Dan kita semua tahu, tradisi kunjung-mengunjung oleh kanak-kanak ini telah lama dilakukan sejak dahulu. Biasanya mereka akan mengunjungi kawasan sekitar seperti kawasan kampung atau kawasan perumahan. Dan pada masa inilah mereka mengambil peluang untuk mengenali jiran-jiran kampung mereka.
Kalau pada zaman aku dahulu, ada kanak-kanak yang mengembara dari kampung lain ke kampung kami. Tidak ketinggalanlah aku yang pernah beraya agak jauh hingga terpaksa menaiki bas, semata-mata untuk beraya ke rumah cikgu sekolah aku.
Sayangnya kerana nilai tradisi kunjung mengunjung ini sudah semakin berbeza kini. Kanak-kanak tidak lagi mengunjungi rumah jiran sekampung untuk mengeratkan silaturahim, tetapi lebih kepada mengutip duit raya. Dan biasanya, duit rayalah motivasi utama mereka. Tidaklah aku menyalahkan mereka, kerana mereka masih kanak-kanak. Tetapi kesedaran ini patut diterapkan oleh individu yang lebih tua dari mereka.
Kalau dulu (zaman aku mungkin berbeza, zaman sebelum aku pastinya lebih berbeza), duit raya biasanya diberi pada nilai 20 sen. Rata-rata rumah dikampung, itulah nilainya. Ada juga yang memberi 10 sen. Kalau 50 sen, itu sudah dikira mewah dan kalau RM 1.00, maka rumah itu akan dicop rumah orang kaya.
Ada pada satu ketika, rezeki keluarga aku agak baik pada tahun itu dan kena pada hari raya itu, arwah ayah aku berhasrat menyedekahkan RM 1.00 kepada setiap kanak-kanak yang hadir. Pada ketika itu, RM 1.00 sudah dikira mewah, kalau pun tidak dianggap orang kaya (keluarga aku pun bukan kaya, cukup makan saja).
Maka implikasinya, kanak-kanak tidak putus hadir ke rumah keluarga aku. Seperti mana berita CNN dan Al-Jazeera, begitulah pantasnya merebak cerita duit raya RM 1.00 yang diterima. Seperti ada jaringan komunikasi yang sangat berkesan di antara mereka. Bayangkan, kanak-kanak yang kami tidak pernah lihat muka mereka (maksudnya dari kampung lain. Kalau dari kampung yang sama, biasanya wajah mereka kebiasaan dilihat dan kalau ditanya anak siapa, kami akan kenal mereka dari keluarga mana), tiba-tiba muncul dari merata-rata. Dan seperti biasanya, mereka tidak mahu singgah untuk menjamah makan dan minum, cuma menadahkan tangan di depan pintu, bersalaman dan kemudian beredar. Malahan ada yang tidak bersalaman pun. Lebih tragis lagi, ada yang walaupun telah hadir pada sebelah pagi, akan datang lagi pada sebelah petang dengan pakaian yang berbeza untuk mendapatkan duit raya.
Kini, sekiranya sesebuah rumah itu hanya memberikan duit raya sebanyak 50 sen (kerana itu yang termampu, maka kita boleh lihat sendiri berapa ramai bilangan kanak-kanak yang akan hadir ke rumah itu. Kanak-kanak ini pun biasanya, menggunakan modus operandi yang sama iaitu mensasarkan rumah yang kelihatan mewah dan rumah yang sudah pasti memberikan duit raya yang bernilai tinggi. Ada sesetengah yang sanggup menggunakan duit raya itu untuk membeli minuman berkarbonat di kedai berbanding minum di rumah yang mereka singgah untuk mendapatkan duit raya.
Rugilah kanak-kanak ini kerana tidak mengenali jiran-jiran mereka, walaupun pada tahap minda mereka itu, perkara itu tidaklah penting.
5 ke 10 tahun lagi, entah bagaimana suasana mendapatkan duit raya ini. Mungkin duit raya bertukar kepada topup kredit telefon, atau duit raya cuma perlu diberi secara on-line sahaja. Maka makin jahanamlah nilai kunjung-mengunjung yang sepatutnya diterapkan.
4 comments:
Semalam ada sekumpulan kanak-kanak datang rumah. Dijemput masuk untuk makan minum tapi tak mau. Seorang bertanya (ketua kumpulan agaknya): "Duit raya ada?" Aduuuh ... sungguh saya tak sangka soalan macam tu!
Musim berubah, tidak semestinya semua nilai kehidupan berubah. Ada yang mesti dipupuk, ada yang perlu dipulihara.
Selamat Hari Raya untuk Bro PK sekeluarga, maaf zahir dan batin.
Salam :)
eloklah tu, rumah aku baru dua family datang beraya. rasanya semua orang pergi beraya rumah sosilawati kot
BR
Itulah yang menyedihkan kita, BR.
Selamat Hari Raya jua!
Art
Rumah Sosilawati tak bukak pintu.
ada yg tak raya sebab tak berduit.
selamat hari raya.
Post a Comment