Showing posts with label Polemik. Show all posts
Showing posts with label Polemik. Show all posts

30 June 2015

Lemang Rebus Kemudian Bakar - Sebuah Analogi Budaya

Lama juga tak duduk bersembang bersama-sama teras keras teater (theatre hardcore). Baru-baru ini sempat bersama generasi teras keras yang tak baru dan tak lama iaitu Veera (Penang), Poklus (Perlis/Penang), Apit Jinggo (Penang), Ed Kota (Kedah) dan Ard Omar (Perak/KL). Perbincangan (atau persembangan) banyak berfokus kepada projek baru Persatuan Sekenet. Ya memang kami di sini mengamalkan kerjasama silang produksi, walaupun mungkin tak semua. Sambil berbincang, kami dijamu dengan lemang.

Ya lemang. 

Foto dari khairulorama.wordpress.com


Semua tahu lemang ialah pulut yang dimasak di dalam buluh, menggunakan api. Itu asas. Pulut yang dah dicuci, ditoskan. Santan kelapa dimasukkan ke dalam buluh hanya setelah pulut dimasukkan ke dalam buluh (yang tentunya telah dilapik dengan daun pisang). Tapi entah kenapa, sekarang ini sudah ada trend lemang yang direbus/kukus dahulu, kemudian barulah dibakar. Malahan ada sesetengahnya dibakar bukan dengan api dari kayu api, tetapi dapur gas atau lain-lain sumber haba. Menjadikan lemang itu tidak enak, malah rasanya seperti pulut bakar. Kita memahami jika ada kekangan tertentu seperti sukar mendapatkan buluh, kayu api dan sebagainya. Tetapi jika motif utamanya ialah keutungan, tidakkah jahanam pemahaman kita terhadap lemang. Jika trend ini berterusan, maka anak cucu dan generasi kita akan menerima pakai lemang rebus kemudian bakar sebagai lemang sejati.

Oleh itu di sini bermula analoginya.

Kita ambil contoh teater tradisi mek mulung. Mek mulung yang kita kenali (atau sebahagian dari kita kenali) mempunyai bentuknya yang tersendiri, dipersembahkan sebagai sebuah ritual perubatan dan diangkat oleh organisasi seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Petronas dan kumpulan Akrab sebagai sebuah persembahan yang berstruktur, dinamik dan dramatik. Ini satu usaha yang bagus. Ia seperti memberi nilai tambah kepada lemang dengan meletakkan jagung, kacang, pulut hitam atau lain-lain bahan yang sesuai dengan lemang.

Tetapi jika ada mana-mana pihak yang cuba mengambil jalan mudah dengan meringkaskan persembahan mek mulung dengan membuang ucap tetap atau memporak perandakan plot cerita, demi tuntutan komersilisme, apakah ia sesuatu yang wajar? Tidaklah saya menidakkan keperluan pembaharuan dalam teater tradisi, tetapi adalah penting kita mengenal pasti dahulu bentuk atau konvensi satu-satu teater tradisi, sebelum usaha-usaha pemodenan dijalankan atas nama artistik atau keuntungan. Kerana jika porak peranda ini berterusan, maka anak-anak dan waris kita akan menerima persembahan itu, sebagai mek mulung yang sejati.

Perkara ini telahpun terjadi dengan lagu boria Pulau Pinang oleh Hail Amir, di mana rangkap karangannya tidak mengikut struktur yang dipersetujui oleh semua pengamal boria (ini isu yang tidak akan dibincangkan di sini). Tapi, lagu berkenaan telah diterima oleh hampir seluruh rakyat Malaysia sebagai lagu boria yang sejati.

Mungkin ada yang akan berkata, 'apa yang nak buat teruk sangat, semua tu hiburan saja', 'takkan nak buat pembaharuan pun tak boleh, bila nak maju?', 'Ini seni, biarlah seni itu bebas dan subjektif'. Entahlah. Ini pendapat aku sebagai aktivis budaya. Meminjam analogi dari seorang sahabat, Marlenny Deen Erwan 'Meskipun dari keluarga pastri, Karipap bukan Samosa, dan Samosa bukan Karipap'. Kalau lemang rebus diterima sebagai lemang, jadi apa guna wujudnya ketupat pulut?

Pendapat kalian?

12 March 2015

Kapitalis Budaya

Tidak lama lagi, Marvel's Avenger : Age of Ultron akan ditayangkan. Salah satu watak utama di dalam Avengers ialah Thor, watak dari komik, yang juga dikutip dari mitos bangsa Norse atau Norway. Thor sendiri muncul dalam dua buah filem iaitu Thor dan Thor : The Dark World. Di dalam ke empat-empat filem ini, Thor digambarkan sebagai hero yang gagah kacak dan sempurna.

Thor dan Loki di dalam chariot

Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu, jika mengikut salah satu mitos berkaitan Thor, yang paling terkenal di negeri-negeri Scandinavia datang dari puisi Eddic, 'The Lay of Thrym'. Puisi ini menceritakan bagaimana Thor kehilangan senjata penukulnya ketika tidur, dicuri oleh Thrym, raja gergasi dari negeri Jotunheim. Loki, adik Thor pergi menyiasat dan Thrym mengakui beliau menyorokkan penukul itu di dalam tujuh lapis perut bumi, dan menuntut agar Freyja diserahkan kepada beliau untuk dijadikan isteri. Freyja ialah dewi  kesuburan penduduk Scandinavia.

Freyja Dewi Kesuburan

Dipendekkan cerita, Heimdall mencadangkan satu idea, iaitu supaya Thor mengenakan pakaian pengantin perempuan, dengan Loki sebagai pengapit, dan bertemu dengan Thrym untuk mengakalinya. Semasa majlis perkahwinan berlangsung, Thor sebagai pengantin memakan habis seekor lembu, lapan ekor ikan salmon dan tiga tong bir. Thrym sangsi, tetapi Loki segera mengatakan kerana terlalu gembira, pengantin perempuan lupa makan selama tujuh hari tujuh malam. Sebagai syarat perkahwinan, penukul Thor diminta diletakkan di paha pengantin perempuan. (Gaarder, 2006) Apabila penukul diletakkan di atas paha pengantin perempuan, kalian sendiri boleh bayangkan apa yang terjadi.

Thor dipakaikan pakaian menyerupai Freyja

Dan mungkin kalian boleh bayangkan juga, apakah mitos asal ini akan difilemkan oleh Hollywood, setidaknya atas dasar menghormati karya asal? Kalian boleh jawab sendiri persoalan ini. Inilah antara kerosakan yang dilakukan oleh kapitalis terhadap seni dan budaya. Mereka menjentik rasa ingin tahu dengan perkara yang paling dekat dengan diri kita, iaitu budaya. Dan rasa itu ditelanjangkan dengan kehendak komersil atas lesen kreatif.

Tidaklah aku menentang seratus-peratus lesen kreativiti ini, tetapi tanggungjawab sebagai pembikin seni adalah memastikan karya mereka itu mempunyai nilai yang sesuai dengan budaya pada masa sekarang, untuk masa depan. Kerana karya-karya mereka ini akan menjadi rakaman sejarah secara tidak langsung, yang menentukan aras peradaban manusia masa kini dan masa akan datang. Komen ini meluas, tidak hanya pada filem Hollywood, tapi juga pada medium seni budaya yang lain. Jangan kita jadi kapitalis budaya, kerana wang itu tidak kekal, budaya yang akan kekal. Itupun kalau tidak hilang ditelan arus zaman.

10 April 2012

Silaturahim Dengan Eko Santosa, Theater By Request Jogjakarta



Bapak Eko Santosa 




Bersama rakan-rakan Bakawalee Penang; Jinggo Apit & Veera

Jumaat lepas, Bapak Eko Santosa turun dari Jogjakarta untuk bertemu aku dan rakan-rakan yang lain dari Bakawalee Penang. Beliau merupakan pekerja teater dan mengendalikan Theatre By Request di sana. Maklumat lanjut boleh baca di sini dan di sini.

Pertemuan kami singkat saja. Dari 3.00 petang hingga 11.00 malam. Itu pun banyak masa dihabiskan dalam kereta kerana aku membawa beliau melawat USM, pasar malam Bumbong Lima dan menonton persembahan dramatari Satukan Aku Dalam Ilusimu oleh AUCMS. Dikesempatan itu, aku banyak berbual-bual mengenai apa yang beliau usahakan, senario teater di Pulau Pinang dan Malaysia amnya, senario teater di Jogjakarta dan Indonesia amnya, malahan ekonomi serta politik.

Bapak Eko sedang mempopularkan theatre games di Indonesia, yang hingga boleh diangkat sebagai satu pementasan. Uniknya kerana teaternya interaktif, beraksi dengan audien, dan audien boleh memilih pemain, cerita dan mengawal jalan cerita.

Tapi yang paling mengesankan aku bila kami berbicara tentang Stanilavsky. Kata beliau, The System yang dihasilkan oleh Stanilavsky yang ada di Asia ini sebenarnya tidak lengkap. Stanilavsky menghasilkan 3 jilid buku untuk dijadikan The System, tetapi yang sampai di Asia dan juga Amerika cuma jilid 1, iaitu yang menekankan method acting. Inilah yang diangkat oleh Lee Strasberg dan beberapa lagi anak murid Stanilavsky di Amerika Syarikat dan terhasillah method actors seperti Al Pacino, Marlon Brando, Robert De Niro, Denzel Washingto, Meryl Streep dan ramai lagi.

