09 May 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater Pelantaq oleh Akrab

Akrab dari Kedah merupakan nama besar di dalam arena teater Malaysia. Sejak 10 tahun lepas, mereka tidak pernah gagal melayakkan diri ke Festival Teater Kebangsaan. Oleh kerana tahun ini, format pemilihan peringkat negeri agak berbeza, maka cuma satu pementasan dari negeri Kedah yang dinilai untuk terpilih sebagai antara 6 yang terbaik, dan Akrab membawakan tajuk Pelantaq.


Membawakan cerita kemelut hidup Bakhtiar yang kesempitan hidup, memaksa dia menjadi agen penyeludup demi menyara hidup dan membayar kos perubatan ibunya. Beban kesalahan diletakkan kepada bapanya yang meninggalkannya sejak kecil. Kecewa dengan tindakan Bakhtiar menjadi penyeludup, ibunya meninggal dunia, dan menyebabkan Bakhtiar makin tertekan. Tokey Lim membawa Bakhtiar ke pekan sempadan untuk berseronok, melupakan masalah yang berlaku. Terjadilah perkenalan dengan Nina (kalau tak salah aku) di kelab pelacuran. Akhirnya diketahui bahawa Nina adalah adik tiri Bakhtiar dan tokan kelab  itu adalah bapanya sendiri, sehingga berlaku tragedi pembunuhan mereka berdua.


Aku kira ini mungkin karya pertama Saipol Bahari yang aku tonton. Sebelum ini, beliau seorang pengarah prolifik yang disegani di seluruh Malaysia. Pernah menyandang pengarah terbaik Festival Teater Kebangsaan, Saipol Bahari mempunyai identiti yang tersendiri di dalam kerja-kerja pengarahan beliau. Tidak terkecuali di dalam Pelantaq, bila beliau banyak menggunakan korus/movers untuk menggerakkan set dan menjadi suara dalaman di dalam cerita ini. Selain daripada itu, elemen tradisional Asia (kali ini sedikit gerakan silat, atau randai mungkin) dimasukkan ke dalam gerakan korus.


Tetapi sebagai penulis, aku kira naskhah ini masih boleh dimantapkan lagi. Aku lihat banyak pengaruh drama tivi di dalam naskhah ini. Aku berkata demikian kerana banyak ketika babak-babak yang agak pendek terpaksa dipenuhi menurut kronologi cerita. Sebenarnya ia langsung tidak salah. Tetapi apabila korus terpaksa memutarkan set untuk mendapatkan latar cerita bagi setiap babak yang agak pendek, terasa seperti kepuasan itu tidak sampai. Bukan aku meminta agar dipanjangkan babak yang ada, tetapi penukaran set itu yang seperti memutuskan momentum cerita.


 Dan masalah ini hilang bila tiba babak akhir di kelab pelacuran, kerana set itu tidak berubah langsung sehinggalah kembali ke babak prolog di jeti. Di situlah momentum teater ini mula meningkat. Sebelum itu, walaupun kaya dengan melankolik dan rasa susah payah Bakhtiar, ia tetap terputus dek perubahan babak. Walau bagaimanapun, aku memuji kreativiti pengarah/sinografer/pereka set yang membikin set Pelantaq seperti kipas angin tiga bilah yang beroda. Paparan pertama adalah pelantar pendaratan ikan atau jeti nelayan, kemudian bila diputarkan, paparan kedua menjadi beranda rumah yang bertangga. Dan bila diputarkan kali ketiga, ia menjadi kelab pelacur siap dengan bar arak dan pentas menyanyi. Ini adalah suatu pembaharuan (setidak-tidaknya di teater sebelah Utara). Kalau diikutkan, memang sudah ada teater yang menggunakan roda menggerakkan platform untuk mengubah set (seperti teater bergerak Istana Budaya), tetapi idea kipas itu lebih praktikal dan menarik.


Dan satu lagi kejanggalan utama ialah apabila Saipol Bahari sebagai pengarah dan penulis sendiri yang melakonkan watak utama sebagai Bakhtiar. Ini seingat aku, tidak pernah berlaku di dalam sejarah teater Akrab. Kerana beliau lebih arif bahawa pengarah yang berlakon akan kekurangan banyak perkara akibat tidak dapat melihat lakonan sendiri dan scene pentas yang berlaku. Aku kira telah berlaku sesuatu di dalam produksi Akrab pada kali ini hingga terjadi situasi ini. Dan aku juga berkenan kaedah 'mencadangkan' kostum kepada audien iaitu biarpun memakai pakaian yang tidak berlengan dan kain belahan tinggi, namun pelakon masih kekal memakai inner atau  legging  cerah yang menggambarkan warna kulit. Perkara ini berjaya mengelakkan fokus audien lari ke pandangan yang tidak sepatutnya dan audien sendiri dapat menerima bahawa mereka ini berpakaian seksi. Tidak perlupun terlalu realistik, asalkan difahami dan diterima audien.


