23 December 2008

Imejan Teater 'Rekaan Utama'

Ketua Negara Gelanda


Pakar Sains Sia-sia

Pakar Sains Gelanda

Ketua Negara Rakanda (1)

Pakar Sains Rakanda

Ketua Negara Rakanda (2)

Ketua Negara Sia-sia

Stage Manager yang baik hati

Korus-korus


Para pendukung watak
Jangan lupa datang menyaksikan teater 'Rekaan Utama' oleh Persatuan Bakawalee Pulau Pinang di Auditorium P.Ramlee, Taman Budaya Negeri Pulau Pinang.
16, 17 & 18 Januari 2009, Masuk RM 5.00

18 December 2008

Selamat Hari Lahir George Town

Tahukah kalian, hari lahir bandaraya George Town sebenarnya lebih tua berbanding negara Malaysia? (Malaysia dalam erti kata kemerdekaan Tanah Melayu atau Malaya, bukannya tarikh pembentukan Malaysia pada 1963). Lapan bulan lebih tua berbanding Malaysia kalau nak dikira secara kasar. Kerana George Town diwartakan sebagai sebuah bandar pada 1 Januari 1957 oleh Permaisuri England melalui wakilnya Pesuruhjaya Tinggi British.

Ingat! Diwartakan sebagai bandaraya, bukan merdeka. Dan baru-baru ini juga turut diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia bersama-sama Melaka oleh UNESCO. Pelancarannya diadakan di Dataran Merdeka bulan lepas dan aku pasti tidak ramai di antara kalian yang menontonnya. Pasti. Kerana aku sendiri pun tidak akan menontonnya, kerana aku sendiri berada di sana.

Selamat hari lahir George Town. Nampaknya tidak ada peluang lagi namamu bertukar ke Tanjung Penaga kerana sudah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia. Dan ada peluang juga namamu ditulis dalam bahasa Cina, India, dan Arab.

03 December 2008

Kisah Niaga

Masa belajar dulu, aku pernah berniaga jual dan servis komputer. Bukan apa, cari pengalaman dan sedikit duit poket. Aku buat dengan kawan aku. Kalau jual satu set komputer, bolehlah untung RM 300 atau mungkin kurang. Adakala sampai RM 600 pun ada. Kalau servis, tak untung manapun. Format komputer RM 50. Tapi menyiksakan diri kalau kena sesetengahnya yang sistem BIOSnya berlainan. Kalau tukar barang bolehla untung RM20 macam tu. Selalunya untung kecil tapi tekanannya tu besar.

Ada ketika, akan diadakan semacam PC Fair di dalam kampus. Kampus aku memang jauh dari bandar, jadi PC Fair ini menjadi pilihan pelajar untuk mencari barang-barang yang murah. Satu booth untuk pelajar lebih kurang dalam RM200 untuk beberapa hari. Pelajar yang menjual komputer ni taklah ramai sangat, jadi jarang sekali jumlah jualan booth mencukupi. Jadi penganjur yang terdiri dari persatuan atau badan pelajar ini, menjemput vendor dari luar.

Masalah timbul bagi kami bila vendor dari luar dijemput. Ada kalanya vendor yang dijemput itu merupakan stokis kami sendiri. Jadi terpaksalah bersaing dengan stokis sendiri atau vendor yang menjual barang dengan harga yang jauh lebih murah.

Contohnya, kami menjual dakwat isian semula dengan harga RM 10.00. Sedangkan ada vendor yang menjual item yang sama dengan harga RM 9.00. Kenapa jadi begitu? Kerana pada ketika kami memborong item itu, harganya RM 9.50. Sedangkan vendor punya lebihan stok lama item itu yang boleh didapatkan dengan harga RM 7.00. Takkanlah kami nak jual pada harga belian? Begitulah juga nasib yang sama menimpa rakan-rakan niaga pelajar yang lain.

Kadangkala aku merasakan tidak adil menjemput vendor ini. Tapi, aku beranggapan, itulah rencah resam perniagaan. Kalau tak berani ambil risiko, jangan berniaga. Dan aku tak sukakan risiko, maka aku kerja makan gaji sekarang.

24 November 2008

Kad Pengenalan

Apa yang aku nak sebutkan ni mungkin agak sensitif bagi sesetengah orang. Aku mungkin dapat komen pelbagai tapi aku tak kisah. Aku suka kalau orang berfikir.

Kita semua tahu dalam kad pengenalan kita, ada dinyatakan agama Islam. Kalau agama lain, aku tak pasti pulak. Mungkin salah satu sebabnya kalau ditangkap makan siang hari waktu bulan puasa, kad pengenalan itu sebagai buktinya. Atau lebih ekstrem lagi kalau ditangkap waktu tengah pesta maksiat. Dan yang pastinya, agama Islam di dalam kad pengenalan itu tak boleh lagi ditukar ke agama lain kalau di negara ini (kes Lina Joy aku tak mahu bincangkan di sini, kerana polemiknya panjang). Tapi kalau agama lain, bila seorang saudara baru memeluk Islam, maka boleh diletakkan ke agama Islam ke kad pengenalan mereka.

Persoalannya di sini.

Mengapa bangsa tidak diletakkan di dalam kad pengenalan?

Sebab setahu aku, bangsa ni tak boleh ditukar-tukar. Kalau kau Melayu, Melayulah kau sampai mati. Kalau kau suku Temiang, maka Temianglah kau sampai mati. Tapi mungkin masalah akan timbul bila berlaku perkahwinan campur. Melayu kahwin Cina, macam mana nak letak dalam kad pengenalan?

Melayu + Cina?

Takkan nak letak bumiputera atau bukan bumiputera?

Andai kata bapa kalian adalah anak hasil perkahwinan campur Melayu + India. Dan dalam kad pengenalan kalian tertera bangsa Melayu + India. Kalian pula berkahwin dengan Cina. Apa jadi dengan anak anda?

Melayu + India + Cina?

Mungkin itu agaknya sebab tidak diletakkan bangsa di dalam kad pengenalan.
Entahlah. Aku yang timbulkan persoalan, aku sendiri yang pening.

18 November 2008

Ulasan Yang Terpulas - Gelanggang Tok Wali

Pada ketika ini, kepala aku sedang berdenyut-denyut, penangan dek tidur pukul 4 pagi, bangun pukul 6 pagi. Semuanya kerana menyiapkan kerja-kerja hakiki yang tak pernah-pernah putus. Tapi di dalam kesibukan tu, aku masih lapangkan masa untuk menonton ketiga-tiga malam pementasan teater ‘Gelanggang Tok Wali’ dari kumpulan Resdongs.


Kumpulan Resdongs adalah nama besar di Tanjung selain daripada kumpulan ABAD. Setakat ini kumpulan Resdong tidak pernah gagal mendapat 3 tempat terbaik setiap kali festival teater Pulau Pinang di adakan. Di peringkat kebangsaan, mereka pernah menggondol naib johan. Jadi sememangnya ramai yang meletakkan harapan yang tinggi bila menonton Gelanggang Tok Wali, hasil buah tangan Ahmad Shazli yang pernah menggondol Pelakon Lelaki Terbaik 3 kali berturut-turut.


Sudah tentu, yang terbaik itu tidak semestinya sempurna. Gelanggang Tok Wali adalah garapan pertama Resdongs di luar waktu festival dan inilah juga garapan pertama mereka dalam bentuk realisme. Selalunya, Resdongs suka bereksperimen dengan cerita-cerita yang tidak boleh diletakkan dalam nahu realisme.

Dan uniknya kali ini, kerana pelakon-pelakon yang mendukungi watak-watak di dalam Gelanggang Tok Wali kebanyakannya adalah hantu tanpa tuan (freelance). Ahli-ahli Resdong yang lain membantu di belakang tabir. Dengan pelbagai latar belakang pelakon, pastinya sukar untuk membentuk lakonan yang mengesankan hati penonton.



Ada yang baru, ada yang lama. Ada yang dari bangsawan, ada yang dari realisme. Ada yang berpendidikan tinggi dalam teater, ada yang berlakon kerana minat. Hasilnya, malam pertama yang suram dan malang. Persembahan yang meleret-leret sehingga memakan masa 2 jam 15 minit kerap mengundang resah penonton. Cuma sesekali bila tiba adegan yang lucu dan pertarungan silat, maka mata penonton segar kembali.

Aku juga resah. Aku kerap melihat kiri dan kanan. Ramai yang berborak-borak. Ada rakan-rakan lain memaklumkan rungutan daripada audien. Mujur juga audien yang hadir malam itu, jika bukan penggiat teater, adalah jemputan yang datang dengan bas, atau rakan-rakan pelakon sendiri. Jadi kadar penonton keluar meninggalkan panggung adalah rendah.


Malam kedua, mujurlah juga tenaganya ada. Tetapi sayang lakonan tidak begitu konsisten. Maka keseluruhan cerita ada ketikanya kabur. Cantiknya kerana masa pementasan cuma 2 jam. Aku mengharapkan yang terbaik pada malam ketiga, tetapi sayangnya juga, tenaga pada malam ketiga amat lemah. Terasa letih sangat. Letih pelakon melekat kepada penonton. Cuma lakonan semakin bagus. Tutur kata dan artikulasi semakin jelas. Walau bagaimanapun, penghayatan lebih baik pada malam kedua.

