26 July 2008

Budaya Ilmu Dalam Teater di Tanjung

Apa yang aku nak cakapkan ni, adalah fenomena yang berlaku di dalam lingkaran dunia teater yang menjadi habitat aku sekarang. Teater Melayu di Tanjung. Keadaannya mungkin sama dan mungkin juga berbeza kalau dengan teater Inggeris atau Cina di sini.

Satu perkara yang ingin sangat aku terapkan ialah budaya ilmu di dalam teater itu sendiri. Sejak mula aku berkecimpung di dalam teater di Tanjung ni, aku sedih kerana melihat para audien yang cuma hadir menonton teater sebagai satu hiburan. Belum lagi mencapai tahap industri, audien dan anggap teater ini macam Broadway atau Westend, datang untuk seronok. Tapi kalau sanggup membayar, tak apalah juga. Ini tidak, mahukan yang percuma juga.

Kerana kesedihan aku itu, aku dan rakan-rakan yang lain cuba terapkan satu budaya kepada para audien percuma ini, iaitu budaya ilmu. Masih baru, tetapi aku rasa sedikit sebanyak impaknya dah ada. Setiap kali lepas persembahan, kami akan adakan sesi viva atau soal jawab dengan audien. Sekurangnya, audien boleh bertanya atau memberikan komen masing-masing terhadap pementasan yang mereka tonton.

Pada mulanya memang kekok. Audien sendiri tidak tahu nak bertanya apa. Tetapi, bila makin kerap diadakan, maka audien pun semakin bijak. Nak pula jika teater yang dipersembahkan itu berbentuk perlambangan. Memang banyak soalan yang perlu dijawab. Tidak kurang juga jika teater yang dipersembahkan dalam bentuk realisme, pun audien tetap mahu bertanya. Harapan aku, selepas ini makin banyak soalan yang akan ditanya dan soalan pula makin bernas dan matang.

Tetapi dalam masa yang sama, aku berasa terkilan juga. Dalam kami berusaha untuk memberikan budaya ilmu kepada audien, tetapi di dalam kelompok kami sendiri, budaya ilmu itu sangatlah kurang. Lupakan siri seminar, wacana teater, mahupun dialog dengan tokoh teater kerana semua itu kalau tidak banyak pun, pasti akan memakan sedikit perbelanjaan, suatu perkara yang perlu kami perhatikan. Tambahan lagi, dengan kepelbagaian latar belakang pendidikan, mentaliti dan sebagainya, perkara-perkara sebegini akan jadi pilihan aku yang kedua (tapi aku kini dalam proses mengadakan wacana teater yang pertama. Insyaallah).

Aku cuma mengharapkan, agar budaya ilmu ini dapat diteruskan walau sekadar sembang-sembang di kedai kopi atau duduk bincang-bincang sebelum latihan bermula. Tidaklah masa itu habis dengan gosip, kutukan dan sebagainya. Walaupun ada sembang perihal teater, ia terhad kepada hal produksi dan nasib teater di sini.

Hummm…..

Nampaknya aku terpaksa tarik balik kata-kata aku. Jangan risau, aku tak buat kenyataan bersumpah.

Aku rasa dah sampai masa sidang ilmu bagi penggiat seni teater di Tanjung ini diadakan secara serius. Biarlah tidak mahal, tetapi serius. Mungkin boleh dimulakan dengan sesi dialog sesama aktivis, membincangkan topik tertentu. Misalnya Teater Realisme dengan Teater Anti-Realisme, mana yang lebih baik. Bila dah ada bajet, barulah boleh dibuat seminar atau kolokium atau memanggil tokoh-tokoh teater yang ada. Entahlah pendekatan aku ini boleh diterima atau tidak oleh aktivis di sini.

Aku suka ambil pendekatan. Buat saja!

Kalau kalian ada pendapat, suarakanlah. Aku sangat hargai.

19 July 2008

Blue Ocean Strategy

Satu sebab menjurus kepada satu sebab. Satu sebab boleh menjadikan sebab musabab.

Awal Julai lalu, aku dan ramai lagi telah diberi penerangan tentang pesiapan tempat kerja aku untuk dinilai menjadi salah sebuah universiti yang terlibat di dalam Accelerated Program for Excellence (APEX). Dan dalam banyak-banyak perkara yang diterangkan, selain daripada isu pelestarian, aku amat tertarik dengan satu strategi korporat yang baru yang dinamakan Blue Ocean Strategy.

Blue Ocean Strategy dihasilkan oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborqne. Kedua-duanya dari INSEAD Blue Ocean Strategy Institute. Buku ini telah terjual lebih daripada 1 juta naskhah pada tahun pertama diterbitkan dan telah diterjemahkan kepada 41 bahasa.

Aku memang tak tahu menahu langsung tentang kewujudan buku ini. Nampak sangat aku ni antara rakyat Malaysia yang malas membaca buku-buku bermanfaat sebegini. Tapi di dalam taklimat yang aku dengar, secara ringkasnya telah dinyatakan apa itu intipati Blue Ocean, yang membuatkan aku sangat berminat untuk berkongsi dengan kalian.

Kita ambil contoh kes :

Pak Razali seorang penjual apom balik di pasar Lorong Kulit. Dialah satu-satunya penjual apom balik dan apom baliknya mendapat sambutan yang menggalakkan. Sebelum itu tidak ada peniaga lain yang menjual apom balik.

Pak Razali telah mencipta Blue Ocean.

