15 June 2014

Ulasan Yang Terpulas - Kolaborasi Teater 'Infiniti'

Gasewap adalah nama baru di Pulau Pinang, tetapi diterajui oleh orang lama. Lena Farida Hussain Chin adalah antara nama lama yang berkecimpung di dalam dunia teater. Sejak sekolah menengah perempuan St. George's lagi, beliau telah menunjukkan kemampuannya di dalam bidang teater. Melalui Gasewap beliau mempelopori teater kolaborasi, yang sebelum ini dinamakan LIMA dan kali ini INFINITI.

Infiniti merupakan teater kolaborasi enam buah teater pendek iaitu Jamban, Katastrofi, Hartini, Umbuk, Umpat dan Nur. Keenam-enam teater ini mempunyai isu, maksud dan kekuatannya yang tersendiri, yang jarang dapat ditonton di arena teater Pulau Pinang. Adalah sungguh menyenangkan teater sebegini memberi pendedahan kepada khalayak di sini bahawa teater tidak hanya dalam satu rupa sahaja.



Karya pertama yang dipersembahkan ialah Jamban oleh Nor Shuradi Hj Nor Hashim, juga arahan beliau. Berbentuk eksperimental dan gaya lakonan presentational, mime dan gerak indah kreatif (mengikut brosur), Jamban memaparkan isu konflik dan dilema pencuci tandas yang koprofobia dan otodisomofobia.

Kritik sosial oleh Nor Shuradi memang tepat ke sasaran. Sikap segelintir masyarakat yang jijik seperti tidak berkesudahan. Lakonan presentational memang sesuai untuk isu sebegini kerana lakonan realisme yang sarat dengan emosi akan memesongkan objektif teater ini. Meskipun begitu, lakonan watak utama boleh dimantapkan lagi dengan mencari nada penegasan pada dialog yang dilontarkan. Audien yang hadir tidak tersedia untuk menjamah isu-isu yang hendak dijamu, mereka lebih tersedia untuk melihat lakonan (realisme) dan merasainya. Mungkin inilah antara pengorbanan yang terpaksa dibuat untuk majoriti audien teater Pulau Pinang.



Karya kedua ialah Katastrofi, karya dan arahan Lena Farida Hussain Chin. Dilabelkan sebagai drama absurd, dua watak iaitu Richard dan Mona dipertaruhkan sebagai permainan jiwa manusia jengkel, jiwa terganggu, kacau bilau dan penuh persoalan (sumber brosur).

Karya ini adalah antara karya yang kuat dan matang di dalam kolaborasi ini. Kekeliruan sifat manusia yang tidak stabil dipancarkan sejelas-jelasnya di dalam karya ini. Lakonan yang bertenaga oleh watak Mona dan Richard menyegarkan audien yang menontonnya. Permainan ruang dan aras dimainkan dengan bijak. Pengarah dan pelakon berjaya di dalam hal ini.

Aku melihat anomali Katastrofi hanyalah pada penekanan dan penegasan emosi yang melampau pada kedua-dua watak. Watak Mona kerap merintih hingga ke penghabisan. Watak Richard lebih terkawal tetapi perubahan emosinya terlalu mendadak dan kurang memberi kesan kepada audien. Namun begitu, oleh kerana karya ini dilabelkan sebagai absurd, apa-apa sahaja boleh diterima kerana absurd itu sendiri bermaksud tidak masuk akal, tidak logik dan tidak boleh diterima. Mengklasifikasikan karya ini sebagai absurd atau tidak, itu polemik yang berbeza pula.



Hartini merupakan karya yang ketiga dipentaskan. Diadaptasi daripada novel Aziz Afkar dan diarahkan oleh Raja Farah Raja Hadayadanin & Ismaliza Ishak, teater ini bergenre realisme. Fragmen yang dipaparkan ialah rasa kekecewaan Hartini kepada Amli yang dicintainya secara diam. Amli pulang ke kampung dengan dituruti oleh Azimah, tunangnya dan Ruhayah menjadi saksi cerita mereka (sumber brosur).

Bergerak dengan nahu realisme, adalah antara cabaran utama pementasan di Pulau Pinang. Ia juga adalah kelebihan utama kerana audien teater Melayu di Pulau Pinang sudah biasa dengan bentuk realisme. Lakonan watak-watak Hartini, Ruhayah, Amli dan Azimah berada pada paras selamat. Mereka berjaya membuatkan audien mempercayai latar masa dan tempat serta konflik yang dihadapi. Tapi aku percaya, biarpun ini hanya teater pendek, lakonan mereka dapat dipertingkatkan lagi agar dapat memberi impak kepada audien, selaras dengan bentuk lakonan realisme seperti yang disarankan oleh Stanilavski. 

Pada aku juga, sayang sedikit kerana kebanyakan tenaga lakonan pelakon mengalir keluar di atas ruang lakon yang agak luas. Pendapat peribadi aku mengatakan jika dikecilkan ruang lakon seperti Katastrofi, maka lakonan mereka akan lebih terfokus. Sekiranya mahu menggunakan ruang lakon yang luas, pelakon mestilah agresif dan aktif memanfaatkan ruang lakon. Juga menjadi kebanggaan bila karya-karya novel sebegini diadaptasi  ke pentas, mungkin akan dapat menggalakkan minat membaca kepada audien.



