Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

28 July 2011

Aku dan Fotografi

Aku memang minat fotografi. Rasanya sejak aku tingkatan 3 aku dah minat fotografi. Aku akan pinjam kamera kompak arwah ayah aku, yang jenis pakai filem dan kena pulas setiap kali lepas ambil gambar (bukan yang automatik roll tu) untuk ambil gambar. Masa tu bukan tahu sangat segala benda pasal gambar ni, cuma minat saja. Dan aku ingat lagi, aku pernah habiskan 4 gulung filem untuk ambil gambar bila ke Cameron Highland. Dan yang paling tak guna bila kawan-kawan minta aku ambilkan gambar mereka. Gambar solo pulak tu. Bila cuci, nak jual pun tak balik modal.

Lepas sekolah menengah, aku masih minat fotografi. Tapi aku tak mampu nak beli kamera SLR. Masa tu mana ada lagi DSLR. Tapi kawan aku pula yang berjangkit minat ke fotografi ini, hinggakan bila dia dapat sambung belajar ke UiTM, dibelinya kamera SLR sendiri. Aku cuma mampu tengok saja.

Bila aku kerja, kamera pejabat selalu jadi mangsa. Aku mula berjinak dengan DSLR. Nikon D70s, Lensa Nikkor 18 - 70 mm. Model lama. Itupun sebab aku jadi backup cameraman sebab main cameraman dah tak terpulun nak tangkap gambar program-program yang berlangsung seorang diri, Itu pun main tangkap saja. Asalkan gambar tak gelap, asalkan tak blur, kira jadilah!

Tapi minat aku makin mengembang bila isteri aku mengambil kursus Teknologi Fotografi selama 6 bulan di Giatmara. Oleh kerana bilangan kamera yang disediakan terhad, maka kami berpakat untuk membeli sebuah kamera DSLR starter level iaitu Canon 500D dengan lens-kit 18-55 mm. Dan dari situlah minat aku terus berkembang. Apa yang isteri aku belajar, aku akan turut belajar. Jadi dari buta kamera, tahulah sikit-sikit apa itu DOF, apa itu bokeh. Tahu saja, tapi nak buat tak tahu juga. Sayangnya aku tak sempat belajar banyak kerana isteri aku terpaksa berhenti separuh jalan akibat perkara yang tidak dapat dielakkan. Maka banyak lagilah yang aku tak dapat belajar seperti penggunaan flash, metering, white balance, fotografi studio dan sebagainya.

Namun alang-alang dah beli kamera, dan dah minat, kami teruskan minat kami dengan cara kami sendiri. Kami belajar sendiri, eksperimen sendiri, tanya orang-orang yang pakar. Dan melalui apa yang aku dapat setakat ini, bagi diri aku, aku rasa aku tidak minat nak jadi fotografer orang kahwin atau yang sewaktu dengannya. Kerana aku malas dan rasa leceh nak kena bawa 2 ke 3 jenis kamera, kena ada orang pegang reflector, kena check metering dan sebagainya. Aku tidak nafikan wedding photography memang tren terkini dan orang yang menguasainya dapat pakej beribu ringgit setiap kali nak ambil gambar. Cuma ia tidak sesuai dengan jiwa aku.

Mungkin aku lebih suka sesuatu yang candid, maka fotografi urban & rural, streets, architecture, nature, macro dan photojournalism menjadi pilihan aku. Mungkin juga aku suka portrait, tapi potrait yang candid. Aku tidak begitu pasti aku suka studio fotografi atau tidak kerana aku masih belum mencubanya. Pada aku, inilah peluang berkongsi minat dengan isteri tersayang dan buat sesuatu yang kami suka. 

Di bawah antara contoh-contoh orang yang buta fotografi macam aku ambil.


Canon EOS 500D, f/4.5, 1/4000, ISO 800, Lensa 18-55mm


Canon EOS 500D, f/5.6, 1/50sec, ISO 800, Lensa 18-55mm


Canon EOS 500D, f.22, 1/15sec, ISO 1600, Lensa 18-55mm


Canon EOS 500D, f/2.8, 1/80sec, ISO 1600, Lensa Canon EF 70-200mm f.2.8 L IS USM


Canon EOS 500D, f.2.8, 1/80sec, ISO 1600, Lensa Canon EF 70-200mm f.2.8 L IS USM


Canon EOS 500D, f/9, 1/160sec, ISO 800, Lensa 18-55mm


Canon EOS 500D, f.5.6, 1/100sec, ISO 200, Lensa 18-55mm


Canon EOS 500D, f/10, 1/250sec, ISO 400, Lensa 18-55mm


Canon EOS 500D, f/20, 1/160sec, ISO 400, Lensa 18-55mm


Canon EOS 500D, f/4.5, 1/100sec, ISO 400, Lensa 18-55mm


Canon EOS 500D, f/22, 1/100sec, ISO 400, Lensa 18-55mm


Nikon D70s, f/4.5, 1/15sec, ISO 800, Lensa 18-70mm


Nikon D70s, f/29, 1/1000sec, ISO 800, Lensa 18-70mm

23 November 2010

Permainan Orang Pekan - Video game

Dulu, sebagai budak kampung, semestinya aku tahu bermain sorok-sorok, aci ligan, polis sentri, tuju selut dan sebagainya. Tetapi sebagai budak kampung yang mengejar kemajuan juga, aku juga tahu serba sedikit bermain permainan video.

Di pekan; 15 minit ke 20 minit kalau kayuh basikal dari kampung aku, ada dua buah tempat yang menawarkan permainan video arked. Permainan kegemaran aku ialah Raiden, jet pejuang moden dengan pelbagai jenis peluru yang boleh dikutip. .

Kalau yang lain, Street Fighter II juga terkenal. Tapi aku tidak pandai sangat nak buat power abuuuugen, atau holiooogen, atau tiger-tiger. Maybe because I'm a lover not a fighter. Ha ha ha.

Tak lama lepas tu, muncul permainan video di tivi. Mahal nak mampus kalau nak beli. Aku panggil permainan tu D'atari walaupun sebenarnya ada pelbagai model keluar. Sebab tak mampu nak beli, maka aku kerap menghabiskan duit mak bapak aku di sebuah kedai yang menawarkan permainan tu. RM 5 untuk sejam, kalau tak salah aku. Kalau ramai, kenalah beratur untuk tunggu giliran orang lain.

Kami boleh pilih katridge game apa yang nak dimainkan. Biasanya aku akan pilih Super Contra atau Ninja Kage. Dan aku dah berjaya habiskan Super Contra II. Permainannya 2D saja, tapi dah cukup mengujakan pada waktu itu.

