13 October 2015

Iklan - Teater 'BERUANG'


Sekali lagi Bakawalee Penang akan mempersembahkan sebuah teater karya Anton Chekhov iaitu The Boor, terjemahan dan olahan oleh Yusof Bakar sempena Festival Teater Malaysia 2015 Peringkat Pulau Pinang.

Sebuah komedi mengisahkan Popov, seorang janda muda yang berkabung setelah kematian suami, didatangai oleh Smirnov, yang mahu mengutip hutang suaminya. Popov enggan membayar hutang pada hari itu juga, tetapi Smirnov memaksa. Luka, orang gaji Popov cuba menenangkan mereka namun keadaan menjadi semakin meruncing. Apakah yang terjadi akhirnya?

Percuma. Jemput datang beramai-ramai.

30 June 2015

Lemang Rebus Kemudian Bakar - Sebuah Analogi Budaya

Lama juga tak duduk bersembang bersama-sama teras keras teater (theatre hardcore). Baru-baru ini sempat bersama generasi teras keras yang tak baru dan tak lama iaitu Veera (Penang), Poklus (Perlis/Penang), Apit Jinggo (Penang), Ed Kota (Kedah) dan Ard Omar (Perak/KL). Perbincangan (atau persembangan) banyak berfokus kepada projek baru Persatuan Sekenet. Ya memang kami di sini mengamalkan kerjasama silang produksi, walaupun mungkin tak semua. Sambil berbincang, kami dijamu dengan lemang.

Ya lemang. 

Foto dari khairulorama.wordpress.com


Semua tahu lemang ialah pulut yang dimasak di dalam buluh, menggunakan api. Itu asas. Pulut yang dah dicuci, ditoskan. Santan kelapa dimasukkan ke dalam buluh hanya setelah pulut dimasukkan ke dalam buluh (yang tentunya telah dilapik dengan daun pisang). Tapi entah kenapa, sekarang ini sudah ada trend lemang yang direbus/kukus dahulu, kemudian barulah dibakar. Malahan ada sesetengahnya dibakar bukan dengan api dari kayu api, tetapi dapur gas atau lain-lain sumber haba. Menjadikan lemang itu tidak enak, malah rasanya seperti pulut bakar. Kita memahami jika ada kekangan tertentu seperti sukar mendapatkan buluh, kayu api dan sebagainya. Tetapi jika motif utamanya ialah keutungan, tidakkah jahanam pemahaman kita terhadap lemang. Jika trend ini berterusan, maka anak cucu dan generasi kita akan menerima pakai lemang rebus kemudian bakar sebagai lemang sejati.

Oleh itu di sini bermula analoginya.

Kita ambil contoh teater tradisi mek mulung. Mek mulung yang kita kenali (atau sebahagian dari kita kenali) mempunyai bentuknya yang tersendiri, dipersembahkan sebagai sebuah ritual perubatan dan diangkat oleh organisasi seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Petronas dan kumpulan Akrab sebagai sebuah persembahan yang berstruktur, dinamik dan dramatik. Ini satu usaha yang bagus. Ia seperti memberi nilai tambah kepada lemang dengan meletakkan jagung, kacang, pulut hitam atau lain-lain bahan yang sesuai dengan lemang.

Tetapi jika ada mana-mana pihak yang cuba mengambil jalan mudah dengan meringkaskan persembahan mek mulung dengan membuang ucap tetap atau memporak perandakan plot cerita, demi tuntutan komersilisme, apakah ia sesuatu yang wajar? Tidaklah saya menidakkan keperluan pembaharuan dalam teater tradisi, tetapi adalah penting kita mengenal pasti dahulu bentuk atau konvensi satu-satu teater tradisi, sebelum usaha-usaha pemodenan dijalankan atas nama artistik atau keuntungan. Kerana jika porak peranda ini berterusan, maka anak-anak dan waris kita akan menerima persembahan itu, sebagai mek mulung yang sejati.

Perkara ini telahpun terjadi dengan lagu boria Pulau Pinang oleh Hail Amir, di mana rangkap karangannya tidak mengikut struktur yang dipersetujui oleh semua pengamal boria (ini isu yang tidak akan dibincangkan di sini). Tapi, lagu berkenaan telah diterima oleh hampir seluruh rakyat Malaysia sebagai lagu boria yang sejati.

