23 June 2008

Ulasan Yang Terpulas - Mesyuarat Agung Tahunan Superhero

3 malam persembahan, dengan 1 malam cuma yang dapat aku hadirkan diri, objektif aku mengadakan pementasan yang menjentik usaha fikir penonton telah berjaya. Walaupun banyak kelemahan dari segi persembahan keseluruhan, tapi yang penting adalah komunikasi dengan audien itu berjaya.
Para superhero yang terselamat sedang inging mengetahui apa yang sebenarnya telah terjadi pada dunia.


Tiongman sedang menari kerana seronok dapat mengenakan Super.


Stom sedang memberikan penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku pada ketika itu.


Hak dan Super bergaduh kerana rasa tidak puas hati.


Super merajuk dengan Moon yang kerap kali membela Tiong yang bodoh dan tidak kacak.


Lagu yang menggambarkan mood percintaan Moon dan Super.


Lagu yang menggambarkan panasnya cinta Cat pada Hak.


Cat sedang menggoda Hak yang tidak keruan dengan cinta tersembunyi Cat.


Tiongman sedang dibelasah oleh Super, Ultra dan Hak yang tidak puas hati dengan perangainya yang suka bercakap benar.


Ahli produksi Mesyuarat Agung Tahunan Superhero. Terima kasih kepada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

16 June 2008

Watak Gemuk, Watak Kurus

Masih aku ingat beberapa hari yang lepas, aku berbual dengan seorang artis (pelukis) Malaysia yang tersohor dan dari generasi perintis iaitu Syed Bakar Syed Salim. Kata beliau, di dalam opera Barat, ada signifikan watak yang ketara antara yang kurus dan yang agak berisi.

Watak yang kurus selalu digambarkan sebagai orang jahat dan begitulah sebaliknya. Jika bertopeng pun, mestilah topeng yang kurus dan kuyu sebagai lambang kejahatan.

Aku tidak pasti kenapa boleh jadi begitu. Mungkin pada zaman permulaan opera pada kurun ke-16 hinggalah zaman kebangkitannya pada kurun ke-19, tahap sosioekonomi yang tidak seimbang menyebabkan golongan bangsawan ini menganggap si miskin yang kurus dan tidak cukup makan sebagai jahat kerana selalu mencuri makanan mereka.

Ini cuma telahan aku. Mungkin juga tidak tepat.

11 June 2008

Mesyuarat Agung Tahunan Superhero

Aku memang setuju sangat-sangat dengan ungkapan kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Kerana ketika aku merancang sebuah pementasan pada waktu yang sepatutnya menjadi waktu senggang aku, sebaliknya aku dihujani pelbagai tanggungjawab yang perlu selesaikan. Menjadikan banyak aspek pengurusan dan artistik pementasan ini aku abaikan.

Tidak seperti Devian Dogma : Orang Minyak Mengganas, Mesyuarat Agung Tahunan Superhero sebenarnya lebih merupakan escapism kepada para pemain teater lama (lama maksudnya pernah berlakon dalam lebih daripada 2 pementasan) dan juga platform kepada pemain teater baru untuk mencuba bakat.

Sinergi ini memberikan satu rasa perlunya aku untuk berusaha dalam santai, di dalam proses mengarah dan mengarah. Naskhahnya juga mungkin nampak ringan, tetapi seperti biasa, dalam ketawa aku suka menempelak orang yang ketawa. Dan kerap kali orang yang ketawa tidak tahu yang sebenarnya mereka sedang mentertawakan diri sendiri.

Ruginya pada penonton yang tidak sudi tunggu sesi viva (soal jawab) kerana di sinilah segala kekusutan benang dilanda ayam akan dirungkaikan. Aku rasa budaya viva bagi pementasan di sebelah Tanjung ini dah semakin dapat diterima. Cuma aku masih menunggu soalan-soalan yang dapat membantu memerah minda aku, para produksi dan penonton lain pula.

Komen-komen provokatif seperti yang pernah aku terima dari Normah Nordin ketika mengarahkan Jebat : The Untold amat merangsang minda aku. Kerana pada ketika ini, aku berasa aku sudah sangat kurang berpolemik secara intelektual. Hinggakan kerap kali aku buntu bila mahu menjana idea-idea di luar tempurung.

Mesyuarat Agung Tahunan Superhero akan menghidangkan talam kosong kepada para tetamunya. Kalau ada isi pun mungkin bekas air sirap atau lelehan kuar rendang besar bersama beberapa butir nasi dan hirisan bawang.

Maka tetamu ini haruslah mencari apa yang aku hidangkan di sebalik talam itu. Hint sudah diberikan, tetapi aku mahu tengok apakah dalam ketawa, hint itu cuma tinggal lontaran vokal para pelakonnya saja.

Kalau sudi dan ada kelapangan, datanglah ke pementasan ini di Auditorium P.Ramlee, Pulau Pinang pada 20, 21 dan 22 Jun 2008, 8.45 malam dan di Taman Budaya Kedah pada 27 Jun 2008, 8.45 malam. Masuk percuma.

Jomlah, kita ajak masyarakat kita agar rajin sikit berfikir.

05 June 2008

Minyak Naik, Barang Naik

Ramai orang naik minyak bila minyak naik.
Tapi kata orang tak elok naik minyak, nanti kena darah tinggi dan sakit jantung.

Bila minyak naik, barang pun naik.
Tapi kata orang lelaki, barang perlu naik.
Kalau tidak susahlah para isteri.

Hailah nasib.