Melihat populariti apom balik Pak Razali, Pak Azmir dan Pak Haizal pun mula berniaga apom balik juga di pasar Lorong Kulit. Walaupun apom balik Pak Razali masih laku di pasar itu, tapi jualannya telah berkurangan.

Pak Razali kini telah berada di Red Ocean.

Menyedari hal itu. Pak Razali mengubah strateginya dengan mula menjual kuih tahi itik dan kuih akok, yang cuma popular di Pantai Timur.

Pak Razali kembali ke Blue Ocean.

Intipati contoh kes ini sangat mudah dan intipati Blue Ocean Strategy itu juga sangat mudah. Buatlah perkara yang orang belum pernah buat, atau yang orang sudah tidak buat, asalkan kita berbeza dari orang lain. Sekiranya apa yang kita buat itu dituruti oleh orang lain, maka secara tidak langsung kita akan tercebur ke dalam Red Ocean. Maka carilah jalan untuk memasuki Blue Ocean lagi.

Jika mahu dilihat pada contoh korporat pun banyak.

Dulu Maggi merupakan pelopor mee segera di Malaysia. Maggi berada di dalam Blue Ocean sehinggalah pesaing lain turut masuk serta seperti Cintan, Ibumie, Indomie, Adabi dan segala macam lagi, sehingga ia menjadi Red Ocean.

Sayangnya, pengusaha Bumiputera seperti Adabi turut menceburi Red Ocean itu. Seharusnya Adabi mencipta Blue Ocean sendiri.

Begitu juga dengan Milo, yang kini disaingi oleh Ovaltine, Vico, Cadbury dan juga terbaru Oligococo.

Dulu Pampers mungkin merupakan lampin pakai buang yang terawal. Sekarang lihat apa yang terjadi?

Strategi ini mungkin ditulis untuk para korporat. Tapi aku melihat strategi ini sebenarnya berguna juga di dalam kehidupan kita. Cuma aku rasa kita ini tidak mudah untuk keluar dari zon selesa. Dan kalau mahu melakukan perubahan, banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan, juga aku rasa tidak ramai yang sanggup berkorban.

Dalam konteks seni teater itu sendiri, para aktivisnya harus mencipta Blue Ocean masing-masing agar kesegaran idea itu dapat dikekalkan. Sedihnya kerana dari dulu, sejak Stanilavski lagi orang masih menggunakan cara yang sama bila menghasilkan naskhah realisme atau dramatik. Pendekatan Brecht pula digunapakai bila mahu menghasilkan epik teater. Malah, kalau mahu menghasilkan teater fitrah atau Islamik, maka Dato’ Noordin Hassan menjadi panduan.

Bukannya tidak boleh merujuk orang-orang yang berilmu ini. Tapi ada masanya, kita perlu melangkah keluar dari kotak dan berfikir luar dari kotak (pendekatan Blue Ocean Strategy mungkin selari dengan Think Outside The Box, tetapi perinciannya kemungkinan tidak sama).

Ibarat sebiji kelapa tumbuh. Yang terus tumbuh menjadi sebuah pokok kelapa (mestilah pokok kelapa, takkan pokok taugeh pulak). Bila berbuah, buahnya itu pula akan menyebar menjadi pokok kelapa di tempat lain. Buah itulah yang boleh dianggap Blue Ocean.

Stanilavski, Brecht, Dada, Plato, Emmanuel Kant, Jallaludin Rumi, Khalil Gibran, Dato’ Nordin Hassan, Dato’ Johan Jaffar dan lain-lain adalah sumber ilmu. Adunlah ilmu yang diperolehi dan hasilkan Blue Ocean itu sendiri di dalam bidang seni teater.

Tapi usaha ini bukannya usaha berseorangan. Kerana teater itu adalah kerja berpasukan. Nak berenang di dalam Blue Ocean pun, bukan berseorangan, tapi bersama-sama.

Ini baru komen intipati. Kalau aku baca buku Blue Ocean. Harus aku boleh terbitkan satu buku lain pula.

Tapi aku tetap tak boleh lawan Naga. Buku dia dah banyak.

16 July 2008

Cakap Yang Benar

Ha ha ha....

Aku ketawa dulu sebelum bercerita.

Seorang suami pulang ke rumah selepas kerja. Dari kejauhan dia dengar suara isterinya menengking pembantu rumah Indonesia. Isterinya marah-marah kerana seluar dalam mahalnya hilang.

"Alah.... setakat sehelai tu, nanti saya ganti balik. Apa yang nak bising-bising macam debat perdana," kata si suami.

Balas isterinya, "Kalau sehelai tak apa bang, ini dah sepuluh helai. Abang nak saya diamkan lagi? Ini mesti kerja budak ni!"

Terperanjat, suami mahukan kebenaran. Dengan tegas dia bertanya kepada pembantu Indonesianya, "Kamu jangan cakap bohong! Kamu ambil atau tidak seluar dalam Ibu? Cakap yang benar!"

Maka dengan terketar-ketar pembantu Indonesia itu menjawab dalam pelat Yogyakarta, "Tidak pak, saya tidak ambil pak. Bapak sendiri tahu, saya tidak pakei seluar dalam kan?"

04 July 2008

Buah Jatuh Tak Jatuh

Newton menunggu buah epalnya jatuh.
Dia dapat ilham tentang graviti.

Kita tunggu buah tak jatuh-jatuh.
Kita dapat ilham tentang menunggu hingga mati.