Kalau aku tak ada duit, atau mak bapak aku dah tak ada duit nak bagi pada aku untuk dihabiskan ke jalan lagho, maka aku akan kembali terjun sungai, main bola, main wau.

11 September 2010

Raya Kerana Duit Raya

Tiada siapa yang akan dapat menafikan, antara insan yang paling gembira di hari raya ini adalah kanak-kanak, terutamanya yang berusia 12 tahun ke bawah. Dan pastinya aku bercakap ini tentang kanak-kanak normal, bukannya yang kurang bernasib baik.

Dan kita semua tahu, tradisi kunjung-mengunjung oleh kanak-kanak ini telah lama dilakukan sejak dahulu. Biasanya mereka akan mengunjungi kawasan sekitar seperti kawasan kampung atau kawasan perumahan. Dan pada masa inilah mereka mengambil peluang untuk mengenali jiran-jiran kampung mereka.

Kalau pada zaman aku dahulu, ada kanak-kanak yang mengembara dari kampung lain ke kampung kami. Tidak ketinggalanlah aku yang pernah beraya agak jauh hingga terpaksa menaiki bas, semata-mata untuk beraya ke rumah cikgu sekolah aku.

Sayangnya kerana nilai tradisi kunjung mengunjung ini sudah semakin berbeza kini. Kanak-kanak tidak lagi mengunjungi rumah jiran sekampung untuk mengeratkan silaturahim, tetapi lebih kepada mengutip duit raya. Dan biasanya, duit rayalah motivasi utama mereka. Tidaklah aku menyalahkan mereka, kerana mereka masih kanak-kanak. Tetapi kesedaran ini patut diterapkan oleh individu yang lebih tua dari mereka.

Kalau dulu (zaman aku mungkin berbeza, zaman sebelum aku pastinya lebih berbeza), duit raya biasanya diberi pada nilai 20 sen. Rata-rata rumah dikampung, itulah nilainya. Ada juga yang memberi 10 sen. Kalau 50 sen, itu sudah dikira mewah dan kalau RM 1.00, maka rumah itu akan dicop rumah orang kaya.

Ada pada satu ketika, rezeki keluarga aku agak baik pada tahun itu dan kena pada hari raya itu, arwah ayah aku berhasrat menyedekahkan RM 1.00 kepada setiap kanak-kanak yang hadir. Pada ketika itu, RM 1.00 sudah dikira mewah, kalau pun tidak dianggap orang kaya (keluarga aku pun bukan kaya, cukup makan saja).

Maka implikasinya, kanak-kanak tidak putus hadir ke rumah keluarga aku. Seperti mana berita CNN dan Al-Jazeera, begitulah pantasnya merebak cerita duit raya RM 1.00 yang diterima. Seperti ada jaringan komunikasi yang sangat berkesan di antara mereka. Bayangkan, kanak-kanak yang kami tidak pernah lihat muka mereka (maksudnya dari kampung lain. Kalau dari kampung yang sama, biasanya wajah mereka kebiasaan dilihat dan kalau ditanya anak siapa, kami akan kenal mereka dari keluarga mana), tiba-tiba muncul dari merata-rata. Dan seperti biasanya, mereka tidak mahu singgah untuk menjamah makan dan minum, cuma menadahkan tangan di depan pintu, bersalaman dan kemudian beredar. Malahan ada yang tidak bersalaman pun. Lebih tragis lagi, ada yang walaupun telah hadir pada sebelah pagi, akan datang lagi pada sebelah petang dengan pakaian yang berbeza untuk mendapatkan duit raya.

Kini, sekiranya sesebuah rumah itu hanya memberikan duit raya sebanyak 50 sen (kerana itu yang termampu, maka kita boleh lihat sendiri berapa ramai bilangan kanak-kanak yang akan hadir ke rumah itu. Kanak-kanak ini pun biasanya, menggunakan modus operandi yang sama iaitu mensasarkan rumah yang kelihatan mewah dan rumah yang sudah pasti memberikan duit raya yang bernilai tinggi. Ada sesetengah yang sanggup menggunakan duit raya itu untuk membeli minuman berkarbonat di kedai berbanding minum di rumah yang mereka singgah untuk mendapatkan duit raya.

Rugilah kanak-kanak ini kerana tidak mengenali jiran-jiran mereka, walaupun pada tahap minda mereka itu, perkara itu tidaklah penting.

5 ke 10 tahun lagi, entah bagaimana suasana mendapatkan duit raya ini. Mungkin duit raya bertukar kepada topup kredit telefon, atau duit raya cuma perlu diberi secara on-line sahaja. Maka makin jahanamlah nilai kunjung-mengunjung yang sepatutnya diterapkan.

10 May 2010

Demam Badminton Datang Lagi

Dulu, kalau di kampung, bila datang musim badminton, semua orang main badminton. Aku tidak terkecuali. Memandangkan aku masih dikira budak-budak waktu itu, maka aku dah kawan-kawan tidak dibenarkan bermain di gelanggang badminton bersimen dan berjaring. Maka kami akan pakat ramai-ramai pergi bermain di masjid lama. Kami buat garisan sendiri, malah raket sendiri dari kayu. Kami kumpul duit beli bulu ayam (shuttle cock) dan main sampai lunyai, barulah beli yang baru.

Bila arwah ayah tengok aku minat bermain, maka dia benarkan guna raket Dunlop yang dia selalu pakai. Raket tu memang klasik, kerana diperbuat dari kayu, dan setiap kali lepas main, perlu diregangkan kembali menggunakan frame yang disediakan. Tapi aku cemerkap, lepas mai aku tak regangkan balik, hingga kedua-dua raket itu meleding/melengkung dan rosak. Namun arwah ayah tetap tak marah aku. Terima kasih ayah! Sekarang aku rasa menyesal pulak merosakkan raket yang payah nak jumpa tu.

Bila raket tu rosak, maka mak dan ayah belikan aku raket Pro Kennex. Harganya RM 15. Itupun aku dah seronok sangat. Walaupun ada sesetengah kawan-kawan yang datang mempamerkan raket Yonex dan Carlton yang maha ringan (dibuat dari karbon apa entah) dan beratus-ratus harganya, namun aku tetap dengan raket itu, kerana itulah pemberian ibu bapa aku. Bila tali putus, maka aku akan kayuh basikal ke sebuah kem Cina dan minta dipasang balik tali raket itu.

