Kasanova adalah sebuah projek pelajar tahun akhir Drama dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia. Beliau adalah Arja Lee yang turut dinilai dari segi Lakonan. Sepengetahuan aku, tajuk asal teater ini adalah Cermin, iaitu kisah seorang lelaki personaliti berbilang (penyakit split personality). Kemudiannya ianya dikembangkan kepada seorang lelaki kasanova yang berpersonaliti berbilang, penyanyi utama di kelab malam Red Dragon.
Dari satu sudut, aku melihat projek Kasanova merupakan projek pelajar tahun akhir lakonan dan pengarahan yang paling berjaya dari aspek publisiti, pemasaran dan jualan tiket. 3 malam pementasan, ketiga-tiga malam penuh auditorium Dewan Budaya, USM. Perlu diingatkan bahawa kapasiti auditorium ini ialah 500 orang dan tiket dijual pada harga RM50, RM30, RM10 dan RM5. Ini merupakan suatu kejayaan yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Mungkin strategi membawa Farhan AF4 dan Azrul RL2 berjaya menarik minat sebahagian besar penonton (yang mungkin bukan audien yang biasa dengan teater) untuk menonton pementasan ini. Jangan lupa nama besar Arja Lee dan juga seorang bintang USM iaitu Jumie Samsuddin yang mampu menarik khalayak niche mereka tersendiri.
Namun sebagai sebuah pementasan keseluruhan, aku merasakan ada kekeliruan dari segi pembentukan jalan cerita. Inilah yang aku suka gunakan analogi minyak dan air, tak mungkin bercantum, setidaknya buat masa ini. Bila publisiti mengwar-warkan ini adalah sebuah teater muzikal (atau separa muzikal mungkin?), maka telah pemikiran kebanyakan audien telah diset bahawa teater ini akan menjadi ala-ala persembahan di Istana Budaya. Bagi yang tidak pernah menonton teater, mereka beranggapan, mungkin beginilah persembahan broadway atau west end. Jadi bila mana muncul watak Jimmy mendominasi sesetengah adegan dengan monolognya, maka audien mula keliru, dan mungkin mula bosan. Kerana mereka dijamu dengan muzik, nyanyian dan tarian yang mantap serta hingar-bingar kelab malam, tiba-tiba mereka terpaksa menadah telinga mendengar rintihan monolog watak utama Jimmy. Atau setidaknya, mungkin aku seorang yang berperasaan begitu.
Premis idea terus tenggelam bila kasanova itu tidak menyerlah, tetapi cuma lelaki berbilang personaliti yang ampuh menyanyi dan menari. Aku tidak nampak sifat kasanova pada Jimmy, cuma seorang lelaki yang kurang menghargai teman wanitanya. Dan jalan selamat diambil dengan mewujudkan penceritaan di antara tokey kelab malam dan guru kaunseling yang kuat berfoya-foya, bercakap tentang Jimmy yang mungkin mengalami masalah berbilang personaliti. Audien tidak diberi peluang untuk menjangkakan sesuatu yang mungkin tidak terjangka di akhir cerita. Tiada 'ohhhh begitu rupanya'.
Aku juga agak keliru dengan genre kelab malam yang ditonjolkan. Aku tidak pasti ini kelab malam Jazz ala No Black Tie, atau kelab malam Techno ala Rockworld. Kerana lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Jeep Jazz sememangnya hebat dan menyengat. Dan memang tidak mudah menghasilkan teater denga muzik live. Kasanova antara yang berjaya melakukannya. Tetapi apabila Jeep Jazz berhenti memainkan muzik di kelab, maka latar muzik yang keluar ialah lagu-lagu techno. Mungkin ini perincian kecil saja yang aku perasan, yang tidak memberi kesan pun kepada teater ini.
Serta kehadiran kumpulan Mamu, aku lihat seperti sebuah extra turn untuk para pelakon menukar baju. Kerana adegan mereka tidak mencerminkan sub plot yang menyumbang kepada plot utama. Mungkin Mamu menghiburkan dengan telatah kelakar mereka, tetapi telatah itu cuma datang dan pergi mengisi masa. Tiada masalah bagi aku, itu adalah kreativiti pengarah. Farhan AF4 sebagai penyanyi, memang tidak dapat disangkal lagi. Tetapi sebagai pelakon, beliau perlu lebih latihan agar dapat membantu Arja Lee. Babak akhir bila beliau membawa berita yang beliau mengandung (dengan baju kurung? Signifikan?), beliau tidak dapat membantu watak Jimmy yang sekejap bertukar menjadi Frankie (personaliti kedua Jimmy), dan sekejap bertukar menjadi Jimmy. Malahan cerita ini dibiarkan tergantung begitu saja bila sahabat watak yang di bawa oleh Farhan mendepani Jimmy (yang juga sekejap-sekejap menjadi Frankie, kalau tak salah aku) dan habis begitu saja. Aku merasakan, watak Jimmy akan lebih menarik jika perubahan karakternya itu turut dimuzikalkan. Ya memang ia sesuatu yang serius, tetapi kisah pembunuhan di dalam Chicago juga serius, tetapi masih boleh dipersembahkan dalam muzikal. Begitu juga Tosca oleh Puccini, begitu juga Sweeney Todd di west end. Inilah minyak dan airnya.
Tetapi yang paling perlu diberi perhatian, pada aku adalah penggunaan dan latihan teknikal. Boom mic & skin mic digunakan serentak, menjadikan punca suara itu agak hilang. Aku faham benar fungsi skin mic untuk nyanyian live oleh para pelakon, dan aku merasakan itu memang amat perlu. Jika tiada mikrofon itu, suara penyanyi tidak akan seimbang dengan muzik yang diletakkan oleh Jeep Jazz. Tetapi mikrofon itu semoleknya dimatikan bila lagu selesai dibawakan, agar mereka ini cuma bergantung kepada boom mic. Barulah tiada pengasingan suara yang dibesarkan dengan ketara. Malahan, pada aku, seeloknya boom mic itu diabaikan saja kerana ini teater oleh pelajar Lakonan dan Pengarahan. Mereka sepatutnya punya latihan vokal yang mencukupi (dalam kes ini aku menganggap mikrofon itu untuk kegunaan artis yang bukan pelakon teater).
Ada beberapa ketika juga, kedengaran hilai tawa orang di side wings, mungkin terlepas cakap dengan suara yang agak kuat, hingga kedengaran ke pintu masuk auditorium. Ini adalah antara perkara-perkara yang patut boleh dielakkan dan perlu dielakkan. Tetapi aku merasakan, pementasan ini menjadi lebih baik pada malam kedua dan ketiga. Aku hadir pada malam pertama.
Apa-apa pun, ini cuma kritikan agar kita sama-sama boleh membangunkan teater kita. . Aku ada bertanya beberapa audien dan mereka menggemari dan mengagumi teater ini kerana ia menghiburkan. Lain orang lain pendapat mereka. Kalau ada pendapat atau komen dari sesiapa saja, silakan memberi komen. Sekali lagi, tahniah untuk Arja Lee dan produksi Kasanova!
2 comments:
Thanks En. Usop. Mohon share artikel dalam blog saya.
Jumie
Silakan Jumie. Mohon juga saya jawab persoalan yang jumie bangkitkan dalam blog.
Bukan membandingkan dengan Sweeney Todd, tapi idea agar muzikal itu diperluaskan seperti muzikal Sweeney Todd atau Chicago, iaitu isu yang serius dan gelap, tetapi dalam bentuk muzikal.
Salute!
Post a Comment