28 June 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Mambo Horse' oleh AUCMS

Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) di bawah grup VOICE merupakan antara grup baru yang aktif mengembangkan sayap mereka di dalam pementasan teater. Bermula tiga tahun lepas dengan Mencari Juita, kemudiannya Muzikal Mahsuri dan kini Mambo Horse karya Roslee Mansor, aku melihat perkembangan mendadak mereka dari sudut kualiti pementasan.


Aku kira Mambo Horse ini, karya Roslee Mansor yang dah mencecah hampir 20 tahun usianya. Semasa dipentaskan dan diarahkan sendiri oleh beliau, watak utama Mona ditangani oleh Erma Fatima, Karim oleh Rosyam Nor dan Engku oleh Zaidi Omar. Aku tidak pasti watak-watak lain. Jadi kalian pasti dapat bayangkan betapa mantapnya ensemble yang telah diatur untuk pementasan asal naskhah ini.


Mambo Horse berlatar belakangkan 2000an (terima kasih Puan Linda kerana membetulkan fakta ini), di rumah pelacur kelas pertengahan. Mona menjadi pelacur akibat dirogol oleh bapanya sendiri, yang pada ketika itu gila isim (merasionalkan tindakan si bapa?). Mona melahirkan anak, dan dihalau dari rumah. Bila dah besar, anaknya Karim, kerap meniduri Mona, ibunya sendiri kerana tidak tahu status sebenar, malahan mencintai Mona. Pada masa yang sama, Mona juga dicintai Engku yang mahu mengahwininya. Akhirnya segalanya terbongkar.


Kekuatan naskhah ini banyak terletak pada permainan watak Mona, Karim, Engku dan Ayah. Dan di sinilah VOICE AUCMS belum dapat untuk menampilkan pelakon yang mampu mengangkat watak-watak utama ini, terutamanya Mona. Mona di dalam produksi ini, cuma memuntahkan dialog tanpa ledakan emosi yang mencukupi untuk memaut perasaan audien. Begitu juga watak-watak lain seperti Karim dan Engku yang tidak cukup membantu Mona. Malah dikeruhkan lagi dengan kehadiran ayah, pada adegan yang sepatutnya menjadi klimaks emosi di dalam naskhah ini.


Sudah pastinya aku memahami kekangan-kekangan grup seperti VOICE, yang banyak bergantung harap kepada para pelajarnya. Latihan yang tidak mencukupi, masa yang tidak mencukupi, pengalaman pelakon yang tidak mencukupi; pendek kata, serba serbi tidak mencukupi. Itulah cabaran grup di bawah institusi pengajian tinggi. Tambahan pula para pelakonnya yang datang dan pergi setiap tiga tahun. Saranan aku, jangan sia-siakan 3 tahun yang ada untuk melatih para pelakon yang ada. Mulakanlah dengan mini projek seperti mini teater atau monodrama, maka pelakon-pelakon ini akan meningkat mendadak dalam masa yang singkat.


Dari segi sinografi, produksi ini mempunyai usaha yang bagus. Latar bar, walaupun menjauhi latar asal naskhah iaitu rumah pelacuran, amat cantik, meyakinkan audien dan menyelamatkan sebahagian besar pementasan ini. Aku mempunyai pendapat yang sama dari segi kostum, yang meyakinkan mereka berada di kelab dan juga mereka adalah pelacur dan pelanggan. Tapi mungkin itu cuma menyakinkan aku yang tidak pernah ke kelab dan tidak pernah melihat pelacur di kelab.


Pengarahan Mambo Horse juga melihat kematangan yang ketara. Tidak lagi seperti sebuah sketsa, pengarah mengambil langkah bijak menetapkan spot-spot dan membekukan pergerakan watak ekstra lain untuk mengangkat kepentingan monolog Mona. Cuma ada beberapa ketika blocking pelakon ekstra seperti agak kelam kabut hingga menganggu fokus audien. Dan aku mempersoalkan penggunaan spot lampu pada babak akhir ketika Karim, anak Mona, mendapatkan datuknya, Ayah Mona. Kerana pada ketika itu, adegan realistik sedang berjalan, bukannya monolog atau adegan di bawah sedar.


Walau bagaimanapun, Mambo Horse oleh VOICE AUCMS masih sebuah teater yang berjaya menyampaikan mesejnya kepada audien yang hadir. Dan rata-rata komen audien menyukai pementasan ini. Tapi, biasalah, lain padang lain belalang. Dan tiap-tiap orang mempunyai citarasa yang berbeza. Pengalaman aku yang membuahkan kritikan sebegini. Aku merasakan VOICE AUCMS mempunyai potensi yang tidak terbatas untuk menjadi sebuah grup teater yang disegani di Malaysia, dengan syarat mereka konsisten dan tidak mengamalkan onani seni.


Sekali lagi, tahniah kepada VOICE AUCMS. Aku menantikan karya terbaru kalian.


10 comments:

Anonymous said...

Salam PK..kalau PK membaca skrip, Mona ada bermonolog yg tarikh dia dirogol adalah pd tahun 1977..22 tahun yg lalu so...jadi latar masa adalah tahun 2000....

Anonymous said...

Salam PK..kalau PK membaca skrip, Mona ada bermonolog yg tarikh dia dirogol adalah pd tahun 1977..22 tahun yg lalu so...jadi latar masa adalah tahun <> 2000...

Anonymous said...

tapi ala kadar.... ada beberapa watak kwn mona masih nmpak kontrol malu2 belum capai thap watak diberikan.. apa pon percubaan terbaik...

Pegawai Khalwat said...

Linda
Oh yaka? Kalau begitu, itu salah saya kerana tak baca skrip betul-betul. Terima kasih kerana membetulkan.

Anony
Ya. Banyak yang boleh diperbaiki terutama dari segi lakonan.

zulfikar said...

terima kasih atas komen yang diberikan oleh abg yusuf mungkin pada masa akan datang kami semua akan berusaha bagi masa akan datang

Anonymous said...

I am one of the extra actor.. Thanks for the comments.. I really appreciate all of it.. For most of us, this is the first time we carried such a huge character.. If after this we are given the chances to perform again, we will do our best to carry this character..

Anonymous said...

Anyway I love this production team.. Thanks to Puan Linda, cikgu Nawi, cikgu zam. SM,ASM and all my friends.. Thanks for giving such a beautiful experience to me ♥

Oasis said...

Saya tidak menonton, tapi dari gambar, nampak profesional(budget banyak kot...hehe...)

Kadang-kadang rasa terkilan, ada yang berkarya dengan budget ciput, setting biasa-biasa tapi dalaman pelakon sangat mantap.Ada yang bekarya dengan budget beribu-ribu tapi dalaman pelakon biasa-biasa.

Apalah yang akan berlaku andai belakon yang mantap ini dapat berlakon dengan budget yang mantap juga?

Apapun, berteater adalah ruang pembelajaran yang terbaik untuk mengenal erti kehidupan...Sekurang-kurangnya itu yang saya belajar...

Apapun tahniah diucapkan.Teruskan berkarya...

Pegawai Khalwat said...

Oasis
Mengikut apa yang difahamkan kepada saya, bajet untuk produksi ini ada, tetapi tidaklah terlalu banyak.

Cuma pereka set bijak memanipulasi ruang dan pencahayaan serta pembinaan set agar nampak mewah. Tapi, ya, ia tetap memerlukan bajet.

Setuju dengan pendapat, pasti menarik kalau kedua-duanya mantap.

crunchyahcock said...

ermmm.. bila mata memerhati, otak mula berfikir, bila mulut bercakap x semua telinga akan mendengar