Sabtu yang lepas (sila tolak beberapa hari dari tarikh entri ini), aku ke Stor Teater DBP bersama beberapa dari Bakawalee Penang dan Pusat Pengajian Seni, USM. Tujuan utama kami ialah menonton teater Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 di samping aku melaksanakan sesi semi structured interview berkaitan pengajian aku.
Naskhah Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 merupakan karya aku atas nama pena Dudok pada tahun 2009. Dipentaskan di Pulau Pinang sebanyak 3 kali dan 1 kali di Kuala Lumpur. Kali pertama di pentaskan di Pulau Pinang, Taman Budaya Negeri Pulau Pinang dikelilingi air banjir mengakibatkan cuma beberapa kerat rakan teater dan kakitangan jabatan yang menonton. Malahan 1 bas rombongan pelajar dari UMP pun terkandas di luar kawasan banjir, beberapa meter sahaja dari pintu masuk. Di Kuala Lumpur, di pentaskan di Panggung Bandaraya DBKL sempena 6 kumpulan terpilih mengisi ruang Manifestasi Teater Kebangsaan.
Ramai yang mengatakan idea naskhah ini dicedok dari filem Saw. Sebenarnya itu tidak tepat. Idea asal naskhah ini diadaptasi dari siri Criminal Minds, musim ke-2, episod bertajuk North Mammon. Jadi pada ketika skrip ini dibikin, aku terpaksa menimbangkan kekangan yang ada seperti kekuatan pelakon, usia pelakon, kesesuaian watak dan sebagainya. Dan akhirnya, aku memilih untuk turut mencedok idea dari filem Saw untuk memberikan kelainan kepada naskhah yang biasa aku pentaskan dan teater yang biasa dipentaskan di Pulau Pinang. Kerana audien Pulau Pinang tidak seperti audien di Kuala Lumpur, Kedah mahupun Perlis.
Kemudian bila aku mendapat tahu dari rakan di Kuala Lumpur bahawa naskhah ini akan dipentaskan oleh Pe.Ter. maka aku teruja. Kerana aku tahu Stor Teater DBP adalah medan keramat yang menghalalkan hampir apa jua bentuk dan ideologi (selagi tidak bercanggah dengan apa-apa yang tidak boleh dicanggahkan) dan aku sendiri menyimpan hasrat melakukan pementasan di situ. Maka inilah sedikit sebanyak komen dan kritikan aku yang naif dan daif seni ini. Aku tiada ijazah di dalam teater. Cuma minat yang tebal.
Bila Penggerak Teater (Pe.Ter) yang menggerakkan teater ini, aku rasakan pasti ada kelainan. Kerana mereka adalah pelajar-pelajar Aswara dan pengkhususan mereka adalah teater. Dan telahan aku tepat. Memang banyak kelainan yang dipaparkan. Ilmu yang mereka perolehi tidak disia-siakan. Tiada masalah asas teater seperti blocking, leveling dan sebagainya. Dan untuk makluman kalian, ini memerlukan kerja pengarahan yang kuat kerana sebagai individu yang tidak terlatih untuk menulis skrip secara formal, skrip aku sememangnya sangat minimum dari segi arahan pentas, arahan teknikal dan arahan set. Kalau ada pun mungkin arahan pelakon yang sangat minimum seperti ketawa. Kerana pada aku, bila naskhah dah berada di tangan pengarah, maka hilanglah hak penulis untuk mengawal pengarah itu. Kalau dikawal pun, dari segi intipati cerita dan mungkin plot. Pendek kata, dari satu segi ini, Yusmar telah menjalankan kerja pengarahan dengan baik.
Juga pengarah telah melakukan sedikit penambahan watak dan babak iaitu di permulaan dan pengakhiran cerita ini. Watak sahabat ahli politik yang juga merupakan protege psikopat merupakan idea pengarah sendiri yang aku lihat menjelaskan lagi maksud cerita ini dari sisi yang berbeza.
Cuma sedikit anamoli kalau mengikut pandangan aku yang naif dan daif seni ini adalah dari segi kekuatan lakonan. Aku melihat kekuatan cuma terletak pada watak ahli politik. Tetapi adakalanya juga aku nampak beliau seperti hampir melebih bayang (bolehkah menggantikan overshadow?) pelakon lain. Watak penyelia kilang dan artis agak tenggelam, dan cuma sesekali timbul macam kayu balak di Sungai Missisipi; keras dan nyata. Watak ahli perniagaan melontarkan barannya dengan cara yang tipikal dan arkitek bak rama-rama yang mengipaskan sayapnya mengakibatkan Butterfly Effect. Mungkin latar yang bernahu realisme menyebabkan aku mendambakan watak dan perwatakan yang realisme, yang pada aku, agak tergelincir dari landasan. Tapi sebagai seorang pengarah, aku sendiri menyedari hakikat kita tidak akan dapat 100% apa yang kita mahukan, maka pada aku, anamoli itu biasa. Itu pada aku. Pada orang lain, entah......
