22 June 2011

Asalkan Ada Teater, Tanya Percuma Ke Tak?

Medium mempromosikan teater dah jauh berbeza sejak beberapa tahun yang lepas (tak perlulah kita cakap pasal puluh-puluh tahun dulu, tak ramai yang hidup lagi). Dulu cuma bergantung kepada kain rentang atau banner, kemudian muncul emel, yahoo groups, blog dan kini facebook.

Yang paling aku tidak berkenan dari dulu hingga kini (terutamanya iklan di dalam facebook), bila orang bertanya "Show ni free ke tak?" atau ada juga yang bertanya "Boleh dapat diskaun tak?". Ianya sangat menjengkelkan. Pementasan teater amatur di Pulau Pinang, harga tiketnya setakat RM 5.00 dan paling mahal pun RM 10.00. Amat jarang sekali yang berharga lebih dari itu. Kalau ada pun mungkin produksi profesional dari luar negara atau luar Pulau Pinang.

Tolonglah! Harga RM 5.00 tu dah jauh murah dan biasanya tidak menguntungkan individu yang mementaskan pun. Itu pun masih ada yang mahu percuma, dan mahukan diskaun. Mungkin ada yang berkata, mereka cuma bergurau saja, tetapi sesuaikah gurauan itu? Kalau ramai yang mampu membelanjakan RM 10.00 untuk membeli tiket wayang, atau setidak-tidaknya RM 5.00 untuk membeli DVD cetak rompak, apakah tidak berbaloi mengisi jiwa dan minda dengan menonton teater pada harga yang sama. Kalau tidak berminat untuk menonton, itu adalah hak mereka, maka tiada siapa akan menyalahkan mereka. Tetapi jika mereka hadir dengan percuma atau dengan mendapat diskaun, maka mereka telah menidakkan peluang orang lain yang mungkin hadir untuk membayar (jika tempat duduk penuh, suatu perkara yang amat jarang berlaku).

Dah berpuluh-puluh tahun, tapi mentaliti masyarakat kita masih begitu juga. Apakah ada sesuatu yang tidak kena pada sistem kita, atau pada diri kita sendiri?

Apa kata kalian?

14 June 2011

Ulasan Yang Terpulas - Bangsawan Alang Buana & Qum : Kebangkitan (Mimos)

Kita abaikan saja beberapa buah pementasan yang pernah aku tonton tetapi tidak sempat diulas di sini. Aku sebagai insan yang naif dan dafi seni, dengan rendah dirinya memohon untuk mengulas dua buah persembahan pentas yang dipentaskan pada 11 dan 12 Jun 2011 yang lepas. Ini komen orang yang tak berilmu, maka mohon maaf kalau ada banyak kekurangannya. Tapi peduli apa orang kata, aku bayar tiket, maka sudah tentu aku ada hak untuk bersuara (awal-awal dah provokasi nih!)

Bangsawan Alang Buana
Menonton Bangsawan Alang Buana oleh Aswara, ada rasa terkilan di dalam kepuasan. Puas kerana setnya yang menepati citarasa bangsawan, cantik, ringkas dan memahamkan/membuatkan audien jelas lokasi babak. Puas kerana muzik extra turnnya yang padat, bulat dan cermat, ini termasuklah persembahan extra turn pelajar tahun dua jurusan Muzik (extra turn M.Nasir, tak payahlah aku komen kerana memang sangat mantap, beliau profesional dan memang sepatutnya itu yang ditampilkan). Lakonan juga kedap rasanya, baik watak tambahan, baik watak utama. Pencahayaannya yang memang sedap dan sesuai dengan babak dan emosi cerita. Kostum juga menepati kehendak bangsawan. Pendek kata pengarahan Mazlan Tahir memang mantap dan memuaskan.

Namun begitu......
Bangsawan juga adalah teater kerana dipentaskan secara langsung kepada audien hidup. Walaupun bangsawan itu perlu menuruti nahu-nahu bangsawannya, tetapi adakalanya ia perlu digarap agar sesuai dengan  jiwa audien yang dah terlalu banyak terdedah kepada seni dan hiburan yang pelbagai. Aku secara peribadi, agak terganggu dengan tempo cerita yang bergerak agak perlahan pada awal babak. Babak 1 di istana dan babak 2 di kampung, sepatutnya boleh digarap semula, agar watak Dato Lela Setia yang dibawa oleh Shahrul Mizad, dikembangkan dengan lebih padat dan cepat. Agak meletihkan bila terpaksa melihat dua kali tarian oleh penari istana dan orang kampung, tiap kali babak ini muncul. Bila tiba babak 3, barulah cerita asal tentang Alang Buana muncul. Aku tidak pasti apakah itu tuntutan naskhah skrip atau sememangnya bangsawan menuntut sekurang-kurangnya 1 babak istana, seperti mana wajibnya ada extra turn.

Aku juga tidak merasakan Alang Buana yang memegang nama bangsawan ini, terangkat tinggi setaraf dengan peranan dan wataknya. Namun, jika melihat kepada bentuk dan gaya persembahan cerita klasik Melayu, mungkin begitulah perjalanan ceritanya. Tidak semestinya watak utama yang menjadi tajuk memonopoli cerita. Lihat saja Batu Belah Batu Bertangkup yang cuma muncul sekali saja. Maka, anomali ini aku terima seadanya.

