Ulasan ini juga lewat kerana dikekang oleh tugasan hakiki yang turun menimpan bak hujan ribut tropika. Sampaikan aku tak tahu mana satu yang nak ditadah, mana satu yang nak dicurah. Jadi hasilnya inilah.
Kalut merupakan karya dan arahan pertama Haizal. Kalut adalah adaptasi dari tajuk yang sama oleh Razali Ridzuan. Kalut adalah sebuah teater improvisasi. Sebagai seorang pengarah yang baru pertama kali mahu mengarah selain daripada latar belakang teater yang tidak formal, dia memang berani mengambil risiko. Aku tidak pasti sama ada dia sedar atau tidak risiko yang diambil. Aku tidak pasti adakah Kalut dihasilkan kerana mahu dihasilkan hingga kebanyakan perkara lain terabai.
Pastinya lesen kali pertama mengarah digunakan sepenuhnya. Pengarah sukar dihukum kalau itu kali pertama. Sifat dan budaya orang Asia suka memaafkan kesalahan kali pertama. Beri peluang untuk kali kedua. Tapi pada aku, kalau nak buat yang pertama pun, biarlah betul-betul bersedia.
Kalut memang kalut.
Kalut memang telah berjaya dipentaskan sebagai sebuah pementasan teater. Ramai yang ketawa berdekah-dekah dengan lawak-lawak yang dihamburkan. Konsepnya realisme, ceritanya terus. Tak ada kona-kona. Tapi dari kaca mata seorang penggiat teater amatur, ada kelemahan yang perlu diberi perhatian. Tenaga, tempo, kontinuiti, interaksi antara karakter dan beberapa perkara lagi adalah antara perkara yang paling ketara timbul.
Sudah tentunya, tak boleh salahkan pengarah yang baru kali pertama.
Tapi bila isi persembahan itu sendiri nampak kalut, dan dipersoalkan oleh beberapa penonton, maka semua itu harus diberi perhatian serius. Bukan takut pada penonton yang suka meletakkan standard. Tapi takut kita yang berpuas hati dengan standard itu.
Aku bukanlah pandai sangat. Aku pandai-pandai buat saja. Tanpa latar belakang ilmu teater yang formal, aku sama saja dengan pengarah ini atau orang lain. Tapi aku berpendapat, pengalaman masih boleh diambil kira.
Satu perkara yang paling aku nak tegaskan, bila nak buat sesuatu, sekurang-kurangnya mesti ada ilmu. Kalau nak pandu kereta, sekurang-kurangnya tahu cara menukar tayar bila pancit. Janganlah tahu bawa saja. Bila malapetaka menimpa, kita terpaksa mengharapkan orang lain menolong. Dan sudah tentu, seperti bawa kereta juga, kita tidak tahu semuanya tentang kereta kalau kereta itu rosak. Mekaniklah yang paling tahu. Maka merekalah yang patut kita rujuk kalau mahu membuat perjalanan jauh. Dan mereka jugalah yang akan kita minta tolong kalau kereta kira rosak.
Pementasan juga begitu. Pengarah ibarat pemandu kereta. Pelakon dan ahli produksi adalah penumpang. Kalau pengarah setakat tahu bawa kereta, maka bersiap sedialah dengan segala kemungkinan.