Bila dah masuk sekolah menengah, maka kami pun dibenarkan bermain di gelanggang badminton yang sempurna. Ada garisan, ada jaring, atau pengadil. Tapi selalunya kami sempat main petang saja. Sebelah malam, giliran golongan belia pula, kerana malam lebih sejuk dan ada lampu. Aku bersekolah asrama, jadi jarang jugalah aku bermain di kampung. Dan di sekolah aku lebih jarang bermain kerana aku dah tukar profesion ke sukan lain pula.

Aku doakan tahun ini Pasukan Piala Thomas kita beroleh kejayaan. Kalau nak tewas pun, biarlah bermaruah.

12 April 2010

English Literature Zaman Sekolah Menengah

Aku tidak pasti tentang sekolah menengah lain, tidak kiralah di kampung atau di bandar. Apakah sukatannya sama atau berbeza. Tapi apa yang aku ingin ceritakan di sini ialah ialah Kesusasteraan Inggeris yang aku pelajari semasa di sekolah menengah.

Terus terang aku tak ingat sangat buku apa yang aku baca. Cuma ingat gitu-gitu saja. Masuk tingkatan 4 bila dah kena pilih aliran sastera atau sains, maka dah tak ada kesusateraan yang macam ni.

Tingkatan 1, aku di perkenalkan dengan sebuah buku biografi Tenzing Norgay, iaitu Sherpa pertama yang mengiringi Sir Edmund Hillary mencapai puncak Everest. Terus terang aku tak tahu langsung apa yang aku baca. Yang paling aku ingat cuma frost bite di kaki salah seorang dari mereka. Itu pun setelah diterangkan oleh cikgu aku. Maklumlah, budak kampung yang belajar Inggerisnya sekadar I Am He She It Is We They You Are. Bila masuk sekolah pekan ni, kena kejutan budayalah sikit. Dan sampai sekarang aku tak tahu langsung apa yang diceritakan oleh buku itu.

Masuk tingkatan 2, pun aku sudah tak ingat buku apa yang dibaca. Yang aku ingat, buku itu adalah buku berkaitan cerita Dewa Greek. Ada Medussa, ada Hades and The Boatman. Yang aku ingat cuma satu bahagian bila ada satu watak disumpah menjadi marmar. Itu pun sebab aku dan kawan-kawan merubah cerita itu dalam bentuk lagu dan aku gunakan lagu I Can't Dance oleh Genesis.

Masuk tingkatan 3, buku yang dibaca makin maju. Kami membaca cerita pendek oleh Edgar Allan Poe. Bagi siapa yang kenal Poe, pasti tahu ceritanya banyak berkisar mengenai kisah thriller, seram di zaman Victorian dulu. Cerita yang paling aku ingat adalah The Pit and The Pendulum. Itu pun sebab ada filem dengan cerita dan tajuk yang sama yang membolehkan aku faham cerita itu.

Bila dikenangkan balik, terasa rugi pula kerana tidak membaca habis semua buku-buku itu. Sekarang barulah tergedik-gedik nak membaca.

14 January 2010

Game

Kecil-kecil dulu waktu sekolah rendah, ada sebuah kedai yang menjual laksa, ais kacang serta makanan rapu yang lain. Yang bestnya, ada game Nintendo yang dipasang pada balang kacang. Game ni, cara mainya ialah dengan memasukkan dua kupang, kemudian dapat kacang, kemudian bolehlah main game tu sampai mati. Maksud aku sampai giliran dalam game tu mati. Biasanya 3 kali. Kalau kalian pandai main, bolehlah main game tu sampai habis. Tapi mahu ingat, sebelum mencapai tahap pro, mahu habis dulu duit tu dan mabuk kacang.

Bila dah nak dekat masuk sekolah menengah, dah gila main game atari. Game konsol guna tivi dan catridge. Ada kedai khas yang menawarkan game ni. Aku sanggup kayuh basikal dari kampung ke pekan kecil di tempat aku semata-mata menghabiskan duit di tempat tu. Game seperti Ninja Kage, Super Contra 2 mendominasi aku. Malahan aku pernah main habis Supercontra 2.

Dan selepas itu, permainan video arked pula menjadi pilihan. Aku sampai sekarang tidak pandai main Street Fighter 2. Zaman-zaman tu ada M. Bison, Blanka, Guile, Ryu, Ken, Chun Li, E- Honda, Vega dan Sagat. Lepas tu baru muncul King Of Fighter. Tapi aku lebih memilih game kapal terbang seperti Macross, Raiden dan sebagainya.

Lepas belajar di peringkat ketiga, barulah aku kenal dengan game komputer seperti Duke Nukem, Doom, Diablo, Red Alert, Need For Speed, Fifa dan Championship Manager. Di waktu kegilaan, pernah kawan-kawan aku tidak tidur dek bermain Championship Manager dan Red Alert. Waktu itu, permainan menggunakan kayu ria tidak popular, maka papan kekuncilah menjadi mangsa.

Dan waktu itu juga Playstation, Nintendo dan beberapa game bersandarkan tivi dah makin popular. Cuma aku saja tak biasa main, sampailah sekarang.

Jadi bila tengok sekarang ini ramai yang main game on-line, tambah lagi dengan PSP, dunia walaupun nampak makin global, tapi sebenarnya dah makin kurang berinteraksi secara sosial. Lagi 10 tahun entah apa bentuk game pulak yang akan keluar.

21 December 2009

Kenangan Nasi Lemak

Waktu aku belajar dulu, ada dua nasi lemak yang mebuatkan aku terkenang hingga ke hari ini.

Satu, nasi lemak yang dijual dari bilik ke bilik pada awalnya. Tapi lama-lama lepas tu kami kena pergi ke bilik orang yang menjualnya, sebab sedap sangat. Dah tu pulak, tuan yang menjual tak ada, dia cuma letak bekas tupperware duit. Ambik nasi lemak, bayar sendiri. Nak tukar duit kecik, tukar sendiri. Mencuri, tanggung sendiri akhirat nanti. Tapi lama kelamaan, dah tak berniaga. Tak pasti apakah kerana over demand atau rugi teruk sebab tak ramai yang bayar.

Dua, nasi lemak Kg. Darat. Sebenarnya tempat tu bukannya nama Kg. Darat pun, tapi Changkat Setoi. Oleh kerana ada papan tanda Kg. Darat, maka dikenali dengan nama Kg. Darat. Nasi lemak itu dijual sebelum subuh hingga awal pagi lebih kurang pukul 8.00 pagi sahaja. Selepas itu biasanya, nasi lemak itu akan habis. Jadi bagi peminat nasi lemak yang lazat yang tegar ni, ada yang sanggup bersengkang mata hingga pukul 5 pagi untuk pergi ke lokasi berkenaan yang jaraknya lebih kurang 15 minit. Biasanya aku akan pesan saja dari ekstremis ini. Sampai pagi tu, aku makanlah, dah mereka semua tidurlah.

