20 May 2014

Ulasan Yang Terpulas - Teater sempena RINTIS 2014 : Projek Pelajar Tahun Akhir Lakonan & Pengarahan Pusat Pengajian Seni USM

Lama sungguh tidak membuat rebiu teater. Rasanya dari tahun 2012. Festival teater peringkat negeri Pulau Pinang pun tidak aku sentuh, meskipun aku menonton setiap pementasan.

Sebelum itu, teater LIMA oleh Lena Farida Chin, juga janji untuk diulas sudah tinggal janji. Malahan aku sudah hilang rekod berapa banyak pementasan yang aku tonton tetapi tidak aku ulas. Agaknya mungkin ini mogok yang terpulas. Ada sesuatu yang mencengkam di dada, hinggakan aku jadi malas untuk mengulas.

Tapi kali ini, demi memenuhi janji aku kepada beberapa orang sahabat, maka aku usahakan juga ulasan ini agar belaku.

RINTIS 2014 seperti mana setiap tahun merupakan projek pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni USM. ia meliputi Lakonan dan Pengarahan, Seni Halus, Muzik, Media Baru, Rekabentuk Produk dan Komunikasi Grafik. Untuk Lakonan dan Pengarahan, ada lima buah teater yang telah dipentaskan.

Teater 1 : Wangi Jadi Saksi karya U-Wei Haji Shaari
Teater 2 : Sayang Sri Tanjung karya Razali Ridzuan
Teater 3 : Anna karya Kemala
Teater 4 : Dalam Kehadiran Sofea karya Razali Ridzuan
Teater 5 : Kena Main karya Khalid Salleh

Teater 1 - Wangi Jadi Saksi



Pelajar yang dinilai untuk teater ini ialah Eyta Laila sebagai Dang Wangi. Tidak banyak yang aku ingin ulas tentang cerita ini kerana aku sendiri yang mengarahkan Wangi Jadi Saksi. Tapi sebagai nota, ini adalah antara teater yang paling mencabar diri aku, baik dari segi intelektual, kerja-kerja pengarahan, kerja-kerja coaching dan banyak lagi. Namun mujur juga aku punya rakan-rakan produksi yang sanggup bertahan dengan karenah tua aku. Terima kasih pada semua. Aku menjemput sebarang komen dan kritikan pada yang berminat.


Teater 2 - Sayang Sri Tanjung

Sayang Sri Tanjung mula-mula dipentaskan pada tahun 2002 kalau tak salah aku, dengan aku sebagai salah seorang pelakonnya dan Razali Ridzuan atau Li Kandaq Ayaq sebagai pengarahnya. Pernah dipentaskan beberapa kali oleh produksi yang berbeza, Sayang Sri Tanjung antara cerita yang membawakan premis yang berat iaitu isu tanah wakaf. Li Kandaq Ayaq antara pengarah dan penulis yang bijak menggarap cerita ini menjadi tidak terlalu membosankan dengan menyelitkan humor di dalam dialog watak-watak di dalam cerita ini. Diarahkan oleh Mohd Nasuha Sukaeni sebagai pengarah yang dinilai.


Secara teknikalnya pula penggunaan ruang agak tidak sesuai jika mengikut pendapat aku. Latar utama ialah sebuah kedai makan, yang dipetakan secara mutlak di atas platform. Bagi aku ini perkara biasa dan tidak menjadi masalah. Tetapi apabila pengarah/pereka set/sinografer memilih untuk membesarkan ruang lakon dengan memilih ruang lantai di depan platform sebagai ruang makan tambahan kedai, maka di sini aku secara peribadi mula merasakan tidak sesuai.


Kerana jika penonton diletakkan di tahap pandangan yang kena dengan eye level, pastinya tiada masalah. Tetapi oleh kerana penonton duduk di atas kerusi, dan pandangan yang paling cantik hanyalah di atas pentas, maka setiap yang berlaku di bawah pentas, tidak dapat dilihat dengan jelas oleh penonton, terutamanya penonton di belakang.


Seterusnya ialah bila bercakap tentang premis yang mahu diangkat. Mungkin isu tanah wakaf ini agak tenggelam berbanding lawak jenaka yang tenggelam timbul. Tapi bagi sebuah pementasan yang dinilai, mungkin itu bukan isu penting. Cuma rasanya jika pengarah ada peluang untuk mementaskan sekali lagi teater ini, mungkin boleh dipertimbangkan memasukkan adegan tambahan bagi membolehka penonton rehat seketika dari hujan dialog yang tidak berhenti. Apa-apa pun, ia tetap sebuah teater yang menarik untuk ditonton.