Dari segi lakonan, mungkin kiok bangsawan itu agak kurang kejelasannya. Ini memang dimaafkan kerana adalah tidak mudah berlakon dengan kiok bangsawan kalau sekadar terlibat berlakon 2 atau 3 pementasan. Tambahan pula para pelakon juga terlibat di dalam pementasan dengan isme yang berbeza. Maka ini juga difahami. Tetapi jika indahnya tutur dialog bangsawan itu diperap lagi dengan kiok yang sepatutnya, maka lakonan mereka akan sempurna.

Tetapi, aku tetap menyanjung produksi Aswara ini kerana mampu mengekang audien sehingga tamat, walau dengan plot cerita yang serius. Tidak mudah memujuk audien menyengkang mata mereka dengan jalan cerita yang tak berhumor. Mungkin ketegangan dan kehibaan dalam sesetengah babak membantu membangkitkan rasa ingin tahu audien.

Tahniah kepada semua!

Qum : Kebangkitan (Mimos)
Dipentaskan oleh The Qum Actors dengan kerjasama DBP dan Tronoh Teater Shop, Universiti Teknologi Petronas, aku menonton pementasan ini di Stor Teater DBP pada 12 Jun 2011, 3.00 petang. Orang tidak ramai, mungkin ahli produksi lebih ramai dari audien. Tapi itu bukan isunya, asalkan dipentaskan, itu sudah cukup baik berbanding mereka yang cuma tahu bercakap saja. Pementasan ini merupakan kompilasi 3 buah teater; Nasi Lemak 10 Sen (teater moden), Ash : Debu Cinta (Mimos/Mime), Pondok Tok Ayah (Monolog).

Bermula dengan Nasi Lemak 10 Sen, (sinopsis sila lawati blog Tronoh Theater Shop), teater moden ini telah mengheret keseluruhan mood pementasan ini. Sebagai sebuah naskhah skrip, Nasi Lemak 10 Sen adalah sebuah skrip yang bagus. Sebuah kritikan sosial yang baik dan pada masa yang sama menyelitkan isu-isu semasa yang adakalanya dipandang sepi. Misalnya makan nasi lemak menyebabkan kegemukan, multi level marketing yang halal dan sebagainya. Skrip ini, jika ditangani oleh pengarah lain, pasti rempah ratusnya juga berbeza. Tetapi pastinya berbeza jika penulisnya sendiri, Akin Muhammad yang mengarah, pastinya lebih jelas apa yang diingin disampaikan. Nasi Lemak 10 Sen mungkin boleh dikira drama of thought kalau mengikut Bernard Shaw. Tetapi mencerna apa yang ingin disampaikan oleh skrip dan juga visual adalah sesuatu yang agak kontra di dalam pementasan ini. Aku sebagai insan yang naif dan daif seni sukar mencerna lapisan ketiga pementasan ini.

Nasi Lemak 10 Sen tidak bergerak sepenuhnya di dalam realisme. Dan tidak pula ia bergerak di dalam anti-realisme. Kostumnya masih realisme, cuma orang kaya tidak mencerminkan kekayaannya, begitu juga Kak Zee penjual nasi lemak dan pengemis 1 serta pengemis 2. Maka aku cuba mencari signifikan warna hitam, merah, putih dan muka emas orang kaya. Tetapi kemunculan pengemis dua yang bersifat lelaki lembut mematikan pertalian minda aku dengan signifikan warna. Begitu juga kostum pelancong serta contengan muka yang tidak dapat aku cerna. Aku melihat Nasi Lemak 10 Sen yang mengkritik nafsu manusia. Tapi nafsu siapa? Agaknya aku memang sebodoh itu.

Kalau Nasi Lemak 10 Sen dipentaskan di UTP atau di mana-mana pentas lain di luar Lembah Kelang, maka aku akan bertepuk tangan pada para pelakon dengan lakonan yang baik. Tetapi, lokasi Stor Teater DBP bagi diri aku telah menetapkan kayu ukur yang tinggi kepada para pemainnya. Maka pada aku, lakonan para pelakon Nasi Lemak 10 Sen seharusnya dimatapkan lagi. Nampak lebih kepada lontaran dialog dan menanti dialog rakan lakon lain sahaja. Kimianya tiada, aksi-reaksi-interaksi yang palsu dan dibuat-buat. Kecuali pengarah sendiri yang mengkehendaki begitu, agar audien membaca diri manusia yang palsu di dalam pementasan itu, maka lakonan mereka memang berjaya.

Walaupun Stor Teater DBP mempunyai ruang yang terhad dan kemudahan teknikal yang terhad, ini bukan alasan bagi produksi membuat kerja-kerja teknikal yang ala kadar sahaja. Ruginya kerana cahaya yang ada sekadar untuk mencerahkan ruang lakon. Berlaku kebocoran cahaya dan ketidakseimbangan cahaya di sana sini, serta bila cahaya dibuka secara general/wash, ada titik panas oleh parcant di beberapa ruang. Paling ketara ketika selingan oleh pemuzik dan penyanyi. Cadangan aku juga, sebolehnya diberikan mikrofon kepada penyanyi dan gitar agar dapat dilaraskan kekuatan vokal dan muzik. Aku ketinggalan bait-bait lirik yang puitis pada awal lagu kerana suara penyanyi tenggelam dek pukulan gitar. Kalau tak mahu pakai mikrofon pun tak mengapa, tapi perlu dilaraskan kekuatan muzik dengan vokal.