Namun, seorang lagi anak murid Stanilavsky tidak berpuas hati dengan cuma 1 jilid, maka Stella Adler pun ke Russia untuk menyambung kekurangan ilmu di Moscow Art Theater. Dan menurut beliau juga, kalau nak cari The System yang paling lengkap, carilah buku Michael Chekhov.

Terima kasih pak, moga ketemu lagi. Kita bertemu di alam maya dahulu ya.


08 February 2012

Pawn Stars, The Pickers dan King Of Restoration

Pawn Stars, The Pickers dan King Of Restoration.

Aku banyak kali juga menonton ketiga-tiga dokumentari ala realiti tivi ini di Saluran Sejarah (History Channel). Pawn Stars ada sebuah kedai pajak gadai di Las Vegas. Mereka kerap menerima kunjungan pelbagai manusia yang mahu membeli dan menjual barangan kepada mereka. Tapi plotnya tentulah kerap kepada yang menjual. Bila ada saja barang-barang yang menarik dijual, maka mereka akan bercerita serba sedikit tentang sejarah barang yang dijual. Daripada set periuk api latihan, mainan, keris, kereta, motosikal dan bermacam-macam lagi. Kalau mereka tidak pasti tentang keaslian dan harga barang yang dijual oleh pengunjung, maka mereka akan memanggil pakar-pakar untuk menilai barangan itu.

The Pickers pula dokumentari tentang dua orang pengutip barang-barang antik yang merantau keseluruh Amerika Syarikat bagi mendapatkan barang-barang antik seperti papan tanda, mainan, kain pemidang dan sebagainya. Dan setiap kali mereka mendapatkan sesuatu (biasanya barangan itu bukan dalam keadaan baik), mereka akan bercerita sedikit tentang sejarah barangan itu, kemudian tawar menawar dengan penjualnya. Biasanya barangan itu ditemui di gudang-gudang, terbiar begitu sahaja.

Manakala King Of Restoration pula, merupakan dokumentari dengan sebuah bengkel yang membaik pulih barangan lama menjadi hampir-hampir ke rupa bentuk asal, dengan sedaya upaya mengekalkan alat ganti asal. Barangan yang dibaik pulih termasuklah kereta golf, basikal roda tiga, papan tanda, peti minuman dan sebagainya. Sama juga seperti dua dokumentari di atas, bila mereka nak membaiki sesuatu peralatan itu, mereka akan bercakap sedikit tentang sejarahnya.

Dan istimewanya, ada 3 episod khas yang menggabungkan ketiga-tiga siri ini.

Aku bercakap tentang ketiga-tiga siri ini kerana aku tertarik dengan idea mereka untuk melihat sejarah dari kaca mata yang berbeza. Meskipun adakalanya beberapa adegan didalam dokumentari ini seperti dibuat-buat untuk meninggalkan kesan dramatik, namun aku tetap rasa ianya sesuatu yang menarik dan berlainan untuk ditonton.

Alangkah baiknya jika penerbitan dokumentari di Malaysia juga mengorak langkah ke arah ini. Bukan aku mengatakan dokumentari kita tidak bagus. Dokumentari kita juga bagus dan sudah bertaraf dunia, kerap diputarkan di National Geographic, Discovery Channel malahan History Channel. Tetapi sudah tiba masanya dokumentari ala realiti tivi ini turut menjadi pilihan stesen tivi kita. Masyarakat kita tidak kurang uniknya. Tidak perlu meniru mereka, asalkan ada idea baru untuk mengenengahkan sejarah dan budaya masyarakat kita. Contohnya dokumentari meneroka pasar barang lama seperti di Lorong Kulit, Pulau Pinang atau di mana-mana saja di Malaysia yang mempunyai pasar sebegini. Ini boleh jadi ruang untuk memperkenalkan kembali sejarah kita dalam bentuk yang lebih menyeronokkan. Sekadar cadangan.

Pendek kata, kita tidak boleh terlalu stereotaip, dan tidak pula perlu terlalu meniru. Cuma perlu kreatif, inovatif dan berfikir di luar kotak.

23 January 2012

Kejut Jaga

Kita orang Melayu (baca:Bumiputera, Melayu kahwin campur, Jawi Peranakan dan lain-lain lagi) kerap dimomokkan dengan sifat kita yang lemah lembut, termasuklah kepada anak murid, anak buah malahan anak kita. Kita menegur secara lembut dan penuh teladan, hinggakan adakalanya mereka terus leka dan alpa.

Tapi jika kita mengkaji Mak Yong dan Mek Mulung, kita akan dapati Pak Yong dan Raja Muda akan sentiasa mengejutkan awang pengasuhnya untuk melaksanakan tugas-tugas negara (tugas peribadi raja?), hingga adakalanya terpaksa ditibai manja dengan rotan oleh raja untuk menyedarkan mereka.

Semiotiknya, mungkin adakalanya anak murid, anak buah dan anak kita harus dikejutkan dari lena dengan kaedah yang kita kenalpasti sendiri, agar mereka tidak terus terlena. Sejak beratus tahun dahulu kita telah didedahkan dengan kaedah ini, cuma kerap kali kita lebih suka ketawa melihat awang pengasuh ini ditibai oleh raja mereka.

04 July 2011

Ulasan Yang Terpulas - Bangsawan (??) Opera Primadona

Aku menonton pementasan ini selama dua malam. 1 & 2 Julai 2011 di Taman Budaya Negeri Kedah. Aku sebagai insan yang naif dan daif seni ini, tak tahu bagaimana nak mulakan ulasan ini. Sama ada sebagai pementasan bangsawan atau pementasan teater; ya inilah polemik paling hip dalam entri ini. Maka inilah ulasan aku yang tiada ilmu teater secara rasmi dari mana-mana IPT. Harap terima dengan hari terbuka.


Pre Show lagu 'Awan Nano' yang melegakan.

Agaknya kerana bangsawan belum diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Intangible Heritage, maka belum ada kata putus mengenai elemen dan struktur yang harus ada di dalam mana-mana persembahan bangsawan. Agaknya kerana itulah KUBAS dengan beraninya mengisytiharkan pementasan ini sebagai bangsawan, dengan mengambil hanya beberapa elemen dan struktur bangsawan seperti mahkota alam/kota bam, sebeng/sidewing dan lagu penutup bangsawan. Di dalam Facebook, KUBAS "berkata nantikan perubahan besar persembahan Bangsawan 'Opera Primadona', satu bentuk persembahan yang menggunakan konsep kontemporari namun masih mengikut struktur persembahan bangsawan dan diterapkan elemen-elemen bangsawan oleh anak-anak teater Kedah dari KUBAS." 


Watak Tokey Panggung

Aku secara peribadi, agak sukar menerima hakikat ini, terutama bila Opera Primadona dipersembahkan untuk program Semarak Bangsawan di Kuala Lumpur. Program Semarak Bangsawan adalah satu program yang dibentuk oleh kementerian untuk memartabatkan bangsawan, maka seharusnya bangsawan dipersembahkan secara autentik kepada audien. Walaupun mungkin tiada garis panduan khas berkenaan elemen dan struktur bangsawan, tetapi empat perkara ini adalah nyawa kepada persembahan bangsawan.

Pertama bentuk penceritaan; kalau mengikut Pak Alias, Orang Muda bangsawan di Pulau Pinang, dan dipetik oleh Morad Ibrahim, cerita dalam bangsawan terbahagi kepada 7 jenis iaitu cerita syair Melayu seperti Selendang Delima dan Indra Bangsawan, cerita sejarah seperti Mahsuri, Tengku Sulung Mati Digantung, cerita Cina seperti Sampek Eng Tai, cerita Arab seperti Laila Majnun dan Sinbad, cerita Jawa seperti Raden Mas dan Panji Semirang, cerita Hindustan seperti Cinta Mani dan cerita fantasi seperti Jula Juli Bintang Tiga dan Bakawali. Biarpun zaman dah berubah, namun olahan cerita bangsawan itu perlulah mengikut nahu tujuh bentuk cerita di atas agar nilai auntentiknya dikekalkan.

Opera Primadona membawakan kisah nasib primadona bangsawan di Indonesia, lebih mendekati kepada tonil di Indonesia atau sandiwara di Malaysia. Sekadar menggunakan Mahkota Alam, Sebeng dan Lagu penutup tidak mem'bangsawan'kan persembahan itu.


Adegan pengenalan, kemeriahan produksi bangsawan itu.