Teater 3 - Anna

Anna adalah sebuah teater oleh Sasterawan Negara Kemala. Mengisahkan konflik di antara Anna dengan suaminya. Anna yang berlatar belakangkan kebaratan tidak dapat menerima suaminya lebih mementingkan ibu berbanding dirinya. Oleh itu Anna mahu berangkat pulang ke United Kingdom. Ditahan oleh suaminya maka berlakulah polemik di balai berlepas. Diarahkan oleh Savin sebagai pengarah yang dinilai dan Yana sebagai Anna pelakon yang dinilai.


Seperti mana yang aku biasa sebutkan di dalam entri-entri sebelum ini, menghasilkan teater realism lebih susah kerana realiti di atas pentas harus lebih nyata berbanding realiti di dalam kehidupan (tidak akan diulas di sini). Betulkan aku jika aku salah, tetapi situasi seperti ini banyak berlaku sama ada sebelum atau sejurus kemerdekaan. Pada ketika itu, lapangan terbang yang digunakan ialah Lapangan Terbang Sungai Besi dan bukannya Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Malahan ketika itu ia lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.


Ada satu adegan, bila si suami mendapatkan air untuk isterinya Anna, dan air yang didapatkannya itu pula ialah air mineral botol. Terdetik juga di hati, apakah sudah wujud air mineral dalam botol pada ketika itu? Perkara ini mungkin kecil, tapi sebagai sebuah pementasan yang dinilai, perkara-perkara inilah yang menentukan sama ada pengarah/sinografer melakukan penyelidikan yang cukup.


Dari segi lakonan, juga penting bagi memberikan kepercayaan kepada penonton bahawa pelakon itu adalah watak, bukannya berlakon. Penuturan dialog yang berulang bukanlah lakonan pada tahap yang sepatutnya. Mungkin ada yang akan berkata, mereka tiada pengalaman. Benar, tidak aku nafikan, tetapi pengalaman itu harus dicari lebih awal. Apa-apapun teater ini masih menarik ditonton beramai-ramai.

Teater 4 - Dalam Kehadiran Sofea

Dalam Kehadiran Sofea merupakan karya agung Razali Ridzuan atau Li Kandaq Ayaq. Karya ini pernah menerima Anugerah Khas Juri - Kategori Karya Yang Berani Memaparkan Isu Sensitif Secara Komedi pada Festival Teater Kebangsaan 2001 kalau tak salah aku. Dan ini adalah pementasan entah kali ke berapa. Dalam Kehadiran Sofea sudah empuk di tangan Li Kandaq Ayaq. Cuma bezanya kali ini teater ini diarahkan oleh Intan Farhanim sebagai pengarah yang dinilai, dengan Li Kandaq Ayaq sebagai coach/mentor.


Versi Dalam Kehadiran Sofea pada kali ini adalah antara yang terbaik pernah aku tonton. Latar tempatnya sudah tidak jadi rumah pelacur murahan dan ada banyak kerja-kerja rekaan latar yang dibuat. Pelakonnya sudah tidak segan memakai pakaian yang sesuai (berbanding pelakon-pelakon versi terdahulu) demi menghidupkan watak pelacur di sebuah kelab malam. Rasa percaya penonton itu memang kuat dibantu pula oleh lakonan yang natural oleh para pelakon, sama ada watak utama Sofea, Mona, Mazlan, Hisyam, Tiger dan Julia. Juga watak-watak natural nyah seperti Suzie, Baby dan seorang lagi.


Cuma seperti mana kebanyakan versi sebelum ini, aku agak terganggu dengan pengfokusan adegan di dalam teater ini. Aku masih keliru mana satu yang ingin diangkat, adegan komedi atau adegan serius. Isu serius penipuan Sofea terhadap Mazlan kerap lambat terangkat kerana audien masih dibuai mood ceria komedi oleh nyah dalam adegan sebelumnya. Begitu juga adegan-adegan pergaduhan/pertengkaran yang sebenarnya sangat menarik jika diatur dengan sesuai. Paling tidak menyengatkan bila adegan penting peleraian di babak terakhir, yang tidak dapat dizahirkan ketegangannya kerana audien masih mahu ketawakan watak-watak nyah ketika itu. Watak-watak nyah ini sepatutnya hanya masuk sebagai comic release, bukan catalyst.