Ash : Debu Cinta
Inilah kekuatan Qum Actors kerana mempunyai pelakon dan pengarah mime. Memang sukar menemui pelakon yang dapat melakonkan teater berbentuk mime di Malaysia ini dan Qum Actors mungkin satu-satunya yang diketahui. Menjenamakan pelakonnya dengan solekan muka putih, adalah satu langkah yang bijak kerana memberikan kelainan kepada audien dan juga kepada pihak media. Kalau setakat lakonan mime tanpa solekan itu, agak sukar membezakannya dengan pelakon lain yang sedia ada selagi tidak ditonton. Sebab itulah sudah beberapa kali mime Qum Actors diliputi oleh media.

Mahu menyamakan mime mereka dengan mime profesional antarabangsa, pastinya tidak adil. Setakat yang dilakukan oleh mereka, sudah boleh dikira baik dan aku sangat berbangga kita ada pelakon mime seperti mereka. Cuma lakonan mereka boleh diperkemaskan lagi, terutama latihan mengendalikan prop atau set halimunan yang lebih besar. Kalau setakat aksi minum, makan, menari, mencuci lantai dan menguyah makanan, adalah agak mudah bagi mereka. Mereka harus mencuba aksi yang lebih besar. Contohnya aksi mengangkat cermin. Mungkin juga aksi-aksi lain yang lebih besar seperti menunggang motosikal, kuda, berdiri senget dengan tongkat dan sebagainya.

Apa yang agak menggusarkan aku ialah watak dan perwatakan itu sepatutnya digambarkan dengan lebih jelas. Meskipun kita terima ada dua orang pelakon lelaki yang melakonkan mime dan salah seorang mewakili watak wanita, namun cadangan aku (jika ia tidak melanggar nahu lakonan mime), watak wanita itu harus dibentuk sebagai wanita. Dengan pipi merah, rambut palsu dan juga pakaian wanita. Maka lebih mudah untuk audien menerima pemandangan itu, berbanding dua pelakon mime lelaki yang menggambarkan aksi cium. Meskipun difahami, tetapi masih agak meloyakan. Jangan dibimbangkan tentang aksi cross-dress ini kerana di dalam sketsa boria masih ada cross-dress, cuma watak cross-dress itu mungkin perempuan, tetapi perwatakannya tetap lelaki. Ini akan dibincangkan kemudian pula.

Menyelitkan pop culture juga adalah usaha yang baik bagi menarik audien yang pelbagai kerana audien lebih dekat kepada budaya itu. Lagu-lagu Bust Your Window dan Nobody versi Tango memang dapat menarik perhatian audien. Cuma pasti lebih hebat lagi kiranya ada efek bunyi yang sesuai serta muzik latar yang bukannya untuk ditarikan, tetapi membantu membangkitkan mood (jika perlu).

Aku cadangkan Qum Actors berdaftar dengan The World Of Mime Theatre. Setidaknya meletakkan peta Malaysia di mata dunia dan Qum Actors sebagai pelopornya.

Pondok Tok Ayah, adalah sebuah monolog yang menceritakan tentang nasib makhluk Tuhan di tangan pembangunan. Watak jin yang menghuni pondok tok ayah pun turut terperangkap oleh nafsu makannya. Tidak banyak yang aku boleh ulas tentang pementasan ini selain beberapa perkara seperti kostum yang sepatutnya lebih sesuai. Bukan masalah pada rekaannya, tetapi materialnya yang menampakkan pakaian disebelah dalam serta kekotoran solekan pada kostum, harus diambil berat, dan jangan seperti melepaskan batuk ditangga. Tiada apa yang dapat aku katakan tentang solekan wajah merah hitam kerana aku sendiri tidak pernah melihat wajah jin, maka, apa saja interpretasi pengarah, itulah yang aku terima.

Cuma aku rasa skrip itu seperti membazirkan cerita bila bercakap tentang kucing yang bernama Munah (kalau tak silap aku). Tiada perkaitan yang jelas tentang kucing itu selain atas niat komedi iaitu menggambarkan erti yang lain kepada audien dan memberikan erti yang lain. Mungkin perlu jika ada kaitan dengan perkembangan plot cerita dan watak, dan juga mungkin perlu kalau mahu menarik perhatian sesetengah golongan audien. 

Mujur juga Stor Teater itu kecil maka ruang yang luas sebegitu mampu ditangani oleh pelakonnya. Tetapi penguasaan ruang agak lemah kerana keseluruhan ruang lakon tidak diterokai. Ada orang kata itu bukan satu keperluan, ya mungkin benar, bergantung kepada kekuatan lakonan dan tenaga yang dialirkan oleh pelakon itu. Naskhah skrip memang menarik dan isu-isu yang dibangkitkan juga mengena. Bercakap tentang kemajuan tetap pada masa yang sama disulami amalan khurafat dan nafsu manusia.