Apa-apapun, tahniah kepada Akrab di atas produksi Pelantaq. Produksi ini masih mantap, walaupun seingat aku, masih ada beberapa lagi produksi lama Akrab yang lebih mantap dari ini. Semestinya aku faham kekangan-kekangan yang dihadapi oleh produksi senior seperti Akrab. Kritikan ini sekadar pendapat peribadi dari sahabat lama. Moga Akrab layak ke peringkat kebangsaan nanti!

07 May 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater Kasanova

Kasanova adalah sebuah projek pelajar tahun akhir Drama dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia. Beliau adalah Arja Lee yang turut dinilai dari segi Lakonan. Sepengetahuan aku, tajuk asal teater ini adalah Cermin, iaitu kisah seorang lelaki personaliti berbilang (penyakit split personality). Kemudiannya ianya dikembangkan kepada seorang lelaki kasanova yang berpersonaliti berbilang, penyanyi utama di kelab malam Red Dragon.


Dari satu sudut, aku melihat projek Kasanova merupakan projek pelajar tahun akhir lakonan dan pengarahan yang paling berjaya dari aspek publisiti, pemasaran dan jualan tiket. 3 malam pementasan, ketiga-tiga malam penuh auditorium Dewan Budaya, USM. Perlu diingatkan bahawa kapasiti auditorium ini ialah 500 orang dan tiket dijual pada harga RM50, RM30, RM10 dan RM5. Ini merupakan suatu kejayaan yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Mungkin strategi membawa Farhan AF4 dan Azrul RL2 berjaya menarik minat sebahagian besar penonton (yang mungkin bukan audien yang biasa dengan teater) untuk menonton pementasan ini. Jangan lupa nama besar Arja Lee dan juga seorang bintang USM iaitu Jumie Samsuddin yang mampu menarik khalayak niche mereka tersendiri.


Namun sebagai sebuah pementasan keseluruhan, aku merasakan ada kekeliruan dari segi pembentukan jalan cerita. Inilah yang aku suka gunakan analogi minyak dan air, tak mungkin bercantum, setidaknya buat masa ini. Bila publisiti mengwar-warkan ini adalah sebuah teater muzikal (atau separa muzikal mungkin?), maka telah pemikiran kebanyakan audien telah diset bahawa teater ini akan menjadi ala-ala persembahan di Istana Budaya. Bagi yang tidak pernah menonton teater, mereka beranggapan, mungkin beginilah persembahan broadway atau west end. Jadi bila mana muncul watak Jimmy mendominasi sesetengah adegan dengan monolognya, maka audien mula keliru, dan mungkin mula bosan. Kerana mereka dijamu dengan muzik, nyanyian dan tarian yang mantap serta hingar-bingar kelab malam, tiba-tiba mereka terpaksa menadah telinga mendengar rintihan monolog watak utama Jimmy. Atau setidaknya, mungkin aku seorang yang berperasaan begitu.

Premis idea terus tenggelam bila kasanova itu tidak menyerlah, tetapi cuma lelaki berbilang personaliti yang ampuh menyanyi dan menari. Aku tidak nampak sifat kasanova pada Jimmy, cuma seorang lelaki yang kurang menghargai teman wanitanya. Dan jalan selamat diambil dengan mewujudkan penceritaan di antara tokey kelab malam dan guru kaunseling yang kuat berfoya-foya, bercakap tentang Jimmy yang mungkin mengalami masalah berbilang personaliti. Audien tidak diberi peluang untuk menjangkakan sesuatu yang mungkin tidak terjangka di akhir cerita. Tiada 'ohhhh begitu rupanya'.


Aku juga agak keliru dengan genre kelab malam yang ditonjolkan. Aku tidak pasti ini kelab malam Jazz ala No Black Tie, atau kelab malam Techno ala Rockworld. Kerana lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Jeep Jazz sememangnya hebat dan menyengat. Dan memang tidak mudah menghasilkan teater denga muzik live. Kasanova antara yang berjaya melakukannya. Tetapi apabila Jeep Jazz berhenti memainkan muzik di kelab, maka latar muzik yang keluar ialah lagu-lagu techno. Mungkin ini perincian kecil saja yang aku perasan, yang tidak memberi kesan pun kepada teater ini.