Aku tidak pernah mengikuti produksi Rahman B. Tapi aku pernah mengikuti produksi Morad Ibrahim, Baharoodin Ahmad (Cikgu Baha) dan Dr. Samat Salleh. Meskipun ketiga-tiga mereka ada kelainan yang tersendiri, namun satu perkara yang aku dilihat dan mungkin boleh aku anggap sebagai consensus ialah penggunaan mahkota alam, sebeng, tirai latar, dan yang paling utama ialah extra turn. Inilah ciri-ciri utama yang menjadikan sesuatu persembahan itu bangsawan. Kita tahu fungsi extra turn adalah supaya kru pentas dapat mengambil masa melakukan perubahan set dan tirai latar di belakang pentas. Dan pastinya ada yang berkata, sekiranya kami dapat menjimatkan masa perubahan set itu, maka apa perlunya diadakan extra turn? Tetapi Dr. Samat Salleh berpendapat, meskipun kita dapat melakukan perubahan set sekelip mata, sekurang-kurangnya haruslah diadakan juga 1 atau 2 extra turn sebagai syarat itu adalah pementasan bangsawan. Jika tidak, di mana nilai bangsawannya? 

Itu tidak lagi termasuk perincian elemen lain seperti bernasib, tasmat, kiok bangsawan (lenggok bahasa bangsawan), improvisasi beberapa lagi. Semua ini akan membezakan bangsawan dengan persembahan sandiwara, purbawara dan juga teater moden lain. Sekiranya semua ini diabaikan, maka di manakah bangsawannya?


Adegan seterusnya, set mudah alih, tanpa tirai latar.

Aku bukanlah anti KUBAS atau anti persembahan kontemporari. Aku sangat menyokong dan menggemari pementasan kontemporari kerana kerap membawakan nafas segar. Namun bagi aku, kali ini KUBAS berada di platform yang salah untuk bereksperimen. Dan aku tidak juga menyalahkan KUBAS 100% kerana setahu aku, skrip ini diluluskan sendiri oleh pihak kementerian. Jadinya? Siapa yang patut disoal?


Watak Miss Kecubung (primadona tua) bersama suaminya (tauke bangsawan)

Namun sebagai sebuah pementasan teater, aku mengakui pementasan ini adalah sebuah pementasan yang bagus. Agak lama tidak dapat menonton produksi yang membawakan sebuah teater yang sebegini, pengarahannya segar (setidaknya bagi wilayah Utara), lakonan yang baik (bagi sesetengah watak) dan sinografi yang baik. Tidak sempurna, namun tetap bagus.  Cuma beberapa perkara yang mungkin dapat aku yang baru bertatih ini untuk suarakan.


Pentas bangsawan, Primadona sedang beraksi dengan watak Jin (kalau tak salah aku)

Pemilihan mengekalkan keaslian bahasa Indonesia adalah satu langkah yang baik kerana secara tidak langsug rasa Indonesia Raya itu meresap ke audien, dibantu pula dengan kostum yang baik. Namun, menjadi agak kurangnya kerana kerap kali audien, terutama yang berada jauh di tempat duduk belakang, tidak dapat mendengar dengan jelas lontara suara pelakon, ditambah lagi ketidak fahaman bahasa Indonesia, menyebabkan audien terpakasa meneka apa yang berlaku di setiap adegan. Cuma beberapa watak yang menonjol dengan lontaran suara yang jelas seperi Miss Kecubung, Miss Kejora dan Pedro (betulkah?), pun begitu, ada beberapa patah dialog yang tidak dapat difahami. Mungkin itu cuma masalah aku yang buta bahasa Indonesia.


Adegan di kamar tidur.

Lakonan masing-masing juga bagus. Cuma rasanya boleh dipertingkatkan lagi, kerana ada watak seperti sekadar dibawa masuk kerana mereka itu orang lama. Watak yang cemerlang adalah Miss Kecubung dan Pedro, kerana perwatakan mereka membantu mengangkat keseluruhan cerita. Terutama Miss Kecubung yang didokong oleh Zulin Aziz sememangnya memberikan tenaga kepada keseluruhan pementasan ini.


Watak pelabur-pelabur miang yang cuba menggoda Miss Kejora, primadona baru.

Namun perkara yang sangat perlu diambil perhatian (dan telah diambil perhatian oleh pengarah) iaitu permasalahan kostum. Kostum kebaya bersama batik lepas sangat asli dan meyakinkan, namun tanpa kawalan yang baik, akan merosakkan pementasan seperti yang terjadi di malam pertama. Beberapa kali batik lepas itu terselak dan mengakibatkan audien rasa terganggu (dalam apa jua bentuk sekalipun), sehinggakan audien tidak dapat menumpukan kepada lakonan. Hari kedua, walau masih berlaku, namun pengarah bijak mengarahkan pemakaian tight/leotad hitam yang meminumkan gangguan kepada audien. Syabas!


Miss Kejora dan Miss Kecubung sedang berbicara.


Pedro menceritakan nasibnya sebagai tauke bangsawan kepada Miss Kejora dan suaminya.


Miss Kecubung menjadi gila setelah kematian Pedro.


Barisan produksi "Opera Primadona"

Pendek kata, syabas kepada KUBAS kerana telah berjaya mementaskan bangsawan teater "Opera Primadona". Aku mohon maaf kiranya ulasan ini menyinggung mana-mana pihak. Ambillah yang baik, yang buruk abaikan. Aku menerima komen kalian yang lain dengan hati terbuka.

22 June 2011

Asalkan Ada Teater, Tanya Percuma Ke Tak?

Medium mempromosikan teater dah jauh berbeza sejak beberapa tahun yang lepas (tak perlulah kita cakap pasal puluh-puluh tahun dulu, tak ramai yang hidup lagi). Dulu cuma bergantung kepada kain rentang atau banner, kemudian muncul emel, yahoo groups, blog dan kini facebook.

Yang paling aku tidak berkenan dari dulu hingga kini (terutamanya iklan di dalam facebook), bila orang bertanya "Show ni free ke tak?" atau ada juga yang bertanya "Boleh dapat diskaun tak?". Ianya sangat menjengkelkan. Pementasan teater amatur di Pulau Pinang, harga tiketnya setakat RM 5.00 dan paling mahal pun RM 10.00. Amat jarang sekali yang berharga lebih dari itu. Kalau ada pun mungkin produksi profesional dari luar negara atau luar Pulau Pinang.

Tolonglah! Harga RM 5.00 tu dah jauh murah dan biasanya tidak menguntungkan individu yang mementaskan pun. Itu pun masih ada yang mahu percuma, dan mahukan diskaun. Mungkin ada yang berkata, mereka cuma bergurau saja, tetapi sesuaikah gurauan itu? Kalau ramai yang mampu membelanjakan RM 10.00 untuk membeli tiket wayang, atau setidak-tidaknya RM 5.00 untuk membeli DVD cetak rompak, apakah tidak berbaloi mengisi jiwa dan minda dengan menonton teater pada harga yang sama. Kalau tidak berminat untuk menonton, itu adalah hak mereka, maka tiada siapa akan menyalahkan mereka. Tetapi jika mereka hadir dengan percuma atau dengan mendapat diskaun, maka mereka telah menidakkan peluang orang lain yang mungkin hadir untuk membayar (jika tempat duduk penuh, suatu perkara yang amat jarang berlaku).

Dah berpuluh-puluh tahun, tapi mentaliti masyarakat kita masih begitu juga. Apakah ada sesuatu yang tidak kena pada sistem kita, atau pada diri kita sendiri?

Apa kata kalian?

14 June 2011

Ulasan Yang Terpulas - Bangsawan Alang Buana & Qum : Kebangkitan (Mimos)

Kita abaikan saja beberapa buah pementasan yang pernah aku tonton tetapi tidak sempat diulas di sini. Aku sebagai insan yang naif dan dafi seni, dengan rendah dirinya memohon untuk mengulas dua buah persembahan pentas yang dipentaskan pada 11 dan 12 Jun 2011 yang lepas. Ini komen orang yang tak berilmu, maka mohon maaf kalau ada banyak kekurangannya. Tapi peduli apa orang kata, aku bayar tiket, maka sudah tentu aku ada hak untuk bersuara (awal-awal dah provokasi nih!)

Bangsawan Alang Buana
Menonton Bangsawan Alang Buana oleh Aswara, ada rasa terkilan di dalam kepuasan. Puas kerana setnya yang menepati citarasa bangsawan, cantik, ringkas dan memahamkan/membuatkan audien jelas lokasi babak. Puas kerana muzik extra turnnya yang padat, bulat dan cermat, ini termasuklah persembahan extra turn pelajar tahun dua jurusan Muzik (extra turn M.Nasir, tak payahlah aku komen kerana memang sangat mantap, beliau profesional dan memang sepatutnya itu yang ditampilkan). Lakonan juga kedap rasanya, baik watak tambahan, baik watak utama. Pencahayaannya yang memang sedap dan sesuai dengan babak dan emosi cerita. Kostum juga menepati kehendak bangsawan. Pendek kata pengarahan Mazlan Tahir memang mantap dan memuaskan.

Namun begitu......
Bangsawan juga adalah teater kerana dipentaskan secara langsung kepada audien hidup. Walaupun bangsawan itu perlu menuruti nahu-nahu bangsawannya, tetapi adakalanya ia perlu digarap agar sesuai dengan  jiwa audien yang dah terlalu banyak terdedah kepada seni dan hiburan yang pelbagai. Aku secara peribadi, agak terganggu dengan tempo cerita yang bergerak agak perlahan pada awal babak. Babak 1 di istana dan babak 2 di kampung, sepatutnya boleh digarap semula, agar watak Dato Lela Setia yang dibawa oleh Shahrul Mizad, dikembangkan dengan lebih padat dan cepat. Agak meletihkan bila terpaksa melihat dua kali tarian oleh penari istana dan orang kampung, tiap kali babak ini muncul. Bila tiba babak 3, barulah cerita asal tentang Alang Buana muncul. Aku tidak pasti apakah itu tuntutan naskhah skrip atau sememangnya bangsawan menuntut sekurang-kurangnya 1 babak istana, seperti mana wajibnya ada extra turn.