Sekarang ni, susah nak jumpa nasi lemak yang enak. Kali terakhir aku jumpa, nasi lemak daun pisang yang memang lazat. Tapi selang beberapa tahun, walaupun pembungkusannya sama, tetapi rasanya tak sama.

Sama ada aku semakin cerewet, atau nasi lemak sekarang dah tak sedap.

15 November 2009

MAT 10

MAT 10.

Ini no plet kereta Proton Satria member aku waktu belajar dulu. Dia memang terkenal seorang yang kedekut. Kalau boleh sentuh kereta dia, boleh buat kenduri pisang. Kalau boleh pinjam, alamat boleh buat kenduri yang segah kenduri kahwin bujang terlajak.

Kadang-kadang kami kawan-kawan ni dengki jugak. Tapi taklah sampai tahap menjahanamkan kereta kawan tu. Tapi pernah jugak la kami jek kereta tu dan letak bata pada tayar belakang. Jadi terangkatlah tayar belakang. Paginya kedengaran alunan maki-makian kerana dia dah sibuk nak pergi kelas.

Geram kerana tahap kedekut itu telah mencapai pada tahap Kassim Baba. Bayangkan ada member lain sakit, kami nak pinjam kereta dia hantar ke klinik dia tak benarkan. Lepas kena paksa, dia sendiri dengan berat hati sanggup tolong jadi pemandu bawa member yg sakit tu. Nak bagi orang lain bawak, extend belajar 3 tahun pun belum tentu.

Lepas-lepas tu. Kami tak panggil MAT 10 dah.

Kami panggil MATI O!

Sebulan kami semua dok sebut mati o, mati o, dia terus tukar kereta!

28 September 2009

Entri Berangkai Sempena Raya

Raya baru ni nak buat entri pun tak boleh dek liputan internet tanpa wayar yang mendiskriminasikan kawasan luar bandar. Maka ada beberapa entri berangkai yang aku masih ingat dalam kepala yang mahu aku ceritakan di sini.

Kopi Yang Sedap

Hari tu aku bawa anak saudara aku berjalan-jalan bersama ahli keluarga yang lain beraya. Maka timbullah satu teka-teki yang aku sendiri tak jangka.

+ : Ni ada satu teka-teki. Kopi apa yang sedap?

- : Kopi Jantan!

+ : Itu kopi lelaki.

- : Habis tu?

+ : Kopikirlah sendiri!


Getah Naik Harga

Kalau dulu profesion penoreh getah boleh dikatakan antara profesion kasta rendah mengikut pandangan sesetengah orang. Walaupun kerjanya jauh lebih halal (susahlah nak ada rasuah atau salah guna kuasa bila menoreh getah ni), tapi itulah pandangan masyarakat dulu.

Sekarang, getah dah naik harga. Getah asli kita memang susah nak ditandingi berbanding getah sintetik. Terima kasih kepada industri penerbangan dan industri lain yang membantu getah asli. Maka penoreh getah dan boleh hidup senang sikit. Rumah yang dulunya papan dah boleh naik dinding batu. Tivi yang dulunya cap ayam, kini dapatlah tivi cap Jepun. Siap Astro lagi. Ini yang aku dapati semasa beraya baru-baru ni ke rumah adik beradik yang berkenaan.

Dan bila dengar orang tua-tua bercerita, aku tidak nafikan sukarnya menoreh getah. Bukan setakat menoreh, lepas tu kutip susu, nak buat getah keping lagi. Seingat aku, ada beberapa cara getah ini dijual. Pertama susu getah dijual terus (setelah dimasukkan asid untuk membuatkan ia tahan, kalau tak salah aku). Tetapi cara ini tidak popular kepada pekebun getah kecil kerana murah. Kedua, getah itu dijadikan getah keping. Caranya dengan memasukkan campuran asid, kemudian dibekukan di dalam satu bekas (lebih kurang macam bekas ais ketul), kemudian bila beku dicanai pula seperti roti canai (tidaklah dilambung-lambung macam roti canai), kemudian dimesin (macam mesin tebu), dan dijemur hingga kering. Bila dah kering barulah dijual.

Kerja-kerja ini memang renyah, tetapi getah yang dijual lebih mahal. Kerana getah ini boleh terus dibawa ke kilang atau dieksport dan kemudiannya terus diproses. Dan yang paling mudah dan murah ialah dengan menjual getah sekerap. Lebihan getah yang melekat di pokok dan merata-rata. Aku masih ingat lagi bau getah sekerap yang bercampur dengan bau ikan di kedai runcit kampung aku suatu ketika dulu.

Sekarang semuanya dah berubah.


Evolusi Beraya

Masih ingat lagi macam mana dahulu kita pergi beraya? Aku cuba bangkitkan proses evolusi beraya di tanah air kita ini.

1 - 3 tahun
Biasanya tak ke mana-mana. Mengikut saja ke mana orang tua kita bawa. Dapat duit pun tak ada makna sebab tak tahu kepentingan duit itu.

4 - 6 tahun
Dah mula tahu beraya. Dah mula mengikut kakak, abang atau sepupu-sepapat yang lebih tua untuk beraya di sekitar kampung. Tetapi rumah sasaran terhad kepada rumah-rumah yang pernah dikunjungi sahaja seperti adik beradik, rumah guru mengaji dan sebagainya.

7 - 9 tahun
Dah mula meneroka seluruh kampung. Kali ini rumah yang tak pernah dipijak pun pergi juga. Yang penting rumah tu rumah orang Islam dan mereka turut sambut beraya. Dah tak singgah makan kuih raya dan minum-minum. Bagi salam depan pintu, hulur tangan minta duit raya tanpa rasa bersalah. Kalau dahaga, barulah singgah rumah yang berkenaan. Kalau kena gaya tuan rumah jamu air panas (teh atau kopi), padan muka.

10 - 12 tahun
Modus operandi tidak banyak berubah, tetapi kawasan sasaran lebih luas. Dengan berbasikal, turut melawat kampung-kampung lain. Kalau di kawasan taman perumahan, melawat taman perumahan lain. Biasanya bergerak dalam geng sendiri.

13 - 15 tahun
Dah tak berapa terasa nak beraya merata-rata. Rasa macam diri dah dewasa sangat. Malu kalau pergi beraya ke rumah orang. Tapi kalau ada orang bagi duit raya, cekau juga. Kalau beraya pun ke rumah adik beradik dan mungkin rumah bakal marka (awek atau boipren la tu!). Itu pun kalau ada calon.

