28 August 2009

Nira Nipah Asli

Siapa yang tak pernah minum nira nipah? Airnya manis berkali-kali (bukan manis sekali). Mudah ditemui di Kedah dan Perlis. Sepanjang lebuhraya persekutuan ataupun jalan lama ke Kedah dan Perlis boleh jumpa air nira nipah. Kalau di Kelantan dipanggil air tuak. Tapi di sebelah sana biasanya air tuak kelapa.

Biasanya nira nipah ni dibekukan oleh penjual. Mungkin untuk membuat ia tahan lama. Rasanya masam manis khayal. Bagus untuk menyejukkan badan. Aku paling suka kalau dapat nira nipah yang belum dibekukan, maksudnya masih dalam bentuk cecair.

Seperti yang aku katakan, sepanjang jalan ke Kedah dan Perlis, kalian boleh menemui orang menjual nira nipah ni. Dan rata-rata meletakkan papan tanda 'Nira Nipah Asli'. Sampai sekarang aku tak pasti apakah ada nira nipah tidak asli?

24 August 2009

Puasa Waktu Kecil

Bila dah tua-tua ni, teringatlah waktu berbuka puasa waktu kecik-kecik dulu.

Waktu yang paling kritikal bila dah lagi sejam nak masuk waktu berbuka. Waktu itulah macam-macam bau menusuk ke rongga hidung. Bau ikan bakar, bau kuah laksa, bau mee kari, bau nasi ulam, dan segala macam bau. Tergugat iman budak-budak aku sekejap waktu tu.

Sekarang ni, bila petang dah tak ada semua tu. Masing-masing sibuk, jadi lauknya hasil pasar Ramadhan lah. Jadi bila terbau ikan bakar, nasi ulam, maka segeralah aku teringatkan zaman kecik-kecik dulu.

18 August 2009

Ulasan Yang Terpulas - Projek KoKen Vol. 2

Pementasannya 11-16 Ogos 2009. Pementasan matinee cuma ada pada 15 & 16 Ogos 2009. Itu saja ruang yang dapat aku booking bersesuaian dengan kelapangan aku. Kerana kata Faisal Mustaffa masa lain dah habis ditempah. Lepas tengok show, Namron meluahkan perasaan kesalnya pada orang yang booking tapi batal minit terakhir. Booking dengan air liur, itulah masalahnya.

Rebiu aku, dua buah cerita yang menjentik semangat perjuangan dalam diri aku. Tak kiralah perjuangan itu kiri atau kanan. Legasi sebuah cerita yang menarik. Tapi bergerak agak perlahan. Macam air sungai mengalir lesu. Sebelum tiba-tiba mengalir deras di jeram. Lakonan watak-watak utama itu baik, tapi bagi tahap KoKen, aku meletakkan lakonan mereka di bawah par. Namun tetapi lebih baik bagi kebanyakan teater lain yang aku pernah tonton. Bukan apa. KoKen Vol. 1 telah meletakkan satu kayu ukur yang cukup tinggi bagi sebuah lakonan dan juga isi pementasan, maka aku hadir ke KoKen Vol 2 dengan harapan yang sama.

Chong (nama dia susah nak sebut walau katanya dia budak Gelugor), memilih mengangkat isu perjuangan (sekadar aku yang naif dan daif seni ni nampak). Perjuangan demi kebenaran, atau perjuangan yang diiktiraf. Serta orang muda yang buta perjuangan. Ya. Orang muda terutama yang berpendidikan tinggi, cuma melihat perjuangan sebagai sebuah kajian, dan selepas itu diangkat sebagai bijak pandai negara. Itulah yang aku nampak. Subteksnya, nanti aku fikirkan. Kalau ada.

Tapi bagusnya, kerana periodnya itu terasa. Terasa benar seolah aku berada di era UPSI masih SITC. Penataan cahaya membangkitkan mood serta penataan busana dan rias turut membantu dengan baik. Menarik.

Naturalisasi pula karya Namron, arahan Fared Ayam (ya, jejaka yang suka buka baju), seperti biasa membawa trade mark Namron; gelap, darah, seks. Cuma kali ini tiada darah, cuma gelap dan seks. Aku lebih suka yang ini, bukan kerana elemen seks, tetapi kerana lakonan yang lebih meyakinkan. Rasa pada lakonan itu ada. Mungkin juga watak mereka lebih mudah kerana berlatarbelakangkan zaman sekarang berbanding Legasi. Tapi pokok pangkalnya, rasa itu ada.

Apa-apa pun, berbaloi menonton KoKen Vol 2. Cuma seperti biasa RAT kedekut nak fotostat brosur untuk audiennya. Tiket pun main cop kat tangan saja, macam nak clubbing pulak. Semua benda yang ada di atas meja di depan pintu masuk, semuanya untuk dijual. Betul-betul korporatlah kau orang semua ni. Tapi tak apa, buat lagi, aku tetap akan datang lagi. Aku bukan jenis booking tapi tak datang. Dan lain kali iklankanlah awal-awal apa yg dijual, baru aku bawak duit banyak sikit.