Dan pada aku, ada dua orang pelakon yang perlu diberi perhatian iaitu Yasmin yang memegang watak Sofea dan Jumie Samsudin yang memegang watak Julia Pereng. Yasmin sebagai Sofea menampakkan kematangan lakonannya berbanding lakonannya yang lain yang pernah aku tonton sebelum ini, namun begitu beliau boleh buat lebih baik lagi (tidak akan diterangkan di sini kerana panjang). Jumie pula ada kebolehan aksi dan reaksi yang bagus. Ini adalah antara resepi pelakon yang bagus, namun begitu, beliau harus terus mencari identiti sebagai pelakon, kerana sehingga kini yang muncul hanyalah imej diri sendiri. Meskipun secara peribadi pendapat aku agak bercampur baur dengan versi sebelum ini, tetapi oleh kerana ini adalah versi Intan Farhanim, maka aku tetap akan katakan ia berjaya menghiburkan audien dan membuatkan audien datang kembali. Tahniah.

Teater 5 - Kena Main

Teater terakhir ini merupakan karya Khalid Salleh. Kena Main mengisahkan pemuzik jalanan cacat penglihatan dan watak Mona yang juga cacat penglihatan, lari dari rumah dan menumpang bersama pemuzik berkenaan. Kebetulan seorang penagih dadah berjaya mengecam Mona sebagai anak yang lari dari rumah itu, menyebabkan Mona panik. Kehadiran pegawai kerajaan menawarkan show amal menyelamatkan Mona dan yang lain-lainnya.


Yang paling penting dalam Kena Main ialah kekuatan pelakon-pelakon utamanya seperti Mona, Jusoh, Daud, Pie untuk membuatkan penonton percaya yang mereka itu buta. Maka itulah yang berjaya mereka lakukan. Antara lakonan natural ialah Mazlan Razi sebagai Jusoh. Tapi sayangnya beliau berselindung di sebalik kaca mata hitam. Nurul Fathin sebagai Mona juga baik, tetapi sayangnya watak Mona tidak cukup dikembangkan, malahan ada satu adegan flashback yang dipotong dari skrip. Mungkin hanya pengarah yang mengetahui. Noor Rizuwan sebagai Daud yang paling bekerja keras kerana aku melihat beliau cuba lari dari watak-watak yang pernah dibawakan sebelum ini. Paling ketara adalah cara pertuturan Daud. Mungkin beliau rajin mengkaji watak.


Latarnya juga baik kerana memberikan kepercayaan bahawa mereka sedang bermain muzik di kaki lima kedai (penaja) yang tutup. Tapi sayangnya (tiada di dalam gambar), pada hari aku menonton teater ini, ada banyak iklan-iklan yang ditampal bagi menambahkan suasana realisme, tetapi beberapa iklan besar yang ditampal menggunakan nombor telefon daerah utara, sedangkan latarnya di Lorong Pudu.


Namun begitu, paling sayang sekali kerana watak penagih tidak dikawal oleh pengarah (atau mungkin watak ini menjadi tidak terkawal semasa persembahan), menyebabkan teater ini menerima nasib yang sama dengan Dalam Kehadiran Sofea. Watak penagih telah 'memakan' watak-watak lain di dalam pementasan ini, hingga setiap kali beliau bergerak, orang atau ketawa atau tersenyum. Jika sebagai sebuah persembahan, mungkin perkara ini boleh diterima atau diabaikan, tetapi sebagai sebuah persembahan yang dinilai, perkara ini sebolehnya dielakkan. Sekali lagi, walau bagaimanapun, teater ini tetap sebuah teater yang menghiburkan untuk ditonton.

Kesimpulan.
Kesemua komen dan kritikan ini hanyalah sekadar pendapat peribadi yang tidak bersandarkan ilmu formal seperti mana yang dipunyai kebanyakan orang lain. Terpulanglah untuk menerimanya. Tidak ada yang betul atau salah di dalam teater (kecuali jika kita meletakkan garisan berdasarkan teologi, doktrin, dogma, prinsip atau nilai moral). Aku doakan mereka semua terus maju jaya dalam pelajaran dan terus menyokong dunia teater.

* Penulis boleh dihubungi di Bakawalee Penang