Aku juga tidak merasakan Alang Buana yang memegang nama bangsawan ini, terangkat tinggi setaraf dengan peranan dan wataknya. Namun, jika melihat kepada bentuk dan gaya persembahan cerita klasik Melayu, mungkin begitulah perjalanan ceritanya. Tidak semestinya watak utama yang menjadi tajuk memonopoli cerita. Lihat saja Batu Belah Batu Bertangkup yang cuma muncul sekali saja. Maka, anomali ini aku terima seadanya.

Dari segi lakonan, mungkin kiok bangsawan itu agak kurang kejelasannya. Ini memang dimaafkan kerana adalah tidak mudah berlakon dengan kiok bangsawan kalau sekadar terlibat berlakon 2 atau 3 pementasan. Tambahan pula para pelakon juga terlibat di dalam pementasan dengan isme yang berbeza. Maka ini juga difahami. Tetapi jika indahnya tutur dialog bangsawan itu diperap lagi dengan kiok yang sepatutnya, maka lakonan mereka akan sempurna.

Tetapi, aku tetap menyanjung produksi Aswara ini kerana mampu mengekang audien sehingga tamat, walau dengan plot cerita yang serius. Tidak mudah memujuk audien menyengkang mata mereka dengan jalan cerita yang tak berhumor. Mungkin ketegangan dan kehibaan dalam sesetengah babak membantu membangkitkan rasa ingin tahu audien.

Tahniah kepada semua!

Qum : Kebangkitan (Mimos)
Dipentaskan oleh The Qum Actors dengan kerjasama DBP dan Tronoh Teater Shop, Universiti Teknologi Petronas, aku menonton pementasan ini di Stor Teater DBP pada 12 Jun 2011, 3.00 petang. Orang tidak ramai, mungkin ahli produksi lebih ramai dari audien. Tapi itu bukan isunya, asalkan dipentaskan, itu sudah cukup baik berbanding mereka yang cuma tahu bercakap saja. Pementasan ini merupakan kompilasi 3 buah teater; Nasi Lemak 10 Sen (teater moden), Ash : Debu Cinta (Mimos/Mime), Pondok Tok Ayah (Monolog).

Bermula dengan Nasi Lemak 10 Sen, (sinopsis sila lawati blog Tronoh Theater Shop), teater moden ini telah mengheret keseluruhan mood pementasan ini. Sebagai sebuah naskhah skrip, Nasi Lemak 10 Sen adalah sebuah skrip yang bagus. Sebuah kritikan sosial yang baik dan pada masa yang sama menyelitkan isu-isu semasa yang adakalanya dipandang sepi. Misalnya makan nasi lemak menyebabkan kegemukan, multi level marketing yang halal dan sebagainya. Skrip ini, jika ditangani oleh pengarah lain, pasti rempah ratusnya juga berbeza. Tetapi pastinya berbeza jika penulisnya sendiri, Akin Muhammad yang mengarah, pastinya lebih jelas apa yang diingin disampaikan. Nasi Lemak 10 Sen mungkin boleh dikira drama of thought kalau mengikut Bernard Shaw. Tetapi mencerna apa yang ingin disampaikan oleh skrip dan juga visual adalah sesuatu yang agak kontra di dalam pementasan ini. Aku sebagai insan yang naif dan daif seni sukar mencerna lapisan ketiga pementasan ini.

Nasi Lemak 10 Sen tidak bergerak sepenuhnya di dalam realisme. Dan tidak pula ia bergerak di dalam anti-realisme. Kostumnya masih realisme, cuma orang kaya tidak mencerminkan kekayaannya, begitu juga Kak Zee penjual nasi lemak dan pengemis 1 serta pengemis 2. Maka aku cuba mencari signifikan warna hitam, merah, putih dan muka emas orang kaya. Tetapi kemunculan pengemis dua yang bersifat lelaki lembut mematikan pertalian minda aku dengan signifikan warna. Begitu juga kostum pelancong serta contengan muka yang tidak dapat aku cerna. Aku melihat Nasi Lemak 10 Sen yang mengkritik nafsu manusia. Tapi nafsu siapa? Agaknya aku memang sebodoh itu.

Kalau Nasi Lemak 10 Sen dipentaskan di UTP atau di mana-mana pentas lain di luar Lembah Kelang, maka aku akan bertepuk tangan pada para pelakon dengan lakonan yang baik. Tetapi, lokasi Stor Teater DBP bagi diri aku telah menetapkan kayu ukur yang tinggi kepada para pemainnya. Maka pada aku, lakonan para pelakon Nasi Lemak 10 Sen seharusnya dimatapkan lagi. Nampak lebih kepada lontaran dialog dan menanti dialog rakan lakon lain sahaja. Kimianya tiada, aksi-reaksi-interaksi yang palsu dan dibuat-buat. Kecuali pengarah sendiri yang mengkehendaki begitu, agar audien membaca diri manusia yang palsu di dalam pementasan itu, maka lakonan mereka memang berjaya.

Walaupun Stor Teater DBP mempunyai ruang yang terhad dan kemudahan teknikal yang terhad, ini bukan alasan bagi produksi membuat kerja-kerja teknikal yang ala kadar sahaja. Ruginya kerana cahaya yang ada sekadar untuk mencerahkan ruang lakon. Berlaku kebocoran cahaya dan ketidakseimbangan cahaya di sana sini, serta bila cahaya dibuka secara general/wash, ada titik panas oleh parcant di beberapa ruang. Paling ketara ketika selingan oleh pemuzik dan penyanyi. Cadangan aku juga, sebolehnya diberikan mikrofon kepada penyanyi dan gitar agar dapat dilaraskan kekuatan vokal dan muzik. Aku ketinggalan bait-bait lirik yang puitis pada awal lagu kerana suara penyanyi tenggelam dek pukulan gitar. Kalau tak mahu pakai mikrofon pun tak mengapa, tapi perlu dilaraskan kekuatan muzik dengan vokal.

Ash : Debu Cinta
Inilah kekuatan Qum Actors kerana mempunyai pelakon dan pengarah mime. Memang sukar menemui pelakon yang dapat melakonkan teater berbentuk mime di Malaysia ini dan Qum Actors mungkin satu-satunya yang diketahui. Menjenamakan pelakonnya dengan solekan muka putih, adalah satu langkah yang bijak kerana memberikan kelainan kepada audien dan juga kepada pihak media. Kalau setakat lakonan mime tanpa solekan itu, agak sukar membezakannya dengan pelakon lain yang sedia ada selagi tidak ditonton. Sebab itulah sudah beberapa kali mime Qum Actors diliputi oleh media.

Mahu menyamakan mime mereka dengan mime profesional antarabangsa, pastinya tidak adil. Setakat yang dilakukan oleh mereka, sudah boleh dikira baik dan aku sangat berbangga kita ada pelakon mime seperti mereka. Cuma lakonan mereka boleh diperkemaskan lagi, terutama latihan mengendalikan prop atau set halimunan yang lebih besar. Kalau setakat aksi minum, makan, menari, mencuci lantai dan menguyah makanan, adalah agak mudah bagi mereka. Mereka harus mencuba aksi yang lebih besar. Contohnya aksi mengangkat cermin. Mungkin juga aksi-aksi lain yang lebih besar seperti menunggang motosikal, kuda, berdiri senget dengan tongkat dan sebagainya.

Apa yang agak menggusarkan aku ialah watak dan perwatakan itu sepatutnya digambarkan dengan lebih jelas. Meskipun kita terima ada dua orang pelakon lelaki yang melakonkan mime dan salah seorang mewakili watak wanita, namun cadangan aku (jika ia tidak melanggar nahu lakonan mime), watak wanita itu harus dibentuk sebagai wanita. Dengan pipi merah, rambut palsu dan juga pakaian wanita. Maka lebih mudah untuk audien menerima pemandangan itu, berbanding dua pelakon mime lelaki yang menggambarkan aksi cium. Meskipun difahami, tetapi masih agak meloyakan. Jangan dibimbangkan tentang aksi cross-dress ini kerana di dalam sketsa boria masih ada cross-dress, cuma watak cross-dress itu mungkin perempuan, tetapi perwatakannya tetap lelaki. Ini akan dibincangkan kemudian pula.

Menyelitkan pop culture juga adalah usaha yang baik bagi menarik audien yang pelbagai kerana audien lebih dekat kepada budaya itu. Lagu-lagu Bust Your Window dan Nobody versi Tango memang dapat menarik perhatian audien. Cuma pasti lebih hebat lagi kiranya ada efek bunyi yang sesuai serta muzik latar yang bukannya untuk ditarikan, tetapi membantu membangkitkan mood (jika perlu).

