19 May 2010

Cerita Lembu

Lembu punya susu, sapi dapat nama.

Tak apalah, satu spesis jugak.

Tapi kalau babi yang dapat nama? Macam mana?

17 May 2010

Litar Lumba Motor Untuk Mat Rempit?

Entri ini tidak berbau politik langsung. Cuma aku memberi komentar dari segi pandangan manusia biasa yang cuba menyelami sosio budaya mat rempit. Dan aku juga tidak merujuk mat rempit itu kepada semua mat rempit atau mereka yang membawa motosikal dengan laju. Aku tidak tahu sejauh mana kebenaran berita ini kerana AFP melaporkan Kelantan akan membina litar lumba motor untuk membawa mat rempit di sana berlumba di litar. Tapi kiranya benar, apakah akan berjaya rancangan itu? Aku agak skeptikal, kerana modus operandi yang sama pernah dilakukan di Litar Batu Dua Shah Alam, yang kini aku tidak tahu sejauh mana kejayaannya.

Aku bukan mat rempit, jadi aku tidak boleh menyelami hati dan jiwa mat rempit. Persoalan kenapa mereka merempit (kini samseng jalanan), masih tidak dapat dijawab kecuali oleh mereka sendiri.

Pemerhatian aku, mahukah mereka merempit di sebuah litar yang mungkin jauh dari kawasan yang selesa bagi mereka? Di pekan-pekan, di situlah titik panasnya; mudah untuk mereka tiba dari kawasan rumah mereka dan juga mudah untuk mereka melarikan diri kalau ada operasi.

Dan mana thrillnya berlumba kapcai (kapcai pun dah cecah 135cc) di sebuah litar. Tak boleh nak selit-selit antara kereta. Awek-awek pun tak boleh nak ushar (tengok). Kalau di litar, agak susahlah awek-awek ini nak berkumpul kerana pastinya lokasi litar itu akan dipantau oleh pelbagai pihak berkuasa.

Merempit bukan sekadar berlumba. Kerana merempit adalah dunia mereka. Di situlah ada penyalahgunaan dadah, judi, arak, seks dan sebagainya (aku tidak merujuk kepada semua mat rempit). Sekiranya dilitarkan, maka yang wujud cuma lumba, dan tidak lengkaplah dunia itu. Berapa kerat sangat yang betul-betul berjiwa kental untuk berlumba? Kerana setiap perlumbaan pasti ada habuannya.

Ini pendapat aku. Pendapat kalian?

12 May 2010

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 - Proses Ketujuh

Sepertimana yang diketahui, tahun ini tidak ada festival teater Malaysia peringkat kebangsaan, yang ada cuma manifestasi teater. 6 kumpulan terbaik NGO/IPT telah dipilih daripada semua johan peringkat negeri. Jadi tidak adalah kumpulan yang dapat mendabik dada kerana menang festival teater dan diiktiraf terbaik diantara terbaik.

Aku tak kisahpun siapa yang baik atau tidak. Kerana setiap pementasan itu pasti ada yang kurang dan lebih. Tertakluk kepada penonton yang datang, mereka akan melihat naskhah yang dipentaskan dengan rasa yang berbeza. Cuma aku dan rakan-rakan akan cuba memuaskan hati semua audien yang datang dengan mempasemborkan cerita yang kami bawa. Datanglah siapa saja, dengan tahap pendidikan yang bagaimanapun, cerita ini akan dapat difahami mengikut lapis-lapis yang berbeza.

Jadi bagi persediaan yang seterusnya, sebelum persembahan di Panggung Bandaraya DBKL pada 16 & 17 Oktober 2010, maka aku akan memulakan latihan yang seterusnya. Kalian akan dapat melihat proses ini berterusan di sini, dan boleh memberi komen atau pendapat tentang apa saja.

Kali ini aku akan mulakan dengan pemantapan watak. Kekurangan paling utama adalah pada perkembangan watak. Bantulah aku yang naif dan daif seni ini.

10 May 2010

L & M

Kalau sebut L & M, semua orang tahu.

Tapi kalau sebut Blok L & M, berapa kerat yang tahu?

