17 March 2006

Pemain - Ulasan Yang Terpulas

Gelap kopi malam dan malam sebelumnya tidak berjaya menentang kuasa lampu kuda pacuan satu roda aku, yang nawaitunya menentang nafsu aku untuk menyengkang mata menonton Pemain di Panggung Sasaran USM.

Pemain, diarahkan oleh Azhar Yahya, dilakonkan oleh Mohsein A. Kadir selaku pemain, Milyana Arshad selaku kekasih pemain dan pegawai penyiasat serta Mursyid selaku adik pemain serta pegawai penyeksa.

Entahlah…… hati aku berbelah bahagi sebenarnya. Antara kagum dan tidak. Kerana penilaian aku adalah subjektif dan bertakuk pada aras mereka yang baru hendak mula mengarah, hendak mula mengeksperimentasikan idea, hendak mula menyalahgunakan kuasa pengarah dan hendak mula telan paracetamol setiap malam kerana sakit kepala.

Pelakon pun begitu jua.

Pada aku, secara keseluruhannya bagus (ingat tanda aras yang aku guna, jangan pula samakan dengan Puteri Gunung Ledang The Musical atau 12 am). Kerana tahap kreatif pengarah telah berjaya tertonjol melalui tatacahaya. Penggunaan gobo bingkai penjara dan lapikan cahaya atas cahaya serta kombinasi warna yang sesuai telah berjaya menimbulkan mood cerita.

Set yang kosong nampak macam otak pemain yang kosong. Tapi malangnya aku tidak nampak kekangan ke atas pemain. Pemain harus tertekan, dikekang; dan pada aku ruang yang sempit lebih membantu.

Lakonan juga boleh tahan; bagus bagi watak pemain, okey bagi dua lagi pelakon. Mursyid sebagai adik tampak lompong tanpa mainan emosi mimik muka, hanya lantunan suara yang menyelamatkannya. Milyana pula tampak seperti cermin yang berjalan, kerana tidak banyak beza gestura antara kekasih pemain dengan pegawai penyiasat, kecuali lantunan suara dan mimik muka tanda ubah emosi.

Mohsein bagus, tapi masih boleh diperbaiki. Kerana banyak masa nadanya menjadi mendatar. Meskipun ada turun naik nada pada tangga-tangga emosi, tetapi tidak membantu kerana takuk nada cuma dua tiga jenis saja. Tapi mainan gesturanya banyak menghidupkan cerita.

Teknik soal siasatnya menarik kerana seksaan telepati membuang rasa mengantuk audien. Teknik dwi fokus bila pemain terbayangkan kekasih dan adiknya juga menarik kerana pemfokusan pada watak adalah jelas. Kurangnya hanya pada lakonan.

Cuma bila menonton sebuah kisah yang penuh dengan falsafah ini, aku rasa pengarah telah mengabaikan audiennya (dan aku pasti itulah yang kebanyakan pengarah projek ini akan buat kerana mengutamakan panel penilai, markah mereka lebih penting). Audien ada yang mengantuk, ramai yang tidak faham.
Tidak faham tidak mengapa kerana adalah elok pada peringkat universiti, pengarah memprovokasi otak mahasiswa dan siswi agar tidak beku dengan suapan pensyarah, agar caj-caj elektron dalam otak berfungsi memikirkan "Apa kejadah pengarah ni nak cerita? Oooo ini adalah ini, itu adalah itu....".
Tapi punch dan impact juga penting agar audien akan tertarik dan rasa puas membayar RM 3.00 untuk menonton. Keseimbangan itu perlu ada.

Tanpa audien, kalian buat teater apa?

Aku ini naïf dan daif seni. Ulasan aku sebagai audien biasa yang tiada ilmu formal dalam teater janganlah disalah sangka. Sekadar apa yang terbuku, terasa, terfikir.
Mungkin aku salah, tapi seni itu subjektif. Tiada yang salah atau betul dalam seni.

3 comments:

Anonymous said...

wa ka ka! takkan nak marah audien..

Anonymous said...

naskah pemain penuh falsafah dan makna yang berlapis lapis. Gua berpendapat yang berwajib dalam produksi tak mengkaji ideologi zaman secara terperinci. Naskah tu adalah suara protes Johan Jaafar pada era itu. Bukan era DEBAT PERDANA sekarang :)

Pegawai Khalwat said...

Boleh jadi juga.

Aku tak menafikan tu. masalahnya pengarah kata ini karya adaptasi.....

Hummmmmmm.......