11 August 2009

Telur Ikan Tembakul

Betulkan kalau aku salah.

Mengikut legenda Batu Belah Batu Bertangkup, Mak Tanjung merajuk kepada anaknya Melor dan Pekan, kerana Pekan dengan suka-suka hatinya memakan panggu telur ikan tembakul yang sepatutnya di simpan kepadanya. Lalu Mak Tanjung merelakan dirinya ditelan batu belah batu bertangkup.

Ini bukan isu batu belah batu bertangkup.

Siapa di sini yang tahu apa itu ikan tembakul? Kalau mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ikan tembakul merupakan ikan belacak.

Persoalannya, bagaimanakah rupa fizikal telur ikan belacak.

Dan persoalan kedua, bukankah di dalam legenda ini, ikan tembakul merupakan ikan darat atau ikan sungai?

Musykil.

Persoalan ini timbul bila aku bersembang dengan Prof. Madya Dr. Samat Salleh.

07 August 2009

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 - Cerita 4 Peringkat

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 yang dipentaskan pada festival tempoh hari, dilihat dari kaca mata yang berbeza, oleh penonton pelbagai peringkat usia, ilmu dan mentaliti. Itu pun tidak ramai yang menonton dek air bah yang melanda. Banjir naik sejurus sebelum cerita bermula dan tamat beberapa ketika selepas cerita berakhir.

Aku meletakkan cerita ini pada empat peringkat.

Peringkat pertama, yang ditonton dan dibaca pada lapisan luar oleh sesetengah audien. Aku biarkan audien membaca paparan cerita ini sebagai sebuah cerita yang memaparkan sifat manusia yang mementingkan diri sendiri, terutama pada waktu yang teramat mendesak. Pada ketika ini, apa saja boleh terjadi. Maka yang mereka lihat adalah watak dan perwatakan, serta kaitan antara watak itu dengan diri mereka. Sangat penting bagi aku menerbitkan rasa ini, agar mereka akan terfikir, adakah aku manusia seperti itu. Dan lebih baik jika sampai ke tahap mereka meletakkan diri mereka dalam situasi itu, dan berfikir apa yang akan mereka lakukan.

Peringkat kedua, bila lapisannya dikupas oleh sesetengah audien lain dan melihat kepada metafora yang dilampiaskan di dalam cerita ini. Metafora ini tidak semestinya terhad kepada keadaan semasa sahaja, kerana sebenarnya ia relevan dalam dunia kita yang kucar-kacir ini. Dalam kes cerita ini, sememangnya aku mengaitkan situasi sosial dan politik semasa ke dalam cerita ini. Ini adalah lumrah dalam mana-mana penulisan, tidak kira ianya skrip teater, novel, puisi atau sebagainya. Cuma mungkin dalam teater, ada sesetengah penulis melindungkannya dengan pelbagai perlambangan. Tidak terkecuali aku dan hampir kesemua naskhah teater yang aku tulis. Jadi dalam cerita ini, aku meletakkan pelbagai lapisan masyarakat, daripada pemerintah, borjuis, marhaen, artisan, artistokrat, kepada ekstremis. Di dalam sebuah strata sosio-politik yang pelbagai ini, apa saja sanggup dilakukan demi mencapai sesuatu, terutama dalam keadaan yang mendesak.

Peringkat ketiga, ialah intipati penulisan ini. Ada sesetengah audien, yang pada pendapat aku tidak ramai, yang melihat sedalam-dalamnya intipati penulisan cerita ini dan pementasannya di atas pentas. Sebenarnya, intipati ini terletak pada mata pandang audien itu, bukannya pada penulis atau pengarah teater. Tetapi pastinya kerja pengarah adalah untuk menjelaskan seboleh-bolehnya intipati cerita itu biarpun secara terlindung. Dalam cerita ini, intipati sebenarnya adalah kisah pengorbanan. Berkorban atau mengorbankan. Dan intipati itu aku bawa ke dalam kehidupan, sama ada dalam produksi ini mahupun ke dalam kehidupan audien yang menonton dan menilai. Sejauh mana pengorbanan yang kita sanggup lakukan untuk mencapai sesuatu, dan sejauh mana kita sanggup mengorbankan orang atau sesuatu untuk mencapai sesuatu.

Dan peringkat yang keempat, adalah nawaitu tunggal aku membikin semua skrip teater dan juga mementaskannnya. Iaitu berfikir. Aku suka kalau kita jadi masyarakat yang berfikir. Aku mahu jadi sebahagian daripada usaha untuk melahirkan masyarakat pemikir. Pemikir dalam erti kata masyarakat yang mampu membuat penilaian yang kritikal terhadap sekecil-kecil perkara, sehingga ke sebesar-besar isu. Bukannya sekadar telus menelan dan menghadam apa yang dilonggokkan depan mata. Masyarakat kita akan menjadi lesu dan tepu jika malas berfikir.

Nah, inilah dia yang aku palitkan di pentas sebagai penulis dan pengarah. Sekarang terpulang kepada audiennya. Sebab itu aku selalu berpesan, lihatlah dari mata burung, bukan dari dalam tempurung.