Aku cadangkan Qum Actors berdaftar dengan The World Of Mime Theatre. Setidaknya meletakkan peta Malaysia di mata dunia dan Qum Actors sebagai pelopornya.

Pondok Tok Ayah, adalah sebuah monolog yang menceritakan tentang nasib makhluk Tuhan di tangan pembangunan. Watak jin yang menghuni pondok tok ayah pun turut terperangkap oleh nafsu makannya. Tidak banyak yang aku boleh ulas tentang pementasan ini selain beberapa perkara seperti kostum yang sepatutnya lebih sesuai. Bukan masalah pada rekaannya, tetapi materialnya yang menampakkan pakaian disebelah dalam serta kekotoran solekan pada kostum, harus diambil berat, dan jangan seperti melepaskan batuk ditangga. Tiada apa yang dapat aku katakan tentang solekan wajah merah hitam kerana aku sendiri tidak pernah melihat wajah jin, maka, apa saja interpretasi pengarah, itulah yang aku terima.

Cuma aku rasa skrip itu seperti membazirkan cerita bila bercakap tentang kucing yang bernama Munah (kalau tak silap aku). Tiada perkaitan yang jelas tentang kucing itu selain atas niat komedi iaitu menggambarkan erti yang lain kepada audien dan memberikan erti yang lain. Mungkin perlu jika ada kaitan dengan perkembangan plot cerita dan watak, dan juga mungkin perlu kalau mahu menarik perhatian sesetengah golongan audien. 

Mujur juga Stor Teater itu kecil maka ruang yang luas sebegitu mampu ditangani oleh pelakonnya. Tetapi penguasaan ruang agak lemah kerana keseluruhan ruang lakon tidak diterokai. Ada orang kata itu bukan satu keperluan, ya mungkin benar, bergantung kepada kekuatan lakonan dan tenaga yang dialirkan oleh pelakon itu. Naskhah skrip memang menarik dan isu-isu yang dibangkitkan juga mengena. Bercakap tentang kemajuan tetap pada masa yang sama disulami amalan khurafat dan nafsu manusia.

Aku rasa cukup setakat itu saja dari aku yang naif dan daif seni ini. Kalau ada yang baik, ambillah. Dan kalau ada yang tak berkenan, tahan sajalah. Inilah asam garam seni persembahan, kalau tiada yang mengkritik, alamat seperti kau onani seorang diri.

Apa kata kalian?

10 May 2011

Gula Naik 20 Sen Sekilogram!

Berapakah sukatan gula bagi segelas teh o atau seketul kuih donut? 10 miligram? 10 gram? 1 kilogram?

Jawapannya adalah antara 500 gram ke 1 kilogram gula!

Ini kerana harga teh o atau kuih donut akan naik antara 10 sen ke 20 sen segelas atau seketul. Kan sama harga dengan kenaikan gula sekilo tu!

06 April 2011

Ulasan Yang Terpulas - Raja Pengemis & Mayat

Sebenarnya aku berhutang dua ulasan, iaitu Si Tenggang dan Bangsawan Siti Zubaidah. Dah lama dah tapi aku yang tidak berkesempatan membuat ulasan. Tapi selepas dilanda kesibukan mega, aku sempat menonton pula teater projek tahun akhir pelajar lakonan & pengarahan, Pusat Pengajian Seni USM. Memandangkan kedua-dua pementasan itu sempat aku pukul gambar, maka aku akan buat ulasan untuk kedua-duanya dahulu. Ingat! Ini ulasan insan yang naif dan daif seni. Sekadar untuk renungan dan ambil yang baik sahaja.

Raja Pengemis.
Adalah skrip lama juga. Tidaklah terkenal seperti Mayat, tetapi naskhah ini tidak kurang hebatnya. Aku tidak pernah menonton atau membaca naskah Raja Pengemis, maka aku bergantung secara keseluruhannya kepada pementasan ini untuk memahami ceritanya dan intipatinya. Mengisahkan sekumpulan pengemis yang bertemu di rumah persatuan mereka dan berbicara tentang hal-hal pengemisan seluruh negara dan di seluruh dunia. Naskhah ini sangat menarik kerana menceritakan situasi politik zaman 70an (kalau tak salah aku), waktu Amerika Syarikat dan Russia masih berperang dingin. Tetapi penulis sudah dapat melihat hubungan antara China dan UK, walaupun berlainan fahaman, tetapi akan tetap dihubungkan dengan masalah sosial dan ekonomi. Lihat saja China kini makin dicengkam kapitalis, UK sekadar bertahan hingga kini.


Tapi sayangnya kerana pementasan ini diheret oleh masalah setting pentas yang tidak sesuai. Panggung Pelenggang Cahaya adalah sebuah Black Box, seperti juga di Panggung Sasaran dan Panggung Eksperimen Aswara. Tapi berbeza dengan Panggung Eksperimen Aswara yang mengambil konsep thrust, kelilingnya dipenuhi oleh tempat duduk bertingkat. Sedangkan di Panggung Pelenggang Cahaya, tiada tempat duduk bertingkat, maka pilihan utama sama ada berkerusi atau duduk bersila. Kedua-duanya pilihan yang bagus sekiranya pentas dinaikkan sedikit (menggunakan platform). Tetapi bila platform digunakan sebagai tempat VIP, dan para pelakon bermain di atas lantai, maka masalah yang paling besar pada sebahagian besar penonton yang tidak dapat melihat dengan jelas permainan pelakon. Tambahan lagi ada sebahagian permainan dilakukan di atas lantai. Inilah masalah yang paling utama pada aku yang naif dan daif seni ini.


Seterusnya, lakonan yang kurang membantu dari watak kupu-kupu (kalau tak salah aku, watak wanita itu kupu-kupu). Lakonan beliau okay, tapi tidak cukup baik dan tidak cukup bagus pada tahap mereka ketika ini. Dan yang paling menyedihkan kerana sebagai rakan lakon, beliau tidak cukup membantu rakan lakon yang lain. Sebaliknya, watak Cif dan Komander cukup cemerlang. Cuma ada ketika aku melihat Cif terpaksa bertindak keterlaluan (exagerate) kerana ingin mengekalkan tenaga pementasan. Watak Kapten pula sekadar cukup ada, mungkin sesuai dengan situasi dan perwatakannya. Watak Komander cukup baik, tidak lebih-lebih tidak kurang-kurang. Watak laporan pengemis dari London dan China juga sekadar iklan, sepatutnya boleh dibentuk dan dipersembahkan dengan lebih baik.


Tahniah kepada produksi ini kerana ada set pentas. Sekurang-kurangnya mereka lebih baik dari aku yang malas membuat set pentas. Tetapi sayangnya set pentas sekadar menetapkan lokasi kejadian, dan tiada yang istimewa sangat tentang set pentas. Tiada impak terhadap penonton dan tidak membantu mood lakonan. Mainan multimedia iaitu tayangan video mengenai kenangan antara Kapten dan Cif sekadar melepaskan batuk di tangga.

Kostum juga tidak mencerminkan watak dan perwatakan mereka semua dengan jelas. Sekali lihat tidak macam pengemis, sekali lihat macam orang gila, sekali lihat macam pelajar universiti. Mungkin ada yang ingin disampaikan oleh pengarah, tetapi sebagai insan yang bodoh dan bahlul seperti aku ini tidak dapat mencerna sebab musabab pemakaian para pelakon itu. Tetapi pementasan Raja Pengemis tetap satu usaha yang baik dan pementasan ini masih boleh dikategorikan sebagai baik. Setidaknya ia menghiburkan sebahagian besar penonton yang hadir (aku cuma menonton pada malam pertama).

Mayat
Merupakan karya malar segar Hatta Azad Khan yang mungkin boleh aku katakan sebagai naskhah cult di dalam dunia teater Malaysia. Ceritanya mudah, kisah sekumpulan manusia yang bertelagah tentang di mana mahu mengebumikan mayat rakan mereka sedangkan tanah perkuburan sudah penuh dan tanah itu sendiri sudah semakin berkurangan. Bila orang luar a.k.a. saudagar mayat hadir untuk membantu mereka dengan menawarkan untuk membeli mayat rakan mereka agar anggota badannya boleh digunakan sebagai anggota ganti, maka mereka menyangka masalah mereka akan selesai. Mayat memang santai ditonton, kerana dialog di dalam skrip itu sendiri sudah cukup untuk mencuit hati walaupun pelakon itu keras macam pokok angsana.


Untungnya kerana pementasan ini dipentaskan di atas pentas (platform) dan penontonnya pula bersantai di bawah (bersila). Maka masalah yang berlaku di dalam Raja Pengemis tidak berlaku. Solekan zombie (ya, sekumpulan manusia itu adalah zombie) memang menjadi (bagi tahap teater amatur/pelajar). Di sini aku melihat kebijaksanaan pengarah yang berjaya mengeksploitasi kelemahan pelakon agar terkongkong dengan karakter zombie. Tetapi sayangnya, walau dalam karakter zombie, para pelakon seperti sesat dalam terang, sekadar melepaskan dialog sahaja, kecuali untuk beberapa orang pelakon.


