17 August 2010

Jaga Hati

Aku jaga hati orang,
tapi ada orang jaga hati aku?

12 August 2010

Pembohong Besar

Salam ,
Saya Nafiza Binti Ismail, saya bekerja sebagai Marketing Officer di sebuah syarikat pemprosesan batu mulia di UK.di sini Saya ingin memperkenalkan kepada encik peluang perniagaan yang besar kenuntungannya,saya memerlukan bantuan encik dan kerjasama encik untuk memajukan perniagaan ini.saya menghubungi encik kerana saya tidak ingin kehilangan rakan kongsi saya di dalam perniagaan ini.saya tahu bahawa saya dan encik akan mendapatkan feadah yang baik daripada perniagaan ini di masa akan datang. Sekarang saya HANYA ingin encik menjadi pembekal (agent) kepada syarikat saya bekerja dan encik boleh mendapat keuntungan daripada peluang perniagaan ini . Syarikat saya memerlukan sebuah produk yang disebut (GEMSTONE CLARIFICATION LIQUID). Para pemurnian belerang Liquid adalah cecair kimia saintifik bar substansi, sejenis pelincir, terutama digunakan di makmal untuk gemological
pemurnian merawat atau menerangkan,memasuki ke dalam berlian dan mengewap keluar kotoran di dalam berlian dan batu-batu berharga sepertinya.

Pembekal asal produk ini adalah di (Malaysia) sehingga lah pembekal produk langsung syarikat KAMI INI mengalami kemalangan di sini {uk} ,dia adalah pengurus pemasaran dan sejak dia kemalangan monopoli ini telah tergendala.saya hanya ingin encik menjadi agen di antara penjual dan pembeli .Ini adalah perniagaan besar untuk saya dan encik dan akan mendapat keuntungan besar.saya hanya memerlukan kerjasama untuk menjadikan perniagaan ini berjaya.Saya akan memberi anda maklumat lebih lanjut tentang hal ini jika anda bersedia untuk menjadi sebagai agen untuk membekalkan produk ke syarikat kami.

Pertama, saya akan perkenalkan anda pembekal (agent)kepada syarikat saya nanti. Mengikut peratusan, awalnya harga beli yang sebenarnya produk tersebut oleh syarikat per Carton adalah 4,250.00 USD, sedangkan di (Malaysia) harga jual tempatan adalah 2,200.00 USD dan syarikat saya memerlukan tidak kurang daripada 200 Cartons.
saya ingin encik menjadi agen link kami yang menghubungkan penjual tempatan di Malaysia secaralangsung kepada syarikat membeli maka margin keuntungan akan digunakan bersama berdua 50% untuk encik, sementara 50% kepada saya.sekiranya encik dapat membantu saya mengurus perniagaan jual beli produk ini saya amat berterimakasih.kemudian saya akan membincangkan pekara ini bersama pengurus syarikat saya. saya yakin dan percaya encik boleh menyediakan produk ini kepada syarikat.di sini juga saya memfailkan butiran dari segi harga dan cara bayaran maka kita boleh mengambil daripada permulaan perniagaan ini. encik saya mengharap agar encik dapat membalas email saya ini secepat mungkin, agar saya dapat mengemailkan number telephone penjual di malaysia gar encik dapat menghubungi penjual untuk bertanya sama ada penjual tersebut masih mempunyai stock untuk di bekalkan kepada encik.sebelum syarikat kami akan menghantar pengurus pembelian pergi ke Malaysia untuk membeli produk dari encik secara tunai.Terima kasih atas kerjasama encik,saya mengharap dan menunggu balasan email daripada encik.


Wassalam...
Nafiza .

Aku dah banyak menerima e-mel yang sebegini, tapi ini kali pertama menerimanya di dalam Bahasa Melayu yang lengkap. Walau pun Bahasa Melayunya ada juga yang lintang pukang, tetapi gaya bahasa itu pastinya bahasa orang Malaysia.

Kalau dasar pembohong, macam mana sekalipun pasti berbohong juga.

02 August 2010

Sebelah....

"Tokeh aaa, wa punya brek ala munyi ooo," aku memulakan perbualan di kedai baiki kereta yang biasa aku kunjungi.

Tokey Cina itu senyum, "Apa macam munyi?"

"Itu bunyi eeekkkk eeeekkkk macam kaldai la tokeh. Lu mau tau lu angkat bawah pi tengok," aku tak tahu nak menerangkan bagaimana bunyi brek kereta aku tu.

"Ohh... itu tarak pa. Blek mulah saja ma. RM 80 saja," kata tokey.

Aku tepuk-tepuk poket dan dompet aku. RM80 tu cukup la kalau nak tukar.

"Lagi satu aaa tokeh, wa kalau lali sampai 90 km/j aaa. Kereta sula mula goncang ooo. 100 km/j goncang. 110 km/j goncang. Kalau wa talak tekan minyak, okey saja. Apa pasai aa?" tanya aku lagi.

"Lu tekan minyak baru goncang aaa?" buat-buat tanya lagi pulak tokey ni.

"Itu drive shaft. Tengok macam mana sebelah ka losak, lua-lua belah ka losak," tokey tak lekang dengan senyuman.

