27 June 2014

Ulasan Yang Terpulas - Teater Lagu Tu Lagu Ni : Alumni Kacang Hantu

Membariskan nama-nama pelawak pelapis baru yang terkenal di tanah air seperti kumpulan Riki Raja Lawak, Daniel Bowl Bintang Mencari Bintang dan para pelakon telemovie Anak Mamak Menantu Mami, pastinya memberikan isyarat yang cukup jelas bahawa teater sitkom ini akan menampilkan elemen komedi yang ketara. Perkataan sitkom itu sendiri bermaksud situation comedy yang memaparkan watak-watak yang berkongsi persekitaran yang sama, dengan dialog-dialog yang lucu. Tidak seperti standup comedy atau sketch comedy, sitkom biasanya mempunyai jalan cerita dan watak yang bersambung dalam naratif komedi.


Set/ Latar hias sitkom Lagu Tu Lagu Ni : Alumni Kacang Hantu

Lagu Tu Lagu Ni (LTLN) : Alumni Kacang Hantu mengambil Kampung Pening Lalat sebagai latar tempat, dengan sebuah kedai sebagai lokasi pertemuan watak-watak. Beberapa siri kecurian telah menggusarkan penduduk kampung dan menyebabkan ketua kampung pening kerana individu yang dilabel sebagai pencuri/penjahat telah pun ditangkap. Apabila kacang-kacang hantu ini pulang, mereka dituduh menjadi punca kejadian curi.


Kak Cun dan Pak Meon sedang bercanda.

Seperti mana-mana karya Razali Ridzuan, karya beliau sentiasa dekat dengan masyarakat. Latar masyarakat kampung/luar bandar ini mudah meresap ke dalam jiwa audien kerana sebahagian besar audien teater Melayu merupakan masyarakat suburbia, dan jika tinggal di bandar pun, hidup dengan pendapatan rendah dan sederhana. Selain daripada itu, bentuk realisme yang menjadi tunjang karya beliau banyak boleh dilihat di kaca televisyen teresterial dan berbayar. Maka tidak hairanlah jika penonton ketawa terbahak-bahak melihat gelagat para pelakon. Sememangnya ini adalah kepakaran Razali Ridzuan atau nama glamor beliau Li Kandaq Ayaq. Malahan bingkai LTLN amat menyamai karya beliau yang lain iaitu Sayang Sri Tanjung. Malahan posisi kedai juga sama, iaitu di kanan pentas.

Posisi kedai ini sebenarnya memberi sedikit masalah kepada aku, kerana aku berada di kiri panggung. Ada ketika pelakon berada di dalam kedai dan aku tidak dapat melihat apa yang dilakukan oleh pelakon. Seeloknya kedai itu dihalakan ke arah penonton. Senget tak apa, asalkan penonton dapat melihat apa yang terjadi. Kecualilah memang niat pengarah untuk menyembunyikan pelakon daripada penonton, maka pengarah telah berjaya.


Buang (duduk) menjual karipap di depan kedai Kak Cun.

Sebagai sebuah teater komedi, LTLN sememangnya berjaya mencuit hati majoriti audien dengan telatah pelakon. Tetapi sayangnya, komedi ini tidak digarap dengan lebih baik kerana dirasakan pengarah melepaskan pelakon terlalu bebas untuk berinteraksi sesedap rasa. Difahamkan teater ini merupakan teater improvisasi, tetapi harus difahami jika teater ini mahu dilabelkan sebagai teater improvisasi, maka elemen improvisasi itu harus muncul sebelum persembahan bermula, contohnya audien diberikan kuasa menetapkan watak atau jalan cerita yang akan diimprovisasikan oleh para pelakon. Sekiranya teater yang mempunyai jalan cerita sendiri, improvisasi itu hanya wujud sewaktu latihan, dan jika ada tambahan sewaktu pementasan, ianya lebih dikenali sebagai ad-lib (ad-lib juga satu bentuk improvisasi, namun ia tidak menyeluruh). Kebebasan ad-lib oleh sesetengah pelakon ini, menyebabkan cerita ini menjadi longgar. Namun ad-lib inilah juga yang memberikan nilai komedi kepada pementasan ini.

Mungkin juga kerana format sitkom digunakan, level pelakon seperti diabaikan. Pelakon lebih banyak sama-sama berdiri, sama-sama duduk di baris yang sama. Mungkin ini format yang diamalkan oleh rakaman sitkom televisyen, maka aku tiada kata untuk perkara ini. Tetapi kurangnya pencahayaan pada muka pelakon pada ruang belakang meja harus diberi perhatian. Mungkin audien lain tidak perasan atau memilih untuk mengabaikannya, namun aku berasa tidak puas kerana adegan-adegan yang berlaku di ruang itu bukan adegan istimewa, tetapi adegan biasa yang memerlukan aku menghayati memek muka pelakon. Mungkin penata cahaya ada sebabnya yang tersendiri.


