30 October 2006

Konflik Dalam Cerita Melayu

Selamat Hari Raya.

Bagi yang tak sempat aku singgah blog, aku pohon maaf. Kebarangkalian untuk aku mendapat talian hayat internet dalam jangka masa terdekat adalah mustahil. Memandangkan aku juga merempat di komputer orang, jadi tidak banyak masa yang ada untuk melayar blog kawan-kawan. Nak kemaskini pun terasa membebankan, bukan pada aku tapi pada orang lain.

Hari ini aku nak bercerita tentang orang kita yang memang suka pada konflik. Aku rasa bukan orang kita saja, tapi manusia memang suka pada konflik.

Kecilkan skop, orang kita.

Maksud aku di sini ialah bagaimana aku berasa jelik jika ada orang yang bersuara,

"Cerita Melayu tak habis-habis. Kalau bukan rumah tangga porak peranda, kisah cinta tiga segi. Kalau bukan kisah cinta, kisah polis. Tak boleh nak buat cerita hidup orang Melayu yang aman, tak bergaduh. Barulah boleh jadi tauladan"

Jeliknya pada aku. Pada kalian, aku tidak tahu.

Kalian lihatlah sendiri cerita Malim Kundang, dan kini Bawang Merah Bawang Putih dari seberang. Balik raya dahulu, ketika mengunjung rumah kaum kerabat dan rakan taulan, aku dengar makcik pakcik berkata,

"Kalau nak keluar beraya. Tunggu pukul 3, habis cerita Bawang Merah Bawang Putih dulu"

"Aku dulu tak tengok cerita ni, tapi satu hari tu seorang kawan tumpang tengok kat rumah aku sebab rumah dia tak ada karan, terus aku sangkut sampai sekarang"

"Geram betul aku tengok si mak tiri mata bulat tu. Tak habis-habis nak menyusahkan orang"

Begitu hebatnya penangan konflik. Cerita apa dalam dunia ni yang tak ada konflik? Dokumentari mungkin boleh diterima. Wayang kulit, mak yong, mek mulung, semuanya ada konflik.

Apa agaknya rupa dan rasa sebuah cerita tanpa konflik. Adakah orang kita suka melihat kesusahan orang lain? Ataupun memang orang kita kuat simpati? Aku boleh susun berbagai atau di sini, tapi pokoknya konflik itu musti dalam cerita.

Kalian boleh bersetuju, boleh juga tidak. Ini aku.

09 October 2006

Nak Bagi Hati Ayam Sedap

Agak lama juga rasanya aku tidak berblog. Di samping agak sibuk dengan tugas hakiki, perpindahan ke lokasi pejabat baru (cuma aku seorang saja) telah mencuri banyak masa aku. Tapi aku puas hati kerana hasilnya amat memberangsangkan. Cuma talian internet masih belum ada. Kata pihak berwajib sedikit masa lagi, yang aku kira pasti akan mengambil masa paling kuran 3 bulan.

Mengemudi internet menggunakan komputer orang memang tidak menyeronokkan. Tidak ada cukup masa untuk mengemaskini blog, mahupun melawat blog rakan-rakan. Maka ketinggalanlah aku serba serbi. Ini pun mujur aku bercuti, bolehlah singgah ke warung cyber.

Cukup pengenalan.

Hari itu, aku berbuka bersama sahabat dan anak buah. Maka keluarlah satu topik perbualan.

Sahabat : Hang pernah makan hati ayam tak?

Anak Buah : Pernah, kenapa?

Sahabat : Sedap tak?

Anak Buah : Ikut tukang masak dan ikut masakan la.

Sahabat : Tau tak macam mana nak bagi hati ayam sedap?

Anak Buah : Ntah.....

Anak Buah Seorang Lagi : Biasanya orang masak lada, atau masak dengan kerisik.

Sahabat : Lagi?

Anak Buah Seorang Lagi : Ntahla.... biasa itu yang paling sedap.

Sahabat : Semua salah.

Anak Buah : Abis tu?

Sahabat : Hangpa lepaskanlah ayam tu, baru 'sedap hati' dia.

Aku tengok anak buah aku blur tak paham, manakala aku dan sahabat-sahabat ketawa gila.