"Itu berapa halega?" aku dah sedia nak menepuk poket sekali lagi.

"Rm300 lebih ooo" jawab tokey dengan tenang saja.

"Aiya! RM300 lebih ka?" aku buat-buat tak jelas.

"Sebelah....." tokey menambahkan kuantiti air liur yang perlu aku telan.

Selepas menelan air liur, aku buat congakan segera.

"Tak apa la tokey. Wa bawak dulu kereta ni bawah 80 km/j. Atau wa bawa saja lebih dari 120 km/j."

29 July 2010

Melayu Di Mana?

Perkara yang akan aku bincangkan ini, kalau dibaca oleh para cendekiawan mungkin akan merasakan ini bukanlah perkara baru. Tetapi sudah lama didebatkan dan tulisan aku ini mungkin cuma picisan saja.

Melayu.

Seluruh Gugusan Kepulauan Melayu dikenali juga sebagai Nusantara (bukan Flet Nusantara di Pulau Pinang). Ini meliputi Indonesia, Brunei, Thai, Kemboja, Myanmar dan Filipina. Mungkin Sulawesi dan Irian Jaya serta Hawaii juga boleh diambil kira. Ini kalau dibandingkan dari segi rupa bentuk fizikal tubuh dan wajah Melayu itu.

Di Malaysia, Melayu itu Melayu.
India Muslim itu Melayu.
Jawa itu Melayu.
Boyan itu Melayu.
Banjar itu Melayu.
Hasil perkahwinan campur dan beragama Islam, anak mereka dikira Melayu.

Tapi kalau di Indonesia, Melayu itu Melayu.
Jawa itu Jawa.
Mendaling itu Mendaling
Batak itu Batak.
Cina itu Cina.
Kalau perkahwinan campur, anak mereka bangsa Indonesia.

Aku bukanlah nak memperjuangkan bangsa Malaysia atau apa saja yang seangkatan dengannya, tapi aku berharap ada definisi lengkap yang semua orang terima pakai tentang klasifikasi bangsa itu sendiri. Supaya tiap kali ada pertanyaan tentang budaya Melayu, kita boleh menjawab dengan jelas.

26 July 2010

Ulasan Yang Terpulas - Kerusi Oleh Suara ACMS

Memang bukan mudah untuk menilai secara adil. Terutama kalau sesuatu perkara itu adalah perkara yang subjektif. Dalam bola sepak pun sukar untuk pengadil menghadiahkan kad kuning atau kad merah sesuka hati, inikan pula di dalam bidang seni.

Kalau tak salah aku, ini kali ketiga Suara ACMS mementaskan teater. Dua kali di festival teater Pulau Pinang dengan salah satunya bertajuk Mencari Juita oleh Siti Rohaya Atan dan pelakon wanitanya menggondol Pelakon Wanita Terbaik (diputuskan oleh juri profesional pada waktu itu). Namun aku tidak dapat menonton Mencari Juita kerana bertembung dengan tuntutan tugas pada waktu itu.

Maka peluang untuk menonton Kerusi karya Hatta Azad Khan tidak aku lepaskan. Kerusi adalah antara karya berhantu Hatta selain Mayat, Syyy dan Jebat, yang telah diterima sebagai teks KOMSAS dan dikaji seantero pelajar tingkatan 5 seluruh Malaysia. Dalam konteks Malaysia, naskhah ini mungkin boleh diiktiraf naskhah popular, kalau bukan naskhah agung.

Jadi untuk menjadikan ulasan ini lebih adil, kayu ukur aku mudah saja, iaitu pementasan ini mestilah mampu menarik perhatian audien kerana 3/4 audien yang hadir bukanlah aktivis teater yang faham nahu dan jargon teater ini. Audien yang datang pula dengan pelbagai kehendak. Ada yang mahu berhibur, ada yang mahukan pengajaran, ada yang mahu berfikir, ada yang menyokong kawan-kawan.

Jadi yang datang menonton Kerusi oleh Suara ACMS pada malam itu, terdiri dari semua kategori ini, kecuali aku. Kerana aku dan beberapa rakan-rakan hadir untuk memberikan sokongan pada grup teater baru. Kami tidak datang dengan kehendak yang tinggi. Tidaklah mengharapkan persembahan yang menyentuh qalbu atau merobek jiwa atau menyungkit semangat berkarya kami. Cukuplah sekadar sebuah persembahan. Kerana kita semua bermula dari bawah.

Kerusi merupakan percubaan yang bagus. Aku tidak tahu apa perasaan audien lain tetapi aku tahu ahli produksi memang berpuas hati selepas pementasan. Dengan jumlah tenaga kerja hampir seperti sebuah bangsawan, tidak hairanlah pementasan ini dapat menarik ramai penonton. Sayangnya seperti biasa, penonton yang hadir, tidak semua datang untuk menonton teater, tetapi untuk menonton lakonan. Jadi bila saja ada sesuatu gerak lakon yang luar dari kebiasaan (luar dari yang biasa kita tengok di tivi atau dalam kehidupan), maka akan terbit suara-suara ketawa walaupun adegan itu tidak lucu. Nasiblah mendapat audien yang tidak terdidik sebegitu.

