04 July 2011

Ulasan Yang Terpulas - Bangsawan (??) Opera Primadona

Aku menonton pementasan ini selama dua malam. 1 & 2 Julai 2011 di Taman Budaya Negeri Kedah. Aku sebagai insan yang naif dan daif seni ini, tak tahu bagaimana nak mulakan ulasan ini. Sama ada sebagai pementasan bangsawan atau pementasan teater; ya inilah polemik paling hip dalam entri ini. Maka inilah ulasan aku yang tiada ilmu teater secara rasmi dari mana-mana IPT. Harap terima dengan hari terbuka.


Pre Show lagu 'Awan Nano' yang melegakan.

Agaknya kerana bangsawan belum diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Intangible Heritage, maka belum ada kata putus mengenai elemen dan struktur yang harus ada di dalam mana-mana persembahan bangsawan. Agaknya kerana itulah KUBAS dengan beraninya mengisytiharkan pementasan ini sebagai bangsawan, dengan mengambil hanya beberapa elemen dan struktur bangsawan seperti mahkota alam/kota bam, sebeng/sidewing dan lagu penutup bangsawan. Di dalam Facebook, KUBAS "berkata nantikan perubahan besar persembahan Bangsawan 'Opera Primadona', satu bentuk persembahan yang menggunakan konsep kontemporari namun masih mengikut struktur persembahan bangsawan dan diterapkan elemen-elemen bangsawan oleh anak-anak teater Kedah dari KUBAS." 


Watak Tokey Panggung

Aku secara peribadi, agak sukar menerima hakikat ini, terutama bila Opera Primadona dipersembahkan untuk program Semarak Bangsawan di Kuala Lumpur. Program Semarak Bangsawan adalah satu program yang dibentuk oleh kementerian untuk memartabatkan bangsawan, maka seharusnya bangsawan dipersembahkan secara autentik kepada audien. Walaupun mungkin tiada garis panduan khas berkenaan elemen dan struktur bangsawan, tetapi empat perkara ini adalah nyawa kepada persembahan bangsawan.

Pertama bentuk penceritaan; kalau mengikut Pak Alias, Orang Muda bangsawan di Pulau Pinang, dan dipetik oleh Morad Ibrahim, cerita dalam bangsawan terbahagi kepada 7 jenis iaitu cerita syair Melayu seperti Selendang Delima dan Indra Bangsawan, cerita sejarah seperti Mahsuri, Tengku Sulung Mati Digantung, cerita Cina seperti Sampek Eng Tai, cerita Arab seperti Laila Majnun dan Sinbad, cerita Jawa seperti Raden Mas dan Panji Semirang, cerita Hindustan seperti Cinta Mani dan cerita fantasi seperti Jula Juli Bintang Tiga dan Bakawali. Biarpun zaman dah berubah, namun olahan cerita bangsawan itu perlulah mengikut nahu tujuh bentuk cerita di atas agar nilai auntentiknya dikekalkan.

Opera Primadona membawakan kisah nasib primadona bangsawan di Indonesia, lebih mendekati kepada tonil di Indonesia atau sandiwara di Malaysia. Sekadar menggunakan Mahkota Alam, Sebeng dan Lagu penutup tidak mem'bangsawan'kan persembahan itu.


Adegan pengenalan, kemeriahan produksi bangsawan itu.

Aku tidak pernah mengikuti produksi Rahman B. Tapi aku pernah mengikuti produksi Morad Ibrahim, Baharoodin Ahmad (Cikgu Baha) dan Dr. Samat Salleh. Meskipun ketiga-tiga mereka ada kelainan yang tersendiri, namun satu perkara yang aku dilihat dan mungkin boleh aku anggap sebagai consensus ialah penggunaan mahkota alam, sebeng, tirai latar, dan yang paling utama ialah extra turn. Inilah ciri-ciri utama yang menjadikan sesuatu persembahan itu bangsawan. Kita tahu fungsi extra turn adalah supaya kru pentas dapat mengambil masa melakukan perubahan set dan tirai latar di belakang pentas. Dan pastinya ada yang berkata, sekiranya kami dapat menjimatkan masa perubahan set itu, maka apa perlunya diadakan extra turn? Tetapi Dr. Samat Salleh berpendapat, meskipun kita dapat melakukan perubahan set sekelip mata, sekurang-kurangnya haruslah diadakan juga 1 atau 2 extra turn sebagai syarat itu adalah pementasan bangsawan. Jika tidak, di mana nilai bangsawannya? 

Itu tidak lagi termasuk perincian elemen lain seperti bernasib, tasmat, kiok bangsawan (lenggok bahasa bangsawan), improvisasi beberapa lagi. Semua ini akan membezakan bangsawan dengan persembahan sandiwara, purbawara dan juga teater moden lain. Sekiranya semua ini diabaikan, maka di manakah bangsawannya?


Adegan seterusnya, set mudah alih, tanpa tirai latar.

Aku bukanlah anti KUBAS atau anti persembahan kontemporari. Aku sangat menyokong dan menggemari pementasan kontemporari kerana kerap membawakan nafas segar. Namun bagi aku, kali ini KUBAS berada di platform yang salah untuk bereksperimen. Dan aku tidak juga menyalahkan KUBAS 100% kerana setahu aku, skrip ini diluluskan sendiri oleh pihak kementerian. Jadinya? Siapa yang patut disoal?