Serta kehadiran kumpulan Mamu, aku lihat seperti sebuah extra turn untuk para pelakon menukar baju. Kerana adegan mereka tidak mencerminkan sub plot yang menyumbang kepada plot utama. Mungkin Mamu menghiburkan dengan telatah kelakar mereka, tetapi telatah itu cuma datang dan pergi mengisi masa. Tiada masalah bagi aku, itu adalah kreativiti pengarah. Farhan AF4 sebagai penyanyi, memang tidak dapat disangkal lagi. Tetapi sebagai pelakon, beliau perlu lebih latihan agar dapat membantu Arja Lee. Babak akhir bila beliau membawa berita yang beliau mengandung (dengan baju kurung? Signifikan?), beliau tidak dapat membantu watak Jimmy yang sekejap bertukar menjadi Frankie (personaliti kedua Jimmy), dan sekejap bertukar menjadi Jimmy. Malahan cerita ini dibiarkan tergantung begitu saja bila sahabat watak yang di bawa oleh Farhan mendepani Jimmy (yang juga sekejap-sekejap menjadi Frankie, kalau tak salah aku) dan habis begitu saja. Aku merasakan, watak Jimmy akan lebih menarik jika perubahan karakternya itu turut dimuzikalkan. Ya memang ia sesuatu yang serius, tetapi kisah pembunuhan di dalam Chicago juga serius, tetapi masih boleh dipersembahkan dalam muzikal. Begitu juga Tosca oleh Puccini, begitu juga Sweeney Todd di west end. Inilah minyak dan airnya.


Tetapi yang paling perlu diberi perhatian, pada aku adalah penggunaan dan latihan teknikal. Boom mic & skin mic digunakan serentak, menjadikan punca suara itu agak hilang. Aku faham benar fungsi skin mic untuk nyanyian live oleh para pelakon, dan aku merasakan itu memang amat perlu. Jika tiada mikrofon itu, suara penyanyi tidak akan seimbang dengan muzik yang diletakkan oleh Jeep Jazz. Tetapi mikrofon itu semoleknya dimatikan bila lagu selesai dibawakan, agar mereka ini cuma bergantung kepada boom mic. Barulah tiada pengasingan suara yang dibesarkan dengan ketara. Malahan, pada aku, seeloknya boom mic itu diabaikan saja kerana ini teater oleh pelajar Lakonan dan Pengarahan. Mereka sepatutnya punya latihan vokal yang mencukupi (dalam kes ini aku menganggap mikrofon itu untuk kegunaan artis yang bukan pelakon teater).

Ada beberapa ketika juga, kedengaran hilai tawa orang di side wings, mungkin terlepas cakap dengan suara yang agak kuat, hingga kedengaran ke pintu masuk auditorium. Ini adalah antara perkara-perkara yang patut boleh dielakkan dan perlu dielakkan. Tetapi aku merasakan, pementasan ini menjadi lebih baik pada malam kedua dan ketiga. Aku hadir pada malam pertama.


Apa-apa pun, ini cuma kritikan agar kita sama-sama boleh membangunkan teater kita. . Aku ada bertanya beberapa audien dan mereka menggemari dan mengagumi teater ini kerana ia menghiburkan. Lain orang lain pendapat mereka. Kalau ada pendapat atau komen dari sesiapa saja, silakan memberi komen. Sekali lagi, tahniah untuk Arja Lee dan produksi Kasanova!

Ulasan Yang Terpulas - Zeus Dah Mati! Nindia! Ghaplah Mesti Mari!

Apa yang boleh aku katakan lagi bila kumpulan Mamu Raja Lawak 4 dan Cuit Raja Lawak 6 bergabung; memang pecah kepala lawak gila! Memang inilah antara kebolehan utama mereka iaitu ad-lib ayat-ayat kelakar yang sentiasa buat penonton tak kering gusi.