Aku rasa cukup setakat itu saja dari aku yang naif dan daif seni ini. Kalau ada yang baik, ambillah. Dan kalau ada yang tak berkenan, tahan sajalah. Inilah asam garam seni persembahan, kalau tiada yang mengkritik, alamat seperti kau onani seorang diri.

Apa kata kalian?

31 May 2011

Hidup Berubah

Agak lama aku tidak mengisi ruang entri di blog ini. Sibuk dengan urusan kerja hakiki serta usaha untuk membaiki diri kerap mengekang minda kreatif dan intelek aku. Nak harapkan minda yang memberontak, tiada yang sesuai untuk dipaparkan di sini. Maka terbuku dan beku sajalah ruang entri ini.

Tapi hari ini, aku gagahkan juga. Kerana hari ini ada dua perkara yang mengubah percaturan hidup aku. Aku perlu lebih tabah, serta membina momentum yang tepat. Kalau tidak, aku akan tersungkur.

14 May 2011

Iklaneka - Bangsawan Mestika Bumi



Bangsawan Mestika Bumi merupakan adaptasi daripada kisah Bangsawan Jula Juli Bintang 3 oleh Halimi M.N. Mengisahkan tentang Maharaja Darsa Alam yang baru ditabalkan menjadi Raja Kerajaan Zamin Tauran, telah kehilangan cincin Mestika Bumi, lambang kebesaran negara.

Cincin berkenaan telah jatuh ke dalam tasik dan baginda bertegas tidak akan meninggalkan tasik berkenaan sehinggalah cincin berkenaan ditemui. Akhirnya, cincin itu telah dipulangkan oleh seorang wanita cantik yang muncul di tasik itu. Maharaja Darsa Alam kemudian mengahwini wanita berkenaan, dengan syarat baginda bersumpah tidak sesekali bertanya nama atau asal-usul beliau.

Selang beberapa tahun, semasa pertabalan Putera Mahkota, dua orang kampung telah mengadap Maharaja dan mengadu tentang pertengkaran mereka. Mereka bertengkar tentang asal-usul Permaisuri dan perkara itu telah menyebabkan Maharaja Darsa Alam turut terdesak dan melanggar sumpahnya dengan menanyakan asal-usul Permaisurinya. Akibatnya, Permaisuri baginda terpaksa pulang ke kayangan manakala Maharaja Darsa Alam pula disumpah menjadi gergasi ketika pergi mencari Permaisurinya.

Dapatkah Putera Mahkota menyatukan kembali Maharaja Darsa Alam dan Permaisurinya serta mematahkan sumpah gergasi ayahandanya. Sama-sama kita saksikan Bangsawan Mestika Bumi.

10 May 2011

Gula Naik 20 Sen Sekilogram!

Berapakah sukatan gula bagi segelas teh o atau seketul kuih donut? 10 miligram? 10 gram? 1 kilogram?

Jawapannya adalah antara 500 gram ke 1 kilogram gula!

Ini kerana harga teh o atau kuih donut akan naik antara 10 sen ke 20 sen segelas atau seketul. Kan sama harga dengan kenaikan gula sekilo tu!

15 April 2011

Projek Akan Datang - Jun & Oktober

Ada dua projek yang akan datang, aku sedang usahakan.

Monodrama Manusia Raja 4
Jun (Insyaallah)
Pemain-pemain yang telah terpilih, sila siap sedia. Konsep kali ni tak sama dengan tiga produksi yang lepas. Banyak eksperimental.

12 Angry Men (or maybe including women)
Adaptasi lakon layar cerita orang putih.
Oktober (Insyaallah)
Yang pasti sekurang-kurangnya 12 orang pelakon.
Tapi aku tak pasti sama ada aku sanggup menggantung diri lagi, membuat sebuah cerita yang 12 orang perlu berada serentak. Pengalaman 'Dusta Pada Skala 1 Hingga 10' seakan menginsafkan aku.

Apa-apa pun, ini belum sah lagi. Cuma Manusia Raja 4 50% sah.

12 April 2011

Imejan - Teater Monodrama 'Manusia Raja 3'




Aku Borgeouis
Karya Mata Kucing
Lakonan Shaik




Jamuan
Karya Dudok
Lakonan Fizi




Genggam Di Pinggir
Karya Dudok
Lakonan Ahmad Shazli




Ketawa Sampai Mati
Karya Mata Kucing
Lakonan Azerul Azizan




Tidak Meminta, Tidak Menolak
Karya Dudok
Lakonan Aida

11 April 2011

Antara Pelakon Popular Kita Yang Berlakon Teater Dengan Pelakon Popular Mereka Yang Berlakon Teater

Tidak dinafikan, kita ada ramai pelakon teater yang bagus. Secara professional, bukannya secara amatur. Ada pelakon amatur pun yang mungkin lebih bagus dari pelakon professional. Pelakon profesional seperti Nam Ron, Zahiril Adzim, Sherry, Fauziah Nawi, Juhara Ayob (sekadar menyebut beberapa nama) merupakan pelakon teater profesional yang bagus. Tetapi mereka ini belum masuk kategori popular. Kalau popular pun sekadar masuk tivi dan ada beberapa saja yang lepas ke filem seperti Fauziah Nawi dan Nam Ron. Kalau di KLPAC atau mana-mana premis The Actor's Studio, mungkin ramai juga yang bagus, tetapi cuma di dalam kelompok mereka. Jarang yang ditemui di tivi atau filem. Dan tidaklah popular kalau sebahagian besar populasi negara tidak mengenali mereka.