16 - 18 tahun
Raya spesifik ke rumah kawan-kawan dan adik beradik saja. Rumah adik beradik pun belum tentu nak pergi. Yang penting rumah kawan-kawan. Kalau dah dapat lesen motosikal tu, langkah lebih panjanglah. Silap gaya raya di kompleks membeli-belah atau bandar terdekat (tak kiralah bandar kecil atau besar). Duit raya masih dapat lagi, terutama kalau berkunjung ke rumah saudara-mara.

19 - 21 tahun
Beraya juga, tapi kerumah kawan-kawan yang lebih jauh. Waktu ini mungkin dah kenal rakan-rakan merentas sempadan negeri. Rumah saudara-mara kalau pergi pun sebab kena paksa.

22 - 24 tahun
Beraya ke rumah marka atau tunang (kalau dah bermarka atau bertunang). Kalau tak, beraya rumah kawan-kawan juga atau kawan-kawan yang datang ke rumah. Kalau cuma ada kawan-kawan dari jauh, dok termenunglah jawabnya.

25 - 27 tahun
Beraya ke rumah bakal mentua atau mentua (kalau yang dah kawin pada peringkat umur ni). Waktu ini rumah kawan-kawan dah jatuh acara sunat. Kalau pergi pun rumah kawan-kawan terbaik sahaja. Dah mula melawat rumah saudara-mara balik. Maklumlah dah berumah tangga.

28 - 30 tahun
Beraya ke rumah mentua, serta rumah saudara-mara mentua di samping saudara-mara sendiri. Kalau kena saudara-mara tu ramai, 3 hari 3 malam beraya pun tak habis. Perut penuh dengan ketupat, lemang, rendang dan kuih samprit (kuih wajib raya). Nak beraya rumah kawan-kawan pun dah tak sempat.

30 - .... tahun
Rutin yang sama. Tapi anak-anak kita belum tentu ada rutin yang sama dengan kita. Rutin ini berulang selagi terlarat, selagi panjang umur kita dan saudara-mara yang ada.

Cuma harapnya, bila dah makin tua dan dah tak bermaya. Janganlah pula kita beraya di rumah orang tua-tua, atau lebih menyedihkan beraya di hospital.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zakir & Batin.

14 September 2009

Kembang Semangkuk, Getah Anggur, Halua Maskat

Ketiga-tiga item ini aku masukkan ke dalam item hampir pupus di bulan Ramadan dan Syawal tahun ini. Mungkin ada di sesetengah tempat, tapi di tempat yang kerap aku lewati, memang tak pernah jumpa. Tapi aku ada pula jumpa kuih badak berendan, puteri mandi dan biji nangka.

Kembang semangkuk bagi yang tak pernah dengar, biasanya diletakkan di dalam laici kang. Biji kembang semangkuk direndam di dalam air suam untuk beberapa ketika dan kembanglah isinya. Kalau diletak ke dalam mangkuk, maka kembanglah semangkuk. Mungkin dari situ ia mendapat nama.

Getah anggur juga banyak digunakan pada minuman sejuk terutamanya laicikang. Aku tak tahu apakah getah anggur itu memang berasal dari getah anggur. Tetapi dikatakan getah anggur bole menyejukkan badan. Getah anggur cerah warnanya seperti buah nau atau buah kabung yang hancur.

Halua maskat pula manis seperti dodol. Bukan resepi berbuka puasa, tetapi biasanya disajikan waktu raya. Rupanya ada lebih kurang macam kuih bakul yang keras dan ia tidak lembik macam dodol. Warna rasmi halua maskat biasanya berwarna kuning.

Harap-harap aku masih boleh ketemu ketiga makanan ini.

09 September 2009

Dua Dunia Anak-anak Kita

Ketika tingkatan satu, aku ditempatkan di sekolah asrama tidak penuh. Aku ni bukanlah jenis peramah sangat. Sampai sekarang pun aku tidak pandai bergaul dengan orang. Jadi pada waktu itu, aku cubalah merapati beberapa budak-budak lain yang sedang bersembang. Bukan buat apa pun, sekadar mendengar.

Dan mereka bercakap tentang Tutankhamun.

"Tutankhamun? Menatang apa tu?"

"Tutankhamun tu Firaun la"

Baru aku tahu. Sembang lagi.

"Ramses kedua?"

"Firaun jugak."

"Habis Tutankhamun tu?"

"Firaun jugak."

Bila difikirkan kembali, betapa jumudnya aku pada ketika itu. Apakah mungkin kerana aku datang dari kampung dan latar belakang keluarga yang biasa. Dunia aku ialah terjun sungai, main bola, kayuh basikal ke pekan main console game, bepersatuan dan pengakap. Itu saja. Jadi hal-hal pengetahuan am ni, tak pernah terbit dalam pemikiran aku.

Jadi mungkin anak-anak sekarang lebih beruntung. Ada Astro Learning Channel, ada internet. Yang ruginya mereka dah tak ramai yang boleh terjun sungai sekarang ni. Dua dunia ini nampak berbeza sangat. Kalau berada dalam satu dunia, satu dunia lain mungkin tidak lagi diceburi mereka.

08 September 2009

Nasi Ulam

Kesempatan pulang ke kampung minggu lepas, mak buatkan aku nasi ulam. Sememangnya nasi ulam telah menjadi kegemaran aku tiap kali bulan puasa. Kata orang, bulan puasa ni kebanyakan ulam-ulaman akan menjadi penawar yang mujuarab. Yang pahit pun jadi kurang pahit.

Bukan tidak ada nasi ulam dijual di bazar Ramadan. Tapi kebanyakan yang aku beli, tidak ada rasa. Yang melekat dalam mulut cuma ulam-ulaman yang adakalanya dihiris tebal-tebal. Tiada rasa ikan masin, tiada rasa cabai, lengkuas, halia yang digiling yang aku rasa semuanya di 'blender'. Pendek kata 'tasteless'.

Jadi sesekali dapat nasi ulam yang enak, memang membuka selera. Nasi ulam di sesetengah tempat juga dikenali dengan nama nasi kerabu. Tetapi nasi kerabu ini tidak sama dengan nasi kerabu Pantai Timur. Dan adakalanya nasi ulam ini di makan dengan sayur keladi. Alah... macam asam pedas keladi tu.