Tidaklah aku katakana persembahan itu gagal. Lain orang lain citarasanya. Pada malam kedua, ada maklum balas daripada penonton sewaktu sessi soal jawab, bahawa mereka terhibur dengan pementasan yang diadakan. Aku sendiri mengaku pementasan itu tidak gagal. Apa yang ingin disampaikan oleh penulis Ismail Kassan, rasanya sampai kepada penonton. Cuma mungkin tidak begitu mengesankan.


Manalah mungkin dapat menghasilkan sebuah pementasan yang sempurna. Bagi aku, yang tidak sempurna itulah cantiknya di dalam seni. Kesempurnaan dalam seni adalah satu kecacatan.

Menurut pengarah Gelanggang Tok Wali, mereka dah berjaya dari banyak segi. Mereka dah berjaya meningkatkan mutu lakonan para pelakon. Mereka sebagai Resdongs berjaya mementaskan teater di luar waktu festival. Beliau sendiri berjaya mengarahkan sebuah teater realisme, suatu kejanggalan yang beliau tidak pernah lakukan. Biarpun ada kelemahan, tapi tetap berjaya.


Dan aku hormat pada usaha mereka. Kerana aku tahu mereka hormat pada usaha rakan-rakan aktivis teater yang lain. Harapnya mereka terus berkarya.

Janganlah nanti ada pula persoalan seperti siapa bunuh Tok Wali.

07 November 2008

Ulasan Yang Terpulas - Kalut

Ulasan ini mungkin agak lewat dari kebiasaannya. Ulasan ini juga mungkin tidak seperti biasa kerana tidak diiringi oleh imejan-imejan. Aku tidak berkesempatan merakamkan imejan kerana penonton yang hadir memenuhi segenap ruang tempat duduk. Aku sebagai aktivis, lebih suka memberi peluang kepada para penonton yang datang dari jauh.

Ulasan ini juga lewat kerana dikekang oleh tugasan hakiki yang turun menimpan bak hujan ribut tropika. Sampaikan aku tak tahu mana satu yang nak ditadah, mana satu yang nak dicurah. Jadi hasilnya inilah.

Kalut merupakan karya dan arahan pertama Haizal. Kalut adalah adaptasi dari tajuk yang sama oleh Razali Ridzuan. Kalut adalah sebuah teater improvisasi. Sebagai seorang pengarah yang baru pertama kali mahu mengarah selain daripada latar belakang teater yang tidak formal, dia memang berani mengambil risiko. Aku tidak pasti sama ada dia sedar atau tidak risiko yang diambil. Aku tidak pasti adakah Kalut dihasilkan kerana mahu dihasilkan hingga kebanyakan perkara lain terabai.

Pastinya lesen kali pertama mengarah digunakan sepenuhnya. Pengarah sukar dihukum kalau itu kali pertama. Sifat dan budaya orang Asia suka memaafkan kesalahan kali pertama. Beri peluang untuk kali kedua. Tapi pada aku, kalau nak buat yang pertama pun, biarlah betul-betul bersedia.

Kalut memang kalut.

Kalut memang telah berjaya dipentaskan sebagai sebuah pementasan teater. Ramai yang ketawa berdekah-dekah dengan lawak-lawak yang dihamburkan. Konsepnya realisme, ceritanya terus. Tak ada kona-kona. Tapi dari kaca mata seorang penggiat teater amatur, ada kelemahan yang perlu diberi perhatian. Tenaga, tempo, kontinuiti, interaksi antara karakter dan beberapa perkara lagi adalah antara perkara yang paling ketara timbul.

Sudah tentunya, tak boleh salahkan pengarah yang baru kali pertama.

Tapi bila isi persembahan itu sendiri nampak kalut, dan dipersoalkan oleh beberapa penonton, maka semua itu harus diberi perhatian serius. Bukan takut pada penonton yang suka meletakkan standard. Tapi takut kita yang berpuas hati dengan standard itu.

Aku bukanlah pandai sangat. Aku pandai-pandai buat saja. Tanpa latar belakang ilmu teater yang formal, aku sama saja dengan pengarah ini atau orang lain. Tapi aku berpendapat, pengalaman masih boleh diambil kira.

Satu perkara yang paling aku nak tegaskan, bila nak buat sesuatu, sekurang-kurangnya mesti ada ilmu. Kalau nak pandu kereta, sekurang-kurangnya tahu cara menukar tayar bila pancit. Janganlah tahu bawa saja. Bila malapetaka menimpa, kita terpaksa mengharapkan orang lain menolong. Dan sudah tentu, seperti bawa kereta juga, kita tidak tahu semuanya tentang kereta kalau kereta itu rosak. Mekaniklah yang paling tahu. Maka merekalah yang patut kita rujuk kalau mahu membuat perjalanan jauh. Dan mereka jugalah yang akan kita minta tolong kalau kereta kira rosak.

Pementasan juga begitu. Pengarah ibarat pemandu kereta. Pelakon dan ahli produksi adalah penumpang. Kalau pengarah setakat tahu bawa kereta, maka bersiap sedialah dengan segala kemungkinan.

27 October 2008

Ulasan Yang Terpulas - Sofea

Agak lama juga aku tigak menonton teater. Dan agak lama juga tidak membuat ulasan syok sendiri teater yang aku tonton. Semalam, bertempat di Taman Budaya Perlis, kumpulan Budayasari dari Pulau Pinang telah mementaskan teater Sofea, adaptasi daripada naskhah Dalam Kehadiran Sofea nukilan Razali Ridzuan.

Mazlan (kanan) dan Hisham (Suami Sofea) sedang bertengkar.

Mengisahkan Sofea yang katanya diperhambakan oleh suaminya sendiri untuk melacur. Sofea dicintai oleh Mazlan, usahawan kaya. Sofea ada kawan-kawan mak nyah yang turut melacur di samping pelacur veteran yang baik denganya. Sofea ada pelacur yang dengki dengannya yang sentiasa laku dan dicintai orang kaya. Sofea, Sofea, Sofea.

Kehadiran Yus Raja Lawak Astro musim 1 menggamatkan suasana.

Semua Sofea. Tajuknya pun Sofea. Cerita ini sepatutnya tentang Sofea. Tapi aku pastinya ada anomali kerana seni itu subjektif. Kerana rasanya Sofea itu agak kurang terangkat. Tidak adillah aku menyalahkan produksi itu. Watak utamanya masih baru, baru dua kali memegang watak dalam teater. Ini percubaan pertama beliau sebagai watak utama yang berat. Pengarah Anissobri, walau orang lama dalam dunia teater, tapi inilah pengarahan pertama beliau. Jadi pastinya ada kekurangan.

Adegan bersama pelanggan.

Tetapi, sepertimana prinsip aku bila membuat satu-satu persembahan, buat yang terbaik kerana penonton yang datang tidak tahu masalah yang dihadapi oleh produksi itu. Aku yang berada di antara penonton yang sedemikian adakala dapat merasa resah mereka yang mengeluh kerana persembahan yang meleret-leret. Cuma ada ketika mereka gembira digeletek oleh aksi mak nyah, tauke serta beberapa pemain lain, yang watak mereka memang dibina untuk berdiri sendiri. Maknanya. Pisahkan watak mereka dan watak Mazlan, Hisham dan Sofea, cerita itu masih boleh berdiri sendiri.

Untungnya kerana kini di Tanjung sudah ada beberapa kumpulan yang mampu bergerak sendiri untuk menghasilkan pementasan. Biarpun yang berlakon itu dari pelbagai kumpulan yang berbeza, namun sekurang-kurangnya sudah ada kepelbagaian di dalam genre pementasan. Tahniah pada produksi ini. Teruskan lagi.

23 October 2008

Pijak Kepala

Duh!
Letak kepala kau, kasi orang pijak.

Duh! Duh!

Dia tangkap kepala kepala.
Kau letak kepala kau kasi orang pijak.

Duh! Duh! Duh!

Aku paling pantang orang pijak kepala aku!

Sarghhh!!

15 October 2008

Turun

Minyak turun lagi.

Bila minyak naik, ramai orang marah. Katanya naik banyak.

Bila minyak turun sekali, ramai orang marah. Katanya turun sikit.
Bila minyak turun dah tiga kali, ramai orang tetap marah. Katanya turunnya masih sikit.

Agaknya bila minyak diberi percuma macam baja subsidi baru orang tak marah.

Aku tak menyokong mana-mana.
Aku cuma sedar dan bersyukur.

13 October 2008

Datuk

Shah Rukh Khan dah nak dapat Datuk sebab buat filem di Melaka. Itu kata orang.

Harapnya bila Dato' Yusof Haslam, Mamat Khalid, Afdlin Shauki atau ramai lagi nama-nama besar industri filem kita bolehlah dapat apa-apa anugerah semacam Sir, Lord, Duke kalau buat penggambaran di Great Britain.

Agaknya di India ada anugerah Datuk tak? M. Nasir patut dapat dulu sebab dia buat penggambaran Salam Taj Mahal.

Harapnya dan agaknyalah.

08 October 2008

Antara Pucuk Rebung dan Pohon Beringin

Pada ketika ini, otak aku sedang menggelegak. Kalau diceduk agaknya lebih ceroi daripada bubur lambuk pasar Ramadhan. Semuanya bahana memikirkan konsep logo dan juga penataan seni arca untuk APEX. Ketua Turus kata, gunakan elemen pucuk rebung. General pulak kata, apa kata kita cadangkan pohon beringin kerana pengertiannya yang lebih kosmik.

Memang memeningkan.