Aku sebagai penulis skrip, sebenarnya menghasilkan watak-watak ni sebagai metafora kepada negara kita, dan pada masa yang sama sebenarnya aku memilih watak berdasarkan peranan yang ada di dalam komunikasi kumpulan kecil (small group communication). Oleh kerana itulah peranan watak tidak seimbang dan menyukarkan pelakon malahan pengarah sendiri, sehinggakan sesetengah watak boleh tenggelam. Terpulanglah pada pengarah untuk mengekalkan aura sesetengah watak itu agar kekal kelihatan di mata audien.
Dan satu lagi anamoli yang aku rasa, mengikut pendapat aku yang naif dan daif seni ini, adalah pemilihan baju putih (pagoda?) pada keseluruhan babak ke 2. Mungkin ada signifikannya semua pelakon mengenakan baju putih (baju yang dipakai di dalam), atau mungkin juga pengarah cuma mahu memprojekkan kesan darah ke atas baju. Kalau ada signifikannya, maka masanya untuk aku mencari.
Watak psikopat pula, pada aku agak kemek. Bukan kerana pelakon itu, tapi atas sebab pengarahan. Tapi aku tak mahu lanjutkan perihal ini kerana aku merasa tidak adil untuk memberi komen dari segi perkara ini kerana aku lebih suka bentuk pengarahan yang berbeza. Komen aku lebih bersifat umum dan hipotetikal, bukan teritorial.
Aku juga mencadangkan kepada Pe.Ter., sekiranya ada produksi lain selepas ini, agar menyediakan sedikit pamplet untuk maklumat audien yang hadir. Tidak perlu buku cenderamata yang mahal atau brosur yang tebal, cukuplah sekadar kertas A4 yang difotokopi. Isikan maklumat pementasan seperti sinopsis, nama pelakon, watak, produksi (jika muat) dan sedikit info mengenai kumpulan (agar udien boleh mengikuti kumpulan ini dan menghubungi mereka jika perlu).
Selain daripada itu, aku merasakan Pe.Ter. telah melakukan kerja yang baik. Aku berkata begini bukan kerana mereka mementaskan karya aku, tetapi kerana aku melihat dari kaca mata insan yang menggilakan teater tetapi buta teater. Teruskan Pe.Ter., teruskan berkarya dengan apa naskah sekali pun.
Naskhah yang sama juga akan di pentaskan di UPM oleh pelajar-pelajar kolej di sana sempena Festival Teater Antara Kolej (sila betulkan jika saya salah info) bersama satu lagi karya lama iaitu Devian Dogma mulai 23 - 30 Mac 2012. Tarikh tepat bagi tiap pementasan betul dipastikan.
Inilah saja pendapat aku yang naif dan daif seni ini. Apa kata kalian?
9 comments:
tak dapat berkata apa-apa sebab tidak berkesempatan menonton. Apa pun adalah satu penghormatan apabila penulis meluangkan masa datang menonton dan malah menyumbangkan pula pandangan sebagai tanda sokongan.
Dan saya pun happy sebab muncul terus angkatan anak-anak muda yang berkarya dan menumpahkan seluruh ilmu mereka. Tahniah.
Lenny
Yang tadi tu dah dikira berkata-kata juga. Penulis picisan saja, menumpang di arena teater yang luas.
Tahniah!
Mohon dikemaskini tarikh pementasan di UPM. Kalau berkelapangan, insya-Allah akan cuba menonton pementasan tersebut. :)
Akirasuri
Akan dikemaskini setelah mendapat info dari rakan di UPM.
saya suka akan teater ini. Cuma pementasan kali ini tidak sempat untuk bertandang.
Raja Azrul
Antara grup lain akan buat pula di UPM. Jemputlah.
sy pulak rasa bangga naskah ni dipentaskan oleh group lain..syabas en usop!!!sy suka karya anda..hehe :)
saya...saya...saya...tak tau pun tuan penulis mai KL tengok cerita ni. kuang jaq!! haha
saya nak komen habit tuan yang suka ulang frassa 'saya yang naif dan daif seni' dalam ulasan tuan. it's a constant repetition and in theater kalau dah duk repeat benda sama, boring boleh jadi meluat haha ulas sajalah, kita penonton dan pengkritik, kita ada hak. Melayu sopan sungguh hang ni.
anyway, aku terlepas dua2 pementasan, thanks hehe
Nyda
Thank you.
Art
Aku mai bukan mai saja, aku interview sekali. Tu pun rushing.
Holah holah, aku tak sebut dah disclaimer tu. Ha ha ha.
Post a Comment