Aku tidak ingat yang mana satu sahabat 1 hingga 4, tetapi aku mengingati karakter mereka. Seorang kontraktor (mungkin juga jurutera), seorang tukang gunting, seorang gadis sunti dan seorang guru (betulkah guru?). Hebatnya pengarah ini kerana berjaya membuatkan aku terfikir apakah signifikan setiap karakter ini, tetapi tidak hebatnya kerana sampai sekarang aku tidak faham kenapa dipilih karakter sebegitu. Apakah kontraktor bila mati akan menjadi zombi kerana kerap makan rasuah? Atau guru yang tidak ikhlas mengajar menerima nasib yang sama? Gadis sunti pula menggantung diri kerana dicabulkah? Dan tukang gunting (dalam karakter lelaki lembut) kerana menyongsang dari aturan alam? Itu telahan aku, tetapi kaitan di antara watak itu tidak dijelaskan kepada audien. Bagi penonton yang baru pertama kali menonton, mungkin akan kekeliruan kerana tidak faham kenapa mesti zombi berusaha menanam mayat (zombi itu sendiri mayat) rakan mereka.

Seperti juga Raja Pengemis, aku melihat karakter guru itu paling menggusarkan dan seperti lubang hitam yang menarik tenaga persembahan. Guru itu seperti bukan seorang zombi kecuali pada kakinya yang cacat. Aku juga ada seorang rakan yang namanya bemula dengan huruf M yang kakinya cacat, tetapi dia bukan zombi. Watak kontraktor pula, cemerlang sebagai zombi, tetapi tidak sebagai watak itu sendiri. Beliau tidak cukup membantu rakan lakon yang lain. Watak tukang gunting, seperti tenggelam, sedangkan secara personal aku mengenali kemampuan beliau. Tetapi mungkin juga beliau mengawal diri agar tidak berlebih-lebih hingga menenggelamkan watak lain. Walaupun itu bagus, tetapi beliau sepatutnya membantu menghidupkan watak-watak lain. Watak gadis sunti juga cemerlang setelah menjadi zombie. Dengan karakter bersahajanya, watak beliau timbul dengan baik. Di sinilah aku katakan sebagai kebijaksanaan pengarah. Malangnya, beliau tidak sedar karakter beliau menonjol dan telah menenggelamkan watak-watak lain terutamanya guru.


Satu lagi watak yang aku rasakan baik ialah saudagar mayat. Dengan karakter hunchback, watak beliau juga cemerlang. Cuma sayangnya beliau masih menjadi diri sendiri (kerana aku juga mengenali beliau secara personal). Kebiasaannya, kemunculan saudagar mayat kerap menjadi anti klimaks, tetapi tidak kali ini.


Tetapi balik kepada pengarah, antara kekurangan utama ialah prinsip asas di dalam teater iaitu blocking dan leveling. Bila pelakon bermain di atas pentas yang rata, adalah sukar bagi pelakon itu bermain levelling terutama jika tidak dipandu arah oleh pengarah. Sayangnya juga, level yang ada iaitu pada set pentas hanya dimonopoli oleh para korus. Ketiadaan leveling ini mendorong kepada keletihan mata. Manakala kehadiran korus pula, selain daripada untuk memanjangkan tempoh persembahan, agak mengelirukan sesetengah penonton. Aku dapat mendengar dengan telinga kiri dan kanan aku sendiri penonton menanggap korus itu iklan, sedangkan pengarah mungkin mahu bercakap tentang patriotisme atau mungkin juga rencana diktator di negara ini yang sibuk berebut kerusi hingga tidak mempedulikan rakyat yang tidak cukup tanah kubur.


Pendek kata, yang mungkin sampai pada audien, hanyalah dialog yang dilontarkan oleh para pelakon, tetapi apa yang ingin disampaikan oleh pengarah melalui pengzombian, gerak korus, laungan azan (subuh kalau tidak salah aku) dan semua nilai artistik dan estetika, mungkin tidak dapat difahami oleh sebahagian besar audien.


Itu sajalah komen aku yang naif dan daif seni. Cukuplah aku bercakap. Kalau nak bercakap tentang rhythm, pacing dan dynamic, mau makan tiga perenggan lagi. Aku tiada ijazah dalam teater, dan aku bukanlah tokoh hebat seperti Ahmad Yatim atau Mohammed Ghouse. Aku cuma penjiwa teater, yang mahukan mereka semua ini terus maju, dan pada masa hadapan nanti setidak-tidaknya tahu menghargai teater.

Tahniah pada kedua-dua produksi. Tiada yang sempurna dalam seni. Tapi yang tidak sempurna itulah seni.

28 March 2011

Komersialisme atau Idealisme : Mana Harus Dikorbankan Di Dalam Teater?

Bila aku menyebut tentang Idealisme, aku tidak merujuk kepada falsafah Plato, Kant, Leibniz atau mana-mana ahli falsafah lain yang menyentuh tentang Idealisme. Tapi aku cuma merujuk kepada idea seorang penulis atau pengarah teater. Dan komersialisme semestinya kita bercakap tentang menukarkan sesuatu ke dalam bentuk yang boleh mendatangkan keuntungan, dalam kes ini teater.

Dalam konteks Malaysia, terutama produksi teater amatur, kedua-dua kes ini tidak mustahil, tetapi kalau menggabungkannya sememangnya agak sukar. Agak sukar bagi sebuah pementasan yang penuh dengan idea dan nilai-nilai datang bersama pakej lengkap iaitu wajah yang penuh komersil. Tidak banyak produksi yang dapat menggabungkan kedua-kedua elemen ini.

Kita ambil contoh begini, sebuah produksi ingin mementaskan sebuah cerita yang memprotes pergolakan politik di negara kita. Pementasan ini lengkap dengan nilai estetika yang tinggi hingga menuntut pemikiran yang ekstrem daripada para penontonnya. Sekiranya mahu mengadakan pementasan sebegini, kita yakin penontonnya terpilih. Yang berminat hadir pun terpilih sahaja. Melihat tajuknya saja akan menggerunkan penonton yang biasa menonton cerita-cerita yang santai.

Berbeza sekiranya produksi itu memilih untuk mementaskan produksi yang santai, cerita komedi atau cinta misalnya. Cerita-cerita begini lebih komersil dan mudah dipasarkan. Tetapi pada masa yang sama, idea penulis atau pengarah terkekang dengan cerita-cerita yang sebegini.

Mungkin ada pula ada orang akan berkata, kenapa tidak dibuat cerita yang penuh idealisme dalam bentuk komedi. Memang ada. Memang patut dan bagus. Tetapi kita perlu sedar, penonton yang hadir untuk ketawa selalu tidak sedar mereka mengetawakan diri sendiri. Tidak kisahlah ketawa untuk siapa pun, asalkan lucu, sedangkan maksud sebenar cerita itu tidak sampai ke minda mereka. Pada aku, sekali-sekala itu bagus, tapi kalau kerap, minda akan jadi kosong dengan ketawa semata.

Aku juga bersetuju, banyak kriteria yang harus dilihat jika mahu sesebuah pementasan itu berjaya dari segi jualan tiket. Tetapi setiap kriteria yang diambil kira untuk jualan tiket hampir kesemuanya menjurus kepada komersialisme dan terpaksa mengabaikan idealisme walaupun mungkin bukan untuk keseluruhannya.

Aku bagi contoh lagi. Kita mungkin ada senarai pelakon (amatur) yang ramai pengikutnya. Sama ada kawan-kawan atau rakan sepejabat atau peminat. Tetapi kita tahu lakonannya tidak seberapa. Sekiranya kita memilih pelakon berkenaan berbanding pelakon lain yang lebih bagus, maka kita memilih nilai komersil.

Sekiranya kita memilih untuk mementaskan cerita kita di Dewan UMNO, PAS, atau PKR, atau di auditorium SPRM, ADK atau SUK, sudah semestinya cerita kita juga akan berkisar kepada apa yang disukai oleh badan di atas. Kita tidak boleh buat cerita yang ikut suka kita. Itu sudah menjurus kepada komersilisme.

Kalau kita nak buat cerita yang ikut suka kita, lokasinya mungkin di Taman Budaya Negeri, atau mana-mana IPT atau lokasi bebas lain yang perlu dibayar sewaan mengikut kiraan jam. Berbaloikah? Balik modalkah?

Mungkin pada komentar nanti, akan ada banyak contoh-contoh sedia ada tentang kejayaan sesetengah produksi teater amatur mementaskan teater dan menggabungkan kedua-dua elemen ini. Tetapi berapa kerat yang berjaya? Kalau balik modal atau untung sekalipun, mungkin kita boleh lihat siapa penonton yang datang. Apakah kawan-kawan, pengikut produksi itu sendiri, atau penonton jemputan dari sekolah dan maktab atau kolej-kolej swasta. Berapa ramai penonton yang hadir kerana mereka mahu hadir setelah mendengar adanya pementasan itu?

Soalannya di sini, mana satu yang mahu dikorbankan? Komersialisme atau Idealisme? Mahu buat teater, tapi tidak mahu untung? Berapa lama mahu berkorban sebegitu? Atau buat teater yang memang akan dapat duit saja, asalkan penonton datang terhibur? Apakah sanggup selamanya begitu juga?

Apa kata kalian?