Kalau dulu-dulu, arwah nenek aku pernah menceritakan, nasi ulam ini dibuat dengan 99 jenis daun. Daun sekentut, daun kaduk, daun limau, dan segala macam daun lagi yang memang aku tak kenal namanya. Sesetengah daun ini, memang tidak dijadikan ulaman seperti ulam raja, ulam pegaga dan sebagainya. Ia cuma digunakan eksklusif untuk nasi ulam ini di bulan puasa.

Rempahnya pula seeloknya digiling bagi mengekalkan tekstur dan rasa. Kalau dimesin, akan terlalu hancur, dan hilanglah tekstur itu. Ikan kering yang digunakan, kebiasaannya ikan kembung (sini panggil ikan termenung) atau ikan talang. Ini kerana isinya yang mudah hancur dan sebati dengan nasi yang akan digaul. Kalau ikan gelama, rasanya mungkin lain sedikit. Dan ikan kering ini lebih enak kalau dibakar berbanding digoreng, sebelum dihancurkan dan digaulkan bersama perencah yang lain.

10 tahun lagi, aku dah tak pasti mana nak dapatkan nasi ulam yang berbaloi di makan.

24 August 2009

Puasa Waktu Kecil

Bila dah tua-tua ni, teringatlah waktu berbuka puasa waktu kecik-kecik dulu.

Waktu yang paling kritikal bila dah lagi sejam nak masuk waktu berbuka. Waktu itulah macam-macam bau menusuk ke rongga hidung. Bau ikan bakar, bau kuah laksa, bau mee kari, bau nasi ulam, dan segala macam bau. Tergugat iman budak-budak aku sekejap waktu tu.

Sekarang ni, bila petang dah tak ada semua tu. Masing-masing sibuk, jadi lauknya hasil pasar Ramadhan lah. Jadi bila terbau ikan bakar, nasi ulam, maka segeralah aku teringatkan zaman kecik-kecik dulu.

26 May 2009

Makan Di Kantin Sekolah

Zaman aku sekolah rendah, mak selalu bagi pada aku (pakai duit arwah ayah) 3 kupang bersamaan 30 sen. Maka bolehlah aku beli nasik lemak sebungkus 20 sen dan ais manis ataupun sirap 10 sen.

Bila waktu sebelum rehat, makcik kantin akan datang ketuk bilik darjah tanya cikgu nak makan apa. Biasanya akan ada menu khas selain nasi seperti laksa, bihun sup, mee goreng dan sebagainya, yang dimasak oleh makcik kantin. Dan kalau aku lalu depan bilik guru, bolehlah lihat guru-guru menjamah makanan yang dikira mewah bagi aku. Sepinggan mungkin seringgit.

Kawan aku yang bawa seringgit sehari boleh diklasifikasin sebagai anak orang kaya. Memang pun, dia anak tokey kedai.

Bila aku sekolah menengah, aku belanja RM 1.50 sehari di kantin (pada zaman aku senior, zaman junior menu aku tak menentu). Mamak dan mami yang jual nasi tu dah cam aku, jadi selalunya aku tak beratur beli nasi. Terus pergi kepada mami, dia akan hulurkan nasi tomato, telur goreng mata kerbau, sayur ubi atau kacang buncis, kuah campur dan kuah manis. Kadang-kadang aku tambah daging kalau ada duit lebih. Bengkek saja budak-budak lain yang beratur. Nasi RM 1.20, air 30 sen.

Keluarga aku bukan orang berada. Tapi aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku ada duit poket untuk makan waktu rehat. Ada sesetengah sahabat aku yang terpaksa mengikat perut. Mereka cuma makan bila balik ke rumah atau ke asrama.

Sebab itulah sesusah mana pun hidup aku, aku tetap bersyukur. Kerana aku tahu ada orang lebih susah dari aku.

06 May 2009

Minum Pakai Piring

Kalau dulu-dulu, di kedai kopi di kampung-kampung dan di pekan-pekan kecil, senario minum kopi atau teh mengunakan piring adalah biasa. Pak lebai, apek, appa, semuanya akan menuangkan air dari cawan ke piring. Tujuannya supaya air itu cepat sejuk.

Sekarang ni, anak-anak muda sekarang jangan haraplah nak minum macam tu. Nak dapat tengok orang minum macam tu pun mungkin dah susah. Maklumlah sekarang dah senang nak buat kopi atau teh suam. Paling tidak pun letak aircond (ais keliling cawan dalam piring) untuk mensuamkan air tu.

Nak pula sekarang ni, tak banyak tempat yang menjamu kopi teh pakai cawan. Biasanya gelas dan ada juga menggunakan mug. Pakai hilanglah budaya minum pakai piring.

Bayangkan di Coffee Bean atau Starbuck atau kopitiam eksklusif seperti Oldtown, ada orang minum dari piring macam tu. Barulah orang asing nampak dan kata inilah keunikan budaya negara kita.

03 December 2008

Kisah Niaga

Masa belajar dulu, aku pernah berniaga jual dan servis komputer. Bukan apa, cari pengalaman dan sedikit duit poket. Aku buat dengan kawan aku. Kalau jual satu set komputer, bolehlah untung RM 300 atau mungkin kurang. Adakala sampai RM 600 pun ada. Kalau servis, tak untung manapun. Format komputer RM 50. Tapi menyiksakan diri kalau kena sesetengahnya yang sistem BIOSnya berlainan. Kalau tukar barang bolehla untung RM20 macam tu. Selalunya untung kecil tapi tekanannya tu besar.

Ada ketika, akan diadakan semacam PC Fair di dalam kampus. Kampus aku memang jauh dari bandar, jadi PC Fair ini menjadi pilihan pelajar untuk mencari barang-barang yang murah. Satu booth untuk pelajar lebih kurang dalam RM200 untuk beberapa hari. Pelajar yang menjual komputer ni taklah ramai sangat, jadi jarang sekali jumlah jualan booth mencukupi. Jadi penganjur yang terdiri dari persatuan atau badan pelajar ini, menjemput vendor dari luar.

Masalah timbul bagi kami bila vendor dari luar dijemput. Ada kalanya vendor yang dijemput itu merupakan stokis kami sendiri. Jadi terpaksalah bersaing dengan stokis sendiri atau vendor yang menjual barang dengan harga yang jauh lebih murah.

Contohnya, kami menjual dakwat isian semula dengan harga RM 10.00. Sedangkan ada vendor yang menjual item yang sama dengan harga RM 9.00. Kenapa jadi begitu? Kerana pada ketika kami memborong item itu, harganya RM 9.50. Sedangkan vendor punya lebihan stok lama item itu yang boleh didapatkan dengan harga RM 7.00. Takkanlah kami nak jual pada harga belian? Begitulah juga nasib yang sama menimpa rakan-rakan niaga pelajar yang lain.