Lakonan para pemain di paras biasa saja, tetapi yang bagusnya kerana mereka boleh berlakon. Kerana aku pernah menonton pementasan lain dengan para pelakon yang tidak boleh berlakon. Aku yakin tiada kajian yang mendalam tentang watak dan perwatakan kerana dilihat para pelakon hanya melontarkan dialog tanpa ekspresi wajah yang sesuai dan intonasi yang sepatutnya. Ini semua asas, sebab itu aku sebutkan di sini. Ada juga pemain yang bermasalah dengan lontaran suara walaupun lakonannya boleh dikira baik. Maka ini semua merencatkan rencana keseluruhan persembahan. Ini tidak termasuk permainan ruang. Mujur juga ada latar hias tangga (yang dikitar semula entah berapa puluh pementasan) yang membolehkan adanya permainan aras.

Beban keseluruhan, tentunya jatuh ke bahu pengarah, kerana aku melihat kurangnya kerja-kerja pengarahan. Terjemahan naskhah yang sangat longgar merudumkan keunikan cerita ini. Hatta kerap bermain dengan perlambangan, dan perlambangan itulah jika dipaparkan dengan jelas di dalam cerita ini, akan membuktikan pengarah bekerja. Jika tiada perlambangan pun, unsur-unsur extravaganza boleh diterapkan untuk menutup kekurangan lain. Maka itu akan menjadi kerja-kerja pengarah.

Mujurnya juga ini mungkin arahan pertama pengarah (kalau tak salah aku), maka banyak yang boleh dipelajari lagi. Nasihat aku, banyakkanlah menonton teater, maka minda kalian akan terbuka mengenai bagaimana mementaskan teater. Kerana yang paling penting adalah audien yang hadir itu berpuas hati dengan apa yang ditonton.

21 July 2010

Buku

Aku suka buku.

Aku suka membeli buku dan membaca buku. Tapi itu sekarang, dulu waktu muda remaja belia, malas nak mampus! Yang kerap aku baca ialah komik kepahlawanan Hong Kong seperti Pedang Setiawan, Raja Rimba, Alam Perwira, Teman Pendekar Helang Sakti dan beberapa lagi tajuk yang aku dah tak ingat. Kalau buku tebal-tebal ni, malas nak mampus walau aku tahu aku suka membaca.

Sekarang ni dah suka, mungkin kerana aku mampu untuk membeli buku yang berharga RM50.00 ke bawah sekali beli. Tapi malangnya, sekarang aku lebih suka membeli kerana masa untuk membaca itu tak ada. Kalau di pejabat, terasa rugi nak membaca buku kerana banyak masa yang aku boleh gunakan untuk selesaikan kerja yang berlonggok.

Hasilnya, banyak buku yang aku beli tak terbaca. Jadi hiasan saja. Kalau sesiapa di antara kalian yang ada tips untuk terus rajin membaca, hulur-hulurkanlah. Aku bukan jenis naik kapal terbang yang ada masa baca dalam pesawat. Atau naik kereta berjalan jauh berjam-jam. Kalau ada pun, aku sendiri yang perlu bawa kereta tu.

Tolong, hulurkanlah bantuan.

19 July 2010

Antara Gadis

Apa yang akan kalian fikirkan, sekiranya.....

Melihat seorang gadis cantik manis berbaju sendat spagheti menampak lurah payudara, sedang menelaah dengan tekun buku-buku agama di sebuah kedai yang menjual buku-buku dan kaset bercorak keagamaan.

Atau sekiranya kalian melihat......

Seorang gadis yang cantik manis, berbaju kurung bertudung litup, sedang membelek-belek dengan tekun DVD cetak rompak cerita x-rated di sebuah kedai menjual DVD cetak rompak.

Otak, mulakan kerja!

15 July 2010

Buat Kerja Tak Fikir Dulu

Dah buat bangunan, tak buat tempat letak kenderaan. Bila orang parking tepi jalan, menyusahkan semua orang.

Nak suruh orang kongsi kereta (car pool), tapi suruh orang tu kerja lebih masa. Habis tu orang yang kongsi kereta tu nak balik macam mana?

Inilah kalau buat kerja tak fikir dulu.

13 July 2010

Paul & PRU

Agak-agaknya Pilihanraya Umum akan datang, Paul akan diimport tak?

12 July 2010

Sotong dan Cawan Dunia

Mungkin orang berasa pelik. Ketika berjuta umat manusia menonton perlawanan akhir World Cup antara Belanda/Holland/Netherlands (mana satu nak pilih ni?) dengan Spain/Sepanyol, aku sibuk bertarung di Golmore Jungle dengan raksasa Elder Wyrm penuh magis yang menyusahkan hidup aku sejak Sabtu lagi.

Suka sotong goreng tepung? Mujur Paul dapat meneka dengan betul Spain/Sepanyol yang akan menang. Kalau tidak, harus Paul dah digoreng tepung!

Komentar Untuk Monolog Anak Kecil Main Api

Antara komentar tentang Anak Kecil Main Api yang dapat aku temui.

Muzlia