Aku pernah bercakap tentang fungsi motif pucuk rebung di dalam kain batik Melayu beberapa ketika dulu. Jadi kalau kita merujuk kepada pucuk rebung semata, ia akan bermaksud hubungan antara lelaki dan perempuan serta kesuburan dan benih. Kiranya, ia merupakan suatu metamorfosis atau sebuah kitaran hidup. Pucuk rebung biasanya menjadi kepala kain, bila dah berkitar, barulah benih-benih itu akan bercambah di seluruh dunia. Dalam kes ini, aku rasa terhad kepada dunia Melayu berdasarkan motif kain.

Manakala pohon beringin pula, kalau dilihat dari segi penggunaannya lebih kecil berbanding pucuk rebung yang digunakan secara meluas di atas kain. Pohon beringin cuma digunakan dalam permainan wayang kulit. Ada banyak jenis pohon beringin, tapi konsepnya sama saja. Menggambarkan segala kehidupan yang ada di dalam alam ini. Sebab itu ada motif tumbuhan, burung, ikan, ular naga gajah atau kuda, lembu. Semuanya mewakili sesuatu. Burung itu angkasa/angin, ular naga atau ikan itu laut/air, gajah atau kuda itu belantara dan daratan, manakala lembu pula mendukung seluruh dunia kerana ada kitab kuno mengatakan bumi ini terletak di atas tanduk seekor lembu. Di dalam pohon beringin juga tidak ada motif manusia kerana pohon beringin adalah dunia sebelum kedatangan manusia. Sebab itu, pohon beringin akan dilayangkan dahulu dalam mana-mana permainan wayang kulit sebelum datang watak-watak manusia atau dewa.

Membuat pilihan memang memeningkan.

Kalau ikutkan logik dan kesesesuaian, pastinya pohon beringin lebih sesuai kerana konsepnya yang lebih universal , tidak terhad kepada dunia Melayu. Tetapi elemen-elemen Sanskrit kepercayaan karut yang tertempek pada pohon beringin buat aku sedikit ragu-ragu. Walaupun ada juga pohon beringin yang sudah tidak menggunakan motif haiwan seperti logo ASWARA, tetapi idea asalnya tetap sama, iaitu sebuah dunia yang didokong oleh sesuatu sebelum kedatangan manusia.

Manakala pucuk rebung pula, skopnya pula agak kecil iaitu dunia Melayu semata. Mana ada orang di Eropah pakai kain batik! Tetapi idea kitaran hidup itu lebih kental . Cuma mungkin agak tidak sesuai kerana pucuk rebungnya ada yang terjulur ke atas dan ada yang terbungkam ke bawah. Kalau memilih cuma satu, maka ideanya akan tidak sempurna. Akan nampak pula seperti segitiga, yang kalau silap tafsir macam Freemason pula. Walaupun aku lebih suka pucuk rebung kerana lebih Melayu, tetapi aku masih terpaksa mencari dalil-dalil yang kuat untuk menyokong atau menidakkan pilihan aku ini.

Memang memeningkan.

06 October 2008

Wahai Jiwa-jiwa Yang Tenang

Dalam satu majlis ilmu, aku dengar orang yang berilmu kata, kalau nak jiwa yang tenang, mudah saja.

Salah satu caranya amalkan konsep ingat dan lupa.


"Ingatlah budi baik orang pada kita, dan lupakanlah budi baik kita pada orang.
Ingatlah dosa kita pada orang, dan lupakanlah dosa orang pada kita."



Insyaallah, jiwa kita akan tenang.

26 September 2008

Seni Ke Mati

Vincent Van Gogh hanya berjaya menjual satu karya beliau sepanjang hidupnya.
Kini karya-karya beliau tidak ternilai harganya.

Bagi penggiat seni yang merasakan karya mereka tidak dihargai, jangan bimbang. Lambat laun karya kalian akan dihargai juga.

Selepas mati barangkali. Mungkin boleh dapat pangkat dan kedudukan lagi.

16 September 2008

Lesen Artistik

Kata mereka, seni itu bebas, berubah-ubah, dan tidak ada yang betul atau tidak betul di dalam seni. Semuanya terjunjung di atas batu jemala penonton, pengkritik, penggiat punya persepsi yang berbeza. Pastinya semua ada orang berbeza. Mana ada manusia yang rasanya seratus peratus sama dengan rasa manusia yang lain. Kalau ada pun mungkin manusia itu klon kepada manusia yang satu lagi.

Baca lanjut di Bakawalee-Te.Ta.Mu

12 September 2008

Racist!

Racist adalah perkataan yang digeruni pada masa kini.
Rasanya tiada siapa yang mahu mengaku bahawa dia adalah racist.

Tapi bayangkan, bila kau terdengar seorang mat rempit berkata,

"Aku racist la! Takat motor macam tu, makan asap empat lima tiang la".

Adakah kalian masih boleh tahan tidak ketawa?

04 September 2008

Choose

Which one do you choose?

Live for something, die for nothing;

Or

Live for nothing, die for something.










Fuhh.... my first entry in English!

02 September 2008

Boom!

Boom!

Dok tunggu jari siapa nak putus dulu.

04/09/08

Boom! Boom!

Yah... semalam dah ada jari yang putus. Masuk warta berita.
Penantian selama 3 hari telah berakhir.

19 August 2008

Teater 'Hiroshima' oleh Dewan Budaya, USM


Teater Hiroshima arahan Senibayan oleh Dewan Budaya, USM. Singgah blog Bakawalee-Te.Ta.Mu. untuk rebiu lanjut.

18 August 2008

Gelap lawan Terang

Ada pepatah yang berbunyi, ‘Hilang gelap timbul terang’.
Gelap selalu diberikan konotasi negatif. Gelap itu jahat, gelap itu tidak baik.
Terang itu baik, terang itu bagus.

Tetapi kalian perasan tak. Gelap boleh berdiri sendiri tanpa bantuan. Tidak seperti terang yang memerlukan sumber cahaya. Terang siang kerana matahari. Terang malam kerana lampu. Kalau terang bulan pun, kerana biasan dari cahaya matahari.

Kalau di alam semesta ni, ada partikel yang dikenali sebagai Dark Matter, yang lebih besar daripada galaksi dan memainkan peranan penting di dalam pembentukan dan evolusi sesebuah galaksi. Ada banyak lagi peranan Dark Matter ini. Betapa hebatnya kuasa Tuhan.

Seolah-olah pada masa yang sama, gelap itu sebenarnya sama penting dengan terang. Tetapi adakah peranan budaya sesuatu bangsa itu yang mengaitkan gelap itu kepada perkara yang tidak baik.

Dalam budaya kita sendiri, kerap kali dulu kita tidak dibenarkan keluar bermain waktu senja, iaitu waktu pertukaran cerah ke gelap. Dan gelap malam kita sering dikaitkan dengan hantu yang suka makan budak.

Bagi pasangan suami isteri, kalau mahu bersama pun, adalah lebih baik kiranya ada sedikit cahaya yang menerangi ruang kamar, bukannya gelap terus. Pastinya ada sebab yang tersendiri, katanya takut syaitan datang mengganggu atau mungkin juga takut tak nampak apa-apa.

Dalam filem, memang kerap gelap itu untuk perkara jahat. Filem Dracula, Interview With Vampire; Pontianak akan keluar bila gelap. Dalam Pitch Black, ada makhluk asing yang akan makan orang dan makan sesama sendiri bila gelap. Dalam Highlander 2, bumi diliputi satu jenis lapisan yang melindungi bumi, menyebabkan bumi jadi gelap, dan segala macam kejahatan terjadi kerana gelap. Dalam Sunshine, hidupan bumi hampir mati kesejukan, kerana matahari dah nak terpadam. Ada lagi, dan aku dah tak terfikir.

Pendek kata, seperti yang aku katakan tadi, gelap kerap memiliki konotasi yang negatif. Hitam lebih bernasib baik kerana dikatakan manis, elegan, menawan. Tapi itu pun hitam yang timbul di dalam terang. Cuba kalau hitam itu dalam gelap?

Bukannya aku mempertikaikan agama atau budaya. Cuma aku rasa perkara ini menarik kalau difikirkan bersama.

11 August 2008

Kerepek lawan Popcorn

Malam tu aku tengok Festival Filem Malaysia ke -21. Kala Bulan Mengambang oleh Mamat Khalid menang.

Bukan.

Bukan itu yang aku nak cerita.

Aku tertarik dengan kata-kata pengacara Bob Lokman, “popcorn kita makan kalau filem luar. Kalau filem kita kita makan kerepek.”

Kenapa?

Kenapa kalau di kompleks panggung wayang @ Cineplex cuma dijamu dengan hotdog dan popcorn? Kenapa tak boleh dijamu dengan apom balik, kerepek, kuih-muih lain ke?

Aku tak tahulah kalau di sebelah Kuala Lumpur ada Cineplex yang menjamu makanan tempatan lain. Tapi kalau di sini, walaupun hotdog tu asalnya produk bumiputera, tapi masih lagi makanan barat.

Apa salahkah kalau digantikan dengan roti bakar? Kerepek pisang? Lekeh sangat ke?

26 July 2008

Budaya Ilmu Dalam Teater di Tanjung

Apa yang aku nak cakapkan ni, adalah fenomena yang berlaku di dalam lingkaran dunia teater yang menjadi habitat aku sekarang. Teater Melayu di Tanjung. Keadaannya mungkin sama dan mungkin juga berbeza kalau dengan teater Inggeris atau Cina di sini.