Itu yang bagus.

Yang popular tetapi berlakon tidak cukup bagus (mengikut pendapat personal aku, lakonan teater di pentas, bukan sekadar di tivi atau filem) pun ramai juga. Terutamanya yang berlakon di Istana Budaya. Tak payahlah aku menyebut nama, tetapi gunakanlah enjin mencari, cari pelakon-pelakon popular (yang hampir satu negara kenal), yang berlakon di Istana Budaya. Tanyalah orang-orang teater pendapat mereka.

Sekarang masuk isu.

Aku tahu, adalah tidak adil membuat perbandingan dengan Amerika Syarikat. Industri teater mereka sudah maju. Lupakan isu nilai atau komersil, kita cuma bercakap tentang kualiti lakonan. Siapa yang tidak kenal Denzel Washington (Philadelphia, The Book Of Eli, Malcom X, Remember The Titan, Training Day, Crimson Tide) atau Alfred Molina (Spiderman 2, The Socerer's Aprentice, Prince Of Persia, Frida) ataupun Jude Law (Enemy At The Gates, Artificial Intelligence, Repo Men, Sherlock Holmes) atau Liev Schreiber (Manchurian Candidate, X-Men Origin : Wolverine, Salt, The Sum Of All Fears) ataupun Christopher Walken (Sleepy Hollow, Catch Me If You Can, Hairspray, Pulp Fiction). Persamaan mereka semua ini ialah, mereka tercalon sebagai Persembahan Terbaik Oleh Pelakon Lelaki Utama Di Dalam Drama di dalam Tony Awards. Setidak-tidaknya salah seorang dari mereka ini, kita sendiri boleh akui kehebatan lakonan mereka. Itu tidak termasuk lagi Chaterine Zeta-Jones yang memenangi anugerah Persembahan Terbaik Oleh Pelakon Wanita Utama Di Dalam Musical. Kalian semaklah sendiri di dalam lawan sesawang itu.

Seperti yang aku nyatakan, ini adalah tidak adil untuk membuat perbandingan. Tetapi kalau dalam industri filem, Hollywood sudah menoleh ke Jepun, Korea dan Thailand, adalah tidak mustahil jika perbandingan ini menjadi biasa pada masa akan datang. Pada masa ini, kenapa tidak boleh pelakon yang bagus di dalam teater, juga adalah pelakon yang bagus di dalam tivi atau filem, dan juga pelakon yang popular? Kalau ada pun pada masa dulu dan kini, hanyalah Nam Ron, Fauziah Nawi dan Eman Manan. Mungkin Khir Rahman juga termasuk dalam senarai, cuma beliau belum cukup popular di kalangan penonton filem dan tivi Malaysia. Apa jadi dengan pelakon popular yang lain? Popular sajakah?

Apa kata kalian?

06 April 2011

Ulasan Yang Terpulas - Raja Pengemis & Mayat

Sebenarnya aku berhutang dua ulasan, iaitu Si Tenggang dan Bangsawan Siti Zubaidah. Dah lama dah tapi aku yang tidak berkesempatan membuat ulasan. Tapi selepas dilanda kesibukan mega, aku sempat menonton pula teater projek tahun akhir pelajar lakonan & pengarahan, Pusat Pengajian Seni USM. Memandangkan kedua-dua pementasan itu sempat aku pukul gambar, maka aku akan buat ulasan untuk kedua-duanya dahulu. Ingat! Ini ulasan insan yang naif dan daif seni. Sekadar untuk renungan dan ambil yang baik sahaja.

Raja Pengemis.
Adalah skrip lama juga. Tidaklah terkenal seperti Mayat, tetapi naskhah ini tidak kurang hebatnya. Aku tidak pernah menonton atau membaca naskah Raja Pengemis, maka aku bergantung secara keseluruhannya kepada pementasan ini untuk memahami ceritanya dan intipatinya. Mengisahkan sekumpulan pengemis yang bertemu di rumah persatuan mereka dan berbicara tentang hal-hal pengemisan seluruh negara dan di seluruh dunia. Naskhah ini sangat menarik kerana menceritakan situasi politik zaman 70an (kalau tak salah aku), waktu Amerika Syarikat dan Russia masih berperang dingin. Tetapi penulis sudah dapat melihat hubungan antara China dan UK, walaupun berlainan fahaman, tetapi akan tetap dihubungkan dengan masalah sosial dan ekonomi. Lihat saja China kini makin dicengkam kapitalis, UK sekadar bertahan hingga kini.