21 March 2011

Menonton Teater Kerana Kawan-kawan

Agak lama juga aku tidak menulis entri baru. Pada ketika ini pun aku sangat sibuk dengan tugasan hakiki, tapi demi desakan jiwa, aku menulis juga entri baru. Ada dua persembahan teater yang aku tonton tapi belum dapat diulas iaitu, teater Si Tenggang dan Bangsawan Siti Zubaidah. Itu aku akan ulas lain kali.

Hari ini kita cerita menonton teater kerana kawan-kawan.

Sebelum aku mementaskan Manusia Raja 3, Si Tenggang telah mengambil tempat yang sama seminggu sebelum itu. Ada 3 pementasan dan setiap malam secara purata penonton yang hadir adalah seramai lebih daripada 200 orang (kalau tak silap perkiraan aku). Dan bermula dari malam pertama, aku telah pun lekatkan poster Manusia Raja 3 di lokasi strategik agar penonton yang hadir ini tahu adanya pementasan teater di tempat yang sama minggu hadapan.

Tapi apa yang berlaku? Yang hadir cuma jemputan khas, rakan-rakan yang mengenali aku, para pelakon dan persatuan aku, serta para pelajar seni. Penonton yang sama, yang hadir pada pementasan sebelumnya itu, kalau hadir pun mungkin kurang dari 10 orang.

Hipotesis aku, kebanyakan mereka ini menonton kerana kawan. Ada kawan yang berlakon di dalam teater itu, mereka datang. Atau mereka ikut kawan mereka yang ada kawan berlakon di dalam teater itu. Ataupun mungkin selebriti yang mereka kenal berlakon, maka mereka pun datang.

Aku tidak nafikan promosi aku tidak begitu agresif. Tapi aku yakin setidaknya seramai 600 orang tahu pementasan yang seterusnya akan berlangsung. Tapi nak dapatkan 1/3 pun tidak berjaya. Agaknya kelemahan pada poster aku, yang tidak cukup menarik hati penonton. Atau mungkin memang kebanyakan penonton baru, menonton teater kerana kawan-kawan.

Apa kata kalian?

07 February 2011

Nyanyi Karaoke

Hari Ahad lepas aku ke majlis kenduri kahwin saudara-mara di sebuah estet. Setupnya lebih kurang macam filem Estet jugak. Yang menariknya, ada acara karaoke semasa majlis kenduri berlangsung. Ada wakil dari pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Yang lebih menariknya, wakil-wakil yang menyanyi itu, menyanyi lebih baik dari sesetengah orang yang menyertai pertandingan nyanyian.

02 February 2011

RON 97 Naik Sekupang

Dia : Celaka betul! RON 97 naik lagi. Hari tu sebelum pilihanraya tak nak pulak naikkan.

Aku : Naik berapa>

Dia : Sekupang!!

Aku : Eh, hang bukan pakai RON 95 saja ka?

Dia : He he he ......

26 January 2011

Pendakwah Kacak, Barulah Boleh Dapat Hidayah

Di dalam filem-filem Melayu, kalau ustaz atau pendakwah nak memberikan nasihat atau kesedaran, pendakwah itu mesti muda atau setidaknya berwajah kacak dan tampan.

Apa kalau pendakwah itu tidak kacak, yang dinasihatkan itu tidak mampu menerima tegurankah? Apakah kerana wajah yang kacak itu barulah hati terbuka untuk berubah (walau tidak dinafikan hidayah itu dari TUHAN)? Kerana itulah yang digambarkan di kebanyakan filem-filem Melayu (dan mungkin juga telemovie atau episod drama).

Renungkan.

06 January 2011

Mana 'Stage Hazard' Di Malaysia

MANA ‘STAGE HAZARD’ DI MALAYSIA?

Sesekali diterjah dengan keras sebegini sakit juga rasanya. Tapi sakit lagi bila pemain-pemain teater di atas pentas jatuh ke bawah, bengkak kaki muka gara-gara lantai yang tidak rata. Hendak pula kerana deretan parcan dan Fresnel yang berlonggok di laluan kaki lima, dan ada pula pelepah nyiur tinggalan pementasan yang lepas, kononnya mudah orang lain pula nak guna.

Inilah senario yang melanda pentas-pentas teater amatur kita di seluruh negara. Bukan semua, tapi cukup untuk buat semua faham bahawa situasi sebegitu wujud banyak di antaranya. Kalau-kalau ayat-ayat ini tidak jatuh kelepuk ke atas dahi sendiri, maka cuba-cubalah jengok tempat orang lain pula, mungkin sipi-sipi akan kena juga bahu anda.

Stage Hazard, yang tidak tahu penulis tukarkan ke bahasa Melayu kerana tidak ada terjemahan yang paling tepat untuk hazard, adalah satu perkara yang sangat dipinggirkan oleh ahli pengurusan pentas, aktivis teater mahupun tukang akademik. Apakah hazard itu merujuk kepada bahaya? Apakah ia bermaksud risiko? Atau mungkin juga gabungan kedua-duanya sekali.

Malah tidak keterlaluan jika penulis mengatakan bahawa keselamatan di pentas bukanlah suatu amalan. Barangkali orang yang kerjanya berpasak di pentas juga tidak ada yang tahu apa yang dimaksudkan dengan stage hazard. Bahaya di pentas pada ahli pengurusan pentas barangkali cumalah api yang menyala, dan mungkin anai-anai yang sekali-sekala melanda.

Tapi sebenarnya pentas ini ada dua dunia; dunia persembahan dan dunia belakang pentas. Hazard pada dunia persembahan itu sendiri begitu banyak. Kerusi yang mungkin patah, skru yang terkeluar mungkin melukakan anggota badan, lampu ‘KELUAR’ yang kerap ditutup untuk mendapatkan kegelapan total mungkin mengakibatkan penonton tidak dapat mencari pintu keluar kecemasan, tangga dalam auditorium yang tidak berlampu menyusahkan audien untuk menapak bila ada kecemasan, dan berjela lagi senarai hazard yang penulis pasti ramai yang alpa mengenainya.

Begitu juga dunia belakang pentas; dengan lampu tanpa tali keselamatan, barang-barang yang tidak berkenaan berlonggok di kiri kanan pentas kononnya ketiadaan ruang simpanan, scaffolding yang tidak diselenggara dengan baik, catwalk tanpa guardrail yang sesuai, bahagian lantai yang tidak rata tidak ditandakan dengan baik, membuat kerja pemasangan set sewaktu kerja-kerja rigging sedang dijalankan dan banyak lagi, banyak sangat hingga tidak tersebut di sini.

Inilah perkara-perkara yang penting tapi terabai sehingga kini. Mungkin kita belum dengar kes-kes sebegini yang begitu kronik, hingga menyebabkan kematian. Kalau adapun mungkin tidak dihebahkan oleh media massa. Tapi satu masa, tidak mustahil akan tiba satu ketika kumpulan teater dan penganjur persembahan yang disaman oleh pemain kerana mengabaikan keselamatan di pentas hingga menyebabkan kecelakaan kekal. Maka buruklah nama pengurusan pentas di Malaysia dan akan tercalitlah bau busuknya itu ke arena teater serta seni persembahan pentas yang lain.

Lihatlah sendiri di semua institusi pengajian tinggi di Malaysia yang menawarkan pengajian di dalam bidang seni persembahan pentas, tidak kiralah teater, tarian atau muzik. Berapa banyak yang menegaskan tentang betapa pentingnya stage hazard? Berapa banyak yang mempunyai kursus dalam stage hazard, bila mana seseorang pelajar itu memperolehi ijazah di dalam bidang ini, maka dia boleh menjadi seorang pengurus pentas yang competent di dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan pentas. Atau setidak-tidaknya cuba tengok berapa banyak yang menawarkan subjek mengkhususkan stage hazard dan diajar setidak-tidaknya satu semester. Jika ada, maka maklumkanlah pada penulis agar penulis dapat mengakui kekurangan penyelidikan yang penulis buat. Tapi jika benar apa penulis kata, maka sedar-sedarlah diri bahawa perihal stage hazard ini bukanlah satu perkara yang kecil.

Kasihanilah pengamal seni persembahan pentas kita. Kita punya persembahan yang bermutu tinggi, kita punya pentas yang boleh dibanggakan, tapi kita tidak punya penyeliaan dan pengawasan yang baik. Persoalannya kini adakah kekurangan kesedaran atau kekurangan ilmu atau apakah kerana kekurangan kedua-duanya sekali. Pada penulis, kita mula dari akar. Kita perlu sedar dahulu. Jika ada yang sudah sedar tentang stage hazard ini, maka sama-samalah kita menyedarkan orang lain. Ilmu cuma boleh datang jika orang sudah sedar. Jangan sampai dah terhantuk baru mengadah. Dalam kes ini, bukan setakat terhantuk, mati pun boleh agaknya.

Artikel ini telah diterbitkan di dalam majalah Pentas, Mei & Jun 2007, Jil. 2 Bil. 3 2007, Halaman 59

Aku kini di dalam proses penyelidikan mengenai stage safety and hazards di Malaysia (maaf kerana tiada istilah yang sesuai di dalam Bahasa Melayu). Sesiapa yang ingin berkongsi ilmu dan pengalaman bolehlah menghubungi aku di e-emel pegawai_khalwat@yahoo.co.uk dan sila letakkan tajuk e-mel STAGE HAZARD DI MALAYSIA.