Satu perkara yang ingin sangat aku terapkan ialah budaya ilmu di dalam teater itu sendiri. Sejak mula aku berkecimpung di dalam teater di Tanjung ni, aku sedih kerana melihat para audien yang cuma hadir menonton teater sebagai satu hiburan. Belum lagi mencapai tahap industri, audien dan anggap teater ini macam Broadway atau Westend, datang untuk seronok. Tapi kalau sanggup membayar, tak apalah juga. Ini tidak, mahukan yang percuma juga.

Kerana kesedihan aku itu, aku dan rakan-rakan yang lain cuba terapkan satu budaya kepada para audien percuma ini, iaitu budaya ilmu. Masih baru, tetapi aku rasa sedikit sebanyak impaknya dah ada. Setiap kali lepas persembahan, kami akan adakan sesi viva atau soal jawab dengan audien. Sekurangnya, audien boleh bertanya atau memberikan komen masing-masing terhadap pementasan yang mereka tonton.

Pada mulanya memang kekok. Audien sendiri tidak tahu nak bertanya apa. Tetapi, bila makin kerap diadakan, maka audien pun semakin bijak. Nak pula jika teater yang dipersembahkan itu berbentuk perlambangan. Memang banyak soalan yang perlu dijawab. Tidak kurang juga jika teater yang dipersembahkan dalam bentuk realisme, pun audien tetap mahu bertanya. Harapan aku, selepas ini makin banyak soalan yang akan ditanya dan soalan pula makin bernas dan matang.

Tetapi dalam masa yang sama, aku berasa terkilan juga. Dalam kami berusaha untuk memberikan budaya ilmu kepada audien, tetapi di dalam kelompok kami sendiri, budaya ilmu itu sangatlah kurang. Lupakan siri seminar, wacana teater, mahupun dialog dengan tokoh teater kerana semua itu kalau tidak banyak pun, pasti akan memakan sedikit perbelanjaan, suatu perkara yang perlu kami perhatikan. Tambahan lagi, dengan kepelbagaian latar belakang pendidikan, mentaliti dan sebagainya, perkara-perkara sebegini akan jadi pilihan aku yang kedua (tapi aku kini dalam proses mengadakan wacana teater yang pertama. Insyaallah).

Aku cuma mengharapkan, agar budaya ilmu ini dapat diteruskan walau sekadar sembang-sembang di kedai kopi atau duduk bincang-bincang sebelum latihan bermula. Tidaklah masa itu habis dengan gosip, kutukan dan sebagainya. Walaupun ada sembang perihal teater, ia terhad kepada hal produksi dan nasib teater di sini.

Hummm…..

Nampaknya aku terpaksa tarik balik kata-kata aku. Jangan risau, aku tak buat kenyataan bersumpah.

Aku rasa dah sampai masa sidang ilmu bagi penggiat seni teater di Tanjung ini diadakan secara serius. Biarlah tidak mahal, tetapi serius. Mungkin boleh dimulakan dengan sesi dialog sesama aktivis, membincangkan topik tertentu. Misalnya Teater Realisme dengan Teater Anti-Realisme, mana yang lebih baik. Bila dah ada bajet, barulah boleh dibuat seminar atau kolokium atau memanggil tokoh-tokoh teater yang ada. Entahlah pendekatan aku ini boleh diterima atau tidak oleh aktivis di sini.

Aku suka ambil pendekatan. Buat saja!

Kalau kalian ada pendapat, suarakanlah. Aku sangat hargai.

19 July 2008

Blue Ocean Strategy

Satu sebab menjurus kepada satu sebab. Satu sebab boleh menjadikan sebab musabab.

Awal Julai lalu, aku dan ramai lagi telah diberi penerangan tentang pesiapan tempat kerja aku untuk dinilai menjadi salah sebuah universiti yang terlibat di dalam Accelerated Program for Excellence (APEX). Dan dalam banyak-banyak perkara yang diterangkan, selain daripada isu pelestarian, aku amat tertarik dengan satu strategi korporat yang baru yang dinamakan Blue Ocean Strategy.

Blue Ocean Strategy dihasilkan oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborqne. Kedua-duanya dari INSEAD Blue Ocean Strategy Institute. Buku ini telah terjual lebih daripada 1 juta naskhah pada tahun pertama diterbitkan dan telah diterjemahkan kepada 41 bahasa.

Aku memang tak tahu menahu langsung tentang kewujudan buku ini. Nampak sangat aku ni antara rakyat Malaysia yang malas membaca buku-buku bermanfaat sebegini. Tapi di dalam taklimat yang aku dengar, secara ringkasnya telah dinyatakan apa itu intipati Blue Ocean, yang membuatkan aku sangat berminat untuk berkongsi dengan kalian.

Kita ambil contoh kes :

Pak Razali seorang penjual apom balik di pasar Lorong Kulit. Dialah satu-satunya penjual apom balik dan apom baliknya mendapat sambutan yang menggalakkan. Sebelum itu tidak ada peniaga lain yang menjual apom balik.

Pak Razali telah mencipta Blue Ocean.

Melihat populariti apom balik Pak Razali, Pak Azmir dan Pak Haizal pun mula berniaga apom balik juga di pasar Lorong Kulit. Walaupun apom balik Pak Razali masih laku di pasar itu, tapi jualannya telah berkurangan.

Pak Razali kini telah berada di Red Ocean.

Menyedari hal itu. Pak Razali mengubah strateginya dengan mula menjual kuih tahi itik dan kuih akok, yang cuma popular di Pantai Timur.

Pak Razali kembali ke Blue Ocean.

Intipati contoh kes ini sangat mudah dan intipati Blue Ocean Strategy itu juga sangat mudah. Buatlah perkara yang orang belum pernah buat, atau yang orang sudah tidak buat, asalkan kita berbeza dari orang lain. Sekiranya apa yang kita buat itu dituruti oleh orang lain, maka secara tidak langsung kita akan tercebur ke dalam Red Ocean. Maka carilah jalan untuk memasuki Blue Ocean lagi.

Jika mahu dilihat pada contoh korporat pun banyak.

Dulu Maggi merupakan pelopor mee segera di Malaysia. Maggi berada di dalam Blue Ocean sehinggalah pesaing lain turut masuk serta seperti Cintan, Ibumie, Indomie, Adabi dan segala macam lagi, sehingga ia menjadi Red Ocean.

Sayangnya, pengusaha Bumiputera seperti Adabi turut menceburi Red Ocean itu. Seharusnya Adabi mencipta Blue Ocean sendiri.

Begitu juga dengan Milo, yang kini disaingi oleh Ovaltine, Vico, Cadbury dan juga terbaru Oligococo.

Dulu Pampers mungkin merupakan lampin pakai buang yang terawal. Sekarang lihat apa yang terjadi?

Strategi ini mungkin ditulis untuk para korporat. Tapi aku melihat strategi ini sebenarnya berguna juga di dalam kehidupan kita. Cuma aku rasa kita ini tidak mudah untuk keluar dari zon selesa. Dan kalau mahu melakukan perubahan, banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan, juga aku rasa tidak ramai yang sanggup berkorban.

Dalam konteks seni teater itu sendiri, para aktivisnya harus mencipta Blue Ocean masing-masing agar kesegaran idea itu dapat dikekalkan. Sedihnya kerana dari dulu, sejak Stanilavski lagi orang masih menggunakan cara yang sama bila menghasilkan naskhah realisme atau dramatik. Pendekatan Brecht pula digunapakai bila mahu menghasilkan epik teater. Malah, kalau mahu menghasilkan teater fitrah atau Islamik, maka Dato’ Noordin Hassan menjadi panduan.

Bukannya tidak boleh merujuk orang-orang yang berilmu ini. Tapi ada masanya, kita perlu melangkah keluar dari kotak dan berfikir luar dari kotak (pendekatan Blue Ocean Strategy mungkin selari dengan Think Outside The Box, tetapi perinciannya kemungkinan tidak sama).

Ibarat sebiji kelapa tumbuh. Yang terus tumbuh menjadi sebuah pokok kelapa (mestilah pokok kelapa, takkan pokok taugeh pulak). Bila berbuah, buahnya itu pula akan menyebar menjadi pokok kelapa di tempat lain. Buah itulah yang boleh dianggap Blue Ocean.

Stanilavski, Brecht, Dada, Plato, Emmanuel Kant, Jallaludin Rumi, Khalil Gibran, Dato’ Nordin Hassan, Dato’ Johan Jaffar dan lain-lain adalah sumber ilmu. Adunlah ilmu yang diperolehi dan hasilkan Blue Ocean itu sendiri di dalam bidang seni teater.

Tapi usaha ini bukannya usaha berseorangan. Kerana teater itu adalah kerja berpasukan. Nak berenang di dalam Blue Ocean pun, bukan berseorangan, tapi bersama-sama.

Ini baru komen intipati. Kalau aku baca buku Blue Ocean. Harus aku boleh terbitkan satu buku lain pula.

Tapi aku tetap tak boleh lawan Naga. Buku dia dah banyak.

16 July 2008

Cakap Yang Benar

Ha ha ha....

Aku ketawa dulu sebelum bercerita.

Seorang suami pulang ke rumah selepas kerja. Dari kejauhan dia dengar suara isterinya menengking pembantu rumah Indonesia. Isterinya marah-marah kerana seluar dalam mahalnya hilang.

"Alah.... setakat sehelai tu, nanti saya ganti balik. Apa yang nak bising-bising macam debat perdana," kata si suami.

Balas isterinya, "Kalau sehelai tak apa bang, ini dah sepuluh helai. Abang nak saya diamkan lagi? Ini mesti kerja budak ni!"