Kadangkala aku merasakan tidak adil menjemput vendor ini. Tapi, aku beranggapan, itulah rencah resam perniagaan. Kalau tak berani ambil risiko, jangan berniaga. Dan aku tak sukakan risiko, maka aku kerja makan gaji sekarang.

20 February 2008

Nostalgia Permainan Komputer

Orang Kampung telah membangkitkan nostalgia aku pada komputer.

Aku mula kenal komputer tidaklah begitu lama, tapi tidaklah begitu baru. Tapi aku bersyukur atas kesedaran arwah ayah aku yang sanggup menghabiskan duit menghantar aku ke kursus komputer selepas habis peperiksaan dan bila aku sambung belajar, emak aku pula sanggup habiskan duit belikan komputer untuk aku yang harganya pada masa tu macam sebiji motosikal. Sekarang dah murah, kalau nak mahal pun sebab peripheral yang canggih.

Aku nak fokuskan kepada cara aku memanfaatkan komputer tu iaitu selain daripada taip assignment, tengok movie, dengar lagu dan juga membolehkan aku belajar repair komputer, yang paling banyak aku dan kawan-kawan aku tumpang manfaat adalah dengan main permainan komputer.

Permainan pertama yang aku main adalah Duke Nukem, 1st person shooter punya style. Kalau zaman sekarang permainan seperti Halo, Half life, Medal of Honor (semua ni aku tak main dah). Dan pertama kali aku main juga, kepala aku jadi pening. Tapi bila dah selalu main, aku dah biasa dan tak pening lagi.

Lepas tu, aku main pula Red Alert. Aku tak sempat main Command & Conquer dahulu kerana waktu tu Red Alert dah keluar. Aku main segala macam expansion. Permainan ni jenis real-time strategy. Pada masa yang sama juga aku turut main Warcraft dan Starcraft. Tapi Red Alert lebih hantu lagi kerana boleh buat aku main sampai ke pagi.

Bila aku dah master Red Alert, siap pakai cheat duit tak habis-habis, aku pun slow sikit. Dan kawan-kawan aku pula yang gila main Red Alert. Aku pun tukar kepada Heroes of Might & Magic, juga real-time strategy. Sekarang permainan tu dah sampai siri yang ke V kalau tak salah aku, dan upgrade ke macam-macam. Aku di bawa ke dunia naga hitam, naga merah, archangel, hydra, Cyclops, Minator, kiranya haiwan mitos Eropah.

Dan pada masa yang sama juga, permainan bola sepak dah mula popular. Siri Fifa menguasai termasuklah Championship Manager yang kerjanya menguruskan pasukan. Aku tidaklah fanatik sangat kedua-dua permainan ni terutamanya Championship Manager kerana permainan ni macam tak ada kesudahan. Jual pemain, beli pemain, susun formasi. Tunggu tengok percaturan kita menjadi atau tidak. Pada waktu ini, komputer aku hampir 24 jam tak ditutup kerana kawan-kawan aku tumpang main permainan ni.

Cuma kadang-kadang saja aku main permainan arcade macam Street Fighter 2, King of Fighting, Mortal Kombat dan juga game perniagaan seperti Transport Tycoon, Simtower, Sim City dan sebagainya.

Tapi selepas komputer aku makin lama makin obsolete, aku pun dah kurang main benda-benda macam ni. Tahun-tahun akhir juga melihat aku sibuk dengan tugasan dan kerja luar. Dan aku pula menumpang pada komputer kawan-kawan aku yang lebih power.

31 December 2007

Aku Damba Komik Kepahlawanan Melayu

Aku adalah antara anak-anak yang dibesarkan di dalam zaman komik Cina yang dialih bahasa. Tetapi aku tidaklah terlalu menggila-gilakan komik itu hingga semua karya Tony Wong aku beli, tapi aku mengaku aku masih beli Pedang Setiawan atau Tian Sha karya Ma Wing Shing hinggalah beberapa tahun lepas, bila aku betul-betul sibuk dengan kerjaya.

Antara komik yang aku kumpul hingga tamat adalah Wira-Wira Keinderaan dan Teman Pendekar Helang Sakti karya Tony Wong, diambil ceritanya dari novelis tersohor China, Jin Yong. Aku juga mengumpul komik Pedang Setiawan dan Raja Rimba oleh Ma Wing Shing, tapi dah tak terkumpul kerana episodnya belum tamat hingga kini.

Di sinilah aku melihat bagaimana komik bukan sekadar satu industri, tapi juga sebagai medium pengembang budaya kepada masyarakat luar. Aku rasa aku lebih mengetahui Art of War Sun Tzu daripada Hikayat Abdullah Munshi. Aku rasa aku lebih tahu Hikmat Kebal Loceng Emas Shaolin daripada pecahan buah di dalam Silat Sendeng.

Dan aku rasa aku bukan bercakap bagi pihak aku seorang. Ramai lagi insan yang mengikuti perkembangan komik ini yang mungkin akan bersetuju dengan aku. Mungkin semua itu hanya fiksyen, tapi penerapan realiti budaya itu sebenarnya amat berkesan, terutama kepada generasi muda.

Sayangnya kita tidak ada industri komik yang sebegitu.

Dulu aku masih ingat lagi, ada usaha menerbitkan komik yang harganya 50 sen senaskhah dan memaparkan kisah kepahlawanan Melayu. Walaupun tidak seberapa, tapi usaha itu pada aku sangat baik. Tapi malangnya telah berkubur.

Kartunis Zoy, antara kartunis yang aku kagumi kerana menghasilkan kisah kepahlawanan Melayu di dalam Berita Minggu, setiap minggu. Walaupun mungkin sekadar fiksyen, tapi masih lagi bercerminkan dunia yang nyata. Watak Lang Kuik Si Kuda Hitam dengan ilmu Apungan Dewa dan Macan Semarang dengan ilmu Sapu Angin memukau aku.

Karya sebeginilah yang harus diangkat, dan kartunis baru juga harus mencuba. Tapi ke mana mereka?

Kalau yang ada pun, identiti kartunis muda ini banyak dipengaruhi komik Jepun dan Hong Kong. Maksud aku kartunis yang lahir selepas era Rejabhad, Dato' Latt, Ujang, Gayour dan ramai lagi.

Tidak kisahlah. Persetankan dahulu bab identiti itu. Yang penting produknya itu. Kiranya ada produk komik tempatan yang setaraf dengan komik alih bahasa ini, aku yakin ramai anak muda yang akan berminat mendekati dunia persilatan Melayu.

