Teater Dari M ke M merupakan naskhah pertama yang dipentaskan bersempena Festival Rintis : Shift, iaitu Projek Pelajar Tahun Akhir Pusat Pengajian Seni, USM. Yang ini untuk Drama & Teater. Karya asal Lenny Erwan, diarahkan oleh Cherry Chang dan dilakonkan oleh Huda Bakar, Zool Ahmad dan seorang lagi pelakon.
Huda Bakar sebagai pelakon utama.
Dipentaskan di Panggung Sasaran, USM, teater yang bernafas realisme ini menarik untuk ditonton kerana skripnya yang kuat. Tapi, bila bergerak atas nahu realisme, seperti biasa antara elemen penting yang menjadi perhatian, iaitu aspek lakonan. Meskipun tidak mengecewakan, namun lakonan para pelakon utama cuma berada di paras selamat. Semestinya aku menjangkakan sesuatu yang ekstra dari pelajar Lakonan & Pengarahan yang tiga tahun mengaut ilmu di USM. Lakonan mereka masih boleh diterima oleh audien yang hadir, tambahan pula ada unsur lelucon di dalamnya.
Zool Ahmad sebagai watak lelaki utama.
Pendapat aku lagi, teater ini agak kurang menyerlah dari segi kerja pengarahan. Mungkin kerana ketiadaan pengalaman Cherry Chang sebagai pengarahnya. Plotnya nampak kosong dengan pelakon hanya memuntahkan dialog semata-mata. Namun, seperti yang aku katakan, itu pendapat peribadi aku yang mungkin dah banyak menonton teater. Sebagai sebuah teater, Dari M Ke M masih berjaya menambat hati penonton.
Huda Bakar dengan aksinya.
Latar hias mencukupi untuk mencadangkan kepada penonton bahawa lokasi itu merupakan sebuah stesen yang ditinggalkan. Setidaknya Cherry Chang dan pasukannya lebih rajin dari aku, menyiapkan sebuah pentas yang ada latar hias. Kalau aku, main pakai kain saja. Pemalas. Pendek kata, Cherry Chang berjaya membuatkan penonton percaya bahawa itu adalah stesen keretapi yang dah lama tidak dijejaki manusia.
Pelakon tambahan. Apa nama entah?
Seperti yang aku sebutkan tadi, bila bergerak di dalam nahu realisme, penonton kerap akan meminta yang lebih. Kerana bila sesebuah teater memaparkan cerminan realiti, maka penonton akan tersedut ke dalam ruang cermin itu, dan akhirnya akan membandingkan dengan realiti yang mereka lalui. Itulah sukarnya bila cerita realisme dipentaskan. Setidaknya, sukar untuk penonton tua seperti aku. Audien yang baru pertama kali menonton, atau menonton karya kawan-kawan, pastinya tidak begitu kejam seperti aku.
Ahli produksi Dari M Ke M
Akhir kata, Dari M ke M masih lagi sebuah pementasan yang berjaya. Cuma aku ini agak mengada-ngada. Dah tua agaknya. Tahniah kepada produksi ini, harapan aku mereka tidak berhenti setakat itu, dan terasa hati dengan komen orang tua ini.
2 comments:
Pelakon tambahan itu namanya Leong Ee Vonne. Pelakon tambahan yang juga berlakon dalam produksi The Little Prince sebagai pemabuk & sebagai penari dalam produksi Bukan Bunuh Diri. Agaknya pelakon yang banyak kali muncul kali ini di pentas RINTIS.
Terima Kasih daun keladi Encik Usop. Biar mengada ngada jangan mengata ngata. :)
Post a Comment