Terperanjat, suami mahukan kebenaran. Dengan tegas dia bertanya kepada pembantu Indonesianya, "Kamu jangan cakap bohong! Kamu ambil atau tidak seluar dalam Ibu? Cakap yang benar!"

Maka dengan terketar-ketar pembantu Indonesia itu menjawab dalam pelat Yogyakarta, "Tidak pak, saya tidak ambil pak. Bapak sendiri tahu, saya tidak pakei seluar dalam kan?"

04 July 2008

Buah Jatuh Tak Jatuh

Newton menunggu buah epalnya jatuh.
Dia dapat ilham tentang graviti.

Kita tunggu buah tak jatuh-jatuh.
Kita dapat ilham tentang menunggu hingga mati.

23 June 2008

Ulasan Yang Terpulas - Mesyuarat Agung Tahunan Superhero

3 malam persembahan, dengan 1 malam cuma yang dapat aku hadirkan diri, objektif aku mengadakan pementasan yang menjentik usaha fikir penonton telah berjaya. Walaupun banyak kelemahan dari segi persembahan keseluruhan, tapi yang penting adalah komunikasi dengan audien itu berjaya.
Para superhero yang terselamat sedang inging mengetahui apa yang sebenarnya telah terjadi pada dunia.


Tiongman sedang menari kerana seronok dapat mengenakan Super.


Stom sedang memberikan penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku pada ketika itu.


Hak dan Super bergaduh kerana rasa tidak puas hati.


Super merajuk dengan Moon yang kerap kali membela Tiong yang bodoh dan tidak kacak.


Lagu yang menggambarkan mood percintaan Moon dan Super.


Lagu yang menggambarkan panasnya cinta Cat pada Hak.


Cat sedang menggoda Hak yang tidak keruan dengan cinta tersembunyi Cat.


Tiongman sedang dibelasah oleh Super, Ultra dan Hak yang tidak puas hati dengan perangainya yang suka bercakap benar.


Ahli produksi Mesyuarat Agung Tahunan Superhero. Terima kasih kepada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

16 June 2008

Watak Gemuk, Watak Kurus

Masih aku ingat beberapa hari yang lepas, aku berbual dengan seorang artis (pelukis) Malaysia yang tersohor dan dari generasi perintis iaitu Syed Bakar Syed Salim. Kata beliau, di dalam opera Barat, ada signifikan watak yang ketara antara yang kurus dan yang agak berisi.

Watak yang kurus selalu digambarkan sebagai orang jahat dan begitulah sebaliknya. Jika bertopeng pun, mestilah topeng yang kurus dan kuyu sebagai lambang kejahatan.

Aku tidak pasti kenapa boleh jadi begitu. Mungkin pada zaman permulaan opera pada kurun ke-16 hinggalah zaman kebangkitannya pada kurun ke-19, tahap sosioekonomi yang tidak seimbang menyebabkan golongan bangsawan ini menganggap si miskin yang kurus dan tidak cukup makan sebagai jahat kerana selalu mencuri makanan mereka.

Ini cuma telahan aku. Mungkin juga tidak tepat.

11 June 2008

Mesyuarat Agung Tahunan Superhero

Aku memang setuju sangat-sangat dengan ungkapan kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Kerana ketika aku merancang sebuah pementasan pada waktu yang sepatutnya menjadi waktu senggang aku, sebaliknya aku dihujani pelbagai tanggungjawab yang perlu selesaikan. Menjadikan banyak aspek pengurusan dan artistik pementasan ini aku abaikan.

Tidak seperti Devian Dogma : Orang Minyak Mengganas, Mesyuarat Agung Tahunan Superhero sebenarnya lebih merupakan escapism kepada para pemain teater lama (lama maksudnya pernah berlakon dalam lebih daripada 2 pementasan) dan juga platform kepada pemain teater baru untuk mencuba bakat.

Sinergi ini memberikan satu rasa perlunya aku untuk berusaha dalam santai, di dalam proses mengarah dan mengarah. Naskhahnya juga mungkin nampak ringan, tetapi seperti biasa, dalam ketawa aku suka menempelak orang yang ketawa. Dan kerap kali orang yang ketawa tidak tahu yang sebenarnya mereka sedang mentertawakan diri sendiri.

Ruginya pada penonton yang tidak sudi tunggu sesi viva (soal jawab) kerana di sinilah segala kekusutan benang dilanda ayam akan dirungkaikan. Aku rasa budaya viva bagi pementasan di sebelah Tanjung ini dah semakin dapat diterima. Cuma aku masih menunggu soalan-soalan yang dapat membantu memerah minda aku, para produksi dan penonton lain pula.

Komen-komen provokatif seperti yang pernah aku terima dari Normah Nordin ketika mengarahkan Jebat : The Untold amat merangsang minda aku. Kerana pada ketika ini, aku berasa aku sudah sangat kurang berpolemik secara intelektual. Hinggakan kerap kali aku buntu bila mahu menjana idea-idea di luar tempurung.

Mesyuarat Agung Tahunan Superhero akan menghidangkan talam kosong kepada para tetamunya. Kalau ada isi pun mungkin bekas air sirap atau lelehan kuar rendang besar bersama beberapa butir nasi dan hirisan bawang.

Maka tetamu ini haruslah mencari apa yang aku hidangkan di sebalik talam itu. Hint sudah diberikan, tetapi aku mahu tengok apakah dalam ketawa, hint itu cuma tinggal lontaran vokal para pelakonnya saja.

Kalau sudi dan ada kelapangan, datanglah ke pementasan ini di Auditorium P.Ramlee, Pulau Pinang pada 20, 21 dan 22 Jun 2008, 8.45 malam dan di Taman Budaya Kedah pada 27 Jun 2008, 8.45 malam. Masuk percuma.

Jomlah, kita ajak masyarakat kita agar rajin sikit berfikir.

05 June 2008

Minyak Naik, Barang Naik

Ramai orang naik minyak bila minyak naik.
Tapi kata orang tak elok naik minyak, nanti kena darah tinggi dan sakit jantung.

Bila minyak naik, barang pun naik.
Tapi kata orang lelaki, barang perlu naik.
Kalau tidak susahlah para isteri.

Hailah nasib.

27 May 2008

Akhbar Tabloid Atau Edisi Petang?

Sebenarnya sudah beberapa bulan aku tertanya-tanya. Aku lihat beberapa akhbar di luar negara, ada edisi petangnya. Kalau di sini, akhbar berbahasa Cina pun, ada edisi petangnya. Tapi kenapa akhbar arus perdana kita tak ada edisi petang? Aku tidaklah hairan sangat kalau akhbar berhaluan kiri itu tidak ada edisi petang. Bukannya jualan akhbar itu boleh menandingi akhbar arus perdana. Tapi kemusykilannya timbul pada akhbar arus perdana.

Apakah negara kita ini ketandusan cerita yang boleh dikhabarkan? Atau apakah kita juga kegersangan penulis artikel? Sehinggakan tidak mampu untuk menerbitkan akhbar edisi petang?

Ataupun mungkin juga akhbar kita kekurangan bajet, hingga tidak mampu menerbitkan edisi petang? Tapi jika benar kekurangan bajet, kenapa diterbitkan pula akhbar berbentuk tabloid? Mahu cari pendapatan tambahan dengan longgokan iklan?

Yang tidak seronoknya, bila kita baca akhbar edisi tabloid dan akhbar utama dari syarikat yang sama, berita yang dipaparkan ada di antaranya sama. Berulang-ulang. Tidakkan lebih baik jika salah satu ditumpukan pada akhbar edisi petang?

Aku bukan jurnalis mahupun wartawan mahupun editor. Mungkin ada perkara yang aku tidak nampak, yang tidak memungkinkan penerbitan akhbar edisi petang. Tapi selagi aku tidak nampak perkara yang tersembunyi itu, aku tetap pada suara hati aku, bahawa akhbar arus perdana patut ada edisi petang berbanding tabloid.

Kalian pula berasa bagaimana?

16 May 2008

Peram Penulisan

Aku baru menyiapkan skrip terbaru.

Dalam dihambat masa dan kesibukan, aku siapkan juga. Aku paksa diri untuk siapkan kerana aku sangat cekap bekerja jika ada tarikh ajal.

Tapi kalau Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Haji Salleh tahu aku siapkan skrip dalam masa yang pendek, pasti dia rendam aku dalam Tasik Harapan (bukan tasik yang memberi harapan, tapi sebuah tasik di Universiti Sains Malaysia).

Kata beliau, sebuah naskhah tulisan, tidak kira apa genre, setelah selesai ditulis, haruslah diperam beberapa lama, sehingga kita tidak memikirkan tentang penulisan kita itu. Lepas dah tak ingat sangat apa yang kita tulis, barulah diambil balik, ditelaah balik. Kata beliau pasti ada yang boleh kita baiki.

Pendapat yang sama aku dengar dari Azizi Haji Abdullah. Kata beliau, tulisan kita itu, selepas selesai ditulis hari ini. Esok cuba baca balik, pasti ada yang kita rasa perlu tambah buang.

Aku sangat setuju dengan kaedah ini kerana aku sendiri pernah mencubanya suatu ketika dulu ketika aku baru belajar menulis novel dalam buku latihan sekolah (aku dah tak tahu ke mana hilang novel-novel itu). Memang banyak yang boleh diperhalusi.

Beza Prof. Muhammad dengan Azizi, cuma jangka masa peraman itu. Azizi lebih singkat, tapi lebih kerap semak semula. Prof. Muhammad lebih lama, mungkin kurang kerap.semak semula. Kata Prof. Muhammad, beliau biasanya menyemak semula lebih kurang 4 hingga 5 kali selepas tiap kali peraman. Aku tidak ingat berapa banyak semakan semula Azizi.