Zeus Dah Mati! Nindia! Ghaplah Mesti Mari! merupakan adaptasi longgar naskhah teater Mayat oleh Hatta Azad Khan. Longgar kerana mereka cuma mengambil idea Zeus yang dah mati dan dipertikaikan oleh Apollo, Ares dan Hercules tentang lokasi di mana mahu disimpan mayat bapa mereka. Ada yang berkata di Kampung Dodol, Pulau Pinang, ada yang memilih matahari dan ada yang mencadang dijadikan tugu di Gunung Olympus. Sehinggalah kehadiran Hades yang membawa wasiat bahawa anggota badan Zeus harus diceraikan dan diserahkan kepada setiap anak-anaknya dan beliau sendiri berhasrat mengambil hati Zeus. Padahal, Zeus cuma berpura-pura mati.



Sebagai sebuah teater, dari segi asas lakonan, blocking, levelling, dynamic & rhythm, teater ini lengkap segalanya. Tetapi cuma dari segi asas. Tetapi jika ada yang datang untuk melihat suatu kelainan, atau mencari suatu makna pada naskhah, teater ini bukanlah untuk individu yang sebegitu. Teater ini tidak lebih daripada sebuah sketsa komedi yang menghiburkan. Penonton datang, tengok, ketawa, ketawa, dan pulang. Tiada apa yang ditawarkan pementasan ini sama ada secara subteks atau secara terus. Malahan memasukkan sketsa Ombak Rindu seperti suatu yang aku sendiri faham tujuannya, dan tidaklah perlu dinyatakan di sini. Elok juga kerana segmen itu tidak meruntun tempo pementasan ini.



Namun aku masih melihat ini dari sudut positif, iaitu perkembangan audien. Rata-rata audien yang datang adalah mereka yang pertama kali menonton teater. Mereka datang kerana Cuit dan Mamu. Dan mereka menjangkakan format Raja Lawak di atas pentas itu, dan itulah yang mereka dapat, cuma dalam tempoh yang lebih panjang. Maka aku mengharapkan, mereka telah mengecap teater sebagai sesuatu yang menghiburkan. Kalau pun mereka menonton teater yang membosankan mereka selepas ini, mereka akan tahu bahawa tidak semua teater sama.




Apa-apa pun tahniah kepada Kumpulan Resdongs yang akhirnya berjaya membuat pementasan teater setelah berpuasa beberapa tahun. Tahniah!

Ulasan Yang Terpulas - Teater Perhiasan Kaca

Teater Perhiasan Kaca (The Glass Menagerie oleh Tennessee Williams) di Auditorium P.Ramlee, Taman Budaya Negeri Pulau Pinang. Takkan aku nak ulas teater sendirikan? Jadi nikmatilah sajian foto pementasan.


Pehiasan Kaca adalah sebuah naskhah besar yang dibuat dalam jangka masa pendek. Sebulan masa persediaan, namun masa latihan cuma 2 minggu.



Naskhah ini terpaksa dipotong menjadi 1 jam 30 minit (tempoh asal melebihi 2 jam) demi menepati peraturan Manifestasi Teater Malaysia. Aku cuba mengekalkan sebanyak elemen yang mungkin dan juga mengekalkan intipati cerita iaitu cerita keluarga Amerika Syarikat 1930an. Yang diubah cuma dialog dalam bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris yang di Melayukan.




Aku sedar, banyak yang tidak tercapai di dalam pementasan ini, tetapi aku masih lagi berpuas hati dengan usaha oleh para pelakon dan rakan produksi yang lain. Kalau Perhiasan Kaca ini tidak memuaskan hati penonton yang hadir, silalah komen agar dapat kami perbaiki pada masa akan datang.


Ulasan Yang Terpulas - 'Satukan Aku Dalam Ilusimu' oleh AUCMS

Tempoh hari, AUCMS telah mempersembahkan dramatari Satukan Aku Dalam Ilusimu. Terus terang aku mengaku bahawa dramatari bukanlah forte aku. Maka aku tak dapat lihat kekuatan dari segi gerakan tari. Bagi aku, setiap gerakan itu kuat, kerana aku memang tak tahu menari dan tak tahu buat dramatari. So tahniah!


Tapi satu perkara yang paling ketara, yang dapat aku kesan, dan juga rakan dari Indonesia, bapak Eko Santosa, iaitu kurangnya dramatik di dalam pementasan dramatari ini. Ia bergerak dari hujung ke hujung tanpa rasa cemas, gusar, sedih yang ketara. Ada tu memang ada, tapi rasa dramatiknya agak mendatar. Mungkin dramatik itu boleh wujud dari segi gerak dan muzik yang lebih mantap. Muzik dan gerak yang sedia ada itu sedap dan mantap, cuma kurang dramatik.



