'Akulah Perempuan Itu' merupakan teater kedua projek penilaian tahun akhir pelajar Lakonan & Pengarahan, Pusat Pengajian Seni USM. Pelajar yang dinilai ialah Intan Nursyeefa sebagai Pengarah dan Amylya Suwany sebagai pelakon. Akulah Perempuan Itu ialah karya Siti Rohaya Atan, penulis prolifik yang kental dengan agenda feminisme beliau.
Karya ini telah diadaptasi oleh produksi ini. Kerana jumlah asal pelakon ialah 4 orang wanita, tetapi di dalam pementasan ini, cuma tiga watak yang diguna pakai. Kartika, Kamariah dan Tun Teja. Ada satu lagi watak yang aku tidak ingat namanya, merupakan watak peguam wanita yang bercinta dengan suami orang. Pencerita di dalam cerita ini adalah Kartika. Natijah daripada adaptasi ini, aku dapat merasa ketidak seimbangan yang tidak dapat aku kesan sebelum pementasan ini berlangsung.
Aku akan bercakap sebagai penonton teater dan juga sebagai 'pembaca' teater.
Pentas berbentuk hanamichi/cat walk yang kelihatan seperti sebuah segitiga. Di dalam simbol masyarakat pagan, segitiga dengan bucunya ke bawah mewakili wanita kerana ia berbentuk seperti vagina. Jadi apakah ini simbol kewanitaan yang dipijak-pijak. Pendapat Jumie Samsudin pula berbeza. Cuma aku tidak pasti sama ada sememangnya disengajakan atau tidak oleh pengarah, tidak meletakkan aras kepada watak-wataknya. Antara Kartika, Kamariah dan Tun Teja, biar mereka di utara, timur dan barat, namun arasnya sama. Dari segi pandangan audien, ia tidak nampak cantik dan selesa, kerana nampak sebaris. Tambahan pula pelakonnya kurang bermain dengan aras lakonan. Tetapi jika signifikannya ialah kesamarataan, maka maksud itu sampai di benak aku.
Kalau memetik Ferdinand de Saussure, tokoh semiotik terbilang, tanda adalah kesatuan dari penanda (signifier) dan petanda (signified). Kalaulah warna baju iaitu kuning, merah dan putih adalah penanda, maka petanda bahawa Tun Teja itu keturunan raja, Kartika itu suci dan Kamariah itu dalam amarah; aku kira tanda itu dapat dibaca. Tapi persoalannya, pertalian antara raja, suci dan amarah. Kerana ia mewakili ikon yang berbeza iaitu status, situasi dan emosi. Jika warna itu ingin dibaca secara semiotik, maka kesatuan itu perlu wujud agar tidak mengelirukan sesetengah audien. Oleh itu Peirce (2010) menyebut bahawa tanda akan dapat berfungsi jika unsur-unsur objek, dasar dan subjek saling berhubungan. Di dalam kes ini, ada yang berhubungan, ada yang agak tergelincir (bagi pandangan aku).
Istimewanya pementasan ini kerana ia menggabungkan pelakon dari tahun pertama, kedua dan ketiga. Watak Tun Teja ditangani oleh Eyta Laila (baju kuning), pelajar tahun pertama. Namun jelas kelihatan kegugupan beliau sehingga beberapa kali tersasul ayat. Watak Kamariah pula ditangani oleh Hayatie (baju merah) pelajar tahun dua. Meskipun lebih berpengalaman berbanding Eyta, namun kelihatan beliau masih belum cukup mendalami watak Kamariah yang penuh keperitan. Manakala watak Kartika (baju putih), adalah pelajar yang dinilai lakonannya iaitu Amylya Suwany. Beliau mampu berlakon dengan baik, terutama ketika beliau bercakap tentang bagaimana beliau mula diperkosa oleh ayah sendiri. Di situ adalah moment terbaik yang meledakkan emosi dan juga meledakkan tenaga untuk keseluruhan pementasan itu. Namun, kelemahan utama beliau adalah pada pengucapan dialog yang monotonous. Malahan, kelemahan ini terdapat pada kesemua pelakon, hingga ia hampir mengheret minit-minit pertama pementasan ini ke kancah kebosanan. Mujur juga selepas ledakan tenaga itu, lakonan sudah mula bertambah dengan gerak. Lakon dan gerak inilah yang banyak menyelamatkan tempo pementasan ini.
Namun, secara keseluruhan, bagi pengarah yang kali pertama mengarah, ini adalah sebuah pementasan yang baik. Cuma kekurangannya pada pengucapan dialog oleh pelakon dan juga muzik latar yang agak kuat sewaktu pelakon sedang berdialog. Dan ada ketikanya pelakon bermain di luar ruang cahaya sehingga menenggelamkan raut wajah yang boleh membantu memaparkan emosi pelakon kepada audien. Jikapun ia disengajakan, aku tidak dapat membaca signifier dan signifiednya.
Dan seperti kata Azhar Jalil, pengarah Kasanova, inilah teater projek tahun akhir yang paling pendek dalam sejarah projek tahun akhir. Aku kira di antara 35-40 minit. Sememangnya ia menerbitkan rasa tidak puas menonton. Kerana audien masih mahukan lagi. Ketika audien diasak dengan kisah ketiga watak itu dan persoalan demi persoalan, tiba-tiba ia ditamatkan. Laksana memanjat tinggi di Uluru dan bila tiba di puncaknya, terjun! Ataupun mungkin juga audien sememangnya sengaja dibiarkan terawang-awang di puncaknya, mencari sendiri jalan keluar. Ertinya audien dipaksa berfikir tentang apa yang diperkatakan oleh perempuan-perempuan ini!
Secara keseluruhannya, teater ini berjaya memberikan impak kepada audien. Mungkin kerana lakonan pelakonnya yang berkesan (selepas ledakan tenaga), mungkin juga kerana semiotik yang diterapkan oleh pengarahnya secara sedar atau tidak sedar kepada audien (kadang-kadang pengarah sendiri tidak sedar beliau bermain semiotik), atau mungkin juga kerana masanya yang pendek. Lupakan dahulu konsep constructivism atau structuralism yang ingin diketengahkan oleh pengarah. Yang utama, Akulah Perempuan Itu telah berjaya dipentaskan.
Tahniah kepada pengarah, pelakon yang dinilai dan keseluruhan produksi. Aku mengharapkan ini bukan kali terakhir kalian berteater. Kalian telah pun membuktikan sesuatu. Maka teruskan! Komentara dan kritika dari semua dialukan.
3 comments:
you know that it will be the first and the last time right?
ha ha ha
but thank you, you know that I always appreciate your help and consultations regarding this field that I am not familiar with (and will never be)
oh well, one more day to go. :)
teater yg dpat buat bulu roma menaik,,syabas !! likeee very much
Love!! Teater yang mengangkat darjat & kewibawaan wanita! Tahniah intan!
Post a Comment