Kerana kata Prof. Muhammad, seorang pemenang anugerah Nobel yang pernah beliau temui menyemak sehingga empat belas kali sebelum diterbitkan. Itu termasuklah diberikan kepada pelbagai pihak untuk dikomen. Barulah boleh menghasilkan penulisan yang baik.

Aku setuju.

Malangnya aku tidak mampu berbuat begitu. Masa begitu memagar sempadan kreatif aku. Aku seringkali di dalam dilema, antara tuntutan tugas atau tuntutan minda. Dan seringkali aku beralah dengan tugasan. Sekiranya aku buat macam pemenang anugerah Nobel itu, maka skrip yang aku hasilkan pastinya cuma boleh dimurnikan dalam tempoh setahun, mungkin juga lebih. Nak buat penulisan baru semasa pemeraman? Lagi setahun pula diperlukan.

Agaknya kalau entri blog ini pun aku peram dahulu, entah bila kalian dapat membaca entri-entri kosong ini.

09 May 2008

Lain Pengarah, Lain Macam

Kekalutan tugas menyebabkan aku agak lewat menjamu entri baru. Dan kekalutan kerja juga menyebabkan aku tidak sempat menonton sebuah pementasan teater yang hebat iaitu ‘Bila Lagi Kompang Berbunyi’. Kerana pada masa yang sama, aku berada di Cherok Paloh, Kuantan, Pahang untuk program Rantau Budaya 3.

Ingat lagi Rantau Budaya? Kali pertama di Merbok, Kedah dan kedua di Bumbong Lima, Pulau Pinang. Entri mengenainya juga telah dimuatkan. Tapi untuk Rantau Budaya kali ini, mungkin agak lewat sedikit aku muatnaik entrinya kerana aku tidak punya masa untuk duduk menanti gambar-gambar dimuat naik.

Itu baru intro.

Bagi yang menjadi aktivis teater seperti aku ini, jikalau tidak banyak, sedikit pun pasti ada pengalaman berteater di bawah pengarah-pengarah yang berbeza. Sudut pandangan aku sangat menyetujui agar ada lebih ramai pengarah supaya setiap aktivis dapat merasakan bentuk pengarahan yang berbeza. Bukan sahaja bentuk pengarahan tetapi juga bentuk dan hala tuju produksi kerana secara normalnya, pengarah di dalam kumpulan teater amatur mempunyai kuasa yang hampir total dalam mencorakkan produksinya. Baik dari segi publisiti, rekaan set, tatacahaya dan bunyi, dan jadual latihan. Meskipun ada pengurus produksi/publisiti, pereka set, penata cahaya dan bunyi dan pengurus pentas yang menjalankan semua perkara itu, tetapi kata putus normalnya datang dari pengarah.

Itu teater amatur. Mungkin berbeza mengikut tempat. Mungkin ada yang kurang sistematik pengurusannya, mungkin yang sekadar sederhana, mungkin ada yang sudah mencapai tahap professional.

Aktivis yang duduk di bawah pelbagai pengarah yang berbeza, akan lebih matang di dalam mendepani masalah dan perihal teater. Kerana setiap pengarah mempunyai bentuk dan cara yang tersendiri. Tiada siapa boleh menuding jari mengangkat tangan mengatakan aku bagus. Kerana masing-masing punya kelebihan dan kelemahan. Di situlah datangnya keunikan berteater.

Setiap pengarah mempunyai identitinya yang tersendiri (kecuali pengarah baru). Misalnya isme-isme yang berbeza, objektif pementasan, garapan naskhah, dan perangai yang pelbagai. Ada yang cekap di dalam realisme, ada yang memilih anti-realisme, ada yang memilih dramatik teater, ada yang memilih epik teater, ada yang menjadikan pementasan medan meluahkan idea dan pendapat, ada yang memilih untuk menarik perhatian audien sebagai subjek utama, ada yang serius, ada yang santai, pendek kata macam-macam perangai pengarah.

Maka di sinilah aktivis yang bergiat di bawah pengarah berkenaan, akan dapat melihat kelebihan dan kekurangan, dan memilih yang baik untuk diamalkan di dalam produksi lain pula.

Di Tanjung saja ada lebih kurang 5 orang pengarah yang secara aktif mengarah dan juga terlibat di dalam produksi pengarah lain. Paradigma yang berbeza inilah berjaya memberikan sinergi di dalam pementasan teater di Tanjung. Tidaklah audien hanya melihat satu bentuk pementasan sahaja sepanjang masa. Aku tidak tahu senario di negeri-negeri lain. Apakah begini juga keadaannya?

Sedikit pesanan. Aku tidak pula menafikan kelebihan berteater dengan seorang pengarah sahaja.

28 April 2008

Yak Yak Ye

Padap padap padap pu
padap padap padap pu
Yak yak ye

Padap..... padap pada pu
Padap padap pada........

La.... la.... la..... la... la la la
Hey!
La la la la..... la
Yak yak ye

Thank you! Thank you!

22 April 2008

Blog di RTM

Semalam, secara tak sengaja aku tertonton rancangan bual bicara bertajuk Blog di RTM. Rancangan bual bicara selama 20 minit tu menjemput seorang penulis blog yang berpangkat Dato’ untuk membicarakan tentang persepsi masyarakat tentang blog. Moderatornya pun aku tak kenal, maklumlah aku pun jarang tonton tivi. Masa yang ada cuma 20 minit tak termasuk iklan dan panggilan dari penonton, maka moderator pun terkejar-kejar menanyakan soalan.

Apa yang menarik perhatian aku, adalah analogi yang diberikan oleh tetamu jemputan iaitu mengibaratkan blog seperti sebuah kereta. Bagi kita bloggers ini, pastinya kita tidak memandangan serong pada blog dan penulisnya. Tetapi hasil daripa persepsi beberapa orang yang membaca blog berunsur politik terutamanya yang ekstremis, maka secara umumnya semua penulis blog dianggap begitu oleh sesetengah golongan masyarakat.

Hal ini pernah disebut oleh salah seorang bloggers kita sebagai over generalization iaitu main pakai sapu semua. Bagi masyarakat yang tidak biasa membaca blog, dan mungkin juga tidak berinteraksi secara langsung dengan internet, maka inilah persepsi mereka, hasil daripada komen sesetengah pihak ke atas blog berunsurkan politik.

Maka ramailah yang menuduh bukan-bukan tentang penulis blog, semuanya dikatakan mengancam ketenteraman negara. Sedangkan mengikut kata tetamu jemputan rancangan Blog ini, daripada 50 buah blog yang paling popular di Malaysia, hanya 8 yang berunsurkan politik. Malah blog yang menduduki tangga teratas hanya menceritakan tentang catatan peribadi.

Berbalik kepada analogi yang menarik perhatian aku, iaitu blog umpama sebuah kereta yang membawa kita ke destinasi yang kita mahu. Seperti juga penulis blog, pemandu kereta boleh membawa kereta dan penumpangnya ke pasar, ke masjid, ke pusat peranginan, malah ke rumah. Tapi apakah semua pemandu kereta harus dipersalahkan sekiranya ada di antara pemandu yang membawa keretanya untuk diletupkan di bangunan kerajaan?

16 April 2008

Jom Jadi Bodoh

Cacing nak jadi ular lidi.
Ular lidi nak jadi naga.
Naga nak jadi dewa.

Orang kata jangan dibiar telunjuk menjolok mata.
Tapi sanggupkah kalian mengerat telunjuk sendiri?

14 April 2008

Silang Watak

Aku harus mengaku yang aku agak jarang menonton rancangan tivi teresterial. Rancangan siaran tivi berbayar pun banyak juga yang tidak aku tonton. Tapi sekala aku tercongok juga di depan tivi, menonton episod seperti CSI, House atau sebagainya yang pada aku menyegarkan berbanding rancangan tivi lain.

Apa yang ingin aku bangkitkan di sini, adalah kerja-kerja silang watak bagi rancangan tivi di bawah penerbit yang sama. CSI : Vegas, CSI : Miami, CSI : New York dan Without A Trace adalah di bawah penerbit eksekutif yang sama iaitu Jerry Bruckheimer. Apa yang menariknya, watak Mac Taylor di dalam CSI : New York dalam beberapa episod diwujudkan di dalam CSI : Miami, begitu juga sebaliknya. Dan terbaru watak Jack Malone di dalam Without A Trace diwujudkan pula di dalam CSI : Vegas.

Silang watak ini secara tidak langsung menimbulkan rasa keterujaan para penonton terutama yang secara aktif mengikuti siri ini. Kerana setiap watak yang diwujudkan itu sudah dikenali sifat dan perangainya, jadi penonton teruja melihat apa yang akan terjadi bila watak itu ditemukan dengan watak utama dalam siri yang lain.

Sayangnya, perkara silang watak di Malaysia ini mungkin cuma terjadi di dalam majalah komik Ujang, yang pernah aku ikuti beberapa ketika dahulu. Watak yang dihasilkan oleh kartunis lain wujud di dalam kolum kartunis lain. Perkara sebegini mungkin (aku katakana mungkin kerana aku juga tidak mengikuti secara tetap beberapa drama bersiri tempatan yang punya penerbit yang sama) tidak berlaku di dalam drama tempatan kita.