Dan aku turut bersetuju dengan pendapat bapak Eko, bahawa para penari merangkap pelakon, 'senang' untuk menarikan watak mereka. Secara mudahnya, mereka tidak nampak dipaksa atau terpaksa berlakon dan menari. Dan ini ada pada semua watak. Hebat!



Dan juga, sebenarnya dramatari ini pasti akan lebih mencengkam jika dipersembahkan dengan muzik live. Tapi pastinya aku sendiri faham kekangan yang dihadapi oleh AUCMS. Tak apa, mungkin akan datang nanti.



Pendek kata! Selepas Aida Redza, cuma geng Steps AUCMS yang sanggup buat persembahan dramatari di Pulau Pinang. Tahniah sekali lagi!

10 April 2012

Silaturahim Dengan Eko Santosa, Theater By Request Jogjakarta



Bapak Eko Santosa 




Bersama rakan-rakan Bakawalee Penang; Jinggo Apit & Veera

Jumaat lepas, Bapak Eko Santosa turun dari Jogjakarta untuk bertemu aku dan rakan-rakan yang lain dari Bakawalee Penang. Beliau merupakan pekerja teater dan mengendalikan Theatre By Request di sana. Maklumat lanjut boleh baca di sini dan di sini.

Pertemuan kami singkat saja. Dari 3.00 petang hingga 11.00 malam. Itu pun banyak masa dihabiskan dalam kereta kerana aku membawa beliau melawat USM, pasar malam Bumbong Lima dan menonton persembahan dramatari Satukan Aku Dalam Ilusimu oleh AUCMS. Dikesempatan itu, aku banyak berbual-bual mengenai apa yang beliau usahakan, senario teater di Pulau Pinang dan Malaysia amnya, senario teater di Jogjakarta dan Indonesia amnya, malahan ekonomi serta politik.

Bapak Eko sedang mempopularkan theatre games di Indonesia, yang hingga boleh diangkat sebagai satu pementasan. Uniknya kerana teaternya interaktif, beraksi dengan audien, dan audien boleh memilih pemain, cerita dan mengawal jalan cerita.

Tapi yang paling mengesankan aku bila kami berbicara tentang Stanilavsky. Kata beliau, The System yang dihasilkan oleh Stanilavsky yang ada di Asia ini sebenarnya tidak lengkap. Stanilavsky menghasilkan 3 jilid buku untuk dijadikan The System, tetapi yang sampai di Asia dan juga Amerika cuma jilid 1, iaitu yang menekankan method acting. Inilah yang diangkat oleh Lee Strasberg dan beberapa lagi anak murid Stanilavsky di Amerika Syarikat dan terhasillah method actors seperti Al Pacino, Marlon Brando, Robert De Niro, Denzel Washingto, Meryl Streep dan ramai lagi.

Namun, seorang lagi anak murid Stanilavsky tidak berpuas hati dengan cuma 1 jilid, maka Stella Adler pun ke Russia untuk menyambung kekurangan ilmu di Moscow Art Theater. Dan menurut beliau juga, kalau nak cari The System yang paling lengkap, carilah buku Michael Chekhov.

Terima kasih pak, moga ketemu lagi. Kita bertemu di alam maya dahulu ya.


29 March 2012

Pasca Manusia Raja Redux

Manusia Raja Redux telah berlalu. Pementasan selama 1 jam 45 minit tu akhirnya tamat juga. Kami menerima pelbagai komen, pandangan dan kritikan, yang kami terima dengan hati yang terbuka. Tetapi di antara semua komen-komen yang kami terima, yang paling mengesankan ialah kurangnya energy (tenaga) dan tidak cukup stamina.

Aku harus mengakui selama aku berteater, dan juga rakan-rakan yang lain, kami kurang bersenam. kalau ada pun, setakat memanas dan meregangkan badan. Mungkin juga kerana bukan dari latar belakang akademik teater, kami tidak tahu kepentingan bersenam. Memanaskan badan pun sebab dah diamalkan turun-temurun dan ada juga yang dibawa balik dari bengkel-bengkel teater.

Biasanya tenaga (energy) yang dipancarkan oleh pelakon pada pementasan sebelum ini, datang dari dalam diri mereka. Susah nak diterangkan di sini. Apa-apa pun, layan imejan dulu.

Intro - ini baru satu permulaan.