Watak Miss Kecubung (primadona tua) bersama suaminya (tauke bangsawan)

Namun sebagai sebuah pementasan teater, aku mengakui pementasan ini adalah sebuah pementasan yang bagus. Agak lama tidak dapat menonton produksi yang membawakan sebuah teater yang sebegini, pengarahannya segar (setidaknya bagi wilayah Utara), lakonan yang baik (bagi sesetengah watak) dan sinografi yang baik. Tidak sempurna, namun tetap bagus.  Cuma beberapa perkara yang mungkin dapat aku yang baru bertatih ini untuk suarakan.


Pentas bangsawan, Primadona sedang beraksi dengan watak Jin (kalau tak salah aku)

Pemilihan mengekalkan keaslian bahasa Indonesia adalah satu langkah yang baik kerana secara tidak langsug rasa Indonesia Raya itu meresap ke audien, dibantu pula dengan kostum yang baik. Namun, menjadi agak kurangnya kerana kerap kali audien, terutama yang berada jauh di tempat duduk belakang, tidak dapat mendengar dengan jelas lontara suara pelakon, ditambah lagi ketidak fahaman bahasa Indonesia, menyebabkan audien terpakasa meneka apa yang berlaku di setiap adegan. Cuma beberapa watak yang menonjol dengan lontaran suara yang jelas seperi Miss Kecubung, Miss Kejora dan Pedro (betulkah?), pun begitu, ada beberapa patah dialog yang tidak dapat difahami. Mungkin itu cuma masalah aku yang buta bahasa Indonesia.


Adegan di kamar tidur.

Lakonan masing-masing juga bagus. Cuma rasanya boleh dipertingkatkan lagi, kerana ada watak seperti sekadar dibawa masuk kerana mereka itu orang lama. Watak yang cemerlang adalah Miss Kecubung dan Pedro, kerana perwatakan mereka membantu mengangkat keseluruhan cerita. Terutama Miss Kecubung yang didokong oleh Zulin Aziz sememangnya memberikan tenaga kepada keseluruhan pementasan ini.


Watak pelabur-pelabur miang yang cuba menggoda Miss Kejora, primadona baru.

Namun perkara yang sangat perlu diambil perhatian (dan telah diambil perhatian oleh pengarah) iaitu permasalahan kostum. Kostum kebaya bersama batik lepas sangat asli dan meyakinkan, namun tanpa kawalan yang baik, akan merosakkan pementasan seperti yang terjadi di malam pertama. Beberapa kali batik lepas itu terselak dan mengakibatkan audien rasa terganggu (dalam apa jua bentuk sekalipun), sehinggakan audien tidak dapat menumpukan kepada lakonan. Hari kedua, walau masih berlaku, namun pengarah bijak mengarahkan pemakaian tight/leotad hitam yang meminumkan gangguan kepada audien. Syabas!


Miss Kejora dan Miss Kecubung sedang berbicara.


Pedro menceritakan nasibnya sebagai tauke bangsawan kepada Miss Kejora dan suaminya.


Miss Kecubung menjadi gila setelah kematian Pedro.


Barisan produksi "Opera Primadona"

Pendek kata, syabas kepada KUBAS kerana telah berjaya mementaskan bangsawan teater "Opera Primadona". Aku mohon maaf kiranya ulasan ini menyinggung mana-mana pihak. Ambillah yang baik, yang buruk abaikan. Aku menerima komen kalian yang lain dengan hati terbuka.

6 comments:

Nyda Zamani said...

bila en usop nak buat bangsawan pulak??hehehe

Pegawai Khalwat said...

Nyda
Saya tak mampu.

HALIMI MN said...

Tahniah Pegawai Khalwat dengan penerangan secara jujur. Bagi saya tidak akan menyalahkan KUBAS atau kumpulan lain sekiranya mereka tidak memenuhi ciri-ciri Bangsawan. Boleh dikatakan setiap negeri di Semenanjung Malaya ini masih lagi hidup mereka yang pernah berkecimpung dalam bangsawan Kalau tiada di dalam negeri itu, tentu di negeri jirannya juga ada. Mohon pihak berwajib di Negeri masing-masing hubungilah mereka ini sebagai penasihat. Perkara lain pula pihak JKKN perlulah turun padang membuat pemantauan kepada kumpulan2 yang terpilih.

namoyaki said...

bermadah sekali lagi tuan disebalik awan yang girang, maka disebalik kegirangan itu mata pena tuan diselubungi panahan arjuna yang tiada taranya,
tuan, 'semua diantaranya kita ini tidak suka kepada 'reality check', tetapi 'reality check' itu amat perlu'.
tuan, telah bermadah kami sebelum ini akan halnya obat,
gunung di daki, denai ditelurusi, bahanya resepinya ada di hutan, resepinya ada pada tuan,

salam hormat kepada tuan yang bijaksana,

Pegawai Khalwat said...

Halimi MN
Setuju bagai dikata. Tetapi saya tetap tabik kepada KUBAS kerana mereka tetap dengan pendirian. Sukar menemui kumpulan yang mempunyai pendirian sebegini (betul atau salah persoalan kedua, tapi apakah ada betul atau salah di dalam teater kerana seni itu sendiri subjektif?)

Namoyaki
Yang bijaksana itu TUHAN Maha Bijaksana. Aku hanya menitip ilmu yang diturunkannya.

Yang pahit dan pedih itulah ubat. Kalau kerap terleka dengan pujian, maka kita akan alpa (pesanan untuk diri sendiri juga.)

Asalkan kita tidak menghina, moga dapat diterima dengan terbuka oleh pihak sana.

namoyaki said...

yang bijaksana itu adalah KAMU.