Mungkin ada yang akan berkata, 'apa yang nak buat teruk sangat, semua tu hiburan saja', 'takkan nak buat pembaharuan pun tak boleh, bila nak maju?', 'Ini seni, biarlah seni itu bebas dan subjektif'. Entahlah. Ini pendapat aku sebagai aktivis budaya. Meminjam analogi dari seorang sahabat, Marlenny Deen Erwan 'Meskipun dari keluarga pastri, Karipap bukan Samosa, dan Samosa bukan Karipap'. Kalau lemang rebus diterima sebagai lemang, jadi apa guna wujudnya ketupat pulut?

Pendapat kalian?

12 March 2015

Kapitalis Budaya

Tidak lama lagi, Marvel's Avenger : Age of Ultron akan ditayangkan. Salah satu watak utama di dalam Avengers ialah Thor, watak dari komik, yang juga dikutip dari mitos bangsa Norse atau Norway. Thor sendiri muncul dalam dua buah filem iaitu Thor dan Thor : The Dark World. Di dalam ke empat-empat filem ini, Thor digambarkan sebagai hero yang gagah kacak dan sempurna.

Thor dan Loki di dalam chariot

Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu, jika mengikut salah satu mitos berkaitan Thor, yang paling terkenal di negeri-negeri Scandinavia datang dari puisi Eddic, 'The Lay of Thrym'. Puisi ini menceritakan bagaimana Thor kehilangan senjata penukulnya ketika tidur, dicuri oleh Thrym, raja gergasi dari negeri Jotunheim. Loki, adik Thor pergi menyiasat dan Thrym mengakui beliau menyorokkan penukul itu di dalam tujuh lapis perut bumi, dan menuntut agar Freyja diserahkan kepada beliau untuk dijadikan isteri. Freyja ialah dewi  kesuburan penduduk Scandinavia.

Freyja Dewi Kesuburan

Dipendekkan cerita, Heimdall mencadangkan satu idea, iaitu supaya Thor mengenakan pakaian pengantin perempuan, dengan Loki sebagai pengapit, dan bertemu dengan Thrym untuk mengakalinya. Semasa majlis perkahwinan berlangsung, Thor sebagai pengantin memakan habis seekor lembu, lapan ekor ikan salmon dan tiga tong bir. Thrym sangsi, tetapi Loki segera mengatakan kerana terlalu gembira, pengantin perempuan lupa makan selama tujuh hari tujuh malam. Sebagai syarat perkahwinan, penukul Thor diminta diletakkan di paha pengantin perempuan. (Gaarder, 2006) Apabila penukul diletakkan di atas paha pengantin perempuan, kalian sendiri boleh bayangkan apa yang terjadi.

Thor dipakaikan pakaian menyerupai Freyja

Dan mungkin kalian boleh bayangkan juga, apakah mitos asal ini akan difilemkan oleh Hollywood, setidaknya atas dasar menghormati karya asal? Kalian boleh jawab sendiri persoalan ini. Inilah antara kerosakan yang dilakukan oleh kapitalis terhadap seni dan budaya. Mereka menjentik rasa ingin tahu dengan perkara yang paling dekat dengan diri kita, iaitu budaya. Dan rasa itu ditelanjangkan dengan kehendak komersil atas lesen kreatif.

Tidaklah aku menentang seratus-peratus lesen kreativiti ini, tetapi tanggungjawab sebagai pembikin seni adalah memastikan karya mereka itu mempunyai nilai yang sesuai dengan budaya pada masa sekarang, untuk masa depan. Kerana karya-karya mereka ini akan menjadi rakaman sejarah secara tidak langsung, yang menentukan aras peradaban manusia masa kini dan masa akan datang. Komen ini meluas, tidak hanya pada filem Hollywood, tapi juga pada medium seni budaya yang lain. Jangan kita jadi kapitalis budaya, kerana wang itu tidak kekal, budaya yang akan kekal. Itupun kalau tidak hilang ditelan arus zaman.

27 February 2015

Menonton Teater Dengan atau Tanpa Ilmu?

Apakah perlu menonton teater dengan ilmu di dada?

Pada aku tidak perlu.

Teater boleh dilahap mentah-mentah. Kalau ada komedi, gelaklah kita. Kalau ada gerun, takutlah kita. Kalau ada sedih, menangislah kita. Kalau ada semua tapi semua tak menjadi, menyumpahlah kita.

Tapi untung dan kelebihannya menonton dengan ilmu di dada, ialah kita boleh menghargai dengan lebih mendalam dan merasai teater itu dengan lebih bermakna.

Setiap suapan akan dirasai resepi yang dihidangkan, gula, garam, rempah ratus dan mungkin bahan-bahan eksotik yang tidak dapat dikesan oleh orang biasa.

Maka itulah nikmat bukan setaka menonton, tapi membaca, merasa dan menjiwa teater.