Komunikasi + 1
Manusia Raja Redux memang melelahkan. Kerana mengarahkan 6 monodrama dan 2 drama gerak, seolah-olah mengarahkan 8 produksi yang berbeza. Setiap satu karakter membawa kisah yang berbeza lantas menyebabkan keperluan yang berbeza. Keperluan-keperluan inilah yang menyebabkan aku terpaksa membahagikan otak aku kepada beberapa bahagian pada satu-satu masa. Tambahan pula, MRR kali ini berbeza dengan 4 siri Manusia Raja yang sebelumnya, kerana aku mewujudkan elemen korus agar audien tidak terputus fokus sepanjang penceritaan.

Dalang Songsang

Artisan Marhaenis

Syukur kerana aku merasakan audien pada ketiga-tiga malam (walau jumlahnya tidaklah ramai), dapat mengikuti setiap cerita dari awal hingga akhir. Tidak mudah mengikat audien selama 1 jam 45 minit, tambahan lagi mereka punya hak untuk keluar bila-bila masa (ada satu kumpulan yang keluar awal pun kerana pengangkutan mereka dah sampai).


Mimpi Manis

Variasi Daun-daun Berguguran
Tambahan lagi, kebanyakan naskhah monodrama ini bersifat cakap, cakap, dan cakap. Dan tidak mudah nak mengekalkan minat audien kecuali mereka ini berbakat menjadi ahli politik. Juga, sebahagian naskhah ini  menggunakan bahasa yang bombastik, ada yang banyak metafora dan ada juga yang mencuit dengan ringan. Kecuali satu naskhah iaitu Jebat - Rahsia Kesumat yang banyak bermain ruang dan fizikal badan (itupun ia menggunakan kronologi terbalik), yang lain-lain kebanyakannya bergantung kepada kemampuan pelakon menarik audien melalui kata-kata.

Jebat - Rahsia Kesumat

Selamat Datang Kapitalis
Apa-apa pun, aku berterima kasih kepada pelakon yang berusaha besungguh-sungguh menjayakan pementasan ini di ketika ada yang terlibat dengan dua pementasan lain. Maka aku tahu itulah antara sebab mereka tidak dapat memberikan penghayatan 110%. Bergiat sukarela macam ni, aku faham kekangan sebegini. Aku cuma mengharapkan karya aku diterima dan pengarahan aku difahami oleh audien yang datang. Kerana bagi aku, teater ini komunikasi. Kalau aku tidak dapat berkomunikasi dengan audien dengan cara membuatkan mereka faham (tidak kiralah lapisan pertama, kedua atau ketiga), maka aku gagal.

Aku Bukan Parewa

Artisan Marhaenis
Aku berharap dapat berkarya lagi, dan mementaskan sesuatu lagi. Buat masa ini aku ada dua idea untuk naskhah baru, tetapi tertangguh kerana banyak urusan lain yang patut aku utamakan. Tengoklah kalau ada ruang senggang dan kiranya naskhah ini menjadi escapism aku, maka akan muncullah yang terbaru. Itupun kalau ada yang sudi menanti.

Para pelakon Manusia Raja Redux

Terima kasih kepada yang hadir, kepada yang menunggu untuk memberikan komen dan kritikan, kepada semua yang membantu secara langsung atau tidak langsung.

27 March 2012

Iklan - Teater Perhiasan Kaca (The Glass Menagerie karya Tennessee Williams)


Sinopsis:

Merupakan antara karya ulung Tennessee Williams, penulis Amerika Syarikat. Perhiasan Kaca membawa memori imbas kembali Tom Wingfield kepada ibunya Amanda Wingfield yang kuat berleter dan kakaknya Laura Wingfield yang terlampau pemalu.

Tom bosan dengan kehidupannya di St. Louis. Amanda mengharapkan anaknya Laura bertemu jodoh dengan mana-mana lelaki yang baik, sedangkan Laura terlampau pemalu kerana keadaan fizikal kakinya yang agak tempang.

Lalu Amanda meminta Tom mencari mana-mana kawan lelakinya untuk diperkenalkan kepada Laura. Lalu Tom membawa pulang Jim O'Connor untuk makan malam dan tanpa mengetahui Laura pernah jatuh hati kepada Jim sewaktu sama-sama di sekolah tinggi.

Amanda menyangkakan Jim adalah menantu impian yang ditunggu-tunggunya.
Laura menyangkakan Jim adalah lelaki yang dapat memahami dirinya.
Tom langsung tidak menyangka apa-apa.
Apakah yang akan terjadi?

Sebuah kisah yang memaparkan pergelutan hidup keluarga menengah rendah serta penonjolan sifat individualistik masyarakat Amerika.

Dipersembahkan dalam Bahasa Melayu.