Demam Badminton Datang Lagi

Dulu, kalau di kampung, bila datang musim badminton, semua orang main badminton. Aku tidak terkecuali. Memandangkan aku masih dikira budak-budak waktu itu, maka aku dah kawan-kawan tidak dibenarkan bermain di gelanggang badminton bersimen dan berjaring. Maka kami akan pakat ramai-ramai pergi bermain di masjid lama. Kami buat garisan sendiri, malah raket sendiri dari kayu. Kami kumpul duit beli bulu ayam (shuttle cock) dan main sampai lunyai, barulah beli yang baru.

Bila arwah ayah tengok aku minat bermain, maka dia benarkan guna raket Dunlop yang dia selalu pakai. Raket tu memang klasik, kerana diperbuat dari kayu, dan setiap kali lepas main, perlu diregangkan kembali menggunakan frame yang disediakan. Tapi aku cemerkap, lepas mai aku tak regangkan balik, hingga kedua-dua raket itu meleding/melengkung dan rosak. Namun arwah ayah tetap tak marah aku. Terima kasih ayah! Sekarang aku rasa menyesal pulak merosakkan raket yang payah nak jumpa tu.

Bila raket tu rosak, maka mak dan ayah belikan aku raket Pro Kennex. Harganya RM 15. Itupun aku dah seronok sangat. Walaupun ada sesetengah kawan-kawan yang datang mempamerkan raket Yonex dan Carlton yang maha ringan (dibuat dari karbon apa entah) dan beratus-ratus harganya, namun aku tetap dengan raket itu, kerana itulah pemberian ibu bapa aku. Bila tali putus, maka aku akan kayuh basikal ke sebuah kem Cina dan minta dipasang balik tali raket itu.

Bila dah masuk sekolah menengah, maka kami pun dibenarkan bermain di gelanggang badminton yang sempurna. Ada garisan, ada jaring, atau pengadil. Tapi selalunya kami sempat main petang saja. Sebelah malam, giliran golongan belia pula, kerana malam lebih sejuk dan ada lampu. Aku bersekolah asrama, jadi jarang jugalah aku bermain di kampung. Dan di sekolah aku lebih jarang bermain kerana aku dah tukar profesion ke sukan lain pula.

Aku doakan tahun ini Pasukan Piala Thomas kita beroleh kejayaan. Kalau nak tewas pun, biarlah bermaruah.

06 May 2010

Sindo Sama Cinderella?

Dalam entri yang lepas aku memberikan rebiu yang ringkas tentang permainan mak yong yang dipentaskan oleh pelajar Aswara. Dan di dalam entri itu aku ada membangkitkan hal cerita mak yong ini yang mungkin merupakan cerita saduran Cinderella.

Maka aku pun berbuallah dengan Che Mat Jusuh, antara tokoh dan penggiat seni tradisional yang dihormati di Malaysia ini, tentang perihal ini. Beliau sendiri tidak pasti tentang perkara ini kerana sejak dari dulu lagi (sejak mula beliau menonton mak yong) iaitu pada tahun 1960an, sudah ada cerita ini, cuma ejaan Sindo itu agak berbeza. Dan beliau sendiri tidak pasti sama ada cerita ini adalah cerita saduran atau tidak. Yang pasti, cerita ini bukanlah terdiri dari 12 cerita asal/cerita pokok mak yong, tetapi merupakan cerita tempelan. Maka ada kemungkinan juga Sindo adalah cerita saduran Cinderella, dan mungkin juga hanya kebetulan saja.

Kerana cerita ala-ala Cinderella ini telah wujud sejak zaman Greek lagi dan ada bentuk cerita yang sama di kalangan masyarakat China dan juga Hikayat Seribu Satu Malam orang Arab. Cuma versi yang terkenal iaitu Labu dan Kasut Kaca (versi asal adalah kasut bulu, tetapi selepas tersilap terjemah ke Bahasa Inggeris, ia menjadi kasut kaca) oleh Charles Perrault, 1697, menyebabkan Cinderella dikenali di seluruh dunia.

Jadi perbezaan selama 300 tahun memungkinkan Cinderella disadur menjadi Sindo. Tetapi pada masa yang sama, mungkin juga orang yang membuat versi asal Sindo tidak pernah mendengar tentang Cinderella, tetapi cuma menggunakan imaginasi untuk menghasilkan cerita sebegini. Kerana cerita dongeng Melayu dahulu kebanyakannya juga berbentuk begini seperti Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup dan sebagainya.

Kalau kalian ada maklumat yang lebih lengkap dan tepat, harap dapatlah dikongsi di sini.