Tapi sayangnya kerana pementasan ini diheret oleh masalah setting pentas yang tidak sesuai. Panggung Pelenggang Cahaya adalah sebuah Black Box, seperti juga di Panggung Sasaran dan Panggung Eksperimen Aswara. Tapi berbeza dengan Panggung Eksperimen Aswara yang mengambil konsep thrust, kelilingnya dipenuhi oleh tempat duduk bertingkat. Sedangkan di Panggung Pelenggang Cahaya, tiada tempat duduk bertingkat, maka pilihan utama sama ada berkerusi atau duduk bersila. Kedua-duanya pilihan yang bagus sekiranya pentas dinaikkan sedikit (menggunakan platform). Tetapi bila platform digunakan sebagai tempat VIP, dan para pelakon bermain di atas lantai, maka masalah yang paling besar pada sebahagian besar penonton yang tidak dapat melihat dengan jelas permainan pelakon. Tambahan lagi ada sebahagian permainan dilakukan di atas lantai. Inilah masalah yang paling utama pada aku yang naif dan daif seni ini.


Seterusnya, lakonan yang kurang membantu dari watak kupu-kupu (kalau tak salah aku, watak wanita itu kupu-kupu). Lakonan beliau okay, tapi tidak cukup baik dan tidak cukup bagus pada tahap mereka ketika ini. Dan yang paling menyedihkan kerana sebagai rakan lakon, beliau tidak cukup membantu rakan lakon yang lain. Sebaliknya, watak Cif dan Komander cukup cemerlang. Cuma ada ketika aku melihat Cif terpaksa bertindak keterlaluan (exagerate) kerana ingin mengekalkan tenaga pementasan. Watak Kapten pula sekadar cukup ada, mungkin sesuai dengan situasi dan perwatakannya. Watak Komander cukup baik, tidak lebih-lebih tidak kurang-kurang. Watak laporan pengemis dari London dan China juga sekadar iklan, sepatutnya boleh dibentuk dan dipersembahkan dengan lebih baik.


Tahniah kepada produksi ini kerana ada set pentas. Sekurang-kurangnya mereka lebih baik dari aku yang malas membuat set pentas. Tetapi sayangnya set pentas sekadar menetapkan lokasi kejadian, dan tiada yang istimewa sangat tentang set pentas. Tiada impak terhadap penonton dan tidak membantu mood lakonan. Mainan multimedia iaitu tayangan video mengenai kenangan antara Kapten dan Cif sekadar melepaskan batuk di tangga.

Kostum juga tidak mencerminkan watak dan perwatakan mereka semua dengan jelas. Sekali lihat tidak macam pengemis, sekali lihat macam orang gila, sekali lihat macam pelajar universiti. Mungkin ada yang ingin disampaikan oleh pengarah, tetapi sebagai insan yang bodoh dan bahlul seperti aku ini tidak dapat mencerna sebab musabab pemakaian para pelakon itu. Tetapi pementasan Raja Pengemis tetap satu usaha yang baik dan pementasan ini masih boleh dikategorikan sebagai baik. Setidaknya ia menghiburkan sebahagian besar penonton yang hadir (aku cuma menonton pada malam pertama).

Mayat
Merupakan karya malar segar Hatta Azad Khan yang mungkin boleh aku katakan sebagai naskhah cult di dalam dunia teater Malaysia. Ceritanya mudah, kisah sekumpulan manusia yang bertelagah tentang di mana mahu mengebumikan mayat rakan mereka sedangkan tanah perkuburan sudah penuh dan tanah itu sendiri sudah semakin berkurangan. Bila orang luar a.k.a. saudagar mayat hadir untuk membantu mereka dengan menawarkan untuk membeli mayat rakan mereka agar anggota badannya boleh digunakan sebagai anggota ganti, maka mereka menyangka masalah mereka akan selesai. Mayat memang santai ditonton, kerana dialog di dalam skrip itu sendiri sudah cukup untuk mencuit hati walaupun pelakon itu keras macam pokok angsana.


Untungnya kerana pementasan ini dipentaskan di atas pentas (platform) dan penontonnya pula bersantai di bawah (bersila). Maka masalah yang berlaku di dalam Raja Pengemis tidak berlaku. Solekan zombie (ya, sekumpulan manusia itu adalah zombie) memang menjadi (bagi tahap teater amatur/pelajar). Di sini aku melihat kebijaksanaan pengarah yang berjaya mengeksploitasi kelemahan pelakon agar terkongkong dengan karakter zombie. Tetapi sayangnya, walau dalam karakter zombie, para pelakon seperti sesat dalam terang, sekadar melepaskan dialog sahaja, kecuali untuk beberapa orang pelakon.


Aku tidak ingat yang mana satu sahabat 1 hingga 4, tetapi aku mengingati karakter mereka. Seorang kontraktor (mungkin juga jurutera), seorang tukang gunting, seorang gadis sunti dan seorang guru (betulkah guru?). Hebatnya pengarah ini kerana berjaya membuatkan aku terfikir apakah signifikan setiap karakter ini, tetapi tidak hebatnya kerana sampai sekarang aku tidak faham kenapa dipilih karakter sebegitu. Apakah kontraktor bila mati akan menjadi zombi kerana kerap makan rasuah? Atau guru yang tidak ikhlas mengajar menerima nasib yang sama? Gadis sunti pula menggantung diri kerana dicabulkah? Dan tukang gunting (dalam karakter lelaki lembut) kerana menyongsang dari aturan alam? Itu telahan aku, tetapi kaitan di antara watak itu tidak dijelaskan kepada audien. Bagi penonton yang baru pertama kali menonton, mungkin akan kekeliruan kerana tidak faham kenapa mesti zombi berusaha menanam mayat (zombi itu sendiri mayat) rakan mereka.

