03 November 2010

Ulasan Yang Terpulas - Estet


Aku sangat jarang mengulas filem. Kali pertama dan terakhir aku mengulas filem, ialah filem Talentime oleh Yasmin Ahmad. Waktu tu, beliau hidup lagi dan filem tu belum ditayangkan di panggung. Maka ini akan jadi kali kedua, sebelum Estet ditayangkan dipanggung esok.

Aku sebenarnya tak peduli sangat pasal label filem 1Malaysia oleh Mamat Khalid atau sesiapa pun. Kerana pada aku, itu bukanlah penjamin filem itu bagus dari segi estetika dan dan menjamin kemenangan mana-mana festival. Kerana kita ini dah 1Malaysia dari zaman P.Ramlee lagi. Cuma percubaan P.Ramlee terutama selepas beliau berpindah ke Studio Merdeka kerap gagal atas pelbagai sebab.

Tapi sebagai sebuah filem, aku tetap mengatakan Estet cukup rempah ratusnya. Malahan rempahnya diimport dari India. Sayangnya, tidak semua orang suka makan makanan berempah kari.

Mamat Khalid menghasilkan Estet yang santai, yang boleh buat makcik dan pakcik dari Changlun ketawa berdekah-dekah dengan telatah David Arumugam, malahan Profesor dari universiti tersenyum sinis dengan kritikan dan sindiran Kublai Khan (Rosyam Nor), "Esok audit nak masuk". Malahan golongan muda juga boleh bergelak sakan apabila Farid Kamil berkata, "Lepas raya, saya nak beli skuter".

Estet ini untuk semua.

Lain orang, mungkin lain yang mereka lihat. Mereka melihat filem sebagai satu cerita, yang perlu menarik perhatian penonton, serta lengkap dengan lakonan dan sinematografi yang bagus. Estet mungkin kurang dari segi lakonan, kerana lakonan dalam Estet biasa saja, sesuai dengan nahunya sebagai filem santai (tapi secara senyap mengenakan orang). Mungkin ini sebabnya Estet cuma dapat Anugerah Khas Juri dalam Festival Filem Malaysia ke-23. Entahlah, aku bukan juri yang berilmu dan berpengalaman (berilmu dan berpengalaman kah? He he he....)

Aku menyukai filem-filem Mamat Khalid kerana beliau memaksa aku membaca disebalik dialog dan lakonan yang biasa. Rock, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang dan Zombie Kampung Pisang, penuh dengan semiotik (sama ada secara sengaja atau tidak sengaja oleh Mamat Khalid).

Seperti satu adegan minum todi (atau mungkin samsu) di sebuah kedai, ada seorang pemuda yang mengayuh basikal setempat, tak bergerak-gerak (basikal tua, ditongkat dua, dan dikayuh. Sekarang susah nak jumpa basikal yang bertongkat dua). Sepertinya pengarah nak menceritakan, minum arak ni, tak akan ke mana-mana. Masalah tidak selesai, tapi masih di situ juga.

Seperti yang aku bicarakan, lain orang lain citarasanya. Hurt Locker menang Oscar untuk filem terbaik. Tapi Hurt Locker bukanlah filem aksi (walau debaran aksinya pun boleh tahan hebat) yang digemari ramai. Tapi isu, sinematografi, kekuatan lakonan dan segala macam lagi kriteria membolehkan filem itu menang. Begitu juga No Country For Old Men, sebuah filem dengan naratif yang begitu hebat, mungkin bukan pilihan tontonan popular.

Tapi Estet bukan dibuat untuk menang anugerah (rasanyalah). Mamat Khalid perlu buat filem yang boleh dijual, ditonton semua orang, dan pada masa yang sama, memenuhi kehendak beliau sebagai pengarah. Memang senang kalau buat filem yang orang suka nak tengok, buat saja filem cinta, komedi, aksi atau seram mengikut selera pasaran. Tapi tidak salah juga buat filem mengikut selera audien, sebab filem juga adalah perniagaan. Siapa yang nak rugi berniaga?

Maka, cadangan aku, tontonlah Estet, dan nilailah sendiri.


4 comments:

jaytea abdul said...

setuju. naratifnya yang tak banyak berbeza. tapi penceritaan disebalik cerita itu yang buatkan ramai penonton buta atau sengaja tutup mata.

dan mamat khalid bagi saya, tak pernah mengecewakan walaupun banyak karyanya seperti di anak tirikan. biasalah. penonton hanya melihat tidak merasa.

sinaganaga said...

i loike

aloy_paradoks said...

bangga mamat khalid kalau baca ni..

tegezoot said...

langkawi masuk tap tak cukup 6 org depa xnak tayang... frust menonggeng aku !!!!