Kemunculan Geng Riki Raja Lawak

LTLN juga telah membuktikan kewujudan lawak untuk kelompok. Banyak ketika lawak-lawak yang dibuat (dan ada juga dibuat-buat) hanya diketawakan oleh kelompok tertentu, misalnya kelompok peminat, kelompok rakan-rakan dan kelompok kenalan. Ini bukanlah satu kesalahan kerana adalah sangat sukar untuk meraih lawak dari audien jika lawak yang dipersembahkan itu tidak kena dengan jiwa dan intelektual audien yang hadir. LTLN telah berjaya mengesan aras audien yang mereka sasarkan dan berjaya melakukannya dengan baik. Namun ada juga audien yang tidak ketawa langsung dengan komedi yang dipersembahkan. Maafkanlah mereka ini.


Penduduk kampung berkumpul depan kedai memprotes kejadian curi yang berleluasa.

LTLN banyak bergantung kepada komedi bagi menjaga tempo pementasan. Hilai tawa audien sememangnya penawar terbaik bagi masalah tempo dalam teater. Plot LTLN teratur kemas meskipun ia disebut sebagai teater improvisasi. Ini adalah kelebihan utama Razali Ridzuan yang bijak menjalin plot agar turun naik dan menarik. Babak awal lebih kepada memperkenalkan watak-watak dan permasalahan yang terjadi. Tetapi, seperti yang aku sebutkan sebelum ini, akibat pelakon diberi kebebasan, maka adegan-adegan di dalam cerita ini dicuri dengan memasukkan lawak-lawak yang tidak begitu membantu perkembangan cerita. Ia masih komedi, masih lawak dan masih diterima audien. Harus diingat, adakah lawak-lawak ini akan dikitar semula sekiranya teater ini ingin dipentaskan lagi dengan sub tajuk yang lain pula? Tetapi tidak mustahil audien akan terus menerima lawak kitar semula. Lawak tetap lawak walau apa saja panggilannya. Audien juga mungkin berbeza pada pementasan akan datang.

Razali Ridzuan juga gemar untuk meriuhkan finale sesuatu babak dengan watak yang ramai. Karya-karya beliau seperti Sayang Sri Tanjung dan Dalam Kehadiran Sofea mengambil format yang sama. Ini adalah keunikan beliau yang bertindak serentak sebagai penulis dan pengarah. LTLN juga adalah teater komedi dengan isu yang ringan. Tiada isu berat yang ingin diangkat seperti isu tanah wakaf dalam Sayang Sri Tanjung dan isu pengkhianatan dalam Dalam Kehadiran Sofea. Malahan LTLN tiada sisipan kritikan sosial kecuali beberapa ketika ad-lib oleh beberapa pelakon antaranya Azhar Riki. Mungkin itu kehendak pengarah agar penonton hadir dan terhibur dengan harga tiket yang dibayar.


Pencuri sebenar ditangkap oleh geng Alumni Kacang Hantu

Sememangnya LTLN adalah pengalaman yang bagus kepada pelajar Pusat Pengajian Seni yang ada diantaranya terlibat secara langsung di dalam pementasan ini, sama ada sebagai penolong pengarah, pelakon atau kru. Namun harus disedari, teater bukan semata-mata pada lakonan dan pengarahan saja; pengurusan, pemasaran, jualan, sinografi, teknikal adalah antara elemen penting yang harus dititik beratkan di dalam mana-mana pementasan, walau seringkas mana pun pementasan ini. Pementasan sebegini seharusnya diusahakan brosur ringkas yang murah (fotokopi pun tidak salah) untuk tujuan maklumat kepada audien. Audien berminat untuk mengetahui sinopsis, pengarah, pelakon dan penulis skrip, meskipun kita tahu ada yang hanya membuang saja brosur itu selepas pementasan. Brosur itulah juga bukti dan rujukan sesuatu pementasan telah dijalankan. 

Tahniah sekali lagi kepada produksi ini. Sememangnya LTLN berjaya membuatkan audien terhibur dan ketawa tanpa henti. Semoga projek seperti ini akan diteruskan dan akan hadir dengan lebih mantap dari segala segi.

4 comments:

paejahrock said...

Pembetulan. Bukan Mon. Nama dia Buang. :)

Pegawai Khalwat said...

Jah Rangers
Terima kasih Jah Rangers. Telah diperbetulkan.

m i n e r a l . . . said...

lama sungguh tidak membaca disini, dan menonton teater juga...ermmm

Pegawai Khalwat said...

Mineral
Ahhh... saudara Mineral. lama juga tidak mendengar khabar tuan.

Saya puasa update blog buat seketika. Terima kasih kerana terus menyokong.