Seperti juga Raja Pengemis, aku melihat karakter guru itu paling menggusarkan dan seperti lubang hitam yang menarik tenaga persembahan. Guru itu seperti bukan seorang zombi kecuali pada kakinya yang cacat. Aku juga ada seorang rakan yang namanya bemula dengan huruf M yang kakinya cacat, tetapi dia bukan zombi. Watak kontraktor pula, cemerlang sebagai zombi, tetapi tidak sebagai watak itu sendiri. Beliau tidak cukup membantu rakan lakon yang lain. Watak tukang gunting, seperti tenggelam, sedangkan secara personal aku mengenali kemampuan beliau. Tetapi mungkin juga beliau mengawal diri agar tidak berlebih-lebih hingga menenggelamkan watak lain. Walaupun itu bagus, tetapi beliau sepatutnya membantu menghidupkan watak-watak lain. Watak gadis sunti juga cemerlang setelah menjadi zombie. Dengan karakter bersahajanya, watak beliau timbul dengan baik. Di sinilah aku katakan sebagai kebijaksanaan pengarah. Malangnya, beliau tidak sedar karakter beliau menonjol dan telah menenggelamkan watak-watak lain terutamanya guru.


Satu lagi watak yang aku rasakan baik ialah saudagar mayat. Dengan karakter hunchback, watak beliau juga cemerlang. Cuma sayangnya beliau masih menjadi diri sendiri (kerana aku juga mengenali beliau secara personal). Kebiasaannya, kemunculan saudagar mayat kerap menjadi anti klimaks, tetapi tidak kali ini.


Tetapi balik kepada pengarah, antara kekurangan utama ialah prinsip asas di dalam teater iaitu blocking dan leveling. Bila pelakon bermain di atas pentas yang rata, adalah sukar bagi pelakon itu bermain levelling terutama jika tidak dipandu arah oleh pengarah. Sayangnya juga, level yang ada iaitu pada set pentas hanya dimonopoli oleh para korus. Ketiadaan leveling ini mendorong kepada keletihan mata. Manakala kehadiran korus pula, selain daripada untuk memanjangkan tempoh persembahan, agak mengelirukan sesetengah penonton. Aku dapat mendengar dengan telinga kiri dan kanan aku sendiri penonton menanggap korus itu iklan, sedangkan pengarah mungkin mahu bercakap tentang patriotisme atau mungkin juga rencana diktator di negara ini yang sibuk berebut kerusi hingga tidak mempedulikan rakyat yang tidak cukup tanah kubur.


Pendek kata, yang mungkin sampai pada audien, hanyalah dialog yang dilontarkan oleh para pelakon, tetapi apa yang ingin disampaikan oleh pengarah melalui pengzombian, gerak korus, laungan azan (subuh kalau tidak salah aku) dan semua nilai artistik dan estetika, mungkin tidak dapat difahami oleh sebahagian besar audien.


Itu sajalah komen aku yang naif dan daif seni. Cukuplah aku bercakap. Kalau nak bercakap tentang rhythm, pacing dan dynamic, mau makan tiga perenggan lagi. Aku tiada ijazah dalam teater, dan aku bukanlah tokoh hebat seperti Ahmad Yatim atau Mohammed Ghouse. Aku cuma penjiwa teater, yang mahukan mereka semua ini terus maju, dan pada masa hadapan nanti setidak-tidaknya tahu menghargai teater.

Tahniah pada kedua-dua produksi. Tiada yang sempurna dalam seni. Tapi yang tidak sempurna itulah seni.

28 March 2011

Komersialisme atau Idealisme : Mana Harus Dikorbankan Di Dalam Teater?

Bila aku menyebut tentang Idealisme, aku tidak merujuk kepada falsafah Plato, Kant, Leibniz atau mana-mana ahli falsafah lain yang menyentuh tentang Idealisme. Tapi aku cuma merujuk kepada idea seorang penulis atau pengarah teater. Dan komersialisme semestinya kita bercakap tentang menukarkan sesuatu ke dalam bentuk yang boleh mendatangkan keuntungan, dalam kes ini teater.

Dalam konteks Malaysia, terutama produksi teater amatur, kedua-dua kes ini tidak mustahil, tetapi kalau menggabungkannya sememangnya agak sukar. Agak sukar bagi sebuah pementasan yang penuh dengan idea dan nilai-nilai datang bersama pakej lengkap iaitu wajah yang penuh komersil. Tidak banyak produksi yang dapat menggabungkan kedua-kedua elemen ini.

Kita ambil contoh begini, sebuah produksi ingin mementaskan sebuah cerita yang memprotes pergolakan politik di negara kita. Pementasan ini lengkap dengan nilai estetika yang tinggi hingga menuntut pemikiran yang ekstrem daripada para penontonnya. Sekiranya mahu mengadakan pementasan sebegini, kita yakin penontonnya terpilih. Yang berminat hadir pun terpilih sahaja. Melihat tajuknya saja akan menggerunkan penonton yang biasa menonton cerita-cerita yang santai.