Situasi yang sama juga dialami oleh karya Umbok, karya Lena Farida Chin, arahan Nadhilah Suhaimi. Tidak meletakkan karya ini di mana-mana genre, Umbok merupakan rekontruksi mitos dan ilmu makrifat orang Melayu berteraskan Ulek Mayang dan Puteri Mayang Mengurai. Pertembungan tiga jiwa iaitu Deli, Sulaiman dan Mayang (Qalbi) diangkat berasaskan dendam Sulaiman kepada Qalbi yang meminang Mayang yang dicintai Sulaiman.

Kenapa aku meletakkan Umbok pada situasi yang sama, kerana penggunaan ruang yang luas telah memerah tenaga pelakon. Audien seperti melihat padang rumput yang luas dengan satu dua pokok yang tidak bergerak. Tetapi mujur juga bila tiba pertengahan cerita, watak Deli dan Sulaiman bertarung dan ini adalah penggunaan ruang yang bijak.

Umbok juga membuatkan aku agak keliru. Pada mulanya ia dilihat sebagai sebuah naskhah realisme dengan pertembungan watak Deli dan Sulaiman. Namun pada pengakhiran, watak Mayang (Qalbi) hanya bersuara sebagai voice over, seolah-olah Sulaiman berhalusinasi. Ini agak sukar dicerna jika tidak merujuk kembali kepada maklumat di dalam brosur yang dilampirkan. Namun jika sememangnya penulis dan pengarah berhasrat untuk mengwujudkan rasa keliru dan celaru kepada audien, maka mereka telah berjaya. 

Lakonan kedua-dua watak juga berada pada tahap selamat. Namun adalah lebih baik mengikut pandangan peribadi aku agar kesakitan Deli pada ketika mahu mati dilonjakkan pada tahap yang lebih boleh dipercayai. Ini kerana Deli terlalu banyak bercerita dengan apa yang terjadi sebelum mati, seperti liat sungguh nyawanya. Jika tidak dapat mengwujudan kepercayaan itu, maka sesuatu harus dilakukan seperti memendekkan penceritaan atau meletakkannya di tempat lain.



Umpat karya dan arahan Nor Shuradi Haji Nor Hashim merupakan satu-satunya karya yang berbeza bentuk dari kelima-lima karya kolaborasi. Mengvokalkan  tekanan kepada aksi lakonan fizikal bagi menterjemahkan manifestasi nafsu amarah (sumber brosur), Umpat memberikan kesegaran kepada audien selepas menonton empat persembahan yang sarat aksi kolokial. 

Sesungguhnya mengkritik teater fizikal bukanlah forte aku. Selain dari melihat perlambangan dan tenaga oleh para pemainnya, aku tidak punya kepakaran yang khusus yang lain. Ini kerana teater Melayu di Pulau Pinang sangat jarang dipertontonkan dengan bentuk teater sebegini, kecuali sekali sekala ada persembahan oleh artis tari kontemporari seperti Aida Redza, Hil Ramli dan Ijat.

Namun jika melihat pada usia dan komitmen oleh para pelajar tahun pertama Fakulti Seni Muzik dan Persembahan UPSI ini, tentunya patut mendapat pujian kerana teater fizikal tidak mudah untuk dimanifestasi. Gerak fizikalnya memerlukan stamina dan disiplin yang tinggi. Cuma gerak korus-korus itu seperti tidak cukup berjiwa, mungkin kerana kekurangan pengalaman. Gerak watak utama paling mantap dan berjaya menyampaikan maksud. Pengarah juga memberi dialog kepada para pemain ini mungkin sebagai langkah selamat untuk memberi kefahaman kepada audien tentang apa yang ingin disampaikan melalui karya ini.



Nur sebagai naskhah yang terakhir, karya dan arahan Lena Farida Hussain Chin adalah karya yang paling berat. Sebuah rekonstruksi kisah benar Nor Aishah Bukhari dan diceritakan pula oleh dua watak iaitu Nur dan Ibu, memaparkan krisis hati dua beranak (sumber brosur).

Kenapa aku labelkn sebagai berat? Kerana isu murtad adalah isu yang sangat taboo di dalam masyarakat Malaysia, Melayu khususnya. Nur cuba menterjemahkan isi hati Nor Aishah yang memilih untu keluar dari agama yang dianutinya, dengan rasa penuh kecewa oleh ibunya. Lena Farida adalah penulis dan pengarah yang paling berani mengutarakan isu ini untuk diperhalusi oleh para audien. Tambahan pula audien yang hadir untuk pementasan ini bukanlah audien yang tersedia untuk diprovokasi sebegini.

Selain daripada isu yang berat dan berani, tidak banyak yang dapat aku perkatakan tentang Nur kerana lakonan Ibu dan Nur juga berada pada tahap selamat. Mungkin pengarah membuat pilihan untuk mengutamakan isu yang ingin diangkat berbanding lakonan yang memberi impak. Mungkin juga ini trend pengarah yang mempunyai kaedah lakonan yang sama seperti di dalam Katastrofi iaitu penegasan emosi yang berjela-jela. Tidak salah sebenarnya kerana setiap pengarah mempunyai identiti yang tersendiri.

Secara keseluruhan, Infiniti membawa nada baru kepada audien teater Pulau Pinang, terutamanya di Auditorium P.Ramlee Kompleks JKKN Pulau Pinang ini, dan ini harus mendapat pujian. Juga antara kekuatan produksi ini ialah tata rias karakter yang begitu menjadi. Bagi kesemua karya, para pelakon dirias hingga menghilangkan rupa asal mereka, dan ini adalah satu perkara yang jarang berlaku pada kebanyakan produksi teater di Pulau Pinang. Penataan busana juga dititik beratkan hingga membantu pelakon menghidupkan watak.

Sekali lagi, tahniah kepada produksi Gasewap.

No comments: