“The theatre is the only institution in the world which has been dying for four thousand years and has never succumbed. It requires tough and devoted people to keep it alive.” -John Steinbeck
14 March 2012
Ulasan Yang Terpulas - Jebat oleh VOICE AUCMS
VOICE AUCMS (Vigour of Immensely Connected Emotions Allianz University College of Medical Sciences) adalah merupakan nama besar di dalam persada teater di Pulau Pinang. Bermula dengan Mencari Juita, Kerusi dan Muzikal Mahsuri, mereka tidak pernah gagal mementaskan sekurang-kurangnya satu pementasan setiap tahun. Malahan Mencari Juita telah berjaya menobatkan pelakon wanita utamanya sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Teater Pulau Pinang 2009.
Terbaru, pada 11 & 12 Mac 2012, bertempat di AUCMS sendiri di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, mereka telah mementaskan Jebat, antara karya cult Hatta Azad Khan. Jebat ini telah dipentaskan beribu kali oleh pelbagai pihak, telah diberikan interpretasi yang pelbagai dan diangkat dalam pelbagai isme. Sememangnya tidak mudah mencerna maksud yang ingin disampaikan oleh Hatta Azad Khan di dalam Jebat ini. Kalau silap gaya, parah jadinya. Kerana naskhah ini kelihatan seperi keanak-anakan dan bermain-main sahaja. Tapi mungkinkah itu subteks yang ingin diketengahkan oleh penulis?
Aku bukanlah orang yang mempunyai ijazah di dalam bidang teater, aku cuma insan yang naif dan daif seni. Aku tidak tahu teori-teori performativity, atau apa-apa falsafah yang diutarakan oleh Brook, Grotowski, Stanilavsky, Brecht mahupun Boal. Aku cuma penggila teater yang tegar tetapi miskin ilmu. Jadi harap kalian maafkanlah aku sekiranya komentar dan kritikan aku ini kelihatan seperti tidak sewajarnya. Kiranya ada pembetulan dan teguran, aku alu-alukan.
Pujian yang pertama kepada VOICE, ialah kesemua pelakonnya boleh berlakon. Dalam erti kata yang lain, mereka mampu mencuit dan menghiburkan audien. Tetapi berlakon bukan sekadar berlakon untuk diri sendiri. Berlakon juga untuk rakan lakon, berlakon juga untuk ruang, berlakon juga untuk audien dan berlakon juga untuk nashkah. Aku melihat hampir kesemua pelakon (kecuali beberapa watak) yang gigih menonjolkan diri agar disukai oleh penonton, agar penonton ketawa. Malahan hampir kesemua watak-watak dibina agar ekstra gedik agar ada respon dari penonton. Tapi kalau itu kehendak pengarah, maka itu persoalan ini jatuh ke tangan pengarah pula. Apakah sememangnya watak-watak itu dibangunkan sebegitu dan kenapa tujuannya? Aku tiada interpretasi sendiri kerana pemahaman aku terhadap teks berbeza. Ingin aku tegaskan di sini, aku tidak bermaksud para pelakon Jebat tidak boleh berlakon. Mereka boleh berlakon, cuma watak-watak seperti tidak ada warna yang secukupnya.
Pementasan ini memilih ruang pejabat sebagai latar hias. Ini juga suatu cabaran bagi aku untuk memahami dan mencari kesatuan daripada penanda (signifier) dan petanda (signified) (de Saussure, 1913). Apakah set pentas ini signifikan kepada gejolak dunia korporat yang mengamalkan hostile takeovers, poison pills atau mungkin whistle blowers? Atau apakah ia signifikan kepada pejabat kerajaan? Segalanya mungkin. Namun akibat kesatuan yang berkecamuk, maka aku masih mengambil masa untuk mencernakan maksud disebaliknya. Atau mungkin pengarah cuma memilih ruang pejabat kerana itu yang paling menjimatkan dan memudahkan untuk di siapkan?
Pada aku, pengarah mempunyai idea untuk menentukan arah pementasan ini. Setidak-tidaknya tidaklah ditiru dan diterjemahkan bulat-bulat dari teks itu. Jika tidak, pastinya ia akan menjadi seperti sebuah purbawara komedi. Sekurang-kurangnya pementasan oleh VOICE ini berjaya juga mencuit hati audien, dan audien tidak pulang dengan rasa tidak puas hati kerana membayar RM 5.00. Tetapi sayangnya kerana pada aku, teater bukan semata-mata memenuhi kehendak audien dan penerbit semata-mata. Adalah menjadi tanggungjawab pengarah dan produksi membawa wadah yang ingin disampaikan oleh penulis naskhah kepada audien, dalam bentuk yang paling boleh difahami. Biarpun pastinya setiap pengarah mempunyai interpretasi sendiri, maka intepretasi itulah yang harus ditonjolkan kepada audien, selain sisi hiburan agar tidak meresahkan audien. Sesungguhnya memang diakui bahawa audien yang datang punya selera yang berbeza dan adalah mustahil memuaskan hati semua audien. Tetapi semoleknya janganlah kita menyuapkan hiburan semata-mata, kerana cukuplah sesetengah rancangan televisyen dan sesetengah tayangan filem berbuat begitu. Kita cuba sebaik mungkin agar tidak merendahkan intelektual audien yang hadir. Ini sekadar pendapat peribadi aku yang naif dan daif seni.
Tetapi biar apa jua pendapat aku, yang paling penting adalah kalian buat! Dan VOICE telah membuktikan mereka telah buat. Di dalam ketandusan pementasan teater di Pulau Pinang, mereka setia muncul mementaskan sesuatu, dan pada aku itu adalah satu usaha yang terpuji. Tidak mudah mementaskan teater kerana ia bukan kerja seorang, tapi kerja berkumpulan. Dan kerjanya sangat melelahkan, malahan akan memberikan tekanan jika tidak ditangani dengan betul.
Tahniah sekali lagi buat VOICE. Teruskan usaha kalian, aku akan sentiasa menyokong. Aku menunggu Mambo Horse pula Jun nanti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Steady ucop, majulah Teater Pulau Pinang
Terima Kasih En Yusop menyokong adik-adik saya..sentiasa terus memperjuangkan seni walaupun bukan purely dari bidang seni.
Anony
Steady Anony!
Linda
Terima kasih kerana terus berteater.
wah, mambo horse! kena panggil roslee mansor ni
oh, satu lagi...Penang ketandusan pementasan teater?? bukan ke pada tahun 2004 & 2005 kita ada 20++ kumpulan yang bertanding?
itulah, hampa kutuk kak ani, kan dia dah merajuk #eh
Art
Roslee dah tau kot.
Ketandusan tahun-tahun selepas tu. Mana ada sangat.
Tahun ni tiba2 rancak gila-gila. Macam tsunami teater pulak.
Post a Comment