Ada beberapa set tarian di dalam pementasan ini. Tidak banyak yang dapat aku komen untuk tarian tradisional kerana aku tidak arif dari segi sinkronisasi, pecah bunga dan sebagainya. Cuma aku terkesan dengan tarian kontemporari sewaktu lagu Bagaikan Sakti dialunkan. Aku agak terganggu kerana tarian itu bukannya tarian, cuma lebih kepada gerakan-gerakan yang tidak sempurna. Menari juga seperti berlakon, perlu ada rasa. Selain daripada mampu melakukan gerak yang sempurna dan cantik, perlu juga ada rasa agar tarian itu sampai kepada audien. Tetapi di dalam kes ini, aku agak terganggu. Benar, mereka bukan penari profesional. Maka ini jatuh ke tangan pengarah untuk menentukan sama ada perlu diteruskan tarian ini. Tambahan lagi, ada tiga titik fokus yang dihalakan serentak iaitu tarian, Khai dan Rosma, serta Mahsuri dan suami yang perlu dijamah oleh audien. Mana satu nak tengok?
Che Som, watak antagonis, antara watak yang paling mudah memikat. Audien suka kepada watak hitam.
Pada pendapat aku yang naif dan daif seni, konsep persembahan perlu lebih kejap dan padat. Pengarah terperangkap antara tradisi dan kontemporari. Ini menyebabkan skrip itu terawang-awang di antara keduanya. Sekiranya pengarah memilih lagu-lagu yang lebih asli, mungkin persembahan ini akan lebih mengesankan. Set boleh dikekalkan, kerana kekangan bajet dan kepakaran. Yang penting audien faham di manakah lokasi babak. Namun, ada bahayanya juga, kerana bergantung kepada kekuatan lakonan, jika tidak, ia akan menjadi terlalu melo.
Watak penyair (kalau dalam legenda, Deramang kalau tak salah aku), bersama Dara.
Dan kalau mahu dikontemporarikan, seeloknya kontemporarikan 90% dari persembahan ini. Cuma kekalkan skrip dan dialog-dialognya yang puitis. Penataan kostum boleh dikekalkan, cuma ditambah nilai kontemporari yang lebih ketara. Kostum yang sedia ada ini cantik, tetapi kalau mahu di aslikan, memang tidak cukup asli. Mungkin juga boleh dipersembahkan dalam bentuk dekonstruktif, dengan menggunakan kostum moden atau kostum yang Avant Garde. Semuanya terpulang kepada kreativiti pengarah, asalkan konseptual itu lebih jelas yang membantu pengarahan dan jalan cerita. Tapi itu cuma cadagan aku yang buta teater ini.
Watak komikal pengawal bersama Che Som.
Di tengah-tengah cerita, pengarah sengaja mengkomikkan watak pengawal, mungkin mahu mencuit audien. Aku rasa usaha pengarah itu berjaya, cuma watak mereka itu perlu lebih terkawal dan lebih latihan, supaya tidak berlaku kesilapan yang dapat dikesan oleh audien.
Penyair mendendangkan syairnya kepada orang kampung.
Mahsuri dituduh oleh Datuk Syahbandar (betulkah watak itu?) ditenteramkan oleh bonda angkatnya.
Mahsuri melutut memohon keampunan.
Ayahanda kandung Mahsuri cuba membela beliau
Sebelum dijatuhkan hukuman
Barisan ahli produksi
Itu sajalah pendapat aku yang naif dan daif seni ini. Ambillah yang jernih, buang yang keruh. Apa-apa pun tahniah kepada produksi AUCMS yang berjaya mementaskan Mahsuri. Jangan berhenti setakat ini. Teater itu akan memanusiakan manusia. Aku yakin semua ahli produksi mendapat pengalaman yang sangat berharga sepanjang proses pementasan ini.
9 comments:
:) best2~
Erazedrus
Sememangnya.
sebab teater ni ceramah agama xramai hmm
telah kami katakan sejak dari dahulu,
tuan ibarat teduh cahaya bulan yang luluh lantas terus cecah ke bumi, idzinkanlah kami menumpang teduh di bawahnya.
panahan telus cahaya tuan tetap sampai ke permukaan bumi walau diselindungi awan hitam yang bakal hujan,
tuan; idzinkanlah kami menumpang cahaya tuan yang begermerlapan,
ya! menumpang cahaya lalu diambil sedikit buat bekalan, bekalan untuk dibuat ubat! cahaya tuan adalah sebahagian daripada resepi bagi ubat kami,
ya! ubat bagi hati; 'penawar bagi hati', diluah mati emak, ditelan mati bapak, biar apa jua rasa sekalipun, ubat mesti ditelan. teringat pesan arwah ayahanda: "tidur awal, bangun awal, luka cepat baik, luka cepat sembuh".
Namoyaki
Aku cuma penagih seni yang mendambakan cetusan rasa di impuls jiwa yang lara dan kontang.
Seni itu kenikmatan berkomunikasi, bak kata Immanuel Kant. Tapi R.G. Collingwood pula mengatakan seni itu ekspresi.Dan Beardsley pula mengatakan seni itu produksi estetika.
Pendek kata, seni itu subjektif, tergantung pada pengamatnya. Apa yang penting untuk mereka, adalah rasa kepuasan dan tidak cukup puas serta pengalaman yang cukup berharga.
Borong Murah
Semuanya baik, dan menyokong antara satu sama lain.
boleh la... bnyak perlu latih dan sebutan perlu di jaga terutama watak che som perlu dibaiki..mahsuri suara tenggelam timbul..
Post a Comment