Misalnya Gerak Khas, Sembilu Kasih dan Pasrah yang dihasilkan oleh penerbit yang sama. Rasanya penonton pasti akan teruja jika sesekali watak utama Gerak Khas muncul di dalam Sembilu Kasih dengan plot yang tertentu begitu juga sebaliknya.

Begitu juga dengan Dunia Anita dan Puteri. Pastinya ramai yang teruja jika sekali sekala watak ini bertemu di dalam mana-mana episod khas (tidak semestinya episod raya sahaja).

Janganlah pula kalian menuduh aku seorang yang berkiblatkan Hollywood. Aku cuma melontarkan rasa sebagai penonton yang mahu industri seni kita makin kreatif. Dan sekiranya apa yang aku suarakan ini telah pun dilakukan oleh para produser tivi kita, aku turut memohon maaf kerana aku juga bukan penonton tivi yang tegar.

Pokok pangkalnya. Apakah kalian bersetuju dengan apa yang aku bangkitkan ini?

11 April 2008

Binatang Paling Betul

Dalam perjalanan ke satu destinasi, dalam sebuah kereta tidak mewah, seorang teman aku bertanya satu soalan menjana sel-sel otak.

Teman : Dalam banyak-banyak binatang, binatang apa paling betul?

Aku : Ni apa punya soalan ni?

Teman : Jawab sudahlah!

Aku : Singa.

Teman : Sebab?

Aku : Sebab singa raja binatang.

Teman : Tidak tepat.

Teman Seorang Lagi : Kancil! Sebab dia paling pandai.

Teman : Pun tak tepat.

Aku : Kongkang!

Teman : Kongkang? Kenapa pulak kongkang?

Aku : Aku punya sukalah, aku rasa senang nak sebut kongkang.

Teman : Macam tu pun ada.

Teman Seorang Lagi : Habis tu apa jawapannya?

Teman : Babilah!

Aku : Babi?

Teman Seorang Lagi : Sebab?

Teman : Sebab tiap kali korang maki, mesti ada yang sebut 'babi betul'! Mana ada kancil betul, kongkang betul! Ha ha ha ha.......

Aku : Babi betoi!

07 April 2008

Sekitar Pekan Teater UUM 2008

Baru-baru ini aku sempat hadir menonton beberapa buah pementasan di Pekan Teater UUM 2008 yang saban tahun dianjurkan tanpa jemu. Ada 5 buah dewan penginapan (dulu dikenali dengan nama kolej kediaman. Tak tahu sebab apa diubah istilahnya) yang mengambil bahagian daripada 12 buah dewan penginapan (betul ka 12); Kachi 1, Proton, Mas. Petronas dan Tradewinds.

Aku sempat menonton 3 pementasan sahaja. Mujur rezeki aku baik kerana ketiga pementasan yang aku tonton mendapat 3 tempat utama di dalam pertandingan ini. Tahniah diucapkan kepada Mas yang menjadi Johan serta merangkul pelakon lelaki, wanita dan pengarah terbaik serta kepada tuan rumah atau penganjur Tradewinds yang mendapat tempat ke-3 serta merangkul pelakon pembantu lelaki dan wanita terbaik.

Dan setinggi tahniah juga kepada Petronas, yang mendapat tempat kedua, walau tidak merangkul sebarang anugerah individu. Ini membuktikan kekuatan persembahan secara keseluruhan kalian. Terima kasih juga kerana mementaskan karya aku Nefertiti tanpa jemu.

Sayang sekali aku tidak membawa bersama kamera SLR kerana kamera digital kompak yang sedia ada tidak mencukupi untuk menghasilkan imej yang terbaik. Apa-apa pun tahniah kepada semua. Aku bangga kalian buat pementasan bukan semata-mata kerana ingin menang tetapi kerana semangat berpasukan dan bersaing dengan cara yang positif.

Aku harap ada di antara kalian ini akan menjadi aktivitis teater yang terus menggerakkan industri teater tempatan. Di sinilah kalian bermula, dan aku pasti bukan di sini kalian akan berakhir.

Tahniah sekali lagi. Aku nantikan 2009 pula.

01 April 2008

Hentam Sajalah!

Aku duduk lepak dengan para sahabat dan abang sahabat. Abang sahabat membuka cerita. Dalam kelas beliau ada seorang pelajar cuba berbahasa Inggeris. Beliau amat menggalakkan pelajar beliau berbahasa Inggeris walaupun Inggeris pasar. Kata pelajar itu.


"Sir, this man like like heart talk to me la!"


Maka pecahlah gelak ketawa kami di kedai kopi itu.

27 March 2008

Kiblat Sketsa Boria

Salah satu elemen penting di dalam persembahan boria selain daripada muzik, tarian dan nyanyian, adalah sketsa boria. Dalam sketsa boria ini, topik yang nak diperkatakan mestilah sama dengan rangkap karangan yang akan dipersembahkan di dalam boria.

Seperti mana dikir barat dan wayang kulit Siam yang menggunakan dialek Kelantan, Dondang Sayang yang menggunakan dialek Melaka, wayang kulit Gedek yang menggunakan dialek Kedah Siam, begitu juga sketsa boria yang lebih afdal menggunakan dialek Tanjung.

Di dalam Festival Boria Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2008 baru-baru ini, sebanyak 10 buah universiti telah mengambil bahagian. Dan pastinya lakonan sketsa boria dilakukan bukan hanya oleh orang Utara, malahan orang Pantai Timur dan Selatan.

Usaha mereka untuk cuba menggunakan dialek Tanjung amatlah dikagumi dan dihargai. Meskipun pastinya tidak boleh 100 peratus sama dengan masyarakat di sini, tetapi usaha mereka patut dipuji.

Cuma sayangnya, rujukan tentang gaya bahasa nana dan mami agak kurang, menyebabkan kebanyakan mereka ini berkiblatkan filem-filem tempatan berkenaan budaya hidup dan bahasa di Tanjung ini, di mana ada di antaranya kurang tepat dan berlebih-lebihan (exaggerate) malahan ada yang sengaja dikomikkan.

Oleh itu, produk sketsa boria pada festival berkenaan, meskipun lucu, bermesej dan menepati tema sesetengahnya, tapi ada di antara watak-wataknya merupakan salinan kepada watak dalam filem-filem berkenaan yang tidak mencerminkan karakter masyarakat di sini secara total.

Sayang sekali.

24 March 2008

Monkey Beach a.k.a. Teluk Duyung Lagi

Pantai Teluk Duyung dari kejauhan.....


Kerja-kerja memasak sedangkan dijalankan oleh Chef jemputan.


Permainan ganas dalam laut.


Kera memanjat pokok gajus mencari buah.


Keluarga teater di Tanjung (hampir semua hadir kecuali beberapa kerat).


Demi kerja....... sesungguhnya manusia yang bernama Bujang Manis dalam kerugian.


15 March 2008

Baca Bismillah

Seorang tokoh bertanya pada seorang lagi.

Tokoh : Awak makan nasi baca bismillah tak?

Seorang Lagi : Baca.

Tokoh : Minum? Baca bismillah?

Seorang Lagi : Baca.

Tokoh : Hisap rokok?

Seorang Lagi : Errr.... aaaa....errrr......

11 March 2008

Misi Angkasa

Kata sahabat aku, kerajaan sebenarnya dah dapat meramal kekalahan mereka di beberapa buah negeri.

Sebab itulah Angkasawan Negara cuma dihantar naik roket Soyuz ke ISS sahaja.
Kalau dihantar sampai ke bulan, nescaya makin banyak negeri yang akan tumpas.

Kata sahabat aku lah, penganalisis politik kopitiam.

06 March 2008

Tra-La-La-Hi-Hi

Ribut dah makin reda.
Harapnya jangan taufan pula melanda.

Eeeeeekkkkkk......... shaiton menggoda.

29 February 2008

Obligasi Sosial


Merokok Membahayakan Kesihatan Kawan-kawan.
Foto Ihsan Kamerafon Butaseni.

24 February 2008

Zon Selesa

Tajuk ini aku yakin memberikan banyak konotasi kepada kalian. Daripada perihal kerjaya, gaya hidup, mahupun peribadi. Tapi seperti biasa aku akan mengecilkan skop tajuk ini kepada perihal seni teater sahaja.

Kita bercakap tentang lakonan dahulu.

Zon selesa, pada aku adalah satu tahap di mana para pelakon (atau pemain mengikut gelaran sesetengah pihak) berada selesa dengan apa yang mereka lakukan. Maknanya, pelakon ini tidak ada masalah jika diberi watak yang berada di dalam zon selesa ini.

Misalnya seorang pelakon memang kita tahu sangat selesa dengan watak air mata. Jadi sekiranya diberikan watak yang perlu bermain dengan air mata, maka pelakon berkenaan akan berasa selesa. Lakonan pelakon itu juga akan lebih berkesan dan mudah menarik perhatian audien. Begitu juga sekiranya seorang pelakon itu menyenangi watak pembengis. Maka sekiranya pelakon itu membawakan watak yang sedemikian, lakonannya akan lebih berkesan.

Dalam bahasa mudahnya, aku melabelkan mereka stereotaip.

Jangan salah anggap, aku bukan anti-stereotaip. Tidak ada salah langsung menjadi stereotaip asalkan lakonannya berkesan. Tapi secara personalnya, aku rasa tidak cukup dan tidak puas menjadi stereotaip. Aku lebih suka pelakon yang versatile dan berkesan lakonannya. Pelakon yang mampu membawa pelbagai bebanan watak dan meninggalkan kesan kepada audien.