Dan kiranya komik ini dapat dibawa ke pasaran antarabangsa dan dialih bahasa pula, nah bukankah kita dapat mempromosikan budaya kita? Apakah cukup sekadar mengharapkan kerajaan dan korporat membawa penari menari di luar negara katanya mempromosikan budaya, dan sesetengah filem kita yang mungkin entah apa-apa di mana-mana festival filem dunia, memaparkan budaya kita masa kini yang makin parah.

Budaya tradisi?

Kita ada jalan, tapi jalan itu mungkin tidak cepat mendatangkan untung. Maka ke kuburlah juga jalan itu.

Sudahlah, tak usah berangan menggapai langit antarabangsa. Cukuplah kiranya karya-karya sebegini dapat membangkitkan kembali semangat budaya kita di kalangan generasi muda. Bukannya Jurus Pedang Tanpa Nama Kegeraman Tidak Terhingga, atau Hikmat Bom Asap Ninja atau Jurus Tendangan Tanpa Bayang.

21 September 2007

Nostalgia Puasa 1

Puasa ni, pada aku, yang paling mencabar adalah apabila kali pertama aku mula kerja kilang lepas habis SPM. Mula-mula kerja tu memang tak ada masalah, sebab aku kerja di bahagian production. Duduk pun dalam aircond. Tapi tak lama lepas tu, bila kilang nak mula expand, bangunan baru pun dah siap. Maka kami yang jantan-jantan nilah yang jadi mangsa. Kena angkat mesin, angkat kotak, segala macam angkat lagi.

Kalian bayangkanlah tengah-tengah panas lit-lit. Angkat kotak. Rasa macam kerja buruh kasar. Dengan dahaga, dengan kebanyakan member aku yang kerja sekali pun tak puasa, minum teh o ais sruppp sruppp dengan selambanya. Masa itu memang betul-betul mencabar keimanan aku.

Yang paling aku tak tahan siap beli bekal nasi, makan belakang stor. Lepas makan bau sambal petai. Memang tak tahan. Mujurlah iman aku masih kuat dan kukuh. Tapi berbuka pada waktu itulah yang paling aku rasa nikmat. Kerana letih badan bekerja, kerana mampu menahan nafsu sama. Setiap suap aku rasa berbaloi.

05 September 2007

Kenduri Pedas

Sebenarnya dah lama aku nak pos entri ni. Tapi baru hari ni berkesempatan. Sebab sebelum ini aku sibuk tahap dewa. Beberapa minggu yang lepas, aku ke majlis kenduri kahwin anak dara bapak menakan sebelah isteri aku. Nuuuuu.... jauh sampai ke Pedas sebab dia kawin orang nogori. Letihnya perjalanan jangan diceritakanlah. Bayangkan 9 jam kau sorang saja yang terpaksa drive tanpa henti. Drebar bas pun boleh eksiden ooooo.

Aku bertolak 10 pagi dan sampai 7 malam. Hari pun dah mula gelap. Orang lain yang jadi penumpang sempat juga lelap mata. Aku? Entah apa jadi kalau aku pun turut lelap. Ya... kenduri di Nogori, khasnya di Pedas ni memang tak sama dengan kenduri di sebelah utara. Di sini khabarnya acara makan-makan melibatkan tukang buat kerja kenduri dah bermula beberapa malam sebelum tu. Lengkap dengan set karaoke, dengan DJ dan penyanyi sekali. Kalau di utara, setakat ada lagu-laguan pada sebelah siang hari kenduri sahaja. Karaoke sebelah malam jarang sekali, kecuali personal karaoke. Kadang-kadang dibuat marhaban sebelah malam sebelum kenduri. Kadang-kadang siangnya.


Majlis akad nikah diadakan malam sebelum kenduri, di rumah pengantin perempuan. Kalau di Utara, bagi Kedah dan Tanjung, akad nikah biasanya diadakan di Surau atau Masjid. Jarang sekali di rumah. Aku tak sangka pula ada akad nikah malam tu, jadinya aku tak sempat nak masuk ambil gambar (saja gatai nak ambil, sedangkan jurufoto yang dilantik dah ada). Habis akad nikah, aku ingat dah selesai. Rupanya belum lagi. Kedua mempelai diarak naik tandu, disambut dengan tarian piring. Aku, masa tu, dah lena dalam kereta sebab tak sanggup nak tunggu bilik kosong dan tak larat pula nak turun ke masjid. Yelah.... semua barang dalam kereta aku, kalau aku ke masjid dengan kereta, nanti nak ambil barang susah pulak.


Ini dia set karaoke serba lengkap. Siap dengan DJ yang boleh menyanyi, dan dua orang penyanyi wanita muda. Dan di sinilah karaoke berkumandang hingga 3 pagi. Aku dalam kereta pun terjaga beberapa kali. Ramai yang ambil kesempatan menyanyi dan berduet. Sedap ke tak itu persoalan kedua.


Kenduri sebelah siangnya. Jemputan memang tidak ramai, aku jangka dalam 1000 orang, mungkin kurang. Kalau di Utara, kenduri pada skala ini pasti mencecah lebih 1000 orang. Dan seperti mana iklan di televisyen tu, memang betullah tetamu perlu tunggu tuan rumah jemput dulu baru makan. Kalau di Utara, kalau jemputan dah sampai, tengok makanan yang terhidang, boleh terus saja makan. Tak payah tunggu dijemput. Tempat memang tak cukup waktu semua tetamu dijemput makan.


Kedua mempelai bersanding. Pengantin perempuan sebelum tu kalau tak salah aku dah tukar lima persalinan atau lebih. Adat agaknya, aku tidak tahu. Bila pengantin lelaki dah sampai, barulah betul-betul bersanding. Lagi satu, yang aku lihat, orang kampung di sini, terutama wanita yang tidak secara terus membantu kerja-kerja memasak atau mencuci, akan datang membawa bekas dengan beras di dalamnya. Mungkin itu adat. Di Utara, cukup sekadar, hadir membantu atau menghulurkan sedekah. Yang paling menarik bagi aku, bila kesemua golongan wanita di kampung ini, walau dihantar dengan motosikal atau kereta ke rumah kenduri, mereka pasti akan berhenti beberapa meter dari rumah dah berjalan masuk ke rumah. Kalau di Utara, yang naik motosikal tu, pasti dihantar sampai depan rumah. Adat agaknya.

Balik agak cepat. Sebab tak singgah lama untuk berehat. 8 jam saja.