Aku memang minat fotografi. Rasanya sejak aku tingkatan 3 aku dah minat fotografi. Aku akan pinjam kamera kompak arwah ayah aku, yang jenis pakai filem dan kena pulas setiap kali lepas ambil gambar (bukan yang automatik roll tu) untuk ambil gambar. Masa tu bukan tahu sangat segala benda pasal gambar ni, cuma minat saja. Dan aku ingat lagi, aku pernah habiskan 4 gulung filem untuk ambil gambar bila ke Cameron Highland. Dan yang paling tak guna bila kawan-kawan minta aku ambilkan gambar mereka. Gambar solo pulak tu. Bila cuci, nak jual pun tak balik modal.
Lepas sekolah menengah, aku masih minat fotografi. Tapi aku tak mampu nak beli kamera SLR. Masa tu mana ada lagi DSLR. Tapi kawan aku pula yang berjangkit minat ke fotografi ini, hinggakan bila dia dapat sambung belajar ke UiTM, dibelinya kamera SLR sendiri. Aku cuma mampu tengok saja.
Bila aku kerja, kamera pejabat selalu jadi mangsa. Aku mula berjinak dengan DSLR. Nikon D70s, Lensa Nikkor 18 - 70 mm. Model lama. Itupun sebab aku jadi backup cameraman sebab main cameraman dah tak terpulun nak tangkap gambar program-program yang berlangsung seorang diri, Itu pun main tangkap saja. Asalkan gambar tak gelap, asalkan tak blur, kira jadilah!
Tapi minat aku makin mengembang bila isteri aku mengambil kursus Teknologi Fotografi selama 6 bulan di Giatmara. Oleh kerana bilangan kamera yang disediakan terhad, maka kami berpakat untuk membeli sebuah kamera DSLR starter level iaitu Canon 500D dengan lens-kit 18-55 mm. Dan dari situlah minat aku terus berkembang. Apa yang isteri aku belajar, aku akan turut belajar. Jadi dari buta kamera, tahulah sikit-sikit apa itu DOF, apa itu bokeh. Tahu saja, tapi nak buat tak tahu juga. Sayangnya aku tak sempat belajar banyak kerana isteri aku terpaksa berhenti separuh jalan akibat perkara yang tidak dapat dielakkan. Maka banyak lagilah yang aku tak dapat belajar seperti penggunaan flash, metering, white balance, fotografi studio dan sebagainya.
Namun alang-alang dah beli kamera, dan dah minat, kami teruskan minat kami dengan cara kami sendiri. Kami belajar sendiri, eksperimen sendiri, tanya orang-orang yang pakar. Dan melalui apa yang aku dapat setakat ini, bagi diri aku, aku rasa aku tidak minat nak jadi fotografer orang kahwin atau yang sewaktu dengannya. Kerana aku malas dan rasa leceh nak kena bawa 2 ke 3 jenis kamera, kena ada orang pegang reflector, kena check metering dan sebagainya. Aku tidak nafikan wedding photography memang tren terkini dan orang yang menguasainya dapat pakej beribu ringgit setiap kali nak ambil gambar. Cuma ia tidak sesuai dengan jiwa aku.
Mungkin aku lebih suka sesuatu yang candid, maka fotografi urban & rural, streets, architecture, nature, macro dan photojournalism menjadi pilihan aku. Mungkin juga aku suka portrait, tapi potrait yang candid. Aku tidak begitu pasti aku suka studio fotografi atau tidak kerana aku masih belum mencubanya. Pada aku, inilah peluang berkongsi minat dengan isteri tersayang dan buat sesuatu yang kami suka.
Di bawah antara contoh-contoh orang yang buta fotografi macam aku ambil.
Canon EOS 500D, f/4.5, 1/4000, ISO 800, Lensa 18-55mm
Canon EOS 500D, f/5.6, 1/50sec, ISO 800, Lensa 18-55mm
Canon EOS 500D, f.22, 1/15sec, ISO 1600, Lensa 18-55mm
Canon EOS 500D, f/2.8, 1/80sec, ISO 1600, Lensa Canon EF 70-200mm f.2.8 L IS USM
Canon EOS 500D, f.2.8, 1/80sec, ISO 1600, Lensa Canon EF 70-200mm f.2.8 L IS USM
Canon EOS 500D, f/9, 1/160sec, ISO 800, Lensa 18-55mm
Canon EOS 500D, f.5.6, 1/100sec, ISO 200, Lensa 18-55mm
Canon EOS 500D, f/10, 1/250sec, ISO 400, Lensa 18-55mm
Canon EOS 500D, f/20, 1/160sec, ISO 400, Lensa 18-55mm
Canon EOS 500D, f/4.5, 1/100sec, ISO 400, Lensa 18-55mm
Canon EOS 500D, f/22, 1/100sec, ISO 400, Lensa 18-55mm
Nikon D70s, f/4.5, 1/15sec, ISO 800, Lensa 18-70mm
Nikon D70s, f/29, 1/1000sec, ISO 800, Lensa 18-70mm