09 December 2010

Bodoh Tak Sedar Diri

Orang tua-tua selalu menyebut, kalau nak cari ilmu, maka belajar. Dan ilmu itu tidak hanya datang dari orang yang lebih tua dari kita. Adakalanya dari orang yang jauh lebih muda dan adakalanya melalui pemerhatian terhadap alam.

Bila kita melihat orang-orang muda yang kelihatan bodoh, akan selalu mengingatkan kepada diri kita dahulu yang juga tidak sempurna. Kadang-kadang tertawa sendirian juga dibuatnya.

Tapi bila melihat orang yang lebih tua dari kita, berbuat pekara yang bodoh, menjadi bodoh dan membodohkan diri sendiri, membuatkan kita sendiri terpinga-pinga. Mahu ditegur, baru setahun jagung, belum cukup makan garam. Tidak ditegur, makin menjadi-jadi.

Apa perlukah kita lihat dan ketawakan saja kebodohan itu?

20 September 2010

Keliru Atau Versatil

Orang selalu keliru, bila melihat aku melayan lagu-lagu seperti :

Metallica - Master Of Puppet

Raihan - Demi Masa

Art Fazil - Merindu Kepastian

Secret Garden - Adagio

Lady Gaga - Bad Romance

M. Nasir - Bukalah Hatimu

M. Daud Kilau - Cek Mek Molek

Kris Dayanti - Rembulan

Korn - Twisted Transistor

John Legend - Ordinary People

Mohabbatein - Aankehin Khuli

Disturbed - Down With The Sickness

May - Sketsa Sebuah Cinta

Eminemm - I Love The Way You Lie

dan senarainya panjang.... dan biasanya berubah-rubah.


11 September 2010

Raya Kerana Duit Raya

Tiada siapa yang akan dapat menafikan, antara insan yang paling gembira di hari raya ini adalah kanak-kanak, terutamanya yang berusia 12 tahun ke bawah. Dan pastinya aku bercakap ini tentang kanak-kanak normal, bukannya yang kurang bernasib baik.

Dan kita semua tahu, tradisi kunjung-mengunjung oleh kanak-kanak ini telah lama dilakukan sejak dahulu. Biasanya mereka akan mengunjungi kawasan sekitar seperti kawasan kampung atau kawasan perumahan. Dan pada masa inilah mereka mengambil peluang untuk mengenali jiran-jiran kampung mereka.

Kalau pada zaman aku dahulu, ada kanak-kanak yang mengembara dari kampung lain ke kampung kami. Tidak ketinggalanlah aku yang pernah beraya agak jauh hingga terpaksa menaiki bas, semata-mata untuk beraya ke rumah cikgu sekolah aku.

Sayangnya kerana nilai tradisi kunjung mengunjung ini sudah semakin berbeza kini. Kanak-kanak tidak lagi mengunjungi rumah jiran sekampung untuk mengeratkan silaturahim, tetapi lebih kepada mengutip duit raya. Dan biasanya, duit rayalah motivasi utama mereka. Tidaklah aku menyalahkan mereka, kerana mereka masih kanak-kanak. Tetapi kesedaran ini patut diterapkan oleh individu yang lebih tua dari mereka.

Kalau dulu (zaman aku mungkin berbeza, zaman sebelum aku pastinya lebih berbeza), duit raya biasanya diberi pada nilai 20 sen. Rata-rata rumah dikampung, itulah nilainya. Ada juga yang memberi 10 sen. Kalau 50 sen, itu sudah dikira mewah dan kalau RM 1.00, maka rumah itu akan dicop rumah orang kaya.

Ada pada satu ketika, rezeki keluarga aku agak baik pada tahun itu dan kena pada hari raya itu, arwah ayah aku berhasrat menyedekahkan RM 1.00 kepada setiap kanak-kanak yang hadir. Pada ketika itu, RM 1.00 sudah dikira mewah, kalau pun tidak dianggap orang kaya (keluarga aku pun bukan kaya, cukup makan saja).

Maka implikasinya, kanak-kanak tidak putus hadir ke rumah keluarga aku. Seperti mana berita CNN dan Al-Jazeera, begitulah pantasnya merebak cerita duit raya RM 1.00 yang diterima. Seperti ada jaringan komunikasi yang sangat berkesan di antara mereka. Bayangkan, kanak-kanak yang kami tidak pernah lihat muka mereka (maksudnya dari kampung lain. Kalau dari kampung yang sama, biasanya wajah mereka kebiasaan dilihat dan kalau ditanya anak siapa, kami akan kenal mereka dari keluarga mana), tiba-tiba muncul dari merata-rata. Dan seperti biasanya, mereka tidak mahu singgah untuk menjamah makan dan minum, cuma menadahkan tangan di depan pintu, bersalaman dan kemudian beredar. Malahan ada yang tidak bersalaman pun. Lebih tragis lagi, ada yang walaupun telah hadir pada sebelah pagi, akan datang lagi pada sebelah petang dengan pakaian yang berbeza untuk mendapatkan duit raya.

Kini, sekiranya sesebuah rumah itu hanya memberikan duit raya sebanyak 50 sen (kerana itu yang termampu, maka kita boleh lihat sendiri berapa ramai bilangan kanak-kanak yang akan hadir ke rumah itu. Kanak-kanak ini pun biasanya, menggunakan modus operandi yang sama iaitu mensasarkan rumah yang kelihatan mewah dan rumah yang sudah pasti memberikan duit raya yang bernilai tinggi. Ada sesetengah yang sanggup menggunakan duit raya itu untuk membeli minuman berkarbonat di kedai berbanding minum di rumah yang mereka singgah untuk mendapatkan duit raya.

Rugilah kanak-kanak ini kerana tidak mengenali jiran-jiran mereka, walaupun pada tahap minda mereka itu, perkara itu tidaklah penting.

5 ke 10 tahun lagi, entah bagaimana suasana mendapatkan duit raya ini. Mungkin duit raya bertukar kepada topup kredit telefon, atau duit raya cuma perlu diberi secara on-line sahaja. Maka makin jahanamlah nilai kunjung-mengunjung yang sepatutnya diterapkan.

01 September 2010

Ramadhan Sebagai Sumber Pelancongan

Ada orang mungkin menggelengkan kepala membaca tajuk ini. Ramadhan bulan yang mulia, bulan untuk beribadat. Memanglah Ramadhan juga menjanjikan rezeki kepada para peniaga, tetapi budaya hiburan dan berbelanja tak kira bajet, bukanlah satu perkara yang nampak molek dilakukan di bulan Ramadhan. Tapi mengapa Ramadhan nak dijadikan sebagai sumber pelancongan?

Kita tengok yang pro dahulu.

Setiap kali Ramadhan, yang pasti akan ada bazar Ramadhan (ada orang panggil Param atau Pasar Ramadhan). Di bazar inilah menjanjikan hidangan eksoktik yang selalunya jarang ditemui di satu-satu tempat kalau bukan bulan Ramadhan. Beriani Itik Nila lah, Ayam Goleklah, Haruan Gorenglah, dan segala macam lagi. Itu tidak termasuk menu yang biasa kita temui, tetapi jarang ditemui oleh para pelancong.

Bayangkan kalau kita boleh catar satu kapal terbang untuk pelancong hadir ke program Homestay, kalau bulan puasa macam ni, kita boleh lakukan perkara yang serupa. Pelancong yang hadir, kita galakkan berpuasa (setakat tahan lapar dan dahagalah) agar mereka dapat merasa nikmat berbuka puasa apabila sedang lapar, dan tentunya mereka digalakkan bersahur. Bila nak dekat waktu berbuka, bawalah mereka berbondong-bondong ke bazar Ramadan untuk memilih lauk pilihan mereka. Dan seperti mana nikmatnya berbuka setelah penat membanting tulang, begitu jugalah mereka akan merasa nikmat berbuka puasa.

Siapa tahu, mereka akan mendapat hidayah untuk mendalami Islam dengan lebih mendalam, seperti yang terjadi kepada seorang warga Jepun yang datang ke Malaysia untuk mencuba rasa berpuasa (aku petik berita ini dari salah satu akhbar, tapi aku tak ingat akhbar mana).

Kontranya.

Bila orang asing hadir, mereka akan hadir dengan pakej budaya mereka. Kalau yang hadir itu sememangnya mahu mencuba budaya asing iaitu budaya berpuasa kita, mungkin mereka akan menuruti apa yang kita suruh. Tapi kalau yang nak menurut itu sekadar melepaskan batuk di tangga, maka kita akan menghadapi masalah.

Bayangkan kalau yang hadir ke bazar Ramadan itu dengan pakaian yang menjolok mata (yang pakai macam ni, bukan setakat pelancong, orang kita pun ada, cuma peratusannya kecil). Dan ada pula yang mungkin mahu berbuka dengan bir (bukan rut bir, tapi bir yang berakohol) kerana sudah menjadi rutin mereka untuk ada minuman itu. Itu tidak termasuk lagi kemesraan berlainan jantina yang mungkin tidak dapat mereka kawal. Maka ini akan mencemarkan kesucian Ramadan.

Apa fikiran kalian?