07 June 2010

Kereta Mat Amin

Mat Amin bukanlah cerdik sangat. Periksa SPM dia cuma dapat pangkat 2. Tapi itu dah dikira pandai gila kalau di kampung dia tu. Sebab ramai yang dapat pangkat 3. Pangkat 1 adalah juga beberapa orang.

Lepas SPM Mat Amin ke bandar untuk cari kerja. Pendek cerita, berkat usaha gigih Mat Amin kerja halal, dapatlah Mat Amin beli kereta. Maka Mat Amin pun bawa balik kereta ke kampung nak tayang pada keluarga, kawan-kawan dan awek-awek kampung.

Tapi apa yang Mat Amin dapat hanyalah hilai ketawa kawan-kawan dan senyum sinis awek-awek. Kereta kancil gear manual second hand Mat Amin masih belum dapat menarik hati orang kampung kecuali keluarga Mat Amin.

"Tak apalah Amin, ada kereta pun dah syukur." kata bapa Amin.

"Tapi orang lain tak bersyukur abah...." protes Amin.

"Tak apa, biarkan saja. Abah pinjam kereta kau boleh Amin? Nak bawa orang pergi solat mayat." pinta bapanya yang lebih kepada arahan.

Memang selalu kereta Amin dipinjam oleh bapanya kalau dia balik kampung. Kadang-kadang adik perempuan Amin akan gunakan kereta itu juga untuk belajar memandu kereta. Dia tidak kisah sangat. Memang pun untuk kegunaan keluarganya juga. Nak harapkan Mazda buruk bapanya tu, jauh mana sangat boleh pergi.

Tapi nun di sudut hati Mat Amin, dia menyimpan impian dan hasrat untuk membuktikan kepada orang kampung terutama kawan-kawan dan awek-awek kampung yang dia boleh pakai kereta yang lebih hebat. Maka tiap kali balik ke bandar, Mat Amin akan ikat perut. Mat Amin akan kerja separuh masa. Mat Amin berniaga itu dan ini. Mat Amin siap masuk skim cepat kaya dan MLM. Dan selepas beberapa tahun saja, Mat Amin telah berjaya.

Musim buah Mat Amin balik dengan Mercedes recond. Sebab kereta tu recond, nampak macam baru. Nombor plet pun baru, bukan nombor second hand. Maka terbeliaklah mata kawan-kawan yang dulu mengutuk mengata. Mat Amin siap sedia geran lagi untuk ditunjukkan pada kawan-kawan, sebagai bukti itu bukan kereta pinjam. Awek-awek kampung tak henti-henti senyum bila tengok kereta Mat Amin. Bila Mat Amin menurunkan cermin gelap sisi pemandu, senyum mereka terus lekang, dek malu pada Mat Amin.

Pagi itu, Mat Amin cari kereta dia, "Mak, mana kereta Amin?"

"Abah kau pakai." jawab emak Amin sambil menyiang ikan bunga air.

"Ada mayat lagi ke mak?" tanya Amin lagi.

"Eh, taklah, katanya dia nak ke dusun." bingkas emaknya.

"Dusun!?" Amin dah tak sedap hati. Terus dia capai kunci motor buruk bapanya yang selalu digunapakai ke dusun. Raga pun tak buang. Mat Amin segera menunggang ke dusun.

Kereta Mat Amin tak ada, "Sah! Jahanam kereta aku!"

Mat Amin memecut ke pekan kecil di sebelah kampungnya. Ke tempat yang selalu disinggah oleh bapanya untuk minum kopi dan menjual buah-buah kayu hasil dari dusun. Dan bila sampai ke situ, Mat Amin macam nak pengsan.

"Abah! Itu kereta Mercedes abah, bukan Kancil. Abah bawa durian untuk di jual pakai kereta Mercedes saya tu abah!"

"Syyyyy.... abah pun nak tunjuk jual durian pun boleh pakai Mercedes." bisik bapanya perlahan.

Dan ketika itu Mat Amin dah ternampak kembali hilai tawa orang kampung kepadanya.

4 comments:

artisticklytouch said...

Awat, Mercedes xleh bau degyan ka Mat Amin oi??

jinggo said...

mat aminnn ooo mat aminnn.......
hahahaha......

aloy_paradoks said...

mazda lama tu mcm mana? kalau tanak bagi aku la biar aku repair..

Anonymous said...

lokasi kejadian dimana mana? Cadangan di pekan Batu Kurau.