Berbeza sekiranya produksi itu memilih untuk mementaskan produksi yang santai, cerita komedi atau cinta misalnya. Cerita-cerita begini lebih komersil dan mudah dipasarkan. Tetapi pada masa yang sama, idea penulis atau pengarah terkekang dengan cerita-cerita yang sebegini.

Mungkin ada pula ada orang akan berkata, kenapa tidak dibuat cerita yang penuh idealisme dalam bentuk komedi. Memang ada. Memang patut dan bagus. Tetapi kita perlu sedar, penonton yang hadir untuk ketawa selalu tidak sedar mereka mengetawakan diri sendiri. Tidak kisahlah ketawa untuk siapa pun, asalkan lucu, sedangkan maksud sebenar cerita itu tidak sampai ke minda mereka. Pada aku, sekali-sekala itu bagus, tapi kalau kerap, minda akan jadi kosong dengan ketawa semata.

Aku juga bersetuju, banyak kriteria yang harus dilihat jika mahu sesebuah pementasan itu berjaya dari segi jualan tiket. Tetapi setiap kriteria yang diambil kira untuk jualan tiket hampir kesemuanya menjurus kepada komersialisme dan terpaksa mengabaikan idealisme walaupun mungkin bukan untuk keseluruhannya.

Aku bagi contoh lagi. Kita mungkin ada senarai pelakon (amatur) yang ramai pengikutnya. Sama ada kawan-kawan atau rakan sepejabat atau peminat. Tetapi kita tahu lakonannya tidak seberapa. Sekiranya kita memilih pelakon berkenaan berbanding pelakon lain yang lebih bagus, maka kita memilih nilai komersil.

Sekiranya kita memilih untuk mementaskan cerita kita di Dewan UMNO, PAS, atau PKR, atau di auditorium SPRM, ADK atau SUK, sudah semestinya cerita kita juga akan berkisar kepada apa yang disukai oleh badan di atas. Kita tidak boleh buat cerita yang ikut suka kita. Itu sudah menjurus kepada komersilisme.

Kalau kita nak buat cerita yang ikut suka kita, lokasinya mungkin di Taman Budaya Negeri, atau mana-mana IPT atau lokasi bebas lain yang perlu dibayar sewaan mengikut kiraan jam. Berbaloikah? Balik modalkah?

Mungkin pada komentar nanti, akan ada banyak contoh-contoh sedia ada tentang kejayaan sesetengah produksi teater amatur mementaskan teater dan menggabungkan kedua-dua elemen ini. Tetapi berapa kerat yang berjaya? Kalau balik modal atau untung sekalipun, mungkin kita boleh lihat siapa penonton yang datang. Apakah kawan-kawan, pengikut produksi itu sendiri, atau penonton jemputan dari sekolah dan maktab atau kolej-kolej swasta. Berapa ramai penonton yang hadir kerana mereka mahu hadir setelah mendengar adanya pementasan itu?

Soalannya di sini, mana satu yang mahu dikorbankan? Komersialisme atau Idealisme? Mahu buat teater, tapi tidak mahu untung? Berapa lama mahu berkorban sebegitu? Atau buat teater yang memang akan dapat duit saja, asalkan penonton datang terhibur? Apakah sanggup selamanya begitu juga?

Apa kata kalian?

21 March 2011

Menonton Teater Kerana Kawan-kawan

Agak lama juga aku tidak menulis entri baru. Pada ketika ini pun aku sangat sibuk dengan tugasan hakiki, tapi demi desakan jiwa, aku menulis juga entri baru. Ada dua persembahan teater yang aku tonton tapi belum dapat diulas iaitu, teater Si Tenggang dan Bangsawan Siti Zubaidah. Itu aku akan ulas lain kali.

Hari ini kita cerita menonton teater kerana kawan-kawan.

Sebelum aku mementaskan Manusia Raja 3, Si Tenggang telah mengambil tempat yang sama seminggu sebelum itu. Ada 3 pementasan dan setiap malam secara purata penonton yang hadir adalah seramai lebih daripada 200 orang (kalau tak silap perkiraan aku). Dan bermula dari malam pertama, aku telah pun lekatkan poster Manusia Raja 3 di lokasi strategik agar penonton yang hadir ini tahu adanya pementasan teater di tempat yang sama minggu hadapan.

Tapi apa yang berlaku? Yang hadir cuma jemputan khas, rakan-rakan yang mengenali aku, para pelakon dan persatuan aku, serta para pelajar seni. Penonton yang sama, yang hadir pada pementasan sebelumnya itu, kalau hadir pun mungkin kurang dari 10 orang.

Hipotesis aku, kebanyakan mereka ini menonton kerana kawan. Ada kawan yang berlakon di dalam teater itu, mereka datang. Atau mereka ikut kawan mereka yang ada kawan berlakon di dalam teater itu. Ataupun mungkin selebriti yang mereka kenal berlakon, maka mereka pun datang.

Aku tidak nafikan promosi aku tidak begitu agresif. Tapi aku yakin setidaknya seramai 600 orang tahu pementasan yang seterusnya akan berlangsung. Tapi nak dapatkan 1/3 pun tidak berjaya. Agaknya kelemahan pada poster aku, yang tidak cukup menarik hati penonton. Atau mungkin memang kebanyakan penonton baru, menonton teater kerana kawan-kawan.

Apa kata kalian?

15 March 2011