Itulah yang aku katakan zon selesa. Pelakon yang versatile akan suka untuk keluar dari zon selesanya. Tetapi kerap kali pelakon sebegini akan ditenggelami oleh pelakon stereotaip yang sering kali mengasah keberkesanan lakonannya berulang kali melalui bentuk watak yang sama.

Fenomena ini jugalah yang menjadi kelemahan utama kepada mereka kerana setiap kali pertandingan diadakan, dengan panel penilai yang berubah-ubah, maka pelakon yang versatile akan terpaksa bekerja keras untuk mengatasi pelakon yang stereotaip. Dan kerap kali sudah tentunya, penilai yang baru pertama kali melihat lakonan pelakon yang ada ini, akan memberikan kemenangan kepada pelakon yang lakonannya lebih berkesan. Mungkin keadaan ini akan berbeza sekiranya penilai yang membuat penilaian merupakan orang yang sama saban kali. Kerana mereka akan dapat melihat perkembangan kualiti lakonan pelakon yang versatile ini.

Keadaan yang sama juga berlaku ke atas ahli produksi yang lain. Aku secara personal yang pernah bertindak sebagai pengarah dan penulis, juga mahu keluar dari zon selesa aku.

Tapi malangnya aku sendiri belum nampak apa zon selesa bagi aku. Inilah kelemahannya bila menjadi mata, kerana tidak dapat melihat diri sendiri. Aku cuba jadi mata burung, tapi kerap mata aku dicekup tempurung. Harapnya satu masa ada orang lain akan dapat mengesan zon selesa aku agar aku dapat keluar darinya.

20 February 2008

Nostalgia Permainan Komputer

Orang Kampung telah membangkitkan nostalgia aku pada komputer.

Aku mula kenal komputer tidaklah begitu lama, tapi tidaklah begitu baru. Tapi aku bersyukur atas kesedaran arwah ayah aku yang sanggup menghabiskan duit menghantar aku ke kursus komputer selepas habis peperiksaan dan bila aku sambung belajar, emak aku pula sanggup habiskan duit belikan komputer untuk aku yang harganya pada masa tu macam sebiji motosikal. Sekarang dah murah, kalau nak mahal pun sebab peripheral yang canggih.

Aku nak fokuskan kepada cara aku memanfaatkan komputer tu iaitu selain daripada taip assignment, tengok movie, dengar lagu dan juga membolehkan aku belajar repair komputer, yang paling banyak aku dan kawan-kawan aku tumpang manfaat adalah dengan main permainan komputer.

Permainan pertama yang aku main adalah Duke Nukem, 1st person shooter punya style. Kalau zaman sekarang permainan seperti Halo, Half life, Medal of Honor (semua ni aku tak main dah). Dan pertama kali aku main juga, kepala aku jadi pening. Tapi bila dah selalu main, aku dah biasa dan tak pening lagi.

Lepas tu, aku main pula Red Alert. Aku tak sempat main Command & Conquer dahulu kerana waktu tu Red Alert dah keluar. Aku main segala macam expansion. Permainan ni jenis real-time strategy. Pada masa yang sama juga aku turut main Warcraft dan Starcraft. Tapi Red Alert lebih hantu lagi kerana boleh buat aku main sampai ke pagi.

Bila aku dah master Red Alert, siap pakai cheat duit tak habis-habis, aku pun slow sikit. Dan kawan-kawan aku pula yang gila main Red Alert. Aku pun tukar kepada Heroes of Might & Magic, juga real-time strategy. Sekarang permainan tu dah sampai siri yang ke V kalau tak salah aku, dan upgrade ke macam-macam. Aku di bawa ke dunia naga hitam, naga merah, archangel, hydra, Cyclops, Minator, kiranya haiwan mitos Eropah.

Dan pada masa yang sama juga, permainan bola sepak dah mula popular. Siri Fifa menguasai termasuklah Championship Manager yang kerjanya menguruskan pasukan. Aku tidaklah fanatik sangat kedua-dua permainan ni terutamanya Championship Manager kerana permainan ni macam tak ada kesudahan. Jual pemain, beli pemain, susun formasi. Tunggu tengok percaturan kita menjadi atau tidak. Pada waktu ini, komputer aku hampir 24 jam tak ditutup kerana kawan-kawan aku tumpang main permainan ni.

Cuma kadang-kadang saja aku main permainan arcade macam Street Fighter 2, King of Fighting, Mortal Kombat dan juga game perniagaan seperti Transport Tycoon, Simtower, Sim City dan sebagainya.

Tapi selepas komputer aku makin lama makin obsolete, aku pun dah kurang main benda-benda macam ni. Tahun-tahun akhir juga melihat aku sibuk dengan tugasan dan kerja luar. Dan aku pula menumpang pada komputer kawan-kawan aku yang lebih power.

15 February 2008

Bukan Prejudis Pada Cauvinis

Orang kata, aku bagai melepaskan anjing tersepit.
Aku kata, tidak hilang bisa ular yang menyusur akar.

Sememangnya aku lemas perut dengan orang yang buta perut.

12 February 2008

Buat Baik Berpada-pada, Buat Jahat Jangan Sekali

Dulu, pepatah ini aku fahami sebagai buat baik itu biarlah bersungguh-sungguh, dan jangan sekali-kali berbuat jahat. Tapi setelah umur semakin tua, dan juga mendengar pendapat orang lain, aku rasa dan bersetuju bahawa pepatah ini juga ada maksud yang lain.

Ini persoalan masyarakat kita, bangsa kita, bukan persoalan agama. Jika persoalan agama, pastinya menuntut kita berbuat baik sebanyak yang mungkin. Tapi kerana ini adalah pepatah Melayu, maka perkara yang aku timbulkan ini juga berkaitan dengan bangsa.

Ada orang berkata, buat baik berpada-pada, maknanya kalau buat baik itu biarlah berpada-pada. Cukuplah setakat yang termampu dan yang sepatutnya. Kerana kecenderungan sesetengah orang dalam masyarakat kita yang suka memijak kepala. Diberi betis nak peha, diberi peha nak dada, diberi dada nak kepala. Tidak pernah cukup.

Benarkah begitu? Apakah harus kita berbuat baik setakat yang perlu sahaja? Aku timbulkan persoalan ini kerana aku sendiri yang mengalami perkara ini. Iaitu bila berbuat baik pada orang, kepala kita dipijaknya. Ini adalah hasil berbuat baik berulang kali. Aku tahu tidak semua begitu, dan aku yakin pepatah Melayu pun tidak menggambarkan semua orang Melayu, tapi itulah situasinya yang membuatkan aku terfikir.

Dan ini juga membuatkan aku terfikir juga. Adakah buat jahat jangan sekali bermaksud jangan buat sekali, tapi buatlah dua kali atau tiga kali atau lebih. Pastinya akal logik kita menolak telahan ini, terutama jika kalian pejuang bangsa dan agama.

Tapi logik pemikiran orang-orang tua dahulu juga kita tidak tahu setakat mana hebatnya. Mungkin juga buat jahat jangan sekali bermaksud alang-alang berdakwat biar hitam, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kalau buat jahat sekali, hukuman dunia adalah sama dengan buah jahat berkali-kali.

Bunuh satu nyawa, hukumnya mati. Bunuh tujuh nyawa, hukumnya mati juga. Curi komputer, hukumnya penjara. Curi satu kontena cip komputer, hukumnya penjara juga. Relevankah hipotesisnya?

Dan semestinya aku bercakap tentang hukum dunia, hukuman akhirat tidak aku pertikaikan. Cuma pepatah ini membuatkan aku berfikir. Apakah ada maksud di sebalik maksud?

Apa kata benak kalian? Apa kata hati kalian?

05 February 2008

Imejan Teater Cumbuan Dosa Semalam


Wajah pengarah yang tak puas hati pada para pelakon kerana pada masa yang sama terpaksa menjaga muzik sewaktu sessi latihan.


Sessi memanaskan badan di auditorium sebelum bermulanya raptai penuh.


Penolong pengurus pentas dengan prompt booknya. Kombinasi antara rajin dan keloloh.


Babak 1, papa dan mama. Kisah wanita yang hidup sebumbung luar nikah hingga mengandungkan anak luar nikah.


Mama menangis mengenangkan nasib diri yang ditinggalkan papa dengan anak yang tidak berbapa yang sah.

Babak 2, Kisah suami yang panas baran dengan isterinya yang terlalu baik hati.


Suami memukul isteri kerana isteri memberikan nasihat kepada suami.


Babak 3, kisah lesbian tegar yang dahagakan nafsu dan lesbian yang keliru antara cinta dan nafsu.


Lesbian tegar menggoda lesbian keliru.


Babak 4, kisah ibu yang kematian anak, tetapi tidak dapat menerima hakikat kematian anaknya.


Ibu yang keliru, sama ada benar atau tidak anaknya telah meninggal. Dia menyalahkan semua atas kematian anaknya.

Ibu nazak kerana meminum racun.


Babak 4, pasangan lakon kedua. Ibu tidak percaya dengan surat mati yang ditunjukkan oleh suami.


Suami kecewa dengan isteri yang masih tidak dapat menerima kenyataan walau anak mereka sudah 3 minggu meninggal.


Barisan tenaga produksi dan pelakon yang menjayakan Cumbuan Dosa Semalam.


Terima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang yang membantu membuat jemputan ke maktab dan sekolah-sekolah hingga memenuhkan auditorium ketiga-tiga malam. Terima kasih kepada yang membantu secara langsung atau tidak langsung. Nantikan projek terbaru Bakawalee.